Kesan Positif 13 Mei

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 26

1.

0 Pengenalan
Peristiwa 13 Mei pernah menjadi sejarah hitam bagi masyarakat Malaysia secara amnya,
rusuhan kaum secara besar-besaran telah tercetus sekaligus memberi banyak impak dan
mengubah

corak

pemerintahan

dan

pentadbiran

Malaysia

selepas

peristiwa

itu.

Pertelingkahan antara kaum terutama melibatkan kaum Melayu dan Cina telah menyebabkan
banyak kehilangan nyawa dan harta benda. Peristiwa ini bersangkutan dengan Pilihan raya
Umum 1969 dimana banyak isu-isu sensitif telah dibangkitkan seperti bahasa kebangsaan,
kedudukan istimewa orang Melayu dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.

Dalam

pilhanraya 1969, Parti Perikatan yang dianggotai oleh tigav parti utama UMNO, MCA dan
MIC telah mengalami kekalahan teruk kerana gagal memperolehi majoriti dua per tiga
Dewan Rakyat manakala Parti Gerakan Dan DAP yang berjaya memperolehi sebanyak 25
kerusi telah mengadakan perarakan di Kuala Lumpur sambil menghina bangsa Melayu.
1.1 Masyarakat Majmuk di Malaysia
Semenjak tahun 414 selepas Masihi, orang-orang Cina telah terus-menerus
mengunjungi Nanyang ( Asia Tenggara) dengan bilangan yang bertambah ramai. Beberapa
petempatan Cina yang pertama telah wujud di Kepulauan Melayu bertarikh seawal kurun
yang ke-13. Setelah kemasukkan beramai-ramai orang Cina pada pertengahan kedua kurun
ke 19, barulah pertikaian antara orang-orang Melayu dengan Cina mula bertunas. Di Antara
mereka, terdapat perbezaan adat resam, bahasa, makanan dan agama. Tetapi yang lebih
mustahak ialah kaum Cina amat memandang tinggi kepada kaum mereka dan menumpukan
perhatian terhadap diri mereka sendiri. Apabila Banci tahun 1931 buat pertama kalinya
menunjukkan bahawa orang-orang bukan Melayu telah melebihi bilangan orang-orang
Melayu di negeri mereka sendiri, hal ini telah mengejutkan orang-orang Melayu dan pihak
berkuasa Inggeris (Leon Comber,1985).

Orang-orang Melayu amat mengambil berat dalam mengekalkan warisan dan hak
tanah tumpah darah mereka sebagai Bumiputera negara ini. Hal ini merupakan suatu faktor
yang diakui oleh Inggeris dalam perjanjian-perjanjian yang dibuat oleh mereka dengan Rajaraja Melayu. Pada awal tahun 1950-an, jelas bahawa perkara utama yang menimbulkan
perasaan tidak puas hati dan kemarahan orang-orang Cina adalah disebabkan oleh
kekurangan hak kerakyatan mereka dan soal bahasa kebangsaan. Mereka berasa gementar
bahawa perkara-perkara tersebut akan mendorong kepada penghapusan bahasa dan
kebudayaan Cina. Mereka menganggap dasar pelajaran yang menggunakan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar adalah hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu (Leon
Comber,1985).
Justeru, peristiwa 13 Mei merupakan kemuncak bagi permasalahan isu perkauman
di Malaysia. Peristiwa 13 Mei 1969 tercetus akibat perasaan perkauman yang diapi-apikan
oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semasa dan selepas berlangsungnya pilihan
raya 1969. Jelasnya, semasa kempen pilihan raya pelbagai isu-isu sensitif telah dibangkitkan
oleh tokoh-tokoh politik yang tidak bertanggungjawab dalam usaha mereka untuk meraih
undi. Kedudukan orang Melayu dan Bahasa Melayu telah dicabar serta hak kerakyatan orang
bukan Melayu dipersoalkan. Meskipun tuduhan yang dilemparkan tidak benar, isu-isu sensitif
ini acap kali diperdebatkan yang akhirnya telah berlarutan sehinggalah tercetusnya rusuhan
perkauman pada 13 Mei 1969 yang telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kerosakan
harta benda yang besar, (Nasrulnizamwati Mohamed, 2007) .
1.2 Gambaran Detik 13 Mei 1969
Dalam bab Mabuk Kemenangan dan Api menyala Malam, dalam buku bertajuk
Sebelum dan Selepas 13 Mei, terbitan Utusan Melayu Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 1969,
pengarangnya, bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj

menceritakan secara terperinci detik-detik berdarah 13 Mei 1969. Keputusan Pilihan Raya
Umum yang ke-3 sejak kemerdekaan Malaysia diadakan di Semenanjung Malaysia pada 10
Mei 1969 membuktikan Parti Perikatan (sekarang Barisan Nasional) berjaya memenangi
keputusan undi dengan 66 kerusi dengan pecahan UMNO memenangi 51 buah kerusi , MCA
memenangi 13 buah kerusi dan MIC memenangi 2 buah kerusi, namun prestasi parti
pembangkang khususnya parti dominasi Cina menunjukkan peningkatan. Dalam kalangan
parti pembangkang, DAP yang mendapat 13 kerusi, PAS mendapat 12 kerusi, parti Gerakan 8
kerusi dan Parti Progresif Rakyat (PPP) 4 kerusi. Ketika itu parti-parti pembangkang tidak
bergabung dalam satu kumpulan sepertimana Pakatan Rakyat hari ini, namun melakukan
persepakatan secara tidak formal untuk menentang parti Perikatan (Barisan Nasional). Parti
Gerakan dan DAP yang berkempen atas manifesto yang hampir sama iaitu menentang hak
istimewa Bumiputera yang ditetapkan oleh Artikel 153 dan kerana penentangan secara agresif
itu menyebabkan kedua-dua parti itu disokong oleh masyarakat Cina.
Walaupun Parti Perikatan berjaya membentuk kerajaan pada pilihanraya 1969, namun
Parti tersebut gagal mendapat 2/3 daripada majoriti di Parlimen. Hal ini disifatkan oleh parti
pembangkang sebagai satu kemenangan yang besar buat mereka. Jumlah kerusi yang
dimenanginya dalam Dewan Rakyat (Parlimen) telah menurun daripada 89 kerusi pada tahun
1964 kepada 66 kerusi pada tahun 1969. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti
Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam
Dewan Rakyat manakala PAS menang 12 kerusi. Pihak pembangkang yang memperoleh
pencapaian gemilang dalam pilihanraya telah meraikan kemenangan mereka pada 11 Mei
1969. Perarakan tersebut sebenarnya tidak bermotif untuk menimbulkan isu perkauman.
Malah terdapat segelintir pengikut perarakan (identiti mereka tidak dapat diketahui) telah
mengeluarkan slogan-slogan sensitif berkenaan isu perkauman semasa mengadakan
perarakan di jalan-jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Perarakan turut dijalankan pada 12
3

