Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

ISL 3

FALSAFAH PENDIDIKAN BARAT


Falsafah pendidikan barat mengandungi unsur-unsur falsafah tradisional dan juga aliran moden. Di
antara falsafah pendidikan tradisional yang utama ialah perenialisme dan essensialisme.
Manakala, falsafah pendidikan moden yang berpengaruh ialah progresivisme, rekonstruktivisme
dan eksistensialisme.
FALSAFAH PENDIDIKAN TRADISIONAL BARAT
Perenialisme
Perenialisme berasal daripada perkataan asas, perennial yang bermaksud tidak berubah. Bagi ahli
perenialisme, ketelusan merupakan sesuatu yang tidak akan berubah atau bersifat perennial. Oleh
itu, pendidikan haruslah berfokuskan kepada carian dan sebaran ilmu yang tidak berubah-ubah.
Menurut ahli-ahli perenialisme, ciri-ciri asas semulajadi manusia berbentuk sejagat dan tidak
berubah-ubah. Antara ciri-ciri tersebut termasuklah unsur rasionaliti yang penting untuk disemai
dalam diri sejak di bangku sekolah lagi. Matlamat pendidikan adalah bertujuan untuk mengajar
pengetahuan dan nilai yang bersifat sejagat, abadi dan tidak mempunyai had masa.
Dalam konteks tumpuan perenialisme, hanya empat aspek yang ditumpukan iaitu jenis
kurikulum yang digunakan, peranan guru, peranan murid dan kaedah mengajar. Dari aspek jenis
kurikulum yang digunakan, bidang kemanusiaan dan kesusasteraan adalah antara mata pelajaran
kritikal yang diberi tumpuan kerana mengandungi sifat ketelusan yang kukuh mengenai fitrah
manusia dan bukannya bidang vokasional atau teknik yang berkaitan mesin. Antara mata
pelajaran yang disyorkan yang dapat memberi murid peluang untuk memperoleh celik akal yang
penting mengenai kehidupan ialah bahasa, sastera, matematik, seni dan sains.
Guru memainkan peranan sebagai pakar yang bijaksana dan berwibawa dalam dunia
pendidikan dan pengetahuan. Tugas guru ialah untuk menyampaikan ilmu di samping
membimbing perbincangan kumpulan serta mendisiplinkan murid. Murid pula perlu berusaha untuk
memperoleh seberapa banyak ilmu mengikut kemampuan masing-masing. Untuk itu, mereka
dikehendaki menyiapkan segala tugasan yang diberi oleh guru. Kaedah pengajaran yang
ditekankan ialah kaedah didaktik di mana guru mengajar dan murid belajar segala isi yang
disampaikan tanpa pertanyaan sebarang soalan. Guru mempunyai kuasa pakar dan tidak akan
melayan sebarang pandangan anak murid mereka. Kaedah ini juga lebih dikenali sebagai oneway communication.
Esensialisme
Esensialisme bermula sebagai satu pergerakan falsafah yang sistematik dalam bidang pendidikan
pada tahun 1930an. Pada dasarnya, mazhab falsafah ini bersifat konservatif iaitu tidak mudah
menerima perubahan tetapi telah berubah kepada sifat praktikal dan pragmatik ( mementinglan
kesan sebenar daripada ciri teori). Berbanding dengan mazhab perenialisme, mazhab ini lebih

menumpukan kepada perkara-perkara asas sahaja, iaitu apa yang perlu diketahui seseorang
individu agar menjadi ahli masyarakat yang produktif. Perkara-perkara asas ini pula boleh berubah
dari semasa ke semasa. Berdasarkan konsep tersebut, matlamat pendidikan esensialisme ialah
pengajaran maklumat berbentuk fakta yang perlu dipelajari, dihayati dan disimpan oleh murid serta
penghayatan budaya.
Dari segi tumpuan pula, fahaman esensialisme ini juga sama seperti fahaman
perenialisme yang mementingkan empat aspek iaitu jenis kurikulum, peranan guru, peranan murid
dan kaedah mengajar. Bagi merealisasikan matlamat pendidikan di atas, tumpuan dalam
kurikulum diberikan kepada kemahiran asas seperti membaca, mengira dan menulis (3M). Sains,
sejarah, seni dan muzik merupakan antara mata pelajaran yang wajib dipelajari. Berbeza dengan
perenialisme, bidang sastera dan kemanusiaan hanyalah dianggap sebagai mata pelajaran
sampingan.
Guru pula disifatkan sebagai seorang yang berwibawa dalam pengajaran dan
pembelajaran bilik darjah. Mereka mahir dari segi kawalan bilik darjah serta menjadi teladan atau
role-model kepada murid mereka. Murid pula memainkan peranan untuk menumpukan perhatian
dan berusaha bagi mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Dari segi kaedah mengajar,
kaedah yang digunakan adalah kaedah didaktik. Murid-murid tidak digalakkan untuk melibatkan
diri dalam proses spekulasi reflektif yang dilihat sebagai satu perkara yang hanya membuang
masa sahaja.
FALSAFAH PENDIDIKAN MODEN BARAT
Progresivisme
Falsafah progresivisme ini telah berkembang daripada falsafah pragmatisme. Pandangan falsafah
ini terhadap peranan sekolah adalah jauh berbeza daripada falsafah pendidikan barat tradisional.
Bagi ahli progresivisme, mereka melihat perubahan sebagai intipati realiti. Ilmu dikatakan bersifat
relatif dan tentatif bagi menerangkan realiti masa kini dan tidak boleh dianggap sebagai benar buat
selama-lamanya kerana masih boleh diubah. Berpegang kepada konsep di atas, maka pendidikan
bermatlamat untuk menyediakan murid yang mampu untuk mengakomodasi iaitu berupaya untuk
melakukan penyesuaian dengan perubahan dalam kehidupan seharian.
Menurut ahli progresivisme, ilmu hanya merupakan satu keterangan tentatif yang
berpadanan dengan realiti masa kini. Berdasarkan pegangan tersebut, , aliran progresivisme ini
mempunyai pandangan yang tersendiri dari segi aspek tumpuan jenis kurikulum, peranan guru,
peranan murid dan kaedah mengajar Pada dasarnya, manusia adalah bersifat baik. Oleh itu, murid
diberi kebebasan dalam memilih mata pelajaran yang ingin dipelajari. Pembelajaran akan menjadi
lebih berkesan dan mereka dapat memaksimumkan kebolehan dan potensi masing-masing
apabila berpeluang untuk mempelajari apa yang diminati.

