Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 14

Amalan Pembangunan Profesionalisme Dalam Kalangan Guru-guru

Novis
Aziah Ismail (aziah@usm.my)
Noraini Haron & Abdul Ghani Kaneson
Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan
Universiti Sains Malaysia

Abstrak
Artikel ini berkaitan dengan kajian tentang usaha-usaha pembangunan profesionalisme
keguruan yang diamalkan oleh guru-guru novis yang ditempatkan untuk bertugas di sebuah
sekolah yang baru beroperasi. Satu kajian kes telah dijalankan di sebuah sekolah yang baru
beroperasi iaitu bermula tahun 2002. Teknik temu bual dan analisis dokumen telah digunakan
untuk mengumpulkan data kajian. Seramai enam orang guru novis dan seorang Penolong
Kanan Pentadbiran telah dipilih sebagai responden kajian melalui kaedah persampelan
bertujuan. Kajian ini mendapati, guru-guru novis mempunyai kaedah dan cara tersendiri untuk
membangunkan profesionalisme keguruan mereka. Hal ini dilakukan untuk membantu mereka
meningkatkan keyakinan dan kebolehan mereka sebagai seorang guru. Walau bagaimanapun,
mereka berhadapan dengan beberapa masalah dan kekangan yang berpunca daripada pihak
sekolah atau pandangan serong individu di sekolah tersebut. Justeru dapat dirumuskan
bahawa keazaman guru novis dalam membangunkan profesionalisme mereka adalah didorong
oleh sikap mereka terhadap profesion guru walaupun ditugaskan di sekolah yang baru
beroperasi dan berhadapan dengan pelbagai kekurangan.

Abstrak
This article reports on a case study of professional development efforts practiced by a group of
novice teachers at a new school which just operated in 2002. Interview and document analysis
techniques was hired in data collection. A group of six novice teachers and an Administration
Asistant Principal (Penolong Kanan Pentadbiran) was chosen as respondents through
purposive sampling process. The findings showed that the novice teachers have their own
methods and strategies in developing their professionalism. These were their efforts in order to
increase their level of confidence and ability as teachers. However, they contended with some
problems and constraint which were caused by individuals in the school and/or the school
system itself. The findings, as a conclusion, portray that the novice teachers perseverance in
developing their professionalism was driven by their attitude towards teaching profession even
though theyre stationed in a newly operated school with various shortcomings.

Latar belakang Kajian

Perkembangan kerjaya perguruan merupakan satu proses yang berturutan bermula dengan
program latihan hingga ke tahap guru yang berpengalaman. Tahap perkembangan
profesionalisme guru merupakan satu proses peningkatan kemahiran keguruan seseorang
guru. Berliner (1995) membahagikan proses tersebut kepada lima peringkat. Pada peringkat
pertama, guru dirujuk sebagai guru novis dan mempelajari fakta bersifat peraturan umum yang
sesuai untuk semua konteks dan membina pengalaman. Tahun kedua dan ketiga dianggap
peringkat yang lebih maju. Guru-guru novis ini berusaha menyepadukan teori yang telah
dipelajari dalam amalan di bilik darjah. Selepas tiga hingga empat tahun berkhidmat,
seseorang guru akan mencapai tahap guru yang cekap dan mampu membuat pilihan yang
tepat tentang tindakan guru dalam menghasilkan pembelajaran yang efektif untuk pelajar.
Seseorang guru akan mencapai tahap guru mahir selepas lima tahun dan peringkat terakhir
iaitu guru pakar setelah berkhidmat lebih daripada sepuluh tahun (Berliner, 1995).

Fasa yang dianggap paling kritikal dalam tahap perkembangan profesionalisme guru
adalah antara tahun pertama hingga kelima perkhidmatan mereka. Seyfarth (2002)
berpendapat pekerja yang baru dilantik dalam semua bidang pekerjaan
berkecenderungan menghasilkan prestasi kerja yang kurang memuaskan kerana
mereka mengalami fasa pendedahan kepada realiti sebenar dunia pekerjaan.
Sehubungan itu, Glatthorn (1995) menyifatkan tahun pertama guru-guru novis sebagai
peringkat menyelamatkan diri (survival). Pada peringkat ini, guru-guru novis berada dalam
keadaan keliru, cemas dan tidak pasi tentang tuntutan kerjaya seorang guru. Jangkaan
mereka tentang realiti kerjaya seorang guru tidak mencapai tahap yang dijangkakan.
Mereka mula menyedari bahawa pelajar-pelajar tidak berminat untuk belajar. Guru-guru
novis juga memperuntukkan banyak masa untuk membuat persediaan yang dianggap
membebankan dan mengganggu kehidupan sosial mereka (Seyfarth, 2002).
Nolan (2004) pula berpendapat guru-guru novis berhadapan dengan pengalaman yang
mengejutkan tentang budaya sekolah yang sebenar. Kebanyakan guru-guru novis berasa
kebingungan dalam dunia yang dianggap asing bagi mereka. Tempoh ini dianggap sungguh
mencabar serta menyifatkannya sebagai a sink-or-swim situation secara sendirian tanpa
bimbingan daripada pensyarah. Menurut Nolan (2004) lagi, keadaan yang dihadapi oleh
guru-guru novis tidak sama dengan jawatan professional lain. Lazimnya golongan
professional seperti jurutera dan peguam tidak diberikan tugasan yang berat sebaik sahaja
menjawat jawatan tersebut. Sebaliknya, seseorang guru novis akan
dipertanggungjawabkan dengan tugas yang sama dengan rakan sejawat yang lebih lama
berkhidmat di sekolah. Mereka akan diberi tugas dalam jawatankuasa yang paling tidak
disukai oleh guru-guru lama dan mengajar kelas yang paling lemah. Hal ini menyebabkan
mereka berasa sangat tertekan kerana terpaksa membuat persediaan yang rapi, membuat
perancangan pengajaran dan pembelajaran serta tugas perkeranian.
Masalah yang dihadapi oleh guru-guru novis menjadi semakin rumit apabila wujudnya
pengasingan (compartmentalization) mengikut bidang pengkhususan. Kebanyakan guru novis
mendapati hanya sebilangan kecil sahaja rakan sejawat yang memberi sokongan terhadap
mereka. Hal ini melemahkan semangat mereka untuk bekerja (McDonald & Elias, 1980).
Veenman (1984) mendapati antara kesukaran yang dihadapi oleh guru-guru novis adalah cara
mengawal disiplin dan memotivasikan pelajar, mengendalikan perbezaan individu, menilai kerja-

