Petikan Akhbar KSSR

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 14

Petikan akhbar Utusan Malaysia-08.04.

2011 Falsafah pendidikan berterusan walaupun menteri bertukar


KUALA LUMPUR 7 April - Pelaksanaan falsafah pendidikan negara adalah bersifat berterusan dan mempunyai kesinambungan walaupun menteri yang menerajui kementerian berkaitan pelajaran silih berganti. Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai contoh pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), adalah kesinambungan daripada kepimpinan sebelum ini. ''Dalam konteks kesinambungan, falsafah pendidikan negara adalah sesuatu yang dituruti oleh mana-mana menteri. Saya ingin memberi jaminan bahawa apa yang dilakukan khususnya KSSR adalah kesinambungan daripada kepimpinan dahulu. ''Dulu sudah ada idea untuk kita mengubah semula KSSR dan apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memegang jawatan Menteri Pelajaran, ia ada kesinambungannya. ''Walaupun begitu, kita buat penambahbaikan terhadap apa yang dilakukan dahulu. Contohnya dahulu pelaksanaan 3M iaitu Membaca, Menulis, Mengira, dalam KSSR kita masukkan satu komponen iaitu menaakul," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini. Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) yang ingin tahu jaminan kerajaan untuk tidak menukar sistem pendidikan yang digunakan sekarang walaupun berlakunya pertukaran Menteri Pelajaran. Menjawab soalan asal Ismail mengenai perbezaan utama yang diterapkan dalam peralihan sistem pendidikan sekolah rendah daripada sistem KSSR kepada sistem sekarang dan bagaimana ia akan dapat mencapai matlamat pendidikan negara, katanya, kementerian sentiasa memastikan pendidikan negara relevan dengan tuntutan semasa dan masa depan serta menepati keperluan pembangunan pendidikan negara. Jelasnya, sebagai langkah untuk memantapkan sistem pendidikan, kementerian melaksanakan transformasi kurikulum di peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah. ''Pelaksanaan KSSR adalah melalui penambahbaikan yang dilakukan melalui pengukuhan kurikulum sedia ada dan melibatkan perubahan dalam bentuk kandungan, penjadualan waktu pembelajaran serta penekanan kepada pendekatan pembelajaran yang lebih menyeronokkan.

''Ini selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang mengatakan bahawa usaha penambahbaikan berterusan hendaklah dilakukan bagi menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada tuhan. ''Menerusi transformasi ini, elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan serta teknologi maklumat dan komunikasi diajar secara eksplisit kepada murid. Ini adalah bertujuan untuk membentuk modal insan yang seimbang, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi," tambahnya.

KSSR Terap 1Malaysia


KSSR terap 1Malaysia

KURIKULUM baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik. KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur. Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR. Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan

penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan. Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009. Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih. KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara. Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M. KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.
sumber maklumat : Portal Pendidikan Utusan

ARKIB : 12/01/2011 0

Berlaku kesilapan, buku teks KSSR English Year 1 diganti baru


12/01/2011 8:25pm

KUALA LUMPUR 12 Jan. Buku teks KSSR English Year 1 Sekolah Kebangsan akan digantikan dengan cetakan baru selepas terdapat kesilapan dalam buku asal. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, pembetulan terhadap kesilapan itu akan lakukan manakala cetakan baru pula akan diedar ke sekolah-sekolah mulai Mac ini. Menurut beliau, sementara menanti cetakan baru siap, guru-guru dinasihatkan supaya terus menggunakan buku teks sedia ada dalam proses pengajaran dan pembelanjaran mereka. KPM berasa kesal dengan kesalahan yang terdapat dalam buku teks KSSR English Year 1 Sekolah Kebangsaan itu. Oleh itu, kementerian telah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyemakan Semula Buku Teks untuk mengatasi masalah tersebut, katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Utusan

ARKIB : 24/11/2011 Utusan Malaysia 1

Guru berpeluang hasilkan formula KSSR mulai tahun ini

Najib Muhamad menyampaikan ucapan pada majlis penutup Kursus KSSR dan PBS Pendidikan Khas Negeri Pahang di Temerloh, baru-baru ini.

