Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 17

BAB 3

TAMADUN MELAYU

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menerangkan konsep umum tamadun Melayu.
2. Mentakrifkan konsep Melayu menurut Perlembagaan Malaysia.
3. Membincangkan teori-teori dan faktor kejayaan kemasukan Islam ke Alam
Melayu.
4. Menjelaskan perubahan yang dibawa oleh agama Islam terhadap kehidupan
masyarakat Melayu.

3.1

PENGENALAN

Dalam bab ini pelajar akan dibawa menelusuri beberapa aspek penting yang mendasari
sebuah tamadun yang cukup berpengaruh di rantau Asia iaitu tamadun Melayu. Tamadun
Melayu ini mempunyai perkaitan yang erat dengan tamadun Islam yang telah dipelajari
oleh para pelajar di dalam bab yang lalu. Tamadun Melayu yang menjadi asas kepada
pembentukan tamadun Malaysia masa kini adalah terbentuk melalui satu proses yang
panjang dan tersendiri serta meliputi sebahagian besar Asia Tenggara. Anda akan
mendapati landskap tamadun Melayu terbina dengan kemunculan kerajaan-kerajaan dan
empayar Melayu di bawah pengaruh Hindu-Buddha yang kemudiannya telah berubah
wajah dan jiwanya dengan kedatangan pengaruh agama Islam. Oleh itu, mengenali
sejarah tamadun Melayu adalah amat penting kerana daripada kekuatan itu dapat
terbinanya tamadun Melayu kontemporari.
3.2

KONSEP TAMADUN MELAYU

Tamadun Melayu berkonsepkan kepada sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok
manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang-orang Melayu dan
bertempat di suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti
Gugusan Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) atau Gugusan Kepulauan MelayuIndonesia (Malay-Indonesian Archipelago), Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawi dan
sebagainya. Dua elemen yang menjadi faktor utama yang mewarnai wilayah ini ialah
yang pertama, bahasa Melayu yang menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan luas
di seluruh kawasan ini, kedua, agama Islam yang dianuti oleh majoriti penduduknya.
Islam juga disampaikan dengan perantaraan bahasa Melayu dengan kitab-kitabnya
tertulis dalam tulisan Jawi.

61

Istilah Melayu merujuk kepada tiga perkara yang berbeza, iaitu ras, budaya dan bahasa.
Ras merujuk kepada satu kumpulan genetik yang mempunyai ciri-ciri fizikal yang hampir
sama. Bahasa ialah sistem komunikasi untuk berhubung antara satu sama lain. Ras
Melayu selalunya bertutur dalam kumpulan keluarga bahasa Melayu-Indonesia yang
terangkum bersama-samanya Jawa, Sunda, Madura, Acheh, Minangkabau, Melanau,
Iban, Bajau, Murut, Bugis dan Sulu. Cabang Melayu-Indonesia terangkum pula dalam
rumpun bahasa Austronesia daripada keluarga bahasa sumbernya iaitu Keluarga Bahasa
Austris.
Alam Melayu meliputi kawasan di mana terdapatnya rumpun Melayu. Ia merentasi
seluruh Asia Tenggara sehingga sempadan Australia serta dari pulau Madagaskar ke
kepulauan Pasifik. Secara umumnya, pusat teras wilayah ini adalah kawasan kepulauan
Asia Tenggara yang menjadi pusat kepada rumpun Melayu, bahasa Melayu, kebudayaan
Melayu dan tamadun Melayu.
3.3

MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Walaupun takrifan Melayu dan tamadunnya mencakupi wilayah yang amat luas, namun
dalam konteks negara Malaysia, berdasarkan Perkara 160 Perlembagaan Malaysia, orang
Melayu ditakrifkan secara lazimnya:
(i)
(ii)
(iii)

berbahasa Melayu,
mengamalkan adat istiadat Melayu, dan
beragama Islam.

Namun, menurut Syed Husin Ali, bagi memastikan seseorang itu Melayu atau tidak
selain daripada faktor di atas, faktor sosiobudaya juga wajar diambil kira supaya
pentakrifan dan penentuan Melayu tidak hanya bergantung kepada suatu faktor sahaja
kerana ia mungkin boleh menimbulkan kekeliruan.
3.4

KEMUNCULAN PUSAT-PUSAT KERAJAAN DAN TAMADUN MELAYU


PRA-ISLAM

Tamadun Melayu telah muncul di alam Melayu sebelum kedatangan Islam. Beberapa
buah kerajaan telah wujud pada waktu itu seperti Funan, Angkor dan beberapa buah
kerajaan maritim seperti Langkasuka 2-14 Masihi (Patani), Srivijaya 670-1025 Masihi
(Palembang), Lembah Bujang abad ke-7 Masihi (Kedah), Kuala Selingsing (Perak) dan
Majapahit 1292 Masihi. Kerajaan-kerajaan ini telah menjadi pengasas kepada negaranegara kota yang membentuk tamadun Melayu Islam kemudiannya (Andaya, 1992).
Dalam menentukan keberadaan orang Melayu di rantau Asia ini, para sarjana berbeza
pandangan berdasarkan hujah masing-masing. Sebahagian mereka berpendapat bahawa
masyarakat Melayu telah bertapak di kawasan Asia Tenggara sekurang-kurangnya 5,000
tahun dahulu (Ahmad Hakimi, 2006 & Bellwood, 1997). Pandangan sarjana-sarjana
Barat dalam bidang arkeologi seperti Bellwood (1997) dan Von Heine Geldern (1945)
mengatakan bahawa orang-orang Melayu (pada waktu itu dikenali sebagai penutur
62