kerja pelajar, berinteraksi dengan ibu bapa, cara mengendalikan atau menguruskan kerja di kelas
serta pengetahuan tentang subjek yang diajar. Kecelaruan ini menyebabkan guru-guru novis
meninggalkan profesyen perguruan. Menurut Vennman lagi, kajian yang dijalankan terhadap guruguru novis di Amerika yang telah meninggalkan profesion perguruan menunjukkan Punca utama
mereka meninggalkan profesion ini adalah disebabkan oleh sikap pengetua yang kurang memberi
bimbingan kepada mereka dalam pengajaran di bilik darjah. Kajian tersebut mendapati 40%
daripada responden menyatakan pengetua mereka tidak mewujudkan suasana yang dapat
membentuk mereka menjadi guru yang berkesan; 29% menyatakan pengetua tidak pernah meminta
pendapat mereka; 21% menyatakan pengetua tidak menghargai kerja mereka dan 15% merasakan
mereka tidak dilayani dengan baik di sekolah tempat mereka bekerja. Guru-guru novis juga dilihat
tidak dapat menunjukkan prestasi kerja yang baik kerana wujudnya perbezaan antara pengetahuan
yang dipelajari semasa mengikuti kursus pra-perkhidmatan atau latihan perguruan dengan isi
kandungan subjek yang perlu diajar di sekolah.
Justeru, Lawtorn (1987) berpendapat tiada satu kurikulum tertentu yang boleh menyediakan
seseorang guru dengan pengetahuan untuk menghadapi situasi pengajaran dan pembelajaran
untuk tempoh empat puluh tahun yang akan datang. Hal ini kerana iklim dan persekitaran
sekolah sentiasa berubah. Selain itu, latihan perguruan formal yang diikuti oleh guru-guru pelatih
masih kurang mencukupi. Menurut Yi dan Ma (1992), latihan formal hanya berupaya
melengkapkan sebahagian sahaja keperluan dan kemahiran professional untuk menjadi guru
yang berkesan manakala sebahagian daripada kemahiran tersebut perlu dikuasai semasa guruguru ini mengajar di sekolah. Tempoh minimum yang dicadangkan untuk latihan dalam
perkhidmatan di sekolah untuk guru-guru permulaan ini adalah tiga tahun.

Mohd. Hasani Dali (2007) berpendapat alasan guru-guru novis yang tidak dapat melihat
perkaitan pengetahuan yang dipelajari di universiti dengan situasi kerjaya mereka
merupakan helah bela diri. Hal ini kerana, sebagai pendidik dan agen sosialisasi, guruguru novis perlu sedar tentang tanggungjawab mereka mendidik generasi yang bakal
menerajui negara. Justeru, mereka mesti sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran
dan pengetahuan tentang kaedah-kaedah pendidikan dari semasa ke semasa agar
pelajar-pelajar dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran tersebut bagi
menghadapi tuntutan dan cabaran pada masa akan dating. Hal ini bermakna guru-guru
novis perlu meningkatkan profesionalisme diri untuk menjadi guru yang berkualiti.
Profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran professional dan tindakan
dalam pembelajaran sepanjang hayat. Dalam proses tersebut guru menyemak semula,
memperbaharui dan melanjutkan komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan
pengajaran; mereka menguasai dan memperkembangkan secara kritikal pengetahuan, kemahiran
serta kecerdasan pelbagai yang diperlukan dalam pengajaran (Day, 1999).
Hakikat bahawa guru memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan kesan perubahan
yang signifikan ke atas pembelajaran pelajar memang tidak dapat disangkal. Pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah yang dihasilkan oleh guru yang berkualiti dan berkeyakinan tinggi
mampu meningkatkan pembelajaran pelajar (Wischkaemper, 2005). Kesannya akan lebih ketara
apabila terdapat peningkatan pencapaian pelajar terutamanya bagi mereka yang berlatar
belakangkan sosio-ekonomi yang rendah (Johnson, Kauffman, Liu & Donaldson, 2004).

