Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Masalah Tidak Menyiapkan Kerja Rumah Dalam Kalangan Murid Orang Asli Di

Sebuah Sekolah Orang Asli : Faktor dan Cadangan Menanganinya


Aslian bin Pios
Open University Malaysia

Abstrak
Kerja rumah merupakan salah satu alat untuk memperkukuhkan pengetahuan atau kemahiran
murid dalam satu-satu tajuk yang telah diajar di dalam bilik darjah. Ianya juga berfungsi untuk
mengesan tahap kefahaman murid terhadap sesuatu yang disampaikan oleh guru selain daripada
melatih murid bertanggungjawab dan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Isu murid
Orang Asli tidak menyiapkan kerja rumah menjadi agak serius dewasa ini sehingga merisaukan
pemimpin sekolah dan guru. Apa yang pasti gejala ini sedikit sebanyak menyebabkan pencapaian
bidang akademik mereka berada pada tahap yang sangat sederhana dan kelihatan tidak dinamik dan
berkembang. Sehubungan itu, kajian ini dilaksanakan bagi tujuan merungkai persoalan apakah faktor
yang menyebabkan sebilangan murid Orang Asli ini sukar untuk menyiapkan kerja rumah mereka.
Selain itu memberi cadangan tindakan proaktif yang boleh diambil oleh pemimpin sekolah dan guru
bagi membendung gejala yang akan merugikan pencapaian murid dan sekolah itu sendiri. Gabungan
pendekatan kuantitatif dan kualitatif iaitu kaedah temu bual dan soal selidik akan digunakan. Kaedah
kualitatif digunakan kepada responden kajian terdiri daripada beberapa murid Orang Asli yang
dikenal pasti selalu tidak menyiapkan kerja rumah yang dipilih melalui kaedah purposive sampling
manakala bagi kaedah kuantitaif pula responden kajian terdiri daripada semua murid Orang Asli
Tahun 3, 4 dan 5 sekolah tersebut.
Kata kunci :

kerja rumah

Orang Asli

sekolah

faktor

cadangan

Pengenalan
Umum mengetahui dan mengakui bahawa kerja rumah adalah sesuatu yang mendatangkan
impak yang positif dan perlu dibuat oleh semua murid sama ada di peringkat prasekolah mahupun di
peringkat menengah atas. Semua orang yang telah menjalani persekolahan di peringkat rendah dan
menengah tentu tidak akan dapat lari daripada pengalaman menerima dan menyiapkan kerja rumah.
Menurut Butler (1987), kerja rumah adalah masa yang pelajar habiskan di luar kelas untuk latihan,
pengukuhan, menggunakan kemahiran dan pengetahuan yang baru dipelajari dan mempelajari
kemahiran yang diperlukan melalui pembelajaran kendiri. Maksud kerja rumah menurut kamus
Oxford yang dipetik daripada oxforddictionaries.com adalah kerja sekolah yang seseorang murid
perlu buat di rumah.
Di antara kepentingan kerja rumah adalah ianya sebagai alat bagi guru untuk melihat
pencapaian murid dan menganalisa masalah pembelajaran murid. Selain itu, ianya juga menyediakan
latihan tambahan serta menambah jumlah masa murid belajar sesuatu kemahiran yang diajarkan
kepada mereka (Butler 1987). Yeo dan Ainul (2011) menggariskan bahawa pelajar memerlukan kerja
rumah yang pelbagai jenis sesuai dengan tajuk yang dipelajari supaya ia dapat membantu pelajar lebih
memahami apa yang diajar guru, seterusnya membantu meningkatkan pencapaian pelajar. Justeru itu,
tidaklah dapat dinafikan kepentingan kerja rumah dalam membantu meningkatkan pencapaian
pelajaran murid sekolah.
Penyataan Masalah
Seperti yang telah dinyatakan di atas, melaksanakan kerja rumah adalah antara faktor yang
menyumbang kepada kejayaan murid dalam pelajaran. Menurut Mazulina (2004) pelajar harus
mempunyai sikap positif terhadap pelajaran mereka bagi memperoleh pencapaian akademik yang