Mei 1969 di mana kaum Cina berarak menerusi kawasan Melayu, melontar penghinaan
sehingga mendorong kepada kejadian tersebut (Ramlah Adam,2004).
1.3 Perarakan Parti Gerakan
Pihak pembangkang iaitu Parti Gerakan yang mengadakan perarakan yang bertujuan untuk
meraikan kemenangan mereka dalam pilihan raya telah mendapatkan kelulusan daripada
pihak polis. Perarakan dibuat oleh Dr Tan Chee Khoon yang telah memenangi kerusi dalam
kawasan Batu, Selangor, dengan kelebihan undi yang besar. Satu permit telah dikeluarkan
dengan syarat perarakan itu melalui jalan-jalan yang telah dipersetujui oleh polis. DAP pula
telah membuat keputusan hendak mengadakan perarakan pada keesokan harinya, iaitu hari
Selasa, 13 Mei 1969, tetapi tidak mendapat kebenaran polis. Cadangan itu tidak diteruskan
tetapi DAP turut serta dalam perarakan parti Gerakan (Tunku Abdul Rahman, 1969).
Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu kepada
kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil
melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang
mereka akan menyapu ('menyingkir') orang-orang Melayu ke laut. Dalam masyarakat
Melayu, penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Ada yang mencaci dan meludah
dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan (Tunku Abdul Rahman, 1969).
1.4 Angka Korban
Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan. 211
kenderaan musnah. Tapi ramai telah menganggar ramai lagi dibunuh. Sebuah thesis PhD.
daripada Universiti California, Berkeley menganggar seramai 20,000 orang hilang nyawa
dalam peristiwa 13 Mei.
Statistik tidak rasmi jumlah kematian:
4

Melayu : 86 orang

Cina : 342 orang

Lain-lain : 3 orang

Statistik tersebut tidak begitu tepat kerana daripada kaca mata orang ramai yang menjadi
saksi, mereka melihat berderet-deret lori membawa mayat yang tidak sempurna ke balai polis
Jalan Travers waktu itu.

2.0 FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERISTIWA 13 MEI 1969


2.1 Dasar Pecah dan Perintah British
Pada zaman penjajahan British, British telah mengasingkan kaum Melayu, Cina dan India
berdasarkan kegiatan ekonomi. Kaum Cina dijadikan sebagai pelombong atau peniaga dan
mereka tinggal di kawasan bandar, kaum Melayu pula sebagai petani atau nelayan dan
mereka tinggal di kawasan luar bandar manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh
kasar kerajaan atau pekerja di ladang dan mereka tinggal di kawasan estet. Pihak British telah
berjaya merealisasikan dasar ini demi kepentingan mereka untuk mengeksploitasi kekayaan
hasil bumi di Malaysia. Hal ini telah menyebabkan hubungan antara kaum menjadi terbatas
kemudian wujudnya perasaan berprasangka antara mereka. Perasaan berprasangka inilah
punca tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 ekoran daripada pengasingan kaum dari segi kelas
ekonomi oleh pihak British.
2.2 Sistem Pendidikan yang Berasingan
Sistem pendidikan yang berasingan di Tanah Melayu menyebabkan sifat perkauman semakin
menebal antara ketiga-tiga kaum. Pihak British hanya menitikberatkan sekolah aliran Inggeris
5

di Tanah Melayu. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh kaum Cina dan kaum
India yang tinggal di kawasan bandar serta sebilangan kaum Melayu yang terdiri daripada
golongan pembesar dan kerabat diraja. Pihak British tidak mengendahkan tiga lagi aliran
pendidikan yang wujud di Tanah Melayu mengikut kaum, iaitu sekolah Melayu, Cina dan
India. Sukatan pelajaran dan guru-guru di sekolah Cina dan India dibawa dari negara asal
mereka manakala sukatan pelajaran di sekolah Melayu hanya menekankan kemahiran
menulis, mengeja dan membaca untuk keperluan di peringkat rendah sahaja.
Persefahaman antara kaum sukar dibentuk apabila tiada penyeragaman dalam sistem
pendidikan. Perkara ini sedemikian kerana pelajar yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina
dan India tidak mempunyai peluang untuk bergaul antara satu sama lain dan sekali gus
menjadikan rusuhan antara kaum semakin parah pada 13 Mei 1969.
2.3 Perbezaan Agama dan Kebudayaan
Penduduk yang berbilang kaum di negara Malaysia menyebabkan terdapat banyak perbezaan
dari segi bahasa, budaya dan kepercayaan dalam agama. Menurut Indrajit dan Logan (2008),
kaum majoriti di Malaysia ialah kaum Melayu yang beragama Islam (60.4%) kemudian
diikuti dengan kaum Cina yang menganuti agama Buddha, Konfucius dan Taoisme dan
seterusnya ialah kaum India yang beragama Hindu serta lain-lain lagi. Peratusan bukan Islam
ialah 39.6%, iaitu agama Kristian sebanyak 9.1%, agama Buddha sebanyak 19.2%, agama
Hindu sebanyak 6.3% dan Konfucius serta lain-lain sebanyak 5.0%.
Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku bukan disebabkan oleh ajaran agama yang dianuti oleh
setiap kaum mengajarkan penganutnya bermusuhan tetapi ia berlaku disebabkan oleh kaum
yang berpengetahuan cetek terhadap ajaran dalam agama lain. Oleh sebab itu, ramai penganut
dalam agama masing-masing melakukan perkara yang telah menyinggung perasaan penganut
agama lain. Kebudayaan yang berlainan antara kaum juga menyebabkan perpaduan kaum di
6