Menurut Dato Dr. Abdul Shukor Abdullah, bekas Pengarah Pelajaran Malaysia, guru berkualiti
mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori, kaya ilmu, sentiasa berusaha, meningkatkan kualiti hasil
pengajaran, berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan pelajar-pelajar, melengkapkan diri
dengan kemahiran yang sejajar dengan keperluan semasa dan berupaya membentuk perwatakan
murid. Dengan kata lain, guru berkualiti selalunya mempamerkan tahap kecemerlangan dan
dimensi profesionalisme yang tinggi, menterjemah kurikulum, berkemahiran dan berketerampilan,
ketinggian peribadi dan sentiasa bersedia meningkatkan profesionalisme.

Pernyataan Masalah
Odell (2000) menyifatkan tempoh transisi antara latihan praperkhidmatan dengan perkhidmatan
penyesuaian atau tempoh percubaan ini dianggap sebagai the missing piece of the teacher
development continuum bagi guru-guru novis. Hal ini kerana guru novis mengalami satu
kejutan daripada status pelajar kepada guru (Mohd. Hasani Dali, 2007). Mereka mendapati ilmu
dan teori-teori yang dipelajari di universiti dan maktab perguruan tidak dapat dipraktikkan di bilik
darjah. Hal ini telah menjejaskan mutu pengajaran mereka kerana mereka terikut-ikut dengan
pengalaman sedia ada pada zaman persekolahan (McCormack & Thomas, 2003). Dari segi
kemampuan guru-guru baru ini mengajar, ramai sarjana mendapati mereka tidak mempunyai
pengetahuan dari segi isi kandungan dan kaedah mengajar yang sesuai dengan pelajarnya
kerana mereka baru masuk ke dalam kerjaya guru sebenar (Darling -Hammond, 1999).
Implikasi daripada masalah yang dihadapi oleh guru-guru novis perlu diatasi dengan segera
untuk mengelakkan timbulnya kesan yang negatif. Boles dan Troen (2002) menyatakan bahawa
pengalaman yang dilalui oleh seseorang guru novis dalam tahun pertama perkhidmatannya
boleh mempengaruhi tahap keberkesanan pengajaran dan sikap yang akan diamalkan dalam
tempoh perkhidmatannya. Pengalaman tersebut juga akan mempengaruhi keputusan untuk
terus kekal dalam profesion perguruan atau meninggalkan kerjaya ini. Justeru, sokongan
daripada komuniti yang mengamalkan budaya pembelajaran dan amat menghargai idea dan
pengalaman semua anggota masyarakatnya untuk membolehkan guru-guru novis melalui fasa
penyesuaian dalam tahap awal perkhidmatan dengan jayanya.
Stansbury dan Zimmerman (2002) berpendapat program induksi merupakan talian hayat (life line)
bagi membangunkan profesionalisme guru-guru novis di sekolah. Sekolah-sekolah di negara barat
menggunakan pendekatan sistem mentor untuk membimbing guru-guru novis dalam merancang
pengajaran, menguasai isi kandungan subjek yang diajar dan perkaedahan sesuatu subjek,
kemahiran menguruskan bilik darjah dan kemahiran interpersonal dengan ibu bapa. Guru-guru
novis dipertanggungjawabkan di bawah kawalan seorang mentor yang dilantik khas berdasarkan
kriteria iaitu memiliki kredibiliti mengajar, kemahiran berkomunikasi, menguasai subjek yang diajar
serta menguasai pelbagai teknik mengajar. Walau bagaimanapun, kesedaran untuk membangunkan
profesionalisme guru-guru novis tidak diberi penekanan dan program untuk membimbing guru novis
seperti program sistem mentor tidak dilaksanakan di Malaysia. Akibatnya, penampilan guru-guru
novis didapati rendah dan kurang meyakinkan.
Seyfarth (2002) mendapati guru-guru novis yang mendapat bimbingan teknik mengajar yang betul
daripada mentor akan mengekalkan penggunaannya berbanding dengan guru yang tidak
mendapat pendedahan tentang teknik tersebut. Tegas beliau, guru yang mendapat bimbingan
menunjukkan perubahan tingkah laku yang tinggi berbanding dengan guru yang mendapat latihan
yang sama tetapi tidak mendapat bimbingan. Namun demikian, Moir (2000) mendapati

keberkesanan bimbingan bergantung kepada kemahiran pembimbing, kerencaman


tingkah laku yang dipelajari dan penerimaan guru kepada perubahan.
Oleh itu, kajian perlu dijalankan untuk meneliti usaha guru-guru novis dalam
membangunkan profesionalisme mereka sebagai guru dalam situasi guru pembimbing
mereka adalah bukan guru pakar dalam subjek yang mereka ajar. Kajian juga perlu
mencari jawapan kepada persoalan adakah guru-guru di Malaysia berusaha untuk
membangunkan profesionalisme mereka dan apakah pendekatan yang digunakan.
Rogers dan Babinski (1999) berpendapat pembangunan profesionalisme guru-guru
novis akan dapat diatasi melalui perbincangan dengan rakan-rakan novis yang lain. Melalui
perbincangan tersebut mereka dapat berkongsi kegembiraan atau kekecewaan dan dapat
mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi. Memandangkan kajian-kajian
yang berkaitan guru-guru novis di Malaysia menggunakan pendekatan kuantitatif, satu
kajian kualitatif perlu dijalankan untuk meneliti amalan pembangunan profesionalisme
dalam kalangan guru novis di Malaysia.

