Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan di setiap sekolah sebagai

platform menghubungkan guru-guru, ibu bapa dan penjaga anak-anak di sekolah


berkenaan. Lazimnya, pengerusi PIBG dilantik dari kalangan ibu bapa dan guru
besar / pengetua sebagai penasihat, manakala Ahli-ahli jawatankuasa dilantik
daripada kalangan guru dan juga ibu bapa.

Mesyuarat PIBG diadakan setiap tahun untuk membincangkan isu-isu pendidikan


anak-anak. Kebiasaannya ia diadakan di sekolah. Terdapat juga sekolah yang
mengadakan mesyuarat agung PIBGnya pada hujung minggu, dan ada kalanya
pada hari bekerja. Pihak sekolah akan menghantar surat jemputan ke mesyuarat
agung PIBG bersama dengan borang maklum balas untuk ibu bapa memberikan
cadangan, pandangan dan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti
pembelajaran.

Cadangan atau pandangan ini biasanya akan dibincangkan semasa mesyuarat


PIBG. Saranan penambahbaikan yang diterima dalam mesyuarat PIBG akan
diguna pakai dalam sistem pentadbiran sekolah. Oleh itu, adalah sangat penting
ibu bapa berusaha untuk menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG.

Namun, PIBG sekolah rendah menghadapi masalah untuk mendapatkan


peratusan kedatangan yang memuaskan daripada ibu, bapa, atau penjaga ke
setiap mesyuarat. Meskipun pelbagai pendekatan diambil PIBG untuk menarik ibu
bapa hadir, seperti mengadakan cabutan bertuah di akhir sesi mesyuarat,
mengadakan hari kualiti pada hari yang sama dan sebagainya, tetapi ia masih
tidak mendapat sambutan menggalakkan.

Mesyuarat PIBG perlu dilihat bukan sahaja untuk melantik AJK dan mendengar
ucapan tetamu VIP, tetapi pelbagai agenda bersangkutan dengan pembelajaran
anak-anak turut diketengahkan. Ada segelintir ibu bapa merungut mereka
terpaksa menunggu lama untuk kedatangan tetamu VIP bagi merasmikan
mesyuarat. Ibu bapa mungkin kurang sedar pentingnya tetamu VIP merasmikan
mesyuarat PIBG. Kebiasaannya jemputan tetamu VIP membolehkan pihak sekolah
mendapatkan dana tambahan daripada tetamu tersebut. Apalah salahnya ibu
bapa berkorban masa sedikit demi masa depan pembelajaran anak-anak.

Dana tambahan tersebut adalah sangat penting bagi meningkatkan kualiti


pembelajaran anak-anak di sekolah. Walaupun begitu, pihak PIBG harus memilih
tetamu VIP yang dapat hadir menepati masa. Jika tidak pastinya ibu bapa
keresahan menunggu berjam-jam untuk mengikuti upacara perasmian.

Mesyuarat PIBG sepatutnya menjadi satu-satunya cara untuk guru-guru dan ibu
bapa berbincang permasalahan pembelajaran anak-anak dan mencapai
persetujuan untuk penyelesaian masalah tersebut.

Borang usul atau cadangan yang diedarkan kepada ibu bapa dan penjaga akan
memberi ruang kepada mereka bagi memberikan usul kepada pihak sekolah.
Perbincangan usul dan cadangan ini akan dibuat semasa mesyuarat PIBG
dilangsungkan. Sebagaimana diamalkan di mana-mana mesyuarat, individu yang
memberi usul dan cadangan mesti hadir ke mesyuarat. Jika pencadang tidak
hadir, usul atau cadangan tersebut tidak dapat dibincangkan.

Mesyuarat juga boleh menjana lebih banyak penyelesaian bagi pelbagai


permasalahan yang dihadapi. Dengan itu, ibu bapa dan penjaga mestilah
berusaha meluangkan masa untuk menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG ini,
walaupun ramai ibu bapa atau penjaga mengatakan waktu mesyuarat tidak
sesuai. Memang sukar untuk mendapatkan waktu yang sesuai jika ibu bapa
beranggapan mesyuarat PIBG ini remeh.

Jika edaran BR1M ramai yang beratur dan sanggup menunggu lama, kenapa
tidak untuk mesyuarat agung PIBG sekolah rendah anak mereka?

Menghadirkan diri ke mesyuarat PIBG dapat meningkatkan komunikasi dan


hubungan muhibah antara guru-guru, ibu bapa serta penjaga.
Tatkala ini, ramai ibu bapa mempunyai persepsi bahawa guru hanya bekerja
setengah hari sahaja. Malah mereka selalu menyalahkan guru jika prestasi anak
kurang memuaskan.

Oleh yang demikian, mesyuarat agung PIBG seharusnya dipandang tinggi oleh
semua ibu bapa dan penjaga. Mereka sepatutnya beranggapan bahawa
mesyuarat PIBG sangat penting bagi pertumbuhan dan masa depan anak-anak
mereka. Mesyuarat PIBG akan menjadi medan komunikasi yang efektif bukan
sahaja bagi menyelesaikan masalah di sekolah tetapi juga dapat meningkatkan
kualiti pencapaian akademik anak-anak khasnya.

You might also like