Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 9

Teks Forum SMK Ghafar Baba.

Memperkasa Bidang Pertanian Baru di


Negara Kita

Salam sejahtera.

Bertemu kita sekali lagi dalam arena forum.


Saya, Nur Nazirah Yaakub akan bersama-sama anda untuk mengupas satu
tajuk iaitu Memperkasa Bidang Pertanian Baru di Negara Kita.

Hadirin warga dewan yang dihormati,

Bidang pertanian kini telah diberi nafas baru oleh kerajaan. Semasa
pembentangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri, mahu Pertanian Baru diperkasa dan
menjadi enjin pertumbuhan ekonomi ketiga selepas industri pembuatan
dan perkhidmatan. Bagi membincangkan tajuk ini secara mendalam,
bersama-sama saya pada pagi ini ialah tiga orang ahli panel, iaitu

Di sebelah kanan saya,Ahli panel pertama, Saudara Mohd Fauzan.


Apa khabar Saudara?
Mohd Fauzan : Alhamdulillah, Khabar Baik.
Seterusnya, Saudari Hidayah. Apa khabar saudari?
Hidayah(X) : Baik-baik saja.
Dan ahli penel ketiga, Saudari Fadhilah. Saudari nampak ceria pada hari
ini...
Fadhilah (Y) : Ya, alhamdullillah, saya cukup sihat pada hari ini.
Selamat datang dan selamat berforum saya ucapkan kepada ketiga-tiga
panel kita.
Ketiga-tiga ahli panel: Sama-sama (Mengagguk-angguk)

Hadirin yang dihormati, Saya ingin membuka perbincangan kita pada pagi
ini dengan menujukan soalan pertama saya kepada Sdr Mohd Fauzan.
Saudara, apakah sebenarnya pertanian baru dalam konteks perbincangan
kita pada pagi ini?

Sdr. Mohd Fauzan: Terima kasih saudari pengerusi.


Saudari pengerusi, rakan-rakan dan hadirin yang dihormati.
Pertanian baru di sini merujuk kepada pertanian yang bukan dalam bentuk
pertanian lama. Pertanian baru melibatkan proses menambah nilai kepada hasilhasil produk pertanian.
Contohnya, pengeluaran padi bukan untuk makanan semata-mata, tetapi ia boleh
diproses dalam bentuk makanan-makanan lain.Jika ikan, bukan sahaja ikan untuk
makanan, tetapi boleh diproses dalam bentuk makanan-makanan yang ditinkan,
disejukbekukan, dan sebagainya.
Selain itu, pertanian baru juga berkait rapat dengan dasar membangunkan program
pertanian dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai rantaian dan
meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Sebagai contoh, proses memperkasa sektor pertanian berkait rapat dengan
pelbagai sistem teknologi, termasuk sektor ICT. Wallahualam.

Pada pandangan Sdr, mengapakah bidang pertanian baru dipilih sebagai


penjana ekonomi ketiga dalam RMK-9?

Sdr. Mohd Fauzan: Pertamanya, kerana kita mendapati bahawa sebahagian besar
daripada rakyat kita terlibat dalam sektor pertanian. Mengikut kajian pada tahun
2005, hampir lebih daripada sejuta bilangan keluarga yang terlibat dalam sektor
pertanian. Sebahagian besar daripada mereka ini tinggal di luar bandar dan
merupakan masyarakat Bumiputera ataupun Melayu. Jadi, atas dasar itu, kerajaan
berpendapat bahawa penekanan perlu diberi kepada bidang pertanian untuk
memastikan tidak wujud jurang ekonomi yang terlalu luas antara masyarakat
bandar dan luar bandar.
Keduanya, kerajaan mendapati situasi sekarang lebih global dan jumlah penduduk
dunia semakin meningkat. Hal ini sudah tentu menyebabkan keperluan untuk
bahan-bahan makanan semakin hari semakin bertambah. Jadi, kita perlu mengambil
bahagian dalam memenuhi keperluan terhadap permintaan makanan yang
meningkat.
Ketiganya, sektor pertanian mempunyai banyak ruang dan potensi yang belum kita
jana. Sebagai contoh, di negara kita masih banyak tanah pertanian yang belum
dibangunkan secara sewajarnya bagi manfaat rakyat dan negara. Jadi, bidang
pertanian mesti memainkan peranan penting dan mengambil bahagian secara
dominan dalam memajukan tanah-tanah terbiar ini.

