Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Lompat ke: pandu arah, cari

Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman
sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam
jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau
alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran
agama, pengajaran ilmu pengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan[1].

Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional.
Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu
tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu
tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya
hikayat dan cerita-cerita rakyat.

Isi kandungan
[sorokkan]

 1 Definisi
 2 Jenis-jenis puisi Melayu
o 2.1 Pantun
o 2.2 Gurindam
o 2.3 Teromba
o 2.4 Talibun
o 2.5 Mantera
o 2.6 Peribahasa berangkap
 3 Rujukan

[sunting] Definisi
Definisi lama puisi ialah karangan berangkap. Karangan ini terikat kepada bentuknya yang
khusus dan tetap, sama ada pada jumlah perkataan dalam baris, jumlah baris dalam rangkap,
rima dan irama, dan jumlah suku kata. Menurut sasterawan negara, Za'ba, puisi ialah
karangan berangkap yang khas dipakai untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa
yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

[sunting] Jenis-jenis puisi Melayu


Puisi Melayu termasuk dalam golongan karya kesusasteraan bentuk bukan cerita (non-
naratif). Pengkelasan puisi Melayu boleh dibuat berdasarkan bentuk, isi/tema, dan fungsi.
Berdasarkan kepada pengkelasan ini, jenis-jenis puisi Melayu tradisional terbahagi kepada
dua belas iaitu pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, teka teki, peribahasa berangkap,
teromba, talibun (sesomba), prosa berirama (prosa lirik), dan dikir (zikir)[2].

[sunting] Pantun
Rencana utama: Pantun

Perkataan pantun dikatakan berasal daripada perkataan Bahasa Sanskrit paribhasya atau
Bahasa Jawa parik yang bererti pari atau peribahasa dalam Bahasa Melayu[3].

Antara penulisan klasik Tamil yang mempunyai bentuk pantun telah dikarang antara kurun ke
dua hingga kurun ke lima dalam tempoh cankam. Contoh rangkapnya adalah:-

nilattinum perite vaninum uyarntanru


nirinum arala vinre carar
karunkor kurincip pukkontu
perunte nilaikkum natanotu natpe
(Tevakulattar: Kuruntokai, 3)

Terjemahan

(Besar dari bumi, tinggi dari langit


Dalam dari laut, dilereng gunung
(kurunci tangkai gelap mekar - seperti madu
Besar lagi cintaku bagi Tuanku (lord of the land))

Antara persamaan yang boleh dilihat adalah ia menggunakan puisi sebagai gambaran cinta,
mempunyai jumlah silables sekata setiap baris, dan pecahan gambaran pada dua baris yang
sama.

Menurut Dr. Brandsetter pula, perkataan 'pantun' berasal daripada akar kata tun yang boleh
dikesan dalam Bahasa Jawa iaitu tuntun, dalam Bahasa Tagalog disebut tonton yang
diucapkan dalam aturan yang tertentu[4]. Dalam Bahasa Sunda, pantun bermaksud satu cerita
(karangan) panjang berirama yang dinyanyikan dengan iringan muzik. Manakala dalam
masyarakat Melayu pula, pantun bererti kuantrain, iaitu puisi yang tersusun dalam struktur
empat baris serangkap.

Pantun dapat dikelaskan berdasarkan kepada bentuk/struktur, tema/isi, fungsi dan


penyebarannya[5]. Daripada pengkelasan inilah maka timbullah apa yang disebut pantun dua
kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, dan sebagainya. Dari segi tema pula
memunculkan jenis-jenis pantun seperti yang berikut:

1. pantun kanak-kanak
2. pantun cinta dan kasih sayang
3. telatah dan cara hidup masyarakat
4. pantun teka teki
5. pantun puji-pujian/sambutan
6. pantun nasihat, agama, dan adat
7. pantun naratif/cerita

Contoh pantun cinta dan kasih sayang:

Dari Mentakab ke Sungai Mati,


Singgah bermalam di Tangga Batu,
Tumpang di rumah Tok Lela;
Timbullah insaf di dalam hati,
Pemandu ramai penumpang pula tetap setia

[sunting] Gurindam

Rencana utama: Gurindam

Gurindam terkenal dalam masyarakat Melayu terutamanya di Sumatera. Di Sumatera,


gurindam juga dikenali dengan nama Muslihat Acheh, Gurindam Barus, Lagak Minang, dan
sebagainya[6]. Asal usul perkataan gurindam adalah daripada Bahasa Sanskrit dan dikatakan
memasuki Bahasa Melayu melalui Bahasa Tamil iaitu 'kirandum'.

Struktur puisi gurindam terdapat dua: terikat dan tidak terikat. Bentuk gurindam terikat
terdiri daripada dua baris serangkap dengan rima akhirnya yang sama. Bagi bentuk gurindam
yang tidak terikat pula, jumlah barisnya tidak tetap, manakala rima akhirnya bebas.

