Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 16

KEMASUKAN DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG DI SABAH DAN SARAWAK: KESANNYA TERHADAP UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT Mohd Zamro

Muda Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, UKM

PENGENALAN Sebelum kedatangan Inggeris, Sabah dan Sarawak berada di bawah jajahan takluk Kesultanan Brunei. Oleh kerana Kesultanan Brunei merupakan sebuah kerajaan Islam, maka tidak dapat dinafikan bahawa agama Islam juga berkembang di kedua-dua negeri tersebut. Di samping undang-undang Islam, undang-undang adat mengikut suku kaum juga telah diamalkan oleh masyarakat Sabah dan Sarawak dalam kehidupan harian mereka sebelum kedatangan Inggeris. Walau bagaimanapun, selepas kedatangan Inggeris kedua-dua bentuk undang-undang ini telah disusun atur mengikut acuan undang-undang Inggeris dan dipersempitkan bidang pemakaiannya. SEJARAH RINGKAS PEMERINTAHAN INGGERIS DI SABAH Sebelum pentadbiran Kompeni Berpiagam Borneo Utara, kegiatan ekonomi Sabah dijalankan oleh seorang wakil Amerika Syarikat bernama Charles Lee Moses. Pada tahun 1865, Moses telah mendapat konsesi ke atas beberapa kawasan di pantai barat Sabah selama 10 tahun dengan bayaran $9,500 kepada Sultan Brunei iaitu Sultan Abdul Mumin (1852-1885). Moses tidak berniat untuk memajukan konsesi ini lalu dijual kepada The American Trading Company yang diketuai oleh William Torrey, seorang pedagang Amerika di Hong Kong. Torrey telah datang ke Sabah untuk memajukan kawasan yang dibelinya dengan menanam tebu dan kopi di Kimanis tetapi tidak menguntungkan. Pada tahun 1875, Torrey telah menjual konsesinya kepada dua orang ahli perniagaan iaitu Baron von Overbeck (Konsul Jeneral Austria di Hong Kong) dan Alfred Dent (seorang peniaga British). Pada masa pembelian konsesi itu, tempoh selama 10 tahun telah tamat. Oleh itu, Overbeck dan Dent telah pergi ke Brunei untuk memperbaharui perjanjian dengan Sultan Brunei pada tahun 1877. Syarat-syarat perjanjian tersebut ialah Sultan Brunei hendaklah menyerahkan hak kedaulatannya ke atas Sabah kepada syarikat Overbeck dan Dent. Sultan akan dibayar $15,000 setahun sebagai ganjaran. Pada tahun 1878, Sultan Sulu di Jolo telah menandatangani perjanjian dengan Overbeck dan Dent. Baginda bersetuju untuk menyerahkan haknya ke atas Sabah kepada syarikat Overbeck dan Dent dengan diberi bayaran tahunan sebanyak $5,000. Syarikat Overbeck dan Dent membuat keputusan untuk membentuk sebuah syarikat British supaya rakyat British boleh melabur dalam syarikat itu. Overbeck terpaksa menjual segala bahagian konsesinya kepada Dent kerana syarikat yang dibentuk itu ialah

syarikat British dan Overbeck bukan berbangsa British (Wright 1970: 126 172; Tregonning 1965: 13 30). Dent menjadi pemilik tunggal konsesi di Sabah dan menjadi orang yang paling berkuasa di sana. Beliau telah memujuk sekumpulan saudagar-saudagar di London untuk membentuk sebuah pertubuhan sementara. Beliau berjaya menjual sahamnya kepada pertubuhan itu dengan harga 120,000. Pertubuhan itu akhirnya berjaya mendapat perlindungan daripada kerajaan Inggeris. Pada 1 November 1881, kerajaan Inggeris telah mengurniakan sebuah piagam dan pertubuhan tersebut menjadi Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Dari tahun 1881 1946, kompeni tersebut menjadi pemerintah Sabah yang berkuasa penuh, kecuali di antara tahun-tahun 1942 dan 1945 apabila berlaku pendudukan Jepun di Sabah. Walaupun kompeni merupakan pemerintah tunggal di Sabah tetapi ia terpaksa mengikut arahan-arahan dari kerajaan Inggeris. Di antara syaratsyarat yang terkandung dalam piagam tahun 1881 ialah (Mazlan Abdullah 1978: 56 57; Betty Ann Carner et al, 1973: 15): (i) Sekiranya pihak kompeni tidak mahu lagi mentadbir Sabah, ia tidak boleh menyerahkannya kepada sebarang kuasa asing tanpa persetujuan daripada kerajaan Inggeris. Perhubungan di antara kompeni dengan kuasa-kuasa asing dikelolakan oleh kerajaan Inggeris.