TEMERLOH 23 Nov. - Guru-guru yang mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di negeri ini diberi peluang menghasilkan formula dan kaedah berkesan bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bermula tahun ini. Penolong Pengarah Unit Pemulihan Khas Jabatan Pelajaran Pahang (JPNP), Najib Muhamad berkata, peluang tersebut terbuka kepada semua guru sama ada penolong kanan, penyelaras mahupun guru biasa tanpa mengira tempoh perkhidmatan mereka. "KSSR merupakan perkara baru dan kami amat mengalu-alukan kreativiti para guru untuk menghasilkan kaedah terbaik pelaksanaannya dan boleh diterima pakai oleh semua sekolah termasuk di luar Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Kursus KSSR dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Pendidikan Khas Negeri Pahang di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Timur Seri Tualang di sini baru-baru ini. Hadir sama Penolong Pengarah Unit Instruksional Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran, Dr. Ab. Halim Sulong dan Timbalan Ketua Pengarah PLGDP Zon Timur, Salbiah Ishak. Kursus tersebut melibatkan 108 guru dari sekolah rendah yang mempunyai PPKI di negeri ini bersama 12 jurulatih utama bertindak sebagai penceramah bagi setiap mata pelajaran yang terkandung dalam KSSR tahun dua. Najib berkata, semua guru akan dibekalkan dengan buku dan modul pengajaran dan pembelajaran sebagai panduan untuk melaksanakan KSSR bagi tahun satu dan dua. "Buku dan modul itu bertindak sebagai petunjuk untuk memudahkan guru mengajar di dalam kelas dan mereka berhak untuk bersuara sekiranya terdapat kelemahan," katanya.

ARKIB : 26/09/2011 Utusan Malaysia 5

KSSR berjaya tingkat minat belajar bahasa Inggeris


PUTRAJAYA 25 Sept. - Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dilaksanakan mulai tahun ini untuk murid tahun satu berjaya meningkatkan minat mereka untuk mempelajari bahasa Inggeris. Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Kementerian Pelajaran, Prof. Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, kurikulum tersebut akan dilaksanakan bagi murid tahun kedua di sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu di sekolah menengah mulai tahun depan. "Para guru juga gembira dengan pendekatan hibur didik yang diperkenalkan dalam KSSR yang bukan sahaja mementingkan penguasaan bahasa tetapi juga cara berkomunikasi murid. "Selain menggunakan buku, cara pengajaran dan pembelajaran lain seperti permainan dan muzik turut digunakan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan kira-kira 35 guru dari Selangor yang menyertai Konvoi Bermotor 1Malaysia dari Shah Alam ke Kementerian Pelajaran di sini hari ini. Sepanjang perjalanan itu, guru-guru tersebut singgah di tempat tertentu untuk mengedarkan Jalur Gemilang dan risalah 1Malaysia.

Perbezaan KSSR & KBSR


1 Friday, December 30, 2011 namaberita.com No comments

KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris. KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan. Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran. Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR? KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri. KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).

KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu? Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan. Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas? Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains. Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris? Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai. Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR? KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my/bpk atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283. S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P? J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P. S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?

J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan. - SH, 29-12-2011 Posted in: Berita Pendidikan

KSSR kurangkan tekanan peperiksaan, bina modal insan berkesan 2011/01/30-Berita Harian
KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula tahun ini adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sistem pelajaran negara setanding piawaian global. KSSR menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilaksanakan sejak 1993 mempunyai beberapa penambahbaikan dengan menjadikan kurikulum negara maju sebagai rujukan. Antara pembaharuan dilaksanakan adalah menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Minda: KSSR bakal lahir minda kelas pertama


PENDIDIKAN masih lagi menjadi bidang utama negara bagi membangunkan modal insan pada masa depan. Pembangunan bidang ini dengan pelbagai rancangan baru akan dapat membangunkan akal, hati dan jiwa manusia khususnya remaja bagi menghadapi dan melengkapkan diri ke arah negara maju. Menjelang pembukaan sekolah sesi pertama penggal persekolahan 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan pelbagai perancangan baru bertujuan membangunkan modal insan. Hanya melalui pendidikan di sekolah semua perancangan ini dapat direalisasikan.

Lebih 500,000 pelajar baru akan memasuki tahun satu menjelang tahun depan dengan KPM memperkenalkan kurikulum baru iaitu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama diperkenalkan. Antara mata pelajaran baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual selain Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab yang akan diperkenalkan pada tahap satu. Seramai 126,171 guru sekolah rendah berperanan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi melaksanakan KSSR. Tanggungjawab ini sangat penting khususnya kepada guru-guru yang seharusnya memahami aspirasi dan tujuan pelaksanaan serta matlamat KSSR.

