Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Di kawasan Pantai Barat Semenanjung, Pulau Pangkor boleh dianggap antara

destinasi 3s yang paling popular kerana keindahan alam semula jadinya yang
masih terpelihara dan mudah dikunjungi. Faktor 3s yang merujuk kepada sand,
sea, sun (pantai, laut dan cahaya matahari) masih boleh dinikmati di pulau
peranginan terkenal di Perak itu walaupun dikelilingi kepesatan pembangunan
industri dan aktiviti pelabuhan di kawasan berhampiran di Lumut. Jaraknya yang
agak dekat dengan bandar raya utama iaitu kira-kira empat jam dari Kuala
Lumpur, lebih tiga jam dari Pulau Pinang dan sejam lebih perjalanan dari Ipoh,
menyebabkan pulau itu sentiasa sesak dengan kunjungan pelancong setiap
hujung minggu, hari kelepasan am dan cuti persekolahan. Tahap kebersihan tak
memuaskan Begitupun, terdapat kebimbangan mengenai masa depan pulau itu
sebagai destinasi pelancongan selepas terdapat laporan dan rungutan pelbagai
pihak termasuk pelancong dan pencinta alam sekitar mengenai tahap
kebersihan yang semakin tidak memuaskan, kedudukan gerai yang sesak dan
tidak tersusun khususnya di Teluk Nipah serta pencemaran ekosistem lautan. Ia
diakui sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang
juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, apabila beliau menerima
banyak aduan yang mengatakan Pangkor sebagai pulau yang cantik, tetapi
kotor, manakala kawasan tempat pembuangan sampah yang terletak berdekatan
jalan raya utama mencacatkan pemandangan. Kebimbangan itu mendorong
Institut Darul Ridzuan (IDR) mengadakan seminar khusus bagi membincangkan
masa depan pulau itu sebagai destinasi pelancongan mapan masa depan. Ia
diadakan sempena prapelancaran Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor
(PIDD) di sebuah hotel di pulau berkenaan, baru-baru ini. Program bertajuk
'Pengantarabangsaan Pangkor: Menterjemahkan Idea Kepada Pelaksanaan
Efektif' itu dianjurkan rentetan daripada lawatan IDR ke pulau berkenaan pada
Jun lalu dengan menjemput beberapa tokoh akademik untuk melakukan kajian
seterusnya membentangkan dapatan dan hasil kajian berkenaan pada seminar
berkenaan. Antaranya ialah Pensyarah Kanan Sekolah Perumahan, Bangunan dan
Perancangan Universiti Sains Malaysia, Profesor Bersekutu Dr Ahmad Puat Mat
Som, yang menjalankan kajian pendek tiga bulan dengan melakukan temu bual
bersama 81 orang daripada pelbagai latar belakang seperti pengusaha chalet,
pengusaha teksi serta mereka yang terbabit dalam industri pelancongan
khususnya di enam resort utama di pulau berkenaan. Dalam kertas kerjanya
yang bertajuk 'Pembangunan Pelancongan Mapan di Pulau Pangkor,' beliau
berkata kekuatan Pangkor sebagai destinasi 3s yang dekat dengan bandar raya
utama seperti Ipoh, Pulau Pinang dan Lembah Klang selain destinasi percutian
murah kerana masih ada penginapan yang berharga bawah RM100 semalam.
Selain itu, terdapat satu lagi faktor 's' iaitu 'safety' atau keselamatan yang
menjadi kekuatan pulau itu serta tarikan lain seperti peninggalan warisan batu
bersurat 'Tiger Rock' dan Kota Belanda serta produk hasil laut dan inap desa. DR
Zambry bersama Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr
Mazalan Kamis (kanan) pada sidang media selepas merasmikan prapelancaran
Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) di Pulau Pangkor. - Foto
Muhaizan Yahya Pelancongan bermusim Bagaimanapun, katanya, kelemahan
yang dikenal pasti di pulau peranginan itu ialah pelancongan bermusim iaitu
hanya ramai ketika cuti umum, cuti persekolahan dan hujung minggu; pelancong
berulang yang semakin berkurangan; pelancong yang menginap di pulau
semakin merosot; terlalu sesak di kawasan pantai Teluk Nipah selain kedudukan
gerainya yang tidak tersusun dan berlaku hakisan pantai serta kekurangan

