Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 15

Integrasi dan Perpaduan Kaum Melalui dasar Pendidikan

HNS2013
KENEGARAAN
PENGENALAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai etnik yang
berbeza dari segi kepercayaan, budaya dan bahasa. Perbezaan ini menyukarkan
para pemimpin untuk memacu pembangunan negara. Oleh itu, perlu ada suatu
formula yang jitu dan ampuh untuk mencapai perpaduan dan integrasi semua
etnik menjadi satu bangsa Malaysia yang bersatu.
Justeru itu, aspek pendidikan telah dijadikan salah satu wadah utama kerajaan
untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia. Pendidikan di
Malaysia, menjadi salah satu sistem sosial yang paling penting bagi
perkembangan dan kemajuan Negara. Oleh yang demikian, perancangan yang
rapi dan terperinci telah dibuat untuk mencapai hasrat dan matlamat tersebut.
Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting
yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju
dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap
perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di
dalam sesebuah negara, penting bukan sahaja kerana fungsi kebajikan dan
sosialisasinya iaitu di mana kanak kanak dididik untuk menjadi insan yang
berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan
sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat
iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai nilai positif untuk
perpaduan kaum di kalangan para pelajar.

DEFINISI PERPADUAN DAN INTEGRASI


Perpaduan bermaksud penggabungan, manakala integrasi pula membawa
maksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu
kesatuan atau penyatuan (Kamus Dewan, 2002).
Jika digabungkan dua perkataan ini, iaitu integrasi perpaduan ia membawa
maksud mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu dengan satu identiti
nasional. Kerjasama ini meliputi integrasi wilayah, ekonomi, kebudayaan, sosial,
pendidikan dan politik (Mohd Ridhuan Tee Abdullah, 2010: 62)
Manakala konsep integrasi nasional, merupakan penyatuan kelompok
masyarakat yang mempunyai latar belakang yang berbeza, menjadi satu entiti
yang terikat oleh norma dan nilai serta kepentingan bersama, yang mempunyai
unsur penting iaitu anggota kelompok masyarakat yang bersatu padu sekalipun
berlainan latar belakang, masing-masing berasa dipunyai dan mempunyai satu
kelompok yang sama (a sense of belonging). Integrasi sebegini merupakan satu

proses yang berlaku hasil ikatan batin, iaitu ikatan perasaan antara manusia
sendiri. Ia adalah proses kerohanian atau spiritual, hasil daripada satu
penghayatan dalam mana akhirnya berlaku perkongsisn pemikiran dan hati, jauh
merentasi perbezaan budaya dan kumpulan etnik. Integrasi nasional lebih
merupakan satu proses berbentuk abstrak, satu proses penyatuan atau ikatan
yang sebati dan berpanjangan (Modul Kenegaraan, 2011: 179-180).

SEJARAH PENDIDIKAN
Negara Malaysia mempunyai sejarah pendidikan yang unik dan tersendiri.
Rentetan sejarah yang ada dan perubahan yang berlaku dalam arena politik,
ekonomi, sosial dan kebudayaan pada masa lampau, telah membawa kepada
perubahan dalam perlaksanaan dasar dan corak pendidikan negara Malaysia
serta menjadi landasan untuk perubahan pada masa akan datang. Berdasarkan
kepada perkembangan sejarah yang berlaku, pendidikan di Malaysia terbahagi
kepada tiga peringkat iaitu sebelum kedatangan British, semasa kedatangan
British dan selepas kemerdekaan.

Sejarah Pendidikan Sebelum Kemerdekaan


Sistem pendidikan sebelum kemerdekaan lebih bersifat keagamaan iaitu
berasaskan sistem pondok atau madrasah. Ianya berkembang pesat sekitar
tahun 1920-an hingga 1940-an (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65). Sekolah
jenis ini bertujuan bagi melahirkan pelajar yang bermoral tinggi, namun terdapat
kelemahan pada perlaksanaannya iaitu tidak dapat melahirkan masyarakat Islam
yang moden kerana tiada penekanan kepada mata pelajaran sains, matematik
dan bahasa Inggeris.
Sekolah Vernakular merupakan sekolah yang menggunakan bahasa ibunda
sebagai bahasa pengantar disetiap sekolah dan berasaskan kepada identiti kaum
masing-masing. Sekolah Melayu menggunakan bahasa Melayu, Sekolah Cina
menggunakan bahasa Cina atau Mandrin (Kuo Yu) dan bahasa Tamil untuk
Sekolah Tamil. Manakala Sekolah Inggeris hanya ditubuhkan di kawasan bandar
yang mana sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar
(Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 65).

Sejarah Pendidikan Semasa Penjajahan


Pada zaman penjajahan, setiap sekolah ditubuhkan mengikut kaum dan
mempunyai kurikulum yang berbeza-beza serta lokasi sekolah juga terpisah
mengikut kaum masing-masing. Sekolah-sekolah berkembang selaras dengan
perkembangan ekonomi di Tanah Melayu pada masa itu, contohnya Sekolah Cina
mendapat bantuan dari golongan peniaga Cina. Disamping itu juga sekolah Cina
ini diberi pilihan sama ada mendapat bantuan Negara Cina ataupun bantuan dari
kerjaaan tempatan.
Sistem pendidikan pada zaman ini meninggalkan kesan yang mendalam dari segi
meningkatkan persaingan dikalangan semua kaum. Walaubagaimana pun,
kependudukan Jepun telah banyak mengubah dan memberi kesan serta

menjejaskan perkembangan pendidikan di Tanah Melayu. Sekolah dan kolej


terpaksa dibaiki dan diperkemaskan kerana mengalami kerosakan dan siap
selepas tahun 1946.

