Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 6

Jenis-jenis Hutan di Malaysia

1. PENDAHULUAN
Malaysia sebagai sebuah negara yang terletak di kawasan iklim khatulistiwa diliputi oleh lapisan hutan yang tebal. Kebanyakan daripada tanah yang ditumbuhi hutan telah digazet sebagai Hutan Simpan Kekal, Taman Negara dan Taman-Taman Negeri. Kawasan-kawasan Hutan Perlindungan bertujuan untuk pemeliharaan pelbagai jenis pokok dan herba yang terdapat supaya kajian yang lebih lanjut dapat dijalankan oleh generasi masa kini dan akan datang. Secara umumnya hutan di Malaysia merupakan hasil proses sesaran hutan dari kawasan pantai, hutan bakau sehingga ke hutan gunung. Kajian ini hanya akan menyentuh empat (4) jenis hutan sahaja iaitu Hutan Hujan Tropika, Hutan Gunung, Hutan Pantai dan Hutan Paya.

2. Hutan Hujan Tropika


Hutan hujan tropika merupakan hutan yang terpenting dan paling luas di Malaysia iaitu meliputi kira-kira 70 peratus (70%) daripada jumlah kawasan hutan di negara kita. Hutan ini merupakan habitat bagi pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan semula jadi dan hidupan liar. Hutan ini tumbuh dengan subur di kawasan yang mempunyai ketinggian kurang daripada 1,000 meter. Hutan ini meliputi kaki bukit atau cerun gunung di bahagian tengah Semenanjung Malaysia dan bahagian pedalaman Sabah dan Sarawak. Pokok-pokok dalam hutan hujan tropika ialah malar hijau. Batang pokoknya lurus dan dahannya tumbuh di bahagian atas pokok.Walaupun hutan hujan tropika hanya meliputi enam peratus (6%) daripada keluasan permukaan bumi tetapi hutan ini merupakan habitat bagi hampir dua pertiga (2/3) daripada jumlah spesies tumbuh-tumbuhan di bumi. Hutan ini juga mempunyai pelbagai jenis kayu keras yang bernilai dan bermutu tinggi seperti meranti, cengal, merbau, balau dan seraya.

Rajah 1: Profil hutan hujan tropika

Jenis-jenis Hutan di Malaysia


Hutan hujan tropika mempunyai beberapa ciri yang unik. Antaranya ialah pembentukan empat lapisan yang nyata (lihat rajah 1). Lapisan teratas yang dikenal sebagai renjung atau emergen terdiri daripada pokok-pokok yang sangat tinggi iaitu melebihi 40 meter. Pokokpokok ini tumbuh tinggi untuk mendapatkan sinaran matahari yang mencukupi. Pokok-pokok ini mempunyai akar banir (lihat foto 1) yang berfungsi memberi sokongan dan menahan daripada tumbang. Di bawah emergan ialah pokok-pokok yang mempunyai ketinggian antara 20 hingga 40 meter. Pokok-pokok di lapisan ini tumbuh dengan rapat dan membentuk kanopi yang tebal yang menghalang cahaya matahari dari sampai ke lantai hutan. Di bawah kanopi adalah lapisan tengah terdiri daripada pokok-pokok yang sederhana padat yang tumbuh 10 hingga 20 meter tinggi. Tumbuh-tumbuhan yang biasa terdapat di lapisan ini ialah epifit dan parasit. Tumbuh-tumbuhan epifit tumbuh di batang, ranting atau di daun pokok yang masih hidup. Contoh epifit ialah paku tanduk lapisan tengah (lihat foto 2). Tumbuh-tumbuhan ini bergantung pada pokok besar hanya untuk sokongan dan mendapatkan cahaya matahari.

Foto 1 : Akar banir

Foto 2: Paku tanduk

Lapisan bawah atau lantai hutan terdiri daripada pokok-pokok yang kurang 10 meter tingginya. Tumbuh-tumbuhan seperti cendawan, pokok renek, semak samun dan pokok herba kecil didapati di lapisan ini. Tumbuh-tumbuhan di lantai hutan tumbuh jarang kerana kurang mendapat cahaya matahari.

2. Hutan Gunung
Ciri-ciri utama hutan gunung terdapat di kawasan yang ketinggiannya melebihi 1,200 meter dari aras laut. Terdapat habitat yang tumbuh dengan subur di kawasan tanah laterit. Pokokpokok semakin jarang apabila tanah semakin tinggi

Jenis-jenis Hutan di Malaysia

Rajah 2: Profil hutan gunung di Gunung Kinabalu, Sabah

Foto 3: Hutan gunung 1

Foto 4: Hutan gunung II

Jenis tumbuhan di hutan gunung berbeza mengikut ketinggian. Pada ketinggian 1,200-1,800 meter terdapat hutan montane bawah atau dikenali juga hutan daun luruh (oak dan laurel), tumbuhan epifit (orkid, paku langsuyar). Paras ketinggian 1,800-2,900 meter dikenali sebagai hutan montane atas atau juga hutan pokok tirus (pain, sprus, gelam gunung), epifit (liken, lumut), Rafflesia, periuk kera dan pokok rhododendron. Di ketinggian 2,900-3,500 meter, dapat ditemui tumbuhan hampir alpain iaitu pokok kerdil dan rumput, pokok renek konifer, rumput jenis Low's Buttercup, Bornean eyebright, red sanicle dan periuk kera. Ketinggian melebihi 3,500 meter dapat dikesan pokok renek, paku-pakis dan lumut.