bahasa Austronesia) datang berhijrah ke kawasan Asia Tenggara mengikuti laluan air dari
kawasan utara pada zaman batu baru (neolitik). Anggaran kemunculan masyarakat
Melayu di kawasan ini adalah sekitar 5,000 tahun dahulu.
Sementara itu, sarjana-sarjana tempatan seperti Nik Hassan Suhaimi (1993)
menolak pendapat tersebut dan mengatakan bahawa orang Melayu adalah penduduk asal
kawasan Asia Tenggara. Pendapat ini mengambil kira bahawa pada satu masa dahulu
(sebelum 10,000 tahun dahulu), kawasan Asia Tenggara ini merupakan satu dataran besar
yang merangkumi Pulau Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Pulau Jawa dan juga
Pulau Borneo. Menurut beliau jika kita menerima pendapat ini dengan merujuk kepada
tapak pra sejarah yang terawal di Semenanjung Tanah Melayu iaitu tapak Kota Paleolitik
Kota Tampan, kita akan mendapati bahawa orang Melayu telah wujud di kawasan ini
lebih daripada 12,000 tahun dahulu.
Kerajaan-kerajaan pra-Islam di alam Melayu terbahagi kepada dua bentuk. Pertama,
berbentuk agraria yang menjadikan kegiatan pertanian sebagai latar belakang ekonomi
negara. Antaranya ialah empayar Funan dan kerajaan Angkor di Tanah Besar Asia
Tenggara dan Majapahit di Jawa. Kerajaan Funan merupakan negeri pertama yang
menerima pengaruh kebudayaan India (Hindu-Buddha) sejak kurun pertama Masihi.
Seterusnya, Funan telah berkembang menjadi kerajaan berbentuk maritim, iaitu bentuk
kerajaan yang kedua yang menjadikan kegiatan perdagangan laut sebagai latar belakang
ekonomi negara.
Srivijaya dari kurun ke-7 hingga ke-11 merupakan kerajaan maritim Melayu yang
terpenting yang mendominasi seluruh pesisir laut di utara dan barat Sumatra,
Semenanjung Tanah Melayu dan Jawa Barat dan juga perairan Selat Malaka dan Selat
Sunda. Di Pulau Jawa, empayar Majapahit di peringkat awal merupakan kerajaan
berbentuk agraria di lembah Sungai Berantas, tetapi melalui dasar perluasan kuasa dan
perdagangan ia bertukar menjadi kerajaan maritim terpenting dari kurun ke-13 hingga ke15/16.
Di Malaysia sendiri terdapat kesan-kesan peninggalan arkeologi masyarakat Melayu iaitu
di Lembah Bujang, Kedah dan juga di Kuala Selinsing, Selangor. Bukti arkeologi juga
menunjukkan bahawa pelabuhan-pelabuhan di dua tempat ini pernah terlibat dengan
aktiviti perdagangan. Lembah Bujang, contohnya terkenal sebagai tempat persinggahan
pedagang dari India, Asia Barat dan China. Selat Melaka, pada satu masa dahulu begitu
penting sekali untuk laluan perdagangan. Malahan pelabuhan-pelabuhan lain di
Semenanjung Malaysia memainkan peranan sebagai tempat berehat untuk kapal-kapal
meneruskan perjalanan sama ada ke barat ataupun ke timur mengikut musim yang
bersesuaian. Pelabuhan-pelabuhan sedemikian berkembang dan akhirnya membentuk
tamadun-tamadun Melayu yang awal.
Kebanyakan daripada kerajaan-kerajaan Melayu yang terawal tidak begitu besar dan
tidak mampu berkembang luas. Ini mungkin kerana kerajaan-kerajaan ini tidak
mempunyai asas-asas perbandaran yang mencukupi untuk menampung jumlah penduduk
yang tinggi. Akan tetapi, dua kerajaan Melayu yang agak besar dan merangkumi kawasan
63

yang luas telah muncul iaitu kerajaan Funan dan kerajaan Sri Vijaya. Kegemilangan
kerajaan Sri Vijaya terbukti dengan penguasaannya ke atas kerajaan-kerajaan lain.
Umpamanya menguasai Lembah Bujang. Kedua-dua kerajaan ini mampu menguasai
laluan perdagangan di kawasan mereka. Kebanyakan kerajaan Melayu di waktu ini
dipengaruhi oleh pengaruh Hindu-Buddha. Lembah Bujang, Angkor Wat dan Candi
Borobodor adalah bukti kewujudan pengaruh tersebut.
3.5

PUSAT TAMADUN MELAYU SELEPAS ISLAM

Selepas kedatangan Islam, muncul suatu bentuk tamadun baharu yang lebih dikenali
dalam kalangan negara luar. Kesultanan Melayu Melaka, Acheh, Pasai-Perlak, Patani dan
Johor-Riau-Lingga adalah bukti kehebatan tamadun Melayu Islam. Perlak merupakan
kerajaan Melayu Islam pertama yang ditubuhkan pada tahun 840 Masihi dengan raja
pertamanya Sultan Syed Maulana Abdul Aziz Syah. Samudera-Pasai pula telah muncul
sekitar tahun 1042 Masihi hingga 1450 Masihi dengan raja pertamanya Merah Giri yang
menggunakan gelaran Maharaja Mahmud Syah. Antara raja Acheh yang penting dan
terkenal ialah Sultan Allaudin Ri'ayat Shah (1588-1604 Masihi), Sultan Iskandar Muda
Mahkota Alam (1606-1636 Masihi), Sultan Iskandar Thani (1636-1641 Masihi). Acheh
seterusnya dikuasai oleh raja-raja perempuan apabila Sultanah Safiatuddin (1641-1675
Masihi) ditabalkan sebagai pemerintah Acheh. Peranan Acheh sebagai pusat penyebaran
dan kegiatan agama Islam telah menyebabkannya digelar Serambi Makkah, selain
peranannya sebagai pusat perdagangan dan kuasa politik orang Melayu Islam.
Kesultanan Melayu Melaka muncul sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pusat
perdagangan yang terkenal di Nusantara. Melaka yang mula menerima Islam ketika
pemerintahan Parameswara telah berjaya menarik minat pedagang-pedagang Islam lain.
Seiringan dengan itu ajaran Islam juga turut diserap dalam sistem pentadbiran Melaka.
Contohnya, Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka yang
bertunjangkan Islam telah dijadikan sebahagian daripada sistem perundangan Melaka.
Sebagai pusat perdagangan, Melaka menjadi terkenal kerana pelabuhannya yang berada
di tengah-tengah jalan perdagangan antara Asia Timur dan Asia Barat serta tiupan angin
monsun yang memudahkan pergerakan kapal-kapal. Keadaan ini menjadikan Melaka
sebagai tempat persinggahan para pedagang dari kedua-dua arah. Selain itu, Melaka juga
bertindak sebagai pusat pengumpulan dan pertukaran serta penjualan barang-barang
dagangan.

