Jurnal Yos Fatimah Dan DR Anuar Utm Skudai

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 12

Kemahiran Pengurusan Yang Diperlukan Oleh Pengurus Pertengahan di Sekolah Rendah oleh Yos Fatimah bt.

Selamat SK Taman Suria, Johor Bahru. Email: timselamat@yahoo.com dan Dr Mohd Anuar b. Abdul Rahman Fakulti Pendidikan, UTM. Skudai, Email: mahargandk@yahoo.com ABSTRAK Pengurus pertengahan adalah pengerak utama dalam mana-mana organisasi masa kini. Manakala amalan kerja berpasukan adalah nadi kepada kejayaan pengurusan pertengahan. Sehubungan dengan itu, satu kajian telah dilakukan bagi mengenalpasti kemahiran pengurus pertengahan yang diperlukan di sekolah rendah. Seramai 156 orang pengurus pertengahan daripada 13 buah sekolah sekolah rendah gred A di Zon Majidi, Johor telah dijadikan responden kajian. Kajian ini menggunakan soal selidik Team-work KSAs yang dibangunkan oleh Steven (1993). Statistik deskriptif min dan sisihan piawai serta statistik inferensi yang melibatkan Ujiant dan korelasi telah digunakan untuk menganalisa data. Dapatan kajian menunjukkan aspek kemahiran pengurusan yang utama yang diperlukan bagi pengurus pertengahan adalah aspek komunikasi, diikuti oleh aspek perancangan dan penyelarasan tugas, penetapan matlamat dan pengurusan prestasi, penyelesaian masalah secara kolaboratif dan penyelesaian konflik. Dapatan juga menunjukkan tiada terdapat perbezaan yang signifikan keperluan kemahiran pengurusan pengurus pertengahan berdasarkan bidang tugas dan jenis sekolah. Manakala analisis korelasi menunjukkan terdapat hubungan yang positif kuat antara aspek-aspek dalam kemahiran pengurusan tersebut. Pengenalan Sekolah merupakan institusi pendidikan yang diselenggarakan oleh golongan pendidik dan berinteraksi melalui suatu proses berstruktur bagi mencapai hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Keupayaan dan keterampilan pentadbir sekolah yang mampu mengurus dan menyelesaikan masalah yang wujud di kalangan guru, staf sekolah dan pelajar terutamanya dalam aspek pengurusan dan pengajaran bilik darjah akan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan, (Omardin, 1996). Lazimnya sekolah memberikan tumpuan kepada penggunaan sumber tenaga dan kebolehan para guru secara menyeluruh supaya mereka lebih produktif, berdaya saing dan dapat bertindak secara cekap dan berkesan. Drucker (1999) menyatakan pengurusan ialah satu proses sosial yang dibentuk untuk mendapatkan kerjasama, penyertaan dan penglibatan ahli-ahli dalam sesebuah organisasi untuk mencapai matlamat yang sangat bergantung kepada kecekapan pengurusannya ( Mohd. Hizam dan Zafir, 2003)