Sejarah Pendidikan Selepas Kemerdekaan


Selepas kemerdekaan, sistem pendidikan negara adalah berasaskan kepada
laporan yang dikeluarkan iaitu Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-Yu (1951)
dan diikuti oleh Ordinan Pelajaran pada tahun 1952. Laporan Barnes disediakan
bagi mengkaji dan menyiasat kedudukan pendidikan orang-orang Melayu pada
masa itu. Antara syor yang diutarakan adalah penubuhan sekolah dwibahasan
yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar. Selain itu juga Sekolah Vernakular akan digantikan dengan Sekolah
Kebangsaan. Laporan Fenn-Yu pula bertujuan mengkaji semula Laporan Barnes
kerana dikatakan Laporan Barnes ingin menghapuskan bahasa dan kebudayaan
masyarakat Cina.
Oleh yang demikian, bagi menyelesaikan kemelut tersebut, kerajaan British telah
menubuhkan satu jawatankuasa dan laporan jawatankuasa ini dikenali sebagai
Ordinan Pelajaran (1952). Hasrat Ordinan Pelajaran (1952) bagi membentuk satu
corak sistem persekolahan yang menghapuskan Sekolah Vernakular Cina dan
Tamil tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan pada ketika itu. Apa yang
jelas ialah sistem pendidikan pada zaman tersebut lebih dipengaruhi oleh corak
sosio-ekonomi yang dicetuskan oleh kaum masing-masing. Aspirasi dan fikiran
yang berlainan dikalangan masyarakat menyukarkan pencapaian sesuatu
matlamat (Gurnam Kaur Sindhu et al, 2005: 68).

DASAR PENDIDIKAN
Pada zaman penjajahan, sistem pendidikan telah berkembang tanpa mengambil
kira kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan
perpaduan negara. Ianya berkembang mengikut identiti, taat setia dan keturunan
mereka kepada negara asal. Ini memberi satu tekanan kepada pembangunan
rakyat tempatan pada ketika itu. Bagi menggantikan sistem pendidikan penjajah,
beberapa langkah telah diambil dan menggubal satu Dasar Pendidikan
Kebangsaan yang bertujuan untuk memenuhi keperluan negara dan
menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.
Dasar Pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa tahap perkembangan.
Pembentukan Kabinet Persekutuan Tanah Melayu yang pertama merupakan
tahap awal kepada terbentuknya Dasar Pendidikan di negara ini. Parti Perikatan
yang mencapai kemenangan dalam pilihanraya pada tahun 1995 di bawah
pimpinan Yang Berhormat Dato Tun Abdul Razak Hussien telah menubuhkan satu
Jawatankuasa Pelajaran dan mensyorkan beberapa perubahan dalam sistem
pendidikan. Laporan ini dikenali sebagai Penyata Razak (1956). Cadangancadangan penyata ini termaktub dalam Ordinan Pelajaran (1957). Penyata Razak
ini mempunyai tujuan utama iaitu untuk menyatupadukan kaum di Malaysia yang

mana pada waktu itu terpisah oleh bahasa dan budaya yang berbeza-beza.
Antara matlamat utama Penyata Razak ini ialah :
Semua sekolah di Tanah Melayu mempunyai satu sukatan yang sama.
Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan
bahasa pengantar di sekolah-sekolah.
Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris wajib diajar di semua sekolah rendah dan
menengah
Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu
rumpun bangsa di Tanah Melayu
Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan kaun dapat
dikurangkan.
Mewujudkan masyarakat yang toleransi, berdisiplin, terlatih, liberal dan
progresif.

Terdapat pelbagai reaksi yang diperolehi dikalangan kaum termasuk parti politik
kesan daripada Penyata Razak. Orang Melayu tidak berpuas hati dan syahk
wasangka terhadap kedudukan Bahasa Inggeris di sekolah. Selain itu juga
Kesatuan Guru Sekolah Cina dan akhbar Cina menentang Perkara 12 iaitu objektif
akhir adalah untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama
di sekolah. Manakala Kesatuan Guru Sekolah Tamil menentang kerana
berpendapat bahawa kemajuan Sekolah Tamil akan terencat. Akibat terlalu
banyak penentangan terhadap Penyata Razak maka satu jawatankuasa pula
ditubuhkan untuk mengkaji semula Laporan Razak. Hasil semakan dan kajian
semula yang dijalankan terhadap Laporan Razak, maka terhasillah Laporan
Rahman Talib pada tahun 1960.
Secara umumnya Laporan Rahman Talib bersetuju dan menyokong hampir
kesemua dasar yang dicadangkan oleh Laporan Razak, dan terhadap beberapa
usul tambahan. Dalam mencapai matlamat menyatupadukan kaum, Laporan
Rahman Talib mengsyorkan supaya pendidikan di peringkat sekolah rendah
diberikan secara percuma, dan membolehkan kanak-kanak menikmati alam
persekolahan dalam sistem pendidikan. Semua sekolah yang menerima bantuann
kerajaan ditukar menjadi Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan.
Dengan ini perlbagai kaum dapat memelihara bahasa dan budaya masingmasing.
Manakala untuk mewujudkan dan mengeratkan perpaduan kaum, peperiksaan
juga telah diadakan dalam satu bahasa iaitu sama ada Bahasa Melayu ataupun
Bahasa Inggeris. Melalui laporan Razak dan Laporan Rahman Talib ini
terbentuklah Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran ini dibentuk bertujuan untuk
mencapai perpaduan kaum di Malaysia melalaui sistem Pendidikan. Akta
Pelajaran 1961 telah menggariskan tiga asas utama iaitu keseragaman sistem
persekolahan, penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
utama, dan kurikulum serta peperiksaan sekolah yang sama dari segi kandungan
dan bercorak kebangsaan.

