Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 21

FAKULTI SAINS SOSIAL dan KEMANUSIAAN BAHASA dan SASTERA MELAYU UNIVERSITI SIM SINGAPURA

MLL217: Malay Films BAGI IJAZAH MUDA KEMANUSIAAN


TMA 1 Soalan 2 Filem beliau yang meliputi pelbagai genre (drama, komedi, aksi, dan epik) merupakan sebab mengapa filemnya mampu menarik perhatian pelbagai bangsa dan generasi. a) Tuliskan biografi ringkas tentang tokoh filem yang dimaksudkan di atas, meliputi penglibatan awal beliau dalam filem, pencapaian, hinggalah ke detik-detik akhir kehidupannya. (40 marks) b) Pilih dua buah filem beliau, bincangkan kerelevanan paparan dan isu yang dibawakan itu dengan masyarakat Singapura semasa khasnya. (60 marks)

NAMA CALON: Nurhidaya Bte Mohd Sidik NO. MATRIK: W1010224

KANDUNGAN SOALAN 2a 1. Pengenalan ringkas tentang P.Ramlee 2. Penglibatan awal dalam filem 3. P.Ramlee sebagai pengarah 4. Pencapaiannya 5. Detik-detik akhir kehidupannya 6. Rumusan dan Kesimpulan KANDUNGAN SOALAN 2b 1. Pengenalan 2. Isu dalam filem Bujang Lapok 3. Isu dalam filem Seniman Bujang Lapok 7. Rumusan dan Kesimpulan

SOALAN 2a 1.Pengenalan

Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee merupakan seorang karyawan dan tokoh filem tersohor dan terulung di persada seni tanah airyang dikenang dan disanjung sepanjang zaman menerusi penglibatan beliau bidang perfileman. Selain itu, beliau telah mengarah banyak filem Melayu yang mendapat sambutan yang hangat dan sangat positif di peringkat antarabangsa pada zaman lima puluhan dan enam puluhan. Kecekapannya berlakon,mengarah filem serta menggubah dan menyanyikan sendiri lagu-lagu membuat beliau seniman yang terus dikenang sehingga hari ini. Hingga ke hari ini, filem-filem beliau masih ditonton oleh semua lapisan generasi dan masyarakat di seluruh dunia. 1.1Tarikh dan tempat lahir P Ramlee atau Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 di pagi Hari Raya Aidilfitri. Beliau telah dilahirkan di rumah neneknya di 40A, Counter Hall, Penang, Malaya. Bapa beliau yang bernama Teuku Teuku Nyak Puteh berasal dari Aceh, Indonesia manakala ibu beliau, Cik Mah, berasal dari Kedah. P.Ramlee mendapatkan pendidikan awal beliau di Sekolah Melayu Kampung Jawa. Selepas itu,beliau melanjutkan pelajaran ke Francis Light School. Sebelum perang, P.Ramlee meneruskan pelajarannya ke Penang Free School. Semasa Perang Dunia kedua pula, P.Ramlee telah mendapat pendidikan di Kolej Tentera Laut Jepun. Oleh kerana terpengaruh dengan semangat patriotisme dan disiplin yang tinggi tentera Jepun pada ketika itu, beliau telah mempelajari bahasa Jepun.

Kecenderungan beliau dalam bidang seni dapat dikesan dari awal lagi. Beliau telah melibatkan diri dalam Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore. Beliau juga menjadi juara nyanyian yang dianjur oleh Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. 1.2 Penglibatan awal dalam filem Pada tahun 1948, P.Ramlee dan rakannya, Mohd Yusop, telah menganggotai sebuah pancaragam yang dipanggil Pancharagam Mustika. Ketika itu, beliau telah mendapat undangan menyanyi dalam sebuah persembahan di Bukit Mertajam. B.S Rahjans, seorang pengarah India, berada di situ untuk mencari orang yang ada bakat. Setelah pengarah itu menyaksikan persembahan P.Ramlee yang pada ketika itu mendendangkan lagu , Azizah, beliau menawarkan P.Ramlee untuk datang ke Singapura. P.Ramlee bertolak ke Singapura pada tanggal 8 Ogos 1948 yang juga merupakan Hari Raya Aidilfitri. B.S Rahjans yang menjadi wakil untuk Malay Films Productions (MFP) menawarkan pekerjaan kepada P.Ramlee yang menganggap peluang itu sebagai peluang keemasan dan boleh mendatangkan faedah kepadanya. "Masuknya saya ke dalam dunia filem hanya secara kebetulan sahaja, kerana tidak pernah terlintas dalam hati saya untuk menjadi seorang pelakon. Secara kebetulan saya katakan kerana sewaktu saya di Pulau Pinang, B.S.Rajhans yang menjadi pengarah di Studio Malay Film Production telah menemui saya dan mengajak saya ke Singapura untuk berlakon dalam filem. Pada mulanya agak keberatan juga rasanya saya hendak ikut ke Singapura.

