Punca Serangan Jantung

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 5

Punca serangan

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

Rokok dengan 4,300 bahan kimia penyebab utama. MENURUT seorang teman, mendapat
serangan jantung adalah pengalaman paling mengerikan. Katanya, dia tidak sedar
jantungnya ada masalah kerana selama ini dia sering berasakan dirinya cukup sihat.

Memang banyak pendapat mengatakan penyakit jantung tidak mempunyai simptom, tetapi
sebenarnya dua tanda penting perlu diperhatikan, iaitu sakit dada dan sesak nafas bila
melakukan senaman atau pergerakan aktif.

Sakit dada biasanya menandakan saluran darah menjadi sempit atau tersumbat, manakala
sesak nafas pula disebabkan masalah kegagalan jantung, sama ada yang mungkin berpunca
daripada kerosakan injap. Dua tanda penting ini sering dianggap `masalah biasa’ tetapi ia
amaran awal untuk kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Semua orang tahu penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di negara kita. Tahukah
anda, ia bukan saja mendahului carta penyakit berbahaya, tetapi jumlah kematian tahunan
pesakit jantung juga jauh lebih tinggi iaitu dengan purata 6,500 kes berbanding kehilangan
nyawa akibat kemalangan jalan raya (6,000 kes).

Kemungkinan mengalami penyakit jantung di kalangan rakyat Malaysia sebenarnya setara


dengan penduduk negara maju, iaitu satu kes bagi setiap 200,000 penduduk. Walaupun
nisbah ini nampak kecil, ia tidak boleh dipandang ringan kerana faktor yang menyumbang
kepada penyakit jantung terlalu banyak.

Faktor utamanya ialah rokok. Perkara ini rasanya ramai tahu, tetapi jumlah perokok tetap
bertambah walaupun harganya semakin mahal.

Berdasarkan kemasukan ke hospital, didapati hampir 90 peratus pesakit jantung, terutama


yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun, adalah perokok.

Biasanya rokok dikaitkan dengan kanser, terutama paru-paru. Bagaimana ia boleh


menyebabkan serangan jantung pula? Menurut Perunding Kardiologi, Dr Lee Chiang Heng,
lebih 4,300 bahan kimia berbahaya dalam asap rokok akan merosakkan sel badan yang
penyebab kanser.

Pada masa sama, asap rokok ini merosakkan sel pada lapisan dalam (dinding) salur darah.
Pada bahagian yang rosak inilah kolesterol akan melekat dan berkumpul. Lama kelamaan,
penimbunan kolesterol ini menyempitkan arteri (salur darah) dan menyekat aliran darah.
Jantung adalah otot hidup dan memerlukan oksigen daripada darah. Bahagian yang tidak
menerima darah akan mati dan ia boleh menyebabkan serangan jantung. Mungkin ada
perokok menganggap masalah ini tidak akan berlaku kepada mereka kerana berasakan diri
sentiasa sihat.

Memang benar, tetapi masalah utamanya ialah kebanyakan orang tidak menyedari simptom
masalah jantung. Walaupun pemendakan kolesterol mengambil masa lama iaitu antara 20
hingga 30 tahun, tetapi jika anda mula merokok ketika remaja, anda berisiko tinggi mendapat
serangan jantung dalam usia 30-an. Kata Dr Lee, senario seperti ini semakin meningkat dan
membimbangkan.

Katanya, perkembangan industri tembakau di negara rantau Asia yang semakin rancak
membuatkan kempen anti merokok kurang berkesan.

Sebenarnya industri tembakau mengalami banyak masalah di negara maju, terutama apabila
mereka mendapat bantahan besar-besaran dan dakwaan ke mahkamah daripada bukan
perokok yang turut menghadapi masalah kesihatan akibat asap rokok.

Justeru, industri ini beralih ke negara rantau Asia dan Afrika, termasuk Malaysia. Sedihnya,
industri ini boleh dianggap berkembang pesat di negara kita dengan peningkatan jumlah
perokok di kalangan remaja dan wanita.