Bagi pengurus sekolah pula, mereka bukan sahaja perlu melakukan tugas rutin sebagai pemimpin, pengurus dan pentadbir dalam mengurus polisi, pembelajaran, manusia dan sumber tetapi adalah penting bagi pengurus untuk memastikan semua kerja terus berjalan, mengatasi masalah, memulakan aktiviti baru dan menyatukan ahli organisasinya bagi mencapai matlamat pendidikan (Mohd Anuar, 2007) Oleh kerana rumit dan luasnya bidang pengurusan di sekolah, maka ia hendaklah diurus secara bijaksana melalui struktur organisasi sekolah bagi menentukan pembahagian kerja dan tugas setiap jawatan dalam struktur tersebut diurus dan ditadbir dengan sempurna dan cekap (Zaidatol, 1990). Pemahaman konsep pentadbiran seperti satu ketua, keselarasan arahan, penurunan kuasa dan tanggungjawab, pengkhususan, bidang kawalan, kestabilan dan fleksibiliti perlu dikongsi dan difahami serta diterima oleh semua ahli dalam organisasi agar pengurusan dapat dilaksanakan dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak. Masalah Kajian Perkembangaan dan perubahan dalam pengurusan pendidikan masa kini adalah selaras dengan arus perubahan globalisasi dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Alasannya ialah pendidikan perlu bertindak balas kepada keadaan dan peristiwa yang berlaku dalam masyarakat kerana pendidikan merupakan agen perubahan dalam sesebuah masyarakat (Abdul Shukor, 2004). Sebagai organisasi, sekolah perlu berkembang, matang dan menyesuaikan keadaannya terhadap perubahan dalaman dan luaran (Blandford, 1997). Perubahan adalah satu keperluan dan merupakan suatu proses yang harus dihadapi oleh pentadbir, pengurus-pengurus pertengahan atau ketua pasukan kerja di sekolah (Blair (1992) :Ronald.et.al.,1997). Oleh itu pengurus dan pentadbir perlu menguruskan perubahan dalam pendidikan secara berkesan dengan menguruskan sumber manusia secara maksimum, cekap dan terancang dan mendapat sokongan daripada semua ahli dalam ogranisasi. Mereka perlu sentiasa bersedia menghadapi perubahan dan cabaran yang kadangkala bersifat kompleks, membimbangkan, mengancam dan tidak dapat dijangka (Blandford, 1997). Dari segi praktikalnya pemimpin sekolah tidak berupaya menangani segala cabaran dan perubahan ini secara bersendirian. Oleh itu budaya mengurus sekolah perlu berubah daripada model hieraki atas bawah kepada struktur lebih mendatar yang melibatkan majoriti daripada staf yang mengurus sekolah (Blandford, 1997), iaitu melalui pengupayaan dalam pengurusan. Sebahagian daripada tugas dan tanggungjawab diagihkan kepada orang bawahan melalui penyerahan kuasa yang berasaskan kepada kepercayaan akan kebolehan mereka terhadap tugas yang dipertanggung jawabkan. Dengan berbuat demikian pihak pengurusan dapat meningkatkan kecekapan beroperasi dalam sesebuah organisasi kerana ini dapat mendorong individu yang berpotensi mempamerkan bakat dan kreativiti sendiri, bijak membuat keputusan, mempunyai penghormatan kendiri dan motivasi tinggi yang dapat menjana peningkatan pencapaian dan produktiviti organisasi (Short, 1994). Daripada senario ini, pengurus pertengahan merupakan kelompok pentadbir lapisan kedua selepas penolong-penolong kanan dan penyelia petang. Kemunculan pengurus pertengahan di sekolah rendah adalah maklum balas kepada keperluan guru sekolah rendah yang mengalami perubahan kurikulum yang kerap dan dikaitkan pula dengan beban pentadbiran

(Blandford, 1997). Sebahagian daripada mereka, telah dilantik secara rasmi oleh Jabatan Pelajaran Negeri atas cadangan pihak sekolah seperti jawatan Guru Media dan Guru Data. Manakala sebahagiannya lagi di lantik oleh guru besar sebagai penghargaan dan kepercayaan untuk menguruskan pasukan-pasukan kerja yang diwujudkan bagi memenuhi tuntutan struktur organisasi seperti panatia mata pelajaran, unit-unit kokurikulum dan Hal Ehwal murid atau dalam bentuk jawatankuasa unit atau majlis. Pengurus-pengurus pertengahan ini akan menguruskan pasukan kerja yang melaksanakan fungsi yang berbeza antara satu pasukan dengan pasukan lain dalam melengkapi sistem pengurusan sekolah. Dalam era teknologi maklumat, pengurus-pengurus pertengahan yang dikenali juga sebagai ketua pasukan kerja di sekolah terpaksa melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan pengalaman bagi menghadapi cabaran globalisasi. Mereka terpaksa bergelut untuk mengadaptasi kepada persekitaran yang tidak stabil serta sering berubah, maupun desakan serta harapan yang terlalu tinggi dari pelbagai pihak. Pelbagai masalah akan timbul akibat perlantikan yang tidak memenuhi kriteria yang khusus. Antara masalah yang telah dikenal pasti ialah perlaksanaan kurikulum yang dikelolakan oleh panatia mata pelajaran yang tidak dapat berfungsi sepenuhnya (Jemaah Nazir Malaysia,1999). Kajian Muniandi (1998) mendapati ramai ketua panitia mata pelajaran tidak memahami tugas mereka, akibatnya mereka gagal merancang aktiviti tahunan yang lengkap dan tidak dapat mengelola segala aktiviti yang dirancang dengan sempurna dan teratur kerana kurang pengalaman. Menurutnya lagi majoriti ketua panitia di sekolah bergantung kepada kebijaksanaan guru besar masing-masing dalam memberi arahan dan panduan. Kebergantungan ini akan menyebabkan konsep pengupayaan gagal dilaksanakan dan menambahkan beban kepada pihak pengurusan atasan. Semasa pengurus pertengahan menjalankan tugasnya, mereka perlu bertindak mengikut jangkaan peranan orang-orang yang berinteraksi dengannya. (Zaidatol, 1990). Jangkaan peranan bermaksud seseorang pemimpin berinteraksi dengan orang lain untuk membuat pengamatan kepada tiga nilai peranan iaitu melihat peranannya sendiri sepertimana yang diperlukan oleh fungsi yang ia laksanakan, melihat peranan orang-orang yang dia hubungi dan melihat peranannya seperti mana yang diamati oleh orang lain. Pemimpin atau pengikut tidak dapat menyempurnakan tugas sebagaimana yang dijangkakan melainkan dia dapat mengamati apa yang orang lain harapkan dari peranannya. Kegagalan memahami peranan sendiri dalam tugas menyebabkan mereka tidak tahu sempadan autonomi yang jelas dan bidang kuasa jawatan yang dipertanggungjawabkan ke atasnya termasuklah proses membuat keputusan dan akauntabiliti. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pencapahan tugas serta kekeliruan di kalangan pengurus pertengahan. Oleh itu keupayaan serta penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang pelbagai oleh pengurus pertengahan sebagai pemimpin projek di sekolah sudah menjadi perkara kritikal dan perlu ditangani oleh pentadbir agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih yakin dan sempurna mengikut bidang tugas mereka di sekolah. Amalan memilih pengurus pertengahan mengikut kriteria-kriteria tertentu memang berlaku tetapi terdapat berbagai kriteria yang digunakan dan sebahagian pengurus melaksanakannya berdasarkan kefahaman dan kriteria mereka sendiri yang tentunya tidak menggambarkan kehendak sebenar bagi jawatan tersebut. Terdapat juga pengurus-pengurus