Tetapi kerana terlalu kuat desakan dari Rajhan, maka ikut juga ke Singapura dan menjadi keluarga Malay Film Productions." Itulah kata kata beliau. Di MIF, beliau diberikan pelbagai tugas seperti menjadi pelakon tambahan dan penyanyi. Filem pertama lakonan beliau ialah filem Chinta yang diterbitkan pada tahun 1948. Selepas itu, beliau tampil dalam beberapa buah filem sebagai pelakon pembantu. Pendedahan ini secara tidak langsung menaikkan nama beliau disebabkan oleh suaranya yang sangat baik. Seorang lagi pengarah India yang bernama L. Krishnan juga menunjukkan minat menawarkan P.Ramlee pekerjaan. Pada tahun 1950, P.Ramlee diberi watak wira atau hero dalam filem, Bakti. Filem tersebut telah mendapat sambutan yang sangat hangat dan diterima baik oleh peminat filem Melayu ketika itu. Sokongan padu serta minat penonton terhadap P.Ramlee semakin bertambah. Setiap filem yang dibintangi beliau berjaya mencatatkan rekod pecah panggung yang dapat meraih keuntungan besar kepada syarikat pengeluaran filem. Ramai pengarah filem dari India yang mewakili MFP mahu mengambil P.Ramlee untuk berlakon dalam filem filem mereka. Antara mereka ialah B.N. Rao yang sanggup menundakan penggambaran filem terbaharunya kerana mahu menunggu P.Ramlee selesai berlakon dalam filem arahan pengarah lain iaitu S.Ramanathan. Begitulah keadaan yang berlaku kerana P.Ramlee sudah berjaya menarik perhatian pengarah pengarah tersebut. 1.3 P.Ramlee sebagai pengarah Oleh kerana nama P.Ramlee sudah mula menjadi popular, beliau dilantik sebagai pengarah filem. P.Ramlee merupakan pengarah yang amat teliti. Pada

ketika itu, hanya dua sahaja pengarah filem Melayu yang ada. Seorang lagi merupakan Haji Mahadi. Pada tahun 1955, P.Ramlee berjaya mengarah filem beliau yang pertama berjudul, Penarek Becha. Beliau bukan sahaja mengarah filem tersebut,tetapi turut berlakon sebagai watak utama dalam filem itu. Filem 'Penarik Becha' pula menjadi batu loncatan kepada P.Ramlee kerana filem itu banyak mendapat anugerah. Lagu Azizah yang pernah dinyanyikan dahulu juga turut didendangkan dalam filem tersebut. Berkat kegigihan dan kemahiran mengarah filem beliau, filem itu akhirnya mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan berjaya mencatatkan rekod pecah panggung. Bakat P.Ramlee dalam bidang mengarah filem menempatkan beliau di kalangan pengarah filem yang cukup mahir. Kemahiran beliau dalam bidang tersebut payah ditandingi oleh pengarah pengarah lain, termasuk mereka dari India. Bakatnya jelas terserlah apabila filem arahan beliau yang kedua, Semerah Padi diterbitkan. Filem Antara Dua Darjat arahan beliau juga pada tahun 1960 tidak berjaya mengaut keuntungan besar tetapi filem itu mendapat pujian tinggi lantas mengangkat P.Ramlee sebagai pengarah handalan. Gaya pengarahannya yang unik juga sering meninggalkan kesan kepada para pelakon dan kru beliau. Kreativiti P.Ramlee juga jelas dilihat apabila beliau mula mengarah filem bercorak komedi. Antara filem beliau yang mempunyai pengisian cerita yang menarik dan lucu dalam masa yang sama ialah Bujang Lapok, Musang Berjanggut, Nujum Pak Belalang dan Labu Labi. Filem filem tersebut berjaya