Terima kasih Sdr Mohd Fauzan atas pandangan tadi.


Saya ingin beralih kepada Saudari X.
Saudari, Sdr Fauzan telah menjelaskan sebab-sebab bidang pertanian
diberi tumpuan dalam RMK-9. Tetapi, ada sesetengah pihak yang
menganggap bahawa tindakan untuk menumpukan kepada sektor
pertanian ini dilihat seolah-olah negara kita ingin mengundur ke
belakang? Apa komen Sdri...

Sdri X: Terima kasih saudari pengerusi.


Saudari pengerusi dan hadirin,
pandangan yang mengatakan bahawa penumpuan terhadap bidang pertanian
bermakna negara mengundur ke belakang mungkin tanggapan sesetengah pihak
sahaja. Bagi saya ia tidak benar. Negara-negara maju di dunia seperti Amerika
Syarikat dan Jepun pun tidak mengkesampingkan tumpuan kepada sektor
pertanian. Cuma dari segi nilai, mungkin nilai pertanian agak kecil berbanding
sektor pengeluaran, sektor pembuatan, elektronik, dan automobil. Nilai sektorsektor ini berbilion-bilion. Tetapi, saudari pengerusi dan hadirin,
Harus kita sedar bahawa sebenarnya nilai pertanian pun berbilion-bilion, tetapi
kerana harga barang pertanian lebih rendah berbanding produk daripada sektor
lain, maka pertanian dilihat memberi sumbangan yang kecil.
Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa bahawa kepentingan pengeluaran bahan
makanan makin mendesak kerana bilangan penduduk semakin meningkat. Jadi,
seperti yang telah disebut oleh Saudara Mohd Asri tadi, kita mesti bertindak proaktif
untuk menjadi sebuah negara pengeluar produk makanan.
Selain itu, skop pertanian adalah luas. Jika kita tidak mengambil bahagian dalam
bidang ini dan hanya mengharapkan untuk mengimport hasil-hasil makanan dari
luar, hal ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar. Umpamanya wang kita
akan mengalir keluar hanya untuk menampung keperluan bekalan makanan dalam
negara. Sedangkan sebahagian besarnya boleh kita majukan dan bangunkan
sendiri.

Saudari... Adakah ia satu masalah yang serius? Boleh Sdri beri gambaran
ringkas berkenaan nilai import produk pertanian atau kebergantungan
kita terhadap produk makanan dari luar. Silakan...

Sdri X: Tuan pengerusi dan warga dewan sekalian.


Bagi saya kebergantungan kita terhadap produk makanan dari negara luar suatu
yang serius dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.

Untuk makluman semua, negara kita mengimport RM15 hingga RM16 bilion nilai
barang makanan pada setiap tahun. Antaranya, daging RM3 bilion, tenusu RM3
bilion, sayur-sayuran RM2 bilion, dan buah-buahan RM4 bilion. Berbilion-bilion
ringgit mencurah, sedangkan sebahagiannya boleh kita keluarkan di dalam negara
kita. Nilai yang saya sebutkan ini tidak termasuk kos yang membabitkan teknologi
dan sumber manusia.

Terima kasih ya Sdri X.


Hadirin sekalian, Saya ingin beralih pula kepada Sdri Y.
Sdri Y, kita telah mendengar tentang kepentingan dan rasional penekanan
diberi kepada sektor pertanian. Apakah formula dan pelan tindakan untuk
menjayakan Pertanian baru yang menjadi agenda utama RMK-9 ini?

Sdri Y: Terima kasih Sdri Pengerusi.