[sunting] Teromba

Rencana utama: Teromba

Teromba terkenal dalam orang Minang yang kuat berpegang kepada adat Perpatih. Teromba
juga dikenali dengan nama-nama seperti terasul, tambo, dan salasilah. Sesebuah teromba
lazimnya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi berkenaan peraturan, nilai, adat,
dan hukum-hukum hidup bermasyarakat.

Terdapat banyak pengertian teromba; ada yang menyatakan bahawa teromba sebagai
perbilang adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat[7]. Dari segi bentuk, teromba
berbentuk bebas. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya tidak tetap, manakala rima akhir
setiap baris pula tidak sama. Di dalam sebuah teromba disisipkan dengan beberapa jenis puisi
tradisional lain, seperti pantun, gurindam, dan peribahasa. Contoh teromba adalah seperti
berikut:

Merisik dalam adat istiadat perkahwinan


Adalah saya bak kata orang,
kok ibarat umur baru bertukar muda,
pendapatan pun belum ada,
pandangan pun belum banyak,
pengalaman pun belum jauh,
kok darah belum setampuk pinang,
kok jalan kurang pasa,
kalau begitu kedatangan saya ini,
ibarat pergi ke huma,
singkap daun ambil buah,
adapun kedatangan saya ini sama-sama faham,
orang ke awak, awak ke orang,
semenda bersemenda,
kok ibarat dasar pusaka,
kok segar disiram,
kok putus kata di pangkal,
putus dengan dibagi,
duduk berperuntungan,
mati hukum Allah,
duduklah pula sepelarasan,
pandangan memandang satu nan lain,
iaitu bersuku-suku,
berapalah sukunya dua belas,
dua belas Muar dua belas Jempol,
enam Teraci enam Gunung Pasir,
kok selaman sepermainan,
kok sejamban seperulangan,
tak dek hukum tak mengambil,
diharuskan pula semenda-menyenda.

[sunting] Talibun

Rencana utama: Talibun

Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang
terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya.
Talibun disebut juga dengan nama seromba dan mempunyai bentuk yang hampir sama
dengan prosa lirik atau prosa berirama[8]. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa
lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang
diambil prosa lirik.

Talibun mengungkap persoalan yang berbagai bergantung kepada konteks cerita induknya.
Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian,
kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat
dalam sesebuah cerita lipur lara.

Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana


Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta pemghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh

[sunting] Mantera

Rencana utama: Mantera

Istilah mantera berasal daripada kata mantra, mantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang
bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi
memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampi serapah,
tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal. Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam
sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar
mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka.
Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun.
Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai
memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur
magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan
mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara
yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.

Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera
menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang
tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu
tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-
satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.

Puja Padi:
Seri Dangomala, Seri Dangomali!
Hendak kirim anak sembilan bulan;
Segala inang, segala pengasuh;
Jangan beri sakit, jangan beri demam,
Jangan beri ngilu dan pening;
Kecil menjadi besar;
Tua menjadi muda;
Yang tak kejap diperkejapkan;
Yang tak sama dipersamakan;
Yang tak tinggi dipertinggikan;
Hijau seperti air laut;
Tinggi seperti bukit Kaf.

[sunting] Peribahasa berangkap

Peribahasa tergolong dalam jenis puisi warisan Melayu dan sangat banyak ditemui dalam
kesusasteraan Melayu tradisional. Peribahasa juga disebut dengan nama peribahasa
berirama dan mempunyai beberapa variasi seperti bidalan, pepatah-petitih, perbilangan,
perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil. Dari segi bentuk, peribahasa
berangkap terbina dalam dua keratan yang sejajar, baik dalam dalam sebaris atau lebih. Tidak
sebagaimana pantun, baris-baris dalam peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.

Peranan peribahasa dalam majlis-majlis rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka
adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang sopan walau semasa menegur, menyindir
atau mengkritik secara halus. Peribahasa juga berfungsi sebagai alat kawalan sosial dan
pemantapan sesuatu sistem sosial dalam kemasyarakatannya dan media yang mempamerkan
kebijaksanaan penutur atau pewarisnya[9].

[sunting] Rujukan
1. ↑ Abdul Halim Ali (2003) Bingkisan Sastera. Diwangsa Publications & Distributors
Sdn., Bhd.
2. ↑ Harun Mat Piah (2000), Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa
dan Pustaka
3. ↑ R.O. Winstedt (1992), Liaw Yock Fang (1993)
4. ↑ R.O. Winstedt (1992)
5. ↑ Harun Mat Piah (2002)
6. ↑ Gazali Dunia (1992) Kesusasteraan Melayu Lama. Dewan Bahasa dan Pustaka
7. ↑ Mohd Yusof Md. Nor (1996) Puisi Melayu Tradisional. Penerbitan Fajar Bakti
8. ↑ Harun Mat Piah (2000)Puisi Melayu Tradisional. Dewan Bahasa dan Pustaka
9. ↑ Mutiara Sastera Melayu Tradisional (2003) Muka surat 256

You might also like