Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 14

Soalan 1 :

Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan sinopsis novel tersebut.


[ 10 markah ]
Jawapan
Novel Panas Salju, karya Talib Samat menceritakan kisah Zulkifli yang bekerja sebagai
atendan hospital di Hospital Besar Kuala Lumpur. Anaknya Nadhirah mendapat penyakit
kerosakan hati dan hempedu. Dr Gheethan dari HBKL mencadangkan Nadhirah dirawat
di King’s College, London. Isteri Zulkifli ialah Cikgu Bushrah binti Ramli yang mengajar
di Sekolah Kebangsaan Tun Razak (2) , Cheras . Cikgu Bushrah sanggup menderma
sebahagian hati kepada anak mereka, Nadhirah walaupun risikonya cukup besar.
Zulkifli menemui sahabat lamanya Mohamad Yusuf di pejabat Utusan Malaysia agar
penderitaan mereka disiarkan . Tan Sri Shamsudin yang menjadi pengarah urusan
syarikat telekomunikasi, Sapura Holding setuju menderma RM350,000 untuk kos
rawatan pemindahan hati di King's College, London.
Pakar bedah, Dr. Tan Kai Chah berjaya memindahkan hati daripada Bushrah kepada
Nadhirah. Semasa di London, Zulkifli dibantu oleh Muliyadi Mahmood , sahabat
lamanya yang juga kartunis dan pensyarah di UiTM Shah Alam. Isteri Muliyadi
Mahmood bernama Saleha Brigite , wanita Perancis. Muliyadi sekampung dengan
Zulkifli di Felda Ulu Tiram, Johor.
Lima tahun kemudian, Bushrah meninggal dunia. Nadhirah berjaya dalam jurusan
perakaunan di UiTM Shah Alam dan bekerja di Bank Islam . Kemudian, Nadhirah
berkahwin dengan seorang doktor. Adiknya, Nazli dapat belajar di Kolej Melayu Kuala
Kangsar. Zulkifli sendiri telah belajar di Universiti Sains Malaysia secara jarak jauh.
Kemudian belajar peringkat sarjana dan seterusnya PhD di universiti yang sama. Zulkifli
akhirnya mengambil keputusan untuk tidak berkahwin lagi.
Soalan 2:
Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan tema dan persoalan yang terkandung
dalam novel tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Tema novel ini ialah
kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak. Tema novel ini dapat dikesan
melalui rentetan peristiwa yang menjalin plotnya iaitu kisah kehidupan sebuah keluarga
yang mengalami masalah kewangan untuk merawat anak yang sakit kronik, kerana
memerlukan kos rawatan yang cukup besar jumlahnya bagi orang biasa, kecuali keluarga
itu jutawan. Sikap masyarakat yang prihatin, tanpa mengira kedudukan membolehkan
anak sakit ini menerima rawatan. Pengorbanan seorang ibu yang sanggup bertukar nyawa
untuk memberi kehidupan kepada seorang anak juga ada hubungan rapat dengan tema
novel ini.
Persoalan pertama ialah sabar dan cekal menghadapi kehidupan. Buktinya, Zulkifli dan
isterinya, Bushrah begitu sabar dan tabah menghadapi cabaran yang menimpa mereka
apabila anak gadis mereka, Nadhirah menghidap penyakit hati dan hempedu. Mereka
sering berbincang dan mencari jalan untuk mengubati anak mereka.
Persoalan kedua ialah kasih sayang ibu bapa. Buktinya, Zulkifli dan Bushrah amat
menyayangi anak mereka sehingga sanggup berkorban masa, tenaga, dan wang demi
keselamatan anaknya. Bushrah pula sanggup berkorban nyawa demi melihat kebahagiaan
anaknya.
Persoalan ketiga ialah hidup bermuafakat. Buktinya, penduduk Bandar Tun Razak yang
hidup bermuafakat telah mengadakan kenduri doa selamat sebelum Nadhirah berangkat
ke London untuk menjalani pembedahan. Hal ini bermakna muafakat amat penting dalam
hidup berjiran.