pertengahan di sekolah rendah yang dilantik ke jawatan ini tidak berdasarkan pengalaman dan kemahiran kepimpinan tetapi lebih kepada keperluan mengisi jawatan yang kosong atau lebih kepada kesaksamaan dalam agihan tugas. Malahan kadangkala ada yang baru mula bertugas sebagai guru, oleh itu kemungkinan besar mereka tidak mempunyai kemahiran, pengetahuan serta kebolehan melaksanakan tugas sebagai pengurus pertengahan bagi pasukan yang dipertanggungjawabkan dengan berkesan. Walaupun kebiasaan perlantikan ketua pasukan kerja atau pengurus-pengurus pertengahan merupakan satu penghargaan kepada individu-individu yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi kepada kejayaan organisasi sekolah, namun penggunakan faktor-faktor merit dan kebolehan untuk kenaikan pangkat guru-guru perlu melalui saluran yang sah dan di bekalkan dengan kemahiran tertentu. Menurut Blandford (1997), pengurus pertengahan di sekolah terpaksa melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti pengajaran dan pengurusan dari atas ke bawah dan bawah ke atas, serta perlu mengasimilasikan pandangan daripada setiap perspektif murid, guru, pengurus, ibu bapa atau penjaga, pihak berkuasa pelajaran daerah dan negeri dalam gerak kerjanya. Dengan kepelbagaian tugas dan peranan, pengurus pertengahan di lihat sebagai jawatan yang rumit dan tidak digemari. Oleh itu pengurus pertengahan perlu diberikan kursus dan latihan yang membekalkan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai agar pasukan kerja dan organisasi sekolah dapat dikelolakan dengan rapi, sempurna dan teratur. Setiap kakitangannya diharapkan dapat berhubung dan bertindak antara satu sama lain secara kolaboratif untuk mencapai matlamat pendidikan. Oleh itu kajian ini akan cuba mengenalpasi kemahiran yang diperlukan oleh pengurus pertengahan di sekolah rendah agar kemahiran ini dibekalkan kepada mereka sebelum menjawat jawatan tersebut. Persoalan Kajian 1. Apakah aspek kemahiran pengurusan yang perlu ada bagi pengurus pertengahan sekolah rendah mengikut turutan? 2. Adakah terdapat perbezaan kemahiran pengurusan yang diperlukan oleh pengurus pertengahan antara Bidang Akademik Dan Bukan Akademik? 3. Adakah terdapat perbezaan kemahiran pengurusan yang diperlukan oleh pengurus pertengahan antara Sekolah Kebangsaan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan? 4. Adakah terdapat hubungan antara aspek-aspek kemahiran pengurusan yang perlu oleh pengurus pertengahan? Metodologi Kajian Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan untuk mengumpul data dan maklumat kuantitatif bagi mendapatkan ukuran atau pun gambaran berkaitan ciri-ciri pengurus pertengahan sekolah rendah yang berkesan di sekolah-sekolah rendah gred A di Zon Majidi Johor Bahru. Terdapat lebih kurang dua puluh empat jawatan pengurus pertengahan di sekolah rendah yang telah dikenalpasti (seperti di Jadual 1). Namun begitu, bilangan jawatan pengurus pertengahan di sesebuah sekolah adalah tidak sama. Bilangan ini sepatutnya bergantung kepada subjek yang ditawarkan oleh sekolah berkenaan, tetapi terdapat sesetengah sekolah tidak mengikut subjek