Saudari pengerusi dan hadirin yang dihormati.
Sebenarnya, pendekatan dan strateginya sudah pun ditetapkan dan ditentukan
dalam RMK-9. Beberapa aspek telah diberi keutamaan. Antaranya, soal menambah
nilai atau value added. Dalam hal ini, para pengusaha perlu diberi latihan untuk
menggunakan teknologi-teknologi baru bagi menambah hasil pengeluaran negara.
Hal ini untuk membantu meningkatkan produktiviti mereka.
Selain itu, kerajaan juga perlu menarik penyertaan yang besar, usahawan tani yang
bermodal besar, dan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara. Syarikat-syarikat
Milik Kerajaan (yang biasa kita sebut sebagai GLC) atau syarikat swasta juga perlu
tampil membantu perkembangan sektor pertanian.
Hal ini kerana proses memperkasa pertanian baru ini memerlukan modal yang
besar, berskala besar dan memerlukan teknologi termoden. Jadi, kesemua ini hanya
mampu dibiayai oleh pengusaha-pengusaha besar berminda antarabangsa.
Contohnya, untuk mengusahakan sektor perikanan laut dalam dan bidang
akuakultur yang belum diterokai sepenuhnya di negara kita, sudah tentu
memerlukan modal yang banyak dan kepakaran yang tinggi. Di negara-negara lain
seperti Thailand, sektor perikanan laut dalam dan bidang akuakulturnya sudah
diteroka secara meluas. Dalam hal ini kita jauh ketinggalan. Sekarang, dengan
mengambil kira sumber yang ada, negara kita seharusnya telah membuka lebih
kurang 50 hingga 60 ribu hektar keluasan laut untuk memanfaatkan khazanah
lautan kita.

Saudari, maknanya peranan pengusaha dan pelabur besar amat penting


dalam memperkasa sektor pertanian baru ini..

Sdri Y: Ya, memang cukup penting.

Bagaimana pula dengan petani dan pengusaha ladang serta ternakan


yang berskala kecil?

Sdri. Y: Saudari pengerusi dan warga dewan yang dimuliakan,


kerajaan sebenarnya telah menyediakan banyak kemudahan dan peruntukan untuk
membantu golongan petani kecil dan sederhana.
Pelbagai skim dan insentif telah disediakan. Masalahnya, segala kemudahan dan
insentif ini tidak diketahui oleh kebanyakan petani berskala kecil. Oleh hal yang
demikian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan dan Agensi
di bawahnya mesti menggembleng tenaga bagi menerangkan kepada orang ramai
potensi sektor pertanian secara bersepadu.
Selain itu, pegawai-pegawai di kementerian juga perlu turun padang untuk bertemu
kumpulan sasar. Dengan itu, masalah-masalah seperti tidak tahu bagaimana ingin
memasarkan pengeluaran dan kekurangan kemudahan dapat diatasi. Masalah
berkaitan pembangunan tanah terbiar juga dapat diselesaikan. Di pihak petani pula,
mereka seharusnya proaktif dan bijak mencari serta meneroka peluang-peluang
yang disediakan. Kemudahan-kemudahan dan peluang-peluang yang disediakan
perlu dimanfatkan. Wallahualam.

Sdr. Mohd Fauzan: Saudari pengerusi izinkan saya menambah berkenaan


pandangan yang telah disebut oleh Sdri Y tadi.

Silakan....

Sdr. Mohd Fauzan: Terima kasih. Saya cukup bersetuju dengan pandangan Sdri Y
tadi. Selain langkah-langkah yang disebutkan oleh Sdri Y, kerajaan melalui
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga sentiasa menjalankan kursuskursus dan latihan kepada golongan petani, belia dan wanita tani supaya mereka
menceburi dan melaksanakan projek-projek pertanian. Semua ini dilaksanakan
bukan sahaja untuk meningkatkan hasil produktiviti tetapi juga untuk meningkatkan
kemahiran serta pendapatan petani.
Hadirin sekalian,
Sebenarnya pihak kementerian juga menyediakan banyak kursus dan latihan.
Antaranya ialah Kursus Teknikal Pertanian, Kursus Keusahawanan dan Pengurusan,

Kursus Pemprosesan Makanan, Kursus Kraf, Latihan Penempatan di tempat


usahawan berjaya, Lawatan ke Projek Maju, dan banyak lagi.