memikat hati penonton dan mengandungi banyak nilai nilai kemasyarakatan,sindiran dan kritikan sosial. 1.3 Pencapaian P.Ramlee sebelum pemergian beliau P. Ramlee telah banyak mendapat penghargaan melalui bidang lakonan dan pengarahan filem. Beliau merupakan seorang pengarah yang mempunyai cita cita tinggi. "Pada satu hari nanti, hendaknya akan dapatlah melihat salah satu dari gambar filem saya itu dipertunjukkan di Pesta Cannes." Berikut merupakan kata kata beliau. P.Ramlee memenangi banyak anugerah di Festival Filem Asia. Antara anugerah yang dikecapi termasuk penciptaan Lagu Terbaik melalui filem Hang Tuah pada tahun 1956. Filem Hang Tuah juga ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa yang ke 7 di Berlin dan merupakan satu satunya filem Melayu yang ada warna. Pada tahun 1957, filem Anakku Sazali, meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan anugerah Fotografi Hitam Putih Terbaik melalui filem Sumpah Orang Minyak pada tahun berikutnya. Bukan itu sahaja, beliau juga mendapat anugerah Filem Komedi Terbaik pada tahun 1959 dan1963 menerusi filem Pendekar Bujang Lapok dan Nujum Pak Belalang. Kejayaan berterusan dalam filem komedinya memuncak dengan kemenangan anugerah antarabangsa yang seterusnya dan terakhir dalam filem Madu Tiga pada tahun 1964. Filem Ibu Mertuaku pula memenangi anugerah dalam kategori yang dicipta khas di Pesta Filem Asia yang ke 10 di Tokyo pada tahun 1963. P.Ramlee mendapat gelaran Pelakon Paling Serba Boleh. Anugerah itu merupakan satu

pengiktirafan tertinggi bagi perfileman Melayu dan dengan kemenangan ini, pencapaian P. Ramlee sebagai pengarah filem di Shaw Studio tiada tandingannya. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya terhadap industri seni, beliau telah dianugerahkan darjah Ahli Mangku Negara (AMN) oleh YDP Agong ke 3 pada 3 Jun 1964. Sepanjang hayat beliau, P.Ramlee telah mengarah dan berlakon dalam 66 buah filem. 1.4 Detik-detik akhir kehidupannya Pada tahun 1963, Shaw menawarkan P.Ramlee untuk mengarahkan filem di Hongkong. Malangnya, filem tersebut dibatalkan kerana pihak kesatuan menuntut bayaran lebih tinggi. Keadaan tersebut memaksa Shaw membatalkan penerbitan filem tersebut. P.Ramlee berasa sungguh kecewa. Pada waktu itu, Singapura menghadapi aktiviti rancak kesatuan sekerja bersayap kiri dan mogok di Shaw Studio menarik perhatian pemerintah pada waktu itu. Dengan kehampaan, P.Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat untuk Merdeka Studio pada tahun 1964 selepas mengarah filem terakhirnya, Tiga Abdul. Merdeka Studio dimiliki oleh Ho Ah Loke dan ahli perniagaan, H.M.Shah dan diuruskan oleh keluarga Shaw. Terdapat perbezaan yang ketara semasa P.Ramlee berkhidmat di Shaw Studio dan sewaktu beliau di Merdeka Studio. Banyak peralatan filem di Merdeka Studio agak lama dan tidak secanggih peralatan yang digunakan di Shaw Studio. Kedua, terdapat kekurangan tenaga pekerja yang mahir dalam bidang perfileman di Merdeka Studio. Kebanyakan pekerja dan kru mereka tidak mempunyai pengalaman dan tidak begitu mahir

