15 Karangan

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 48

PANITIA BAHASA

MELAYU
SMK TENGKU
AMPUAN INTAN
TINGKATAN 4
2015

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
NAMA GURU : PN AZIRA

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
1. Sebagai setiausaha sidang redaksi majalah sekolah, anda ditugaskan untuk
menyediakan satu laporan tentang Hari Kokurikulum yang diadakan di sekolah
anda. Sediakan laporan itu selengkapnya.
Laporan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Murni
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Murni telah mengadakan Hari Kokurikulum
peringkat sekolah pada 7 Ogos 2015 melibatkan semua murid, para guru, Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, jemputan khas dan sebagainya. Majlis ini diadakan di
Dataran Murni Utama. Objektif majlis ini diadakan adalah untuk membina dan meningkatkan
semangat kerjasama dalam kalangan ahli pasukan, mewujudkan semangat persaingan sihat
dalam kalangan pelajar dan menghargai kejayaan dan kecemerlangan pelajar-pelajar
sekolah ini dalam bidang kokurikulum.
Majlis Hari Kokurikulum ini dimulakan dengan persembahan kawad kaki dan tabik
hormat oleh ahli kadet polis sekolah kepada tetamu kehormat. Majlis diteruskan dengan
ucapan alu-aluan oleh Ahli Parlimen Hulu Terengganu iaitu Dato' Haji Muhammad Hasan bin
Haji Jauhari dan seterusnya merasmikan majlis ini. Kemudian, ucapan disampaikan oleh
En. Ahmad Sulaiman bin Ahmad Othman, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan
En Mohd Omar bin Isa, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Murni.
Aktiviti sukaneka diadakan setelah berakhirnya Majlis Perasmian. Terdapat pelbagai
aktiviti sukaneka yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Antaranya adalah aktiviti larian
berhalangan, aktiviti menyelamatkan belon air, aktiviti lari dalam guni dan sebagainya.
Aktiviti ini disertai oleh sebahagian guru dan pelajar mengikut rumah sukan masing-masing.
Setiap kumpulan hendaklah mengandungi lapan orang ahli yang terdiri daripada empat
orang guru dan empat orang pelajar bagi setiap permainan. Aktiviti ini sangat
menyeronokkan kerana dapat melihat gelagat para guru dan pelajar yang bersaing sesama
kumpulan dan semangat antara rumah yang kuat. Para pelajar dan guru yang menyertai
pertandingan ini dapat mengeratkan hubungan sesama mereka di samping meningkatkan
semangat kerjasama antara setiap ahli kumpulan.

Selain itu, pameran juga diadakan oleh pihak sekolah dan agensi luar sempena hari
kokurikulum. Pameran yang diadakan ini merangkumi pameran oleh setiap ahli kelab dan
persatuan. Antara hasil kerja yang dipamerkan adalah seperti carta-carta nilai murni oleh
Kelab Pembimbing Rakan Sebaya dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Para
pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis kaligrafi, seni khat, melukis kartun dan
sebagainya secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan gambar-gambar tentang
kejayaan sekolah turut dipamerkan seperti kejayaan pasukan bola jaring sekolah yang
menjadi naib johan peringkat kebangsaan baru-baru ini. Melalui pameran ini, para pelajar
dan guru dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah
sepanjang tahun ini.
Pada pukul 10 pagi, para pelajar dan guru dapat berkunjung ke pameran yang
dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu. Terdapat pelbagai info-info
kesihatan yang dipamerkan di situ seperti penyakit berjangkit yang boleh membawa maut,
bahaya merokok, kepentingan bersenam, cara pengambilan makanan yang seimbang dan
sebagainya. Beberapa wakil daripada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu
mengadakan ceramah tentang kesihatan iaitu cara menangani tekanan dalam kalangan
pelajar dan mereka turut mengajar kami tentang cara urutan yang boleh mengurangkan
tekanan. Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu juga mengadakan pemeriksaan
kesihatan secara percuma kepada semua pengunjung.
Di samping itu, aktiviti lain yang dijalankan pada Hari Kokurikulum adalah jualan
makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata. Setiap gerai yang berniaga adalah
mengikut unit beruniform. Pelbagai makanan dijual di gerai-gerai yang terdiri daripada
makanan tradisional, kuih-muih, kek dan sebagainya. Para pelajar dan guru yang berniaga
tidak menang tangan kerana sentiasa melayan para pelanggan yang membeli di gerai
mereka. Terdapat juga gerai yang menjual cenderamata seperti baju-T, rantai kunci, dan
sebagainya dengan harga yang sangat murah menyebabkan ramai pelajar dan guru
membeli di gerai mereka.

Pada pukul 12 tengahari, para plajar dan guru berkumpul di Dewan Murni untuk
Majlis Penyampaian Penutup. Beberapa kelab dan persatuan membuat persembahan
seperti drama, nyanyian lagu, penyampaian sajak dan sebagainya bagi memeriahkan lagi
Majlis Hari Kokurikulum. Seterusnya, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada para
pemenang yang menyertai pertandingan pada hari itu dan tidak lupa juga penyampaian sijil
penghargaan kepada atlet-atlet sekolah yang telah berjaya mengharumkan nama sekolah.
Setelah selesai Majlis Penyampaian Hadiah, Tuan Pengetua menyampaikan sepatah dua
kata lalu menutupi majlis ini. Walaupun ini merupakan kali pertama pihak sekolah
menganjurkan pelbagai aktiviti yang banyak pada hari kokurikulum, namun majlis ini berhasil
dan mendapat sambutan ramai daripada para guru dan pelajar. Objektif majlis ini tercapai.
Saya berharap agar majlis seperti ini dapat diadakan pada tahun yang akan datang.
Disediakan oleh,
..........................................
(NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM)
Setiausaha Sidang Redaksi Majalah,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Murni

17 OGOS 2015

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
2. Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan
anda ialah "Pengurusan Masa Berkesan Melahirkan Individu Cemerlang".
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Pengetua sekolah, dif-dif
kehormat, panel hakim yang adil lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan seperjuangan
sekalian. Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada pagi yang mulia, berdirinya saya di
sini adalah untuk menyampaikan syarahan bertajuk " Pengurusan Masa Berkesan
Melahirkan Individu Cemerlang".
Sebelum saya memperkatakan perkara ini dengan lebih lanjut, wajarlah saya
menjelaskan tentang frasa penting yang menjadi tajuk syarahan ini terlebih dahulu. Frasa
'pengurusan masa berkesan' membawa maksud pembahagian masa dengan betul supaya
aktiviti harian seseorang dapat dijalankan dengan baik dan tidak terganggu atau juga boleh
diertikan sebagai pembahagian masa yang cekap manakala frasa 'melahirkan individu
cemerlang' pula bermaksud pembentukan sahsiah dan peribadi yang teguh dalam diri
seseorang. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa masa itu ibarat emas. Hal ini
menunjukkan bahawa masa amat bernilai dan perlu digunakan dengan sebaiknya. Setiap
orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Penggunaan masa yang
diberikan akan memberi faedah kepada mereka yang pandai mengurus masa sahaja. Oleh
itu, semua individu perlulah bijak menguruskan masa kerana dapat mendatangkan pelbagai
faedah kepada diri kita.
Hadirin-hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi memastikan masa kita diurus dengan bijak, kita perlulah menyenaraikan tugas
yang hendak dilakukan dengan terancang. Tugas-tugas tersebut perlulah disusun mengikut
keutamaan tidak kira tugas harian, mingguan atau bulanan. Susunan tugas seperti ini
sangat penting untuk mengelak daripada melakukan kerja-kerja yang tidak penting malah
dapat mendahulukan kerja atau tugas yang lebih penting. Dalam hal ini, ketepatan masa
dalam menyiapkan sesuatu tugas dapat menghasilkan kerja yang berkualiti. Sebagai
seorang pelajar, mereka digalakkan menyediakan jadual waktu belajar. Sesetengah pelajar
memandang remeh tentang jadual waktu belajar dan tidak mematuhinya walaupun mereka
sudah menetapkannya. Hal ini kerana mereka tidak menyedari bahawa jadual waktu belajar
persendirian ini dapat mendatangkan pelbagai kebaikan. Antaranya adalah dapat membantu
pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka mempunyai masa yang cukup

untuk mengulangkaji pelajaran untuk persiapan menghadapi peperiksaan. Hal ini dapat
mengelakkan pelajar daripada tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengulangkaji
peperiksaan ketika peperiksaan sudah semakin dekat. Sesungguhnya, pelajar yang berjaya
merupakan pelajar yang pandai menguruskan masa iaitu dengan mengulangkaji pelajaran
dengan lebih awal sebelum peperiksaan bak kata peribahasa sediakan payung sebelum
hujan. Tuntasnya, pengurusan masa yang terurus dapat membolehkan semua individu
menyiapkan tugasan awal sebelum tarikh akhir tugasan tersebut tamat.
Di samping itu, pelajar yang pandai menguruskan masa dengan cekap dapat
mengunakan masa mereka untuk diluangkan bersama keluarga. Pengurusan masa yang
bijak oleh seseorang pelajar menunjukkan bahawa pelajar bukan sahaja dapat
mengulangkaji pelajaran malah dapat meluangkan masa dengan keluarga seperti beriadah,
menonton televisyen bersama keluarga, berkongsi masalah dan sebagainya. Pelajar juga
dapat meluahkan rasa kasih sayang bersama keluarga menyebabkan hubungan antara ahli
keluarga semakin erat. Bagi pelajar yang tidak pandai menguruskan masa dengan baik,
fikiran mereka tidak akan tenang dan bercelaru kerana memikirkan tentang masa dengan
keluarga. Contohnya, mereka akan berasa berbelah bahagi untuk meluangkan masa
bersama keluarga atau mengulangkaji pelajaran apabila tarikh peperiksaan semakin dekat.
Sudah tentu mereka akan memilih untuk mengulangkaji pelajaran bagi mendapat keputusan
yang cemerlang dan terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga menyebabkan
hubungan kekeluargaan antara ahli keluarga renggang. Hal ini membuktikan bahawa
pengurusan masa yang cekap dapat mewujudkan keluarga yang bahagia.
Seterusnya, kita juga perlulah mengelak daripada mengamalkan sikap membuang
masa. Kita tidak boleh membuang masa dengan kegiatan yang tidak berfaedah. Hal ini
demikian kerana masa itu amat berharga dan sesungguhnya masa yang terbuang itu tidak
akan dapat dikembalikan. Jika kita membazirkan masa begitu sahaja, maka kerja yang lebih
penting akan terbengkalai. Oleh yang demikian, masa mesti diisi dengan pelbagai kegiatan
yang memberi manfaat. Contohnya, bagi pelajar-pelajar yang pandai menguruskan masa
dengan cekap, mereka akan menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti berfaedah
seperti membaca novel, membaca majalah-majalah ilmiah, beriadah, bersenam, membantu
ahli keluarga dan sebagainya. Dengan membaca buku seperti majalah ilmiah, pelajar akan
dapat mengunakan masa dengan baik dan secara tidak langsung dapat menambah ilmu
pengetahuan. Melalui aktiviti seperti beriadah dan bersenam, badan akan menjadi sihat dan
mempunyai minda yang cerdas. Hal ini menyebabkan masa yang digunakan dapat memberi
faedah kepada para pelajar.