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu titik hitam dalam sejarah Malaysia.
Peristiwa rusuhan kaum memberi pengajaran yang besar kepada kerajaan untuk
mengatasi masalah pertembungan antara etnik-etnik di Malaysia. Pada tahun
1970, kerajaan memperkuatkuasakan dua perkara penting iaitu Rukun Negara
dan Dasar Ekonomi Baru untuk mewujudkan keseimbangan di antara kaum-kaum
dan memupuk perpaduan dikalangan rakyat di Malaysia. Bidang pendidikan
menjadi teras penting untuk menjayakan objektif Rukun Negara dan Dasar
Ekonomi Baru iaitu mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini.
Pemurnian Dasar Pendidikan untuk mencapai integrasi kaum berterusan apabila
kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1974 yang bertujuan
menyemak kembali Dasar Pendidikan Kebangsaan. Jawatankuasa ini
dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad yang pada ketika itu
memegang jawatan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Dalam laporan itu
menyatakan tujuan jawatankuasa ini :
Mengkaji semula matlamat dan kesannya sisitem pendidikan termasuk
kurikulumnya, dalam rangka Dasar Pendidikan Kebangsaan yang wujud, dengan
tujuan memastikan bahawa keperluan tenaga rakyat negara dapat dipenuhi
sama ada dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang, dan lebih-lebih lagi
untuk memastikan bahawa sistem pelajaran itu dapat memenuhi matlamat
negara ke arah melahirkan masyarakat yang bersatu padu berdisiplin dan
terlatih (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 100).
Laporan jawatankuasa ini adalah sama seperti laporan-laporan yang terdahulu
iaitu untuk menyatupadukan rakyat seperti yang terdapat dalam Akta Pelajaran
1961. Menjadikan pendidikan sebagai alat utama untuk mencapai perpaduan di
negara ini. Oleh tiu aspek bahasa telah menjadi penekanan utama untuk
mencapai hasrat kerajaan. Dalam laporan ini, matlamat pendidikan Bahasa
Malaysia ( Bahasa Melayu ) sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi utama dan
bahasa untuk menyatukan rakyat (Mohd Yazid Yusoff et al.,2002: 4-5). Melalui
laporan Jawatankuasa Kabinet juga, Pusat Perkembangan Kurikulum telah
memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1983. Kerajaan juga
memperkenalkan Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1988 untuk
membentuk individu murid yang menyeluruh dan seimbang dari segi jasmani,
emosi, intelek dan rohani, emosi dan jasmani (Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009:
101).
Menjelang tahun 1995, kerajaan telah meluluskan Akta Pendidikan 1996. Akta ini
menggantikan Akta Pendiidkan 1961, tetapi masih menyokong matlamat
menyatupadukan kepelbagaian kaum di Malaysia menerusi pendidikan. Akta ini
menampilkan beberapa perubahan besar terhadap dasar pendidikan negara dan
dianggap sebagai dasar yang sangat liberal. Ia dianggap membayangkan
perubahan sikap masyarakat Melayu dan memenuhi beberapa impian
masyarakat Cina(Mohamad Rodzi Abd Razak, 2009: 101). Akta ini juga memberi
penekanan kepada peningkatan pendidikan prasekolah, pendidikan swasta,
pendidikan keguruan, pendidikan teknikal dan pendidikan khas. Dalam seksyen
17 Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaaan adalah
abahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan kecuali di
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
Tamil (Gurnam Kaur Sidhu et al., 2005: 75).

Terdapat 3 fokus utama dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu yang


pertama ialah perkembangan individu secara menyeluruh, seimbang dan
bersepadu. Kedua adalah perpaduan rakyat dan yang ketiga pendidikan
sepanjang hayat ke arah membina masyarakat yang aman dan makmur. Melalui
Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerajaan mewajibkan murid tahap 2 di sekolahsekolah rendah terlibat dan menyertai aktiviti unit beruniform, persatuan dan
sukan. Penglibatan murid dalam aktiviti sebegini boleh memupuk semangat
perpaduan dikalangan murid yang terlibat jika dipupuk dari peringkat kecil lagi.
Perkembangan kurikulum pendidikan juga mengikut arus dan kesesuaian semasa.
Pada tahun 2010 Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
dilaksanakan di prasekolah menggantikan kurikulum lama. Manakala di peringkat
sekolah rendah pula, diperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang mana mula
dilaksanakan pada tahun 2011 untuk Tahun 1.
Pada tahun 2011 juga, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidddin Yassin telah
melancarkan dasar 1 Murid 1 Sukan. Dari segi rasionalnya, dasar ini
menyumbang kepada pertandingan yang sihat, semangat muhibbah,
kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai-nilai moral dan fizikal yang
memberi satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumulan
etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cintakan
negara (Buku Panduan Perlaksanaan Dasar Satu Murid Satu Sukan, 2011: 2).
Kesimpulannya pelbagai Dasar Pendidikan telah dilaksanakan bermula daripada
saat negara bebas daripada penjajahan British sehinggalah ke hari ini. Antara
fokus utama dasar-dasar ini di samping untuk memberi pendidikan kepada rakyat
ianya jelas menjadi alat terpenting untuk menyatupadukan dan
mengintegrasikan etnik yang pelbagai di negara ini. Dasar-dasar ini berkembang
dan berubah dari masa ke masa untuk memenuhi kehendak dan keadaan
semasa. Walaupun dasar ini seringkali berubah, namun ia tidak lari daripada
misinya yang asal iaitu membangunkan sesebuah negara di mana rakyatnya
berbilang kaum, bersatu padu untuk memacu negara ke arah kegemilangan dan
mampu bersaing dalam arus golbalisasi yang semakin mencabar.