yang ditawarkan kerana bilangan guru yang mengajar subjek tersebut sedikit (Mohd. Anuar, 2007). Oleh itu seorang ketua panitia mungkin memegang dua atau lebih mata pelajaran. Bagi sekolah Gred B dan Sekolah Kurang Murid keadaan ini memang berlaku kerana bilangan guru yang sedikit dan tidak mencukupi bagi menampung semua jawatan pengurus pertengahan yang perlu dalam pengurusan sekolah. Terdapat perbezaan di antara jumlah pengurus pertengahan bagi setiap sekolah gred A di atas di sebabkan jumlah murid dan jumlah guru yang berbeza dan terdapat guru-guru pengurus pertengahan yang memegang lebih daripada dua tugas dalam struktur pasukan kerja yang bersilang fungsi. Hasil tinjauan yang telah dijalankan terdapat 13 buah Sekolah Rendah gred A di Zon Majidi. Bagi tujuan kajian ini seramai 14 orang pengurus pertengahan bagi setiap sekolah telah dijadikan responden kajian Instrumen Kajian Kajian ini menggunakan soalan berbentuk tertutup sebagai instrumen kajian bagi melihat kemahiran pengurusan pengurus pertengahan. Item-item kajian adalah berdasarkan soal selidik Team-work KSAs yang dibangunkan oleh Steven (1993) dikemaskini serta dikembangkan oleh Stevens dan Campion (1994) dan telah digunakan oleh Shamsuddin (2002) dan Mohd. Anuar (2006), Bagi kajian ini, soal selidik ini telah disesuaikan dengan situasi pengurus pertengahan yang menilai keperluan setiap aspek dalam melaksanakan tugas dan tangggungjawab jawatannya. Ciri Kemahiran Pengurusan yang di kemukakan mengandungi lima aspek pengurusan seperti berikut: 1. Penyelesaian konflik 2. Penyelesaian masalah secara kolaboratif 3. Komunikasi 4. Penetapan matlamat dan pengurusan prestasi 5. Perancangan dan penyelarasan tugas Satu kajian rintis telah dilakukan di Sekolah Kebangsaan Taman Suria untuk mengetahui kebolehpercayaan item-item dalam soal selidik ini. Hasilnya nilai alpha cronbach yang didapati ialah 0.9615. Nilai ini dianggap sebagai soalan yang mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi. Hasil Kajian 1. Aspek Kemahiran Pengurusan Yang Diperlukan Oleh Pengurus Pertengahan Rendah Yang Berkesan Sekolah

Stevens & Campion (1994) telah membangunkan teori tentang faktor KSA (Knowledge, Skills, and Abilitis) yang dipercayai dapat mengenalpasti individu yang mempunyai kesanggupan atau kecekapan kerja berpasukan yang bertahap tinggi. Mereka berpendapat bahawa ketua pasukan kerja yang terdiri daripada pengurus pengurus pertengahan sepatutnya mempunyai skor KSA yang tinggi. Dapatan kajian ini ialah semua aspek kemahiran pengurusan yang diuji berada pada tahap yang tinggi. Namun begitu hasil kajian ini menyatakan bahawa aspek kemahiran komunikasi adalah yang paling diperlukan oleh pengurus pertengahan sekolah

