Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

PENGENALAN

Sebelum anda menulis sebuah skrip drama, anda tentulah terlebih dahulu perlu
mengetahui apakah itu drama. Anda tentu pernah menonton drama pentas atau lebih
dikenali sebagai teater. Apakah yang dimaksudkan dengan drama dan apakah yang
membezakannya daripada teater. Apakah menulis skrip drama itu berbeza daripada menulis
novel dan apakah yang membezakan skrip drama pentas daripada drama televisyen?
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN DRAMA?
Drama berasal daripada perkataan dran (Greek) yang bermaksud melakukan atau
melakonkan. Drama ialah aksi mimetic (peniruan), iaitu aksi yang meniru atau mewakilkan
perlakuan manusia. Menurut Aristotle, drama ialah peniruan kehidupan, sebuah cermin
budaya dan suatu bayangan kebenaran. Dalam buku The American College Dictionary,
drama didefinisikan sebagai karangan prosa dan puisi yang menyajikan dialog, pantomin
atau cereka yang mengandungi konflik untuk dipentaskan. Mengikut Oxford Dictionary,
drama sebagai komposisi prosa boleh disesuaikan untuk diaksikan di atas pentas yang
ceritanya disampaikan melalui dialog dan aksi, dan dipersembahkan dengan bantuan gerak,
kostum dan latar hiasan seperti kehidupan yang sebenar. Bagi Aristotle, plot merupakan
penggerak utama sesebuah drama dan drama harus dibina daripada tiga kesatuan, iaitu
aksi, tempat dan masa. Elemen-elemen inilah yang menyebabkan drama ialah sebahagian
daripada cabang sastera. Selain elemen sastera, drama juga merangkumi elemen-elemen
seni yang lain seperti lakon, seni muzik, seni bina, seni busana dan seni tari.
Drama bukan hanya untuk dibaca , tetapi untuk dilakonkan di atas pentas, dengan
penghayatannya berbeza antara dibaca dengan pementasannya. Di sinilah letaknya
perbezaan maksud antara drama dengan teater. Sebuah drama ialah naskhah skrip yang
boleh dibaca secara individu tanpa memerlukan ruang, pelakon atau bantuan seni yang lain.
Apabila skrip drama itu dilakonkan di atas ruang pentas dengan gabungan pelbagai seni
yang lain dan ditonton pula oleh khalayak secara kolektif, maka ia dinamakan teater.
SKRIP DRAMA
Sebuah skrip drama berbeza daripada novel dan cerpen atau puisi. Bagi novel dan
cerpen, pembaca akan dijelaskan secara terperinci tentang sesuatu situasi dan latar bagi
sesuatu peristiwa yang berlaku melalui penerangan pengarang, manakala dalam sesebuah
naskhah drama, seseorang pembaca hanya akan diberikan gambaran umum (deskripsi)
tentang sesuatu situasi, latar atau tempat, dan dialoglah yang akan menyampaikan mesej
dan pemikiran pengarang. Hal inilah yang membezakan drama daripada karya sastera yang
lain. Sememangnya sifat sesebuah naskhah drama digerakkan oleh dialog. Pemikiran atau
gagasan pengarang disampaikan melalui dialog pelakon (watak-watak) yang berinteraksi
dalam sesebuah drama. Sebuah naskhah drama yang baik akan dapat memberikan
gambaran jelas tentang pemikiran pengarang melalui unsur-unsur dramatik dalam dialog
yang dihasilkan. Unsur dramatik bermaksud diksi atau ungkapan yang boleh
membangunkan konflik dalam drama seperti dialog yang menimbulkan perasaan marah,
gembira, lucu, dan seumpamanya. Sebuah drama yang baik juga harus mempunyai unsur
suspens, ketegangan dan seharusnya mampu membina rasa ingin tahu pembaca atau
penonton.
STAIL DAN PERWATAKAN
Drama merupakan karya seni yang mempunyai sifat sosial yang paling luas. Drama
bersifat kerja berkumpulan kerana gabungan pekerja seni yang lain dan juga kerana reaksi
penonton yang bersifat langsung (hal ini tentu berbeza daripada reaksi penonton yang