baik. Salah satu caranya ialah dengan melakukan latihan tambahan atau menyelesaikan kerja rumah
yang diberikan kepada. Kajian tindakan daripada S. Anurekha dan S. Maruthai dari SJK (T) Ladang
Ampar, Dengkil, Selangor telah menggariskan bahawa kerja rumah yang diberi kepada murid
bertujuan untuk meningkatkan tahap pencapaian murid sekali gus mengetahui keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah yang telah dilaksanakan.
Walau bagaimana pun masih terdapat sebilangan murid yang memandang enteng kepada
kepentingan dan faedah melaksanakan kerja rumah. Golongan ini beranggapan bahawa kerja rumah
adalah sesuatu yang membebankan dan sukar dilaksanakan pada waktu lapang ketika di rumah.
Pelbagai alasan diberikan, sama ada yang mungkin ada asas kebenarannya atau dalam banyak perkara
boleh dipertikaikan kesahihannya. Yeo dan Ainul (2011) menyatakan bahawa pelajar sebenarnya tidak
memperuntukkan masa yang sewajarnya untuk menyelesaikan kerja rumah mereka.
Masalah murid Orang Asli tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru ini juga
menjadi isu yang membelenggu guru-guru di sekolah Orang Asli yang dikaji. Sebilangan murid tetap
tidak menyiapkan kerja sekolah walaupun kerja yang diberi tidak sukar dan banyak yang mana
selalunya hanya satu muka surat sahaja diberikan kepada mereka. Guru mata pelajaran kerap
bersungut kerana banyak masa terpaksa diambil bagi memastikan murid menyiapkan kerja rumah
pada waktu pembelajaran di sekolah sekali gus mengurangkan masa untuk guru mengajar perkara dan
kemahiran baru kepada mereka.
Apa yang lebih membimbangkan, faktor tidak menyiapkan kerja rumah ini juga
mempengaruhi pencapaian akademik murid seperti yang dirujuk dengan keputusan Ujian 1 2013 yang
tidak memberangsangkan di mana gred purata keseluruhan yang melibatkan 5 mata pelajaran teras
bagi Tahun 4 Menteri adalah sekitar 3.24, Tahun 5 Jenang 3.38 dan Tahun 6 Batin 3.46. Penyelidik
percaya bahawa jika murid dapat menyiapkan kerja rumah dengan jayanya, tentulah guru mata
pelajaran dapat mengesan dengan lebih awal topik yang menjadi masalah kepada murid dan
seterusnya akan memberikan lebih penumpuan kepada topik tersebut agar dapat dikuasai oleh murid.
Hal ini tentu akan mempertingkatkan lagi pencapaian murid dalam sebarang ujian yang datang selepas
itu.
Oleh yang demikian, penyelidik beranggapan bahawa kajian ini amatlah penting bagi
mengenal pasti dan memahami punca-punca mengapa murid Orang Asli sekolah yang dikaji
sebilangannya sukar menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru, secara adil dan objektif tanpa
perlu menuding jari menyalahkan mereka, ibu bapa mereka atau pihak guru semata-mata. Begitu juga
kajian ini bertujuan untuk menyarankan langkah-langkah yang relevan yang boleh diambil oleh
pentadbir dan guru sekolah tersebut bagi mengatasi masalah ini sekali gus meningkatkan prestasi
murid Orang Asli dalam bidang pelajaran seperti yang diunjurkan dalam Program Transformasi
Pendidikan Orang Asli.
Objektif Kajian
1. Mengenal pasti faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala tidak menyiapkan kerja rumah
dalam kalangan murid Orang Asli sekolah yang dikaji.
2. Mencadangkan langkah-langkah dan pendekatan yang boleh diambil bagi menangani masalah
tidak menyiapkan kerja rumah tersebut.
Persoalan Kajian
1. Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada gejala tidak menyiapkan kerja rumah dalam
kalangan murid Orang Asli yang dikaji ?
2. Apakah langkah-langkah dan pendekatan yang boleh diambil bagi menangani masalah
tersebut ?