CABARAN INTEGRASI DAN PERPADUAN MELALUI DASAR PENDIDIKAN


Integrasi dan perpaduan kaum yang ingin dicapai oleh kerajaan melalui Dasar
Pendidikan berdepan dengan cabaran dan halangan yang besar. Salah satu
cabaran utama untuk mencapai perpaduan kaum ini ialah aspek dalaman iaitu
perbezaan bahasa, kebudayaan, kepercayaan dan keturunan yang
mempengaruhi sikap dan nilai sesuatu kaum. Perbezaan ini menyebabkan setiap
kaum di negara ini sukar untuk menerima perubahan yang ingin dilaksanakan
oleh kerajaan dalam dasar pendidikan, kerana pada sangkaan mereka ia
melibatkan penerimaan dan pengorbanan iaitu mereka terpaksa menerima unsur
kaum lain dan mengorbankan unsur kaum sendiri. Situasi sebegini pasti akan
mendapat tentangan daripada pelbagai kaum kerana unsur keturunan,
kepercayaan, budaya dan bahasa sudah menebal dalam kaum masing-masing.
Cabaran kedua ialah pola kedudukan kaum yang berbeza-beza juga menjadi
salah satu cabaran untuk mencapai perpaduan dan integriti kaum. Pola

kedudukan kaum adalah berasaskan sumber ekonomi ini berpunca pada zaman
penjajahan iaitu dasar British yang mengamalkan sistem pecah dan perintah
(divide and rule). Di mana kedudukan ini dapat dilihat orang Melayu menjadi
petani dan menetap di kampung-kampung. Orang Cina pula di tempatkan di
kawasan lombong biji timah yang mana akhirnya menjadi pekan-pekan baru dan
berkembang menjadi bandar. Manakala kaum India pula bekerja sebagai buruh
ladang getah dan menetap di estet-estet.
Untuk mencapai misi pendidikan iaitu perpaduan dan integriti kaum, jarak
kedudukan kaum ini menjadi satu cabaran yang sukar. Kerajaan perlu memikirkan
satu cara untuk meletakkan murid-murid daripada pelbagai kaum disatu sekolah
yang sama supaya matlamat dasar pendidikan iaitu untuk menyatu dan
mengintegrasikan kaum dapat dicapai. Penempatan murid daripada pelbagai
kaum dalam satu sekolah atau kawasan mungkin dapat dilaksanakan sekiranya
selepas kemerdekaan, kerajaan dapat mengubah keadaan ekonomi iaitu
mewujudkan pelbagai pekerjaan yang menghapuskan pengenalan kerja mengikut
kaum.
Cabaran ketiga ialah menyediakan guru yang merupakan agen kerajaan untuk
menyampaikan dan melaksanakan dasar pendidikan kepada murid dan
masyarakat. Oleh itu aspek guru juga menjadi cabaran untuk mencapai
perpaduan dan integrasi kaum. Guru perlu dipersiapkan dengan ilmu
pengetahuan yang cukup dan lengkap untuk menghadapi pelbagai situasi di
sekolah dan masyarakat sekitarnya. Guru perlu memahami misi, objektif dan
matlamat akhir sesuatu dasar pendidikan supaya hasrat perlaksanaan sesuatu
dasar itu terlaksana.
Jika seseorang guru itu cetek ilmu dan malas untuk mengambil tahu isu semasa,
ia akan menimbulkan masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran
seterusnya membawa murid-murid ke arah matlamat yang salah menyebabkan
salah satu matlamat iaitu mencapai perpaduan dan integrasi antara kaum tidak
dapat dicapai. Oleh itu pihak kerajaan perlu memberi latihan dan kefahaman
kepada setiap guru apabila melaksanakan sesuatu dasar yang baru supaya
segala perancangan mengikut landasan yang betul dan generasi yang akan
datang lahir sebagai individu yang mempunyai sifat cinta dan membudayakan
perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.
Media massa juga menjadi agen penyampai matlamat tentang dasar-dasar
kerajaan termasuklah dasar pendidikan. Media massa bukan hanya membekalkan
fakta dan data tertentu. Ia juga memberikan maklumat tentang matlamat,
maksud dan kesignifikanan sesuatu peristiwa. Media massa ini pula perlu peka
apabila menyampaikan sesuatu dasar itu, lebih-lebih lagi jika isu tersebut
menyentuh isu-isu sensitif supaya tidak menimbulkan konflik dikalangan
masyarakat. Melalui matlamat yang tepat, masyarakat akan dapat memahami
kehendak dan matlamat kerajaan dalam melaksanakan sesuatu dasar.

KEBERHASILAN INTEGRASI DAN PERPADUAN KAUM


Bidang Pendidikan
Keberhasilan integrasi dan perpaduan dalam bidang pendidikan di Malaysia boleh
dinilai dalam beberapa aspek utama iaitu :

1.

Matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama

2.

Matlamat mewujudkan sekolah pelbagai kaum

3.