Malaysia menjadi bertambah teruk kerana ia menjadi satu cabaran kepada pemerintah untuk
memastikan wujudnya perpaduan antara kaum dari segi budaya dan agama.
2.4 Aktiviti Ekonomi Yang Berlainan
Semasa pemerintahan British, telah pun wujud ketidakadilan dalam aspek pembahagian
ekonomi. Masyarakat Melayu kebanyakan terdiri daripada petani yang tinggal di kampung
manakala masyarakat Cina telah mewarisi pekerjaan turun temurun keluarga mereka iaitu
beniaga dan kebanyakannya tinggal di bandar dan Masyarakat India pula bekerja sebagai
penoreh di estet-estet dan tinggal di estet-estet. Kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah
mewujudkan jurang pendapatan yang berbeza antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ini
telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan persaingan ekonomi secara tidak sihat dan pada
kemuncaknya berlakulah peristiwa 13 Mei 1969.
2.5 Layanan Berat Sebelah Oleh Tentera Jepun
Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza.
Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun
berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang
dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain
masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan
antara orang-orang Melayu dan Cina.
Jepun juga telah melantik orang Melayu sebagai askar dan polis berbeza dengan orang
Cina yang tidak diberi peluang untuk menjawat sebarang jawatan. Ketika itu kebanyakan
orang Cina menyertai MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army). Keadaan bertambah
buruk apabila kebanyakan tentera Jepun yang menyerang MPAJA ialah terdiri daripada orang

Melayu dan ini telah menimbulkan persengketaan antara orang Melayu dengan Orang Cina
dan kemuncaknya ialah pada 13 Mei 1969.
2.6 Isu Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Persekutuan.
Pada tahun 1967, Syed Nasir Ismail, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah menubuhkan
Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan untuk mendesak kerajaan Perikatan dan Tunku Abdul
Rahman untuk mendaulatkan sepenuhnya bahasa kebangsaan dalam satu perundangan yang
jelas. Selepas merdeka, kerajaan memberi masa sepuluh tahun untuk menjadikan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa kebangsaan. Walaupun Penyata Rahman Talib telah dikeluarkan pada
tahun 1961, namun dasar itu tetap tidak berubah ( Ramlah Adam,2004) .
Desakan kumpulan orang Melayu di bawah pimpinan Syed Nasir telah
membangkitkan kesedaran untuk orang bukan Melayu menuntut bahasa-bahasa lain dijadikan
bahasa rasmi, seperti tuntutan mereka selama ini. Seterusnya ditambah lagi dengan desakan
untuk menolak sistem sekolah kebangsaan yang mula dikuatkuasakan pada tahun 1965.
Persatuan-persatuan guru sekolah dan lembaga sekolah Cina juga turut membangkitkan hal
ini (K.Ramanathan,1986).
3.0 KESAN-KESAN POSITIF SELEPAS KEJADIAN 13 MEI 1969
3.1 PENUBUHAN MAGERAN
Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, tindakan serta-merta yang diambil oleh kerajaan
ialah mengisytiharkan darurat atau keadaan huru hara di seluruh negara. Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat pada 16 Mei 1969. Pengisytiharan darurat
telah diwartakan dibawah Ordinan No.2 (Kuasa-kuasa Perlu) Daruat 1969-P.U (A) 149 dan
berkuatkuasa mulai 16 Mei 1969. Dengan pengisytiharan ini, Sistem Kerajaan Berparlimen

digantung. Ini bermakna proses demokrasi ditangguhkan. Selain itu, pilihan raya kebangsaan
ditangguhkan, (Sulaiman Zakaraia, 2007).
Semasa berlakunya darurat, Majlis Gerakan Negara ditubuhkan sebagai badan
pemerintah. Atas cadangan dan perakuan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri ketika
itu Tun Abdul Razak dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebgai Pengarah MAGERAN
menggantikan

jawatan

Perdana

Menteri.

Antara

tugas-tugas

MAGERAN

ialah

mengembalikan keamanan, menegakkan semula kepatuhan kepada undang-undang negara.


Ini bertujuan memupuk suasana harmoni dan mempercayai dalam kalangan kaum atau etnik
supaya pentadbiran negara berjalan licin dan sempurna.
3.2 MAJLIS PERUNDINGAN NEGARA
Keadaan yang tercetus telah mengakibatkan Yang di-Pertuan Agong mengistiharkan darurat
pada 16 Mei 1969, lantas menyebabkan fungsi Parlimen digantung dan Majlis Gerakan
Negara (MEGERAN) ditubuhkan untuk menjalankan pentadbiran negara, dan Tun Abdul
Razak telah dilantik sebagai pengarah operasi di bawah Akta Perintah Darurat selama 22
bulan sehingga perintah darurat telah dibubarkan. Parlimen kembali dipulihkan semula pada
22 September 1970. Melalui MEGERAN telah ditubuhkan Majlis Perundingan Negara yang
bertanggungjawab dalam menjadi pemikir dalam merangka perpaduan negara dan salah satu
hasilnya adalah lahirnya satu ideologi kebangsaan iaitu, Rukun Negara yang digubal sebagai
falsafah negara dan pendekatan baru kearah mewujudkan sebuah negara bangsa yang stabil.
Majlis Perundingan Negara telah ditubuhkan secara rasmi pada Januari 1970 dan
dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak.
Majlis Perundingan Negara berperanan penting dalam membentuk perpaduan kaum di
Malaysia khasnya ketika berlakunya tragedi rusuhan kaum 13 Mei di antara orang Melayu
dan Cina. Rentetan itu, Majlis Perundingan Negara berfungsi dalam meneliti isu-isu
9

