Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

RIWAYAT ISRAOLIYYAT

Apakah yang dimaksudkan dengan tafsiran Israiliyat ?


Israiliyat merupakan satu istilah yang merujuk kepada maklumat, cerita dan
riwayat-riwayat yang diambil daripada Bani Israel iaitu golongan Yahudi dan
Nasrani.

Ia merangkumi kisah-kisah umat dahulu kala, kisah para nabi dan rasul serta
aspek-aspek yang berkaitan dengan kejadian dan penciptaan. Namun begitu,
ada sebahagian ulama Islam yang memperluaskan definisi ini dengan
merangkumkan semua unsur asing yang menyerap ke dalam tamadun Islam
termasuk kisah-kisah dongeng yang dinukilkan daripada Majusi.

Oleh itu, apabila dikaitkan Israiliyat dengan tafsir atau tafsiran Israiliyat maka ia
bermaksud tafsiran-tafsiran yang dibuat bersandarkan kepada cerita-cerita atau
riwayat-riwayat yang bersumber daripada Yahudi dan Nasrani atau semua unsur
asing yang diserap masuk ke dalam kitab tafsir.

Apakah peranan ahli kitab dalam tafsiran Israiliyat ini?

Yahudi dan Nasrani dikenali sebagai ahli kitab kerana kepada mereka diturunkan
kitab Taurat dan Injil. Hal ini telah disebut oleh al-Quran sendiri contohnya dalam
surah al-Maidah ayat 15.

Sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi hubungan baik antara umat Islam dan ahli
kitab ini wujud. Hubungan ini terbukti apabila sebahagian para sahabat merujuk
kepada ahli kitab untuk mendapatkan keterangan berkenaan kisah-kisah yang
disebut dalam Al-Quran tentang kisah Nabi Isa a.s. dan mukjizatnya, tentang
umat-umat terdahulu seperti kisah penghuni gua (ashab al-kahfi) dan
sebagainya.

Tujuan para sahabat adalah sekadar mendapat penjelasan berhubung kisahkisah tersebut yang mempunyai persamaan dengan kisah yang disebut dalam
Taurat dan Injil.

Seperti maklum bahawa cara pembentangan al-Quran tentang kisah-kisah ini


adalah secara ringkas berbeza dengan Taurat dan Injil yang memperincikannya.

Demikianlah kita nampak betapa rapat kaitan cerita ini dengan ahli kitab dan
salah satu faktor yang mendorong ke arah itu.

Adakah kita dibenarkan menggunakan tafsir Israiliyat dalam berdakwah?

kita mesti melihat kepada kedudukan riwayat Israiliyat tersebut. Dalam hal ini,
para ulama telah membahagikan Israiliyat kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama, maklumat atau cerita yang diketahui kesahihannya menerusi


al-Quran dan al-sunah. Apa yang termasuk dalam bahagian ini boleh
diriwayatkan dan dijadikan sebagai hujah. Inilah yang disabdakan Nabi yang
bermaksud, Dan riwayatkanlah daripada Bani Israel, tiada salahnya (Sahih alBukhari, no. hadis 3451).

Bahagian kedua, maklumat atau cerita yang diketahui pendustaannya kerana


menyalahi al-Quran dan sunah. Semua yang termasuk dalam bahagian ini
dilarang meriwayatkannya, ditegah mengambilnya dan bertanya mereka
tentangnya.

Bahagian ketiga, apa yang didiamkannya tanpa komen. Kerana ia tidak termasuk
dalam bahagian pertama dan kedua. Kita tidak boleh mempercayainya dan tidak
pula mendustainya. Inilah yang termasuk dalam sabda Baginda s.a.w. yang
bermaksud, Janganlah kamu benarkan Ahli Kitab dan jangan kamu dustakan
mereka. (Sahih al-Bukhari, no. hadis 4485).

Berdasarkan huraian tadi, jelas bahawa ada riwayat dan cerita yang boleh
digunakan dalam berdakwah dan ada yang dilarang meriwayatkannya.

Sebabnya, dalam masyarakat kita, apabila diperincikan sesuatu kisah itu mereka
seronok. Jadi ini adalah antara punca mengapa tafsiran Israiliyat berkembang
dan digunakan. Ini untuk targhib atau menarik minat masyarakat kepada agama.
Tujuannya baik tetapi ia telah disalahgunakan dan menjejaskan Islam.