Matlamat menyatukan pelbagai kaum melalui aktiviti ko-kurikulum

Dalam kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua


Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan, ianya masih lagi
belum mencapai matlamat yang diinginkan. Kaum Cina merupakan kaum yang
paling kuat menentang matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar. Ini kerana mereka bimbang bahasa ibunda mereka akan hilang
penggunaanya pada masa akan datang. Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996
memberi kelonggaran kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk menjadikan bahasa ibunda mereka sebagai
bahasa pengantar dan menjadikan mengurangkan penggunaan Bahasa Melayu.
Oleh itu, sehingga sekarang kerajaan melalui perubahan-perubahan dasar
pendidikan masih belum mencapai matlamat menjadikan Bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama disemua sekolah di negara ini. Kegagalan kerajaan
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di semua sekolah
merumitkan lagi usaha untuk mencapai integrasi dan perpaduan kaum di
Malaysia. Ini adalah kerana, semua kaum berusaha mempertahankan bahasa
ibunda masing-masing dan sehingga wujudnya jurang integrasi antara etnik-etnik
di negara ini. (Riduan Tee, 2010: 69)
Manakala hasrat dan matlamat kerajaan untuk mewujudkan sekolah integrasi
iaitu pelbagai kaum di dalam sebuah sekolah atau beberapa buah sekolah
pelbagai kaum dalam satu kawasan juga masih lagi belum dapat dilaksanakan.
Sebagai contoh, kerajaan telah mewujudkan Sekolah Wawasan namun mendapat
tentangan hebat dari masyarakat Cina kerana menganggap Sekolah Wawasan
akan menghilangkan identiti dan bahasa ibunda mereka (Modul Kenegaraan,
2010: 184). Pada masa ini bukan sahaja sekolah rendah dan sekolah menengah
berasaskan bangsa dan kaum, tetapi juga pusat-pusat pengajian tinggi tempatan
ditubuhkan berasaskan kepada kaum. Dalam konteks pengajian tinggi di
Malaysia, terdapat 20 buat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 32 buah
Intitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) telah disenaraikan oleh Kementerian
Pengajian Tinggi. Penubuhan IPTS ini ada yang berasaskan kaum dan parti politik
seperti penubuhan Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR). Universiti ini dimiliki
oleh Malaysian Chinese Association (MCA) dan hampir seratus peratus (100%)
daripada pelajarnya adalah kaum Cina.
Satu kajian yang dijalankan oleh sekumpulan pensyarah di Universiti Utara
Malaysia terhadap pelajar-pelajar mereka yang berbangsa Melayu, Cina dan India
mendapati kebanyakkan pelajar-pelajar tersebut mempunyai sentimen
perkauman yang tinggi. Para pelajjar masih suka bergaul dengan kaum sendiri
dalam semua hal berbanding bergaul dengan kaum-kaum lain. Semua ini berlaku
disebabkan oleh proses sosialisasi yang dilalui sebelum memasuki alam kampus.
Polarisasi ini amat membimbangkan dan menjadi penghalang kepada integrasi
dan perpaduan antara kaum di Malaysia (Riduan Tee, 2010: 74). Daripada hasil
kajian ini dapat dikatakan bahawa pelajar-pelajar yang mendapat pendidikan di
sekolah yang berasaskan kaum tertentu lebih suka menyambung pengajian ke
peringkat yang lebih tinggi di pusat-pusat pengajian yang mempunyai kaum yang

sama dengan kaumnya. Hal ini boleh membantutkan usaha kerajaan mencapai
perpaduan di negara ini.
Walau bagaimanapun, usaha kerajaan mencapai perpaduan melalui ko-kurikulum
di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan pengajian tinggi
menampakkan hasil yang positif. Melalui aktiviti ko-kurikulum seperti aktiviti
kebudayaan, keseniaan dan sukan menampakkan semangat perpaduan diantara
pelajar-pelajar pelbagai kaum. Aktiviti sebegini boleh merapatkan hubungan dan
membangkitkan semangat tolong-menolong, semangat setiakawan dan saling
percaya-mempercayai di antara pelajar-pelajar pelbagai kaum yang terlibat.
Penglibatan pelajar secara aktif dalam bidang ko-kurikulum akan melahirkan
individu pelajar yang berfikiran terbuka dan matang dalam perhubungan dan
bersosial.
Secara keseluruhannya hasrat dan matlamat kerajaan untuk mengintegrasi dan
menyatupadukan kaum melalui dasar pendidikan di sekolah dan pusat pengajian
tinggi belum lagi mencapai matlamat sepenuhnya walaupun terdapat hasil yang
boleh dibanggakan. Ini kerana setiap dasar yang dilaksanakan mendapat
tentangan daripada pelbagai pihak yang tidak melihat dasar pendidikan tersebut
dari sudut politik. Mereka sering berprasangka buruk sebelum menilai dan
melihat dasar tersebut secara terperinci. Mereka juga sering mendahulukan
kepentingan kaum daripada kepentingan nasional. Namun demikian usaha
kerajaan untuk menyatupadukan pelbagai kaum melalui dasar pendidikan dapat
dilihat hasil positifnya dalam bidang ko-kurikulum. Pelajar pelbagai kaum yang
terlibat secara aktif akan menjadi lebih matang dan bertoleransi dengan kaum
lain hasil daripada kerjasama yang mereka lalui.

Bidang Politik
Dalam bidang politik pula, Dasar Pendidikan Kebangsaan berhasrat melahirkan
generasi yang akan memimpin negara menjadi sebuah negara maju dan
mempunyai semangat patriotik. Ianya adalah satu penubuhan parti politik yang
tidak bersifat perkauman dan ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum. Sifat
perjuangannya pula adalah meletakkan kepentingan umum lebih daripada
kepentingan kaumnya sendiri. Namun pada hari ini di Malaysia, kepelbagaian
kaum yang ada menyebabkan masyarakat masing-masing menubuhkan
persatuan dan parti politik yang berasaskan kepada kaum masing-masing.
Contohnya kaum Melayu memperjuangkan hak orang-orang Melayu melalui
pasrti United Malaysian National Organisation (UMNO), orang Cina melalui parti
Malaysian Chinese Assosiation (MCA), dan kaum India melalui parti Malaysian
Indian Congress (MIC). Alasan parti-parti politik ini ditubuhkan mengikut kaum
adalah untuk mengelakkan kaum itu ditindas oleh kaum lain. Keadaan ini
sebenarnya akan lebih menimbulkan konflik dan pertikaian daripada
penyelesaian tentang sesuati isu yang dibangkitkan.
Keadaan politik di negara Malaysia hari ini adalah kerana kegagalan dasar
pendidikan yang dilaksanakan untuk melahirkan pelapis pemimpin negara untuk
menghormati dan memahami kaum lain. Hal ini bukan hanya berpunca daripada
kelemahan yang terdapat dalam dasar pendidikan tersebut tetapi ianya juga
berpunca daripada sikap kaum itu sendiri yang ego dan mementingkan kaum
serta gagal untuk menerima perubahan yang terdapat dalam dasar pendidikan.