perpaduan negara serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang


melibatkan pelbagai kaum. Selain itu, ia bertindak sebagai penasihat kepada MAGERAN
mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan perhubungan dan interaksi kaum di
Malaysia. Secara umumnya, Majlis Perundingan Negara bertanggungjawab terhadap
pembentukan ideologi negara, iaitu Rukun Negara dan perubahan perlembagaan.
Majlis Perundingan Negara telah dianggotai oleh menteri-menteri yang menganggotai
MAGERAN, kerajaan-kerajaan negeri, parti-parti politik, Sabah dan Sarawak, kumpulankumpulan agama, badan-badan professional, perkhidmatan awam, Kesatuan Sekerja dan
Persatuan Majikan, wartawan, Persatuan Guru-guru dan ketua kumpulan minoriti. Secara
keseluruhannya, anggota/ahli Majlis Perundingan Negara berjumlah 66 orang ahli.
3.3 RUKUN NEGARA
Isu perkauman yang tercetus telah membawa Malaysia menyedari betapa pentingnya
perpaduan kaum dalam mengekalkan keamanan dan kedaulatan negara. Isu- isu sensitif
sering kali dibahas oleh pihak-pihak yang cuba menimbulkan provakasi antara kaum. Oleh
itu, melalui Majlis Gerakan Negara, Rukun Negara telah digubal untuk melahirkan
masyarakat Malaysia yang demokratik, saintifik dan progresif serta bersatu padu dan bersifat
terbuka terhadap pelbagai cara hidup rakyat. Rukun Negara digubal bertujuan untuk
mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara
hidup demokratik, mencipta sebuah masyarakat yang adil supaya kemakmuran dapat
dinikmati bersama secara adil lagi saksama, membentuk satu sikap yang liberal terhadap
tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, membina sebuah masyarkat
progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden (Sulaiman Zakaraia, 2007).
Cita-cita Rukun Negara ini perlu dicapai melalui pengamalan prinsip-prinsip Rukun
Negara yang perlu dihayati oleh semua masyarakat Malaysia iaitu Kepercayaan kepada
10

Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undangundang dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Penubuhan Majlis Gerakan Negara dan Penggubalan Rukun Negara selepas peristiwa
13 Mei 1969 , dilihat sebagai satu langkah bijak yang diambil bagi mengekang isu-isu
perkauman dan perpaduan terus-terusan dijadikan agenda yang dipolemikkan oleh pihak yang
tidak bertanggungjawab. Penggubalan Rukun Negara bukan sahaja diperlukan ketika
berlakunya peristiwa 13 Mei malah turut perlu dihayati sehingga ke hari ini untuk
mengekalkan perpaduan dan keamanan negara.
3.4 PENUBUHAN MAJLIS MUHIBBAH
Pembentukan Majlis Muhibbah adalah ekoran dari Peristiwa 13 Mei. Majlis Muhibbah
Negara ditubuhkan pada tahun 1969.Majlis ini ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturanperaturan (Majlis-majlis Muhibbah) 1969 dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman Putra atas arahan daripada Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Majlis Muhibbah di bentuk bertujuan untuk menggalakkan perkembangan muhibah
dalam kalangan pelbagai kaum dan berusaha ke arah memulihkan kembali kepercayaan dan
keyakinan di kalangan pelbagai kaum di Malaysia yang telah musnah akibat peristiwa hitam
13 Mei 1969. Selain itu, Majlis ini turut mengkaji masalah-masalah sosial dan kebajikan
awam dan bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa atau Jabatan-jabatan kerajaan yang
berkenaan untuk menghapuskan kesulitan dan salah faham.
Majlis Muhibbah juga, membantu kerajaan apabila diperlukan oleh kerajaan, agensi
atau Jabatan-jabatan Kerajaan,menyelaras tugas-tugas Jawatankuasa-jawatankuasa Muhibbah
supaya ianya lebih berkesan dan objektif-objektifnya dapat dilaksanakan melalui peraturanperaturan mengikut arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri.

11

Apabila Kerajaan berparlimen dipulihkan semula pada 23hb Februari, 1971 , Majlis
Muhibbah Negara dimansuhkan dan Majlis Perpaduan Negara pula ditubuhkan dan
diwartakan di bawah Peraturan-peraturan Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971.
Pemansuhan ini dilakukan untuk mengelakkan salah faham rakyat tentang fungsi majlis
tersebut (Majlis Muhibbah Negara). Majlis ini (Majlis Perpaduan Negara) kemudiannya
ditukarkan kepada Majlis Penasihat Perpaduan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana
Menteri dengan ahli-ahlinya seramai 51 orang dan ditadbirkan bersama oleh Jabatan
Perpaduan Negara,

dan Pejabat Muhibbah Negara. Pada 1 hb Januari 1972, Jabatan

Perpaduan Negara dan Pejabat Muhibbah Negara digabungkan dan dijadikan Kementerian
Perpaduan Negara yang bertanggungjawab mengurus dan menyelaras tugas-tugas Majlis
Penasihat Perpaduan Negara dan Jawatankuasa-jawatankuasa Muhibbah yang terdapat dalam
Peraturan Perlu (Majlis Perpaduan Negara), 1971 dan Peraturan Perlu (Jawatankuasa
Muhibbah), 1969 (Azilawani,2009).
3.5 DASAR EKONOMI BARU
Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan satu program sosioekonomi di Malaysia yang
diperkenalkan pada tahun 1971 oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Dato' Hussein
(Utusan Online, 2008). Dasar Ekonomi Baru merupakan satu bentuk perancangan yang
dilancarkan oleh kerajaan dalam tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua. Matlamat
tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah
digubal dalam konteks strategi serampang dua mata . Matlamat utamanya ialah perpaduan
negara selain itu juga bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi
yang wujud di negara ini. Menyedari hakikat bahawa pengagihan ekonomi yang seimbang
penting demi mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, serta mengambil kira
kemiskinan serta ketidakupayaan sesetengah kaum untuk bersaing dengan kaum yang lain
maka DEB telah dirancang untuk memperbaiki keadaan ini.
12