Objektif kajian
Kajian ini dijalankan untuk memenuhi objektif-objektif berikut:
i. Mengenal pasti sebab yang mendorong guru-guru novis membangunkan
profesionalisme keguruan mereka
ii. Meneliti usaha yang dilakukan oleh guru-guru novis untuk
membangunkan profesionalisme keguruan mereka
iii. Mengenal pasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh guru-guru
novis dalam membangunkan profesionalisme keguruan
Metodologi kajian
Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan kaedah kajian kes untuk mengumpulkan
data kajian. Menurut Mohd. Majid Konting (2005), kajian kes menekankan kepada pemahaman
tentang tingkah laku yang diamalkan dan perubahan tingkah laku responden kesan daripada
pemboleh ubah yang berkaitan. Kaedah ini lazimnya dipilih kerana berupaya menghasilkan sesuatu
kelainan kepada pembaca semasa mereka membaca cerita dan pengalaman peribadian mereka
(Stake, 1995). Dua teknik pengumpulan data iaitu teknik temu bual dan analisis dokumen telah
digunakan untuk mengumpulkan data kajian. Responden bagi temu bual kajian ini terdiri daripada
enam orang guru novis yang mempunyai pengalaman mengajar antara satu hingga lima tahun di
sebuah sekolah yang baru beroperasi. Sekolah yang menjadi unit analisis dalam kajian ini mulai
dibuka pada bulan Januari 2002. Seramai 14 orang guru yang diterajui oleh seorang Pengetua telah
ditempatkan pada peringkat awal pengoperasiannya. Seramai tujuh daripada 14 orang guru adalah
terdiri daripada guru-guru berpengalaman yang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun. Namun,
sebilangan besar daripada guru yang ditempatkan di sekolah ini kemudiannya adalah terdiri
daripada guru-guru sandaran tidak terlatih dan guru-guru sandaran terlatih yang baru menamatkan
latihan perguruan daripada univeriti dan maktab. Sehingga kini, daripada sejumlah 60 orang guru,
17 orang telah berkhidmat lebih daripada 10 tahun, manakala selebihnya adalah terdiri daripada
guru yang berkhidmat kurang

daripada 10 tahun. Namun hanya enam orang daripada guru-guru tersebut mempunyai
pengalaman mengajar kurang daripada 5 tahun (iaitu tertakluk pada tarikh kajian ini dijalankan).
Responden kajian ini dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling)
iaitu berdasarkan pengalaman mengajar mereka iaitu antara satu hingga lima tahun serta
kejayaan dan pengiktirafan yang telah mereka peroleh daripada pihak sekolah. Selain itu, guru
Penolong Kanan Pentadbiran dan guru panitia juga ditemu bual bagi tujuan trigulasi data.
Manakala analisis dokumen dijalankan bagi mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti -aktiviti
pembangunan profesionalisme keguruan yang berkaitan dengan responden kajian dan bertujuan
untuk trigulasi data. Antara dokumen yang dianalisis adalah portfolio pengajaran responden, buku
rekod mengajar, laporan penilaian prestasi guru dan borang pencerapan guru.

Dapatan kajian
Pembangunan profesionalisme keguruan merupakan satu proses berterusan dalam
garis hayat profesion seseorang individu guru. Kajian ini mendapati, responden kajian
mempunyai usaha-usaha tertentu dalam meningkatkan profesionalisme keguruan
mereka. Usaha-usaha tersebut meliputi usaha daripada motivasi dalaman mereka
sendiri dan sokongan daripada pihak-pihak di persekitaran kerja mereka. Walau
bagaimanapun, responden-responden kajian ini tidak terkecuali menghadapi masalah
dan kekangan dalam usaha meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.
Dapatan kajian ini menunjukkan terdapat beberapa usaha yang dilakukan oleh respondenresponden kajian dalam usaha meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Usahausaha tersebut meliputi langkah yang dilakukan secara individu juga secara berkumpulan.
Usaha-usaha ini diambil disebabkan oleh beberapa tujuan iaitu; a) meningkatkan
kemahiran dan kefahaman dalam kandungan subjek yang diajar; b) meningkatkan
kemahiran dalam penyampaian pengajaran dan pembelajaran (p&p); dan c) memahirkan
diri dalam hal-hal lain seperti pengurusan kokurikulum, kerja berkumpulan dan sebagainya.

i)

Sebab-sebab yang mendorong guru novis berusaha meningkatkan


profesionalisme keguruan mereka

Kajian ini mendapati sebab utama yang mendorong guru-guru novis meningkatkan profesionalisme
keguruan mereka adalah berkaitan dengan kebimbangan mereka tentang penguasaan isi
kandungan subjek yang mereka ajar di sekolah. Berdasarkan temubual, kajian mendapati semua
responden kajian berusaha meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam subjek yang
diajar. Hal ini kerana timbulnya masalah ketidakselarasan antara kandungan kursus yang dipelajari
ketika mereka di universiti dengan aras kandungan subjek yang perlu diajar pada peringkat
sekolah. Menurut Responden 6, saya rasa subject content di universiti agak tinggi terlalu teknikal
dan bersifat teori. Masa saya kerja di kilangpun, saya dapati ia tiada perkaitan walaupun bidang
saya adalah Fizik Industri. Saya perlu belajar macam mana nak menjalankan conveyor belt macam
tu tak payah pergi U. Kenyataan ini disokong oleh Responden 2 yang menyatakan, Subjek
content yang ada di u la ni terlalu tinggi untuk form 4 dan form 5. Untuk form 4 dan form 5 perlu
study balik. Kaedah konstruk tidak sesuai dilaksana sebab tak sempat habis silibus. Malahan
penjelasan Responden 4 mengukuhkan pendapat kedua-dua responden tersebut. Menurut
Responden 4, topik tingkatan 4 dan 5 adalah pada peringkat asas sahaja. Saya kena study
semula. Kesukaran ialah bagaimana untuk susun isi