Hadirin sekalian,
Selain itu, pengurusan masa yang berkesan juga dapat mengajar seseorang supaya
lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masa. Hal ini dapat dibuktikan apabila
pelajar berusaha untuk menyiapkan sesuatu tugas tepat pada masa yang ditetapkan.
Contoh yang dapat kita lihat bagi menunjukkan bahawa pengurusan masa itu dapat melatih
seseorang berdisiplin adalah apabila pelajar perlu melakukan kerja berdasarkan arahan dan
apa yang ditetapkan oleh diri sendiri. Apabila seseorang itu berdisiplin, orang lain akan
memandang tiggi dan yakin terhadap kebolehan kita melakukan sesuatu tugasan dan
sebagainya kerana mereka mengetahui bahawa orang tersebut tidak akan menyia-nyiakan
masa begitu sahaja dan mengatur masa dengan baik. Seseorang yang mengurus masa
dengan baik juga dapat mengelakkan seseorang itu daripada mempunyai sikap bertangguh.
Sesungguhnya orang yang bertangguh itu merupakan pencuri masa. Pelajar yang tidak
berdisiplin kebiasaannya suka menangguh tugasan yang diberikannya. Pelajar tersebut
tidak sedar bahawa apabila mereka menangguh tugasan yang diberikan oleh guru, mereka
terpaksa menyiapkan kerja pada saat-saat akhir dan dapat menyebabkan tugasan lain
tertangguh disebabkan oleh tugasan yang diberikan pada mulanya tidak disiapkan.
Kesimpulannya, sebelum saya mengundur diri, saya ingin menegaskan bahawa
pengurusan masa berkesan dapat melahirkan individu yang cemerlang. Oleh itu, setiap
masa yang dilalui hendaklah diatur dengan sebaik mungkin kerana masa yang lalu tidak
akan kembali semula. Pelbagai faedah yang dapat kita peroleh jika menguruskan masa
dengan bijak. Antaranya adalah dapat dipandang tinggi oleh masyarakat, meningkatkan
produktiviti kerja. Kita juga dapat mengejar cita-cita kita menjadi individu yang berjaya
dengan melaksanakan pengurusan masa yang baik. Peribahasa mengatakan bahawa di
mana ada kemahuan, di situ ada jalan bermaksud semua benda terpulang kepada diri kita
untuk melakukan perubahan atau sentiasa menjadi yang sama. Saya akhiri syarahan saya
pada hari ini dengan jutaan terima kasih.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
3. Sokongan dan dorongan perlu diberikan oleh keluarga terhadap anak-anak yang
mempunyai bakat dan potensi dalam bidang tertentu seperti akademik, sukan dan
kesenian. Huraikan pernyataan dia atas.
Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Ibu bapa
merupakan insan yang akan mencorakkan diri anak mereka. Corak tersebut akan
menentukan peribadi dan sikap anak-anak mereka pada masa akan datang. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa semua ibu bapa menginginkan anak mereka supaya menjadi insan
yang berguna serta berbakti kepada orang tua. Demi mencapai keinginan tersebut, ibu bapa
sanggup melakukan apa sahaja untuk anak-anak mereka dengan mencurahkan kasih
sayang yang ikhlas bagai menatang minyak yang penuh. Walau bagaimanapun, sebagai
seorang anak, mereka memerlukan bantuan dan sokongan daripada keluarga mereka
terutama ibu bapa untuk mencapai kejayaan. Sekiranya ibu bapa sering mengabaikan anakanak mereka, anak-anak mereka pasti akan terasa terabai dan menyebabkan mereka
melibatkan diri dengan gejala sosial. Oleh itu, dengan sokongan dan dorongan oleh ibu
bapa kepada anak-anak mereka, mereka mampu mengembangkan bakat dan potensi diri
mereka dalam bidang tertentu.
Antara peranan ibu bapa untuk mengembangkan bakat dan potensi anak-anak
adalah dengan mengutamakan suasana rumah tangga yang dibina iaitu dalam keadaan
kondusif. Suasana rumah yang kondusif ini bermaksud suasana rumah yang aman dan
bahagia. Keharmonian dan keceriaan rumah tangga dapat menjamin anak-anak supaya
membesar dengan dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana kehidupan yang
bahagia dapat mengelakkan keluarga daripada menghadapi masalah seperti pertengkaran
yang dapat memusnahkan hubungan dan ikatan yang kukuh antara keluarga. Perpecahan
keluarga dapat mengganggu kesejahteraan anak-anak dan juga mampu menghalang bakat
dan potensi anak-anak. Anak-anak akan berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan
seperti dalam bidang akademik untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam
peperiksaan jika tiada gangguan yang membolehkan anak-anak menghadapi tekanan.
Namun demikian, ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi memastikan
suasana di rumah menjadi kondusif untuk keselesaan anak-anak.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan dalam mengawasi pergaulan
anak-anak mereka. Pergaulan anak-anak mereka dengan rakan sebaya mempengaruhi
segala kelakuan dan tindakan mereka dalam kehidupan harian. Hal ini demikian kerana
anak-anak lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya seperti lebih mendengar dan
menyakini kata-kata rakan mereka berbanding ibu bapa mereka sendiri. Misalnya, apabila
anak-anak bergaul dengan rakan yang terlibat dalam gejala negatif seperti menghisap rokok
dan ponteng sekolah, kemungkinan untuk anak-anak mengikuti gejala tersebut adalah tinggi
menyebabkan mereka mula mengikutinya dan mengabaikan minat dan bakat mereka itu.
Bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku, ibu bapa perlu mengenal pasti latar belakang
rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku terhadap anakanak dari segi tindakan dan tingkah laku mereka. Ibu bapa harus bertindak lebih awal jika
mengesan apa-apa perubahan terhadap anak-anak. Memastikan anak-anak bergaul dengan
rakan-rakan yang mempunyai bakat dan minat yang sama juga merupakan tugas ibu bapa
supaya bidang yang diminati itu dapat digilap. Oleh itu, mengawasi perkembangan dan
pergaulan anak-anak merupakan salah satu dorongan oleh ibu bapa bagi memastikan anakanak mereka dapat menonjolkan bakat dan potensi mereka kepada rakan yang
bersependapat. Melalui cara ini, rakan tersebut dapat mendorong dan memberi sokongan
kepada anak-anak mereka supaya meneruskan usahanya.
Seterusnya, ahli keluarga perlulah menerapkan anak-anak dengan ilmu keagamaan
dan moral yang mencukupi dan teguh bagi melahirkan insan yang berguna. Pendidikan
agama dan moral ini perlulah diterapkan sejak kecil lagi bak kata peribahasa melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Pendidikan ini memastikan anak-anak dapat membezakan perkara
yang baik dan buruk serta mengelakkan daripada melakukan kejahatan yang boleh
mengundang kemurkaan Tuhan. Anak-anak juga tidak akan mudah berputus asa dalam
melakukan sesuatu perkara jika mempunyai keimanan yang teguh dalam diri. Mereka akan
lebih bersemangat dan berusaha bersungguh sungguh untuk menyerlahkan bakat dan
potensi mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti akdemik, kesukanan, kesenian dan
sebagainya. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengadakan ceramah tentang agama setiap hari
walaupun sibuk bagi memastikan setiap ahli keluarga mempunyai iman yang kukuh.
Selepas ceramah pula, ibu bapa boleh menanyakan tentang aktiviti yang dilakukan pada
hari tersebut dan masalah yang dihadapinya. Melalui cara ini, anak-anak akan berasa
seperti dihargai di samping menyelesaikan masalah yang boleh menghalang bakat dan
potensi anak-anak.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah menyediakan kemudahan yang lengkap
kepada anak-anak bagi menyokong dan mendorong bakat dan potensi anak-anak.
Contohnya, dalam bidang kesukanan dan kesenian, ibu bapa boleh membelikan peralatan
yang lengkap bagi memastikan mereka bersemangat untuk menyerlahkan bakatnya. Dalam
bidang akademik pula, ibu bapa dapat membeli buku-buku pelajaran untuk anak-anak
supaya anak-anak mempunyai rujukan yang lengkap untuk belajar. Ibu bapa juga perlu
menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak. Membawa anakanak ke tempat yang berfaedah seperti kedai buku, pameran buku dan perpustakaan dapat
menarik minat anak-anak untuk membaca buku bagi menambah ilmu pengetahuan. Ibu
bapa haruslah memberi sokongan moral dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan
atau pusat tuisyen bagi mengembangkan lagi minat dan bakat anak-anak dalam bidang
akademik manakala bidang sukan pula, ibu bapa dapat menghantar anak-anak ke tempat
latihan.
Tambahan pula, ibu bapa perlulah selalu berhubung dengan pihak sekolah bagi
bertukar-tukar pendapat tentang anak-anak. Bagi mengetahui perkembangan anak-anak,
ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan pihak sekolah untuk berbincang tentang anakanak terutama guru kelas dan guru disiplin. Dalam hal ini, ibu bapa dapat mengenal pasti
masalah anak-anak dan dapat bertindak dengan segera bagi mengelakkan anak-anak
terjebak dengan gejala yang negatif. Sesungguhnya ibu bapa perlu mengambil berat
tentang anak-anak walaupun sibuk bekerja bagi memastikan anak-anak mengembangkan
potensinya. Mereka perlu sentiasa bersedia menadah telinga untuk mendengar tentang
masalah anak-anak dan tidaklah bertindak sesuka hati terhadap mereka seperti memukul
dan mendenda mereka apabila mengetahui tentang kesalahan mereka. Hal ini kerana
apabila ibu bapa mula memukul mereka tanpa menyelidik dengan lebih lanjut, mereka akan
mudah berputus asa mengembangkan bakat mereka kerana menganggap bahawa ibu bapa
mereka tidak prihatin terhadap mereka. Masalah yang dipendam oleh anak-anak dapat
mengundang stres dan menyebabkan anak-anak tidak dapat menumpukan terhadap bakat
dan potensi mereka. Justeru itu, ibu bapa wajar berhubung dengan pihak sekolah bagi
mengetahui masalah anak mereka supaya anak-anak dapat memberi tumpuan terhadap
bakat dan potensi mereka.

Kesimpulannya, ibu bapa amatlah memainkan peranan yang penting untuk


membantu anak-anak mengembangkan minat dan bakat mereka. Ibu bapa perlulah
berusaha untuk mendorong potensi anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Jika ibu bapa
tidak memberi sokongan, maka anak-anak sukar unuk menempa kejayaan. Oleh itu,
sokongan dan dorongan daripada keluarga dapat memastikan anak-anak berjaya untuk
menyerlahkan bakat mereka dalam pelbagai bidang seperti akademik, sukan dan kesenian.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
4. Perpaduan antara kaum di Malaysia membawa pelbagai kesan baik kepada
masyarakat dan negara. Bincangkan.

Umum mengetahui bahawa negara Malaysia merupakan negara yang unik di


samping penduduknya yang terdiri daripada penduduk yang berbilang kaum. Kebanyakan
penduduk di dunia ini tertanya-tanya tentang bagaimana pemimpin di negara ini dapat
memastikan semua penduduk berada dalam keadaan yang damai tanpa sebarang
pergaduhan. Keadaan ini dapat dikekalkan kerana berlakunya toleransi dan persefahaman
antara kaum terbesar di negara kita iaitu kaum Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah
serta Sarawak. Semangat perpaduan dapat dikekalkan apabila tersematnya perasaan cinta
akan perpaduan negara dalam diri setiap penduduk di Malaysia terutama anak-anak muda
yang akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Perpaduan di negara kita
juga dapat diibaratkan sebagai tulang belakang kepada kegemilangan di negara kita. Oleh
itu, kita perlulah menyedari bahawa perpaduan kaum mendatangkan pelbagai kepentingan
kepada seluruh rakyat Malaysia.
Antara kepentingan perpaduan kaum di Malaysia adalah dapat menarik kedatangan
pelancong asing ke negara kita. Hal ini penting kerana industri pelancongan berkait rapat
dengan kestabilan dan keaamanan sesebuah negara. Keamanan negara merupakan kunci
utama untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Pelancong asing tidak akan
datang ke sesebuah negara yang kacau-bilau dan tidak aman walaupun di negara tersebut
terdapat pelbagai tempat tarikan pelancong kerana dapat menjejaskan keselamatan mereka
apabila berlaku pertelingkahan. Hasil perpaduan rakyat, pelancong asing berduyun-duyun
melancong ke negara kita. Kedatangan mereka semestinya dapat memberi kebaikan
kepada penduduk tempatan dan pengusaha industri pelancongan. Kita dapat melihat sendiri
kedatangan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara yang mengunjungi pulaupulau peranginan di negara kita. Keadaan ini berlaku kerana sumbangan penduduk di
negara kita yang hidup bersatu padu.

Selain itu, perpaduan juga penting untuk memajukan ekonomi negara. Apabila
perpaduan kaum diamalkan oleh rakyat Malaysia, penindasan ekonomi tidak akan berlaku
kerana semua rakyat bersatu padu. Hal ini dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam
perniagaan tanpa wujudnya perasaan hasad dengki. Misalnya, persaingan yang berlaku
dalam dunia perniagaan. Keharmonian masyarakat majmuk ini juga dapat meningkatkan
keyakinan pelabur asing untuk melabur di negara kita. Negara yang aman dapat menjamin
ekonomi dan politik yang stabil. Apabila negara kita huru-hara, pelabur asing tidak akan
berani menanggung risiko untuk melabur di negara kita bagi mengelakkan kerugian.
Kedatangan pelabur asing ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di
samping meningkatkan pendapatan negara.
Di samping itu, perpaduan kaum amat penting untuk menjamin kekuatan dan
kestabilan negara. Dengan kekuatan dan kestabilan tersebut, negara dapat merangka
pelbagai agenda untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara. Setelah
separuh abad negara kita mencapai kemerdekaan, banyak kemajuan yang telah dicapai
seperti kestabilan dalam bidang politik, kemajuan dalam bidang pembangunan, pendidikan
dan sebagainya. Kegiatan ekonomi yang kian membangun telah dapat meningkatkan taraf
hidup rakyat. Tanpa perpaduan dan kestabilan negara, sudah tentu negara kita tidak akan
maju seperti sekarang. Kita boleh melihat negara yang terlibat dengan peperangan dan
perkelahian antara penduduk menyebabkan kemunduran dan perpecahan. Namun begitu,
penduduk di negara kita mempunyai fikiran yang matang dan sedar bahawa perpaduan
penting untuk meningkatkan kemajuan negara.
Seterusnya, keamanan negara turut dapat dipertingkatkan apabila semangat
perpaduan kaum dibenamkan dalam jiwa anak-anak muda kini. Seperti yang kita ketahui,
tanpa perpaduan kaum, pertelingkahan akan berlaku antara rakyat menyebabkan suasana
hidup porak-peranda. Hal ini kerana rakyat akan bergaduh sesama sendiri sehingga
menghancurkan keamanan sesebuah negara yang dibina itu. Peristiwa 13 Mei yang
merupakan peristiwa rusuhan kaum besar-besaran yang melibatkan pertumpahan darah
dan kerosakan harta benda. Peristiwa ini mempunyai kaitan rapat dengan pilihan raya
umum dan merupakan satu titik hitam dalam sejarah di negara kita. Bagi mengelakkan
daripada peristiwa seperti ini berlaku dan boleh menggugat keamanan negara, perpaduan
kaum perlulah diterapkan dalam diri anak-anak muda sejak kecil. Bak kata peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kesimpulannya, pihak kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengekalkan


perpaduan kaum di negara kita. Sehubungan dengan itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang
berwibawa tidak perlu mengharapkan kerajaan semata-mata dalam mewujudkan perpaduan
kaum. Janganlah kita bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing
kerana perpaduan kaum itu hanya boleh dikekalkan apabila semua kaum bekerjasama dan
bertolak ansur dalam semua perkara. Oleh yang demikian, walaupun ada perbezaan idea
politik antara kaum, kita harus mengawalnya supaya situasi tidak akan menjadi bertambah
tegang bagi menjaga hubungan baik antara masyarakat yang telah terbina sekian lama.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
5. Usaha kerajaan memajukan bidang pertanian memang wajar kerana bidang ini
memberikan pelbagai kebaikan kepada rakyat dan negara. Bincangkan.
Dasawarsa ini, sektor pertanian mendatangkan pelbagai kepentingan terutama
kepada pembangunan sesebuah negara. Di Malaysia, kerajaan telah melaksanakan
pelbagai usaha untuk menarik minat rakyat menceburi bidang pertanian. Rentetan usahausaha kerajaan yang tidak mengenal penat lelah menyebabkan rakyat mulai sedar bahawa
pertanian mendatangkan hasil yang lumayan kepada semua orang tetapi belum diterokai
lagi. Pada zaman dahulu, penduduk di negara kita sudah mengusahakan tanaman tetapi
hasilnya bukanlah untuk perdagangan dan mendapat keuntungan malah hanyalah untuk
sara diri dan bercorak tradisional. Usaha kerajaan kini adalah untuk mengubah persepsi
rakyat terhadap bidang pertanian dan membuktikan bahawa pertanian mampu
dikomersialkan. Sebagai contoh, negara China kini merupakan pengeluar utama produk
pertanian di dunia menyebabkan negaranya berkembang pesat seiring dengan kemajuan
dalam bidang pertanian. Hal ini menunjukkan bahawa industri pertanian ini mendatangkan
pelbagai manfaat kepada semua individu yang mengusahakannya.
Antara faedah bidang pertanian kepada negara adalah dapat meningkatkan sumber
pendapatan negara. Pertanian mampu memperoleh hasil lumayan kepada negara kita
dengan mengeksport hasil pertanian ke luar negara. Pengeksportan hasil pertanian ini kian
mendapat sambutan daripada negara luar terutama negara yang mementingkan kemajuan
dalam aspek infrastruktur tanpa menyedari bahawa negara mereka kekurangan tanah untuk
menjalankan kegiatan pertanian. Hal ini menyebabkan pulangan yang diperolehi negara
melalui industri pertanian meningkat saban tahun. Usaha memajukan sektor pertanian ini
perlulah dijalankan secara brterusan dan tidaklah seperti melepaskan batuk di tangga.
Antara hasil pertanian yang popular di Malaysia adalah teh dan kelapa sawit. Tanaman teh
di kawasan-kawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron telah mengangkat nama
Malaysia sebagai salah satu pengeluar teh berkualiti tinggi di Asia. Walau bagaimanapun,
terdapat banyak tanaman lain yang boleh diusahakan dengan giat seperti padi, sayursayuran dan buah-buahan. Hal ini menunjukkan bahawa industri pertanian ini
sememangnya mampu meningkatkan pendapatan sesebuah negara.

Selain itu, industri pertanian juga dapat menambah peluang pekerjaan untuk
masyarakat di negara kita. Di negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian
menyumbang separuh daripada peluang pekerjaan yang terdapat di negara kita. Pekerjaan
dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan
pemasaran . Masyarakat yang tinggal di desa sememangnya bergantung kepada sektor ini
kerana mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah
didapati. Pekerjaan dalam bidang pertanian ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi
berbanding kerja profesional yang lain. Oleh itu, kegiatan pertanian ini boleh diusahakan
oleh sesiapa sahaja yang rajin walaupun mereka kurang terpelajar atau pengganggur yang
masih mencari kerja. Tambahan pula, kegiatan ini dapat mengurangkan kadar
pengangguran di negara kita. Usaha kerajaan yang sering memperkenalkan bidang
pertanian dengan kaedah moden menyebabkan ramai golongan muda berminat untuk
menjadi usahawan pada usia muda dan berani mengusahakan pertanian skala besar seperti
pengusahaan ladang sayur secara besar-besaran.
Di samping itu, bidang pertanian boleh mengurangkan import bahan-bahan mentah
dari luar negara. Melalui bidang pertanian, negara kita boleh mengelakkan pergantungan
negara terhadap bekalan makanan dari luar negara. Hal ini demikian kerana kadar
pertumbuhan pesat di negara kita yang semestinya memerlukan jumlah makanan yang lebih
besar. Pertanian ini wajar dikembangkan kerana bahan makanan asas seperti beras, gula
dan bijirin lain sesuai ditanam di negara kita dengan keadaan tanih dan suhu yang sesuai.
Pengurangan import barangan mentah ini juga dapat menjimatkan wang negara yang
sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara. Bagi merealisasikan pengurangan
kadar import, kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk membuat kajian berkaitan
dengan bidang pertanian supaya hasil pertanian bermutu dan dapat dihasilkan dalam
kuantiti yang banyak. Contohnya, kerajaan berusaha menghasilkan padi dua kali setahun
untuk menampung permintaan rakyat dan sekarang kerajaan masih berusaha supaya padi
dapat dihasilkan lima kali dalam setahun. Pelbagai kaedah dilakukan untuk meningkatkan
hasil padi tempatan kerana jika pertanian diabaikan, harga bahan-bahan mentah akan
melambung tinggi.
Industri pertanian juga mampu mengembangkan industri yang berasaskan pertanian.
Contohnya, kewujudan kilang kelapa sawit membolehkan kelapa sawit dapat diproses dalam
kuantiti yang banyak dengan bermutu. Kewujudan kilang pemprosesan padi membolehkan
padi diasingkan mengikut kualitinya dan menambah lagi kualiti padi tersebut dengan
penerokaan dalam bidang pertanian melalui kaedah penyelidikan. Selain itu, industri hiliran

seperti makanan ringan berasaskan bahan pertanian juga akan wujud bagi meningkatkan
lagi kepelbagaian sesuatu hasil. Contoh makanan berasaskan pertanian adalah keropok,
kerepek, jeruk buah-buahan,dan sebagainya. Industri hiliran ini berkembang dan mendapat
sambutan yang baik daripada masyarakat di dalam dan luar negara dan mempelbagaikan
sumber pendapatan serta memperluas bidang pekerjaan.
Seterusnya, bidang pertanian juga menyumbang kepada industri perlancongan. Hal
ini kerana kawasan pertanian boleh menyumbang kepada keindahan alam dengan kawasan
yang hijau dan saujana mata memandang. Kawasan seperti ini juga mendapat tumpuan
kerana dapat mengurangkan tekanan apabila seseorang itu menghirup udara segar dan
melihat pemandangan yang indah di kawasan pertanian tersebut. Contoh kawasan
pertanian yang popular dalam kalangan pelancong adalah kawasan tanaman padi di Kedah
dan di beberapa kawasan lain seperti tanaman teh di kawasan tanah tinggi Cameron.
Keindahan tempat tersebut menarik minat pelancong mengunjunginya dan menjadikan
tempat ini sebagai tempat untuk menenangkan fikiran.
Kesimpulannya, kepesatan industri pertanian di sesebuah negara akan membawa
keuntungan yang besar kepada negara itu sendiri. Sektor pertanian juga mempunyai asas
yang kukuh dan mempunyai potensi yang baik untuk dimajukan. Kita harus berusaha
menggunakan kepakaran yang ada untuk memajukan bidang ini bagi memastikan
kestabilan ekonomi yang kukuh. Kejayaan negara luar juga dapat dijadikan contoh teladan
untuk kita memajukan negara. Bagi merealisasikan negara yang maju, semua pihak
hendaklah memainkan peranan dalam bidang pertanian dengan bantuan kerajaan supaya
bidang ini berkembang dengan lebih pesat dan menjadi penyumbang utama kepada
kemajuan ekonomi, pembangunan dan kewangan negara.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
5. Usaha membanteras penyeludupan dadah memerlukan kerjasama antara negaranegara di dunia. Jelaskan bentuk-bentuk kerjasama tersebut.
Belakangan ini, negara kita semakin berkembang pesat seiring dengan
pembangunan ekonomi, politik dan sosial yang semakin gah di mata dunia. Namun begitu,
di sebalik kejayaan itu, kita masih digemparkan dengan masalah penyeludupan dadah
dalam kalangan rakyat di negara kita mahupun negara luar. Penyeludupan boleh
didefinisikan sebagai membawa masuk barang-barang bercukai atau larangan ke Malaysia
atau ke luar dari Malaysia secara tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang yang
ditetapkan oleh negara. Dadah pula membawa maksud bahan-bahan kimia sama ada asli
atau tiruan yang dimasukkan ke dalam tubuh badan secara disuntik, dihidu atau dihisap
yang boleh mengubah fungsi tubuh badan seseorang dari segi mental dan fizikal.
Sememangnya semua orang mengetahui bahawa penagih dadah sukar untuk berhenti
menghisap dadah kerana peratus nikotin yang tinggi dalam najis dadah menyebabkan
ketagihan. Penyeludupan dadah merupakan punca rakyat di Malaysia menjadi penagih
dadah kerana sebelum ini, belum ada kes pembuatan dadah di negara kita. Oleh hal yang
demikian, kita haruslah melaksanakan beberapa langkah untuk membanteras penyeludupan
dadah melalui kerjasama antara negara-negara di dunia.
Langkah pertama yang boleh dilakukan untuk membanteras penyeludupan dadah
adalah dengan mengadakan kawalan ketat di pintu sempadan setiap negara. Pihak berwajib
perlulah membina tembok di sempadan sesebuah negara dengan negara lain supaya
penyeludupan dadah dapat dikawal. Contoh sempadan di negara kita yang perlu dikawal
adalah di Tambak Johor, sempadan Kedah/Thailand dan sempadan Kelantan Thailand.
Kawasan pesisir pantai dan lapangan terbang juga perlu dikawal ketat oleh pihak berwajib
dengan menggunakan teknologi moden seperti alat pengesan dadah dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, kawalan ini bukan sahaja perlu dijalankan oleh sesetengah negara
malah hendaklah dijalankan oleh semua negara bagi mengurangkan aktiviti penyeludupan
dadah ini. Contoh aktiviti yang perlu dikawal adalah seperti pengawalan penyeludupan
dadah, pemprosesan dadah secara haram untuk tujuan dihantar ke negara lain dan
sebagainya.

Selain itu, kempen antidadah juga dapat dijalankan untuk membanteras


penyeludupan najis dadah. Melalui kempen seperti ini, pihak Penubuhan Agensi Dadah
(AADK) dapat memperkenalkan kepada seluruh rakyat di negara kita tentang jenis-jenis
dadah. Hal ini penting kerana sesetengah penagih dadah yang mengambil dadah pada
mulanya kerana mereka tidak tahu atau mengenali bahawa bahan yang dimakan itu
merupakan dadah. Mereka hanya mengambilnya kerana menganggapnya sebagai pil
penenang dan mula tertagih. Hal ini demikian kerana dadah tampil dalam pelbagai bentuk
seperti serbuk, pil dan sebagainya menyebabkan sesetengah orang keliru. Melalui kempen
ini juga, rakyat dapat didedahkan kepada kesan buruk dadah supaya rakyat sedar bahawa
penyeludupan dadah hendaklah dibanteras sekeras-kerasnya.
Di samping itu, pihak kerajaan hendaklah memperkukuhkan kerjasama di peringkat
antarabangsa dengan negara-negara luar untuk membanteras dadah. Kerjasama ini juga
perlu diperluaskan ke peringkat ASEAN bagi mengatasi penyeludupan dadah. Melalui
kerjasama ini, peranan perlulah dimainkan oleh kerajaan setiap negara , pemimpin dan
masyarakat. Antara peranan pengawalan penggunaan dadah adalah dengan membanteras
pengeluaran dan kemasukan dadah. Kerajaan juga perlu menubuhkan lebih banyak pusat
pemulihan kepada golongan penagih dadah terutamanya yang ingin berubah. Penubuhan
pusat pemulihan ini dapat mengurangkan bilangan penagih dadah di samping
mengurangkan lagi penyeludupan dadah kerana semakin kurang bilangan penagih dadah.
Seterusnya, kerajaan juga perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan
dengan penyeludupan dadah. Undang-undang yang longgar menyebabkan penyeludupan
dan pengedaran dadah semakin berleluasa. Oleh itu, kerajaan mengambil langkah yang
lebih efektif untuk membendungnya dengan memperketatkan undang-undang negara
berkaitan dengan najis dadah ini. Kerajaan dapat mengenakan tindakan yang tegas
terhadap pesalah seperti hukuman berat yang setimpal dengan perbuatannya. Contohnya,
hubungan gantung sampai mati, penjara seumur hidup dan sebagainya berdasarkan jenis
kesalahan yang dilakukannya. Tindakan tegas ini dapat menyedarkan masyarakat tentang
bahaya dadah bak kata peribahasa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada
gunanya.
Usaha lain untuk membanteras penyeludupan dadah adalah melalui pendidikan di
rumah dan sekolah. Pendedahan tentang bahaya dadah hendaklah bermula daripada kecil
supaya kanak-kanak mengetahui dan menghindari dadah dari kecil. Pendidikan berkaitan
dengan dadah ini juga perlu diadakan di setiap negara di dunia dengan menjelaskan