aktiviti untuk pelancong khususnya yang bermalam di situ. Katanya, walaupun


kedatangan pelancong semakin meningkat setiap tahun, tetapi pertumbuhannya
semakin menurun. Kajian mendapati pertambahan pelancong tahun lalu hanya
meningkat pada kadar lima peratus berbanding peningkatan tujuh peratus pada
tahun sebelumnya. "Pangkor boleh disifatkan sebagai destinasi pelancongan
baharu iaitu mula dikunjungi ramai sekitar 30 hingga 40 tahun lalu, tetapi sudah
berada dalam keadaan hampir tepu yang mana jika tiada tindakan baharu
diambil boleh menjadikan ia sebagai decline (usang). "Ia dibuktikan apabila
pelancong sudah mulai meminggirkan Teluk Nipah kerana berasakan terlalu
sesak dan tidak selesa sebab bila berjemur di pantai, ada orang makan di gerai
belakang mereka, sampah sarap pun banyak," katanya. Justeru, beliau
mencadangkan supaya usaha segera dilakukan bagi mengekalkan ekologi dan
alam semula jadi di pulau berkenaan serta melakukan kaedah pelancongan
alternatif dikenali sebagai small scale low impact iaitu menarik kehadiran
pelancong berkualiti dan kurang meninggalkan kesan menjejaskan alam sekitar.
Katanya, Pangkor secara relatifnya adalah pulau kecil yang tidak boleh
dibangunkan dalam skala besar sehingga mengganggu ekosistem sedia ada.
Profesor Datuk Dr Mansor Ibrahim dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM) pula ketika membentangkan kertas kerja Pelan Induk Infrastruktur Bagi
Membangunkan Pulau Pangkor Sebagai Destinasi Percutian Baru, berkata antara
kelemahan yang masih ada di pulau berkenaan ialah kekurangan kemudahan
dan perkhidmatan sokongan seperti tandas awam, bilik persalinan awam, laluan
pejalan kaki serta liputan telekomunikasi terhad. Selain itu, katanya, ketiadaan
kakitangan teknikal Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang ditempatkan di stesen
janakuasa di pulau berkenaan boleh mendatangkan masalah jika berlaku
gangguan bekalan elektrik terutama waktu malam serta terdapat kawasan yang
mudah dinaiki air apabila hujan lebat seperti di kawasan sekitar Kampung Masjid
yang berhampiran pekan Pangkor. Beliau berkata, masalah paling utama ialah
pusat pelupusan sampah yang terlalu hampir dengan jalan raya dan laut yang
mana kadang-kadang air hanyir dari kawasan berkenaan melimpahi jalan raya
dan masuk ke laut. Sesiapa yang melalui laluan berkenaan pasti akan terhidu
bau busuk dari situ, selain sistem kumbahan tidak teratur yang mana terus
dialirkan ke laut tanpa rawatan serta pencemaran marin mengakibatkan batu
karang pupus di Teluk Segadas dan penyu sudah tidak lagi mendarat di pulau
berkenaan. Galak pembangunan mapan Sehubungan itu, Mansor mencadangkan
agar dilakukan pengawasan serta menggalakkan pembangunan mapan serta
berasaskan pemuliharaan alam sekitar di pulau itu, selain menyediakan lebih
banyak infrastruktur dan kemudahan awam seperti laluan pejalan kaki dari
pekan Pangkor ke Kampung Sungai Pinang Besar dan Kampung Sungai Pinang
Kecil yang turut boleh dijadikan tarikan pelancongan, membina lebih banyak
tandas dan tempat mandi awam khususnya di kawasan pantai serta mewujudkan
lebih banyak kemudahan di jalanan seperti kerusi untuk berehat, lampu jalan
serta tong sampah. Katanya, pusat pelupusan sampah perlu dipindahkan ke
tempat yang lebih jauh dari jalan raya serta dibina pagar atau tembok
bersesuaian di kawasan industri dan penempatan, memindahkan penempatan
penduduk di kawasan baru yang lebih tersusun dan mempunyai sistem
kumbahan dan bekalan air lebih teratur serta mengalihkan mana-mana struktur
terbiar di kawasan pantai. Beliau turut mencadangkan agar dilakukan promosi
terhadap tarikan pelancongan yang kurang diberi perhatian seperti memberi
makan kepada burung enggang, satu bentuk keunikan yang jarang diperoleh di