3.5.1 Objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB)


Terdapat lima dasar DEB yang telah diobjektifkan dalam unsur ini iaitu yang pertama,
pengurangan kemiskinan luar Bandar dan dalam Bandar bagi semua rakyat Malaysia tanpa
mengira bangsa (Mahathir Mohamad , 1991). Ketegangan antara golongan yang berharta dan
yang tidak berharta adalah berpunca daripada isu kemiskinan. Didapati bahawa orang Melayu
lebih banyak menghadapi kemiskinan berbanding kaum-kaum yang lain. Didapati juga orang
Melayu masih jauh ketinggalan dan kurang mampu bersaing dengan kaum-kaum lain
walaupun Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi yang baik. DEB dirancang sebagai
satu program jangka panjang yang akan berjalan selama 20 tahun, bermula dari tahun 1970
hingga tahun 1990. Melalui dasar ini kerajaan bertindak untuk merapatkan jurang kekayaan
antara golongan kaya dan golongan miskin tanpa mengira kaum kerana ketidakseimbangan
kekayaan terutamanya antara kaum hanya akan mencetuskan suasana yang tidak harmorni
akibat rasa tidak puas hati antara satu sama lain.
Justeru untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru ini kerajaan telah memberi banyak
tumpuan kepada golongan seperti pekebun-pekebun kecil, penghuni estet, petani nelayan dan
pesawah. Antara program dan perancangan yang telah dilaksanakan ialah seperti
menyediakan infrastruktur parit dan tali air termasuk pemberian subsidi dan kredit bagi
membolehkan pesawah melaksanakan penanaman padi dua kali setahun. Seterusnya
menyediakan skim penanaman semula yang menggalakkan penggunaan benih kacukan
berhasil tinggi, termasuk pemberian kredit dan subsidi sara hidup serta bantuan untuk
pembiakan ikan dan kegiatan ternakan yang

ditujukan kepada pekebun kecil dan

menyediakan skim pemilikan bot dan pemberian subsidi kepada nelayan untuk membantu
mereka memberi kelengkapan menangkap ikan yang perlu dan lebih berguna.Kerajaan
melaksanakan rancangan pembukaan tanah baru yang membolehkan penghuni desa

13

menyertai kegiatan pertanian moden, misalnya skim anjuran Lembaga Kemajuan Tanah
Persekutuan (FELDA) serta Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (FELCRA).
Kedua, pengurangan secara muktamad ketakseimbangan ekonomi mengikut kaum
mengikut pendapatan, guna tenaga dan kekayaan. Bagi melaksanakan perubahan dalam
sistem ekonomi , orang Melayu tidak akan didisriminasikan daripada menyertai secara aktif
dalam semua sektor ekonomi di semua peringkat dengan kaum-kaum lain.Seperti orang lain ,
orang melayu terpaksa bertungkus-lumus berusaha serta meninggikan daya pengeluaran
mereka dan dengan itu akhirnya orang melayu akan memperoleh taraf hidup yang lebih
tinggi. Bagi mengembangkan orang melayu, program yang giat tentang pendidikan dan
latihan orang melayu akan diusahakan bagi membolehkan mereka menyertai dalam proses
pembangunan secara yang aktif. Selain itu, program pembangunan wilayah akan ditingkatkan
supaya negeri-negeri yang mundur dapat dibangunkan.Bagi mencapai matlamat, kerajaan
telah melaksanakan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan awam melalui kemudahan
pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik.Di samping itu, keutamaan juga diberikan
kepada golongan miskin untuk mendapatkan bantuan seperti program bantuan subsidi baja,
biasiswa pelajaran dan buku teks, makanan tambahan kepada kanak-kanak serta program
rumah murah.Menjelang tarikh akhir pelaksanaan DEB, matlamat untuk membasmi
kemiskinan telah tercapai.
Ketiga, dasar guna tenaga penuh yang akan menyerapkan tenaga buruh yang tidak
bekerja seperti yang terdapat di penghujung Rancangan Malaysia Pertama, dan serentak
dengan itu yang akan mengadakan peluang pekerjaan kepada pendatang baru ke dalam
pasaran buruh, iaitu sebagai hasil daripada pertumbuhan pendudukan yang cepat berkembang
dan sebagai usaha mengadakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berhasrat hendak
berubah kepada pekerjaan baru dalam sektor ekonomi moden . Bagi memastikan matlamat
dalam DEB turut tercapai, kerajaan telah cuba memperbaiki keadaan ekonomi dan pada masa
14

yang sama, menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.Berasaskan


pada ketidakseimbangan antara kaum, kerajaan telah melancarkan beberapa program seperti
perindustrian dan perdagangan, pertanian, perlombongan, pembinaan, pengangkutan dan
pertanian. Bagi menjayakan matlamat yang kedua dalam DEB ini juga, beberapa strategi
telah dirancang ialah mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna
tenaga supaya penyertaan pelbagai kaum dalam sektor utama akan mencerminkan kedudukan
tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang tahun 1990.Ia turut menambah dengan
cepat bahagian rakyat Malaysia dalam pemilikan sektor produktif. Perhatian khusus akan
ditumpukan kepada kaum Bumiputera yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan
kaum-kaum lain. Kerajaan turut meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan
golongan miskin di luar bandar.Salah satu terdapatnya kemiskinan di Bandar dan di luar
Bandar berpunca daripada pengangguran atau guna tenaga buruh tidak penuh.Jadi, untuk
membasmi kemiskinan dalam ekonomi yang berlebihan tenaga buruh , dasar guna tenaga
yang berasaskan tenaga buruh yang intensif diperlukan . Dengan itu dasar guna tenaga penuh,
seperti dasar pertumbuhan ekonomi yang cepat, merupakan unsur yang lama diperbaiki bagi
membantu orang melayu.
Keempat , peranan campur tangan oleh Kerajaan persekutuan dan Kerajaan negeri ,
serta berbagai-bagai agensi dan institusi masing-masing, bagi menentukan bahawa orang
Melayu akan memperoleh peluang yang munasabah supaya semakin memasuki ke dalam
sektor moden, dan juga memperoleh kesamarataan dalam sektor yang sama.Jadi institusi
yang baru terpaksa diadakan dan institusi yang lama diperbaiki bagi membantu orang
melayu.
Kelima, pelaksanaan dasar sosial tambahan bagi mengelakan pertikaian kaum , dan
bagi menjadi jalan untuk memperoleh pengenalan sepunya dan kesedaran perpaduan Negara .
Penghuraian dasar sedemikian akan didasarkan kepada usaha pencarian yang bersungguh15

