Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

ckguBENDERA MALAYSIA DAN MAKNANYA

Jalur Gemilang. Nisbah bendera: 1:2

Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih
(melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan
jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri
dan 1 kerajaan persekutuan - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau
Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur
merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu
mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama bagi Persekutuan (Malaysia).

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning
pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh
itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju
yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah
dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian


Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu
melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa
bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan
kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk
dan pedoman yang terang lagi jelas.
BENDERA NEGERI-NEGERI DAN MAKNANYA

BENDERA NEGERI PERLIS INDERA KAYANGAN

Warna kuning melambangkan D.Y.M.M. Raja. Warna biru pula melambangkan rakyat. Bendera
itu sendiri membawa makna kerjasama yang erat di antara Raja dengan Rakyat Baginda.

BENDERA NEGERI KEDAH DARUL AMAN

Merah ialah warna kebangsaan negeri Kedah yang turun-temurun. Padi maknanya negeri ini
makmur dalam hal kehidupan. Anak bulan tanda negeri ini beragama Islam. Perisai pula
maksudnya Raja ( Kerajaan ) sentiasa menjaga dan memelihara rakyatnya dan penduduk dalam
negeri ini daripada kezaliman.

BENDERA NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN

Empat bahagian yang berwarna kuning dan merah itu bermaksud daging dan darah iaitu unsur-
unsur yang perlu untuk memberi jiwa dan tenaga kepada negeri ini. Bulan bintang pula ialah
sebagai Agama Islam, agama rasmi negeri dan kesucian Agama Islam ditunjukkan dengan warna
putih.
BENDERA NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR

Bendera negeri Pahang mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-
duanya sama lebar. Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu
ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.

Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna
bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan
Beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan,
undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu ada pada
Raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.

BENDERA NEGERI KELANTAN DARUL NAIM

Latarbelakang berwarna merah maksudnya kejujuran penduduk negeri ini termasuk rakyat dan
Raja yang memerintah. Lambang kebesaran berwarna putih itu tanda kesucian Raja negeri ini.

BENDERA NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN

Latarbelakang berwarna putih membawa maksud D.Y.M.M Sultan. Ia melingkari tanah hitam
yang bermaksud rakyat. Ini bermakna Sultan adalah memberi perlindungan kepada seluruh
rakyat Baginda. Anak bulan dan bintang tanda Agama Islam, agama negeri.
BENDERA NEGERI JOHOR DARUL TAKZIM

Anak bulan dan bintang yang berwarna putih itu menandakan Raja yang berdaulat. Bahagian
yang berwarna merah bermakna hulubalang yang mempertahankan negeri. Bahagian yang
berwarna biru tua itu pula maksudnya Kerajaan Negeri.

BENDERA NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Bendera negeri Perak Darul Ridzuan mengandungi tiga warna berjalur putih, kuning dan hitam.
Ketiga-tiga jalur ini sama lebarnya.

Warna putih melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul
Ridzuan.

Warna kuning melambangkan kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul
Ridzuan.

Warna hitam melambangkan kebesaran Duli Yang Maha Amat Mulia Raja Di Hilir Perak Darul
Ridzuan.
BENDERA NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

Warna kuning pada bendera membawa maksud D.Y.M.M. Raja. Bahagian tiga segi yang
berwarna merah bermakna rakyat, sementara bahagian tiga segi yang berwarna hitam maksudnya
Datuk-datuk Undang bagi Luak-luak yang menjadi bahagian-bahagian negeri ini.

BENDERA NEGERI MELAKA DARUL AZIM

Warna-warna merah, putih, kuning dan biru adalah warna-warna Bendera Persekutuan dan
menunjukkan bahawa Melaka ialah sebuah negeri dalam Persekutuan, sementara anak bulan dan
bintang pecah lima itu pula ialah tanda Agama Islam, agama negeri dan Malaysia.

BENDERA NEGERI SARAWAK BUMI KENYALANG

Warna merah melambangkan keberanian, kesungguhan dan pengorbanan rakyat dalam daya
usaha mereka yang berterusan untuk mengejar serta mempertahankan kemajuan dan ketinggian
maruah dalam proses membina Sarawak sebagai negeri contoh. Warna kuning menggambarkan
keagungan Perundangan dan Peraturan (Order), perpaduan serta kestabilan dalam masyarakat
yang berbilang kaum.

Warna hitam melambangkan kekayaan sumber asli Sarawak seperti minyak mentah, balak dan
sebagainya yang merupakan landasan bagi memajukan rakyatnya.

Bintang pecah sembilan yang berwarna kuning melambangkan sembilan bahagian di mana
rakyatnya tinggal dalam harmonis. Simbol bintang juga merupakan cita-cita tinggi rakyat dan
hasrat perjuangan untuk meninggikan mutu kehidupan selepas merdeka.
BENDERA NEGERI SABAH DI BAWAH BAYU

Bendera negeri Sabah berbentuk persegi panjang berukuran 1:2. Di sudut sebelah atas bendera
berwarna biru cerah, yang menjadi latarbelakang lukisan grafik bayangan Gunung Kinabalu,
berwarna biru tua, meliputi suku bahagian bendera ini.

Bahagian hujung bendera yang berkibar dihiasi tiga jalur yang sama besar. Jalur atas berwarna
biru muda, jalur tengah berwarna putih dan jalur bawah berwarna merah cili.

Warna biru muda melambangkan keamanan dan kesejahteraan, putih melambangkan kesucian
dan keadilan, manakala merah cili melambangkan keberanian dan keyakinan. Warna biru cerah
menunjukkan perpaduan dan kemakmuran sementara biru tua melambangkan kekuatan dan
semangat kerjasama.

Kelima-lima warna yang menghiasi bendera ini mewakili lima bahagian yang terkandung dalam
Negeri Sabah. Lukisan grafik berbentuk Gunung Kinabalu pula melambangkan Kerajaan Negeri
Sabah.
BENDERA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

Bendera ini berteraskan bendera kebangsaan yang berjalur putih dan merah. Warna biru tua
bersama bintang serta bulan sabit berwarna kuning. Unsur-unsur ini tidak dapat dipisahkan
memandangkan Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan.

14 jalur merah dan putih (melintang) menandakan keanggotaan 13 buah negeri di Malaysia dan
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Bulan
sabit dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi. Bintang berbucu 14
melambangkan 13 buah negeri di Malaysia dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang
bertindak sebagai Pusat Kerajaan dan pentadbiran.

- Warna biru tua di bahagian tengah melambangkan perpaduan wargakota Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur yang berbilang kaum.

- Warna merah melambangkan keberanian, kegagahan sebuah bandaraya dalam menghadapi


cabaran ke arah pembangunan bandaraya kosmopolitan yang dinamik dan berprogresif.

- Warna kuning melambangkan kedaulatan dan kemakmuran Kuala Lumpur.

- Warna putih melambangkan keluhuran, kebersihan dan keindahan bandaraya dalam taman
bercahaya.

You might also like