64

SOALAN DALAM TEKS 3.1

1.

Nyatakan dua elemen utama yang mewarnai wilayah Melayu.

2.

Apakah perkara-perkara yang ditakrifkan sebagai Melayu


menurut Perkara 160 Perlembagaan Malaysia?

3.

Kerajaan-kerajaan Melayu pra-Islam terbahagi kepada dua bentuk.


Sila nyatakan.

4.

Sultan Syed Maulana Abdul Aziz Syah adalah pemerintah


A.
Perlak
B.
Samudera Pasai
C.
Acheh
D.
Melaka

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.6

TEORI KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU

Dalam konteks kemasukan atau kedatangan agama Islam ke rantau ini, terdapat tiga teori
yang berbeza yang telah dikemukakan oleh beberapa orang sarjana.
3.6.1 Teori Islam dari Tanah Arab
Teori pertama menyatakan bahawa Islam dibawa terus dari Semenanjung Tanah Arab
pada kurun ke-7. Teori ini dikemukakan oleh John Crawford dan juga oleh Niemann serta
mendapat sokongan S. M. Naquib al-Attas. Pendapat ini berdasarkan antaranya, kegiatan
hubungan perdagangan orang Arab dengan alam Melayu sejak zaman sebelum
munculnya Islam di Semenanjung Tanah Arab. Ini diperkukuh dengan laporan yang
menyatakan hakikat bahawa telah terdapat beberapa buah perkampungan atau koloni
orang Islam berketurunan Arab di kawasan pantai timur dan barat Sumatera seperti yang
tercatat dalam dokumen kerajaan China. Selain itu, S. M. Naquib al-Attas menegaskan
hakikat bahawa kandungan persuratan Melayu Islam dengan konsep dan istilah serta
sistem tulisan Jawi yang digunakan menunjukkan sumber Arab atau Timur Tengah
sebagai puncanya.

65

3.6.2

Teori Islam dari China

Teori kedua menyatakan Islam dibawa daripada China melalui Canton dan Hainan pada
kurun ke-9. Teori ini dipelopori oleh seorang penulis Sepanyol, Emanuel Godinho de
Eredia. Antara bukti dan hujah rasional yang dikemukakan ialah penemuan batu bersurat
di Champa bertarikh 1039, di Brunei bertarikh 1048, di Laren, Jawa bertarikh 1082, dan
batu bersurat di Terengganu bertarikh 1303. Kesemua bukti sejarah ini mencatatkan
adanya masyarakat Islam dan menunjukkan arah kedatangan Islam ke rantau ini melalui
negara China. Ini diperkukuhkan dengan hujah bahawa wujudnya hubungan perdagangan
di antara Tanah Arab dengan negara China yang membawa kepada kemasukan agama
Islam ke negeri China dan daripada negeri China, Islam telah dibawa ke alam Melayu.
3.6.3

Teori Islam dari India

Teori ketiga punca kedatangan Islam adalah daripada India melalui Gujerat. Teori ini
telah dikemukakan oleh seorang sarjana Belanda Pijnappel yang diperkukuh oleh Snouck
Hurgronje dan J. P. Moquette. Teori ini didasarkan pada bukti bahawa wujudnya
persamaan batu nisan yang ditemui di Pasai iaitu batu nisan Sultan Malik al-Saleh
bertarikh tahun 1297 dan batu nisan Maulana Malik Ibrahim di Grisek Jawa dengan yang
di Gujerat India. Pendapat ini diperkukuh dengan wujudnya hubungan perdagangan di
antara India dengan rantau ini sejak zaman pra-Islam lagi. Apabila agama Islam bertapak
kukuh di India, pedagang-pedagang India yang telah memeluk agama Islam, datang
berdagang ke Asia Tenggara dengan membawa Islam bersama-sama mereka dan
menyebarkannya. Secara umumnya, ketiga-tiga teori ini telah membuktikan bahawa
agama Islam telah dibawa masuk ke rantau Asia Tenggara dan ini telah membuahkan
interaksi antara tamadun.
3.7

FAKTOR KEJAYAAN PENYEBARAN ISLAM DI ALAM MELAYU

Pengaruh Hindu-Buddha juga telah bertapak agak lama di alam Melayu dan mencirikan
sebahagian daripada adat istiadat dan budaya masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun,
pengaruhnya kian pudar setelah masuknya agama Islam. Agama baharu ini lebih
mendapat tempat dan mewarnai sebahagian besar daripada kehidupan masyarakatnya
daripada peringkat istana sehinggalah orang kebanyakan. Situasi ini didorong oleh
beberapa faktor iaitu perdagangan, perkahwinan, pendakwahan dan keistimewaan agama
Islam itu sendiri.
Para pedagang Islam bukan sekadar berniaga tetapi pada masa yang sama bertindak
sebagai pendakwah. Sebahagian daripada mereka berkahwin dengan wanita tempatan dan
melahirkan keturunan Muslim. Selain itu, peranan yang dimainkan oleh golongan
bangsawan tempatan yang terawal memeluk agama Islam, menyebarkannya kepada
rakyat atau pengikutnya.
Para pendakwah, ulama dan ahli sufi juga berperanan menyebarkan Islam secara hikmah
dengan akhlak yang mulia, rasional dan bijaksana. Melalui penyebaran ini, maka
muncullah kerajaan-kerajaan Melayu Islam seperti Perlak-Samudera-Pasai (840) dan
66

kemudiannya kerajaan Islam Acheh (1507), Minangkabau (1500) di Sumatera,


Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), Kerajaan Johor-Riau-Lingga (1673), Patani di
Selatan Thailand (1500); Brunei (1480), Sambas (1580); Demak (1450), Bantan (1572),
Sunda Kelapa (1527) dan Mataram (1586) di Pulau Jawa, Makassar (1600), Ternate
(1490), Sulu (1450) dan Magindanao (1490) di Indonesia Timur. Manakala di Tanah
Besar Asia Tenggara, muncul Champa di Indo-China.
3.8

KESAN KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU

1.

