Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Konflik Dalam Organisasi Pendidikan Tulisan kali ini khusus untuk membincangkan punca-punca, jenis dan peringkat konflik

khususnya dalam organisasi pendidikan. Ini adalah kisinambungan daripada artikel Kenapa Wujud Konflik Dalam Organisasi?. Adalah dicadangkan pembaca mengikuti artikel tersebut untuk mendapatkan kefahaman tentang definisi konflik sebelum mengikuti artikel ini. Punca Konflik dalam Pendidikan Berdasarkan pandangan Hellriegel dan rakan-rakan (2001), konflik merujuk kepada satu proses di mana satu pihak mempunyai tanggapan bahawa keinginannya ditentang atau dipengaruhi secara negatif oleh pihak yang lain. Definisi ini menunjukkan bahawa wujud ketidaksepadanan dalam pandangan di kalangan manusia yang terlibat dan pertikaian tentang pelbagai isu dan peristiwa konflik yang berbeza. Apabila individu-individu atau kumpulan-kumpulan dengan matlamat, nilai dan persepsi yang berbeza bersaing bersama-sama untuk mendapatkan sumber yang tidak mencukupi atau bersaing untuk mencapai matlamat masing-masing, konflik kemungkinan besar akan timbul (Assael, 1969). Loewen (1983) telah menjangka lebih kurang sepuluh peratus daripada aktiviti manusia dalam organisasi pendidikan terlibat dalam konflik. Beliau menegaskan bahawa konflik boleh dilihat sebagai satu daya yang diperlukan untuk membentuk aktiviti manusia dalam organisasi. Merujuk kepada konflik dalam organisasi, Roethlisberger (1959) telah menyatakan bahawa amalan pengurusan yang tidak mempertimbangkan sentimen pekerja sering kali didapati bercanggah dengan kehendak pekerja. Ini mengakibatkan perselisihan faham antara keduadua pihak pengurusan dan pekerja-pekerja. Ruben (1978) pula melihat aspek komunikasi sebagai satu punca konflik berlaku di mana dikatakan konflik merupakan hasil langsung daripada komunikasi yang tidak betul atau perselisihan faham. Pendapat ini disokong oleh para penyelidik lain seperti Achoka (1990), Bondesio (1992) dan Robbins (2001) yang juga menyatakan bahawa komunikasi memainkan peranan penting dalam pembentukan konflik. Ketiga-tiga penyelidik berkenaan telah membahagikan punca konflik kepada tiga faktor utama iaitu faktor tingkah laku peribadi (pembolehubah peribadi), faktor struktur dan faktor komunikasi. Kesemua punca konflik ini dikatakan merupakan syarat berlakunya konflik dan diletakkan pada peringkat pertama dalam proses konflik yang dicadangkan oleh Robbins (2001) iaitu peringkat Potensi Percanggahan atau Ketidaksepadanan. Satu penyelidik lain iaitu Pondy (1967) juga berpendapat bahawa halangan fizikal dalam komunikasi boleh mengakibatkan konflik. Menurut beliau, konflik dalam suatu organisasi adalah disebabkan oleh keraguan, tanggapan tentang peningkatan perselisihan antara jabatanjabatan, saling kebergantungan antara jabatan-jabatan untuk mencapai matlamat organisasi di samping faktor komunikasi. Dalam konteks sekolah, Corwin (1969) yang mengkaji konflik di kalangan staf dalam 28 buah sekolah awam telah mengenalpasti lima pembolehubah yang menyebabkan konflik: 1. pembezaan struktur di mana konflik dikaitkan dengan darjah pembezaan dalam organisasi, pengkhususan staf, dan bilangan peringkat autoriti 2. penyertaan dalam struktur autoriti di mana konflik adalah akibat daripada desentralisasi dalam proses membuat keputusan

3. prosedur pengawalaturan konflik dikaitkan dengan darjah kawalan dalam organisasi 4. kestabilan dan kepelbagaian di mana kepelbagaian staf dikaitkan dengan konflik 5. struktur interpersonal di mana hubungan interaksi tak formal di kalangan staf juga mempengaruhi tahap ketegangan dan konflik di kalangan mereka