Foto 5: Tumbuh-tumbuhan semula jadi dalam hutan gunung


3

Jenis-jenis Hutan di Malaysia


Jenis fauna yang hidup di hutan gunung berbeza-beza juga mengikut ketinggian. Di hutan montane bawah terdapat harimau dahan, kucing batu, ungka, binturong, musang, katak, burung dan serangga. Manakala di hutan montane atas pula terdapat beruang, ferretbadger, tikus, burung dan serangga. Antara kawasan hutan gunung adalah Gunung Kinabalu (Sabah), Banjaran Crocker, Banjaran Titiwangsa, Pergunungan Iran, Banjaran Tama Abu, Banjaran Tahan, Bukit Fraser, Tanah Tinggi Cameron (Pahang) dan Gunung Jerai (Kedah).

3. Hutan Pantai
Hutan pantai tumbuh di kawasan pinggir laut yang rendah, berpasir, bersaliran baik dan terdedah kepada tiupan angin dari laut. Pokok-pokok yang biasanya tumbuh di kawasan ini ialah pokok ru, pokok kelapa, mengkuang laut, pokok renek, tapak kuda, rumput lari-lari, ketapang, kelat jambu air, bebaru, jemerlang laut, bintangor laut dan semak-samun.

Rajah 3: Profil hutan pantai Kawasan hutan pantai terdapat di kawasan berpasir seperti di Pantai Cahaya Bulan, (Kelantan), Pantai Tanjung Rhu (Pulau Langkawi), Pantai Desaru (Johor), Pantai Batu Feringgi (Pulau Pinang), Pantai Pulau Talang-talang (Sarawak) dan Pantai Pulau Sipadan (Sabah). Kepentingan hutan pantai dapat dilihat seperti kayu daripada pokok ru yang biasanya digunakan untuk membuat perahu, kelong dan kayu api. Juga daun mengkuang digunakan untuk membuat tikar dan bakul. Seterusnya ia menjadi tarikan sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan.

4. Hutan Paya
Terdapat dua jenis hutan paya di Malaysia,iaitu hutan paya air masin dan hutan paya air tawar

Jenis-jenis Hutan di Malaysia

Foto 6: Hutan paya air masin

4a. Hutan Paya Air Masin


Hutan paya air masin terdapat di kawasan pinggir pantai laut yang berlumpur, terlindung daripada pukulan ombak dan sering mengalami air pasang dan surut. Ia juga mempunyai akar di dalam lumpur untuk membantu proses pernafasan dan menyokong pokok daripada tumbang. Jenis tumbuhan terdapat di hutan ini adalah Pokok Bakau, Gedabu, Perepat, Apiapi, Berus atau Tumu dan Berembang. Habitat sebegini dapat dilihat di sekitar kawasan muara Sungai Perak dan Sungai Bernam, pinggir laut Johor, Pahang dan Melaka, sekitar muara Sungai Rajang dan Sungai Baram (Sarawak), pinggir laut pantai barat Sarawak dan pantai timur Sabah Hutan bakau sahaja meliputi 95% kawasan pinggir laut pantai barat Semenanjung. Hidupan air di kawasan ini adalah ikan, ketam, kerang, udang, sotong. lokan dan siput

Rajah 4: Hutan paya air tawar

Jenis-jenis Hutan di Malaysia


4b. Hutan Paya Air Tawar
Hutan paya air tawar pula terdapat di kawasan pedalaman yang bersaliran buruk, bertanah gambut dan bertakung air. Pokok yang tumbuh biasanya tinggi. Jenis tumbuhan di kawasan ini adalah pokok palma, gelam, nipah, kempas, keladi air dan mengkuang. Kawasan paya yang telah ditebus guna menjadi kawasan pertanian dapat dilihat seperti tanaman padi di Dataran Kedah dan Delta Kelantan, tanaman nenas di Barat Johor dan tanaman kelapa sawit dan padi di Barat daya Johor, kawasan sekitar Dataran Johor (Johor), sekitar Tasik Chini dan Tasik Bera (Pahang), kawasan Delta Rajang (Sarawak) dan kawasan Sabak Bernam (Selangor). Hutan ini meliputi 8% daripada kawasan hutan negara kita di mana terdapat hidupan air seperti ikan, udang galah, ular, biawak dan katak.

5. Penutup
Hutan amatlah penting dalam kehidupan kita. Justeru itu kita hendaklah menjaga dan memelihara hutan untuk manafaat generasi akan datang.

Disediakan oleh:

Ahmad Taufik bin Rosdi Kelas 5C9 Sekolah Kebangsaan Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor. 21 Mac 2011

You might also like