menonton filem atau televisyen). Skrip drama yang menjadi sebahagian daripada cabang
sastera bersifat tetap dan kekal secara keseluruhan, tetapi setiap kali naskhah drama itu
dipersembahkan (dilakonkan) di atas pentas, produksi teks (skrip) akan berlaku perbezaan.
Hal ini demikian kerana pelakon akan memberikan reaksi yang berbeza kepada penonton
yang berbeza dan juga kesan daripada mood pelakon yang berbeza dalam setiap
persembahan. Gabungan antara nilai yang tetap dan berubah inilah menjadi kelebihan
sesebuah teater yang membezakannya daripada drama yang dirakamkan secara
mekanikal, iaitu filem, drama radio dan drama televisyen.
CIRI-CIRI DRAMA
Pada umumnya, drama mempunyai ciri-ciri yang berikut:

Drama merupakan prosa moden yang dihasilkan sebagai naskhah untuk dibaca dan
dipentaskan.

Naskhah drama boleh berbentuk prosa atau puisi.

Drama terdiri daripada dialog yang disusun oleh pengarang dengan watak yang
diwujudkan.

Pemikiran dan gagasan pengarang disampaikan melalui dialog watak-wataknya.

Konflik ialah unsur penting dalam drama. Konflik digerakkan oleh watak-watak dalam
plot, elemen penting dalam sesebuah skrip.

Konflik ialah unsur penting dalam drama. Konflik digerakkan oleh watak-watak
dalam plot, elemen penting dalam sesebuah skrip drama.

Sebuah skrip yang tidak didasari oleh konflik tidak dianggap sebuah drama yang
baik.

Gaya bahasa dalam sesebuah drama juga penting kerana ia menunjukkan latar masa
dan masyarakat yang diwakilinya, sekali gus drama ini mencerminkan sosiobudaya
masyarakat yang digambarkan oleh pengarang.

STRUKTUR DRAMA
Pada dasarnya sesebuah drama mempunyai struktur tiga bahagian babakan (three
act structure). Sejak drama tragedi Greek, drama Elizabeth (Inggeris) hingga drama moden
dan lakon layar filem, kesemua struktur skripnya dipecahkan kepada tiga bahagian.
Perbandingannya adalah seperti kehidupan manusia yang terbahagi semasa dilahirkan,
dewasa dan akhir hayatnya. Sebelum memulakan sebarang bentuk tulisan, kita perlu
mempunyai asas yang kukuh. Hal ini demikian kerana asas yang teguh akan mendukung
struktur, konsep dan visi sesebuah drama. Ia akan menghasilkan satu rangka kerja atau
karya yang kukuh yang tidak mudah pecah. Tanpa asas yang kukuh akan hanya
menghasilkan kekecewaan, kebuntuan atau yang sering dikatakan sebagai writers block.
Kebuntuan lahir disebabkan tidak adanya perancangan. Tanpa perancangan, ia
menyukarkan penulis mencari arah atau jalan yang betul dalam menghasilkan cerita.

Tiga elemen yang cukup penting yang perlu diberikan tumpuan oleh penulis sebelum
memulakan penulisan skripnya ialah:
Fokus
Logik
Perwatakan.