rendah diikuti oleh aspek perancangan dan penyelarasan tugas, aspek penetapan matlamat dan pengurusan prestasi, aspek penyelesaian masalah secara kolaboratif dan terakhir ialah aspek kemahiran penyelesaian konflik. Ini jelas ditunjukkan dalam jadual 1 di bawah. Bagi penguruspengurus pertengahan sekolah rendah komunikasi amatlah penting bagi menyampaikan maklumat. Komunikasi yang baik menghasilkan hubungan interpersonal yang baik. Komunikasi yang baik juga sangat perlu bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan adalah tepat dan jelas serta dapat diterima dan dilaksanakan terutamanya dalam pengurusan kurikulum. Komunikasi yang baik melambangkan hubungan yang baik dan mantap di antara ahli-ahli dalam pasukan. Jadual 1 : Min dan Sisihan Piawai Aspek-aspek Kemahiran Pengurusan Pengurus Pertengahan Sekolah Rendah Kedudukan Aspek Kemahiran Pengurusan Min Sisihan Piawai 1 Komunikasi 4.568 0.4800 2 Perancangan dan penyelarasan tugas 4.547 0.4788 3 Penetapan matlamat dan pengurusan prestasi 4.514 0.784 4 Penyelesaian masalah secara kolaboratif 4.404 0.515 5 Penyelesaian konflik 4.268 0.639 Rumusan Kemahiran Pengurusan 4.469 0.455 Dapatan ini mengesahkan pendapat Hoy dan Miskel (1991) dalam Blandford (1997) bahawa. komunikasi mendasari semua keadaan dalam organisasi dan pentadbiran dan ia penting bagi membuat keputusan dan kepemimpinan yang efektif. Komunikasi menjadi kunci utama bagi peluang penyelesaikan percanggahan, mematahkan khabar angin, memberikan penenteraman dan yang penting ialah memberi makna kepada tugas dalam pendidikan yang kompleks tetapi menarik (Blandford, 1997) Hasil kajian ini menyokong dapatan kajian yang telah dijalankan oleh Pushpalata (2003) bahawa kemahiran yang dominan di kalangan ketua panatia ialah kemahiran interpersonal melalui komunikasi. Kemahiran komunikasi bermaksud komunikasi dua hala dan komunikasi positif, dikatakan sebagai amat penting sebagai kemahiran semasa berurusan dalam pasukan. yang akan memperkukuhkan semangat kerja berpasukan dan seterusnya peningkatan kualiti dan produktiviti organisasi. Komunikasi terbuka, ikhlas dan penuh tekad memberi peluang kepada ahli pasukan meluahkan pandangan serta idea yang membina bagi meningkatkan keberkesanan tugasan dan tanggungjawab dalam panatia. Melalui komunikasi terbuka dan ikhlas juga maklumat akan dapat disebar secara jelas (Owens, 1998) Walaubagaimanapun hasil kajian ini adalah bertentangan dengan dapatan kajian Shamsuddin ( 2002) bertajuk Amalan Teamwork KSA di Kalangan Pemimpin Pasukan Kerja di Sekolah Menengah Daerah Kota Tinggi ke atas ketua pasukan kerja (pengurus pertengahan) dan guru biasa. Kedua-dua pihak iaitu pengurus pertengahan dan guru sependapat bahawa kemahiran penyelesaian konflik merupakan ciri utama yang perlu ada pada pemimpin pasukan yang berkesan. diikuti oleh kemahiran penyaluran komunikasi. Walaupun demikan, kedua-dua pihak juga mengakui bahawa tahap amalan aspek penyelesaian konflik di kalangan pemimpin pasukan adalah agak rendah. Walaupun hasil kajian ini bertentangan dengan kajian Shamsuddin (2002) dalam aspek kemahiran penyelesaian konflik namun dapatan keduanya masih boleh