Persoalan keempat ialah kepentingan ilmu dalam kehidupan. Oleh sebab ingin
memajukan diri, Zulkifli amat mementingkan pendidikan. Dia dan kawannya, Muliyadi
berusaha sehingga berjaya memperoleh PhD.
Soalan 3:
Huraikan watak dan perwatakan bagi watak utama berdasarkan novel yang telah
anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Watak utama dalam
novel ini ialah Zulkifli. Dia sudah berumah tangga dengan Bushrah dan mempunyai dua
orang anak yang bernama Nadhirah dan Nazli. Dia bekerja sebagai pembantu perubatan
di Hospital Kuala Lumpur.
Zulkifli seorang suami, bapa dan pekerja yang bertanggungjawab. Sebagai suami dan
bapa, dia berusaha mencari kos rawatan Nadhirah. Dia juga seorang pekerja yang
mematuhi peraturan di tempat kerjanya.
Zulkifli seorang yang gigih berusaha. Buktinya, dia melakukan pelbagai usaha untuk
mengumpul kos rawatan Nadhirah. Dia juga melakukan kerja-kerja sambilan seperti
menulis skrip drama radio serta gigih memperbaiki taraf pendidikan sehingga
melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.
Zulkifli seorang yang cekal dan tabah hati. Buktinya, pelbagai dugaan dan cabaran
kehidupan dilaluinya dengan semangat yang cekal. Hatinya tabah menghadapi penyakit
Nadhirah dan kematian Bushrah. Malah selepas isterinya meninggal dunia, dia tetap
meneruskan pengajiannya dalam peringkat PhD. Dia tabah menghadapi saat-saat cemas
sewaktu pembedahan Nadhirah dan Bushrah dijalankan.
Zulkifli juga digambarkan sebagai seorang yang mengenang budi dan menghormati orang
lain. Dia amat menghormati Tan Sri Shamsuddin. Yang sudi membantu kos rawatan
anaknya. Zulkifli sentiasa ingat akan bantuan yang dihulurkan oleh orang ramai, jiran
tetangga dan orang perseorangan. Zulkifli juga amat menghormati ibu dan bapa
mertuanya.
Soalan 4:
Huraikan watak dan perwatakan bagi empat watak sampingan berdasarkan novel
yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Watak sampingan
pertama ialah Bushrah. Dia ialah ibu kepada Nadhirah dan Nazli. Dia seorang guru yang
bertanggungjawab dan menjalankan tugas di Sekolah Bandar Tun Razak (2). Dia ialah
isteri kepada Zulkifli dan menjadi penderma hati kepada Nadhirah. Dia meninggal dunia
lima tahun selepas pemindahan hatinya ke badan Nadhirah. Dia seorang yang penyayang.
Buktinya, dia sayang akan suami, anak, dan keluarga. Kasihnya kepada anak terlalu
mulia apabila dia sanggup mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah
demi melihat anaknya bahagia.
Watak sampingan kedua ialah Nadhirah. Nadhirah ialah anak sulung pasangan Zulkifli
dan Bushrah. Dia mengalami kerosakan hati dan hempedu yang dikesan ketika dalam
darjah empat. Nadhirah seorang yang taat kepada orang tua. Dia amat menghormati ibu
bapanya dan sentiasa mendengar nasihat daripada mereka. Nadhirah juga seorang yang
berjiwa sensitif. Hatinya mudah tersentuh apabila mendengar lagu “Kasih Ibu”. Dia juga
simpati kepada mangsa kemalangan yang dibantu oleh ayahnya. Nadhirah seorang yang
berani. Dia berani menghadapi cabaran dan dugaan ketika menghidapi sakitnya. Dia tetap
bersikap optimis dan tidak mudah berputus asa.
Watak sampingan ketiga ialah Muliyadi. Beliau merupakan kawan baik Zulkifli yang
juga merupakan pensyarah ITM. Beliau berkahwin dengan wanita Perancis dan
mempunyai dua orang anak. Beliau seorang yang baik hati dan ikhlas. Bukitnya, ketika
Zulkifli dan sekeluarga berada di London, Muliyadi sentiasa memberikan pertolongan