sungguh bagi memperoleh kefahaman yang lebih banyak tentang keadaan perhubungan sosial
khususnya tentang dimensi perkauman.
Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya terdapat keseragaman dalam pembahagian
ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bantuan dan sokongan kerajaan terutama
dalam memajukan taraf sosioekonomi terutama dalam kalangan masyarakat Melayu telah
melahirkan banyak pengusaha-pengusaha yang mampu bersaing dengan cemerlang dalam
sektor perniagaan pada masa kini.
3.6 DASAR KEBUDAYAAN KEBANGSAAN .
Malaysia terdiri daripada etnik yang berbilang kaum, penekanan aspek kebudayaan dikatakan
amat penting supaya dapat melahirkan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu, mencintai
negara dan mengamalkan nilai murni kearah pembinaan negara yang dominan.Dengan ini,
semangat perpaduan yang lahir daripada aspek kerohanian dapat dipupuk dalam kalangan
masyarakat Malaysia seterusnya dapat menonjolkan imej dan keperibadian negara kita.
Idea bagi mewujudkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan telah timbul hasil daripada
gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971. Dasar ini telah digubal supaya dapat
dijadikan sebagai garis panduan dalam membentuk, mewujud, dan mengekalkan identiti
negara dalam kalangan dunia antarabangsa.
Penggubalan Dasar Kebudayaan Kebangsaan berteraskan tiga prinsip utama.
Antaranya ialah kebudayaan rakyat asal rantau Melayu. Rantau Melayu merangkumi
Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Kampuchea dan Kepulauan Selatan
Pasifik. Kesemua tempat ini merupakan bahagian utama kawasan tamadun dan budaya
Melayu. Kebudayaan serantau digambarkan melalui persamaan bahasa yang berasaskan
keluarga bahasa Melayu (Austronesia), kedudukan geografi, pengalaman sejarah, kekayaan

16

sumber alam, kesenian dan nilai-nilai keperibadian. Kebudayaan asal rantau ini, iaitu
kebudayaan Melayu telah dijadikan sebagai teras kebudayaan kebangsaan.
Seterusnya, unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai diterima. Kebudayaan
kebangsaan mengambil kira unsur-unsur budaya Cina, India, Arab, Barat, dan lain-lain yang
dianggap wajar berdasarkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, Perlembagaan
Persekutuan Malaysia, prinsip-prinsip Rukun Negara, kepentingan nasional dan asas moral
serta kerohanian sejagat.
Prinsip yang berikutnya ialah Islam sebagai unsur yang paling penting. Agama Islam
diterima sebagai unsur utama dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan berdasarkan
kedudukannya sebagai agama rasmi negara ini. Hal ini dipetik daripada fakta sejarah yang
membuktikan bahawa nilai-nilai Islam telah sedia didukung oleh sebahagian besar rakyat
rantau ini.
Pengenalan Dasar ini dilihat wajar sebagai satu langkah untuk menyemai budaya
menghormati perbezaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Perbezaan
etnik, budaya dan adat resam seringkali menjadi alasan tercetusnya pertelingkahan dan salah
faham di Antara masyarakat Malaysia, dengan adanya Dasar Kebudayaan Kebangsaan dilihat
dapat membantu mengekalkan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.
Dasar Kebudayaan Kebangsaan menjadi tanda aras kepada satu era baru dalam
kebudayaan Negara. Tiga prinsip ke-Melayuan yang diterima dalam Dasar Kebudayaan
Kebangsaan menjadi dasar rasmi pemerintahan negara sejak pembinaan Dasar Kebudayaan
Kebangsaan. Semangat Dasar Kebudayaan Kebangsaan berlandaskan kepada penerapan
nativisme yang melihat penyelesaian masalah pembinaan Negara Bangsa dalam sebuah
pembentukan budaya tunggal (Abdul Ghappa Harun,1995). Orang Cina berpandangan

17

pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan akan membawa asimilasi paksaan (Thack Ker
Pong,2005).
Walaubagaimanapun, amat sukar untuk membentuk satu dasar yang mampu
memuaskan setiap pihak dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan
dan agama mahupun perbezaan dari sudut pandangan dan ideologi. Justeru, pelaksanaan
Dasar Kebudayaan Kebangsaan ini dilihat sebagai satu titik mula kepada penyatuan bangsa
yang muhibbah di Malaysia, walaupun ramai yang beranggapan dasar ini tidak menggarap
kepentingan seluruh kaum di Malaysia dan hanya tertumpu kepada etnik majoriti iaitu kaum
Melayu jika dilihat dari prinsipnya tetapi amatlah penting bagi setiap masyarakat Malaysia
memastikan peristiwa buruk 13 Mei tidak berulang kembali dengan menghormati setiap
perbezaan yang wujud.
3.7 DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Peristiwa 13 Mei 1969 telah mencetuskan satu pendekatan dalam masyarakat dengan
tercetusnya revolusi dalam bidang pendidikan. Sistem pendidikan kebangsaan mula
melakukan penegasan dalam pelaksanaanya selepas 1970. Pelaksanaan Dasar Pelajaran
Kebangsaan di Malaysia berasaskan Ordinan Pelajaran 1957 adalah memenuhi tugas
mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu. Ordinan pelajaran tersebut digubal untuk
membentuk satu sistem pelajaran kebangsaan yang akan memenuhi keperluan negara dan
mengerakkan pertumbuhan pelbagai sektor terutama sector ekonomi, politik dan sosial.
13 Mei telah menyedarkan kerajaan bagi menegaskna Dasar Pendidikan Kebangsaan
dengan Bahasa Kebangsaan telah ditetapkan sebagai Bahasa perantaraan utama sehingga ke
universiti dalam tempoh tertentu