Fokus
Untuk sebuah cerita sentiasa dalam kesatuan, watak-watak dan cara mereka
berfungsi memerlukan fokus atau tumpuan. Ia tidak ada bezanya sama ada jalan cerita kita
berbentuk linear, non-linear (spiral) atau selari. Sentiasa memberikan tumpuan yang kukuh
akan menjadikan proses penulisan kita mudah dan lancar. Fokus memerlukan beberapa
pertimbangan. Yang utama adalah dengan mengetahui watak-watak (siapa mereka?), latar,
sifat dan perkembangan mereka. Fokus juga memerlukan perwatakan dan cerita secara
keseluruhan mempunyai matlamat yang jelas pada akhirnya.
Logik

Apabila kita menghasilkan cerita dengan segala perwatakannya, tema dan ruang
tempat, kita sebenarnya terlibat dengan penciptaan. Segala perwatakan, tema dan ruang
masa serta tempat mempunyai peraturannya sendiri sebagaimana sebuah dunia dicipta.
Sebab itu penulis drama sering dikatakan mencipta sebuah dunia. Akan tetapi dunia
bagaimanakah yang dicipta itu? Bagaimanakah kehidupannya? Drama mengangkat atau
meniru realiti (kehidupan), tetapi realiti yang bagaimana? Oleh itu realiti sesebuah drama
perlu dilihat dalam konteks ceritanya, perwatakan dan temanya. Di sinilah logik drama
tersebut diukur.
Watak dan Perwatakan
Sebuah skrip drama yang baik mesti mempunyai watak-watak yang mampu
membawa cerita untuk terus berkembang. Watak-watak inilah yang menjadi cerita, dan
kuasa merekalah yang menghidupkan cerita. Oleh itu watak ialah elemen terpenting dalam
drama. Wataklah yang menggerakkan plot cerita. Dalam sesebuah drama terdapat watak
utama dan watak sampingan. Selalunya dalam sesebuah drama terdapat satu watak utama,
tetapi pada saya sesebuah drama mempunyai dua watak utama, iaitu watak protagonis
(watak yang menyokong idea penulis) dan watak antogonis (watak yang menentang idea
penulis). Pertentangan idea ini akan menimbulkan konflik dan pertentangan konflik inilah
yang membentuk struktur konflik dramatik yang menarik. Watak sampingan ialah watakwatak yang lain yang menyokong protagonis ataupun antogonis atau watak-watak yang
melengkapkan cerita.
ELEMEN DRAMA
Elemen drama yang perlu diketahui oleh bakal penulis skrip ialah:
Tema/Pemikiran
Tema ialah idea atau persoalan pokok yang dapat dirumuskan daripada keseluruhan
inti pati cerita. Persoalan pokok ini merupakan gagasan yang ingin disampaikan oleh
penulis dalam skripnya. Pemikiran ini disampaikan melalui dialog dan aksi watak-wataknya.
Pembaca naskhah atau penonton drama yang sensitif akan dapat menangkap idea atau
persoalan pokok ini selepas selesai membaca skrip atau menonton teater. Malah, selalunya
mereka bukan sahaja dapat menangkap idea atau tema drama tersebut, tetapi juga mereka

akan dapat menjaring maksud lain atau lapisan maksud yang lain yang terkandung dalam
drama tersebut. Pemikiran yang tersembunyi yang hanya dapat ditafsir oleh pembaca atau
penonton yang mahu berfikir atau memahami perlambangan yang digunakan atau unsur
cerita yang disampaikan oleh penulis dinamakan sebagai sub-teks.