dalam bidang perfileman. P.Ramlee telah berjaya dengan sistem yang ada di Shaw Studio kerana dia disokong oleh pasukan penerbitan yang amat berpengalaman. P.Ramlee dapat menumpukan perhatian dengan sepenuhnya pada aspek kreatif karyanya. Lokasi Merdeka Studio juga tidak begitu strategik. Studio itu terletak jauh di sebelah taman haiwan dengan peralatan yang ketinggalan zaman. Filem pertama arahan P.Ramlee di studio itu ialah Si Tora, Harimau Jadian. Beliau cuba menggunakan kesan khas dengan bajet yang kecil. Oleh kerana dia mempunyai khidmat sokongan yang lemah, dia terpaksa melakukan pelbagai tugas termasuk menyunting filem itu sendiri. Filem itu lemah dari segi tekniknya. Filem tersebut itu juga tidak mendapat sambutan hangat. Kejayaan hebat yang pernah beliau raih dahulu semasa berada di Shaw Studio tidak lagi dirasai oleh P.Ramlee. Kemunculan televisyen, filem Hollywood, Hongkong dan filem warna Hindi menyebabkan kemerosotan dari segi minat dan sambutan penonton terhadap filem P.Ramlee. Usaha beliau untuk mencapai kejayaan tidak begitu cerah. Beliau tidak secemerlang sewaktu berada di Singapura. P.Ramlee mengarah dan berlakon dalam 18 buah filem lagi untuk Studio Merdeka sehingga 1970, termasuk trilogi popular, Do Re Mi. Siri filem komedi itu mempunyai matlamat untuk menghidupkan semula watak Bujang Lapok tetapi ia gagal memaparkan jenaka mereka. Laksamana Do Re Mi merupakan filem terakhir arahan beliau untuk Merdeka Studio. Pada tahun 1967, Shaw Studio menghentikan penerbitan buat selama lamanya selepas pemergian P.Ramlee.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran,termasuk keputusan syarikat rakaman beliau, EMI, untuk tidak menyambung kontraknya, P.Ramlee tetap tabah. Dia kemudian memberikan tumpuan sekali lagi dalam bidang perfileman. Beliau melakukan apa sahaja yang dia mampu untuk menawan semula hati penontonnya. Beliau memperkenalkan tema yang berlainan dan memaparkan kisah pelbagai bangsa dalam Sesudah Subuh dan Gerimis. Namun begitu, para penonton tidak menyukainya. Kemudian dia mencuba filem misteri ala Hitchcock melalui filem Dr Rushdi. Para penonton tidak begitu meminati filem filem tersebut kerana terlalu asyik dengan filem asing. Beliau tidak lagi dihargai sebagai seorang penyanyi, pelakon dan pengarah. Ini jelas terbukti apabila Jaafar Abdullah, eksekutif Shaw Organisation mengatakan dalam surat yang ditujukan kepada P.Ramlee bahawa filem filemnya tidak laris lagi. Tahun 1972 dan 1973 merupakan detik hitam bagi P.Ramlee. Beliau tidak mempunyai sebarang tugas berlakon, mengarah dan mencipta ditawarkan,beliau terpaksa mencari jalan untuk menyara keluarganya. Beliau menyanyi di majlis persandingan bersama isterinya, Saloma, menjadi juruacara sambilan serta menjadi pengadil untuk pertandingan berlakon untuk menyara kehidupannya. Walaupun begitu, P.Ramlee bernasib baik, sahabat beliau, Dato H.M.Shah bersetuju menubuhkan perusahaan filem Malaysia yang pertama, Perfirma. P.Ramlee berazam mengarah filem warna yang telah lama dinantikannya. Lima anggota baru mewakili Perfirma. Syarikat itu membawa harapan baru kepada beliau. P Ramlee juga ingin menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri yang sama tandingannya dengan Shaw Studio. Namun begitu, beliau sekali lagi

dihampakan. P Ramlee tidak akan mengarah filem warna itu kerana anggota yang lain memberikan kata putus untuk mengambil Jins Shamsudin yang pada ketika itu baru sahaja pulang dari London setelah menjalani kursus perfileman. Bersama sama dengan Dato H.M.Shah, beliau tidak patah semangat dan menubuhkan pula Syarikat Rumpun Melayu. Malangnya, syarikat tersebut tidak dapat diteruskan kerana beliau telah meninggal dunia pada tanggal 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat serangan sakit jantung. Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang, Kuala Lumpur. Pada tahun 1990, beliau dianugerahi Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri. 1.5 Rumusan dan kesimpulan P.Ramlee tetap hidup selama lamanya menerusi karya agungnya yang begitu berharga untuk rakyat dan negara. Filem beliau yang meliputi pelbagai genre telah berjaya menarik perhatian pelbagai bangsa dan generasi. Dalam bidang pengarahan, beliau telah berjaya membawa pemikiran yang baru bagi renungan penonton. Sebagai seorang pelakon pula, beliau dapat menghidupkan sebarang watak bagi keberkesanan filem tersebut. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang perfileman, banyak pencapaian telah beliau kecapi di dalam dan luar negara. Beliau juga merupakan mentor kepada pelakon pelakon yang bertugas dengannya. Beliau merupakan ikon seni yang tidak akan ada pengganti. Malangnya, kehidupan P.Ramlee ditimpa kekecewaan dan kesedihan apabila pelbagai masalah melanda dirinya. Akhirnya, beliau pergi dalam sepi.