tempat lain serta peristiwa dan tempat Perjanjian Pangkor. Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Rosmini
Ismail, dalam kertas kerjanya Anggaran Pendapatan Pelancongan untuk Pulau
Pangkor pula melakukan kajian selama empat bulan mulai September hingga
Disember 2012 bagi mengenal pasti trend pelancong yang berkunjung ke pulau
itu, bila, siapa, cara berbelanja, sikap dan sifat mereka dan berapa banyak
pendapatan diperoleh oleh pengusaha pelancongan sepanjang tempoh
berkenaan. Dalam kajian itu, beliau membahagikan kedatangan pelancong
kepada tiga musim iaitu waktu bukan puncak (off-peak) iaitu hari biasa, waktu
puncak (peak) iaitu hujung minggu dan hari cuti umum serta waktu paling
puncak (super peak) iaitu hari cuti sekolah bertembung dengan cuti umum.
Beliau melakukan soal selidik kepada 188 pelancong ketika bukan waktu puncak,
234 orang ketika waktu puncak dan 271 orang pada waktu paling puncak selain
89 pelancong asing. "Sepanjang tempoh itu, kami mengenal pasti sebahagian
besar pelancong tempatan yang datang iaitu kira-kira 80 peratus berusia 35
tahun ke bawah dan lebih 50 peratus terdiri daripada mereka yang
berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan terutama ketika waktu paling puncak,
manakala pelancong asing rata-rata berusia 30 tahun ke bawah dengan 74
peratus datang dari Eropah. "Pelancong asing didapati lebih banyak berbelanja
untuk makan dan minum, pengangkutan, rekreasi dan hiburan, manakala
pelancong tempatan lebih banyak berbelanja untuk membeli barangan untuk
kegunaan sendiri atau cenderahati. "Kami juga mendapati perbelanjaan terhadap
barangan, makanan dan minuman lebih banyak bergantung kepada kumpulan
iaitu sama ada datang bersendirian, bersama keluarga atau rakan, dengan
mereka yang datang bersama keluarga kebiasaannya lebih banyak berbelanja
untuk makanan dan minuman serta barangan cenderahati berbanding kumpulan
lain. "Sementara, permintaan terhadap aktiviti hiburan dan rekreasi pula lebih
banyak dipengaruhi kepada musim yang mana permintaan lebih tinggi ketika
waktu paling puncak," katanya. Berdasarkan kajian itu, beliau mencadangkan
agar promosi Pulau Pangkor lebih tertumpu kepada usaha menarik kedatangan
pelancong yang banyak berbelanja, tetapi pada masa sama tidak merosakkan
alam sekitar, selain membezakan antara pelancong tempatan dan asing untuk
melakukan kajian profil supaya dapat melaksanakan pemasaran mengikut
sasaran. Promosi pelancongan kreatif Katanya, Pangkor juga didapati sesuai
untuk melakukan promosi pelancongan kreatif sebagai salah satu produk di
pulau berkenaan iaitu berpotensi menawarkan aktiviti kreatif seperti bengkel
seni dan kraf untuk pelancong ikut serta selain dapat berinteraksi dengan
penduduk setempat. Sementara itu, kerajaan Perak mengumumkan penubuhan
satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, untuk
merangka satu pelan komprehensif, inovatif dan inklusif dalam perancangan
pembangunan di Pulau Pangkor khususnya dalam aspek pelancongan.
Jawatankuasa itu akan melakukan penilaian semula terhadap pelan perancangan
pulau peranginan itu yang sudah dirangka sebelum ini selaras dengan hasrat
Menteri Besar Perak yang mahu mewujudkan tema khusus untuk Pangkor
bukannya menjadi tempat pelancongan caca-marba apabila semua bentuk
pelancongan diwujudkan di situ sehingga kelihatan seperti kelam-kabut. Antara
aspek yang diambil kira dalam pelan itu ialah menetapkan segmen pelancongan
yang ingin disasarkan meliputi pelancongan untuk mereka yang berpendapatan
tinggi, sebagai destinasi acara dan persidangan serta pelancongan massa iaitu