kegunaan sebenar dadah kepada kanak-kanak iaitu hanyalah untuk perubatan. Walau
bagaimanapun, pengambilan dadah secara berlebihan atau tidak mengikut panduan yang
ditetapkan akan menyebabkan seseorang itu tertagih dan dapat membawa kepada masalah
kesihatan.
Kesimpulannya, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah bekerjasama dengan pihak
kerajaan seperti peribahasa Melayu bagai aur dengan tebing untuk mencegah penagihan
dadah. Apabila negara kita mengandungi ramai penagih dadah, sudah pasti negara akan
porak peranda menyebabkan banyak kecurian dan kejadian jenayah berlaku serta institusi
keluarga akan musnah. Hal ini berlaku kerana dadah memerlukan wang untuk membeli
dadah dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit. Jika penyeludupan
dadah tidak berlaku, maka tidak berlakunya penagihan akibat dadah. Oleh itu, langkah yang
efisien perlu dilakukan mulai sekarang bagi memastikan negara bebas daripada dadah.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
7. Kerjasama Malaysia dengan negara-negara serantau seperti ASEAN mampu
menjamin keselamatan dan kemakmuran negara. Ulaskan.
Dasawarsa ini, setiap negara yang ingin maju dalam pelbagai bidang perlulah
menjalinkan hubungan serantau atau juga dikenali sebagai hubungan diplomatik dengan
negara-negara lain. Hubungan serantau bermaksud kerjasama di antara sebuah negara
dengan negara-negara lain demi kepentingan masing-masing. Negara kita, Malaysia juga
mengadakan hubungan serantau dengan negara lain bagi mencapai matlamatnya iaitu bagi
menjamin keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara. Matlamat ini juga
adalah untuk mengekalkan kedaulatan negara, menggalakkan pembangunan ekonomi serta
keamanan melalui kerjasama antarabangsa. Hubungan Malaysia dengan negara-negara
lain dapat dipereratkan melalui hubungan ini dalam semua bidang termasuklah bidang
politik, perdagangan dan pelancongan. Hal ini menunjukkan bahawa kerjasama negara kita
dengan negara-negara serantau seperti ASEAN memberikan banyak faedah dan
kepentingan kepada rakyat dan negara.
Antara kebaikan menjalinkan hubungan yang baik dengan negara serantau adalah
dapat meningkatkan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana setelah penubuhan zon
bebas cukai antara negara ASEAN maka telah wujudnya pasaran untuk pengeksport
Malaysia yang berpotensi besar mengeksport barangannya ke negara kita mengikut
piawaian produk yang ditetapkan. Melalui penubuhan zon bebas cukai ini, rakyat dari negara
ASEAN ini boleh membeli barangan yang berkualiti daripada negara luar di samping
membantu persaingan yang sihat antara setiap pedagang dari luar dan dalam negara. Oleh
itu, bagi meningkatkan imej negara, pedagang dari negara kita hendaklah berusaha
bersungguh-sungguh untuk menguasai pasaran antarabangsa ini. Rakyat akan memilih
barangan yang berkualiti tanpa mengira harga walaupun barangan tersebut mahal
harganya. Justeru itu, hubungan yang baik antara negara serantau membuktikan bahawa
hubungan ini dapat memakmurkan ekonomi negara kita.

Selain itu, hubungan baik yang dijalin dengan negara serantau dapat memudahkan
bantuan. Negara-negara di dunia hanya akan menghulurkan bantuan kepada negaranegara yang mempunyai hubungan yang baik dengan mereka sahaja. Jika kita tidak
menjalin hubungan baik dengan negara lain dan tidak membantu antara satu sama lain,
sudah tentu tiada negara yang ingin membantu kita jika berlaku bencana atau musibah.
Contohnya, apabila negara serantau menghadapi musibah, kita perlu bersedia untuk
membantu mereka dengan mendermakan wang, pakaian, makanan dan menghantar
sukarelawan ke negara tersebut yang terdiri daripada doktor, orang awam dan sebagainya.
Rakyat di negara tersebut akan memandang tinggi terhadap tindakan negara kita membantu
mereka menyebabkan mereka tidak was-was membantu kita apabila ditimpa bencana
kerana hubungan yang erat telah terjalin ketika kita membantu mereka dan begitulah
sebaliknya.
Di samping itu, kestabilan politik di negara kita dapat dijamin jika mempunyai
hubungan baik dengan negara serantau. Hal ini demikian kerana rakyat di Malaysia dapat
hidup dengan aman jika politik di negara Malaysia stabil. Seperti yang kita semua ketahui,
rakyat Malaysia merupakan rakyat yang berbilang kaum. Ketidakstabilan politik dapat
menyebabkan pertelingkahan terutama antara kaum menyebabkan semangat antara kaum
semakin tinggi. Oleh itu, bagi mengelakkan daripada perkara seperti ini berlaku, negara kita
telah menyertai anggota ASEAN.
Seterusnya, hubungan serantau yang terjalin antara negara Malaysia dengan
negara-negara lain juga dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di negara kita. Melalui
hubungan ini, syarikat-syarikat yang besar dari negara luar akan membuka kilang-kilang
industri mereka di Malaysia. Pembukaan kilang ini bukan sahaja dapat memastikan rakyat
dapat membeli barangan yang berkualiti malah dapat menambah lebih banyak peluang
pekerjaan kepada penduduk di negara kita. Oleh itu, taraf hidup masyarakat di negara kita
juga akan meningkat. Peluang pekerjaan yang banyak ini juga dapat mengurangkan kadar
pengangguran di negara kita.
Sektor pelancongan juga akan bertambah maju apabila negara kita menjalin
hubungan dengan negara-negara lain. Hal ini demikian kerana kedatangan pelancong asing
ke negara kita ini sebahagian besarnya disebabkan oleh hubungan yang erat antara negara.
Kerjasama yang erat ini dapat menyebabkan pelancong asing berasa selamat dan aman
untuk berkunjung ke negara kita. Keselamatan pelancong asing akan terjamin daripada
perkara yang boleh merosakkan imej negara.

Malaysia telah menyumbang kepada idea untuk memastikan negara aman, bebas
dan berkecuali kepada negara-negara Asia Tenggara. Cadangan ini amat bernas kerana
dapat mengekalkan keamanan negara. Sehubungan dengan itu, negara kita tidak akan
berperang dengan negara lain atau melibatkan diri dengan konflik antara negara serantau.
Kita dapat mengelakkan campur tangan kuasa asing dalam pentadbiran negara kita yang
boleh menyebabkan pentadbiran huru-hara apabila mempunyai hubungan yang erat antara
negara serantau. Jika ada berlaku konflik atau ketidaksefahaman, kita dapat
menyelesaikannya dengan rundingan dan bukanlah dengan peperangan. Natijahnya,
negara kita yang ingin mengekalkan keharmonian dan keamanan negara perlu menjalinkan
hubungan serantau dengan negara lain.
Kesimpulannya, negara kita haruslah menjalin hubungan yang baik dengan negara
serantau seperti ASEAN kerana dapat mendatangkan pelbagai kepentingan dan
keuntungan kepada rakyat dan negara. Setelah menjalinkan hubungan tersebut, para
pemimpin perlulah menjaga hubungan baik ini supaya kekal selama-lamanya. Semakin
banyak hubungan yang dijalinkan dengan negara lain, maka negara kita akan menjadi
semakin aman dan selamat kerana dapat meminta bantuan daripada negara tersebut
apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini. Hubungan ini tidak boleh dipandang remeh
kerana melibatkan keselamatan dan keamanan rakyat dan negara.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
8. Minat murid-murid terhadap karya sastera seperti novel, cerpen, puisi dan drama
perlu dipupuk sejak awal lagi. Huraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk
memupuk minat murid terhadap karya sastera.
Karya sastera boleh didefinisikan sebagai wadah atau sarana yang menyatakan
tentang dunia masyarakat dan zamannya. Karya sastera merupakan karya yang mempunyai
daya kreatif yang asli dan tersendiri. Karya ini dihasilkan oleh sasterawan terbilang yang
kaya dengan ilmu tersendiri seperti Ibnu Khaldun. Pada zaman dahulu, karya sastera amat
diminati oleh semua penduduk di Tanah Melayu. Namun begitu, pada zaman berteknologi
tinggi ini, orang ramai lebih memilih untuk memiliki sebuah komputer bagi mendapatkan
maklumat daripada internet berbanding mencari maklumat atau membaca dari buku. Hal ini
menyebabkan minat membaca karya-karya sastera dalam kalangan rakyat semakin pudar
dengan kehadiran alatan elektronik berteknologi tinggi seperti komputer, telefon pintar dan
sebagainya. Malah, kebanyakan murid di sekolah tidak mengenali karya sastera yang
dihasilkan oleh sasterawan negara yang terkenal. Hal ini tidak boleh dipandang remeh
kerana karya sastera ini merupakan warisan bangsa yang menunjukkan identiti bangsa kita.
Oleh itu, pelbagai aktiviti perlu dilakukan bagi memupuk minat murid terhadap karya sastera.
Antaranya adalah dengan mengadakan pertandingan menulis karya sastera. Pihak
sekolah boleh menganjurkan pertandingan seperti ini setiap tahun dan menjadikannya
sebagai salah satu pertandingan yang wajib diadakan pada setiap tahun. Hadiah-hadiah
lumayan juga perlulah disediakan bagi menarik minat pelajar menyertainya. Pelbagai genre
boleh dipertandingkan seperti cerpen, puisi, drama pendek dan sebagainya. Melalui
pertandingan ini, murid-murid akan belajar tentang karya sastera dan membuat kajian
berkaitan dengannya bagi menghasilkan ulasan yang baik dan sekali gus memenangi
pertandingan tersebut. Pertandingan ini juga mendatangkan pelbagai manfaat kepada
murid-murid seperti dapat menarik minat murid-murid supaya mencintai karya-karya sastera
setelah membaca dan memahaminya. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta.

Selain itu, acara deklamasi puisi juga dapat diadakan di sekolah bagi menarik minat
lebih ramai murid terhadap karya sastera. Acara seperti ini dapat memperkenalkan puisi
dengan lebih dekat kepada murid-murid. Murid-murid dapat mengetahui jenis-jenis puisi
yang terdapat dalam karya sastera iaitu puisi tradisonal yang terdiri daripada pantun, syair,
seloka dan gurindam serta puisi moden yang terdiri daripada sajak. Murid-murid juga boleh
mempelajari ciri-ciri setiap puisi dan cara-cara mendeklamasikannya. Hadiah hendaklah
ditawarkan kepada peserta dan pemenang yang menyertai pertandingan deklamasi melalui
acara ini. Acara seperti ini dapat membolehkan murid-murid meminati karya-karya sastera
bercorak puisi. Walau bagaimanapun, guru-guru perlulah menggalakkan murid-murid
menggunakan puisi dalam ucapan pada majlis sekolah seperti perhimpunan rasmi sekolah,
Majlis Hari Kokurikulum dan sebagainya dalam konteks memberi sokongan dan dorongan
kepada murid-murid.
Di samping itu, pertandingan berbalas pantun juga boleh diadakan oleh pihak
sekolah kepada semua murid di sekolah. Pada mulanya, pertandingan ini boleh diadakan
antara tingkatan atau kelas. Pihak sekolah perlu menetapkan peraturan supaya tiada
pengecualian terhadap setiap murid agar semua murid dapat belajar berkaitan dengan
pantun. Murid-murid akan mengkaji sendiri teknik menulis pantun, gaya berpantun dan
sebagainya. Apabila murid itu mengusahakannya dan bersungguh-sungguh untuk
memenangi pertandingan ini, secara tidak langsung murid tersebut akan mahir dan cinta
akan bahasa setelah menelaah karya sastera. Bagi pemenang setiap tingkatan, murid
tersebut perlu ditandingkan mengikut peringkat seperti menengah rendah dan atas. Bakat
murid yang pandai berpantun perlu dipertengahkan oleh guru untuk mewakili sekolah ke
peringkat yang lebih tinggi. Hal ini membuktikan bahawa pertandingan ini dapat
memudahkan guru memilih wakil untuk pertandingan berbalas pantung dan sekali gus dapat
menerokai bakat terpendam murid-murid. Bak kata peribahasa, sambil menyelam minum air.
Seterusnya, guru-guru juga boleh mengusulkan kepada pihak sekolah supaya
mengadakan pertunjukan drama pentas kepada murid-murid yang berminat untuk
menyertainya. Pertunjukan ini boleh dijadikan sebagai acara bulanan atau tahunan dan
mewajibkan setiap tingkatan menghantar wakil yang berminat. Teks drama itu boleh diambil
daripada teks Komponen Sastera mengikut silibus yang ditetapkan oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia. Murid-murid akan mengetahui cara berdrama, teknik dan sebagainya
dengan bimbingan guru mereka. Murid juga boleh mencari info tambahan tentang drama
yang disertainya dengan lebih terperinci melalui internet. Pertunjukan drama pentas ini juga
memberi kebaikan kepada murid iaitu dapat mengasah bakat murid di samping memahami
dengan lebih mendalam tentang mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah. Bak kata

peribahasa, sambil menyelam minum air. Oleh itu, pertunjukan ini wajar diadakan di sekolah
kerana mendatangkan pelbagai kebaikan kepada semua murid yang menyertainya.
Tambahan pula, pihak sekolah boleh mengadakan ceramah dan menganjurkan
lawatan sambil belajar untuk menarik minat murid-murid mendalami ilmu sastera. Pihak
sekolah dapat menjemput penceramah yang berkaitan dengan sastera yang dikenali ramai.
Misalnya, penulis buku yang terkenal, penerbit buku, sasterawan dan sebagainya.
Penceramah tersebut mestilah tidak hanya bercakap berkaitan dengan sastera sahaja
sepanjang masa, malah perlulah ditambah dengan unsur lawak yang dapat menarik minat
para murid mendengarinya. Pihak sekolah dapat menganjurkan lawatan sambil belajar ke
tempat-tempat berkaitan sastera seperti syarikat penerbitan buku yang terkenal. Murid-murid
yang menyertai lawatan ini akan mengetahui dengan lebih mendalam tentang sastera.

