Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

 

Cetak .   Emel Rakan . 


Polis kenal pasti 10 'sekolah panas' di KL

2010/07/06
KUALA LUMPUR: Sepuluh sekolah menengah di sekitar ibu negara dikenalpasti sebagai sekolah
bermasalah atau "sekolah panas" kerana masalah disiplin, jenayah dan sosial di kalangan pelajarnya. 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata polis telah menyenaraikan
sekolah berkenaan supaya usaha dapat digembleng ke arah menangani masalah itu dan memastikan
sekolah sifar jenayah.
"Berikutan banyak kes jenayah dan sosial berlaku membabitkan pelajar sekolah, kami bertindak
mengenalpasti sekolah panas agar kami dapat memberi fokus dan menjalankan kempen pencegahan
jenayah secara kerap di sekolah berkenaan.
"Kami tidak mahu umumkan sekolah mana yang terbabit kerana ia tidak elok untuk imej dan reputasi
sekolah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Pendidikan Pencegahan
Dadah dan Jenayah 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Maluri di sini hari ini. 

Beliau berkata aktiviti seperti pameran, ceramah, dialog dan edaran risalah pencegahan jenayah akan
diadakan dari semasa ke semasa di sekolah panas yang telah dikenalpasti itu bagi mengingatkan pelajar
agar menjauhkan diri daripada masalah sosial dan jenayah. 

Muhammad Sabtu berkata, seorang pegawai polis berpangkat ASP turut ditugaskan ke sekolah
berkenaan sebagailiaison officer untuk memantau serta berbincang bersama pihak sekolah termasuk
menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan. 

"Aduan dan masalah yang diutarakan akan dibincang bersama pihak sekolah berkenaan agar ia dapat
ditangani dengan kadar segera. Pegawai itu turut ditugas menyerahkan laporan kepada kami setiap
bulan. 
"Program ini adalah satu usaha untuk mendekatkan pelajar dan polis bagi memudahkan proses
penyaluran maklumat, mengesan aktiviti dan permasalahan jenayah yang wujud, sekaligus membanteras
kegiatan tidak sihat di kalangan murid dan pelajar sekolah," katanya. 

Muhammad Sabtu berkata, pada tahun lalu seramai 179 tangkapan dicatat membabitkan kanak-kanak
berusia seawal tujuh tahun hingga remaja berusia 18 tahun atas pelbagai kesalahan membabitkan
jenayah kekerasan dan harta benda termasuk mencuri, samun dan merusuh. 

Beliau berkata, pada 2008, seramai 202 pelajar berusia 11 hingga 18 tahun ditahan, juga atas jenayah
kekerasan dan harta benda termasuk rogol, samun dan pemerasan. 

Muhammad Sabtu berkata, bagi kes dadah, pada tahun lalu sahaja seramai 67 pelajar, termasuk
sembilan pelajar sekolah, ditahan manakala pada 2008 seramai 17 orang pelajar termasuk empat pelajar
sekolah ditahan dan seramai 13 orang pelajar termasuk seorang pelajar sekolah ditahan pada 2007. 

"Situasi ini sangat membimbangkan apabila menunjukkan kenaikan setiap tahun...harap ini dapat
memberi iktibar kepada yang lain terutama pelajar sekolah agar tidak sesekali terjerumus dalam jenayah
dan dadah. 

"Masalah sosial dan jenayah turut berpunca daripada pelajar yang suka meniru gaya hidup sosial ala
barat dan mengikut budaya negatif...jika meniru dari segi pembangunan, kami alukan tetapi dari segi
sosial, ia hanya merosakkan diri," katanya. - BERNAMA 

You might also like