Corwin telah menunjukkan kesan langsung lima pembolehubah ini ke atas konflik. Menurut beliau, pemimpin atau pengurus perlu mengenalpasti punca wujudnya konflik dalam organisasi mereka. Sebagai contoh, mereka perlu meneliti di peringkat mana dalam organisasi ahli-ahlinya berjumpa dan bagaimana mereka menangani isu-isu yang berkaitan dengan sempadan kawalan mereka. Ini perlu mengambil kira aspek-aspek seperti kekhususan dalam sesuatu perkara, saling kebergantungan, contohnya berkaitan dengan disiplin pelajar, persaingan ke atas sumber seperti perkongsian komputer untuk mengajar dalam kelas, dan perbezaan dalam pendekatan penyelesaian masalah seperti dalam pertikaian disiplin pelajar. Seperti kata Hodgkinson (1991), .. the central problem of administration was one of reconciling two often divergent interests : those of the individual and those of the collectivity or organization. To make these interests converge upon the goals of collectivity is to accomplish the core task of leadership. (p.67) Menurut Owens (2004), terdapat beberapa jenis konflik asas yang terpendam boleh mengakibatkan konflik organisasi iaitu: 1. kekurangan sumber dalam organisasi untuk memenuhi kehendak subunit dalam menjalankan kerja mereka mengakibatkan persaingan untuk mendapatkan sumber (misalnya, peruntukan bajet untuk setiap panitia; pengagihan tugas mengajar di kalangan guru; peruntukan ruang atau kemudahan kepada guru-guru, dan sebagainya) 2. satu pihak ingin mengawal aktiviti-aktiviti kendalian subunit lain, dan subunit kedua ini menentang campur tangan pihak lain dalam aktiviti-aktiviti mereka (contohnya, bantahan guru-guru sains dan matematik ke atas campur tangan panitia bahasa inggeris dalam memantau dan mengawal aktiviti pengajaran mereka dalam bilik darjah) 3. dua pihak dalam suatu organisasi yang perlu bekerjasama tetapi tidak dapat mencapai kata sepakat akibat pandangan berbeza (misalnya, konflik tentang tawaran jenis mata pelajaran di Tingkatan Empat bagi aliran sains kemanusiaan yang berlaku di kalangan guru kanan dan pihak pentadbir) Konflik-konflik terpendam ini dikatakan lazimnya tidak akan hilang sepenuhnya dalam suatu organisasi, dan tidak ada satu cara terbaik untuk mengurus kesemua konflik ini. Jenis Konflik dalam Pendidikan Kajian-kajian lepas tentang konflik telah merumuskan bahawa tidak semua konflik memberikan kesan yang negatif. Di sebaliknya, terdapat sebahagian daripada konflik-konflik yang wujud bermanfaat kepada organisasi. Berdasarkan aspek ini, ramai penyelidik telah membahagikan konflik mengikut kebolehfungsiannya iaitu kepada konflik berfungsi dan konflik tak berfungsi (Robbins, 2001; Deutsch, 1993). Konflik berfungsi juga dikenali sebagai konflik membina atau konstruktif sementara konflik tak berfungsi sebagai konflik membinasa atau destruktif. Deutsch (1993) telah membezakan konflik destruktif