Plot
Plot sangat penting dalam pembinaan struktur drama. Plot adalah struktur drama
yang dibina melalui dialog dan aksi setiap watak. Dialog terbina melalui kata-kata atau
bahasa. Melalui dialog inilah konflik dan perkembangan cerita berlaku. Seperti yang
dijelaskan sebelum ini, konflik memainkan peranan yang cukup penting dalam
membangunkan struktur sebuah drama. Bertolak daripada konflik dan ketegangan inilah
sesuatu peristiwa digerakkan dan dilanjutkan perkembangannya hingga kepada
peleraiannya atau kesimpulan cerita. Plot bukan cerita atau naratif. Mengikut E.M. Forster
cerita ialah huraian tentang peristiwa yang disusun mengikut urutan waktu. Plot ialah jalan
cerita yang memberikan maklumat cerita. Ia dibina oleh watak dan apa yang berlaku
melalui kesan sebab dan akibat dalam ruang dan waktu. Penulis perlu memahami bahawa
dalam sesebuah persembahan teater, usaha menarik perhatian penonton dan menahan
perhatian mereka selama mungkin ialah tugas yang cukup penting. Sebuah plot mesti
berupaya menarik perhatian dan mencipta suspens dan di sinilah kesemua binaan dramatik
memberi tumpuan. Harapan atau jangkaan penonton atau pembaca mesti dibina (tetapi
hanya diselesaikan pada babak adegan terakhir), aksi (adegan) mesti kelihatan hampir
mencapai objektifnya tetapi ia perlu tidak tercapai sehinggalah di akhir adegan, dan yang
paling penting sebuah plot mesti mempunyai kepelbagaian (variasi) rentak dan tempo.
Sebuah plot yang monotonos akan hanya menghilangkan minat penonton dan akhirnya
kelihatan hambar dan mendatar.
Terdapat beberapa bentuk suspens atau ketegangan yang boleh dicipta dalam
sesebuah skrip. Soalan-soalan asas ini boleh menjadi contoh ketika hendak memulakan
tulisan skrip anda, Apa yang akan berlaku selepas ini?, atau yang sama maksudnya, Saya
tahu apa yang akan berlaku, tetapi bagaimana ia akan berlaku? Atau, Saya tahu apa yang
akan berlaku dan saya tahu bagaimana ia akan berlaku, tetapi bagaimanakah watak X
memberi reaksi atau bertindak balas kepadanya? Soalan-soalan asas ini wajar berlaku di
awal bahagian skruktur dramatik skrip anda supaya pembaca atau penonton anda dapat
terus bersedia kepada elemen utama suspens dalam drama anda. Seseorang mungkin
mengatakan tema utama sesuatu drama itu mesti jelas. Bagaimanapun dalam sebuah
skruktur skrip drama yang baik, ia terletak pada persoalan. Contohnya, siapakah yang
melakukan pembunuhan itu, lelaki manakah yang akhirnya berjaya memiliki gadis itu, atau
bagaimana bila sesorang suami mengetahui yang isterinya berlaku curang dan memiliki
kekasih lain? Apabila penonton atau pembaca telah mengetahui tema dan persoalan dan
objektif aksinya, maka jangkaan mereka akan tertumpu kepada titik akhir drama tersebut
(penyelesaian) dan tahu ke mana tumpuan drama tersebut akan bergerak.
Perhatian penonton tertumpu ke arah yang betul. Bagaimanapun perlu juga
diketahui, tumpuan perhatian penonton selalunya adalah pendek. Satu elemen suspens
utama tidak mencukupi untuk terus mengikat perhatian penonton. Oleh itu, sebuah
struktur skrip drama memerlukan suspens sampingan. Jadi suspens sampingan ini akan
mendukung elemen suspens yang utama. Suspens sampingan ini diperlukan pada setiap
adegan atau bahagian drama, yang akhirnya bergabung dengan keseluruhan momentum
struktur drama tersebut. Dalam pembentukan plot, setiap watak bergerak dalam kerangka
sebab dan akibat. Sesuatu peristiwa berlaku disebabkan oleh sesuatu alasan yang kukuh

dan ia akan menghasilkan sesuatu akibat yang wajar. Ia merupakan hukum yang
mempunyai logikanya yang tersendiri. Oleh itu, seseorang penulis perlu memastikan
tindakan sesuatu watak itu wajar mengikut latar watak, tempat dan waktu, dan
peristiwanya dan akibat yang berlaku itu adalah munasabah.