Kemunculan kerajaan Melayu Islam ini turut diaktifkan secara langsung oleh raja
dan golongan pemerintah melalui istana dengan memberikan naungan kepada
agama Islam. Kerajaan-kerajaan Melayu Islam inilah seterusnya memainkan
peranan penting sebagai pusat penyebaran dan penegakan tamadun Melayu di
alam Melayu.

2.

Faktor penting lain ialah sifat agama Islam itu sendiri yang istimewa yang
menyebabkannya dapat diterima dengan meluas oleh masyarakat di alam Melayu.
Ciri-ciri istimewa yang dimaksudkan antaranya ialah agama Islam merupakan
agama yang mudah difahami, yang menekankan kesamarataan antara lapisan
masyarakat, bersifat rasional dan logikal serta mengutamakan akhlak dan
kehalusan budi bahasa yang dianggap serasi dengan budaya sedia ada orang
Melayu.

3.

Penerimaan agama Islam telah menghasilkan beberapa perubahan utama dalam


tamadun Melayu. Dalam aspek politik dan pentadbiran, sistem pemerintahan
empayar Uthmaniyah telah diperkenalkan di mana gelaran sultan diberi kepada
ketua negara dan ketua agama Islam bagi menggantikan sistem beraja. Dalam
pelaksanaan pentadbiran, sultan dijadikan khalifah Allah SWT di bumi serta
dibantu oleh golongan penasihat yang terdiri daripada alim ulama dan mufti.

4.

Undang-undang yang berdasarkan hukum syariah telah diperkenalkan walaupun


tidak secara menyeluruh, sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Hukum Kanun
Melaka di zaman Melaka dan Batu Bersurat Terengganu 1303. Kedatangan
kuasa-kuasa Eropah iaitu kuasa Portugis, Sepanyol, Belanda dan kemudiannya
Inggeris untuk menakluki dan mendominasi pusat-pusat tamadun Melayu telah
memunculkan dan meningkatkan semangat jihad dalam kalangan masyarakat
Islam untuk menentang kuasa-kuasa Eropah yang beragama Kristian ini.

5.

Dalam aspek pendidikan, istana telah dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran
ilmu pengetahuan. Hal ini berlaku kerana agama Islam telah menerima naungan
daripada istana raja-raja Melayu. Institusi-institusi pendidikan sama ada secara
rasmi atau tidak rasmi antaranya ialah pendidikan di peringkat madrasah, pondok
atau pesantren atau di masjid-masjid dan surau-surau telah wujud. Ini
menunjukkan semua golongan tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang untuk
mempelajari ilmu pengetahuan terutamanya ajaran Islam. Kesannya, muncullah
golongan intelektual terutama alim ulama di beberapa pusat tamadun Melayu
67

Islam dengan karya-karya utama mereka terutama karya-karya berbentuk


keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakan sastera
kitab.
6.

Secara umumnya, pusat-pusat tamadun Melayu Islam ini menjadikan agama Islam
sebagai agama rasmi dan ini secara langsung meletakkan tamadun Melayu di
dalam jaringan tamadun Islam global yang berhubungan dengan kerajaan
Uthmaniah Turki, Parsi, Mughal India dan kerajaan-kerajaan Islam di Timur
Tengah dan Afrika. Walaupun terletak di dalam lingkungan jaringan tamadun
Islam global, tamadun Melayu dari sudut kebudayaan teryata terus berkembang
subur dan bersifat dinamik dengan menyerap unsur-unsur tempatan selagi ia tidak
bercanggah dengan akidah dan syariah Islam yang berteraskan konsep tauhid atau
mengesakan Allah SWT.

SOALAN DALAM TEKS 3.2

1.

Wilayah berikut dikaitkan dengan teori kedatangan Islam dari


India ke alam Melayu.
A.
Delhi
B.
Islamabad
C.
Gujerat
D.
Punjab

2.

Apakah faktor-faktor yang membantu kejayaan penyebaran


agama Islam di alam Melayu?

3.

Apakah kesan kedatangan Islam ke atas institusi politik dan


pentadbiran di alam Melayu?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

3.9

PANDANGAN SEMESTA MELAYU PRA-ISLAM DAN PADA ZAMAN


ISLAM

Pandangan semesta tamadun Melayu berkembang daripada pengaruh animisme, HinduBuddha kemudian Islam. Umumnya, nilai-nilai yang menjadi asas kepada tamadun
Melayu adalah berteraskan agama Islam. Bagi masyarakat Melayu, pandangan semesta
68

Melayu berpusat kepada manusia, bertitik-tolak kepada tanggapan mereka terhadap alam
sama ada alam nyata (fizikal) atau alam ghaib (spiritual/metafizik); dan mengenai
kehidupan mereka sama ada dari segi sosial dan bukan sosial. Konsepsi adat yang
sebenar (iaitu hukum alam) merupakan contoh terbaik pandangan semesta manusia
Melayu sebagaimana digambarkan di dalam pepatahnya iaitu adat air membasah, adat api
membakar dan adat angin menyejukkan.
Keseluruhan kedinamikan hubungan sosial sesama manusia melahirkan sistem budaya,
sistem sosial, sistem ekonomi, sistem politik dan sebagainya. Begitu juga apabila
manusia Melayu berinteraksi dengan alam maka ini akan melahirkan satu konsep yang
cukup penting untuk mendasari kehidupan mereka, iaitu peng alam an (pengalaman).
Interaksi dengan alam juga membolehkan manusia Melayu memahami persoalan
kosmologi mereka sama ada yang berbentuk makrokosmik yang luas dan tinggi (alam
jagat raya) atau berbentuk mikrokosmik iaitu alam kecil (diri manusia).
3.9.1