untuk orang ramai secara keseluruhan. Pembangunan RKK tingkat imej


pelancongan berdaya maju Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pesisir Tenggara
Pulau Pangkor membabitkan perbelanjaan keseluruhan RM454.3 juta yang
dirancang siap sepenuhnya pada tahun 2025 dijangka mampu memberi dimensi
baharu dalam meletakkan kedudukan pulau itu sebagai destinasi pelancongan
unggul membabitkan penyertaan penduduk tempatan. Penolong Pengarah
Pembangunan Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Mohd Ali Ariffin, ketika
membentangkan draf rancangan berkenaan pada majlis prapelancaran Dialog
Pembangunan Antarabangsa Pangkor (PIDD) di Coral Bay Resort Pulau Pangkor,
berkata ia akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama syarikat
berkaitan kerajaan (GLC). Pembangunan tingkat imej Katanya, cadangan itu akan
membabitkan kawasan seluas 145 hektar meliputi sekitar pekan Pangkor,
Kampung Masjid, Kampung Teluk Kechil, Kampung Teluk Gedung, Teluk Bahru
serta sebahagian kawasan tambakan di pesisiran pantai pekan Pangkor yang
mempunyai kira-kira 7,200 penduduk. Beliau berkata, antara cadangan yang
terkandung dalam pelan itu ialah pelan cadangan infrastruktur dengan kos
RM208.5 juta, membangunkan kawasan perniagaan dan rekreasi (RM104 juta),
penempatan baharu Kampung Teluk Kechil (RM100.4 juta), pembinaan Pangkor
Esplanade dan masjid terapung (RM16.2 juta), rangkaian perhubungan yang
bersepadu (RM15.4 juta), pelancongan warisan dan inap desa (RM5.3 juta) serta
peningkatan imej dan estetika Kampung Masjid (RM4.3 juta). "Keseluruhan
cadangan pembangunan RKK ini dianggarkan dapat dilaksanakan dalam tempoh
10 tahun bermula tahun hadapan sehingga 2025 yang terbahagi kepada dua
fasa iaitu fasa pertama dari tahun 2015 hingga tahun 2020 dan fasa kedua dari
tahun 2021 hingga tahun 2025," katanya. Matlamat pembangunan RKK Mohd Ali
berkata, matlamat pembangunan RKK itu ialah menjadikannya sebagai sebuah
petempatan desa pelancongan terancang dan berdaya maju dengan mengambil
kira perancangan kejiranan hijau. Katanya, potensi kawasan RKK dari aspek
sosioekonomi menerusi penyediaan kawasan petempatan yang boleh dimajukan
dan ditambah baik dari segi kemudahan dan penambahan kawasan perumahan.
Beliau berkata, ia juga mempunyai potensi daripada rangkaian perhubungan
bersepadu kerana meliputi rangkaian akses yang baik, manakala penambakan
tanah pesisir pantai akan membuka laluan alternatif kepada pelancong dan
penduduk setempat, begitu juga cadangan laluan bypass Teluk Gedung-Pasir
Bogak akan menjadi pemangkin kepada pembangunan di tenggara pulau
berkenaan. "Terdapat banyak produk pelancongan yang belum dieksploitasi dan
berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan berkonsepkan
sejarah dan warisan," katanya. Dialog Pembangunan Antarabangsa Pangkor
(PIDD) 2014 akan berlangsung pada 19 hingga 21 Oktober ini di Swiss Garden
Resort & Spa, Damai Laut, Lumut. Untuk maklumat lanjut sila layari
www.pangkordialogue.com.my atau e-mel pidd2014@idrperak.com
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/10456
http://www.bharian.com.my/node/10456

You might also like