Latar
Elemen tempat, masa atau zaman serta masyarakat yang diceritakan selalunya
dijelaskan melalui latar. Latar dalam drama penting dijelaskan, tetapi perincian latar dalam
drama adalah terhad. Ia hanya perlu untuk tujuan pementasan untuk menjelaskan tentang
tempat dan masa, cukup untuk memberikan panduan kepada pembaca atau penonton.
Berbanding dengan filem atau televisyen, drama pentas menghadapi kekangan dalam
menukar set atau prop yang kerap dari satu babak ke satu babak yang lain.
Babak
Bahagian dalam drama yang menjelaskan peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar
tempat dan masa disebut babak. Pertukaran latar tempat dan masa membawa perubahan
babak.
Adegan
Adegan merupakan pecahan dalam sesuatu babak yang menjelaskan sesuatu
peristiwa yang berlaku dalam sesuatu latar tempat tetapi pada masa yang berbeza.
Bahasa
Asas sebuah drama ialah perkataan atau dialog. Drama terbina oleh dialog dan aksi.
Oleh itu, bahasa yang menjadi asas perkataan adalah elemen yang cukup penting bagi
sesebuah drama. Daripada bahasa yang dituturkan oleh pelakon itu, pemikiran dan gagasan
pengarang disampaikan. Sesebuah drama yang baik akan menggunakan bahasa yang
ringkas, padat dan mudah difahami supaya berkesan kepada penonton. Gaya bahasa atau
dialog yang meleret dan sukar difahami akan menyebabkan pembaca dan penonton bosan
dan akhirnya hilang tumpuan. Gaya bahasa yang baik dalam sesebuah drama akan
memberikan latar zaman, masyarakat dan tempat. Justeru itu, dialek sesuatu daerah boleh
digunakan oleh sesuatu watak untuk menghidupkan lagi perwatakannya, tetapi pastikan
yang pembaca dan penonton dapat memahami dialek tersebut. Kekuatan sesuatu watak itu
terpancar daripada kualiti dialog yang diucapkannya. Watak yang gagal mengucapkan dialog
kuat, humor dan menarik akan sukar menarik perhatian penonton. Oleh itu, pemilihan
diksi, ayat atau unsur bahasa penting dalam mengekalkan keinginan pembaca dan
penonton sesebuah drama.
Ekonomi, emosi dan keseimbangan
Secara keseluruhannya struktur sesebuah drama bergantung kepada keseimbangan
dalam semua elemen. Setiap suatu elemen tersebut mestilah memberikan sumbangan
dalam membentuk corak dan pola sesebuah drama itu. Setiap suatu elemen itu sentiasa
berkaitan dan bergantungan antara satu sama lain. Satu aspek yang mesti juga diberi
perhatian oleh penulis skrip ialah faktor ekenomi. Hai ini demikian kerana drama ialah satu
bentuk komunikasi yang elemen masa memainkan peranan yang penting. Oleh itu, faktor
masa perlu diberikan perhatian. Selain itu, drama juga merangkumi aspek emosi. Hai ini

demikian kerana sesebuah drama itu dihasilkan untuk manusia dan emosi memainkan
peranan penting dalam soal komunikasi kemanusiaan.

Jenis-jenis drama
Pada umumnya terdapat tiga jenis drama yang utama, iaitu:

Tragedi sebuah drama yang mengisahkan suka duka dan tragisnya kehidupan wira
utamanya. Kisah wira ini selalunya berakhir dengan tragedi. Dalam drama ini
perjalanan kisahnya menemui tragedi itulah yang utama.

Komedi Drama ini memaparkan kisahnya dalam bentuk lucu dan menghiburkan.
Ceritanya serius, tetapi disampaikan dalam bentuk kelucuan oleh watak-wataknya.
Drama ini selalunya digunakan untuk menyindir masyarakat. Plot drama komedi
boleh berakhir dengan kepuasan penonton (kegembiraan) dan boleh juga berakhir
dengan kedukaan .Drama begini dikenali juga sebagai tragik-komedi.

