Gurustress 140205000522 Phpapp02

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Pengenalan

Tekanan merupakan satu pengalaman yang lumrah dalam kehidupan manusia. Setiap manusia
tidak dapat lari daripada tekanan yang boleh berpunca daripada peristiwa-peristiwa dalam
kehidupan baik dalam bentuk fizikal, sosial dan psikologikal. Kesan tekanan ke atas seseorang
individu banyak bergantung kepada ciri-ciri dan sikap individu itu bagaimana untuk
mengatasinya. Smither (1994) menakrifkan tekanan sebagai respon fisilogikal dan psikologikal
ke atas permintaan terhadap seseorang. Schafer (1992) mendefinisikan tekanan sebagai
kebangkitan minda dan badan seseorang dalam bertindakbalas kepada permintaan terhadap
dirinya. Fontana (1989) pula memberi definisi tekanan sebagai permintaan yang dibuat ke atas
keupayaan penyesuaian minda dan badan seterusnya menjelaskan sekiranya keupayaan
seseorang itu dapat menangani permintaan itu, makan tekanan itu akan mendatangkan kesan
yang positif. Kesedaran tentang perlunya menguruskan tekanan ini digambarkan dengan kajiankajian yang banyak dijalankan sama ada di dalam ataupun di luar negeri. Antara kajian tersebut
ialah Nelson dan Sutton (1990) dan Jung (1995) di Amerika Syarikat; Cooper dan Kelly (1993) ,
Abouserie (1996) dan Cockburn (1996) di United Kingdom; Chan dan Hui (1995) di Hong Kong.
Di dalam negeri pula telah dijalankan oleh Noor Azzuddin (1990), Noriah (1995), Abu Omar
(1996) dan Ungku Norulkamar (1997). Kebanyakan kajian yang dimaksudkan adalah berkaitan
langsung dengan persoalan tekanan di kalangan guru-guru.
Stres merupakan satu penyakit yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental dan kerap
menyerang masyarakat pada hari ini. Kesihatan mental seperti yang didefinisikan oleh
Pertubuhan Kesihatan sedunia (WHO) adalah kebolehan mengekalkan hubungan yang harmoni
dengan orang lain, kebolehan dalam mengambil bahagian di dalam aktiviti kemasyarakatan
dan kebolehan untuk menyumbang khidmat kepada masyarakat (Kempen Cara Hidup Sihat,
Kementerian Malaysia, 2000). Apabila seseorang itu berhadapan dengan stres, sudah tentu ia
akan gagal untuk berfungsi dengan baik di dalam masyarakat. Menurut kajian yang dilakukan
oleh Institute of Stress di New York, Amerika terdapat 90 peratus daripada lelaki dewasa
mengalami stress yang kuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu, manakala 25 peratus lagi
mengalami stress setiap hari.
Gold dan Roth (1993) menggambarkan status profesion perguruan masa kini dianggap
mempunyai tiga keadaan negatif, iaitu keadaan yang tekanan, moral guru yang rendah dan
perletakan jawatan (mungkin bukan dalam keadaan kegawatan sekarang). DiMalaysia,
persoalan tekanan di kalangan guru bukan lagi setakat bahan kajian ilmiah, malah ia menjadi
isu dalam media masa. Menurut Muhamad (1995) , kajian oleh Kongres Kesatuan Guru-guru
Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES) menunjukkan guru-guru mengeloh
terhadap kerja-kerja rutin guru seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan
dan harian. Antara alasannya ialah masalah peribadi, tawaran yang lebih baik, tidak mahu
berjauhan denga keluarga, persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban tugas yang berat
(Borneo Post, 1996).
Gold dan Roth (1993) menyatakan bahawa salah satu punca stres bagi guru adalah perubahan