Kesimpulannya, kemahuan murid sendiri untuk meminati bidang sastera amat


penting supaya warisan budaya seperti karya sastera diamalkan dan tidak dilupakan dek
zaman yang kian maju dalam pembangunan. Walau bagaimanapun, guru juga perlu
memikirkan pelbagai kaedah untuk menarik minat murid terhadap karya sastera. Hal ini
kerana sesetengah murid malu untuk menonjolkan bakat mereka sendiri. Pelbagai aktiviti
yang difikirkan itu hendaklah sesuai dan boleh dipraktikkan oleh murid agar murid dapat
mengenal dan menghayati hasil-hasil sastera.Karya-karya sastera ini amat ditekankan
kepada murid-murid oleh guru kerana murid-murid ini merupakan generasi muda yang akan
memerintah negara pada masa akan datang. Karya sastera ini diajar ketika kecil supaya
dipraktikkan dan diingati ketika pada masa akan datang.NAMA : NUR ZAHIRAH BT
BADRUL SHAM
TINGKATAN : 4 IBNU SINA
9.Pelbagai masalah timbul dalam keluarga seperti masalah kewangan, masalah anakanak dan masalah yang melibatkan ibu bapa itu sendiri. Keadaan ini menimbulkan
tekanan atau stres kepada setiap ahli keluarga. Huraikan langkah-langkah yang boleh
dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam menghadapi tekanan atau stres ke arah
melahirkan keluarga yang bahagia.
Belakangan ini, setiap manusia tidak akan terlepas dengan masalah tekanan dalam
kehidupan mereka. Walau bagaimanapun, tekanan yang dihadapi oleh setiap individu itu
mempunyai tahap yang berbeza. Sesetengah orang menghadapi tekanan dan boleh
mengawalnya dan sebahagian yang lain pula tidak dapat mengawalnya sehingga
menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti penderaan kanak-kanak, suami
membunuh isteri, dan sebagainya. Perkara ini sememangnya berpunca daripada masalah
yang timbul dalam keluarga seperti masalah kewangan, masalah anak-anak dan masalah
yang melibatkan ibu bapa itu sendiri. Keadaan ini dapat menimbulkan tekanan atau stres
kepada setiap ahli keluarga. Hal ini dapat menyebabkan keluarga menjadi huru-hara dan
hubungan antara keluarga menjadi renggang. Selain itu, perkara ini juga dapat
menimbulkan ketidaksefahaman antara ahli keluarga dan dapat menjejaskan akademik
anak-anak. Oleh itu, kita hendaklah mematuhi langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh
setiap ahli keluarga dalam menghadapi tekanan atau stres ke arah melahirkan keluarga
yang bahagia.
Antara langkah yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam menghadapi
tekanan atau stres ke arah melahirkan keluarga yang bahagia adalah dengan mengambil
tahu masalah ahli-ahli keluarga dan cuba untuk menyelesaikan masalah itu bersama. Ibu

bapa perlulah prihatin terhadap masalah yang ditanggung oleh anak-anak. Mereka boleh
menanyakan masalah anak-anak mereka secara langsung pada setiap hari selepas makan
atau ketika menonton televisyen. Ibu bapa perlu sentiasa berhubung dengan guru kelas
anak mereka bagi mengetahui masalah anak mereka di sekolah jika anak mereka enggan
memberitahu mereka. Hal ini penting untuk memastikan anak-anak tidak perlu memikul
masalah yang rumit sendirian. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Masalah tersebut dapat menyebabkan tekanan kepada anak-anak jika dipendam sendirian.
Tekanan itu dapat mengganggu kehidupan seharian anak-anak dan menyebabkan anakanak suka bersendirian dan tidak mahu rapat serta menceritakan kepada ahli keluarga
Selain itu, setiap ahli keluarga juga perlu memastikan institusi keluarga kukuh bagi
melahirkan keluarga bahagia yang dapat menghindari daripada tekanan atau stres.
Hubungan kekeluargaan antara ahli-ahli keluarga mestilah mantap dan tidak mudah
dibebani oleh masalah. Jika terdapat masalah yang berlaku antara ahli keluarga, maka
hubungan yang baik dan mantap antara ahli keluarga dapat mengatasi masalah itu dengan
mudah. Hal ini kerana wujudnya persefahaman antara ahli keluarga menyebabkan anakanak atau ahli keluarga tidak berasa takut untuk meluahkan masalah mereka. Ibu bapa tidak
seharusnya marah atau maki hamun terhadap kesalahan yang telah dilakukan oleh anak
mereka, malah mereka perlu menegur dengan baik dan menasihatinya supaya tidak
melakukan perkara negatif. Ibu bapa perlu mencari jalan terbaik agar anak-anak berubah
dan kembali ke jalan yang betul. Apabila ahli keluarga mula bergaduh, maka ahli keluarga
lain yang menghadapi masalah itu akan enggan menceritakan masalah mereka kerana takut
bahawa masalah itu dapat merumitkan lagi keadaan keluarga. Jelaslah bahawa institusi
keluarga yang kukuh dapat melahirkan keluarga yang bahagia.
Di samping itu, ibu bapa atau ahli keluarga yang lebih tua perlulah menunjukkan
teladan yang baik kepada anak-anak atau adik-adik mereka bagi melahirkan keluarga
bahagia yang bebas daripada tekanan dan stres. Hal ini demikian kerana anak-anak akan
menjadikan ibu bapa mereka sebagai panduan dalam menjalani kehidupan mereka. Ibu
bapa merupakan contoh yang utama kepada anak-anak kerana mereka tinggal dan banyak
meluangkan masa bersama-sama. Ibu bapa yang menunjukkan contoh yang baik kepada
anak-anak dapat mengelakkan anak-anak menghadapi masalah. Teladan yang buruk tidak
sepatutnya ditunjukkan oleh ibu bapa di hadapan anak-anak terutama anak-anak kecil
kerana risau bahawa mereka akan mengikutinya seperti ibu bapa yang bergaduh dapat
menyebabkan anak-anak mengalami tekanan dan berani untuk melawan ibu bapa mereka.
Seterusnya, kasih sayang dan perhatian yang sepenuhnya perlu dicurahkan oleh ibu
bapa bagi menjamin keluarga bahagia. Kasih sayang dapat dijadikan sebagai benteng agar

masalah keluarga tidak berlaku. Semua individu memerlukan kasih sayang daripada ibu
bapa mereka. Perhatian dan kasih sayang perlu dicurahkan kepada setiap anak-anak sama
rata dengan tulus ikhlas supaya dapat membentuk anak yang baik budi pekertinya yang
boleh membezakan perkara yang baik dan buruk melalui ajaran ibu bapa. Bagi anak-anak
yang bermasalah, perhatian khusus mesti diberikan supaya mereka merasakan diri mereka
dihargai dan dibantu. Ibu bapa perlulah mengambil berat terhadap anak-anaknya walaupun
sesibuk mana mereka dengan pekerjaannya. Kita dapat simpulkan bahawa keluarga
bahagia juga berpunca daripada kasih sayang dan perhatian oleh ibu bapa.
Ibu bapa juga perlulah memberi bantuan dari segi khidmat nasihat dan kewangan
untuk memastikan keluarga bahagia. Anak-anak yang menghadapi masalah dari segi
material boleh ditangani dengan cara menghulurkan bantuan. Misalnya, jika anak-anak
mempunyai masalah dari segi kewangan, ibu bapa perlulah memberi bantuan. Bantuan ini
perlulah untuk tujuan-tujuan yang baik seperti membeli rumah, tanah dan melanjutkan
pelajaran. Hal ini dapat mengelakkan mereka daripada meminjam wang daripada sumber
yang tidak sah dan dapat mendatangkan masalah kepada mereka pada masa akan datang.
Bantuan ini wajar disalurkan kepada ahli keluarga bagi memastikan keluarga bahagia
daripada ancaman orang lain.
Tuntasnya, ibu bapa mesti berganding bahu dengan anak-anak supaya kehidupan
sempurna. Pelbagai usaha dapat dipraktikkan untuk menjamin keluarga yang bahagia
seperti mengambil tahu masalah ahli keluarga, memperkukuh institusi keluarga,
menunjukkan teladan yang baik serta memberi kasih sayang dan perhatian yang
sepenuhnya kepada ahli keluarga. Keluarga yang bahagia dapat mencorak sikap seseorang
supaya menjadi orang yang baik dari segi tingkah lakunya. Isu tekanan dan stres juga dapat
dibendung melalui keluarga yang sanggup melakukan apa sahaja untuk ahli-ahlinya supaya
tidak sengsara menanganinya sendiri.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
10. Media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp semakin popular dalam
kalangan rakyat Malaysia pada masa ini. Jelaskan faedah- faedah aplikasi ini kepada
pengguna.
Dewasa ini, penggunaan media sosial dalam kehidupan harian sudah menjadi ikutan
pada masa kini. Media sosial merupakan alat untuk berkongsi dan berhubung dengan
sesiapa sahaja di seluruh dunia di alam maya. Kecanggihan aplikasi yang terdapat dalam
media sosial telah menarik minat semua penduduk di seluruh negara menggunakannya
yang terdiri daripada pemimpin negara, golongan profesional, orang dewasa, remaja
mahupun golongan kanak-kanak. Penggunaanya bertambah bagai cendawan tumbuh
selepas hujan setelah alatan canggih seperti komputer riba dan telefon pintar direka yang
menghimpunkan pelbagai fungsi dalam satu peranti. Antara media sosial yang popular dan
menjadi pilihan serta kegilaan pelbagai peringkat umur terutama remaja adalah Instagram,
Facebook, Twitter dan sebagainya. Tanpa kita sedari, media sosial mendatangkan pelbagai
kebaikan kepada kita jika kita bijak menggunakannya.
Antara kebaikan yang dapat diperoleh apabila menggunakan media sosial adalah
dapat menambah kenalan yang baru dari seluruh dunia di samping mengeratkan lagi
hubungan yang sudah lama terputus. Kita dapat berhubung dengan rakan-rakan yang kita
kenali atau tidak kenali dengan hanya mencari nama mereka di bahagian cari dan membuat
permintaan untuk menjadi rakannya. Aplikasi yang sesuai dengan langkah ini adalah
Facebook, Instagram dan Twitter. Bagi rakan kita yang tinggal jauh, berpindah sekolah atau
sudah menamatkan pelajaran, kita masih boleh berkomunikasinya melalui media sosial
seperti WhatsApp dan WeChat. Apabila seseorang itu komen pada gambar rakannya maka
mereka akan bertambah rapat setelah berbalas komen. Gambar yang dimuat naik di media
sosial boleh menyebabkan rakan-rakan kita mengetahui perkembangan hidup kita seperti
melancong ke luar negara, kerjaya kita atau tempat kita belajar serta bekerja. Apabila kita
ingin mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan kita yang lama, kita boleh
menyampaikan maklumat tersebut dengan segera melalui media sosial. Jelaslah bahawa
media sosial dapat menambah kenalan kita di samping mengeratkan lagi hubungan
silaturahim antara rakan yang kita kenal. Pelajar juga boleh berhubung dengan guru di luar
sekolah melalui media sosial. Mereka boleh menanyakan tentang soalan yang mereka tidak
fahami. Guru pula boleh memberi tugasan kepada muridnya melalui laman sosial bagi
memastikan pelajar sentiasa belajar.