Sebagai contohnya, perlaksanaan dasar bahasa kebangsaan dan sekolah


integrasi yang ditentang hebat oleh pelbagai kaum tanpa memikirkan kebaikan
dan tujuan murni kerajaan untuk melahirkan generasi yang memahami dan peka
terhadap kaum lain. Generasi yang ingin dihasilkan melalui dasar pendidikan
yang dirancang akan mampu memahami dan menghormati kaum lain dan
seterusnya memerintah negara Malaysia dengan adil tanpa menindas dan
menafikan hak-hak kaum lain.
Dalam senario politik semasa juga dapat dilihat bahawa krisis nilai, akhlak atau
etika di kalangan pemimpin menyumbang ke arah perpecahan. Dasar
pendidikan pada peringkat awal gagal untuk memberikan penekanan kepada peri
pentingnya penerapan nilai-nilai murni dan akhlak mulia untuk membentuk
generasi yang seimbang dari segi luaran dan dalaman. Oleh itu lahirlah generasi
pemimpin yang tidak mampu untuk menghadapi tekanan dengan profesional.
Maka terbentuklah aliran politik yang negatif iaitu saling mencari keburuk pihak
lawan dan bukannya menampilkan kewibawaan diri sendiri. Corak politik yang
sebegini akan menyumbang kepada perpecahan dan pertelingkahan dikalangan
ahli-ahli politik dan para penyokongnya, seterusnya akan menghalang berlakunya
perpaduan kaum di Malaysia. Oleh yang demikian langkah dan tindakan
mewujudkan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan generasi yang
seimbang amat tepat. Namun negara masih lagi belum dapat melihat hasilnya
pada hari ini.
Politik yang berasaskan kaum ini seringkali menimbulkan ancaman yang besar
terhadap kesejahteraan negara. Ianya berlaku apabila ahli politik yang cetek ilmu
pengetahuan tentang sejarah di Malaysia mempertikaikan kuasa Raja-raja Melayu
dan status kedudukan orang-orang Melayu. Isu-isu ini bagaikan mencurahkan
minyak ke dalam bara api. Ia boleh membangkitkan api kemarahan orang-orang
Melayu dan boleh mencetuskan pertumpahan darah di negara ini. Oleh itu, mata
pelajaran sejarah perlu diajar diperingkat sekolah rendah lagi dan perlu dijadikan
mata pelajaran teras supaya isu-isu berkaitan Raja-raja Melayu dan hak-hak
keistimewaan orang-orang Melayu dapat difahami oleh semua kaum di negara
ini.
Dalam bidang politik ini, kelemahan dasar pendidikan untuk melahirkan pelapis
pemimpin negara yang bersifat patriotik menyebabkan wujudnya parti-parti
politik yang bersifat perkauman. Perjuangan mereka lebih mementingkan
pembelaan kaum masing-masing melebihi kepentingan negara. Manakala krisis
nilai dan akhlak yang membelenggu personaliti ahli-ahli politik masa kini juga
mengakibatkan berlakunya perselisihan kaum yang menyumbang kepada
perpecahan.

Bidang Ekonomi
Dasar Pendidikan Negara juga dirancang dan dilaksanakan dengan matlamat
untuk melahirkan individu yang berilmu dan berkemahiran yang akhirnya mampu
untuk bersaing dalam pelbagai bidang pada masa akan datang termasuklah
bidang ekonomi. Dalam sudut ekonomi ini, jurang ekonomi yang jauh berbeza
antara kaum di negara ini menyulitkan kerajaan mencapai agenda perpaduan. Di
samping itu juga, melalui pendidikan pengenalan identiti kaum mengikut jenis
pekerjaan juga dapat dihilangkan. Untuk menilai sama ada berjaya atau tidak

matlamat dan hasrat kerajaan, ianya boleh dilihat dari sudut kejayaan
mengurangkan jurang ekonomi di antara kaum dan kejayaan menghapuskan
pengenalan identiti kaum melalui bidang ekonomi.
Jurang ekonomi yang besar akan menyukarkan agenda perpaduan dan
integrasi kaum. Di negara ini, kaum Cina mendominasi bidang ekonomi. Keadaan
ini menimbulkan rasa iri hati kaum lain terhadap kaum Cina. Untuk mengatasi
masalah ini kerajaan melalui dasar pendidikan telah berjaya melahirkan ramai
golongan terpelajar dalam bidang ekonomi. Justeru itu, pada masa kini telah
muncul individu-individu daripada pelbagai kaum yang berjaya menyaingi kaum
cina dalam bidang ekonomi khususnya bidang perniagaan. Persaingan yang sihat
ini akan mengurangkan rasa cemburu dan iri hati kaum lain terhadap kaum Cina.
Pada masa kini juga, jenis pekerjaan tidak lagi menggambarkan identiti
sesuatu kaum di Malaysia. Semua kaum bebas memilih pekerjaan yang mereka
inginkan, sama ada dalam sektor awam, swasta atau bekerja sendiri. Keadaan ini
adalah hasil daripada dasar kerajaan yang telah berjaya memberi pendidikan
kepada semua kaum. Dalam sektor awam, jawatan guru contohnya, terdiri
daripada pelbagai kaum, Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya.
Melalui percampuran pelbagai kaum dalam bidang yang sama akan
memudahkan lagi matlamat kerajaan untuk mencapai perpaduan dan integriti
kaum di negara ini. Golongan ini lebih mudah memahami dan menghormati
budaya dan adat resam kaum lain.
Oleh yang demikian dapatlah dikatakan bahawa, dasar pendidikan yang
dilaksanakan oleh pihak kerajaan telah berjaya melahirkan golongan yang
terpelajar dan berilmu daripada pelbagai kaum. Golongan terpelajar ini telah
merubah corak kehidupan dan ekonomi di negara ini. Tiada lagi monopoli
ekonomi oleh suatu kaum sahaja, bahkan ekonomi Malaysia terbuka luas untuk
diterokai oleh semua kaum. Melalui corak ekonomi yang lebih terbuka ini, jurang
ekonomi di antara kaum dapat dikurangkan.