Kepentingan Kajian
Dapatan daripada kajian ini akan dapat memberi gambaran kepada pihak pentadbir sekolah
dan guru-guru akan faktor-faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala tidak menyiapkan
kerja rumah di kalangan murid Orang Asli sekolah yang dikaji. Selain itu kajian ini juga memberi
saranan tindakan yang proaktif yang boleh diambil oleh pihak kepimpinan sekolah dalam usaha
membendung isu murid Orang Asli kerap tidak menyiapkan kerja rumah.

Sorotan Kajian
Memang terdapat banyak kajian yang telah dijalankan berkaitan dengan hubungan kerja
rumah dengan murid sama ada dari segi impaknya terhadap pencapaian mereka, kesan beban kerja
rumah, kaedah pemberian kerja rumah yang sesuai dan sebagainya yang telah dibuat oleh sarjana dari
dalam dan luar negara. Selain itu kajian ini menjadi lebih menarik dan relevan kerana ianya
melibatkan perkara tambahan yang melibatkan pengaruh faktor budaya dan pemikiran masyarakat
Orang Asli yang mana diambil kira juga kajian sarjana tempatan yang mengaitkan pengaruh sosiobudaya serta pemikiran Orang Asli dalam pencapaian pembelajaran anak-anak mereka di sekolah.
Kajian tindakan yang dibuat oleh Anurekha dan Maruthai (2010) adalah berkaitan mengatasi
masalah tidak menyiapkan kerja rumah melalui kaedah berstruktur ke atas 5 orang pelajar SJK (T)
Ladang Ampar Tenang, Dengkil, Selangor. Murid dipilih berdasarkan kekerapan mereka tidak
menghantar kerja rumah yang diberikan guru. Kaedah temu bual dan soal-selidik digunakan bagi
mendapatkan data yang diperlukan. Dalam kajian tersebut, dapatan menunjukkan antara faktor murid
menghantar kerja rumah adalah tiada bantuan di rumah, pengaruh rakan sebaya, sosio ekonomi
keluarga, media massa dan sikap malas murid itu sendiri. Kaedah berstruktur digunakan bagi
mengatasi masalah tersebut di mana guru memastikan setiap prosedur yang ditetapkan diikuti oleh
guru semasa memberikan kerja rumah kepada murid. Hasilnya masalah tidak menyiapkan kerja rumah
murid dapat dikurangkan.
Fadzilah (2010) pula telah menemukan faktor murid tidak meminati sesuatu subjek dan sikap
mereka menjadi punca mereka gagal menyiapkan kerja rumah. Data diperolehi melalui borang soalselidik, borang penghantaran kerja rumah dan melalui penggunaan sticker board. Beliau
menggunakan kaedah sticker bagi mengurangkan jumlah murid yang tidak menyiapkan kerja rumah.
Seterusnya beliau mendapati kaedah ini boleh berjaya mengurangkan jumlah murid yang tidak
menyiapkan kerja rumah tetapi ianya memerlukan sedikit masa untuk mencapai impaknya.
Butler (1987) telah mencadangkan perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar bagi memastikan
kerja rumah mendatangkan impak seperti yang diharapkan. Saranan beliau adalah pelajar mencatatkan
kerja rumah yang diberikan, memastikan faham akan tugasan yang diberikan, peruntukan jadual masa
untuk membuat kerja rumah dan mencari tempat yang sunyi, aman dan mempunyai pencahayaan yang
baik untuk membuat kerja rumah. Beliau juga mencadangkan beberapa tindakan yang boleh
digunakan oleh guru mata pelajaran yang boleh membantu murid menyiapkan kerja rumah mereka.
Antaranya adalah memeriksa buku latihan murid dengan segera, memberi arahan yang mudah dan
jelas kepada murid, pelbagaikan jenis latihan, jangan beri latihan yang terlulu banyak dan memastikan
murid tahu akan kepentingan latihan yang diberikan dalam pembelajaran keseluruhan mereka.
Yeo dan Ainul (2011) dalam kajian mereka yang bertajuk Hubungan Antara Kerja Rumah
Dengan Pencapaian Akademik Dalam Kalangan Pelajar Dari Kelas Premier di Dua Buah Sekolah
Menengah telah menggunakan soal-selidik yang telah diberikan kepada 102 pelajar daripada 2 buah
sekolah menengah di kawasan Skudai, Johor Bahru. Dapatan kajian menemukan bahawa kerja rumah
yang terlalu banyak tidak dapat dibuktikan memberi peningkatan kepada pencapaian pelajar; kerja
rumah berbentuk ulang kaji memberikan impak yang signifikan terhadap pencapaian pelajar