Selain itu, media sosial dianggap sebagai media saluran maklumat kerana dapat
menyampaikan maklumat dengan pantas. Semua maklumat dapat diperoleh melalui enjin
carian Google dan Yahoo. Oleh itu, tiada alasan bagi pelajar untuk melakukan tugasan yang
diberikan oleh guru mereka kerana semua perkara berada di hadapan mata. Dengan
menaip tajuk yang berkaitan, enjin carian ini akan mencadangkan beratus-ratus laman web
yang berkaitan dengannya. Sesungguhnya semua maklumat ini berada ada hujung jari dan
bergantung kepada pelajar tersebut untuk menggunakannya ataupun tidak. Pelajar juga
boleh belajar di luar kotak melebihi silibus yang ditetapkan melalui laman sosial. Bagi guru
pula, mereka boleh mencari tips mengajar berkesan dan maklumat tambahan berkaitan
dengan subjek yang diajarinya agar murid-murid tidak akan memandang rendah terhadap
dirinya. Ibu pula boleh mencari maklumat seperti resepi yang enak untuk dimasak kepada
ahli keluarga. Kita dapat lihat bahawa media sosial merupakan saluran maklumat utama
kepada setiap individu kini.
Di samping itu, pendapatan yang lumayan dapat dijana melalui laman sosial. Kita
dapat mengembangkan perniagaan kita dan memasarkan produk yang kita jual secara
percuma tanpa perlu membayar iklan-iklan tersebut. Orang ramai dapat membeli barangan
seperti pakaian seperti baju dan seluar mengikut gaya terkini, kasut, beg, ubat, barangan
elektronik serta produk kecantikan melalui laman sosial. Mereka tidak perlu bersusah payah
untuk ke kedai tersebut dan bersesak-sesak serta menjimatkan masa. Proses pembeliannya
amatlah mudah iaitu dengan membuat tempahan, membayar melalui akaun bank penjual
dan barangan tersebut dihantar melalui pos laju. Media sosial juga dapat dijadikan sebagai
alternatif untuk menambahkan lagi pendapatan. Pendapatan itu boleh dijana tanpa
menggunakan modal iaitu dengan menjadi agen jualan sesebuah produk dan menjadi
sebagai orang tengah dalam perniagaan itu. Bagi mereka yang mempunyai perniagaan
sendiri, mereka boleh mengembangkannya melalui cara berpakat dengan peniaga dalam
talian yang lain untuk mempromosikan barangan mereka dengan kaedah 'swap review'.
Tuntasnya, laman sosial dapat mewujudkan perniagaan dalam talian tanpa had masa serta
melahirkan lebih ramai usahawan yang berjaya.

Seterusnya, media sosial merupakan salah satu medan perkongsian maklumat atau
ilmu. Tidak dapat dinafikan bahawa laman sosial banyak membantu dalam penyebaran
maklumat di mana ianya berlaku apabila sesuatu maklumat itu dikongsi dengan rakan-rakan
lain. Contohnya, apabila kita mempunyai kenalan dalam media sosial yang suka berkongsi
maklumat dan berita, secara tidak langsung kita akan dapat mengetahui kejadian-kejadian
terkini sama ada di dalam atau luar negara. Laman sosial ini dapat menggantikan televisyen
untuk mengetahui berita terkini. Maklumat yang berkaitan dengan bidang teknologi,
perubatan dan sebagainya dapat diketahui dan dikongsi oleh pakar-pakar berkaitan dalam
bidang tersebut. Semua orang boleh berkongsi pendapat berkaitan dengan isu-isu semasa
dengan memberi komen di laman tersebut. Oleh yang demikian, media sosial membuktikan
bahawa media ini dapat dijadikan sebagai alat untuk berkongsi maklumat dan pendapat.
Tambahan pula, alat untuk memantau pergerakan anak-anak juga merupakan salah
satu faedah media sosial. Ibu bapa dapat menjadi salah satu rakan anak-anak mereka
tanpa disedari oleh anak mereka atau sebaliknya. Hal ini kerana sebahagian besar anakanak dalam setiap keluarga mempunyai akaun media sosial mereka sendiri. Melalui media
ini, ibu bapa dapat mengetahui perkembangan dan status terkini anak-anak mereka. Mereka
juga boleh mengetahui jenis rakan-rakan yang anak mereka berkawan. Sesetengah orang
suka meluahkan perasaan mereka di laman sosial. Oleh itu, ibu bapa boleh memainkan
peranan mereka untuk menyelesaikan masalah anak mereka itu.
Natijahnya, laman sosial ini mendatangkan pelbagai faedah kepada semua
penggunanya terutama golongan remaja sekiranya digunakan dengan betul. Semua pihak
terutama ibu bapa perlulah mengubah persepsi anak-anak mereka terhadap penggunaan
media sosial supaya menggunakannya dengan bijak. Mereka juga boleh mengawalnya
dengan menyekat akses anak-anak ke laman sesawang yang tidak mempunyai faedah.
Pengguna perlulah berhati-hati ketika berurusan dalam talian dengan tidak mendedahkan
maklumat diri sewenang-wenangnya agar tidak membawa kesan yang buruk kepada diri
sendiri seperti terjebak dalam jenayah di internet. Hal ini kerana kadar jenayah internet
semakin meningkat baru-baru ini yang telah merugikan pengguna sebanyak jutaan ringgit.
Perkara yang paling penting untuk penggunaan laman sosial adalah pengguna yang
berfikiran matang supaya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
11. Peningkatan kadar jenayah di negara ini membimbangkan pelbagai pihak.
Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar
tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah "Menangani Jenayah Tanggungjawab
Bersama". Tulis rencana itu selengkapnya.
Menangani Jenayah Tanggungjawab Bersama
Oleh : Nur Zahirah Badrul Sham
Jenayah dapat didefinisikan sebagai sesuatu tindakan yang bertentangan dengan
undang-undang negara. Jenayah dapat dibahagikan kepada dua iatu jenayah berat dan
ringan. Jenayah berat merangkumi membunuh, mengedar dadah, mendera dan
menyeludup barangan haram manakala jenayah ringan termasuklah perbuatan mencuri,
meragut dan menyamun. Dasawarsa ini, kita sering digemparkan dengan pelbagai kes
jenayah di negara kita melalui media massa. Kes seperti ini boleh mengancam keselamatan
rakyat di sesebuah negara. Keselamatan orang awam merupakan salah satu pemangkin
untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan negara. Kes jenayah ini juga
menyebabkan masyarakat bimbang kerana jenayah yang berlaku bukan sahaja
menyebabkan mangsa kehilangan harta benda malah lebih menyedihkan lagi mangsa
berkemungkinan tinggi menemui ajalnya.Oleh itu, pelbagai langkah yang wajar perlu diambil
untuk memastikan kes jenayah ditangani supaya tidak berleluasa.
Dalam menangani kes jenayah ini, kerajaan berperanan untuk penguatkuasaan
undang-undang yang lebih ketat dan hukuman yang setimpal dikenakan kepada
penjenayah. Contohnya, kerajaan perlu menggubal undang-undang yang tegas kepada
penjenayah yang melakukan perbuatan membunuh atau merogol mangsa iaitu dikenakan
hukuman mati dan sebatan. Pihak kerajaan juga perlu mengarahkan pihak yang sepatutnya
untuk membuat rondaan dan serbuan secara kerap di tempat-tempat yang disyaki
mengedar dadah. Rondaan secara rambang dijalankan oleh pihak polis di seluruh tempat.
Tindakan seperti dapat menakut-nakutkan dan menyedarkan masyarakat yang mula
berjinak-jinak untuk melakukan jenayah. Kerajaan bolehlah memasang kamera litar tertutup
di setiap tempat. Dengan cara ini, segala kegiatan yang menyalahi undang-undang dapat
dirakam dan perbuatan yang mencurigakan dapat dikesan serta dikenakan tindakan yang
lebih lanjut. Penjenayah juga akan berasa lebih takut melakukan kegiatan mereka kerana
mereka diperhatikan di seluruh tempat menyebabkan mereka akan ragu-ragu dan terpaksa

memikir dua kali untuk melakukan jenayah. Oleh itu, penguatkuasaan undang-undang
secara tegas dan hukuman yang setimpal dikenakan serta pengawalan pada setiap masa
dapat menakut-nakutkan penjenayah dan menanganinya daripada terus berleluasa.
Selain hukuman, pengawalan dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,
kempen untuk menangani jenayah secara besar-besaran boleh diadakan kepada seluruh
masyarakat. Melalui kempen ini, masyarakat akan sedar bahawa kes jenayah ini amat
membahayakan semua rakyat kerana dapat menjejaskan keamanan negara. Kempen ini
boleh diadakan di sekolah bagi mengelakkan para pelajar terjebak dalam kegiatan jenayah.
Hal ini demikian kerana mereka tidak terdedah dengan kegiatan jenayah dan membolehkan
mereka takut untuk melakukan jenayah. Contoh kempen yang biasa diadakan di sekolah
adalah tayangan video, pameran berunsurkan kegiatan jenayah dan ceramah oleh pegawai
polis yang menerangkan tentang kegiatan jenayah, kesan dan hukuman yang dikenakan
kepada pesalah yang melakukan jenayah. Oleh yang demikian, kempen kesedaran wajar
dijadikan sebagai kempen tahunan yang wajib diadakan di sekolah bagi meningkatkan
tahap kesedaran remaja tentang kegiatan jenayah supaya tidak terus meningkat.
Kerajaan juga boleh meningkatkan ekonomi negara bagi meningkatkan lagi peluang
pekerjaan. Peluang pekerjaan yang tipis merupakan salah satu faktor utama seseorang itu
terlibat dalam kegiatan jenayah. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai wang yang cukup
untuk menyara hidup mereka. Mereka berpendapat bahawa melalui penglibatan dalam
kegiatan jenayah seperti merompak, mencuri, menyamun, mengedar dadah dan menyertai
kongsi gelap, mereka dapat menjana wang yang banyak pada masa yang singkat. Bagi
mereka yang terlibat dalam aktiviti vandelisme, mereka berpendapat bahawa menconteng
dan merosakkan alatan awam sebagai salah satu cara mereka menghabiskan masa. Jika
mereka mempunyai pekerjaan yang tetap, maka mereka boleh menyara diri mereka dan
tidak perlu terlibat dalam kegiatan-kegiatan jenayah ini. Hal ini perlu diambil berat oleh pihak
kerajaan bagi memastikan kegiatan jenayah di negara kita berkurang dengan meningkatkan
ekonomi negara bagi menambah peluang pekerjaan.

Di samping itu, tugas-tugas memerangi kegiatan jenayah tidak sepatutnya


diserahkan kepada pihak polis sahaja tetapi memerlukan kerjasama orang ramai.
Masyarakat perlu peka terhadap persekitaran mereka terutama di kawasan rumah mereka.
Mereka memberi kerjasama dengan memberitahu tentang perkara-perkara yang
mencurigakan berlaku di persekitaran mereka seperti kegiatan mengedar dadah, orang
yang tidak dikenali dan mencurigakan sentiasa lalu-lalang dan sebagainya kepada pihak
polis. Masyarakat tidak boleh menyembunyikan maklumat tentang kegiatan jenayah yang
mereka ketahui kerana mereka boleh dianggap bersubahat dengan penjenayah tersebut
dan boleh dikenakan hukuman. Mereka mestilah mempunyai hubungan yang erat dengan
pihak polis dan sentiasa berhubung supaya pihak polis dapat mengetahui status terkini
kegiatan tersebut. Masyarakat boleh menubuhkan Rukun Tetangga di kawasan kediaman
mereka bagi mencegah jenayah di persekitaran rumah mereka. Penubuhan ini dapat
menjalankan aktiviti rondaan pada setiap malam mengikut giliran di mana semua penduduk
di kawasan perumahan itu mesti melibatkan diri mereka. Rondaan ini bukan sahaja dapat
mencegah berlakunya kegiatan jenayah, malah mengeratkan lagi hubungan antara
masyarakat semakin erat. Jelaslah menunjukkan bahawa masyarakat perlu sedar bahawa
mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam usaha membanteras jenayah di
negara kita.
Seterusnya, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha
menangani kes jenayah yang berlaku dalam golongan remaja. Ibu bapa mestilah bijak
dalam hal mendidik anak agar tidak terjerumus dalam gejala negatif yang boleh membawa
kepada kegiatan jenayah. Sesungguhnya peribahasa sepeti melentur bulu biarlah dari
rebungnya dapat dikaitkan dalam hal ini. Ibu bapa perlulah membentuk anak mereka sejak
kecil. Jika mereka tidak memberi perhatian terhadap anak mereka sejak awal, maka anak
mereka akan cuba untuk melakukan perkara sesuka hati dan terlibat dalam kes jenayah.
Mereka juga tidak boleh bersikap lepas tangan dalam mengajar mereka walaupun sibuk
bekerja. Ilmu agama wajar diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil supaya mereka
mengamalkannya dan menghindari daripada melakukan aktiviti yang cenderung kepada
kegiatan jenayah. Tuntasnya, ibu bapa mestilah memberi perhatian yang sepenuhnya
terhadap anak mereka supaya anak-anak akan menjadikan mereka sebagai tempat untuk
mengadu masalah dan berlindung.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan untuk mencegah
kegiatan jenayah daripada berlaku di negara kita. Bagi memastikan jenayah berkurangan di
negara kita, semua pihak perlulah bekerjasama supaya kegiatan ini tidak menjadi semakin
serius. Orang ramai perlulah berfikiran terbuka dan bekerjasama dengan pihak polis serta

kerajaan untuk membanteras jenayah. Sekiranya jenayah ini dapat diatasi, maka rakyat di
negara kita akan selamat dan hidup dalam persekitaran yang aman dan sejahtera.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
12. Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin kesihatan sepanjang hayat. Ulaskan.
Kehidupan yang bahagia, selamat dan sihat sememangnya merupakan impian
semua orang. Bagi mencapai impian tersebut, pengamalan gaya hidup sihat merupakan
langkah yang wajar dipraktikkan. Amalan ialah sesuatu yang dilakukan sebagai kebiasaan.
Frasa gaya hidup sihat pula bermaksud kehidupan seseorang yang bebas daripada
penyakit. Berdasarkan definisi tersebut, amalan gaya hidup sihat bermaksud aktiviti yang
perlu dijadikan kebiasaan dalam kehidupan seseorang untuk mengelakkan diri dari
sebarang penyakit. Belakangan ini, rakyat di negara kita semakin sedar bahawa pentingnya
amalan gaya hidup sihat bagi menjamin kehidupan yang bahagia. Terdapat pelbagai cara
yang boleh dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Hal ini bertepatan dengan
peribahasa mencegah lebih baik daripada mengubati.
Antara perkara yang paling penting dalam mengamalkan gaya hidup sihat ialah
amalan pemakanan yang seimbang. Hal ini meliputi pengambilan makanan berlandaskan
piramid makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kita hendaklah
mengambil makanan yang mengandungi karbohidrat seperti bijirin dan nasi dengan kuantiti
yang banyak. Hal ini demikian kerana karbohidrat berfungsi untuk membekalkan tenaga
utama kepada badan bagi menjalankan kehidupan seharian. Pengambilan sayur dan buahbuah dengan banyak adalah untuk membekalkan serat dan vitamin kepada badan. Walau
bagaimanapun, terdapat juga makanan yang perlu diambil dalam kuantiti yang sedikit
seperti makanan yang mengandungi lemak, minyak, garam dan gula. Pengambilan
makanan yang mengandungi gula berlebihan akan mengakibatkan penyakit kronik seperti
diabetes manakala pengambilan makanan yang mengandungi gula berlebihan dapat
mendedahkan seseorang kepada penyakit jantung dan darah tinggi.