Dalam aliran ini, guru memainkan peranan sebagai pembimbing dan membantu anak
murid mereka untuk menangani sebarang masalah dalam persekitaran yang sentiasa berubah.
Guru juga adalah pengurus pengajaran yang bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana
pembelajaran yang kondusif, mengemukakan soalan dan membimbing murid ke arah yang
produktif. Murid pula harus berperanan untuk mencari keterangan masing-masing bagi
menjelaskan soalan yang diberi oleh guru. Kaedah mengajar yang ditekankan ialah pendekatan
induktif yang memberi peluang kepada murid untuk memberikan penjelasan bagi isu-isu
pendidikan yang timbul serta meningkatkan pemahaman mereka mengenai fenomena yang
berlaku dalam persekitaran mereka yang sentiasa berubah.
Rekonstruktivisme
Menurut ahli rekonstruktivisme, sekolah merupakan pemangkin utama untuk meningkatkan
keadaan hidup manusia. Oleh itu, sekolah adalah satu landasan yang amat sesuai untuk
membentuk masyarakat baru kerana dapat mengenalpasti masalah sosial yang menjejaskan
pembangunan masyarakat dan menimbulkan krisis budaya. Sehubungan dengan itu, pendidikan
bermatlamat untuk mengasaskan corak budaya baru serta menghapuskan penyakit sosial.
Kurikulum falsafah ini terdiri daripada bidang sains sosial terutamanya mata pelajaran
kajian sosial yang memberi tumpuan kepada kecenderungan semasa dan masa depan, di
samping isu-isu tempatan dan antarabangsa. Selaras dengan jenis kurikulum yang ditawarkan,
guru berperanan sebagai agen perubahan dan pembaharuan. Guru perlu bersifat kreatif dan
inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Murid-murid pula harus mengambil
bahagian yang aktif agar dapat mencapai matlamat pendidikan seperti yang dinyatakan. Kaedah
mengajar yang digunakan adalah berpusatkan murid. Kaedah ini memberi penekanan kepada
murid-murid untuk menyelesaikan masalah melalui aktiviti, sumbangsaran, main peranan dan
simulasi.
Eksistensialisme
Berbanding dengan falsafah rekonstruktivisme, falsafah eksistensialisme lebih berfokuskan
kepada fitrah kewujudan manusia. Seseorang individu perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri
dan mempunyai kebebasan untuk menentukan matlamat serta membuat keputusan sendiri tanpa
merujuk kepada sebarang autoriti luar. Berpegang kepada konsep tersebut, sistem sekolah atau
guru tidak mempunyai hak untuk menekankan matlamat pendidikan kepada murid. Oleh itu,
matlamat pendidikan tidak digariskan.
Dari aspek kurikulum, falsafah eksistensialisme tidak mempunyai mata pelajaran yang
khusus kerana murid-murid bertanggungjawab ke atas pendidikan masing-masing. Namun, mata
pelajaran yang bersifat estetik dan berfalsafah masih dianggap sebagai relevan.

Guru pula hanya memainkan peranan sebagai pemangkin yang menyediakan peluang
pendidikan bagi anak murid mereka meluahkan perasaan dan emosi. Kaedah mengajar yang
digunakan adalah berpusatkan aktiviti serta berpusatkan murid. Sejajar dengan kaedah mengejar
tersebut, murid-murid digalakkan untuk melibatkan diri secara aktif agar dapat memaksimumkan
peluang pendidikan yang telah disediakan.

You might also like