Melodrama Drama ini bersifat sentimental dan ceritanya sering berpusat pada
persoalan keluarga atau wanita. Drama ini selalunya akan menyentuh emosi
pembaca atau penonton.

Format Skrip Drama Pentas


Skrip drama pentas mempunyai formatnya yang sendiri. Anda wajar mengikut
format yang standard apabila menulis skrip supaya ia mudah dibaca, difahami oleh
pengarah drama dan yang penting ia menunjukkan yang anda memahami genre sastera
yang anda tulis. Dalam format penulisan skrip, anda perlu memuatkan perkara-perkara
yang berikut:

Muka surat judul yang mempunyai judul drama anda, nama penulis (nama anda),
judul sumber asal (novel) jika skrip drama itu karya adaptasi, nama dan tempat
terbit (jika diterbitkan) dan tahun.

Sinopsis. Anda perlu juga menulis sinopsis atau ringkasan drama anda (kira-kira 150
patah perkataan). Sinopsis ini perlu memberikan maklumat tentang watak, tema dan
perjalanan cerita dan yang penting mampu menarik minat pembaca untuk membaca
seterusnya skrip drama anda.

Watak dan senarai watak Anda perlu memberikan senarai watak yang terlibat
dalam drama anda serta deskripsi ringkas tentang perwatakannya seperti bentuk
fizikal, usia dan sifat-sifat tertentu watak itu.

Pecahan babak juga perlu.

Adegan atau babak sesebuah drama berlaku dalam satu ruang tempat, masa dan
watak. Oleh itu, ruang tempat, masa dan watak perlu juga diberitahu sebelum
sesuatu adegan itu bermula.

Format atau stail menaip skrip terdapat beberapa bentuk. Lihatlah bentuknya
daripada beberapa skrip yang pernah anda baca.
Di sini saya sertakan satu contoh bagaimana sebuah skrip drama pentas ditulis,
petikan babak 12 drama Patah Sayap Terbang Jua tulisan Othman Haji Zainuddin
yang diadaptasi daripada novel Patah Sayap Terbang Jua karya A. Samad Ismail.

12. DERETAN KEDAI/ SINGAPURA/MALAM


Wahab masuk ke kawasan itu. Seketika dia berdiri di jalanan yang diterangi oleh
lampu elektrik yang muram. Kelihatan Inah mengekorinya. Seketika dia memerhatikan
kelakuan wahab. Dari jauh kedengaran muzik mengalun dari antara beberapa buah rumah
yang masih diterangi oleh lampu. Wahab bersiul-siul kecil dan mendendangkan lagu
keroncong Kemayuran.
WAHAB (Menyanyi)
Kiri jalan, kanan pun jalan
Nona manis endung disayang
Lateralala lala lala.
Di tengah-tengah pohon mengkudu
Kirim jangan
Pesan pun jangan
Sama-sama
Menanggung rindu.
Ketika ini Inah ikut sama menyanyi
INAH & WAHAB
Kirim jangan
Pesan pun jangan
Sama-sama
Menanggung rindu
Inah tepuk tangan. Wahab terkejut Inah di sisinya.
INAH
: Ada apa Hab, kau nak jumpa aku?
WAHAB : Banyak perkara.
INAH

: Apa yang boleh kutolong?

WAHAB

: Kau tolong aku seperti kau tolong


Hashimoto

INAH
: Tolong Hashimoto?
Penutup
Setelah anda membaca tulisan ini, diharapkan anda mendapat sedikit pengetahuan
tentang kaedah-kaedah penulisan skrip drama pentas. Ia mungkin belum cukup untuk
menjadikan anda penulis skrip yang baik kerana penulis skrip drama pentas yang baik
menuntut kerja-kerja pemerhatian masyarakat , banyak membaca naskhah skrip drama
yang baik dan perlu juga banyak menonton teater. Bagaimanapun ia sudah cukup untuk
menggerakkan anda memulakan suatu penulisan skrip.

You might also like