Cara mengamalkan gaya hidup sihat yang lain adalah dengan melakukan aktiviti
senaman dan riadah. Bersenam merupakan aktiviti penting untuk mempunyai badan yang
sihat. Senaman kebiasaannya dilakukan pada waktu pagi atau petang sama ada di rumah
atau taman rekreasi. Aktiviti ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali
seminggu selama 20 atau 30 minit. Melalui bersenam, anggota badan akan aktif dan
jantung akan berfungsi dengan baik serta penjalanan darah akan berjalan dengan lancar.
Pembakaran lemak juga akan berlaku bagi mengelakkan lebihan lemak terkumpul dalam
badan yang boleh menyebabkan kegemukan. Cara ini amatlah terbaik untuk menyihatkan
fizikal serta mencerdaskan otak seseorang.
Selain itu, kita hendaklah mengelakkan daripada aktiviti-aktiviti negatif dalam usaha
mengamalkan gaya hidup sihat. Hal ini demikian kerana aktiviti sedemikian dapat
menjejaskan kesihatan kita dalam jangka masa yang panjang. Contoh aktiviti negatif
tersebut adalah penyalahgunaan dadah, minum arak, tabiat merokok dan sebagainya.
Merokok dapat mendatangkan pelbagai kesan buruk terutama kepada kesihatan badan
seperti penyakit kanser mulut, sakit jantung, kelahiran bayi pra matang bagi ibu yang
merokok dan sebagainya. Gejala penyalahgunaan dadah pula dapat mengundang masalah
termasuklah menghidapi penyakit HIV dan AIDS. Oleh itu, orang ramai perlu sedar tentang
bahaya melakukan aktiviti-aktiviti negatif tersebut . Dengan adanya kesedaran tentang
perkara ini, amalan hidup sihat yang kita impikan akan menjadi kenyataan.
Di samping itu, pengamalan gaya hidup sihat juga melibatkan pengurusan stres
dengan bijak. Stres merupakan gejala negatif yang semakin menular dalam kalangan
masyarakat masa kini yang melibatkan tekanan yang sukar dikawal. Hal ini berpunca
daripada keadaan bekerja yang tidak kondusif, tekanan pada tempat kerja, tekanan rakan
sebaya, tekanan rumah tangga dan sebagainya. Seseorang yang mengalami stres perlulah
mencari jalan penyelesaian yang bijak untuk menanganinya supaya fikiran tidak kusut
sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan harian. Sesetengah orang berpendapat
bahawa makan dengan banyak dapat menangani stres. Pendapat tersebut tidak sepatutnya
diamalkan oleh setiap individu kerana dapat mengakibatkan masalah kesihatan seperti
kegemukan malah lebih teruk daripada itu iaitu obesiti. Cara yang terbaik unuk menangani
stres adalah dengan meminta pendapat daripada kaunselor, berkongsi masalah dan
pendapat daripada kawan atau keluarga dan berfikiran positif. Pengurusan stres yang bijak
dapat mendorong kita hidup bahagia dan sihat.

Seterusnya, kita hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital atau klinik.


Kebanyakan daripada kita biasanya akan berjumpa dengan doktor apabila sakit sahaja
tetapi amalan ini sepatutnya tidak boleh dipraktikkan dalam hidup kita. Jika kita mahukan
badan yang sihat, kita perlulah melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala iaitu
sekurang-kurangnya dua kali setahun atau enam bulan sekali bagi membolehkan penyakit
yang tidak menunjukkan apa-apa tanda dikesan lebih awal. Contohnya, penyakit kanser
yang kita semua tahu bahawa penyakit ini sukar diubati dan tidak menunjukkan tanda-tanda
pada peringkat awalnya. Melalui pemeriksaan berkala ini, rawatan susulan dapat dilakukan
bagi mengubati penyakit yang dikenal pasti melalui pemeriksaan tersebut pada tubuh badan
kita.
Kesimpulannya, bagi memastikan kehidupan yang sihat, orang ramai perlulah sedar
akan kepentingan kesihatan untuk badan kita. Dengan adanya kesedaran, mereka akan
cenderung melakukan akiviti yang boleh mendatangkan faedah kepada diri mereka dan
mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang dapat menjejaskan kesihatan diri.
Sebenarnya, tiada istilah terlambat untuk orang yang mengamalkan gaya hidup sihat. Oleh
itu, amalan hidup sihat hendaklah dijadikan sebagai budaya dalam kehidupan diri kita bagi
mendapat pelbagai manfaat kesihatan.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
13. Tulis sebuah cerpen yang bermula dengan dialog di bawah.
Aiman mengakui kesilapannya dalam menguruskan syarikat hingga menyebabkan
syarikatnya mengalami kerugian jutaan ringgit. Aiman bertekad bahawa dia akan
berusaha untuk memulihkan syarikat..........
Aiman mengakui kesilapannya dalam menguruskan syarikat hingga menyebabkan
syarikatnya mengalami kerugian jutaan ringgit. Aiman bertekad bahawa dia akan berusaha
untuk memulihkan syarikat dan melakukan apa sahaja bagi memastikan syarikatnya pulih
seperti biasa. Kerugian ini bermula apabila Aiman membelanjakan wang syarikat sesuka
hati. Dia memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Syarikat Jaya Holdings dengan
menjadi pemegang saham terbesar kerana wasiat oleh datuknya yang baru meninggal
dunia. Hal ini demikian kerana Aiman merupakan pewaris lelaki tunggal dalam keluarganya
sejak bapa Aiman meninggal beberapa tahun yang lalu. Syarikat ini merupakan syarikat
keluarganya dan jawatan itu diberikan adalah untuk melatih Aiman sejak dari awal untuk
menguruskan syarikat milik keluarganya itu dengan baik. Syarikat Jaya Holdings merupakan
salah satu syarikat pembinaan yang terkemuka di Malaysia.
Oleh itu, Aiman mendapat kemudahan yang mana tidak semua orang boleh
memilikinya iaitu kemudahan dari segi kewangan. Dia diberikan kad kredit tanpa had oleh
syarikat untuk perbelanjaan hariannya. Durian runtuh yang diperolehnya telah berjaya
mengaburkan matanya. Dia mula menggunakan wang itu sesuka hati seperti untuk berfoyafoya, melancong, mendaftar di kelab-kelab sosial yang memakan wang yang mahal dan
sebagainya. Dia langsung tidak ingin mengambil tahu tentang syarikat tersebut. Segala
masalah berkenaan syarikat dibiarkan olehnya dan menyuruh pekerja syarikat seperti
pengurus syarikat supaya menguruskan untuknya. Sikap lepas tangan Aiman itu
menyebabkan sebahagian besar pekerja di syarikat itu tidak menyukainya.

Setelah hampir setahun memegang jawatan di Syarikat Jaya Holdings, pemegangpemegang saham mula berasa curiga terhadap kewibawaan Aiman sebagai seorang Ketua
Pengarah syarikat ini. Pada awalnya, pemegang saham memberi peluang kepada Aiman
untuk memulihkan syarikat walaupun mengalami kerugian dan menganggap bahawa
kerugian ini tidak akan lama. Tetapi, sejak sekian lama Aiman mengambil alih syarikat,
hutang semakin bertambah dan syarikat tidak pernah mengalami keuntungan malah
mengalami kerugian jutaan ringgit. Hal ini menyebabkan pemegang-pemegang syarikat
berang dan memberi amaran kepada Aiman. Para pemegang saham membuat rundingan
dengan Aiman supaya memulihkan syarikat ini sebelum mesyuarat pemegang saham
seterusnya diadakan. Jika dia tidak berjaya memulihkannya, para pemegang saham akan
mengundi calon yang lain untuk mengetuai syarikat itu pada mesyuarat seterusnya.
Amaran itu telah memberi tamparan yang hebat kepada diri dan maruah Aiman
sebagai pewaris tunggal keluarganya. Setelah selesai rundingan itu, Aiman teringat akan
semua pesanan datuknya sebelum meninggal dunia. Antaranya adalah datuknya berpesan
agar Aiman perlu mengekalkan kedudukannya sekarang dan mengembangkan empayar
syarikat ini kerana syarikat ini merupakan harta warisan turun temurun keluarganya dan
mungkin bakal diwarisi oleh anak-anaknya. Semenjak daripada itu, pelabur-pelabur tetap
syarikatnya telah hilang kepercayaan untuk melabur kerana takut untuk menghadapi risiko
kerugian. Sebahagian besar pelabur-pelabur berpaling muka menyebabkan projek
pembangunan kondominium di kawasan Damansara Utama itu tergendala.
Aiman mula berubah dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk belajar
semula selok-belok tentang perniagaan. Aiman mendapat bimbingan daripada rakan
karibnya ketika di universiti dahulu iaitu Hakim berkaitan dengan urusan perniagaan. Hakim
mempunyai syarikat persendirian miliknya yang baru ditubuhkan semenjak dua tahun lalu
dan semakin berkembang. Kejayaan rakannya itu menyebabkan Aiman meminta bantuan
daripada Hakim untuk memulihkan semula syarikatnya itu. Hakim bersetuju kerana Aiman
dan keluarganya dulu telah membantunya untuk berjaya dengan membiayai kos
pembelajarannya di universiti. Hakim memberi tips-tips tentang perniagaan yang
dilakukannya. Mereka memulakan langkah mereka dengan meyakinkan pelabur-pelabur
untuk melabur dan memberi kerjasama dengan syarikatnya. Aiman terpaksa berjumpa
dengan semua pelabur untuk membuat rundingan serta meraih semula kepercayaan
mereka.