SOALAN 2b Pengenalan Menurut Abdul Wahab Hamzah, filem filem P.Ramlee mempunyai nilai dan keistimewaannya yang tersendiri. Komedi dalam filemnya masih melucukan dan berupaya menjentik hati nurani generasi dahulu dan kini. Secara umum, filem komedi adalah satu bentuk filem yang popular, lucu dan diakhiri dengan kegembiraan (Cohen 1988: 278). Kertas kerja ini akan membincangkan dua buah filem bercorak komedi beliau iaitu Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok. Sinopsis Bujang Lapok Filem Bujang Lapok yang diterbitkan pada tahun 1957, membariskan tenaga produksi yang kreatif dan penuh dengan idea. Filem ini merupakan antara yang terbaik karya Allahyarham P.Ramlee. Filem ini mengisahkan Ramli, Aziz dan Sudin tinggal di rumah sewa milik Normah. Sudin dan Zaiton ingin berkahwin tetapi emak Zaiton tidak setuju. Ayu, adik kepada Zaiton, sentiasa meminta upah untuk merahsiakan perhubungan kakaknya dan Sudin. Aziz pula membantu Sofia yang menderita akibat perbuatan bapa angkatnya yang kejam. Akhirnya, ketiga-tiga sahabat ini berkahwin dengan gadis pilihan masing-masing. Dengan barisan pelakon utamanya P.Ramlee, S.Samsudin dan Aziz Satar, filem ini berjaya memikat hati penonton dan membawa mereka masuk ke dalam dunia Bujang Lapok. 1.1 Keharmonian dan kemakmuran hidup masyarakat

Paparan tentang keharmonian dan kemakmuran hidup dalam satu komuniti kecil di sebuah kawasan jelas kelihatan pada awal filem ini. Para penduduk kawasan kampung tersebut semuanya hidup berjiran dan bertegur sapa. Paparan sebegini juga jelas kelihatan dalam masyarakat Singapura yang hidup harmoni dan aman. Walaupun Singapura merupakan sebuah negara yang kecil, sama seperti apa yang dilihat dalam filem Bujang Lapok. Mereka juga menolong antara satu sama lain dalam masa kesusahan. Sebagai contoh, apabila watak Sofia ingin meminjam beras. Cik Normah berasa kasihan terhadapnya lalu membantunya. Begitu juga babak babak lain di mana kedua ibu Sudin dan Zaiton berkelahi, jiran jiran yang lain turut membantu untuk meredakan suasana. Satu contoh lagi ialah penyelesaian masalah antara Zaiton dengan Sudin dimana Ramlee telah mencadangkan supaya Cik Norma menjadi orang tengah. Akhirnya, emak Zaiton berdamai dengan emak Sudin. Ibu Zaiton juga bersetuju Zaiton dikahwinkan dengan Sudin dengan hantaran seribu ringgit serba satu. Filem ini menggambarkan suasana hidup berjiran yang akan menolong satu sama lain jika berlakunya perselisihan atau masalah.