Oleh itu, golongan alim terutamanya perlu berhati-hati apabila hendak


menyampaikan kisah-kisah dalam al-Quran hendaklah dipastikan kesahihannya
terlebih dahulu. Kita bimbang masyarakat akan terus percaya dengan tafsiran
Israiliyat apabila menemuinya dalam majalah atau buku-buku.

Adakah tafsiran Israiliyat menjejaskan syariat?

Ini mestilah merujuk kepada sejauhmana ia menepati al-Quran dan sunah atau
sebaliknya. Sekiranya ia bertentangan dengan roh syariat Islam yang suci, sudah
tentu ia menjejaskan syariat. Perbuatan sedemikian adalah haram dan ia tidak
patut digunapakai atau disebarkan.

Tafsiran yang menjejaskan syariat adalah seperti kisah Nabi Ayub yang dikatakan
sakit berbelas tahun lamanya sehinggakan badannya berkudis dan berulat.
Dikatakan dagingnya gugur sama sekali hanya tinggal tulang sahaja.

Patutkah seorang Nabi yang menjadi kekasih Allah dan pilihan-Nya diuji
sedemikian rupa sehingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang yang
patut dihormati.

Demikian juga dalam Hasyiyah Tafsir Jalalain oleh al-Sawi masih ditemui syarah
tentang bumi ini di atas tanduk seekor lembu jantan dan lembu itu di atas
belakang ikan Nun. (Lihat tafsiran surah Nun oleh al-Sawi)

Tafsir ini juga menceritakan kisah Nabi Sulaiman yang membuat istana
berlantaikan kaca. Apabila Ratu Balqis berjalan di atasnya disangkanya air lalu
beliau menyingkapkan kainnya, lalu Nabi Sulaiman melihat dua betisnya, yang
didakwa oleh jin bahawa ia berbulu seperti keldai.

Patutkah seorang Nabi dikatakan berbuat sesuatu dengan tujuan melihat betis
wanita? (lihat Tafsir Jalalain, al-Naml: 44).

Pada tafsiran yang lain dinyatakan bahawa Nabi Sulaiman tertinggal solat Asar
kerana sibuk memeriksa kuda-kuda untuk berjihad. (Lihat, Tafsir Jalalain, Sad: 31)

Contoh-contoh seperti itu adalah antara riwayat Israiliyat yang tidak logik.

Ada juga tafsiran mereka yang bertentangan dengan sains, seperti bumi di atas
tanduk lembu tadi. Walhal Islam tidak bercanggah dengan sains.

Bagaimana kita hendak mengesan tafsir al-Quran yang mengandungi ciri-ciri


Israiliyat?

Majoriti tafsiran Israiliyat ini berlaku ketika menafsirkan ayat-ayat yang berkaitan
dengan kisah-kisah al-Quran.

Maka mana-mana tafsir yang cenderung menafsir secara terperinci cerita-cerita


itu hendaklah diberi perhatian khusus sama ada ia daripada sumber yang sahih
atau sebaliknya.

Untuk mengenalpasti kesahihannya haruslah melalui beberapa kaedah.

* Pertama, kita harus menilai riwayat-riwayat tersebut adakah selari dengan


syariat Islam atau tidak. Atau tegasnya sesuai dengan maksud al-Quran dan
sunah atau tidak.

* Kedua, harus dilihat bahawa ia sesuai dengan logik akal atau tidak. Ini kerana
banyak riwayat dan kisah Israiliyat yang tidak logik.

* Ketiga, ia boleh dikesan melalui kritikan ahli tafsir itu sendiri apabila ia
membentangkan satu-satu kisah Israiliyat dalam kitab tafsirnya.

Ada juga ulama yang jujur dalam membicarakan Israiliyat ini. Antaranya ialah
Ibnu Kathir dalam tafsirnya. Beliau menyebut tentang Israiliyat ini sekadar untuk
memaklumkan masyarakat mengenainya supaya mereka tidak terpengaruh
dengan tafsiran sedemikian.

You might also like