diperbincangkan kerana asas demografi bagi kedua-dua responden kajian adalah berbeza iaitu penyelidikan ini telah dilaksanakan ke atas sekolah-sekolah rendah di satu zon di Bandar Johor Bahru sementara kajian Shamsuddin (2002) dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah. Perbezaan dapatan antara sekolah rendah dan menengah dalam aspek penyelesaian konfik juga adalah berdasarkan tahap pendidikan guru-guru di kedua-dua jenis sekolah. Hampir 95 % guru-guru sekolah menengah terdiri daripada guru-guru lepasan ijazah ataupun sarjana pendidikan oleh itu tahap penguasaan ilmu mereka adalah lebih tinggi berbanding dengan guruguru di sekolah rendah. Walaupun wujud guru-guru ijazah di sekolah rendah namun mereka adalah hasil keluaran institut pendidikan yang dahulunya adalah maktab-maktab perguruan berbanding dengan guru-guru sekolah menengah yang dikeluarkan oleh universiti-universiti awam yang mempunyai tahap keilmuan yang lebih tinggi. Namun perbezaan pendapat mengenai pengurusan sekolah rendah dan menengah yang berkaitan dengan pengurus pertengahan telah wujud dalam kajian-kajian lalu. Seperti yang dinyatakan oleh Blandford (1997). Beliau menyatakan bahawa Wallace et. al. (1996) dalam kajiannya berkaitan pengurusan pertengahan sekolah rendah dan menengah mendapati pengurus sekolah menengah lebih mirip memberi fokus pada tanggungjawab yang lebih luas yang berbeza jika dibandingkan dengan pelbagai tanggungjawab bagi pengurus sekolah rendah. Hasil kajian juga menunjukkan kurangnya status pengurus pertengahan dan pengurus kanan di sekolah rendah. Kajian ini juga merumuskan perspektif budaya dan politik (kuasa) di sekolah rendah dan menengah adalah bertentangan dan berbeza yang sama ialah struktur dan peranan pengurusan. Oleh itu tidak mustahil jika wujud perbezaan-perbezaan lain dalam kajian-kajian terkini berkenan pengurus pertengahan atau ketua pasukan kerja termasuklah dalam kajian ini yang ingin menyenaraikan kriteria yang diperlukan oleh pengurus pertengahan sekolah rendah yang berkesan. Bagi pernyataan dalam aspek komunikasi seperti menyampaikan maklumat dengan jelas pada ahli pasukan dan difahami dan penyataan menjalin perhubungan yang baik dengan ahliahli dalam pasukan menunjukkan tahap keperluannya yang tinggi dan disokong oleh Mohd. Hizam dan Zafir (2003) bahawa tugas utama pengurus pertengahan ialah untuk menyampaikan arahan yang dibuat oleh pengurus atasan dengan berkesan dengan memiliki kemahiran berkomunikasi dan kemahiran kemanusiaan, hubungan yang baik dapat dijalin dengan orang bawahannya. Seterusnya perancangan dapat dijayakan apabila tugasan disampaikan dengan jelas dan difahami serta dapat diterima dengan baik oleh orang bawahannya. Bagi aspek Penyelesaian masalah secara kolaboratif terdapat penyataan yang mempunyai tahap keperluan yang tinggi iaitu meningkatkan komitmen ahli untuk melaksanakan keputusan pasukan dan penyataan meningkatkan motivasi ahli. Kedua-dua item ini merupakan kemahiran yang perlu bagi pengurus pertengahan menurut Chew Tow Tow (1979) yang mengatakan bahawa proses membuat keputusan akan menjadi lebih baik jika guru-guru dilibatkan secara aktif. Juga disokong oleh kajian Robert (2001) yang menyarankan agar perlunya penglibatan aktif antara ahli untuk membentuk budaya perkongsian dan pertukaran idea bagi proses penyelesaian masalah sebagai satu strategi untuk mencapai matlamat organisasi.

2.

Perbezaan Kemahiran Pengurusan Yang Di perlukan Antara Bidang Akademik Dan Bukan Akademik

Pengurus Pertengahan

Dapat kajian menunjukan tidak terdapat perbezaan yang signifikan kemahira pengurusan yang diperlukan antara bidang pengurusan akademik dan bidang bukan akademik. Hasil dapatan ini menyokong dapat kajian Tee Tiam Chai (2003) yang mendapati bahawa tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara ketua pasukan kerja bidang akademik dengan ketua pasukan kerja bidang bukan akademik dalam menguasai ciri-ciri Team-work KSA. Dapatan kajian ini juga turut menyokong kajian Mohd. Anuar (2006) yang menyatakan bahawa tidak terdapat pebezaan dalam kepimpinan kerja berpasukan, keberkesanan pasukan kerja dan gelagat jabatan berdasarkan jabatan. Jadual 2: Ujian-t: Perbezaan Kemahiran Pengurusan Yang Signifikan Antara Pengurus Pertengahan Berdasarkan Bidang Pengurusan Bidang Pengurusan Akademik Bukan Akademik 3. Min 4.447 4.493 Sisihan Piawai 0.455 0.455 F 0.09 4 Sig. 0.759