terutamanya bagi mata pelajaran Matematik dan Sejarah, kerja rumah jenis persediaan tidak memberi
kesan yang besar kepada mata pelajaran Matematik; kerja rumah jenis penerokaan tiada hubungan
dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran Matematik Bahasa Inggeris dan Sejarah manakala
didapati mata pelajaran Matematik menunjukkan peningkatan keputusan yang agak baik jika guru
membuat bimbingan dan tindakan susulan semasa dan selepas kerja rumah diberikan.
Kajian Nazri dan Johari (2006) terhadap 90 orang murid Orang Asli suku Temuan di sekitar
Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan telah menemukan lokasi dan persekitaran tempat
tinggal, sosio ekonomi keluarga, budaya dan sikap serta faktor sekolah menyumbang kepada murid
Orang Asli gagal di sekolah. Kajian ini mendapati bahawa keadaan tempat tinggal yang tidak selesa,
bersih dan tiada kemudahan asas menyebabkan murid Orang Asli tidak mempunyai motivasi yang
kuat untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah ketika di rumah.
Kajian yang dilakukan oleh Mohammad Johdi et al. (2009) telah merumuskan 5 faktor
utama yang membawa kepada kegagalan anak-anak Orang Asli dalam pencapaian akademik. Lima
faktor tersebut adalah sifat dan personaliti murid Orang Asli, faktor keluarga, faktor masyarakat,
faktor geografi dan faktor pemakanan. Kajian ini juga menyenaraikan antara ciri murid Orang Asli
adalah hiperaktif, mudah jemu dan bosan, pemalu dan mudah terasa. Kajian ini berpendapat tahap
kesedaran ibu bapa Orang Asli yang masih rendah dan tahap kesedaran murid Orang Asli itu sendiri
terhadap pendidikan menjadi punca utama anak-anak Orang Asli gagal dalam pencapaian akademik.
Siti Hayati (2009) dalam kajiannya menyatakan budaya pemikiran Orang Asli boleh
dibahagikan kepada 3 komponen utama iaitu dari aspek kognitif, afektif dan tingkah laku. Selain itu
beliau juga menekankan faktor utama yang memberi kesan kepada budaya pemikiran Orang Asli
adalah Hukum Sayeit iaitu ibu bapa perlu mengikut karenah anak-anak jikalau tidak akan mendapat
celau atau kecelakaan, berada dalam zon selesa kerana jarang membayar kos kehidupan seharian,
sikap sensitif dan mudah tersinggung, terpengaruh dengan cara kehidupan yang mudah, kebebasan
hidup tanpa peraturan dan sukar bertindak sendirian kerana sudah terbiasa dengan budaya sharing
society.
Aslian (2012) pula mendapati faktor sikap murid Orang Asli, sikap ibu bapa serta pengaruh
budaya Orang Asli dan pengaruh rakan sebaya adalah antara faktor yang menyebabkan ketidakhadiran
murid Orang Asli dalam kegiatan kokurikulum. Seterusnya beliau mencadangkan agar pihak
pemimpin sekolah mengambil tindakan yang proaktif bagi menarik minat murid Orang Asli ke
sekolah dengan mengambil kira aspek pemikiran, budaya, persekitaran dan minat sebenar murid
Orang Asli.