kandungan daripada peringkat yang paling asas. Jika pelajar tidak dapat kuasai unit 1
dan 2, mereka tidak akan dapat selesaikan masalah seterusnya. Penjelasan ini
menunjukkan responden berasa bertanggungjawab untuk belajar semula isi kandungan
subjek yang diajar pada peringkat asas walaupun mereka mengkhusus dalam bidang
tersebut. Tindakan ini bagi membolehkan mereka menyampaikan isi pelajaran subjek
tersebut dengan baik dan dapat difahami oleh para pelajar.
Selain itu, ketidaksamaan antara bidang pengkhususan semasa di universiti dengan subjek
yang diajar di sekolah turut mendorong responden kajian ini meningkatkan kefahaman mereka
terhadap sesuatu subjek. Hal ini kerana kebanyakan responden kajian mengajar subjek yang
bukan bidang pengkhususan mereka. Responden 3 menyatakan, Pengalaman di universiti
tidak ada kaitan langsung dengan p&p sebab degree Kimia tapi ajar fizik dan matematik. Dari
segi subject content pula hanya lebih kurang 50% saja dapat membantu kerana belajar dan
mengajar adalah dua perkara yang berbeza. Masalah yang sama turut dialami oleh
Responden 1 yang menjelaskan, Di universiti subjek content terlalu tinggi, malah tiada kaitan
dengan silibus sekolah. Macam saya pengkhususan saya adalah bidang Mechanical
Engineering. Saya mendapat pendedahan kepada asas fizik di Universiti tetapi tiada
pendedahan kepada subjek matematik. Pendekatan bagi mengajar kedua-dua subjek ini adalah
berbeza. Saya perlu memperuntukkan masa yang lebih untuk kedua-dua subjek ini. Walaupun
saya pernah mendapat pendedahan dalam alam persekolahan saya, namun saya tidak dapat
mengingatinya. Oleh itu, saya perlu mula belajar tentang isi kandungan peringkat asas.

Temu bual juga mendapati, walaupun responden diberi pendedahan tentang kaedahkaedah pengajaran dan pembelajaran semasa mengikuti Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI), namun tempoh praktikum selama 10 minggu dirasakan sangat singkat
bagi mereka membangunkan kemahiran keguruan mereka terutamanya dari aspek
p&p. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Responden 1, .... tapi masa saya buat KPLI,
ada pendedahan sikit. Tapi kurang pengalaman kerana tempoh praktikum yang
singkat. Responden 6 turut mengiyakan dengan menyatakan bahawa, ... pengalaman
di maktab tak dapat membantu sangat, sebab tempoh praktikum selama 10 minggu itu
saya rasa tak mencukupi. Pernyataan ini menunjukkan responden mengharapkan
tempoh pendedahan yang lebih panjang bagi mempersiapkan diri mereka dengan
kemahiran-kemahiran keguruan sebelum menjawat jawatan tersebut secara rasmi.
Sebenarnya, masalah ketidakselarasan aras kandungan subjek yang mereka pelajari pada
peringkat universiti dengan yang diajar pada peringkat sekolah, subjek pengkhususan yang
berbeza dengan subjek yang diajar di sekolah serta kurangnya pendedahan tentang kemahiran
keguruan telah mewujudkan kebimbangan dalam diri responden kajian untuk mengajar. Hal ini
mendorong mereka berusaha membuat persediaan yang lengkap sebelum masuk mengajar.
Menurut Responden 5, ... memanglah ada rasa takut, jadi perlu prepare bahan takut dipandang
rendah sebab tak kuasai tajuk. Saya mesti bersedia. Saya rasa bimbang jika fakta-fakta yang
terdapat dalam buku teks tidak dapat disampaikan kepada pelajar.

ii) Usaha-usaha guru novis untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka

