Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

4 perkara bawa kebahagiaan manusia

SESUNGGUHNYA, kebahagiaan adalah dambaan setiap manusia yang menghuni dunia ini.
Sebab itu setiap orang sentiasa berusaha untuk mencari dan mendapatkan kebahagiaan
dengan pelbagai cara.

Namun tidak semua manusia mampu mencapai impiannya atau memperoleh kebahagiaan
yang dicari dan yang dicita-cita itu.

Lalu, di manakah terletaknya kebahagiaan itu? Apakah pada wang yang banyak, harta yang
melimpah, emas yang bertimbun atau pada pangkat, bangsawan atau kerusi yang empuk?

Dalam hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Empat perkara yang membawa
kebahagiaan kepada manusia, iaitu (memiliki) perempuan (isteri) yang solehah, rumah yang
bagus (luas), jiran yang baik, dan kenderaan yang bagus.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Berdasarkan hadis ini, ada empat faktor atau kunci yang jika dimiliki oleh seseorang, tentu
dia akan merasai nikmat bahagia.

Namun tidak bererti hanya yang empat itu saja faktor yang membawa kebahagiaan. Apa
yang Rasulullah nyatakan menerusi hadis itu hanyalah sekadar menunjukkan keutamaannya.

Rasulullah meletakkan isteri yang baik pada urutan pertama sebagai faktor kebahagiaan
seseorang. Isteri yang solehah akan memberikan ketenangan kepada suami.

Rumah ibarat syurga jika memiliki isteri yang solehah. Antara sifat isteri solehah ialah
hormat dan patuh kepada suami sepanjang suami mengikuti jalan kebenaran, melayan
suami dengan baik dan penuh sopan, sentiasa menutup aurat, memasak dan
menghidangkan makan minum untuk suami, mendidik anak-anak agar anak juga terselamat
daripada godaan duniawi, bersikap mesra dalam berhubungan dengan kaum keluarga,
menjaga rahsia rumah tangga, tidak keluar rumah tanpa izin suami dan banyak lagi sifat lain.

Allah melukiskan menerusi al-Quran mengenai sifat isteri yang solehah, menerusi firman-
Nya yang bermaksud: “Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat
(kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang
wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan
pertolongan-Nya.”(Surah an-Nisaa’ ayat 34).

Ibnu Abbas mengemukakan dua ciri khas mengenai pengertian as-solehah (isteri yang soleh)
iaitu mempunyai perilaku baik (berakhlak/sopan) terhadap suami, dan mengerjakan
perbuatan kebajikan.

Makna isteri setia dalam ayat itu ialah patuh dan jujur terhadap suami kerana Allah.

Seterusnya, Nabi Muhammad memperincikan tiga sifat isteri solehah, menerusi sabda yang
bermaksud: “Sebaik-baik perempuan (isteri) ialah yang menggembirakan engkau sewaktu
engkau melihatnya; yang patuh apabila kamu perintahkan dia (dalam hal kebaikan); yang
menjaga dirinya dan harta milikmu semasa ketiadaanmu di rumah.”

Isteri yang menggembirakan suami atau yang bermuka manis bukan bermakna wajah cantik
semata-mata. Biar wajah kurang menarik, tetapi jika selalu menguntum senyum, tinggi
pekerti, memancar dari keningnya cahaya iman dan keikhlasan, itulah isteri solehah yang
meriangkan suami.

Isteri walaupun cantik, tetapi jika wajahnya selalu mencuka, buruk pekertinya, kening selalu
berkerut, tidak akan dapat memikat hati suami.

Demikianlah juga halnya dengan soal patuh dan memelihara amanah suami yang Nabi
utarakan dalam hadis ini.

Selain faktor isteri, rumah yang luas, bagus atau indah juga akan memberi kebahagiaan
kepada penghuninya.

Bagaimanapun, kebahagiaan dengan memiliki rumah yang besar dan indah itu akan tercapai
sepenuhnya jika disertai dengan hati yang tenang dan damai. Jika hati tidak tenteram,
rumah yang luas dan indah akan terasa sempit dan tidak akan merasa bahagia.

Rumah adalah tempat berteduh malah menjadi syurga bagi mereka yang beriman. Di rumah
juga seseorang akan memperoleh ketenangan dan kebahagiaan, apalagi jika didampingi
isteri solehah.

Jika rumah diibaratkan istana, maka suami adalah raja, isteri solehah adalah ratu dalam
rumah tangga, manakala anak-anak adalah rakyat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Allah menjadikan untuk kamu rumah sebagai tempat
tinggal (tempat ketenangan).” (Surah an-Nahl, ayat 80).

Jiran yang baik juga menjadi faktor penting kebahagiaan. Seseorang akan merasa sangat
bahagia jika mempunyai jiran yang baik budi, murah hati, dermawan, saling menghormati,
bertolak ansur, suka menolong dan memberi perhatian.

Jiran baik tidak akan memberi sebarang gangguan kepada kita, sama ada melalui perbuatan
mahupun lisan atau ucapan; dan tidak merasa irihati dengan kelebihan yang dimiliki kita.

Malah, jiran yang baik akan tumpang gembira dan mengucapkan tahniah dengan kejayaan
yang kita peroleh, dan menghulurkan pertolongan jika kita ditimpa sesuatu musibah.

Oleh itu, sekiranya kita memperoleh jiran jenis ini, kita harus memiliki sifat sedemikian
kepada orang lain yang menjadi jiran, agar mereka turut merasa bahagia seperti mana kita
rasai.

Kenderaan yang bagus juga adalah faktor kebahagiaan. Setiap orang mengidamkan
kenderaan yang bagus atau baru, seperti kereta, motosikal dan sebagainya.

Sifat manusia memang suka kepada kebendaan. Kenderaan yang baru atau bagus akan
dapat membawa seseorang ke merata tempat yang disukainya tanpa memikirkan soal
kerosakan dan sebagainya, berbanding dengan kenderaan yang lama atau buruk yang mana
tiada jaminan keselesaan sepanjang perjalanan.

Namun dalam soal kenderaan ini, orang beriman harus berwaspada atau berhati-hati, iaitu
agar tidak sampai kenderaan itu memperbudak atau seolah menjadi ’tuan’ kepadanya.
Sudah kebiasaan bahawa kenderaan yang baru atau bagus itu akan sentiasa diberi perhatian
oleh pemiliknya, seperti selalu dibasuh, diperiksa atau dibersihkan. Bagaimanapun,
janganlah sampai semua urusan itu melebihi tumpuan untuk beribadat kepada Allah.

Apabila kenderaan lebih diutamakan daripada diri sendiri, bermakna kenderaan itu sudah
menjadi tuan yang memperbudakkan pemiliknya sendiri.

Kenderaan yang bagus tidak semestinya baru. Ia adalah nikmat Allah yang harus
dimanfaatkan untuk kebaikan seperti lebih rajin beribadat di masjid, mengunjungi majlis
ilmu atau membawa keluarga beristirehat. Janganlah hendaknya ia digunakan untuk kerap
ke tempat maksiat atau melakukan perbuatan yang tidak diredhai Allah.

You might also like