dengan ikhlas dan memberikan sokongan moral kepada Zulkifli. Muliyadi seorang yang
gigih berusaha. Buktinya, beliau begitu gigih meningkatkan taraf akademiknya sehingga
ke peringkat PhD. Walaupun belajar di luar negara, dia tidak pernah melupakan asal-
usulnya. Buktinya, dia tetap berjiwa Melayu dan tidak lupa akan kampung halamannya.
Watak sampingan seterusnya ialah Dr. Tan Kai Chah. Beliau merupakan seorang pakar
bedah hati yang terkemuka. Beliau telah menjalankan pembedahan hati sebanyak 450
kali. Beliau seorang yang baik hati dan berfikiran terbuka. Buktinya, dia dengan mudah
menjalinkan kemesraan dengan keluarga Zulkifli tanpa mengira agama dan kedudukan.
Beliau seorang yang cekap menjalankan tugas. Buktinya, kepakaran dan cara kerjanya
yang profesional telah menunjukkan bahawa beliau seorang yang dedikasi dalam
menjalankan tugas. Beliau juga seorang yang rendah diri. Walaupun berpendapatan
lumayan, beliau sentiasa merendah diri.
Soalan 5:
Plot memainkan peranan yang penting dalam sesebuah karya. Huraikan plot
berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Novel ini ditulis
mengikut kronologi. Pada bahagian permulaan atau dikenali sebagai eksposisi, biasanya
pengarang memperkenalkan watak. Permulaan cerita ini mengisahkan Zulkifli dan
keluarganya pulang ke Kuala Linggi, Melaka untuk menghadiri kenduri arwah adik
iparnya di rumah mertuanya. Selepas itu, mereka menuju ke selatan, Felda Ulu Tebrau,
Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan adik Zulkifli. Pada majlis tersebut, Zulkifli
bertemu kawan lamanya, Muliyadi yang bertugas sebagai pensyarah ITM Shah Alam.
Perkembangan cerita ialah bahagian pengarang memperkenalkan lebih banyak watak dan
cerita dilanjutkan dengan pelbagai peristiwa. Pada bahagian ini, Zulkifli dan Bushrah
berbincang tentang kos rawatan Nadhirah yang masih jauh daripada mencukupi. Mereka
kemudiannya meminta bantuan pihak media bagi memohon simpati masyarakat. Pada
waktu inilah, mereka memanjatkan kesyukuran apabila Tan Sri Shamsuddin telah
bermurah hati mendermakan RM350,000 untuk menjayakan pembedahan Nadhirah di
London.
Pada bahagian perumitan atau konflik, Bushrah dikatakan mengambil keputusan untuk
mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadhirah. Tindakannya mendapat
sokongan dan bantahan daripada pelbagai pihak. Namun begitu, Bushrah tetap dengan
keputusannya. Sebelum mereka berangkat ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2)
telah mengadakan kenduri doa selamat untuk Nadhirah.
Pada bahagian klimaks atau puncak cerita, Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah telah sampai
di London. Mereka menjalani pembedahan di Hospital King’s College. Pembedahan yang
dijalankan selama 14 jam tersebut diketuai oleh pakar bedah dari Malaysia, Dr. Tan Kai
Chah. Akhirnya pembedahan tersebut berjaya dilaksanakan. Kejutan peristiwa pada
bahagian ini ialah kematian Bushrah selepas lima tahun menjalani pembedahan.
Pada bahagian peleraian atau akhir cerita, pengarang lebih tertumpu pada kehidupan
Zulkifli sekeluarga selepas kematian Bushrah. Nadhirah telah lulus Diploma perakaunan
dan bekerja di Bank Islam, Kuala Lumpur. Kemudiannya dia berkahwin dengan seorang
pakar bedah. Zukifli pula melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD manakala Nazli
meneruskan pelajarannya di Kuala Kangsar.
Soalan 6:
Teknik plot atau teknik penceritaan memainkan peranan yang penting dalam