Bidang Sukan dan Kesenian


Falsafah Pendidikan Negara bermatlamat membentuk individu murid yang
menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh
yang demikian dasar pendidikan juga menekankan aspek ko-kurikulum dalam
menyatupadukan murid pelbagai kaum. Melalui ko-kurikulum bakat murid dapat
diasah dan diperkembangkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi. Melalui dasar
pendidikan inilah, minat murid dalam bidang sukan dan kesenian ditanam dan
diperkembangkan.
Negara kita telah mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan. Contohnya
sukan skuasy, badminton, bola sepak dan sebagainya. Pelbagai lapisan
masyarakat dan kaum telah menunjukkan semangat patriotik dengan bersatu
memberikan sokongan kepada ahli-ahli sukan negara dan juga peserta-peserta
yang terlibat. Kemenangan sama-sama diraikan dan kekalahan turut sama
dirasai. Ini menunjukkan kejayaan dasar pendidikan dalam menyatupadukan
rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan menanam minat terhadap sukan.
Namun begitu, masih ada kelemahan dalam bidang sukan ini. Iaitu masih ada
sukan yang dimonopoli oleh kaum tertentu sahaja. Contoh yang jelas adalah

sukan bola keranjang dimonopoli oleh kaum berbangsa Cina. Perlawanan bola
keranjang peringkat kebangsaan yang disiarkan melalui Astro menunjukkan
bahawa hanya kaum Cina yang terlibat, pemain, penonton dan pengadil
semuanya berbangsa Cina. Begitu juga dengan sukan sepak takraw, semua
pemain adalah berbangsa Melayu. Oleh itu kerajaan perlu berusaha supaya
sukan-sukan sebegini diminati oleh semua golongan dan kaum.
Manakala dalam bidang kesenian pula, murid-murid dididik supaya meminati seni
dari peringkat sekolah rendah lagi. Melaui kesenian, murid-murid diajar tentang
kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Malaysia. Pendidikan kesenian ini
akan membuka dan mematangkan minda murid-murid. Mereka boleh menerima
dan akan menghormati budaya orang lain. Minat yang disemai dari peringkat
awal lagi akan melahirkan insan-insan seni dalam pelbagai bidang seperti seni
lakonan, seni tarian, nyanyian, seni lukis dan sebagainya. Insan-insan seni yang
memahami kebudayaan dan sensitiviti bangsa lain akan melahirkan karya-karya
yang bercorak perpaduan. Melalui karya-karya sebegini akan membantu
membuka minda individu lain ke arah kecemerlangan perpaduan. Sebagai
contohnya seorang pengarah filem menghasilkan filemyang bercorak patriotik
akan member kesan yang positif dan prasangka baik di kalangan penonton.
Hasrat kerajaan melalui dasar pendidikan untuk menyatupadukan kaum dalam
bidang sukan dan kesenian telah mencapai matlamatnya. Kejayaan ini
menjadikan kerajaan lebih ghairah memperkenalkan dasar baru agar semua
murid terlibat dalam aktiviti sebegini. Penubuhan sekolah sukan dan sekolah seni
merupakan antara titik tolak usaha kerajaan memperkasakan perpaduan kaum di
Malaysia. Dasar 1 Murid 1 Sukan juga telah dilaksanakan bermula tahun 2011
utnuk memastikan perpaduan kaum dapat dicapai.

Bidang Sosial
Dalam bidang sosial, melalui dasar pendidikan kerajaan berhasrat untuk
meningkatkan keharmonian dan perpaduan antara kaum. Perpaduan dari sudut
sosial ini ialah penyatuan kelompok masyarakat yang berbilang bangsa dengan
latar belakang kebudayaan dan kepercayaan yang berbeza hidup bersama dan
slain bertolak ansur utnuk kepentingan dan faedah bersama. Melalui pendidikan,
kerajaan menekankan peri pentingnya mempelajari sejarah, kebudayaan dan
kepercayaan kaum lain serta menghormatinya. Pengetahuan amat bernilai
supaya tidak berlaku kejutan budaya apabila berlakunya pertembungan di antara
kaum dan etnik yang berlainan.
Perpaduan dan integrasi sosial pada hari ini dapat dilihat dalam
kehidupan masyarakat negara ini yang tinggal di kawasan bandar dan kawasan
luar Bandar. Kawasan taman perumahan contohnya, pelbagai kaum tinggal
berjiran, mereka saling bekerjasama untuk menjaga keharmonian kawasan
mereka. Manakala pelbagai aktiviti-aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersama.
Persatuan Rukun Tetangga yang ditubuhkan diharap oleh ahli-ahli pelbagai kaum
untuk menjaga keamanan dan keselamatan kawasan tempat tinggal mereka.