(A.Aziz Deraman, 2000). Dasar ini mempunyai satu

falsafah yang mana matlamat akhirnya bagi memupuk perpaduan, keperibadiaan dan
mengembalikan nilai kemanusiaan dan nilai kerohaniaan yang sihat. Penggunanan Bahasa
18

Kebangsaan sebagai Bahasa penyatuan adalah fundamental dalam dasar Pelajaran


Kebangsaan yang juga merupakan strategi jangka panjang untuk mewujudkan bangsa
Malaysia yang bersatu padu (A.Aziz Deraman, 2000).
Menurut Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan (peny) Dasar Pendidikan
Kebangsaan digubal pada tahun 1961, dasar ini digubal berdasarkan Laporan Razak 1956 dan
Laporan Rahman Talib 1960. Matlamat utama dasar ini ialah untuk mewujudkan
persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Strategi yang digunakan untuk
mencapai perpaduan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah seperti berikut:
1. Menyediakan kurikulum (sukatan pelajaran) yang sama kandungannya,
2. Mewajibkan bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar utama disemua sekolah
dan institusi pengajian tinggi
3. Mengunakan buku-buku teks yang berlatarbelakangkan Malaysia,
4. Memperluaskan pendidikan vokasional dan teknik
5. Menyediakan pendidikan rendah mengikut kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang
berasaskan 3M (membaca, menulis dan mengira)
6. Menyediakan pendidikan menengah mengikut Kurikulum Bersepadu SekolahMenengah
(KBSM) yang menekankan perpaduan antara unsur-unsur intelektual, rohani, emosi dan
jasmani.
Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah pun
dijalankan sebelum tercetusnya peristiwa 13 Mei melalui Laporan Razak dan Laporan
Rahman Talib walaubagaimanapun dasar ini mula dikuatkuasakan pelaksanaannya selepas
berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Dasar ini dilaksanakan untuk menyemai perasaan

19

cinta akan tanah air dan menyuntik rasa kesaksamaan dalam kalangan pelajar sekolah dan
seterusnya dapat melahirkan generasi yang saling bersatu padu antara satu sama lain. Dasar
ini penting bagi mengelakkan satu lagi peristiwa berdarah berulang kembali dalam Malaysia.
Dasar pendidikan vernakular kerajaan British sewaktu memerintah negara
mewujudkan satu jambatan jurang perpaduan antara kaum melalui pendidikan secara amnya.
Penubuhan sekolah-sekolah vernakular Melayu, Cina dan India pada zaman pendudukan
British di Tanah Melayu mengasingkan para pelajar mengikut kaum amat memberikan impak
besar terhadap sistem pendidikan pada zaman itu. Kurikulum yang berbeza, Bahasa
pengantar mengikut Bahasa ibunda masing-masing dan lokasi sekolah yang jauh
menyebabkan tiada interaksi sosial berlaku pada zaman itu dan mencetuskan jurang kaum
yang amat besar dalam masyarakat Tanah Melayu ketika itu.
Justeru, pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dilihat sebagai salah satu medium
berkesan bagi mewujudkan satu entiti masyarakat yang berbilang kaum yang bersatu padu.
Bertepatanlah dengan tujuan utama dasar pendidikan ialah untuk menyediakan sistem
pelajaran kebangsaan yang lebih teratur supaya dapat melahirkan warganegara yang
berpengetahuan, bertanggungjawab, dan berkebolehan bagi mencapai taraf hidup yang lebih
baik serta memenuhi kehendak negara yang sedang membangun. Di samping itu, dasar ini
cuba mewujudkan sebuah masyarakat yang mempunyai kesetiaan, disiplin dan bersepadu
selaras dengan prinsip rukun negara. Maka dasar pendidikan bolehlah dirumuskan seperti
berikut:
1. Menyatukan sistem pelajaran untuk memupuk kesedaran dan perpaduan kebangsaan,
2. Memperluaskan serta mengubahsuai rancangan-rancangan pelajaran dan latihan bagi
memenuhi keperluan tenaga kerja .
3. Memperbaiki mutu pelajaran bagi membina suatu masyarakat yang progresif
berlandaskan sains dan teknologi moden .

20

4. Memperbaiki kemudahan-kemudahan penyelidikan, perancangan dan perlaksanaan


untuk mencapai objektif di atas.
(Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan, 1997)
Oleh itu, peristiwa 13 Mei 1969 telah membuka mata dan minda setiap masyarakat dan juga
pemimpin betapa pentingnya mewujudkan perpaduan dari peringkat sekolah supaya kejadiankejadian yang mempolemikkan isu-isu kaum tidak lagi timbul yang mampu menganggugugat kesejahteraan negara.
3.8 PENYUSUNAN SEMULA PARTI POLITIK
Bagi mengukuhkan lagi penyatuan kaum dan etnik yang ada di Malaysia melalui politik
selepas peristiwa 13 Mei tersebut, kerajaan Perikatan telah berpendapat bahawa perlunya
untuk mengadakan kerjasama dengan parti-parti pembangkang agar satu ikatan kerjasama
politik antara pelbagai etnik dan parti dapat diwujudkan. Kerajaan campuran pertama yang
telah dibentuk adalah Perikatan dengan sebuah parti pembangkang iaitu Gerakan pada
Februari 1972 supaya memudahkan kerajaan mengimplitasikan dasar-dasar sosioekonomi di
seluruh negara (Nor Fasihah, 2010) .
Apabila berlakunya masalah 13 Mei, kebanyakan parti-parti politik mula menyedari
peri pentingnya bersatu dalam satu barisan yang menggabungkan pelbagai kaum. Justeru
wujudlah Barisan Nasional yang lahir atas kesedaran untuk mengatasi masalah perpaduan
kaum akibat peristiwa 13 Mei 1969. Ia dianggotai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu (UMNO), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Kongres India Malaysia (MIC) dan
Persatuan Cina Malaysia (MCA) serta enam lagi parti politik. Tujuan pembentukan Barisan
Nasional ialah untuk mengurangkan perpecahan politik dan sesuai dengan pindaan
Perlembagaan 1971. Rombakan politik ini telah berjaya menampakkan hasil yang cukup