(Zakiah Binti Arshad, 2003). Sebagai pengurus pembelajaran, guru perlu merancang
pengetahuan, kemahiran dan nilai yang hendak diajar setiap hari Esah Sulaiman (2003). Antara
faktor-faktor yang menyebabkan stres guru ialah depersonalisasi, kejayaan diri, ketandusan
emosi, lebihan kerja, hubungan interpersonal dan persekitaran kerja. Depersonalisasi ini adalah
merujuk kepada keadaan emosi seseorang guru seperti cara melayan pelajar dan macam mana
seseorang guru itu mengatasi masalah pelajarnya. Kejayaan diri merujuk kepada cara
seseorang guru untuk mencapai kejayaan untuk melihat pelajarnya mencapai keputusan yang
baik dalam pelajaran. Ketandusan emosi pula merujuk kepada perasaan guru yang kuat dalam
menjalankan tugas tanpa merasa marah, sedih dan bersifat sentimental. Persekitaran kerja juga
mempengaruhi guru dalam menjalankan tugas harian mereka antaranya keadaan persekitaran
kelas, kemudahan alat bantu mengajar dan alat kelengkapan yang lain untuk memudahkan
perhubungan guru dan pelajar.
Istilah "burnout" mula-mula diperkenalkan oleh Freudenberger (1974) yang menggambarkannya
sebagai perasaan kegagalan dan kelesuan akibat tuntutan yang terlalu membebankan ke atas
tenaga, sumber-sumber atau ketabahan seseorang. Dalam erti kata yang lain, burnout boleh
juga didefinisikan sebagai pilihan terakhir (akibat) apabila satu siri percubaan untuk menangani
tekanan negatif, gagal mencapai matlamatnya (Farber, 1984). Maslach & Jackson (1981) telah
memperkembangkan konsep burnout dengan menerangkan bahawa sebenarnya terdapat tiga
jenis (subskala) burnout.Ketiga-tiga jenis burnout itu ialah kelesuan emosi (emotional
exhaustion), depersonalisasi (depersonalization) dan pencapaian peribadi (personal
accomplishment).Mengikut Cordes dan Dougherty (1993), konsep Maslach dan Jackson ini
merupakan definisi burnout yang paling banyak diterima oleh para pengkaji. Maslach & Jackson
(1981) menerangkan bahawa kelesuan emosi merujuk kepada perasaan kelesuan fizikal dan
emosi dan perasaan bosan akibat daripada tekanan kerja dan kekangan-kekangan masa
harian. Depersonalisasi pula merujuk kepada pembentukan sikap yang negatif dan respons
yang dingin terhadap orang lain (contoh: pelajar, rakan sejawat) di tempat kerja seseorang. Ia
disebabkan oleh interaksi yang terlalu kerap dan tidak berhabisan antara seorang individu
dengan orang lain di tempat kerjanya. Manakala pencapaian peribadi merujuk kepada perasaan
kehilangan harga diri dan perasaan kurang mencapai dalam pekerjaan. Ia disebabkan oleh
kurang penghargaan dan maklumbalas yang positif.
Maslach dan Jackson juga menerangkan bahawa konsep burnout bukan satu dikotomi tetapi
merupakan satu kontinum. Ini bermaksud kita tidak boleh mengklasifikasi seseorang itu sebagai
"sudah burnout" atau "tidak burnout" tetapi kita hanya boleh mengatakan bahawa tahap
burnoutnya terletak di antara "lebih burnout" dengan "kurang burnout". Harus juga diingat
bahawa ketiga-tiga jenis (subskala) burnout tidak boleh digabungkan untuk menjadi satu ukuran
(skor) burnout yang tunggal (Maslach & Jackson, 1981; Iwanicki & Schwab, 1981; Byrne, 1992).
Ini kerana ketiga-tiga subskala ini merupakan konsep burnout yang berlainan dan tersendiri.
Oleh itu, setiap orang tidak mempunyai satu skor burnout yang tunggal tetapi tiga skor burnout,
satu untuk setiap subskala.
Friesen (1986) melaporkan bahawa tekanan (stress) kerja merupakan peramal yang signifikan