Maknanya memang banyaklah program yang boleh diikuti oleh


masyarakat petani...

Sdr Fauzan: Ya, memang banyak! Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat
lanjut berkenaan kursus dan latihan yang disediakan boleh melayari laman web
rasmi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Cuma, seperti yang telah
disebutkan oleh Sdri Y tadi, masyarakat petani tidak seharusnya bersikap tunggu
dan lihat. Mesti proaktif mencari peluang.

Saudara Fauzan, kita telah membincangkan aspek kepentingan sektor


pertanian baru dan kemudahan yang disediakan untuk menghasilkan
produk yang diingini. Bagaimana pula dengan aspek pasaran? Boleh Sda
Fauzan jelaskan...

Saudari Pengerusi,
Soal mencari pasaran baru untuk produk pertanian juga diberi penekanan. Aspek
penghasilan produk dan pemasaran produk saling berkaitan. Proses memperkasa
bidang pertanian baru sudah tentu turut membabitkan aspek pemasaran.
Memang menjadi hasrat kerajaan untuk mengkomersialkan hasil pertanian terpilih
ke peringkat antarabangsa. Hasrat ini amat jelas seperti yang terkandung dalam
Pelan Imbangan Perdagangan atau BOT. Dalam pelan BOT, salah satu strategi yang
dicadangkan ialah meningkatkan eksport produk pertanian negara dengan lebih
besar dalam tempoh lima tahun.
Untuk merealitikannya, negara kita perlu mencari pasaran baru dan berusaha untuk
meneroka ke pasaran eksport bagi setiap produk yang dihasilkan. Mencari pasaran
baru di luar negara bukan satu tugas yang mudah. Beberapa aspek perlu diambil
kira seperti perundingan untuk menembusi pasaran, kualiti hasil pengeluaran, dan
setakat mana produk yang dikeluarkan memenuhi piawaian-piawaian antarabangsa.
Piawaian bagi setiap negara juga berbeza. Semua ini sudah tentu perlu diambil kira
oleh kerajaan.

Terima kasih Saudara Fauzan atas penjelasan tadi.


Saya ingin kembali kepada Sdri X.
Kita telah mendengar kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk
merealitikan kejayaan bidang pertanian baru di negara kita. PM sendiri

dalam pembentangan bajet, menyebut bahawa bajet bagi pertanian baru


adalah sebanyak RM11.4 bilion bagi lima tahun rancangan berkenaan,
iaitu peninkatan 70 peratus berbanding peruntukan dalam RMK-8. Jadi,
apa lagi masalah untuk memperkasa bidang pertanian baru ini?

Sdri X: Saudari pengerusi dan hadirin,


pelaksanaan perancangan untuk memajukan sektor pertanian baru memerlukan
beberapa angkubah luaran bagi menjayakannya. Angkubah-angkubah ini
termasuklah perubahan minda dalam kalangan warga petani, kerjasama Kerajaan
Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, kerjasama antara pelbagai agensi dan
pihak swasta. Keadaan ini menunjukkan bahawa kejayaan sektor pertanian
bergantung kepada banyak pihak yang saling berkait antara satu sama lain. Jika ia
tidak diselaraskan dengan kemas, pelbagai masalah akan timbul.
Selain itu, isu tanah juga adalah amat kritikal bagi mencapai pertumbuhan sektor
pertanian baru seperti yang diunjurkan bagi tempoh RMK-9. Dalam sub sektor
tanaman pertanian, tanaman buah-buahan dijangka memerlukan keluasan
tambahan sebanyak 79 650 hektar untuk meningkatkan pengeluaran sehingga 3.3
juta tan metrik menjelang tahun 2010. Tanaman sayur-sayuran pula akan
melibatkan keluasan tanah tambahan sebanyak 11 740 hektar bagi menambahkan
pengeluaran sehingga 1.9 juta tan. Manakala bagi sub sektor akuakultur pula,
memerlukan kawasan tanah baru seluas 38 413 hektar.

