Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 2

FAKTOR-FAKTOR MALAYSIA SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

Sedikit masa dahulu apabila Pantai Sipadan dicerobohi lanun, masyarakat bukan sahaja
menjadi gempar bahkan juga banyak pihak mengatakan bahawa insiden malang ini bakal
merencatkan sector pelancongan dan sekaligus mencalar imej Negara di pentas sarwajagat.
Pihak kerajaan tidak hanya duduk menopang dagu sebaliknya mereka mengambil inisiatif
menggariskan pelan tindakan untuk memulihkan martabat sektor pelancongan yang turut
menjadi nadi ekonomi negara. Pelbagai langkah telah diambil untuk memancing minat
pelancong agar terus bertandang ke Malaysia, yang turut dikatakan sebagai destinasi
pelancongan utama dunia. Limpahan kedatangan pelancong asing jelas menggambarkan
keyakinan mereka terhadap tahap keselamatan negara dan sekali gus menepati ungkapan ‘tak
kenal maka tak cinta’. Justeru, persoalannya kini, apakah faktor-faktor yang mendorong
pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan?

Seiring dengan persoalan yang dibangkitkan, faktor pertama yang menjadikan Malaysia
sebagai destinasi pelancongan ialah keindahan alam semula jadi yang melatari bumi bertuah ini.
Kedudukan Malaysia yang terletak pada garisan Khatulistiwa telah memungkinkan pertumbuhan
flora yang beraneka spesies dan mempunyai keunikan tersendiri seperti bunga terbesar di dunia
iaitu Rafflesia. Tambahan pula, taman marin seperti di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas adalah
antara yang masih terpelihara tanpa dinodai unsur-unsur pencemaran turut menggamit
kedatangan pelancong. Begitu juga dengan taman-taman negara seperti di Sepilok dan Endau-
Rompin menyimpan khazanah hutan yang tinggi nilainya dan sering menjadi hasrat pelancong
untuk menghayatinya. Maka, jelaslah bahawa keindahan panorama alam yang terdapat di
Malaysia menjadi tarikan pelancong untuk bertandang ke negara kita.

Dalam pada itu, kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia menjadi salah satu lagi
daya tarikan pelancong-pelancong luar. Realiti masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri
daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi
menyebabkan lahirnya pelbagai norma, adat resam dan tradisi yang mewarnai latar belakang
kehidupan rakyat Malaysia. Jika masyarakat Tionghua dengan tarian singanya, masyarakat India
dengan perayaan Thaipusam, tarian sumazau dan ngajat pula oleh masyarakat di Malaysia Timur
sehinggalah kepada kaum minority seperti masyarakat Sikh dengan tarian banghranya telah
menjadikan warisan tradisi masyarakat Malaysia begitu unik dan ingin sekali menjadi tatapan
masyarakat asing melihatnya lebih dekat. Hal ini terbukti apabila Malaysia merayakan Festival
Warna-warna Malaysia ataupun Citra Warna Malaysia, pelancong asing dilihat begitu teruja
untuk menyaksikan dan merakamkan pengalaman bermakna ini sebagai satu bingkisan dan
koleksi istimewa dari Malaysia. Pendek kata, kepelbagaian budaya yang dimiliki Malaysia
menjadi faktor penentu kehadiran pelancong-pelancong asing ke Malaysia.

Jika ditinjau dari perspektif yang berbeza, kelazatan makanan yang terdapat di Malaysia
telah menjadi pendorong kedatangan pelancong ke negara kita. Hal ini berkaitan dengan
kepelbagaian latar belakang masyarakat Malaysia yang harmonis. Pulau Pinang terkenal dengan
laksanya, Johor pula dengan soto dan lontong, pantai timur sinomin dengan keropok leko dan
budunya. Ditambah pula dengan keunikan hidangan daripada masyarakat dari kaum-kaum lain
seperti tosei, char koeyteow, capati dan sebagainya. Juadah yang beraneka ini mempunyai
aroma dan rasa yang tersendiri kerana menggunakan ramuan-ramuan yang menyelerakan.
Keadaan ini tidak terdapat bagi makanan barat seperti ayam goreng Kentucky, piza, burger dan
seumpamanya. Tuntasnya, hanya dengan berkunjung ke Malaysia, para pelancong dapat
menikmati juadah-juadah istimewa ini yang bakal menjemput mereka untuk kembali ke negara
kita untuk merasai makanan ini.

Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa keindahan alam semula jadi,
kepelbagaian budaya dan kelazatan makanan menjadi antara faktor utama yang menjadikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Slogan ‘’Cuti-cuti Malaysia’’ diharapkan dapat
membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia agar mengutamakan destinasi pelancongan di dalam
negara berbanding dengan negara-negara luar kerana sokongan daripada segenap lapisan
masyarkat untuk memapankan sektor pelancongan negara akan turut memperkasakan ekonomi
Malaysia. Justeru, untuk terus menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama
dunia, kita perlu seikat bak sirih dan serumpun bak serai untuk memelihara budi bahasa setiap
kali berdepan dengan para pelancong. Nama Malaysia sememangnya tidak asing lagi kini kepada
masyarakat luar. Ekoran itu, sama-samalah kita terus berusaha untuk menjulang reputasi negara
dan mengangkasakan sektor pelancongan sebagai satu sumber keutuhan iktisad negara.

You might also like