Kajian Tinjauan

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 2

KAJIAN TINJAUAN

Apakah kajian tinjauan? Kajian tinjauan atau biasa disebut kajian survey merupakan
salah satu kaedah penyelidikan bukan berbentuk eksperimen yang paling popular
digunakan dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang sains sosial. Kajian
tinjauan juga banyak digunakan dalam bidang pendidikan. Kajian tinjauan digunakan
untuk mendapatkan maklumat daripada responden yang ramai iaitu ratusan ataupun
ribuan responden (Marican, 2006). Kajian tinjauan dijalankan ke atas sampel dalam
sesuatu populasi. Sampel yang terpilih mestilah mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat
populasi yang ingin dikaji supaya maklumat yang diperoleh melalui kajian berkenaan
boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang keseluruhan populasi yang
dikaji. Justeru itu, salah satu tujuan menjalankan kajian tinjauan ialah untuk
membuat kenyataan umum (generalization) tentang sesuatu populasi.
Berikut disenaraikan ciri-ciri kajian tinjauan: kajian menyeluruh mengenai sesuatu isu
atau masalah, kutipan data yang cepat, penggunaan saiz sampel yang besar,
maklumat dipungut secara terus daripada responden dalam masa singkat dan dapat
membuat kenyataan umum untuk sesuatu populasi kajian (Chua, 2006). Terdapat
beberapa cara pemilihan sampel dalam kajian tinjauan iaitu melalui pensampelan
rawak mudah(simple random sampling), pensampelan berstrata (stratified sampling),
pensampelan sistematik (systematic sampling) dan pensampelan kelompok (cluster
sampling). Walau bagaimanapun pemilihan sampel dalam kajian tinjauan adalah
secara rawak daripada sesuatu populasi yang dikenal pasti (Gay & Airasian, 2000).
Kajian tinjauan boleh dijalankan menggunakan soal selidik melalui pos dan temu
bual secara lisan atau secara kertas-pensil, melalui SMS, e-mail serta telefon. Soal
selidik ialah alat ukur yang paling popular dalam kajian tinjauan manakala temu bual
dijalankan untuk menyokong hasil kajian yang diperoleh. Soal selidik yang
digunakan dalam kajian ini biasanya disediakan oleh penyelidik Walau
bagaimanapun soal selidik yang sedia ada dan soal selidik penyelidikan terdahulu
iaitu yang telah melalui proses pengesahan dan diuji kebolehpercayaannya boleh
juga digunakan. Sekiranya penyelidik perlu menyediakan instrumen soal selidik
beberapa perkara perlu diambil perhatian. Ciri-ciri instrumen soal selidik yang baik
mestilah sesuai dengan kesediaan responden, format instrumen yang sistematik,
arahan yang jelas, surat dan dokumen disertakan bersama instrumen kajian serta
ujian rintis perlu dijalankan sebelum instrumen digunakan (Chua, 2006). Selain soal
selidik, temu bual juga boleh digunakan dalam kajian tinjauan. Beberapa bentuk
temu bual boleh digunakan iaitu temu bual berstruktur, temu bual semi struktur, temu
bual tidak berstruktur. Walau bagaimanapun temu bual tidak berstruktur jarang
digunakan dalam kajian tinjauan kerana temu bual ini biasanya digunakan untuk
mendapatkan maklumat mendalam berkaitan sesuatu fenomena atau isu (Gay &
Airasian, 2000). Panduan membentuk item-item soal selidik ialah penggunaan
bahasa yang mudah, selaras dengan responden, elakkan soalan yang sukar, soalan
yang tidak mempengaruhi pemilihan responden, elakkan soalan dwi-maksud, soal
selidik yang terlalu panjang, elakkan soalan yang kabur, elakkan mendorong
jawapan yang digemari masyarakat, elakkan soalan yang berarah dan item yang
negatif (Merican, 2006). Item-item soal selidik boleh menggunakan ukuran dalam
bentuk skala likert, skala perbezaan semantik, skala Thurstone dan skala
Gutman(Gay & Airasian, 2000).
Penyelidik kajian tinjauan menggunakan instrumen temu bual untuk mendapatkan
maklumat. Beberapa aspek-aspek penting dalam penyediaan item temu bual ialah
menentukan jenis temu bual dalam kajian; rancangan temu bual; stail, kandungan
dan susunan soalan temu bual; ciri-ciri soalan temu bual yang baik; aras bahasa
dalam temu bual; penyusunan soalan temu bual dan tempoh sesi temu bual (Chua,
2006). Kesemua aspek di atas perlu diambil perhatian ketika menyediakan item
temu bual. Tujuannya ialah untuk menghasilkan satu set item yang boleh digunakan
secara optimum untuk menjawab persoalan kajian. Beberapa kaedah temu bual
boleh digunakan iaitu temu bual bersemuka, temu bual tidak bersemuka dan temu
bual bantuan komputer. Terdapat 10 ciri asas untuk menjadi penemu bual yang baik
iaitu tidak mulakan sesi temu bual yang dingin, sentiasa sedar tentang tujuan temu
bual, soalan ditanya secara semula jadi, soalan yang penting perlu disoal dengan
jelas dan tepat, berwatak sebagai pendengar yang baik, pakaian dan penampilan
yang sesuai, tempat yang selesa, menghormati responden, berlatih sebelum sesi
temu bual dilaksanakan dan menghargai responden.

SUMBER: Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan , IPG Kampus Bahasa
Melayu, Kuala Lumpur.

Alamat: http://researchipbmm2008.blogspot.com/2008/01/fokus-kajian-tinjauan.html

You might also like