“Kesan positif jika berhenti merokok dapat dirasai segera. Risiko serangan jantung menurun
sehingga 50 peratus selepas setahun berhenti merokok dan selepas lima tahun, risiko ini
sama dengan orang yang tidak merokok.

“Namun, risiko kanser tetap ada tetapi lebih rendah,” katanya sempena sambutan Hari
Jantung Sedunia Ahad lalu.

KENCING MANIS

Faktor kedua serangan jantung ialah penyakit kencing manis yang tidak terkawal. Ini adalah
masalah besar kerana jumlah pesakit kencing manis berganda setiap tahun. Perangkaan
Jabatan Statistik 2005 menunjukkan hampir sembilan peratus penduduk Malaysia menghidap
kencing manis.

Kata Dr Lee, kencing manis juga dikategorikan penyakit gaya hidup akibat masalah
berlebihan berat badan, obesiti dan terlalu banyak makan makanan manis, sama ada dalam
makanan dan minuman, terutama minuman ringan. Ini sebabnya kerajaan merangka untuk
menetapkan kadar kandungan gula dalam minuman ringan supaya tidak memudaratkan
pengguna.

Pun begitu, kita sebagai pengguna, khususnya pesakit kencing manis, perlu
bertanggungjawab menjaga kesihatan diri. Kencing manis boleh menimbulkan pelbagai
komplikasi kesihatan jika pesakit turut menghidap penyakit lain, termasuk sakit jantung.

“Kencing manis juga menyebabkan masalah penyakit jantung semakin kompleks dan sukar
dirawat. Badan pesakit jantung yang menghidap kencing manis menunjukkan tindak balas
kurang memberangsangkan walaupun diberikan rawatan terbaik, sama ada pembedahan
pintasan jantung atau angioplasti belon (membuka saluran darah tersumbat).

“Lebih buruk, masalah salur darah tersumbat lebih mudah berulang di kalangan pesakit
kencing manis, terutama jika mereka tidak mengawal pemakanan dan bersenam,” katanya.

TEKANAN DARAH TINGGI.

Hampir satu pertiga (33 peratus) penduduk dewasa di negara kita mengalami masalah
tekanan darah tinggi. Ia seolah-olah menjadi perkara lazim dan fenomena ini
membimbangkan kerana ramai tidak peduli memeriksa tekanan darah mereka.

Kumpulan ini boleh dibahagikan kepada tiga iaitu tidak tahu mereka mengalami masalah
tekanan darah tinggi, tahu ada masalah tetapi tidak mengambil ubat dan golongan ketiga;
tahu ada masalah dan mengambil ubat.

Malangnya, daripada kumpulan ketiga ini peratusan yang patuh mengambil ubat sangat kecil
kerana kebanyakannya berhenti separuh jalan. Sedihnya, ramai lebih percaya kepada ubat
atau rawatan alternatif, walaupun tiada bukti keberkesanannya.

Tekanan darah tinggi dan penyakit jantung sebenarnya saling berkait. Tekanan darah
menjadi tinggi kerana jantung terpaksa mengepam darah lebih kuat untuk membekalkan
oksigen ke seluruh badan.

Ia boleh disebabkan masalah obesiti atau saluran darah sempit akibat pemendapan
kolesterol.

Perlu diingat, jantung yang dipaksa bekerja kuat sepanjang masa boleh mengalami
kegagalan pada bila-bila masa dan ketika inilah kita mendapat serangan jantung.
KOLESTEROL

“Ramai mempunyai anggapan salah terhadap kolesterol. Kolesterol bukan satu-satunya


penyebab sakit jantung kerana rokok, kencing manis dan tekanan darah tinggi sebenarnya
boleh merosakkan lapisan dalam salur darah.

“Kolesterol hanya berkumpul pada bahagian arteri yang alami kerosakan. Inil sebabnya
bukan semua orang yang ada masalah paras kolesterol tinggi akan diserang penyakit
jantung,” katanya.