Masyarakat Melayu Pra-Agama Hindu dan Buddha

Menurut persejarahan awal di rantau alam Melayu ini, sistem kepercayaan masyarakat
peribumi berasaskan animisme dan dinamisme. Sistem kepercayaan animisme bermakna
kepercayaan bahawa setiap benda (objek) ada jiwa, roh dan semangat yang mempunyai
perwatakan sendiri. Kepercayaan ini pula telah melahirkan peraturan atau pantang larang
tertentu dalam sesuatu masyarakat. Sistem kepercayaan dinamisme ialah kepercayaan
kepada tenaga yang ada dalam roh, jiwa dan semangat dalam diri manusia, haiwan,
tumbuh- tumbuhan, benda-benda yang boleh mendatangkan kesan baik dan buruk kepada
manusia. Kepercayaan dinamisme ini melahirkan magis iaitu penguasaan terhadap tenaga
ghaib dengan perbuatan atau upacara tertentu yang dilakukan oleh bomoh dan pawang,
sehingga tenaga ghaib itu dapat dipergunakan untuk keuntungan sendiri atau untuk
kerugian kepada orang lain.
Dalam masyarakat Melayu tradisional ini juga wujud kepercayaan kepada roh nenek
moyang yang dinamakan hyang yang seerti dengan poyang atau moyang. Roh nenek
moyang ini dipercayai masih berada dalam kalangan mereka dan mempunyai tenaga yang
kuat yang boleh mempengaruhi kehidupan mereka. Oleh itu, roh nenek moyang itu perlu
ditenangkan melalui upacara pemujaan dan penyajian.
3.9.2

Pandangan Semesta Melayu dan Pengaruh Agama Islam

Kedatangan agama Islam ke alam Melayu telah memantapkan keseluruhan pandangan


semesta Melayu dan berlakunya proses pentakrifan semula tentangnya. Ayat-ayat di
dalam kitab suci al-Quran bukan sahaja ditafsirkan untuk mengetahui segala rahsia
tersembunyi dalam kewujudan Tuhan, tetapi juga untuk mengukuhkan keyakinan,
ketakwaan dan ketauhidan mereka kepada Allah SWT, Tuhan yang esa. Terdapat
pelbagai nilai yang telah dibentuk secara khusus dengan kedatangan Islam, antaranya:

69

1.

Akidah

Nilai ini merupakan nilai paling utama yang merubah landskap kepercayaan orang
Melayu daripada zaman Hindu-Buddha. Menurut Uthman Muhammady, fahaman tauhid
ini mengubah world-view orang Melayu daripada zaman Hindu-Buddha dengan
metodologinya, penyembahan rajanya, masyarakatnya dan penyembahan berhala kepada
ajaran tauhid yang murni. Keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah perkara
pokok dalam agama Islam. Aspek seperti konsep Tuhan sebagai matlamat, manusia
sebagai dwifungsi iaitu hamba dan khalifah Allah di muka bumi, alam sebagai tempat
atau alat untuk manusia menjalankan segala urusan untuk kemakmuran manusia sejagat
mula difahami dan diamalkan oleh orang Melayu.
2.

Ketaatan kepada Sultan dan Menghormati Pemimpin

Sejarah tamadun Melayu berkait rapat dengan kesultanan Melayu. Masyarakat Melayu
begitu mentaati sultan/raja semenjak zaman awal tamadun Melayu lagi. Ia merupakan
satu sifat turun-menurun serta diikuti dan diajar oleh orang-orang Melayu sehingga ke
hari ini. Kedatangan Islam memantapkan lagi nilai ini di mana ketaatan kepada
pemerintah yang mentaati Allah SWTtersenarai dalam rangkaian mentaati Allah SWT
dan rasul SAW.
3.

Kepatuhan kepada Undang-Undang dan Adat

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang patuh kepada undang-undang. Ia boleh


dilihat dalam hukum-hukum adat. Orang-orang Melayu memahami kedaulatan hukumhukum adat semenjak dahulu lagi dan mengikut peraturan serta undang-undang akibat
daripada pemahaman mereka terhadap kedaulatan hukum adat.
4.

Mendahului yang Tua

Masyarakat Melayu sangat menghormati orang tua atau berusia. Pengalaman begitu
bernilai dan dihargai dalam masyarakat Melayu. Nilai ini berkaitan dengan pemahaman
mereka bahawa orang-orang yang lebih tua mempunyai lebih banyak pengalaman
berbanding dengan orang-orang muda.
5.

Meraikan Tetamu

Meraikan tetamu adalah satu nilai yang penting dalam masyarakat Melayu. Mengikut
ajaran Islam, tetamu membawa rezeki kepada tuan rumah. Oleh itu, orang Melayu
sentiasa bersikap baik dan meraikan mereka dengan sebaik mungkin.
6.

Bergotong-royong dan Muafakat

Salah satu daripada ciri-ciri tamadun Melayu adalah melakukan pekerjaan secara
bergotong-royong dan bermuafakat. Nilai ini sebahagian daripada nilai-nilai kebudayaan
Melayu yang berteraskan kepada kepentingan kehidupan secara berkumpulan. Banyak
70

pepatah dan perumpamaan Melayu yang menggambarkan sikap ini seperti bagai aur
dengan tebing, bulat pembentung kerana air, bulat kata kerana muafakat, berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing dan lain-lain lagi.
7.

Sifat Terbuka kepada Luar

Salah satu daripada sifat toleransi orang Melayu ialah mempunyai sifat terbuka kepada
orang-orang luar. Sifat ini berkaitan dengan sejarah masyarakat Melayu terutamanya
yang tinggal di kawasan-kawasan pulau. Penerimaan kedatangan orang luar adalah
sebahagian daripada keperluan masyarakat yang menetap di kawasan kepulauan untuk
mempertingkatkan kemampuan diri mereka. Tanpa kedatangan orang luar, masyarakat
tempatan tidak mampu untuk mengikuti perkembangan baharu.
3.10