Kaedah Kajian
Kajian dijalankan dalam bentuk gabungan 2 kaedah iaitu kaedah kualitatif dan kaedah
kuantitatif. Bagi bentuk kualitatif, instrumen yang digunakan adalah temu bual dan kajian dokumen
manakala soal selidik digunakan bagi kaedah kuantitatif.
Kaedah temu bual mengandungi satu set soalan temu bual separuh berstruktur. Murid yang
menjadi responden dipilih secara purposive sampling iaitu terdiri daripada 5 orang murid Orang Asli
Tahun 5 dan 6 yang dikenal pasti melalui guru-guru mata pelajaran sebagai mereka yang kerap tidak
menyiap dan menghantar kerja sekolah.
Kajian dokumen pula dilakukan dengan meneliti pencapaian murid yang dikaji yang boleh
diperoleh daripada keputusan Ujian 1 2013 yang melibatkan mata pelajaran teras sahaja. Apa yang
akan dikaitkan dengan pemerhatian ini adalah sejauh mana kualiti pencapaian akademik murid yang
sering tidak menyiapkan kerja sekolah mereka.

Satu set soalan soal selidik telah diberikan kepada 38 orang responden yang terdiri daripada
kesemua murid Orang Asli Tahun 4, 5 dan 6. Item soal selidik adalah untuk mendapat maklumat asas
mengenai pandangan dan sikap mereka terhadap kerja rumah yang diberikan, sikap ibu bapa terhadap
kerja rumah mereka dan tahap keselesaan rumah untuk mereka belajar dan membuat kerja rumah.
Dapatan daripada soal selidik ini akan menyokong dapatan maklumat yang diperoleh daripada kaedah
kualitatif tadi terutamanya temu bual yang dijalankan sebelumnya.

Soal Selidik Yang Akan Digunakan

Sangat
Tidak
Setuju
1

Saya suka membuat kerja rumah.

Saya sering merasa malas buat kerja rumah dan selalu


mengutamakan perkara-perkara lain.

Saya faham bahawa kerja rumah itu penting.

Kerja rumah yang diberi guru terlalu banyak dan


membebankan saya.

Saya dapati kerja rumah terlalu sukar untuk saya selesaikan.

Saya akan pastikan saya menyiapkan kerja rumah saya


setiap hari.

Ibu bapa / penjaga saya selalu menanyakan tentang kerja


rumah saya.

Ibu bapa / penjaga saya selalu memeriksa buku latihan saya.

Keluarga saya sering membantu saya jika saya ada


masalah dalam kerja rumah.

10

Saya mempunyai tempat yang sesuai dan selesa di rumah


untuk membuat kerja rumah saya.

11

Saya mempunyai meja dan kerusi untuk belajar di rumah.

12

Ada banyak gangguan di rumah semasa saya membuat kerja


rumah.

13

Saya tetap akan ke sekolah walaupun tidak menyiapkan


kerja rumah saya.

Tidak
Setuju

Setuju

Sangat
Setuju

14

Ibu bapa saya akan memaksa saya ke sekolah setiap hari dan
akan memarahi saya jika saya tidak mahu ke sekolah.