untuk burnout guru.Hipps & Malpin (1991) mendapati satu hubungan positif yang kuat antara
tekanan kerja dengan burnout. Mo (1991) pula mendapati bahawa guru yang mengalami lebih
tekanan juga mempunyai tahap burnout yang lebih tinggi. Oleh itu, jelas kedua-dua tekanan dan
burnout adalah saling berkait. Ini menyebabkan ramai orang keliru dan sentiasa menganggap
bahawa kedua-dua konsep ini merupakan perkara yang sama. Akan tetapi walaupun
mempunyai hubungan, kedua-dua fenomena inimerupakan konsep yang berlainan dan
tersendiri. Sebagai contoh, Farber (1984) menjelaskan bahawa seseorang yang menghadapi
tekanan tidak semestinya akan mengalami burnout. Selain itu, Selye (1976) menerangkan
bahawa terdapat dua jenis tekanan iaitu eustress ('good' stress) dan distress ('bad' stress).
Manakala distress dan burnout adalah saling berkait, eustress dan burnout merupakan konsep
yang bertentangan. Ini kerana eustress membawa kebaikan contohnya, dengan membuat
sesuatu tugasan itu lebih mencabar dan lebih merangsangkan, manakala burnout tidak
mempunyai ciri yang baik langsung. Sebaliknya, burnout hanya memburukkan lagi masalah
yang dihadapi oleh seorang individu atau sebuah organisasi. Oleh itu, jelas bahawa kedua-dua
konsep tekanan dan burnout tidak boleh disama ertikan.

Punca Stress/burnout
Punca stress/burnout di kalangan guru boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu punca
profesional dan punca peribadi:Punca professional
1. Persekitaran kerja

Persekitaran kerja yang kurang kondusif boleh menjadi punca berlakunya stres di kalangan
guru. Misalnya ruang kerja yang sempit dan kelas yang tidak selesa boleh menimbulkan
ketidakselesaan kepada guru. Ditambah dengan kemudahan sekolah yang tidak mencukupi
untuk keperluan sendiri dan pelajar serta pelbagai isu pendidikan dalam negara.
2. Perubahan

Perubahan peningkatan populasi dalam masyarakat, peningkatan taraf hidup dan jenayah yang
memberikan impak negatif dalam tingkah laku pelajar menyebabkan seseorang guru itu harus
melakukan perubahan dalam kehidupan profesional dan peribadinya. Perubahan boleh
menyebabkan terganggunya sistem keseimbangan dalam diri seseorang individu itu.
Contohnya, banyak perubahan telah berlaku dalam mobiliti masyarakat Malaysia pada hari ini.
Antaranya, penambahan golongan etnik dalam pendidikan. Pelajar dari golongan etnik ini
kurang fasih atau tidak tahu langsung berbahasa Melayu. Oleh itu, hal ini memberikan tekanan
kepada guru Bahasa Melayu untuk memenuhi kurikulum pendidikan.
Punca peribadi
1. Kesihatan
Keadaan kesihatan guru yang terjejas akibat kemalangan atau berlaku kematian dalam
kalangan keluarga.
2. Perhubungan
Oleh sebab banyak perubahan dalam masyarakat pada hari ini, misalnya peningkatan kadar
jenayah, guru memerlukan sokongan dan hubungan yang baik dengan ahli keluarga dan rakanrakan. Apabila berlaku perselisihan faham maka ini boleh menyebabkan stress terhadap guru
tersebut.
3. Kewangan
Gaji yang rendah berbanding dengan profesion yang lain membataskan aktiviti riadah dan taraf
hidup seseorang guru.
4. Taraf hidup
Gaji yang rendah menyebabkan sukar untuk guru menikmati dan memberikan taraf hidup yang
baik bagi keluarga mereka. Disamping itu, memiliki rumah sendiri juga sukar terutamanya bagi
guru yang baru mengajar.
5. Aktiviti riadah
Gaji yang rendah membataskan pilihan guru melakukan aktiviti riadah bersama keluarga (Gold
Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).