Terima kasih Saudari X atas penjelasan tadi.


Saya ingin kembali kepada Sdri Y.
Kita telah membincangkan isu ini dengan agak mendalam meliputi aspek
kekangan-kekangan untuk memperkasa bidang pertanian baru. Tetapi,
apakah kekuatan yang ada pada negara kita untuk merealisasikan dan
merealitikan hasrat untuk menjadikan pertanian sebagai enjin
pertumbuhan ekonomi ketiga dalam pembangunan negara.

Sdri Y: Terima kasih saudari pengerusi, satu soalan yang menarik untuk
dibincangkan..
Pada pendapat saya, kita mempunyai beberapa kekuatan untuk menjayakan sektor
pertanian baru ini. Pertamanya, Allah SWT telah membekalkan negara kita dengan
banyak sumber semula jadi seperti bumi hijau yang subur, cuaca tropikal yang baik
dan hujan serta sumber perikanan marin lautan biru. Kesemua anugerah semulajadi
daripada Tuhan ini membolehkan Malaysia menjadi negara pengeluar hasil
pertanian.
Kedua, Dasar Bioteknologi Negara telah dijalankan telah dapat mengenal pasti
pembangunan agro-bioteknologi untuk menghasilkan produktiviti yang tinggi dalam

tanaman, ternakan, dan perikanan. Pembangunan industri agro-bioteknologi ini


dapat membantu menghasilkan produk-produk pertanian yang mempunyai nilai
yang tinggi, selamat, dan berkualiti selaras dengan matlamat Dasar Pertanian
Negara.
Ketiga, status negara sebagai sebuah negara Islam, memberi kedudukan yang unik
untuk meletakkan negara kita sebagai pusat penghasil dan pengeluar utama produk
halal. Dalam hal ini, kerajaan melalui pelbagai agensinya telah bertindak untuk
menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama produk halal.

Akhirnya, saya ingin menujukan soalan trakhir kepada Saudari Y. Apakah


harapan dan kesimpulan yang boleh saudari nyatakan terhadap isu yang
kita bincangkan pada hari ini.

Sdri Y: Terima kasih Sdri pengerusi,


Saudari pengerusi, rakan-rakan, dan warga dewan yang dimuliakan,
Untuk menjayakan hasrat murni ini, peranan pelbagai pihak khususnya masyarakat
petani amat diperlukan. Sejarah menunjukkan bahawa kekayaan dan pertumbuhan
ekonomi sesebuah negara diterajui oleh golongan usahawan dan bukannya pihak
kerajaan semata-mata. Kerajaan hanya dapat menentukan dasar dan hala tuju serta
pogram-pogram spesifik bagi pembangunan sektor pertanian yang ingin dimajukan
tetapi kejayaannya bergantung kepada petani, penternak, nelayan, usahawan tani,
dan pelabur yang menyahut cabaran ini.
Dalam jangka masa yang panjang, kita mahu perubahan ke arah menjadikan
Pertanian Sebagai Satu Perniagaan. Transformasi ini memerlukan pembudayaan
keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan
yang kerketrampilan yang mampu bersaing dalam dunia perniagaan yang kian
kompetitif dan global.
Sekian. Terima kasih.

Terima kasih Sdri Y.

Demikianlah idea-idea yang telah dikemukan oleh barisan ahli panel kita.
Diharapkan segala isu yang telah dibincangkan dapat merungkai
persoalan-persoalan yang ditimbulkan dan memberi manfaat kepada kita.
Sekian.

Dengan itu berakhirnya majlis forum kita pada hari ini.

Terima kasih diucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita pada pagi ini.
Saudara Mohd Fauzan, Saudari X, dan Sdri Y.

Saya selaku pengerusi forum memohon maaf sekiranya ada melakukan


kesilapan ketika mempengerusikan majlis ilmu ini.

Baju kebaya berkain belah;


Berselendang renda putih bersih;
Maafkan kami silap dan salah;
Sekian sahaja, terima kasih.
Sekian..

You might also like