(membinasa) dan konflik konstruktif (membina). Konflik dikatakan destruktif jika ia mengalihkan perhatian daripada aktiviti-aktiviti yang mustahak, memecahbelahkan kumpulan dan mengurangkan kerjasama, meningkatkan perbezaan, serta mecetuskan sikap yang tidak bertanggungjawab seperti pergaduhan, maki-memaki dan sebagainya. Di sebaliknya, konflik konstruktif masih berpusatkan kepada isu utama yang dipertikaikan di mana semua pihak masih terikat dengan proses penyelesaian masalah, dan konflik ini biasanya berakhir dengan hasil yang memuaskan semua pihak yang terlibat. Menurut Deutsch (1993), konflik destruktif dapat diurus dengan teliti atau secara konstruktif agar menjadi berkesan untuk menghasilkan kesudahan yang baik seperti peningkatan dalam harga diri, perkembangan kemahiran berkomunikasi, kemahiran membuat keputusan, penilaian secara kritis, dan penaakulan logik. Setengah-setengah penyelidik pula membahagikan jenis konflik berdasarkan aspek yang lain. Hellriegel dan rakan-rakan (2001) misalnya mengkategorikan konflik kepada empat jenis berdasarkan ketidaksepadanan dalam aspek-aspek tertentu iaitu konflik matlamat (ketidaksepadanan dalam keperluan/kehendak), konflik kognitif (ketidaksepadanan dalam fikiran), konflik afektif (ketidaksepadanan dalam perasaan) dan konflik prosedur (ketidaksepadanan dalam pandangan terhadap sesuatu proses). Konflik matlamat merupakan salah satu jenis konflik yang lazim berlaku di sekolah. Contohnya, perbezaan matlamat di kalangan guru di bawah Panitia Sains di mana ada guru sains yang berpendapat penggunaan komputer adalah tidak perlu dalam pengajaran sains sementara guru lain pula berpendapat ianya penting dan berguna untuk meningkatkan pemahaman pelajar tentang konsep-konsep dan proses-proses sains. Konflik matlamat yang wujud ini akan mempengaruhi pencapaian matlamat organisasi (sekolah khususnya, dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta negara Malaysia amnya) iaitu untuk melahirkan masyarakat yang saintifik dan progresif seperti yang dinyatakan dalam salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020. Pendedahan kepada penggunaan komputer di peringkat sekolah merupakan antara langkah-langkah kerajaan ke arah pengujudan masyarakat yang saintifik dan progresif, dan mempunyai daya perubahan yang tinggi dan menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Peringkat Konflik dalam Pendidikan Berdasarkan kajian-kajian lepas seperti yang dijalankan oleh Girard dan Koch (1996), dan Hellriegel serta rakan-rakan (2001), konflik dikatakan boleh wujud dalam diri seseorang individu (intrapersonal), antara dua atau lebih individu (interpersonal), dalam kumpulan, organisasi, institusi atau negara (intragroup), antara dua atau lebih kumpulan, organisasi, institusi atau negara (intergroup). Konflik intrapersonal biasanya melibatkan konflik matlamat, konflik kognitif dan afektif. Menurut Hellriegel dan rakan-rakan (2001), punca berlakunya konflik intrapersonal adalah disebabkan pemikiran atau tingkah laku yang tidak konsisten dalam diri seseorang individu itu yang mana mengakibatkan individu berkenaan mengalami tekanan dan ketidakselesaan. Selain daripada itu, ia juga disebabkan oleh kecenderungan neurotik dalam diri individu itu di mana wujud mekanisme personaliti yang tidak rasional dalam dirinya yang tidak disedarinya. Konflik interpersonal pula wujud akibat faktor-faktor seperti konflik peranan (role conflict), keraguan tentang peranan (role ambiguity) dan perbezaan personaliti. Dalam konflik intragroup, pertelingkahan antara ahli-ahli dalam suatu kumpulan tentang sesuatu perkara yang dibincangkan biasanya merupakan punca utama berlakunya konflik, manakala konflik

intergroup pula berpunca daripada penentangan atau bantahan, ketaksetujuan dan pertelingkahan antara kumpulan-kumpulan atau pasukan-pasukan dalam suatu organisasi, misalnya dalam pengurusan sesebuah kesatuan. Di peringkat sekolah, keempat-empat peringkat konflik juga berlaku. Antaranya adalah seperti berikut : 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. 9. antara pelajar dengan pelajar antara guru dengan pelajar antara pengetua/ guru besar dengan guru antara guru dengan kakitangan bukan mengajar (kerani, bendahari, pembantu makmal, tukang kebun, pengawal keselamatan dan lain-lain) antara pihak sekolah dengan ibu bapa/ Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) antara panitia dengan panitia antara kelab-kelab/ persatuan-persatuan antara sekolah dengan sekolah antara sekolah dengan pejabat pendidikan daerah

Sekolah sebagai satu organisasi juga tidak terasing daripada menghadapi pelbagai jenis dan peringkat konflik yang berbeza sama ada di kalangan individu ataupun kumpulan.

You might also like