Di samping itu, perpaduan kaum juga dapat dilihat melalui perkahwinan. Pada
masa kini perkahwinan berlainan bangsa bukan lagi menjadi perkara baru bahkan
kebanyakkannya direstui oelh keluarga kedua-dua pihak. Senario ini banyak
berlaku di negeri Sabah yang mana bilangan etniknya berjumlah 42 etnik. Jika
pada suatu masa dahulu perkahwinan sebegini boleh menimbulkan
persengketaan antara kedua-dua etnik, tetapi pada masa kini ianya sudah
menjadi kebiasaan hasil daripada sifat tolak ansur dan menghormati antara satu
sama lain. Melalui pendidikan juga, pelbagai kebudayaan masyarakat berbilang
kaum di Malaysia mula difahami dan diterima oleh kaum lain selagi ianya tidak
menyebabkan kehilangan identiti asal kaum. Sebagai contoh, budaya bertukartukar makanan di kalangan jiran, sambutan perayaan bersama-sama, pemberian
duit raya dan sebagainya
Walaupun begitu dari bidang sosial ini, masih lagi berlaku pertelingkahan dan
pergaduhan yang menumpahkan darah akibat berlaku pertembungan antara dua
atau lebih kaum yang berbeza adat dan budaya. Namun seringkali berita-berita
sebegini tidak disiarkan di media massa untuk mengelakkan perbalahan antara
kaum menjadi lebih buruk. Faktor utama yang mencetuskan perkara ini ialah
faktor sikap dan mendahulukan kepentingan kaum daripada kepentingan
bersama. Oleh itu dasar kerajaan melalui Kurikulum Standard Prasekolah
Kebangsaan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) amat tepat
iaitu menerap nilai-nilai murni seawal usia lagi.

Penutup
Untuk mencapai perpaduan dan integrasi kaum di negara ini bukanlah suatu
tugas yang mudah. Proses untuk mencapai perpaduan dan integrasi mengambil
masa yang lama serta memerlukan perancangan yang teliti, tepat dan bijaksana.
Bidang pendidikan merupakan bidang yang paling penting dan sesuai untuk
mencapai hasrat kerajaan menyatupadukan dan mengintegrasikan pelbagai
kaum. Oleh yang demikain, pelbagai dasar pendidikan telah dirancang dan
dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sesuai dengan suasana dan keadaan
semasa untuk mencapai matlamat tersebut. Setiap dasar yang dilaksanakan
oleh kerajaan telah menghadapi tentangan dan cabaran yang berbeza daripada
pelbagai kaum di negara ini. Seringkali faktor sikap mementingkan kaum sendiri
melebihi kepentingan negara menjadi penghalang kejayaan sesuatu dasar.
Justeru itu, untuk mencapai perpaduan kaum secara mutlak semua pihak perlu
meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan kaumnya.
Sekiranya sikap ini tidak dapat dipraktikkan oleh semua kaum, hasrat untuk
mencapai perpaduan dan integrasi di negara ini hanya menjadi angan-angan
yang tidak mungkin dapat dicapai.

RUJUKAN

Buku Panduan Perlaksanaan Satu Murid Satu Sukan (1M 1S).(2011). Putrajaya.
Perpustakaan Negara Malaysia. Bahagian Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia
ISBN 978-983-3444-32-8

Gurnam Kaur Sidhu, Gurcharan Singh Sandhu, Kamaruzaman Moidunny dan


Ranjit Kaur Sidhu.(2005). Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) : Kompetensi Umum
(Teras dan Profesional). Selangor : Penerbit Fajar Bakti sdn. Bhd.

Jamil Ahmad dan Norlia Goolamally. Pentadbiran dan Pengurusan Sistem


Pendidikan Malaysia Ke Arah Pendidikan Berkualiti.

Kamus Dewan Edisi Ke 3.(2002). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Modul HNS2013 Kenegaraan Pendidikan Jarak Jauh.(2011). Unit 10 Isu-isu Dan


Cabaran
Negara. Tanjung Malim Perak: Universiti Perguruan Sultan Idris.

Mohamad Rodzi Abd Razak, . (2009). Pembinaan negara bangsa Malaysia :


Peranan pendidikan sejarah dan dasar pendidikan kebangsaan. pp. 90-106. ISSN
2180-0251

Mohd Yazid Yusoof , MOhd Noor Mohd Zain dan Idris Omar. (2002). Kertas Kerja :
Persamaan dan Perbezaan Akta Pelajaran Dengan Akta Pendidikan 1996 melalui
http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?
y=2002&dt=0125&pub=DuniaPendidikan &sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm

Mohd Ridhuan Tee Abdullah.(2010). Cabaran integrasi antara kaum di Malaysia :


perspektif sejarah, keluarga dan pendidikan. Jurnal Hadhari, 2 (1). pp. 61-84. ISSN
1985-6830

Muslim, Nazri and Alias, Jamsari. (2004). Patriotisme: Konsep dan pelaksanaannya
di Malaysia. In: Seminar Antarabangsa Nilai dalam Komuniti Pasca Modenisme
(SIVIC 2004), 4-6 September 2004, Hotel City Bayview Langkawi. (Unpublished)

Omar, Rusdi dan Mukhtaruddin, Mas Juliana (2010). Dasar luar Malaysia era
Dato Seri Mohd Najib Tun Razak: Keutamaan dalam aspek hubungan dua hala.
In: Proceedings Seminar on Nasional Resilience (SNAR 2010) "Political
Managements and Policies in Malaysia", 13-15 July 2010, Bayview Hotel

Langkawi. Institute of Tun Dr. Mahathir Mohamads Thoughts, Universiti Utara


Malaysia , Sintok , pp. 173-194. ISBN 978-983-44865-3-2

Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui


http://www.pmo.gov.my/dokumenattached/Dasar/09DASAR_PENDIDIKAN_KEBANG
SAAN.pdf

Label: TUGASAN SEMESTER 1


5 ULASAN:

You might also like