Berdasarkan temubual yang dijalankan, kajian mendapati terdapat beberapa usaha


yang dilakukan oleh responden kajian untuk meningkatkan profesionalisme keguruan
mereka. Antara usaha tersebut adalah:
a) Merujuk buku dan internet
Kajian ini mendapati usaha permulaan yang dilakukan oleh responden kajian untuk kemahiran dan
kefahaman tentang subjek yang mereka ajar di sekolah adalah bermula dengan mencari sendiri
bahan-bahan pengajaran yang berkaitan seperti merujuk buku rujukan SPM dan internet. Malahan
kajian ini mendapati kedua-dua sumber ini menjadi rujukan popular responden kajian bagi tujuan
meningkatkan kefahaman mereka tentang isi kandungan subjek yang mereka ajar. Hal ini seperti
yang dijelaskan oleh Responden 1, Saya rujuk buku SPM untuk atasi masalah isi kandungan
pelajaran yan diajar. Penggunaan buku rujukan SPM membantu pengajaran responden menjadi
lebih berfokus. Responden 4 menjelaskan, Pengajaran lebih berfokus kepada kehendak
peperiksaan. Saya lebih suka fokus kepada soalan, tidak meleret-leret. Malahan ada responden
yang lebih gemar merujuk buku memandangkan langkah tersebut lebih mudah dilakukan
berbanding penggunaan software yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) dan rujukan internet. Pandangan ini seperti yang dijelaskan oleh Responden 2, Saya rujuk
buku. Software saya tak guna sebab perlu banyak masa. Bila saya susah terang sesuatu konsep
contohnya konsep graviti, barulah saya guna software dan rujuk internet. Manakala, internet pula
membantu mereka mengajar konsep-konsep yan sukar kepada pelajar. Menurut Responden 6,
Saya merujuk buku ulangkaji SPM. Selain itu saya memang banyak ambil daripada internet. Saya
selalu melayari You Tube sebab dalam tu ada banyak konsep Sains terutama Fizik. Macam saya
nak ajar tentang konsep tekanan yang abstrak untuk pelajar. Saya dapatkan daripada laman itu dan
saya tunjukkan kepada pelajar. Penjelasan daripada responden menunjukkan bahawa mereka
mempunyai rasa tanggungjawab untuk menguasai dan memahami isi kandungan subjek sebelum
disampaikan kepada pelajar.

b) Perbincangan dengan rakan sekerja


Kajian juga mendapati perbincangan dengan rakan sekerja turut membantu responden kajian
meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Tindakan merujuk dan berbincang dengan rakanrakan sekerja merupakan langkah kedua yang diambil oleh responden sekiranya masalah yang
mereka hadapi tidak dapat diselesaikan sendiri. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Responden 2,
Saya usaha sendirilah cari bahan. Hmmm kalau saya tak faham, saya tanya guru lain. Saya rujuk
rakan yang duduk sebelah saya dulu. Rakan saya tu dulu mengajar sekolah rendah dan baru
graduate. Walaupun dia berbangsa Cina tapi cukup banyak membantu. Selain itu, perkongsian
maklumat dengan rakan sekerja dapat membantu responden meningkatkan kompetensi mereka
dalam proses p&p. Menurut Responden 5, Perbincangan antara guru baru tentang meningkatkan
prestasi selalu berlaku waktu antara kelas. Mesyuarat panitia pun tak cukup bilangan 4 kali setahun
. Dapatan temu bual juga menunjukkan perkongsian maklumat antara guru baru dapat membantu
mereka menyediakan bahan-bahan pengajaran dan memudahkan proses p&p mereka. Menurut
Responden 4, kami bincang tentang kaedah pengajaran yang hendak diajarkan jika ada rakan
yang ajar tajuk yang sama. Pada

pendapat saya, perbincangan akan tingkatkan kompetensi. Kebanyakan dibincang secara tidak
formal minit curai. Berkongsi buat modul dan modul yang dihasilkan adalah kerjasama semua
ahli. Kami hasilkan modul ikut format soalan SPM tak guna buku teks sebab tak semua tajuk
penting. Kami bahagi tugas untuk sediakan modul. Responden 5 menyokong dengan menyatakan,
Pada peringkat awal kami sedia masing-masing. Kini kami guna modul, buat nota ringkas. Bila
kami terangkan, pelajar isikan ruang kosong. Kami dapati sekarang lebih cepat habiskan silibus.
Pernyataan ini menunjukkan guru novis di sekolah kajian mengamalkan kaedah kolaboratif dalam
usaha mereka meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Kajian ini turut mendapati terdapat responden yang memperbaiki teknik pengajaran
mereka melalui pemerhatian terhadap rakan-rakan guru yang lain. Hal ini diakui oleh
Respoden 5 yang menyatakan, Saya selalu perhati rakan-rakan mengajar. Saya dapat
idea macam mana nak ajar sesuatu topik itu di kelas saya nanti. Saya juga dapat idea
untuk guna pendekatan kaedah mengajar berstesen yang digunakan oleh panitia sejarah.
Saya dapati cara itu menarik dan boleh mengelakkan kebosanan pelajar. Dapatan ini
menunjukkan amalan kolaboratif antara guru novis dalam memperbaiki kualiti p&p mereka.