1.2 Isu rasuah Filem Bujang Lapok mengandungi kritikan sosial yang diberikan secara komedi melalui watak Ayu yang selalu meminta 20 sen kepada kakaknya sebagai upah menutup rahsia hubungan Zaiton dan Sudin. Watak Ayu merupakan metafora

atau lambang kepada pengamal-pengamal rasuah yang hanya tahu meraih keuntungan dari kelemahan orang lain. Isu rasuah sebegini masih wujud hingga ke hari ini di Singapura. Hal ini membuktikan bahawa P.Ramlee peka akan keadaan yang berlaku di sekelilingnya dan mahu penonton sedar akan isu isu sebegini yang boleh merosakkan sebuah pembangunan negara. 1.3 Kepentingan pendidikan Singapura merupakan salah sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan yang kukuh. Perkara ini tidak diambil remeh kerana Singapura mahu memupuk generasi akan datang yang berkemampuan dan berkualiti. Sistem pendidikan Singapura membolehkan individu mempelajari kemahiran yang diminati dengan harapan dapat menolong Singapura maju ke hadapan pada masa yang akan datang. Dalam filem P.Ramlee, watak ibu Zaiton menyuruh Zaiton untuk belajar Bahasa Inggeris daripada jiran mereka, Miss Wong. Ibu Zaiton mempelajari bahasa Inggeris dengan alasan supaya mereka tidak mudah diperbodoh bodohkan dan ditindas. Bagi ibu Zaiton, dengan adanya pendidikan, seseorang itu dapat memajukan dirinya. 1.4 Isu komunikasi dalam kehidupan P.Ramlee turut menekankan kepentingan komunikasi menerusi bunyi dua botol yang digunakan oleh Sudin dan Zaiton untuk saling berhubung dan pentingnya komunikasi dalam kehidupan. Sebagai bukti, Zaiton memanggil Sudin ketika menghadapi masalah dengan ibunya yang kurang senang dia bernikah dengan orang kebanyakan. Sudin juga memanggil Zaiton ketika ingin menyelesaikan masalah hendak mendapatkan wang untuk hantaran perkahwinan. Melalui

simbol botol ini, P.Ramlee cuba menyampaikan kepada penonton bahawa tanpa komunikasi dalam kehidupan, hidup tiada serinya bak irama tanpa lagunya. Bentuk komunikasi berubah dari masa ke semasa tetapi kekal sebagai satu kepentingan dalam kehidupan. Pada zaman ini dan di Singapura, kita lihat penggunaan Internet yang kerap digunakan untuk berhubung. Kini,dengan hanya menekan butang atau menghantar pesanan ringkas dan emel, kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja tidak kira di dalam atau di luar negara. Dengan wujudnya alat alat perhubungan yang canggih seperti Iphone, Ipad dan sebagainya, cara kita berhubung pada masa kini amatlah mudah. 1.5 Masalah pengangguran Pada tahun 2007, Singapura mengalami kemelesetan ekonomi. Kadar pengangguran juga meningkat jika dibandingkan dengan tahun tahun yang sebelumnya. Pada ketika itu, ramai juga pekerja dibuang kerja dan mendapati kesusahan untuk mencari pekerjaan yang stabil. Hal ini jelas dipaparkan menerusi filem Bujang Lapok tentang masalah penangguran dan tiada kerja tetap. Watak Ramlee terpaksa meminjam wang daripada Cik Norma untuk perbelanjaan hariannya. Oleh kerana kesempitan wang juga, mereka bertiga terpaksa meminjam wang untuk berkahwin. Bagi keluarga yang berpendapatan rendah pula di Singapura, mereka tinggal di rumah sewa seperti apa yang dilakukan oleh tiga bujang lapok itu. Sinopsis Seniman Bujang Lapok Filem komedi yang diterbitkan pada 1961 mengisahkan kehidupan tiga orang bujang Ramli, Aziz dan Sudin yang mendiami kawasan perumahan yang sesak.