.
RUJUKAN
Abdull Sukor Shaari, Nuraini Yusoff, Mohd. Izam Ghazali dan Mohd. Hasani Dali. (2011).
Kanak-kanak minorti orang asli di malaysia: menggapai literasi bahasa melayu. Jurnal
Pendidikan Bahasa Melayu, Universiti Utara Malaysia.
Anurekha, S. dan Maruthai, S. (2010). Mengatasi masalah tidak menyiapkan kerja rumah
melalui kaedah berstruktur. Kajian Tindakan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor.
Aslian Pios. (2012). Masalah ketidakhadiran murid orang asli dalam kegiatan kokurikulum di
sebuah sekolah orang asli di petaling jaya: faktor dan cadangan penyelesaian. Jurnal
Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan, Institut Aminuddin Baki, 24 (2). Dis. 2012.
Butler, J.A. (1987). Homework. school improvement research series. Office of Educational
Research and Improvement (OERI), U.S. Department of Education.
Fadzilah Ibrahim. (2010). Mengatasi masalah murid tidak menghantar dan menyiapkan kerja
rumah dalam kalangan murid tahun 5 usaha sekolah kebangsaan bukit mahkota
melalui kaedah sticker. Kajian Tindakan Isu-Isu Dalam Pendidikan Sekolah Rendah.
Hartini Ahmad Rabuan. (2011). Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran pelajar
orang asli terhadap kerja amali mata pelajaran kemahiran hidup di tiga buah
sekolah menengah dalam daerah kluang, johor. Tesis Sarjana Muda Fakulti
Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia.
Johari Talib dan Nazri Muslim. (2006). Mengapa kanak-kanak orang asli gagal di sekolah?
Jurnal Pengajian Umum Bil. 8. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mazulina Saad. (2004). Persepsi pelajar terhadap amalan kerja rumah sebagai satu strategi
pembelajaran di sekolah menengah. Tesis Sarjana Muda Fakulti Pendidikan. Universiti
Teknologi Malaysia.
Md. Nasir Masran, Ramlah Jantan, Suppiah Nachiappan, Abd. Aziz Shukor dan Roslinda
Mustapha. (2010). Tahap kebolehbacaan dalam kalangan murid orang asli
(program pemulihan) di sekolah kebangsaan brinchang (Pahang) dan sekolah
kebangsaan batu 14 tapah (perak). Kertas Kerja Seminar JPPG 2010 Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Mohamad Johdi Salleh, Norul Khairiah Idris, Nur Awanis Abd. Aziz, Nurul Huda Yusuf dan
Siti Aisyah Hashim. (2009). Kajian terhadap kesedaran pendidikan terhadap
masyarakat orang asli. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Luar Bandar 2009.
Universiti Malaysia Sabah.

Oxforddictionaries.com. (2012). [Atas talian]. http://oxforddictionaries.com


/definition/english/homework. [Oktober 18, 2015].
Siti Hayati Yusoff. (2009). Budaya pemikiran pelajar orang asli membantut proses
pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran pendidikan seni visual di smk tapah:
cadangan mengatasi. Dipetik daripada
http://sitihayatimohdyusoff.blogspot.com/2009/08/budaya-pemikiran-pelajar-orang-asli.html
[Oktober 18, 2015].

Yeo Kee Jiar dan Ainul Hakimah, (2011). Hubungan antara kerja rumah dengan pencapaian
akademik dalam kalangan pelajar dari kelas premier di dua buah sekolah menengah.
Journal of Educational Psychology and Counseling, volume 2, Jun 2011, Pages 28-50
Universiti Teknologi Malaysia.
Yeo Kee Jiar dan Arbayah Yahya. (2010). Hubungan antara kerja rumah dengan pencapaian
akademik dalam kalangan pelajar sekolah kebangsaan. Fakulti Pendidikan Universiti
Teknologi Malaysia. Dipetik daripada
http://eprints.utm.my/10776/1/HUBUNGAN_ANTARA_KERJA_RUMAH_DENGAN_PEN
CAPAIAN_AKADEMIK.pdf [Oktober 18, 2015].

You might also like