21

memberangsangkan kerana semua pihak semakin mula memahami kepentingan perpaduan


kaum.
4.0 KESIMPULAN
Peristiwa 13 Mei 1969 bukanlah satu peristiwa yang perlu mencari kesalahan mana-mana
pihak, justeru peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh setiap masyarakat berbilang kaum di
Malaysia. Peristiwa ini bukan sahaja telah mengorbankan banyak nyawa malah turut
memberi kesan buruk terhadap imej Malaysia di mata dunia.
Walaupun peristiwa ini dianggap sebagai sejarah hitam negara, walaubagaimanapun
terdapat kesan-kesan positif natijah daripada berlakunya peristiwa berdarah 13 Mei 1969. 13
Mei bukan sahaja menjadi titik tolak betapa pentingnya untuk memupuk perpaduan kaum
tetapi juga menunjukkan betapa cekapnya pemimpin mengendalikan situasi yang genting dan
cara yang paling berkesan dan proaktif bagi menanganinya.
13 Mei menjadi impak besar dalam kesaksamaan dalam aspek ekonomi dengan
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bukan sahaja mewujudkan banyak peluang
pekerjaan malah turut mengembangkan sosioekonomi rakyat terutama bagi masyarakat
bumiputera. Dasar pecah dan perintah yang dilaksanakan oleh kerajaan British mewujudkan
jurang ekonomi yang amat besar antara masyarakat Melayu, Cina dan India. Pembahagian
sektor ekonomi yang dikatakan berat sebelah ini melahirkan impak yang besar terhadap
ekonomi masyarakat tempatan.
Jurang pendidikan juga dititikberatkan selepas kejadian 13 Mei 1969, masyarakat
yang dahulunya diasingkan sistem pendidikan melalui sekolah vernakular dalam pentadbiran
British kini disatukan dalam sistem Kurikulum yang sama dan Bahasa perantaraan yang

22

sama. Tujuannya jelas untuk mencapai aspirasi negara dan mewujudkan perpaduan antara
kaum-kaum majoriti di Malaysia.
Pemahaman mengenai betapa pentingnya aspek perpaduan dalam kalangan
masyarakat berbilang kaum amat penting bagi mewujudkan persekitaran lestari dalam
masyarakat. Masyarakat perlu cakna mengenai perbezaan budaya, agama dan adat resam
sesuatu masyarakat supaya tidak timbul sebarang isu yang boleh mencetuskan sensitiviti
kaum. Hal ini penting supaya tidak timbul perkara-perkara yang boleh mencetuskan peristiwa
13 Mei kembali berulang.

23

RUJUKAN
A.Aziz Deraman.(2000). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia.Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Rahman Abdul Aziz.(2010) . Political Managements and Policies in Malaysia:


Rukun Negara Dalam Memperkukuhkan Pertahanan Negara. Sintok :
Jurnal Universiti Utara Malaysia

Asnarulkhadi Abu Samah dan Jayum A. Jawan.(1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang:


Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Hasnah Hussin & Mardiana Nordin. (2007). Pengajian Malaysia.Selangor: Oxford


Fajar Sdn. Bhd.

Hairany Naffis. Pendapat Umum dalam Pembentukan Dasar dan Perkembangan Politik di
Malaysia Satu Renungan. Dicapai pada 6 April 2014 daripada
http://www.ukm.my/jkom/journal/pdf_files/1989/5(2).pdf

Indrajit Banerji dan S. Logan. (2008). Asian Communication Handbook 2008. Singapura:
Asian Media Information and Communication Centre (AMIC) dan Wee Kim Wee
School of Communication and Information, Nanyang Technological University.

Just Faaland, Jack Parkinson dan Rais Bin Saniman. Dasar Ekonomi Baru Pertumbuhan
Negara dan Pencapaian Ekonomi Orang Melayu.Petaling Jaya : Ultimate Print Sdn
Bhd

24

Leon Comber. (1885). Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan Melayu-Cina,


Terjemahan Omardin Ashaari, Petaling Jaya: International Book Services.

Lotfi Ismail. (1980). Sejarah Malaysia 14001963.Kuala Lumpur : Utusan Publications &
Distributors.

Mej Zulkifli Dato Hj Tahir. 13 Mei Sejarah Hitam yang Perlu Diulangkaji dan Diiktibari.
Dicapai pada 6 April 2014 daripada http://yazidothman.com/content/view/87/12/

Nasrul Nizamwati Mohamed (2007). Corak Politik dan Keganasan. Seri Kembangan:
Penerbitan PCT Sdn.Bhd.

Ramlah Adam. (2004). Biografi Politik Tunku Abdul Rahman . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rogayah Estar Mohamed. (2006). Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dlm. Yusuf Ismail,
Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia : Kuala Lumpur. A.S Nordeen Publisher

Sulaiman Zakaria (2007). Rukun negara : Kuala Lumpur . Cahaya Kesturi (m) sdn bhd.

Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam: Pusat Penerbitan
Universiti (UPENA).

Tunku Abdul Rahman. (1969). 13 Mei Sebelum dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Thack Ker Phong. (2005) .Ketuanan Politik Melayu : Pandangan Kaum Cina. Kuala
25

Lumpur:Penerbit Universiti Malaya.

Zainal Abidin Abdul Wahid. Semangat Perjuangan Melayu. Dicapai pada 6 April 2014
daripada http://journalarticle.ukm.my/531/1/1.pdf

26

You might also like