Tanpa pekerjaan dan mata pencarian, mereka pergi ke Studio Jalan Ampas untuk menjadi pelakon filem. Pengurus studio telah berjanji memberikan kesempatan kepada mereka untuk berlakon sekiranya mereka mampu menonjolkan bakat lakonan mereka dalam 'screen-test'. Akhirnya, telatah dan bakat lakonan mereka menarik perhatian pengurus studio tersebut. 1.1 Isu perpaduan kaum P. Ramlee memaparkan pelbagai bangsa untuk menegakkan perpaduan bangsa menerusi dialognya. Contohnya, dalam filem Seniman Bujang Lapok dalam babak ketika Ramli, Sudin dan Aziz ingin menjadi pelakon. Berikut merupakan dialognya menerusi watak Ali. Ali berkata,Ini macam punya muka mahu jadi filem star ka? Jawapan Singh, bersahaja; Lu pun satulah! Baru orang mintak kerja lu macam-macam cakap. Apa macam lu punya bangsa mahu maju? Ali terasa disindir dan terus menjawab, Allah, Singh lu bahasa sama gua nampak ni, Singh. Singh menjawab, Bukan bahasa. Lu punya nasib lu makan, dia punya nasib dia makan. Apa salah kita makan sama-sama. Dialog tersebut menggambarkan bahawa bangsa lain prihatin dan ambil berat akan kehidupan sejagat yang memperlihatkan nada perpaduan dan toleransi. Su yang sama ini juga berlaku di kalangan masyarakat Singapura di mana kita hidup bersatu padu dan hidup secara harmoni dan mengamalkan sikap toleransi antara kaum. Sikap toleransi dapat dilihat menerusi watak Ramlee yang berjaya

menyelesaikan masalah yang berlaku antara jirannya yang berbangsa India yang menghadapi masalah remeh iaitu mengenai najis anak mereka. P. Ramlee secara tidak langsung menerapkan nilai perpaduan masyarakat filemnya itu. 1.2 Hidup berjiran Filem Seniman Bujang Lapok juga menerapkan unsur-unsur kehidupan berjiran. Jerit pekik, bunyi motosikal, dan banyak lagi adalah asam garam hidup berjiran. Dalam filem itu, P.Ramlee cuba memaparkan kelakuan seorang suami yang mempunyai dua orang isterinya berkelahi dengan suara yang kuat. Jiran jiran yang sedang tidur terpaksa bangun dan mendamaikan suasana. Begitu juga bunyi tiupan trompet dari satu bilik yang lain yang menganggu jiran lain kerana kejadian itu berlaku ketika mereka sedang tidur. Kehidupan menjadi aman akhirnya. Mesej yang cuba disampaikan oleh P. Ramlee ialah kita harus sentiasa hormat-menghormati dan bertolak ansur sesama jiran. Keadaan yang sama juga dapat diaplikasikan dalam konteks hidup berjiran di Singapura. Penghargaan juga turut diberikan kepada jiran yang baik sempena Minggu Kebaikan atau Kindness Week dimana calon calon harus menunjukkan cara hidup berjiran dengan baik. Seramai 50 jiran akan diberikan penghargaan dan hadiah. Gerakan ini dianjurkan oleh SouthEast CDC pada tahun 2008. Kesimpulan P Ramlee sebenarnya sering mengetengahkan watak watak yang cukup dekat dengan dirinya dalam realiti. Seperti lagu lagunya, filem filem P.Ramlee mempunyai jiwa dan semangat Melayu yang tebal. Ini menyebabkan filem filem menerusi

ini cukup dekat dan mesra dengan penonton penonton tempatan. Keagungan dan kehebatan karyanya terus menghidup dirinya untuk kemudian menyiram dan membajai jiwa anak bangsanya.

BAHAN RUJUKAN DAN BIBLIOGRAFI 1. P. Ramlee Seniman Agung Dunia Melayu( 2003). Kumpulan Kertas Simposium Karya Seni Seniman Agung P.Ramlee. Arkib Negara Malaysia. Kuala Lumpur: Pustaka Wira Sdn Bhd. 2. http://seniman-pramlee.tripod.com/ ( 16 Ogos 2011 ) 3. http://www.liriklagumuzika.com/2008/11/biografi-biodata-pramlee.html (15 Ogos 2011) 4. http://seniman-pramlee.tripod.com/filem.html ( 15 Ogos 2011) 5. http://www.sinemamalaysia.com.my/artist/info/? id=Teuku_Zakaria_Bin_Teuku_Nyak_Puteh_3756 (15 Ogos 2011) 6. http://dj-wiramanja.blogspot.com/2010/01/satu-malaysia-visualisasidalam-filem.html ( 18 Ogos 2011) 7. Anuar Nor Arai, 2007. Kumpulan Esei dan Kritikan Filem. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka 8. http://www.scribd.com/doc/38633257/Ram-Lee (18 Ogos 2011) 9. P. Ramlee.1957. Bujang Lapok, Malay Film Prod. Ltd 10. P. Ramlee.1961. Seniman Bujang Lapok, Malay Film Prod. Ltd

You might also like