sesebuah karya. Huraikan teknik plot berdasarkan novel yang telah anda kaji. [ 10
markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Teknik plot pertama
ialah teknik saspens. Teknik ini menyebabkan pembaca akan tertanya-tanya tentang
perkara yang berlaku. Buktinya, pengarang memasukkan teknik saspens pada awal cerita
apabila sepasang suami isteri berbangsa Sikh yang terjunam ke dalam parit semasa
Zulkifli sekeluarga dalam perjalanan menuju ke Melaka. Pembaca tertanya-tanya keadaan
mereka berdua.
Teknik kedua ialah kejutan. Teknik ini dimasukkan dan menambahkan minat pembaca
untuk meneruskan pembacaan. Dalam novel ini, kematian Bushrah selepas lima tahun
menjalani pembedahan ialah teknik kejutan. Teknik ini memberi kejutan kepada pembaca
Hal ini demikian kerana sebelum ini, tidak ada tanda-tanda Bushrah menghadapi kesan
buruk pembedahan yang dilaluinya.
Teknik ketiga ialah dialog. Dialog bermaksud pertuturan antara watak dalam novel.
Kebanyakan dialog berlaku antara Bushrah dengan suaminya. Buktinya, “Kita mesti
hadiri kursus anak cemerlang itu. Kalau tak, kita rugi besar”, kata Zulkifli sambil
menghadap sarapan pagi.
Teknik penceritaan keempat ialah monolog dalaman. Monolog dalaman bermaksud
bicara hati atau watak menyatakan perasaannya dalam hati tanpa mengeluarkan sebarang
kata-kata. Buktinya, “Ya Allah, ya Tuhanku, berilah aku kekuatan untuk mengangkat
kedua-dua mangsa ini ke dalam kereta,” doa Zulkifli dalam hati.
Teknik imbas kembali juga banyak digunakan dalam novel ini. Teknik ini digunakan
semasa pengarang memasukkan unsur ingat semula fenomena kemalangan di Sumatera
Utara, Indonesia. Pihak berkuasa di sana dikatakan meletakkan kereta yang remuk di
bahu jalan sebagai peringatan kepada pemandu lain agar tidak memandu terlalu laju
hingga membawa maut.
Soalan 7:
Huraikan latar tempat berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa
yang berlaku di tempat-tempat yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Latar tempat
memainkan peranan penting dalam setiap plot cerita. Latar tempat pertama ialah Hospital
Seremban. Buktinya, kedua-dua mangsa Sikh yang terlibat dalam kemalangan dihantar
oleh Zulkifli untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Latar tempat kedua ialah Kuala Linggi, Melaka. Di sinilah rumah keluarga Bushrah. Pada
awal cerita pengarang menceritakan kenduri arwah yang dijalankan. Di sini jugalah Nazli
ditumpangkan selama Zulkifli, Bushrah dan Nadhirah berada di London. Selepas pulang
dari London, Zulkifli juga singgah di rumah mertuanya sekejap sebelum pulang ke Kuala
Lumpur.
Latar tempat ketiga ialah Felda Ulu Tebrau. Tempat ini ialah kampung Zulkifli. Zulkifli
pulang ke kampung semasa menghadiri majlis perkahwinan adiknya dan berjumpa
dengan kawan lamanya yang bernama Muliyadi di situ.
Latar tempat keempat ialah Sekolah Bandar Tun Razak (2). Di sinilah Bushrah bekerja
sebagai guru. Setelah penderitaan Nadhirah disiarkan dalam surat khabar, warga sekolah
tersebut melancarkan kutipan derma kilat untuk membantu Nadhirah.
Latar tempat seterusnya ialah Hospital King’s College. Di hospital inilah Nadhirah dan
Bushrah menjalani pembedahan pemindahan hati. Pembedahan yang dijalankan selama
14 jam itu telah berjaya dilaksanakan oleh Dr. Tan Kai Chah.
Soalan 8:
Huraikan latar masa berdasarkan novel yang telah anda kaji berserta peristiwa
yang berlaku pada masa yang anda nyatakan tersebut. [ 10 markah ]

Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Latar zaman atau masa
dalam novel ini ialah zaman moden. Terdapat beberapa peristiwa yang dapat dikaitkan
dengan latar masa seperti yang dinyatakan oleh pengarang. Latar masa pertama ialah
subuh. Pada waktu inilah Zulkifli, Bushrah, dan Nadhirah bersolat subuh berjemaah,
kemudian bersarapan pagi.
Latar masa kedua ialah waktu tengah hari. pada awal cerita, pengarang memasukkan
waktu tengah hari semasa kereta Zulkifli rosak berhampiran Simpang Renggam. Namun
begitu, dia dibantu oleh seorang lelaki yang bernama Cheng Guan.
Latar masa ketiga ialah petang. Semasa Nadhirah menjalani rawatan di London. Dr. Tan
kai Chah telah menetapkan pembedahan yang akan berlangsung selama 14 jam tersebut
bermula pada pukul 2 petang. Pada pukul 2 petanglah Nadhirah dibius.
Latar masa keempat ialah waktu malam. Pada waktu malam sebelum Nadhirah berangkat
ke London, penduduk di Taman Tun Razak (2) telah bekerjasama menjayakan kenduri
doa selamat.
Latar tempat seterusnya ialah lima tahun selepas pembedahan. Pada pukul 4.00 pagi hari
Jumaat, Bushrah meninggal dunia di ribaan suaminya.
Soalan 9:
Huraikan latar masyarakat atau citra masyarakat yang digunakan oleh pengarang
dalam novel yang telah anda kaji. [ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Latar masyarakat
pertama ialah masyarakat kota. Masyarakat ini terbahagi kepada dua jenis, yakni
golongan biasa dan golongan kaya raya. Buktinya, golongan biasa diwakili oleh keluarga
Zulkifli dan penduduk di taman perumahannya yang hidup harmoni. Namun begitu, Tan
Sri Shamsuddin yang dikategorikan sebagai golongan yang kaya raya tetap tidak
sombong. Malah, beliau sanggup membiayai kos pembedahan Nadhirah.
Latar masyarakat kedua ialah masyarakat desa. Masyarakat ini diwakili oleh ibu bapa
Bushrah yang tinggal di Kuala Linggi dan ibu bapa Zulkifli yang tinggal di Felda Ulu
Tebrau. Masyarakat kampung dikatakan lebih mengamalkan perpaduan terutamanya
semasa menjayakan sesuatu majlis.
Latar masyarakat ketiga ialah golongan penulis dan wartawan. Buktinya, Zulkifli bekerja
sambilan sebagai penulis skrip radio. Selain itu, Mohammad Yusuf bekerja sebagai
pemberita atau wartawan untuk akhbar Utusan Melayu.
Latar masyarakat keempat ialah golongan pendidik atau guru. Bushrah digambarkan
sebagai seorang guru yang sangat dedikasi. Dia bertugas di Sekolah Bandar Tun Razak
(2). Cikgu Khairani juga memainkan peranan yang penting dalam novel ini kerana
beliaulah yang selalu datang ke rumah Nadhirah apabila Nadhirah tidak dapat hadir ke
sekolah kerana sakit. Jasa yang ditaburkan oleh golongan pendidik amat penting dalam
masyarakat.
Latar masyarakat seterusnya ialah masyarakat pelbagai bangsa. Latar masyarakat ini
diwakili oleh pasangan yang berbangsa Sikh dan pemuda Cina yang bernama Cheng
Guan. Pasangan yang berbangsa Sikh inilah yang terlibat dalam kemalangan jalan raya
manakala pemuda Cina yang bernama Cheng Guan membantu Zulkifli yang mengalami
kerosakan kereta di Simpang Renggam.
Soalan 10:
Huraikan nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Nilai pertama ialah baik
hati. Zulkifli digambarkan sebagai seorang yang baik hati kerana membantu mereka yang
memerlukan bantuan. Dia telah membantu pasangan Sikh yang mengalami kemalangan.
Nilai kedua ialah kerajinan. Watak seperti Zulkifli dan Muliyadi mengamalkan nilai
ketekunan. Mereka berdua belajar bersungguh-sungguh sehingga ke peringkat PhD.
kejayaan mereka dalam bidang akademik perlu kita teladani.
Nilai ketiga ialah kejiranan. Tindakan masyarakat di tempat tinggal Zulkifli
sememangnya mengamalkan sikap kerajinan terutamanya semasa menjayakan kenduri
doa selamat. Nilai ini perlu ada pada semua penduduk di Malaysia.
Nilai keempat ialah kerjasama. Nilai ini jelas kelihatan pada penduduk desa yang
mengamalkan kerjasama semasa menjayakan sesuatu majlis. Buktinya, masyarakat desa
di Felda Ulu Tebrau bekerjasama menjayakan majlis perkahwinan adik Zulkifli.
Nilai kelima ialah kesyukuran. Oleh sebab syukur dengan kurniaan Tuhan atas nikmat
dan kekayaan yang dimiliki, Tan Sri Shamsuddin telah insaf akan kuasa Tuhan dan
mengambil keputusan untuk mendermakan RM350,000 untuk meringankan keperitan
Nadhirah.
Soalan 11:
Huraikan pengajaran atau mesej yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[ 10 markah ]
Jawapan
Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Terdapat beberapa
pengajaran dalam novel ini. Pengajaran pertama ialah kita mestilah bersabar apabila
menghadapi masalah. Buktinya, Zulkifli dan Bushrah tetap bersabar menerima takdir
yang menimpa keluarga mereka. Penyakit Nadhirah dan pandangan masyarakat terhadap
mereka dihadapi dengan sabar.
Pengajaran kedua ialah kita tidak harus cepat berputus asa apabila berhadapan dengan
cabaran dan dugaan. Buktinya, Nadhirah pernah menjalani pembedahan tetapi
penyakitnya tidak sembuh. Zulkifli tetap yakin bahawa penyakit Nadhirah akan sembuh
dan melakukan pelbagai usaha untuk mengumpulkan kos pembedahan Nadhirtah.
Pengajaran ketiga ialah kita mestilah mensyukuri nikmat dan anugerah Tuhan. Buktinya,
Tan Sri Shamsuddin begitu insaf akan rezeki yang melimpah ruah yang dikurniakan oleh
Tuhan kepadanya. Oleh sebab itu, dia sanggup membiayai kos pembedahan Nadhirah.
Pengajaran keempat ialah kita haruslah menuntut ilmu tanpa mengira usia. Buktinya,
Zulkifli tetap meneruskan hasratnya menuntut ilmu ke peringkat ijazah dan PhD
walaupun sudah berkeluarga dan bekerja.
Pengajaran seterusnya ialah kita mestilah menghargai pengorbanan orang lain. Buktinya,
Zulkifli amat menghargai pengorbanan isterinya, Bushrah yang menderma sebahagian
daripada hati kepada anaknya, Nadhirah.
Soalan 12:
Huraikan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji. [ 10
markah ]
Jawapan