PENCAPAIAN TAMADUN MELAYU

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu hanya mendapat pendidikan secara tidak
formal di rumah seperti kemahiran bercucuk tanam, membuat bubu dan sebagainya yang
serba ringkas. Selepas kedatangan Islam, keadaannya berubah dengan kewujudan sistem
persekolahan yang bermula dengan sistem pondok. Masyarakat Melayu didedah dengan
pembelajaran secara lebih formal walaupun tidak menyeluruh dan sempurna. Justeru,
sebagai suatu bangsa yang berperadaban perubahan hidup ke arah yang lebih maju dan
bermatlamat telah terbentuk di alam Melayu. Secara ringkasnya di sini akan
dibincangkan beberapa pencapaian tamadun Melayu.
3.10.1 Sains
Dalam sains, tamadun Melayu elemen kemanusiaan menjadi perkara paling penting
dalam setiap diri manusia. Ia bermaksud masyarakat Melayu sangat peka akan rasa atau
perasaan orang lain. Kemampuan akal telah menuntut masyarakat Melayu untuk
menggunakan seluruh tenaga, daya dan usaha dalam meneroka khazanah alam melalui
kerja dan karya.
Sebagai contoh, masyarakat Melayu sejak dahulu sudah mampu mengkategorikan,
menyusun dan mengklasifikasikan seluruh khazanah herba yang dihasilkan oleh hutan
tropika di sekitarnya. Mereka amat mengenali segala tumbuhan, khasiat dan fungsi setiap
akar kayu, kulit kayu, teras kayu, daun kayu, buah kayu dan pucuk kayu. Mereka juga
faham gerak ikan di air, segala binatang di hutan, segala unggas dan serangga yang
berterbangan di udara, kokok ayam dan kicau burung, malah mengetahui waktu hari akan
siang dan waktu akan malam walaupun ketika itu mungkin belum wujud bentuk jam
seperti sekarang. Segala sumber alam adalah ilmu kepada mereka. Seorang pelombong
akan meminta bantuan kepakaran pawang bijih untuk menyeru agar bijih dapat
dikeluarkan daripada tempat asalnya. Pawang bijih menyeru melalui pengetahuan ilmu
asal usul galian atau logam berkenaan. Gabungan antara ilmu bendawi dan bukan
bendawi digunakan, antara yang natural dan super natural disatukan untuk mencapai
matlamat. Gabungan ini juga boleh disebut sebagai sains awal Melayu.

71

Pawang-pawang haiwan boleh dianggap sebagai ahli zoologi Melayu tradisional. Mereka
bukan sahaja perlu mengetahui asal usul haiwan tersebut malah perlu mengetahui jenis
makanan kesukaannya, habitatnya dan tabiat haiwan tersebut. Tugas ini tidak ada
bezanya dengan seorang pakar zoologi profesional pada zaman ini. Pawang gajah
misalnya perlu mengetahui konsep gajah berang yang memerlukan beliau memahami
psikologi seekor gajah kerana gajah adalah sejenis haiwan yang pintar. Pawang gajah
harus tahu apakah perkara yang boleh menyebabkan gajah naik berang dan gajah tenang
semula. Ilmu ini juga perlu untuk diaplikasikan bagi menangkap gajah yang liar.
Selain itu, seorang bidan dan tukang urut pula perlu memahami struktur anatomi tubuh
badan manusia baik lelaki mahupun wanita. Mereka tahu akan segala urat, nadi, tulang,
otot, rahim dan kedudukan organ-organ dalam tubuh tanpa perlu membedahnya. Apabila
diurut mereka bukan sahaja mengurut urat dan otot, malah menekan dan menggosok
seluruh badan untuk memastikan kelancaran perjalanan darah.
Sepanjang sejarah, tamadun Melayu telah menghasilkan satu sistem hidup yang tersendiri
berdasarkan kepada keperluan-keperluan kebudayaan Melayu. Sistem sukatan atau
penakatan Melayu untuk pengukuran jarak, seperti sejengkal, sedepa, hasta dan rantai;
dan timbangan, seperti cupak, gantang dan koyan, dan pengukuran masa seperti
sepurnama, sepelaung adalah berbeza daripada sistem-sistem penakatan budaya
masyarakat lain dan ini semua berkait rapat dengan keperluan serta pengalaman
masyarakat Melayu.
3.10.2 Kesenian
Tamadun Melayu juga menghasilkan pelbagai bentuk kesenian. Antaranya ialah seni tari,
seni muzik, seni ukir, seni lukis, seni tembikar, anyaman, seni tenun, bela diri,
pertukangan dan lain-lain. Kesenian yang terbentuk ini adalah unik dan selari dengan cita
rasa Melayu. Selain itu, terdapat seni suara seperti bersajak, gurindam, berbalas pantun;
seni lakon seperti mak yong, gamelan, wayang kulit; dan permainan rakyat seperti main
wau, congkak dan lain-lain.
Menjelang kurun ke-13,14 dan 15 Masihi, dunia Melayu telah mempunyai beberapa buah
kesultanan Melayu Islam iaitu di Pulau Sumatera, selatan Thailand dan Semenanjung
Tanah Melayu, Borneo, Pulau Jawa, Sulawesi dan Kepulauan Malukuserta kepulauan
Filipina. Kerajaan-kerajaan ini telah menaungi pelbagai kegiatan keseniaan seperti
kegiatan hasil seni rupa dalam bentuk kaligrafi, lukisan, ukiran, anyaman, tenunan dan
seni persembahan antaranya dalam bentuk pengucapan, muzik, tarian, bercerita dan seni
lakon. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan peranan istana raja-raja Melayu sebagai pusat
kebudayaan dan penaung kepada kegiatan seni tamadun Melayu.
3.10.3 Persuratan
Tradisi keintelektualan Melayu boleh dilihat pada hasil-hasil kesusasteraan yang terdiri
daripada bentuk lisan dan tulisan. Bentuk lisan dan tulisan berkembang secara terusmenerus selaras dengan perkembangan tamadun Melayu.
72