Setelah selesai menguruskan hal-hal berkaitan dengan pelabur-pelabur syarikat,


Aiman berusaha untuk membuat pinjaman dengan bank dengan mencagarkan semua
rumah dan tanah yang dimiliki oleh keluarganya. Walaupun mendapat tentangan daripada
ibunya kerana apabila Aiman tidak berjaya memulihkan semula syarikat, maka semua harta
milik keluarganya akan hilang dalam sekelip mata. Namun begitu, setelah melihat
kesungguhan anaknya itu, dia memberi kebenaran kerana tiada cara lain yang boleh
dilakukan untuk mengembalikan semula syarikat itu. Aiman terpaksa naik turun bank banyak
kali untuk memastikan pinjaman itu diluluskan.
Selepas bank meluluskan pinjaman tersebut, projek pembinaan kondominium itu
berjalan seperti biasa. Projek pembinaan kondominium ini merupakan salah satu projek
terbesar syarikat pada tahun itu. Projek-projek yang lain juga berjalan dengan lancar seperti
pembinaan rumah banglo dua tingkat, rumah teres dan sebagainya. Reka bentuk dan kualiti
kondominium yang unik dan kukuh ini telah memikat hati orang ramai untuk memilikinya.
Penjualan semua unit di kondominium itu mendapat sambutan yang tidak putus-putus oleh
orang ramai. Melalui projek pembinaan kondominium ini, keuntungan syarikat telah berlipat
ganda dan memecahkan rekod keuntungan yang pernah dicapai oleh syarikat sebelum ini.
Hal ini menyebabkan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara mula yakin untuk melabur
di syarikat itu. Pemegang-pemegang saham juga mengakui kewibawaan Aiman memulihkan
semula syarikat itu dan mengekalkan kedudukannya pada mesyuarat pemegang saham
tahun itu. Aiman berterima kasih terhadap Hakim yang telah membantunya ketika susah
untuk memulihkan syarikatnya itu semula. Kehidupan Aiman kembali seperti biasa dan tidak
dikelilingi oleh hutang lagi. Kini, dia lebih berwaspada terhadap penggunaan kad kredit
syarikat dan mengamalkan sikap berjimat cermat serta berbelanja dengan lebih berhemah.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
14. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, kaya dengan budaya
warisan. Walau bagaimanapun, generasi muda kurang menghargai budaya warisan
bangsa mereka sendiri. Huraikan usaha-usaha untuk memupuk generasi muda
menghargainya.
Tamadun sesuatu bangsa dapat dilihat melalui warisan seni budayanya yang
tersendiri. Warisan budaya ini perlu dikekalkan identitinya supaya dipandang tinggi oleh
masyarakat lain. Di Malaysia, rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina,
India dan sebagainya. Budaya warisan bangsa mencukupi budaya tradisional iaitu dari segi
amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian,
makanan, adat resam, seni dan sebagainya. Budaya ini juga melambangkan identiti
sesebuah negara dan amalan budaya tradisional di negara kita melambangkan sifat majmuk
masyarakat kita. Contohnya, keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum di negara kita
yang terdiri daripada pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni
seperti pakaian tradisional kaum Melayu iaitu baju kurung bagi kaum wanita manakala kaum
lelaki berbaju Melayu dan dilengkapi dengan songkok serta sampin dan dipakai terutamanya
pada Hari Raya Aidilfitri. Cheongsam pula digayakan oleh kaum wanita cina pada Tahun
Baru Cina manakala sari dikenakan kepada kaum wanita India pada Hari Deepavali. Namun
begitu, warisan budaya tradisional kini semakin luntur dalam diri generasi muda kerana
ditelan oleh arus permodenan. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memupuk
generasi muda menghargai budaya warisan bangsa mereka sendiri.
Antara usaha yang boleh dilakukan bagi memupuk generasi muda menghargai
budaya warisan bangsa adalah melalui peranan diri remaja itu sendiri. Mereka perlulah
mengamalkan budaya dan adat resam dalam kehidupan harian mereka. Pantang larang
yang ditetapkan oleh nenek moyang mereka juga perlulah diingati dan dipraktikkan. Hal ini
demikian kerana kita akan memperoleh lebih banyak pengetahuan dan pengalaman
daripada amalan tersebut. Antara pantang larang yang sering kita dengari adalah anak
gadis tidak digalakkan duduk di anjung rumah dan menyanyi di dapur. Kita disarankan
supaya tidak boleh duduk di atas bantal tidur dan tidak memakai kasut di dalam rumah serta
bercakap ketika makan. Jika dilihat daripada sudut lain, pantang larang ini dapat
mendisiplinkan kita serta mendatangkan kebaikan supaya kita tidak terjerumus melakukan
perkara yang negatif. Oleh sebab itu, kita perlulah mengamalkan amalan nenek moyang kita
supaya tidak terjebak dengan godaan anasir barat.

Selain itu, keluarga juga memainkan peranan bagi memupuk generasi muda
menghargai budaya bangsa. Ibu bapa dapat menanam minat dalam kalangan anak tentang
warisan budaya. Ibu bapa boleh membawa anak-anak ke tempat-tempat yang berkaitan
dengan warisan budaya seperti Muzium Negara yang mempamerkan pelbagai jenis seni
warisan yang terdiri daripada semua jenis kaum di negara kita beserta dengan sejarahnya
yang tersendiri. Ibu bapa juga boleh membawa anak mereka mengunjungi pameranpameran tradisional yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan tertentu. Anak-anak perlu diberi
didikan awal tentang warisan budaya oleh ibu bapa supaya mereka minat akan budaya ini
bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang dididik oleh ibu
bapa sejak kecil lebih cenderung mencintai budaya bangsa dan dapat menghindari daripada
melakukan perkara negatif.
Di samping itu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam memupuk
generasi muda menghargai warisan budaya bangsa. Masyarakat dapat mengadakan majlis
kebudayaan di kawasan perumahan atau kampung bergantung kepada persekitaran tempat
tinggal masing-masing. Mereka perlulah berganding bahu melakukan akiviti seperti ini untuk
masa depan anak mereka. Melalui aktiviti ini, mereka boleh menganjurkan pertandingan
yang melibatkan permainan tradisional seperti pertandingan congkak, gasing, batu
seremban, ketinting dan sebagainya. Hal ini dapat menarik minat penduduk setempat
melibatkan diri dalam acara seperti ini kerana ia menyeronokkan dan dapat mengurangkan
tekanan. Tarian tradisional juga dapat dipersembahkan melalui majlis tersebut di samping
dapat memperkenalkan tarian-tarian tradisional kepada generasi muda. Majlis seperti ini
perlu dijalankan untuk menggalakkan generasi muda terlibat dalam aktiviti kebudayaan.
Seterusnya, institusi pendidikan juga dapat memupuk generasi muda menghargai
warisan budaya bangsa. Di sekolah, murid-murid perlulah diperkenalkan kepada warisan
budaya bangsa melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P). Contohnya, melalui
subjek seperti Pendidikan Muzik murid dapat mempelajari jenis alatan muzik tradisional dan
cara menggunakanya dengan bantuan guru yang mahir dalam bidang ini. Hal ini
menyebabkan murid lebih berminat jika mereka mengetahui fungsi dan mahir
menggunakannya. Warisan budaya bangsa seperti sukan dan permainan tradisional dapat
dipupuk melalui aktiviti kokurikulum di sekolah. Misalnya, sekolah dapat mengadakan kelab
permainan tradisional dan bergiat secara aktif supaya ahli-ahlinya dapat mempelajari jenisjenis sukan dan permainan tradisional serta cara untuk bermain. Sekolah juga dapat
menghantar wakil daripada ahli kelab yang mahir ke pertandingan yang dianjurkan oleh
jabatan tertentu bagi mengharumkan lagi nama sekolah.

Media massa seperti media elektronik dan juga media cetak memainkan peranan
penting dalam penyebaran maklumat berkaitan dengan warisan budaya bangsa. Media
massa perlu menyiarkan iklan khas yang berunsurkan warisan budaya bangsa seperti
drama pendek atau iklan secara grafik bagi menarik minat penonton supaya menontonnya
dan mengambil iktibar daripada iklan yang disampaikan itu. Melalui media cetak, kita juga
dapat menyebarkan tentang kepentingan menghargai budaya warisan bangsa sama ada di
dalam akhbar, poster atau artikel-artikel berkaitan. Selain itu, pihak berwajib juga perlu
menapis laman web yang berunsurkan budaya luar yang memberi kesan yang negatif
kepada rakyat di negara kita. Hal ini kerana generasi muda kini mudah terpengaruh dengan
budaya lain yang tidak tahu baik ataupun buruknya menyebabkan semua pihak bimbang
akannya.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai usaha yang dapat digunakan untuk memupuk
generasi muda menghargai budaya warisan bangsa. Janganlah kita biarkan kebudayaan
kita hanya ditonton di muzium dan tidak dipraktikkan oleh masyarakat di negara kita
terutama generasi muda. Generasi muda ditekankan untuk menghargainya kerana generasi
muda inilah yang akan memimpin negara pada masa akan datang. Hal ini demikian kerana
jika generasi muda zaman sekarang hilang penghargaan kepada budaya warisan mereka
dan lebih menghargai budaya negara lain, maka negara kita pada masa akan datang akan
mundur dan dipandang rendah oleh negara lain yang mementingkan budaya mereka
tersendiri.

NAMA : NUR ZAHIRAH BT BADRUL SHAM


TINGKATAN : 4 IBNU SINA
15. Aktiviti membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kerana bangsa
membaca, bangsa berjaya. Ulaskan pernyataan tersebut.
Membaca boleh didefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau
tercetak dengan teliti dan memahami isi kandungannya. Di samping itu, membaca juga
didefinisikan sebagai mentelaah sesuatu bahan sama ada pada buku, papan tanda dan lainlain secara lisan dengan kuat atau sebaliknya. Namun begitu, amalan membaca tidak
dipraktikkan oleh sebilangan masyarakat di negara kita. Hal ini demikian kerana sebahagian
pelajar hanyalah membaca sekadar untuk mentelaah bagi menjawab peperiksaan manakala
golongan masyarakat yang sudah melepasi dunia pelajar hanyalah membaca bahan-bahan
ringan seperti komik dan bukanlah bahan bacaan ilmiah yang menambah pengetahuan.
oleh itu, aktiviti membaca seharusnya menjadi amalan masyarakat kerana terdapat pelbagai
kepentingan.
Salah satu kepentingan membaca adalah untuk menambah ilmu pengetahuan.
Melalui membaca, kita dapat mengetahui maklumat-maklumat penting dan terkini.
contohnya, apabila kita membaca artikel atau surat khabar, secara tidak langsung kita akan
mengetahui isu-isu semasa yang berlaku dalam dan luar negara. Hal ini dapat mengelakkan
masyarakat daripada menjadi seperi katak di bawah tempurung yang tidak tahu apa-apa.
Apabila seseorang itu tidak mempunyai ilmu pengetahuan, maka dia akan berasa terpinggir.
Hal ini demikian kerana pada era baru ini, masyarakat akan lebih berpengetahuan dan akan
bersaing untuk menjadi yang terbaik menyebabkan orang yang kurang pengetahuan akan
terpinggir atau ketinggalan zaman.
Selain itu membaca juga penting untuk mengisi masa lapang. Masa lapang
merupakan masa terluang dan perlulah digunakan dengan sebaik-baiknya. Kita dapat
membaca pada masa lapang kerana dapat mendatangkan pelbagai faedah dan tidak
membuang masa. Membaca dapat dijadikan sebagai hobi pada masa lapang dan juga boleh
menjadikannya sebagai punca pendapatan. Dasawarsa ini, kebanyakan penulis buku atau
novel yang terkenal memulakan kerjaya mereka dengan membaca buku. Kemudian, melalui
hobi tersebut, berputiklah minat untuk mengarang sebuah buku atau cerita. Hal ini
disebabkan oleh membaca yang dapat mengembangkan imaginasi mereka dengan katakata yang puitis dan gramatis. Terdapat ramai penulis cilik yang terkenal pada usia muda
yang mengarang cerita sendiri dan menerbitkannya di syarikat penerbitan tertentu. Hal ini

menunjukkan bahawa melalui membaca juga kita dapat menjana pendapatan tidak kira
pada usia muda atau dewasa.
Di samping itu, membaca juga dapat menambah penguasaan kosa kata kita.
Buktinya, melalui pembacaan buku-buku ilmiah atau novel, kita akan sentiasa terdedah
kepada perkataan-perkataan baru yang kita tidak pernah dengari atau menggunakannya.
Sesetengah pembaca yang peka terhadap pembacaannya akan mencatat dan mencari
maksudnya bagi memperkaya lagi tatabahasa dan kosa-katanya. Membaca juga dapat
membantu murid-murid ketika mengarang karangan semasa peperiksaan. Contohnya,
apabila seseorang murid itu membaca artikel-artikel berkaitan dengan fakta-fakta tertentu
maka fakta tersebut dapat digunakan dalam peperiksaan jika berkaitan. Oleh itu, semakin
banyak seseorang itu membaca artikel tentang fakta, semakin mudah untuk pelajar tersebut
mengarang karangan yang gramatis berkaitan dengan fakta itu.
Seterusnya, membaca juga dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam
pertandingan yang berkaitan dengan bidang akademik. Contohnya, apabila pelajar tersebut
mempunyai minat membaca, mereka akan dapat menyertai pertandingan seperti
pertandingan bahas. Hal ini demikian kerana pertandingan ini memerlukan peserta yang
mempunyai pelbagai ilmu berkaitan dengan tajuk yang dibahaskan. Peserta itu juga perlulah
mengetahui isu-isu terkini untuk didebatkan bagi mengukuhkan isu yang disampaikan.
Tanpa pengetahuan yang diperoleh daripada membaca akhbar akhbar, berita terkini dan
artikel-artikel, maka peluang untuk berjaya amatlah tipis. Hal ini dapat membuktikan bahawa
membaca amatlah penting untuk memenangi sesebuah pertandingan yang melibatkan
akademik.
Di samping itu, membaca juga dapat menanamkan semangat cinta akan negara
apabila seseorang itu membaca dan mentelaah buku-buku atau teks-teks yang berkaitan
dengan sejarah negara. Misalnya, kita akan menghargai hubungan antara kaum apabila
membaca berkaitan dengan pergaduhan yang tercetus akibat perselisihan faham antara
kaum yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah seperti yang berlaku di negara
kita. Pendek kata, membaca dapat menanamkan semangat patriotik dalam diri setiap
individu. Kita juga dapat menerangkan tentang peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di
negara kita apabila ditanya oleh orang lain dan juga pelancong asing.

Kesimpulannya, amalan membaca memberikan pelbagai kepentingan kepada semua


golongan masyarakat. Oleh itu, setiap individu perlulah menjadikan membaca sebagai suatu
amalan dan rutin harian dalam kehidupan kita. Hal ini demikian kerana membaca tidak
merugikan kita malah mendatangkan pelbagai faedah. Tambahan pula semua maklumat
atau bahan bacaan berada di hujung jari kita. Kita dapat mencari bahan tersebut melalui
telefon pintar atau komputer. Pada zaman moden ini juga kita tidak perlu membazirkan
wang untuk membeli surat khabar bagi mengetahui info-info terkini kerana semua perkara
tersebut terdapat di internet. Oleh itu, tiada halangan untuk kita membaca pada setiap hari
dan dapat dijadikan sebagai rutin harian.

You might also like