Kolesterol diperlukan sebagai agen pengangkut lemak. Makanan hanya menumbang 20


peratus kolesterol dan 80 peratus lagi dihasilkan oleh hati — sebagai tindak balas terhadap
pemakanan kita.

Memang benar kolesterol hanya wujud dalam lemak haiwan dan tiada dalam minyak
berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Namun, makanan yang dimasak menggunakan minyak sayur-sayuran tetap merangsang hati
untuk menghasilkan kolesterol. Darah tidak boleh membawa lemak ini untuk dicerna dan
tugas ini diambil alih oleh kolesterol.

Maknanya, lebih banyak lemak atau minyak dimakan, lebih banyak kolesterol dihasilkan.
Jadi, walaupun kita memasak menggunakan minyak sayur, penggunaan berlebihan boleh
meningkatkan paras kolesterol dalam darah. Perkara ini sering disalah anggap kebanyakan
masyarakat hari ini.

“Kita sepatutnya makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan. Usus manusia yang
panjang lebih sesuai untuk diisi dengan serat. Serat bertindak sebagai pelincir untuk
mengeluarkan bahan buangan daripada badan. Perubahan corak pemakanan ke arah
pengambilan lebih banyak daging dan lemak menyebabkan paras kolesterol meningkat yang
boleh merangsang penyakit jantung.

“Bagi individu yang ada paras kolesterol tinggi (iaitu melebihi 5.2 milimol/liter) kurangkan
pengambilan lemak haiwan, telur, daging, keju, mentega, makanan laut dan jangan makan
kulit ayam. Selain itu, gunakan minyak politaktepu untuk memasak,” katanya.

Bukan semua orang yang alami masalah paras kolesterol tinggi perlu mengambil ubat. Jika
masih muda dan sihat, mereka hanya perlu menjaga pemakanan dan bersenam.
Ubat hanya diberi kepada individu berumur dan ada pelbagai masalah kesihatan seperti
tekanan darah tinggi serta kencing manis.
Ubat merendahkan kolesterol hanya dapat membantu mengurangkan risiko penyakit dan
serangan jantung jika diambil secara berterusan dalam tempoh lama.

Pengambilan ubat dalam jangka masa sekejap seperti beberapa bulan tidak memberi kesan
kerana paras kolesterol akan naik dan turun mengikut amalan pemakanan kita.

RAWATAN

Ada tiga jenis rawatan untuk pesakit jantung iaitu pengambilan ubat merendahkan kolesterol,
angioplasti belon dan pembedahan.

Jika pemendapan kolesterol kurang daripada 50 peratus, individu berkenaan hanya akan
diberikan ubat, perlu mengubah pemakanan dan bersenam.

Tiga cara ini secara perlahan-lahan dapat membersihkan salur darah.

Senaman aerobik iaitu pergerakan sama yang berulang (seperti berjalan, joging, berbasikal
dan berenang) selama 20 hingga 30 minit sehari perlu dilakukan secara berterusan sekurang-
kurangnya tiga kali seminggu.

Kata Dr Lee, pembedahan bukan penyembuh tetapi hanya penyelesaian sementara kepada
masalah jantung. Masalah kesihatan jantung tidak berhenti selepas pembedahan kerana ia
boleh berulang jika pesakit tidak mengambil langkah mengelakkan semua faktor risiko yang
boleh menyebabkan penyakit berkenaan.

Untuk mengelakkan penyakit jantung juga mudah iaitu dengan menjalani pemeriksaan
kesihatan tahunan, terutama bagi individu berumur 35 tahun ke atas (lelaki) dan 40 (wanita)
jika tiada sejarah keluarga mendapat sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan
obesiti.

Ada enam langkah untuk memastikan jantung kita sentiasa muda iaitu:

Berhenti merokok (jangan cuba, tetapi berhenti terus).


Amalkan pemakanan sihat.
Bersenam.
Belajar mengendalikan tekanan.
Sentiasa berfikiran positif dan mempunyai motivasi.
Jalani pemeriksaan kesihatan tahunan.

You might also like