Sastera lisan misalnya yang diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi melalui
proses sosialisasi anggota masyarakat merupakan satu unsur local genius kebijaksanaan
tempatan yang memperlihatkan kekreatifan dan kebijaksanaan berfikir anggota
masyarakatnya yang bermula pada zaman praliterasi. Bentuk-bentuk sastera lisan itu
misalnya cerita penglipur lara, cerita jenaka, cerita nasihat, cerita binatang seperti Sang
Kancil dan cerita lagenda seperti Mahsuri, mitos, cerita asal-usul dan lain-lain. Bentukbentuk ucapan lisan yang lain seperti pantun, peribahasa, simpulan bahasa, pepatahpetitih, seloka dan seumpamanya (yang kemudiannya dirakam dalam bentuk tulisan),
menampakkan ciri-ciri akal budi dan kebijaksanaan orang Melayu menangani segala
gelagat penghidupan yang terhasil daripada proses pengintelektualan orang Melayu
sepanjang zaman.
Sewaktu zaman perkembangan Islam Pasai, bahasa Melayu telah dijadikan bahasa
persuratan yang bertindak sebagai wahana atau alat untuk penyebaran agama dan
kesusasteraan Islam manakala tulisan jawi merupakan tulisan yang digunakan dalam
kesusasteraan Melayu. Hasil-hasil kesusasteraan dipenuhi dengan ciri kesusasteraan
agama khususnya sastera kitab, riwayat hidup Nabi Muhammad SAW, cerita nabi-nabi,
para sahabat, pahlawan dan sejarah seperti Hikayat Raja-Raja Pasai. Namun, sastera lisan
dan hasil karya pada zaman pengaruh Hindu masih dikekalkan.
Antara karya yang terhasil pada zaman itu ialah Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Bulan
Berbelah, Hikayat Nabi Mi'raj, Hikayat Nabi Wafat dan juga cerita rekaan berkenaan
nabi-nabi seperti Hikayat Nabi Yusuf dan lain-lain. Manakala cerita-cerita berkenaan
ketokohan pahlawan Islam turut tersebar di Pasai contohnya Hikayat Muhammad
Hanafiyah dan Hikayat Amir Hamzah.
Kegiatan keintelektualan dan kesusasteraan Melayu kemudiannya berpindah ke Melaka.
Perkembangannya merupakan lanjutan daripada kesusasteraan Melayu Pasai. Kegiatan
penyebaran agama Islam diteruskan di Melaka dan pada zaman inilah kisah mengenai
nabi-nabi dan pahlawan Islam telah 'dimelayukan'. Pada zaman Melaka ini, sastera
undang-undang iaitu Hukum Kanun Melaka (Undang-Undang Melaka) dan UndangUndang Laut Melaka menjadi panduan kepada peraturan mentadbir negeri dan dalam
menegakkan keadilan masyarakat umum.
Kejatuhan Melaka pada tahun 1511 di tangan kuasa Portugis menyebabkan pusat
keintelektualan dan kesusasteraan Melayu telah berpindah ke kerajaan Johor yang telah
diasaskan sebagai kesinambungan tradisi Melaka dan juga kerajaan Islam Acheh. Walau
bagaimanapun, ketika ini Johor tidak dapat bersaing dengan Acheh yang merupakan
kuasa politik dan ketenteraan serta pusat perdagangan dan kebudayaan Melayu terpenting
di persisiran Selat Melaka. Alim ulama lebih menumpukan kegiatan perkembangan
agama Islam di Acheh berbanding di Johor. Namun begitu, kesusasteraan zaman ini
paling dominan ditandai dengan penulisan hikayat klasik Melayu seperti Hikayat Hang
Tuah, Adat Raja-Raja Melayu dan Sejarah Melayu atau Sulalat al-Salatin. Manakala
kesusasteraan undang-undang seperti Undang-Undang Johor diadaptasi daripada Hukum
Kanun Melaka.

73

Kerajaan Islam Acheh (1500-1900) merupakan salah satu pusat keagungan tamadun
Melayu tradisional selama empat kurun lamanya. Acheh berkembang pesat dengan
penulisan kesusasteraan agama dan penulisan sejarah. Dikatakan Acheh mengambil alih
peranan yang sebelum ini dikembangkan oleh Pasai dan Melaka. Kesusasteraan zaman
Acheh mencapai zaman kemuncaknya pada kurun ke-17 Masihi dengan kemunculan
nama-nama seperti Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatrani. Beberapa orang
tokoh lain turut menghasilkan karya agama iaitu Hamzah Fansuri dengan karya seperti
Sya'ir Perahu, Sya'ir Burung Pungguk dan Syarab al-Asyikin, Syamsuddin al-Sumatrani
dengan karyanya berjudul Mir'atal-Mu'min; Syeikh Nuruddin al-Raniri dengan karyanya
berjudul Hujjah al-Siddiq li dafa 'al-'Zindiq dan Tihyan fi Ma'rifat al-Adyan; dan Abdul
Rauf al-Singkeli dengan karyanya berjudul Mir'at al- Tullab.
Di Palembang, Sumatera dalam bidang karya agama muncullah Syeikh Abdul Samad alPalembani dengan karyanya berjudul Hidayat al-Salikin, Sair al-Salikin dan lain-lain. Di
samping itu muncul tokoh-tokoh seperti Syihabuddin bin Abdullah Muhammad, Kemas
Fakhruddin, Muhammad Muhyidin bin Syihabuddin dan Kemas Muhammad bin Ahmad.
Di Patani, Islam menjadi agama rasmi sesudah rajanya memeluk Islam pada awal kurun
ke-16 dan dengan itu bermulalah kegiatan keislaman yang kuat melalui sistem
pendidikan Islam secara sistem pondok yang telah melahirkan masyarakat Islam dan para
ulama Islam yang kukuh dan berpengaruh. Pondok-pondok di Patani pada kurun ke-18
dan ke-19 mempunyai status yang tinggi kerana sumbangannya melahirkan barisan ulama
yang diiktiraf di seluruh alam Melayu. Antara ulama Patani yang paling terkenal ialah
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani (1740-1847) yang mula-mula belajar di Patani
kemudian ke Acheh dan seterusnya ke Haramain (Makkah dan Madinah). Karyanya
berjumlah tidak kurang daripada 57 buah yang mencakupi hampir semua bidang
pengajian Islam.Antaranya ialah Furu 'al-Masa 'il.
3.10.4 Ilmu dan Teknologi Tamadun Melayu
Tamadun Melayu juga banyak menghasilkan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan teknologi.
Ilmu-ilmu teknologi yang dihasilkan dan diubah suai oleh tamadun Melayu menunjukkan
kebijaksanaan masyarakat tempatan. Sebahagian daripada ilmu-ilmu ini boleh dilihat
daripada pembinaan istana, masjid, dan rumah; dan pembuatan barang-barang keperluan
harian. Perbezaan hasil teknologi tamadun Melayu dengan tamadun-tamadun lain
mempunyai kaitan dengan sumber-sumber yang boleh diperoleh dan juga keperluan serta
nilai-nilai kebudayaan Melayu.
Menjelang kurun ke-15, dunia Melayu sudah menjadi laluan utama budaya dan
perdagangan dari luar sama ada dari negara-negara di bahagian dunia timur atau barat. Ini
kerana dunia Melayu dari segi geografi, berkedudukan strategik terletak di pertengahan
jalan laut (Jalan Sutera maritim antara kedua kawasan utama ini). Perdagangan
merupakan faktor yang turut membawa pengaruh dalam pembentukan seni budaya
Melayu. Umpamanya dari negara China dibawa masuk kain dan benang sutera, dari India
kain dan benang kapas, serta pewarna, dari Eropah kertas dan dakwat, dan dari Timur