Perbezaan Kemahiran Pengurusan Antara Pengurus Pertengahan Sekolah Kebangsaan Dan Sekolah Jenis Kebangsaan Dapatan kajian menunjukan tidak terdapat perbezaan yang signifikan kemahiran pengurusan yang diperlukan antara sekolah Kebangsaan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan. Jadual 3: Ujian-t : Perbezaan Kemahiran Pengurusan Yang Signifikan Antara Pengurus Pertengahan Berdasarkan Jenis Sekolah Jenis Sekolah Sekolah Kebangsaan Sekolah Jenis Kebangsaan Min 4.531 4.313 Sisihan Piawai 0.450 0.432 F 0.013 Sig. 0.910

Dapatan yang menyatakan bahawa tidak terdapat perbezaan kemahiran pengurusan yang signifikan bagi pengurus pertengahan sekolah rendah berdasarkan jenis sekolah dan bidang pengurusan adalah dapatan yang telah dijangkakan kerana kedua-dua jenis sekolah terdiri dari guru-guru yang menerima latihan dari institut perguruan atau graduan universiti yang menerima pengetahuan dan kemahiran yang hampir sama. Sistem dan dasar pendidikan yang dilaksanakan adalah dikawal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan mesti mematuhi dasar dan sistem pendidikan di Malaysia yang merangkumi sukatan pelajaran dan aktiviti pelaksanaan bagi bidang kurikulum dan kokurikulum. Keselarasan sistem ini menjamin kualiti pengurusan dan keperluan kemahiran pengurusannya juga sama dengah matlamat menghasilkan modal insan yang memenuhi harapan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

4.

Hubungan Antara Aspek-aspek Kemahiran Pengurusan Pengurus Pertengahan Sekolah Rendah Hasil analisa hubungan antara aspek-aspek kemahiran pengurusan pengurus pertengahan sekolah rendah yang dilakukan melalui ujian korelasi, membuktikan terdapat hubungan yang kuat dengan arah hubungan positif bagi setiap aspek dalam kemahiran pengurusan. Hubungan paling kuat dan sangat ketara adalah di antara aspek perancangan dan penyelarasan tugas dengan aspek penetapan matlamat dan pengurusan prestasi dengan, diikuti oleh hubungan antara penyelesaian masalah secara kolaboratif dengan komunikasi dan seterusnya ialah hubungan antara aspek perancangan dan penyelarasan tugas dengan aspek penyelesaian masalah secara kolaboratif. Pengetahuan berkaitan hubungan yang positif bagi setiap aspek perlu digunakan bagi meningkatkan pengurusan pasukan-pasukan kerja di sekolah. Jadual 4: Analisis Korelasi: Hubungan Antara Aspek-aspek Kemahiran Pengurusan Pengurus Pertengahan Sekolah Rendah ASPEK Pengurusan Konflik Hubungan P/Konflik Kolaboratif Komunikasi Pearson 1 0.746(**) 0.660(**) Correlation Sig. (2-tailed) . 0.000 0.000 Penyelesaian Pearson 0.746(**) 1 0.779(**) Masalah secara Correlation kolaboratif Sig. (2-tailed) 0.000 . 0.000 Pearson 0.660(**) 0.779(**) 1 Komunikasi Correlation Sig. (2-tailed) 0.000 0.000 . Penetapan Pearson 0.691(**) 0.746(**) 0.699(**) Matlamat Dan Correlation PengurusanPrestasi Sig. (2-tailed) 0.000 0.000 0.000 Perancangan & Pearson 0.656(**) 0.752(**) 0.745(**) Penyelarasan Correlation Tugas Sig. (2-tailed) 0.000 0.000 0.000 ** Signifikan pada aras 0.01 (Dua Hujung) Prestasi 0.691(** ) 0.000 0.746(** ) 0.000 0.699(** ) 0.000 1 0.000 0.804(** ) 0.000 Tugas 0.656(**) 0.000 0.752(**) 0.000 0.745(**) 0.000 0.804(**) 1

Bagi sekolah rendah komunikasi sekolah yang berkesan menyebabkan segala masalah yang timbul dapat diselesaikan secara kolaboratif. Dapatan ini juga berlaku di sekolah menengah melalui hasil kajian Shamsudin (2002) bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara amalan-amalan KSA (dinyatakan sebagai kemahiran pengurusan dalam kajian ini) di kalangan pemimpin pasukan kerja di sekolah menengah . Ini membuktikan bahawa terdapat hubungan antara aspek-aspek kemahiran pengurusan atau amalan-amalan KSA pengurus pertengahan bagi sekolah rendah dan bagi pemimpin pasukan kerja sekolah menengah. Hubungan yang erat dan ketara antara aspek-aspek di atas menyebabkan pengurus-pengurus pertengahan yang komited menyedari akan kepentingan penguasaannya dan mencadangkannya dalam keperluan latihan dan kemahiran dalam kajian ini.