Novel yang saya kaji ialah novel Panas Salju, karya Talib Samat. Gaya bahasa
memainkan peranan yang amat penting dalam sesuatu karya. Gaya bahasa pertama ialah
penggunaan diksi atau istilah perubatan. Antara contoh diksi tersebut yang terdapat dalam
novel ini ialah hemoglobin, glukosa, asid laktik, glikogen, virus, bakteria dan banyak
lagi.

Gaya bahasa kedua ialah sinkof. Buktinya, tak usah, istana ni, gitu, kau. Penggunaan
singkatan kata ini banyak wujud dalam dialog.

Gaya bahasa ketiga ialah perulangan. Buktinya:


Selagi nafas berdenyut, selagi itulah kita mesti mencari ilmu. Perkataan selagi diulang
sebanyak 2 kali.

Gaya bahasa keempat ialah personifikasi atau unsur perorangan. Contohnya, Matahari
terus memancar terik membakar kulit Zulkifli. Dalam contoh tersebut, matahari
digambarkan mempunyai sifat manusia, iaitu membakar.

Gaya bahasa seterusnya ialah peribahasa. Antara peribahasa yang digunakan dalam novel
ini ialah simpulan bahasa. Buktinya, cari jalan, khabar angin, gulung tikar, janji-janji
manis, mata pencarian dan banyak lagi.
Novel
Panas Salju
Ting.3
- Teknik – teknik menjawab Soalan peperiksaan

Nama:_________________________________
Kelas:_________________________________

Disediakan Oleh: Pn. Loh

Index

Bil Tajuk M/S


1 Sinopsis 1

2 Tema & Persoalan 2

3 Watak Utama 3

4 Watak Simpangan 4

5 Plot Peranan 5

6 Plot Penceritaan 6

7 Latar tempat 7

8 Latar masa 8

9 Latar Masyrakat 9

10 Nilai Nilai murni 10

11 Pengajaran 11

12 Gaya Bahasa 12

You might also like