74

Tengah kain bertekat dan bertenun benang emas. Barang dagangan tersebut membuka
peluang baharu dalam berkarya dengan daya kreativiti masyarakat Melayu.
Daripada hubungan ini terhasil bentuk-bentuk seni tekstil seperti kain songket, kain
sutera, kain limar, kain batik, walaupun terdapat juga hasil kain yang memang asli
tempatan antaranya kain pua dan kain tenun. Melalui hubungan ini juga terhasil bentukbentuk seni khat sehingga menghasilkan manuskrip dan kitab bertulis tangan. Seni tekat,
ikat dan celup warna (tie and dye), dan seni anyaman bakul, tikar, kelarai juga sebagai
hasil kraf Melayu.
Seni bina Melayu dalam menghasilkan bangunan bukan sahaja menjadi tempat
perlindungan bagi masyarakat Melayu tetapi menampilkan wajahnya yang sesuai dengan
fungsinya. Umpamanya masjid yang terisi dengan mimbar, telaga atau pancur air untuk
tempat berwuduk dan bumbung yang khusus bentuknya memberikannya ciri seni bina
masjid. Istana golongan raja-raja perlu pula diserikan dengan balairong penghadapan,
tempat persemayaman diraja, balai istiadat dan seumpamanya. Batu nisan di perkuburan
turut diolah dengan atur letak dan nukilan yang mencerminkan rupa dan jiwa manusia
Melayu. Seni persembahan orang Melayu menampilkan kelembutan dan kesopanan
wanita Melayu serta ketampanan dan ketangkasan lelaki Melayu.

SOALAN DALAM TEKS 3.3

1.

Apakah pandangan semesta yang paling utama yang mencirikan


masyarakat Melayu?

2.

Nyatakan beberapa karya ketokohan pahlawan Islam yang


dihasilkan sewaktu kegemilangan keilmuan di Pasai.

3.

Pelaung digunakan untuk menakat____________


A.
Timbangan
B.
Sukatan cecair
C.
Jarak
D.
Masa

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

75

3.11

KESIMPULAN

Maklumat dan pengetahuan dalam bab ini diharap dapat membuat kita berfikir tentang
ketamadunan Melayu yang telah menempa nama dan sejarah serta betapa relevannya ia
diletakkan sebagai asas kelangsungan tamadun Malaysia masa kini. Tamadun Malaysia
yang sedang mengalami proses pemantapan sekarang wujud hasil daripada satu proses
sejarah yang berkesinambungan melalui pelbagai sumber sejarah dan kaedah arkeologi.
Segala yang telah anda pelajari dari segi sejarah terbukti bahawa wilayah politik atau
negara-bangsa yang dikenali sebagai Malaysia merupakan lanjutan daripada kemunculan
politik-politik atau kerajaan Melayu lebih awal yang terangkum dalam satu wilayah
budaya yang dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu. Kini Malaysia merupakan
sebuah negara-bangsa yang berbentuk persekutuan yang mengandungi komponen
beberapa buah negeri Melayu. Lantaran fakta sejarah tersebut, maka paksi atau landasan
utama yang menyumbang kepada pembinaan dan pemantapan tamadun Malaysia ialah
tamadun Melayu. Sehubungan itu juga, dalam dasar-dasar yang dibentuk oleh kerajaan
seperti Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar
Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, nilai-nilai tamadun Melayu
diterapkan sebagai nilai-nilai asas. Secara keseluruhannya, nlai tambah dan faktor paling
penting yang menjadikan tamadun Melayu begitu kukuh ialah peranan bahasa Melayu
dan agama Islam yang rasional dan berdaya maju serta menjadi penentu kepada jatuh
bangunnya tamadun Melayu itu sendiri. Walaupun orang Melayu dan tamadunnya kini
sedang mendepani pelbagai cabaran sosiobudaya, namun teras ilmu dan agama yang
kukuh diharap akan menjadi benteng penahan ombak tribulasi pada era siber ini dan
seterusnya membina masyarakat 1 Malaysia yang mempunyai cara hidup atau adat yang
bercirikan nilai-nilai peradaban yang tinggi.

76

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS


SDT 3.1
1.

Pertama, bahasa Melayu yang menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan
luas di seluruh kawasan ini, dan kedua, agama Islam yang dianuti oleh majoriti
penduduknya.

2.

Orang Melayu ditakrifkan; secara lazimnya


(i)
berbahasa Melayu,
(ii)
mengamalkan adat istiadat Melayu, dan
(iii) beragama Islam.

3.

Maritime dan agrarian

4.

SDT 3.2
1.

2.

(i)
(ii)
(iii)
(iv)
(v)

faktor perdagangan
faktor perkahwinan
faktor pendakwahan
faktor agama Islam sendiri
gelaran sultan diberi kepada ketua negara dan ketua agama Islam bagi
menggantikan sistem beraja. Dalam pelaksanaan pentadbiran, sultan
dijadikan Khalifah Allah di bumi dibantu oleh golongan penasihat yang
terdiri daripada alim ulama dan mufti.

SDT 3.3
1.

Akidah atau kepercayaan kepada Tuhan yang Esa.

2.

Hikayat Muhammad Hanafiyah dan Hikayat Amir Hamzah.

3.

77

You might also like