c) Merujuk guru berpengalaman


Kajian mendapati, responden turut merujuk guru-guru berpengalaman sekiranya berhadapan
dengan masalah dalam proses p&p mereka. Antara guru berpengalaman yang dirujuki responden
adalah Ketua Panitia mereka. Menurut Responden 4, ... selain buku rujukan SPM saya juga
merujuk Ketua Panitia sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hal ini diakui oleh Guru Penolong
Kanan Pentadbiran yang menyatakan, Ketua panitia kata responden 4 selalu jumpa dengannya.
Dia memang rajin dan selalu bertanya. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia akan tanya macam
mana nak ajar topik tersebut. Kalau tak datang bersemuka dia telefon. Namun, cara yang
berbeza telah digunakan oleh Responden 6. Selain merujuk guru dan rakan sekerja di sekolahnya,
Responden 6 turut mengambil kesempatan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada guru
berpengalaman dari negeri lain yang dia kenali ketika menghadiri kursus. Jelas Responden 6,
Ada juga saya rujuk guru berpengalaman dari sekolah lain. Semasa saya hadir kursus, saya
berkenalan dengan guru berpengalaman daripada negeri lain. Saya tanya macam mana nak ajar.
Dia bantu saya dan beri saya modul pengajaran yang dibuat oleh guru-guru Fizik negeri Pahang.
Puan Badariah hantar kepada saya melalui e mail.
Selain itu, Responden 6 turut meniru cara guru berpengalaman menyelenggara semua dokumen
yang berkaitan dengan p&p mereka. Menurut Responden 6 berkaitan hal ini, saya dapat idea
daripada calon guru pakar yang menyampaikan taklimat semasa mesyuarat guru. Sekarang saya
sedang kumpul bahan. Saya sedang berusaha ke arah itu nak jadi guru pakar. Saya usaha sendiri.
Cari bahan dan selalu rujuk guru pakar macam Cikgu Wahid dia guru pakar Fizik. Mula-mula ajar
dulu saya ajar semua topik, saya dapati tak cukup masa. Bila saya tanya dengan dia, baru saya
tahu hanya tajuk-tajuk tertentu sahaja yang perlu diberi penekanan. Cuba cikgu tengok bahan yang
saya sediakan. Saya dah sediakan powerpoint untuk hampir kesemua topik tingkatan 4 dan 5.
Sebab tu saya suka duduk dalam makmal, kalau saya duduk di Bilik Guru, nanti saya bersembang.
Lagipun, saya suka dengar muzik semasa saya buat kerja. Kesungguhan Responden 6 ini turut
diakui oleh Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran dan guru panitian sains sekolah tersebut.
Menurut GPK Pentadbiran, masa saya mencerap dia, dia

buat persediaan rapi, dari segi bahan pengajarannya, tapi pengajaran nampak kaku dan agak
gementar, nampak kertas yang dia pegang terketar. Saya dapati dia sediakan powerpoint untuk
semua topik. Setiap topik akan disertakan dengan soalan-soalan SPM. Beliau juga
menyediakan fail meja guru Dia juga buat analisis peperiksaan bagi pelajar-pelajarnya. Fail
peribadinya pun lengkap dengan surat panggilan kursus, butiran diri, sijil dan senarai jawatan
yang dipegang. Saya puji tindakan dia dan suruh dia kemas kini maklumat ini yang saya rasa
sangat berguna untuk pencalonan guru cemerlang. Satu lagi, saya nampak dia kreatif, dia
gabung bahan yang dibekalkan oleh Kementerian dengan bahan yang dia sediakan sendiri.
Perakuan ini menunjukkan asas kepada peningkatan profesionalisme keguruan adalah terletak
pada diri individu guru novis itu sendiri. Pelbagai usaha yang mereka lakukan dapat membantu
mereka menjadi guru yang berkesan dan sistematik.

d) Mengikuti kursus di luar sekolah


Kursus yang diikuti oleh responden di luar sekolah turut dapat membantu responden
meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Menurut Responden 3 dan 5, kursus ETEMs
banyak membantu mereka dalam kaedah pengajaran subjek sains dan matematik. Namun,
kursus-kursus yang dianjurkan di luar tidak banyak yang berkaitan dengan p&p. Kebanyakan
kursus yang mereka hadiri adalah berkaitan dengan pentadbiran dan kokurikulum. Justeru,
mereka mencadangkan agar pihak-pihak berkaitan menganjurkan lebih banyak kursus yang
dapat membantu guru-guru novis meningkatkan kualiti pengajaran mereka.

iii) Masalah dan kekangan yang dihadapi oleh guru novis dalam usaha
meningkatkan profesionalisme keguruan mereka
Kajian ini mendapati terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh responden dalam usaha
mereka meningkatkan profesionalisme keguruan mereka. Antaranya adalah tiada guru
berpengalaman yang boleh dirujuk oleh mereka sekiranya mereka berhadapan dengan
masalah dalam pengajaran. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Responden 6 iaitu, Masa saya
datang ke sekolah ini, sekolah ini baru dibuka. Saya tidak ada sesiapa nak dirujuk sebab tak
ada guru berpengalaman di sini yang mengajar subjek fizik. Saya terpaksa membuat
persediaan dengan mengumpul sendiri bahan pengajaran. Sebab itu, saya selalu
mengasingkan diri duduk di makmal supaya saya boleh tumpukan perhatian untuk
menyediakan bahan pengajaran. Selain itu, responden kajian turut mengharapkan maklum
balas yang membina daripada pihak pengurusan tentang pengajaran mereka. Namun,
lazimnya maklum balas yang mereka peroleh adalah lambat atau tiada langsung. Menurut
Responden 4, Badan pengurusan mencerap tapi maklum balas lambat. Malahan mesyuarat
panitia juga kurang membantu responden dalam usaha meningkatkan profesionalisme mereka.
Seperti yang dijelaskan oleh Responden 6, Mesyuarat panitia adalah bincang tapi
kebanyakannya bincang secara informal. Mesyuarat panitia pun tak cukup 4 kali setahun.
Selain itu, input yang diharapkan daripada kursus luar yang diikuti turut kurang diperoleh.
Menurut Responden 2, Program perkembangan staf selalunya tak pernah minta pendapat
guru. Ia berpusatkan kepada penceramah sahaja. Competency based pula tiada kaitan secara
langsung. Seperkara lagi, mungkin peningkatan dalam bidang fizik boleh membantu saya
dalam p&p. Hal ini menunjukkan guru-guru novis memerlukan sokongan daripada pelbagai
pihak untuk meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Rumusan dapatan kajian