Hanya melalui bidang pendidikan, modal insan berkualiti dapat diwujudkan iaitu mereka yang berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Bagi pelaksanaan kurikulum di sekolah menengah seramai 279,545 guru berperanan mewujudkan pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi.

Oleh itu, kerajaan sangat menitikberatkan aspek pendidikan dan latihan yang disusun semula dan diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Melalui Pembentangan Bajet 2011, tidak lama dulu sistem pendidikan negara khususnya berkaitan dengan kurikulum akan dirombak dan diperbaiki dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing. Untuk itu, KPM diperuntukkan RM6.4 bilion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru. Di samping itu, sejumlah RM213 juta lagi diperuntukkan kepada sekolah berprestasi tinggi selain imbuhan kepada guru cemerlang.

Pembangunan insan mestilah bermula di peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai-nilai murni dan nilai moral yang baik serta disemai dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran di peringkat sekolah.

Pemantapan kurikulum juga diadakan dengan memperkenalkan mata pelajaran baharu iaitu Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS). Melalui mata pelajaran ini pelajar di sekolah rendah dan menengah diajar mengenai pendidikan kesihatan diri dan pendidikan kesihatan berkaitan seks.

Statistik KPM pada 30 Jun 2010, bilangan sekolah rendah sebanyak 7,695 buah, manakala sekolah menengah 2,248. Sementara bilangan murid sekolah rendah dan menengah ialah 5,407,865 orang. Ini membuktikan betapa besarnya bilangan modal insan yang akan dibangunkan pada masa depan.

Tanggungjawab dan peranan guru di setiap sekolah adalah melaksanakan kurikulum dan kokurikulum yang diperkenalkan oleh KPM. Selain itu, guru juga akan menghadapi masalah disiplin pelajar. Pada masa ini, hanya tiga peratus daripada keseluruhan pelajar terbabit dalam masalah salah laku disiplin sepanjang 2009.

Masalah tersebut ialah terbabit jenayah, ponteng sekolah, kelakuan kurang sopan, kekemasan diri, tidak mementingkan masa, kelucahan, vandalisme dan kenakalan. Masalah ini walaupun masalah biasa di sekolah tetapi ia harus ditangani dengan bijaksana oleh guru bagi melahirkan pelajar cemerlang.

Penguatkuasaan di sekolah serta kaunseling dan bimbingan akhlak sangat penting kepada pelajar yang bermasalah kerana melalui masalah tersebut ia menjadi punca pelajar terbabit kegiatan negatif seperti penagihan dadah, minuman keras, samseng, seks bebas, buli dan judi.

Peranan ibu bapa dan guru melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat menyekat dan mengekang kegiatan tersebut daripada menular dalam kalangan pelajar di sesebuah sekolah. Perluasan penggunaan sistem salah laku disiplin murid (SSDM) dan e-Disiplin bagi meningkatkan pemantauan masalah ini.

Kejayaan sesebuah sekolah dalam bidang akademik banyak bergantung pada masalah disiplin yang terkawal. Jika keadaan disiplin pelajar tidak terkawal berkemungkinan P&P di dalam kelas tidak dapat ditumpukan dengan sepenuh perhatian.

Pelbagai program boleh dilakukan sekolah dengan kerjasama jabatan dan kementerian antaranya kursus pembinaan sahsiah dan jati diri pelajar bermasalah, kursus penguatkuasaan peraturan dan undang-undang bagi guru serta pengawas bagi mengawal masalah disiplin dan salah laku pelajar menjelang 2011.

Falsafah pendidikan jelas memaparkan ke arah pemantapan akhlak mulia dan pembersihan rohani dan jasmani. Keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelek sangat penting kepada setiap pelajar bagi melahirkan insan yang seimbang.

Justeru, setiap guru berperanan menekankan aspek pendidikan dengan membimbing dan membentuk nilainilai keperibadian yang luhur serta dapat mengangkat martabat dan peradaban insan di kalangan pelajar.

Semoga, tahun 2011 akan menjanjikan perkembangan terbaru dalam bidang pendidikan di negara ini, khususnya bagi melahirkan modal insan yang beriman, berakhlak dan mempunyai jati diri yang unggul. Hanya di bahu merekalah kepimpinan negara pada masa depan terpikul dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana.

You might also like