HUHALAND bukan sebuah taman biasa. Huhaland didiami oleh kanak-kanak dan haiwan sahaja. Bukan mudah hendak memasuki Huhaland, bahkan tiada jalan keluar dari Huhaland. Di Huhaland, kanak-kanak dan haiwan saling membantu dan bergantung hidup antara satu sama lain. Segalanya aman dan tenang, di bawah pemerintahan Raja Umon, seekor singa yang tegas tetapi adil. Pada suatu hari, Taman Huhaland, telah dikunjungi oleh Mamba. Mamba ialah seekor ular jahat yang menyamar sebagai Madna, iaitu sepupu kepada Wini yang juga merupakan seekor ular. Kehadirannya mahu memporakporandakan Huhaland. Pada suatu malam, Mamba telah meminum ubat ajaib dan bertukar warna menyerupai warna sisik Madna. Kemudian, Mamba memusnahkan ladang buah-buahan Opi iaitu seekor orang utan. Kupa seekor kura-kura dan Jali seorang budak lelaki yang secara kebetulan melalui ladang Opi telah terlihat segala kemusnahan yang dilakukan oleh Mamba yang disangkanya Madna. Pada keesokan harinya, Huhaland telah digemparkan dengan kejadian yang menimpa ladang milik Opi. Pertemuan bersama Raja Umon telah diadakan bagi mencari dalang yang bertanggungjawab memusnahkan ladang Opi. Mamba, Madna dan Wini telah dipanggil menghadap Raja Umon. Mereka yang berada disitu terkejut apabila melihat terdapat dua Madna. Madna telah dituduh merosakkan ladang Opi. Tetapi, Madna menyangkal tuduhan tersebut. Mamba turut menyangkal tuduhan tersebut. Namun, Raja Umon yang adil, telah menanyakan soalan yang akhirnya berjaya memerangkap Mamba. Kemudian, sisik Mamba telah bertukar kepada warnanya yang asal. Dia cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan Mamba terperangkap di Huhaland buat selama-lamanya.