Pendedahan graduan kepada realiti sebenar dunia pekerjaan menyebabkan mereka
cenderung menghasilkan prestasi kerja yang kurang memuaskan. Justeru, dalam bidang
pendidikan, fasa yang paling kritikal dalam tahap perkembangan profesionalisme guru adalah
antara tahun pertama hingga kelima perkhidmatan mereka. Berdasarkan dapatan kajian ini,
dapat dirumuskan bahawa guru-guru novis berusaha meningkatkan profesionalisme keguruan
mereka melalui pelbagai kaedah dan cara walaupun ditugaskan di sekolah yang baru du buka
dan berhadapan dengan pelbagai beban tugas yang perlu dipikul bersama dengan guru-guru
yang berpengalaman. Usaha ini dilakukan kerana terdapat dalam kalangan guru novis yang
memandang serius terhadap kerjaya mereka dan mempunyai rasa tanggungjawab terhadap
bidang keguruan. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir dalam kalangan mereka yang
bersikap sambil lewa dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Selain itu, dapat juga
dirumuskan bahawa walaupun guru-guru novis ini dilatih dengan latihan keguruan yang
mantap, mereka masih memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti guru
berpengalaman sama ada di dalam organisasi yang sama atau di luar organisasi, rakan sekerja
yang turut sama baru bertugas dalam organisasi tersebut serta sokongan organisasi. Sokongan
ini akan dapat membantu guru-guru novis untuk menghadapi kekangan dan masalah dalam
usaha mereka meningkatkan profesionalisme keguruan mereka.

Rujukan
Berliner, D. C. (1995). Educational psychology an Australian and New Zealand
perspective. John Wiley: Brisbane
Boles, K.C. & Troen, V. (2002). Whos Teaching Your Children: Why the Teaching
Crisis is Worse Than You Think and What Can Be Done About It. New Haven:
Yale University Pres.
Darling-Hammond, L. (1999) Solving The Dilemmas of Teacher Supply,Demand and
Standards, Quality Teaching 9(1) hal. 3-24. New York: New York Press

Day, C. (1999). Developing teachers: The challenges of lifelong learning. London:


Falmer Press.
Glatthorn, A. (1995) Teacher development. In L Anderson (Ed.) International
Encyclopedia of Teaching and Teacher Education (2

nd

ed) New York : Pergamon.

Johnson, S., Kardos, S., Kauffman, D., Liu, E., & Donaldson, M. (2004). The Support
Gap: New teachers early experiences in high-income and low-income schools.
Education Policy Analysis Archives, 12 (61), 1-25.
Lawtorn, D.(1987) . The changing Role Of The Teacher: Consequences For Teacher
Education and Training . Prospects, Vol. XVII, No. I, 1987.

Mohd. Majid Konting (2005). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
McDonald,J and Elias,P. (1980) The problems of Beginning Teachers: A Crisis in
Training (Vol1), hal. 3-14. Princeton :NJ Educational Testing.
McCormack, A . & Thomas, K. (2003) Is Surviving Enough? Induction Experiences
Of Beginning Teacher WithinThe New South Wales Context . Asia-Pacific
Journal Of Teacher Education , 31(2), 125-128
Mohd. Hasani Dali (2007) Mengatasi Masalah Profesionalisme Guru Novis.
Pendidik, Mei 2007, hal 20-28. Selangor: Widad Publication, Sdn. Bhd.
Moir, E. (2005) Supporting New Teachers During Their First Years of Teaching, The
George Lucas Educational Foundation diakses daripada http//
www.edutopia.org pada 15 Oktober 2008.
Nolan, James (2004) Teacher supervision and evaluation theory into practice. New
Jersey: John Wiley & Sons, Ltd.
Odell (2000) Introduction : Leading the teacher profession toward quality mentoring.
Dalam S.J. Odell & L. Huling (Eds) Quality mentoring for novice teachers.
Washingston. D.C : Association of Teacher Education.
Seyfarth , J.T. (2002) Human Resources Management for Effective Schools . 3
ed. Allyn & Bacon, Boston.

rd

Siti Zohara Yassin,(2005) Proses Sosialisasi Organisasi Guru Sandarn Terlatih (GST) dalam
Melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Di Sekolah Menengah Di Sarawak.
Tesis yang tidak diterbitkan. Universiti Kebangsaan Malaysia: Fakulti Pendidikan.

Stake, R.E. (1995). The art of case study research perspectives on practice.
Thousand Oaks: Sage Publications
Stansbury , K and Zimmerman , J (2002). Smart induction programs become lifelines
for the beginning teacher. Journal of Staff Development, Fall 2002 (Vol. 23,
No.4), hal 11-25. California: Wilmer Sdn. Bhd.
Veenmann, S. (1984) Perceived Problems of Beginning Teachers. Review of
Educational Research 54 (2) : 143-178. London: Pergamon Press.
Wischkaemper, K ( 2005) A Comparative Case Study of The Principals Role In New
Teacher Induction. Texas: Texas Tech University

Yi ,Y dan Ma,L.(1992) Teacher Education conductor by teacher community: A case of


mentoring in China paper presented at the annual of the American Educational
Research Association in San Francisco on 20 September 1992.

You might also like