Penutup Kajian telah dapat menghasilkan satu gambaran keperluan kemahiran pengurusan bagi pengurus pertengahan sekolah rendah. Semoga hasil dapatan ini akan dapat menyelesaikan masalah guru-guru besar dalam memberi kemahiran kepada bakal pengurus pertengahan sebelum melantik mereka memegang jawatan tersebut. Berdasarkan hasil kajian ini juga, pihak sekolah dan pihak-pihak yang berkenaan boleh memberikan fokus yang lebih kepada kursus dan latihan yang berkaitan dengan keperluan profesion kerana kursus-kursus inilah yang akan memberi implikasi yang besar kepada tahap pengetahuan, kemahiran dan kebolehan pengurus-pengurus pertenghan melaksanakan tugas yang mereka sandang dengan berkesan.

RUJUKAN Abdul Shukor (2004). Kepimpinan Unggul Tonggak Pengurusan Pendidikan Cemerlang. Jurnal Pengurusan dan Pendidikan , Jld.14, Bilangan 01, Jun 2004, Genting Highland: Institut Aminuddin Baki Blair, G. M. (1992). How to Build Quality into Your Team. IEF Engineering Management Journal 2. No.2, April 1992, 79-84. Blandford, S. (1997). Middle Management in Schools. London: Financial Times, Pitman Publishing. Chew, Tow Tow .(1979). Proposition For A Strategy For Curiculum Change Process Thesis PhD. Universiti Malaya. Druker, P. (1999). Knowledge-Worker Productivity: The Biggest Challenge. California Management Review. 41(2): 79-94. Jemaah Nazir Sekolah Wilayah Persekutuan (1999). Senarai Semak Pengurusan Panitia Matapelajaran. Tidak Diterbitkan. Mohamad Najib Abdul Ghafar (2003). Penyelidikan Pendidikan. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia Mohd. Anuar (2006). Pengupayaan Dalam Penguruan Sekolah. Satu Tinjauan Di kalangan Pengurusan Pertengahan Di sekolah Menengah di Bandar Johor Bahru. Seminar Pendidikan di Institut Aminuddin Baki. Mohd. Anuar (2007). Kepimpinan Kerja Berpasukan dan Pasukan Kerja Berkesan dan Gelagat Jabatan Mata Pelajaran di Sekolah Menengah. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Doktor Falsafah.

Mohd. Hizam & Zafir, (2003). Pengurusan Organisasi. Malaysia: Mc Graw Hill Muniandi, J.S. (1998). Jenis dan Skop Tugas Guru Kanan Mata Pelajaran. Universiti Utara Malaysia: Tesis Sarjana Omardin.(1996). Pengurusan Sekolah : Satu Panduan Lengkap. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distrubutors Sdn. Bhd. Owens,R.G. (1998). Organizational Behavior in Education. Boston: Allyn and Bacon. Pushpalata A/P R. Ramasamy (2003). Kerja Berpasukan Dalam Panitia Mata Pelajaran: Satu Tinjauan di Sebuah Sekolah Menengah di Daerah Johor Bahru. Univiersiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana. Robert, B.S. (2001). Shared Dicision Making And Care School Values : A Case Study of Organizatinal Learning. The International Journal Of Education Management. 15. Pg 103121. Shamsuddin Haron ( 2002) Amalan Teamwork KSA di Kalangan Pemimpin Pasukan Kerja di Sekolah Menengah Daerah Kota T inggi. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana. Short, P. M. (1994). Defining Teacher Empowerment. Education. 114(4): 488-492. Stevens, M. J., & Campion, M. A. (1994). The Knowledge, Skill, and Ability Requirements for Teamwork: Implications for Human Resource Management. Journal of Management. 20: 503-530. Tee, Tiam Chai (2003). Pengurusan Kerja di Sekolah: Satu Tinjauan di Kalangan Ketua Pasukan Kerja Sekolah Mengenah di Bandar Johor Bahru. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Wallace, J. L. (1996). An Examination of Comparable Behavioral and Motivational Features of Transactional and Transformational Leadership as Regards To Effectiveness and Follower Satisfaction. Ph.D. Thesis. University of New York. Zaidatol (1990). Pentadbiran Pendidikan. Shah Alam : Fajar Bakti.

You might also like