Cara Mengendalikan Stress di kalangan Guru


Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan dengan strategi berikut:

1. Kenal pasti reaksi emosional


Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti maka seseorang guru boleh menangani stress
dengan cara yang lebih positif. Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman
dengan pengetua di sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang
negatif, iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi
dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa dahulu
ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu lagak bapa yang
menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan pengetua itu menghargai
beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua dan memberitahu perasaannya itu.
Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.
2. Komitmen sosial
Apabila berhadapan dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di
sekelilingnya. Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting.
3. Kehidupan fizikal
Stress menjejaskan kesihatan dari segi imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu
teknik yang berkesan untuk menangani stress terutamanya menjelang peperiksaan pelajar dan
pertukaran pentadbiran di sekolah.Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan makanan
seimbang boleh membantu guru menangani stress.
4. Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang memiliki tahap intelek yang serupa dengan
mereka kerana aspek intelek boleh membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A.
Roth Robert, 1993).

Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah
penting untuk mengubah diri individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal
pasti punca yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stress
tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan berulangnya
masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang guru kecewa dengan
perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin menyedari bahawa punca
kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku pelajar tetapi harapan yang tidak
realistik guru berkenaan. Dengan mengubah standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan
mendapati bahawa tingkah laku pelajar tidak lagi mengganggunya.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman (1999) telah menyarankan lima faktor atribusi

terhadap masalah stress/burnout. Faktor- faktor tersebut ialah:a) Kesedaran Kendiri (self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills).
Faktor atribusi pertama iaitu kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk
mengetahui perasaan mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih
keutamaan panduan dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran
kendiri juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka mempunyai
keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan kendiri (self-regulation) dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar
ianya memudahkan dan bukannya mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru
yang boleh mengawal diri mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara
perasaan negatif mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi.
Guru yang mempunyai motivasi kendiri (self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri
dalam menggerak dan memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri
boleh membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk
memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah apabila
menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor atribusi yang boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang
lain. Sifat berempati juga membolehkan seseorang guru melihat atau memahami sudut
pandangan orang lain. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan
dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang mempunyai sifat
empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau keraguan seseorang
terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey & Callahan 1998) menyatakan bahawa
seseorang yang boleh menunjukkan sifat berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan
orang lain terutama dalam proses membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya
dengan mudah memahami dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru
dengan adanya kemahiran tersebut.
Faktor atribusi terakhir yang dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial
(social skills). Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan
seseorang mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu
mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir memujuk dan
memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga mampu
menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan konflik bagi
mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah.

Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah
dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat
galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai
tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang,
mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi,
menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi
memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan
boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya
guru dan prestasi pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para
guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini
iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk
membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.

Penutup
Profesion perguruan adalah profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas
antara masa bekerja dan masa tidak bekerja. Menurut Noriah (1994) keadaan sedemikian boleh
mewujudkan tekanan kepada guru-guru. Selye (1956) menyatakan bahawa tekanan yang
berpanjangan boleh membawa kepada gangguan emosi di tahap yang berbeza-beza daripada
tahap rendah hingga ke tahap serius. Ini akan mewujudkan emosi yang pelbagai seperti bosan,
lesu, marah, kecewa dan benci (Muchinsky, 1997). Tugas guru merupakan tugas yang
kompleks dan mencabar. Mereka bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu melakukan kerjakerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti kokurikulum dan juga melibatkan diri
secara aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (Noriah 1994). Disamping kerja-kerja yang
dinyatakan, guru juga perlu berinteraksi dengan pelajar-pelajar secara fizikal, dan emosi
semasa proses pengajaran dan pembelajaran (Mohd Najib 2000). Kenyataan ini disokong oleh
Newton dan Newton (2001) yang mengatakan guru perlu banyak berkomunikasi dan
berinteraksi dengan pelajar dalam kelas. Polloway, Patton dan Serna (2001) juga mengakui
kepentingan kemahiran sosial bagi guru yang mengajar dan juga melatih pelajar dalam
kemahiran sosial.Justeru, kebolehan guru berinteraksi dengan pelajar dipengaruhi oleh
keadaan emosi guru.

You might also like