(ii)

(iii) Kompeni hendaklah menerima nasihat-nasihat daripada kerajaan Inggeris. (iv) Kompeni hendaklah membenarkan pelabuhan-pelabuhan di Sabah digunakan oleh kapal-kapal perang Inggeris. Pelantikan gabenor Sabah hendaklah dipersetujui oleh kerajaan Inggeris. Kompeni bertanggungjawab menamatkan hamba abdi dalam jajahannya dan memerintah dengan adil dengan mengikut adat resam tempatan.

(v) (vi)

Kompeni Berpiagam Borneo Utara (1881 1946) dengan persetujuan kerajaan Inggeris telah melantik seorang gabenor untuk mentadbir Sabah. Gabenor pertama Sabah ialah W.H. Treacher yang pernah berkhidmat sebagai gabenor Labuan. Semenjak tahu 1881, Sabah semakin bertambah luas dengan pengambilan kawasan-kawasan baru daripada Sultan Brunei seperti Putatan (1884), Padas-Klias (1884), Kawang dan pulaupulau Mantanai (1885), Kinarut (1897) dan Padas Damit (1895). Pada 15 Julai 1946, Sabah telah diserahkan kepada kerajaan Inggeris dan menjadi tanah jajahannya. Dengan itu berakhirlah pemerintahan kompeni selama 63 tahun. Penyerahan Sabah kepada kerajaan Inggeris telah didorong oleh beberapa sebab, antaranya ialah kompeni tidak mempunyai keupayaan dan sumber kewangan yang mencukupi untuk membina semula Sabah yang mengalami kerosakan yang teruk semasa Perang Dunia ke-2. Di samping itu juga, sistem pentadbiran Kompeni Berpiagam Borneo Utara telah ketinggalan zaman dan sudah menjadi usang (Tregonning 1965: 223; Mazlan

Abdullah 1978: 80-81). Inggeris memerintah Sabah sehingga 16 September 1963 apabila Sabah menjadi gagasan Malaysia dan menjadi salah sebuah negeri Persekutuan Malaysia. SEJARAH RINGKAS PEMERINTAHAN INGGERIS DI SARAWAK Sejarah campurtangan Inggeris di Sarawak bermula dengan kedatangan James Brooke. Semasa James Brooke tiba di Sarawak, pemberontakan yang dicetuskan oleh Pangeran Indera Mahkota terhadap kerajaan Brunei sedang berlanjutan. Raja Muda Hashim iaitu bapa saudara Sultan Brunei yang juga Menteri Besar Brunei telah meminta bantuan James Brooke untuk menamatkan pemberontakan itu dengan menawarkan Sarawak sebagai ganjarannya. Setelah pemberontakan tersebut berjaya ditamatkan, pada bulan Februari 1841, James Brooke telah dilantik sebagai Residen Sarawak oleh Raja Muda Hashim. Kemudiannya pada 24 September 1841, beliau dilantik secara rasmi sebagai Gabenor Sarawak. Pada 1 Ogos 1842, James Brooke menjadi raja Sarawak yang pertama setelah Sarawak diserahkan dengan rasminya oleh Sultan Brunei kepadanya apabila James Brooke berjanji untuk membayar wang sejumlah 1,000 setiap tahun kepada Sultan Brunei. Dengan peristiwa itu, bermulalah penjajahan Inggeris di Sarawak dan James Brooke menjadi Raja Putih pertama yang mempunyai kuasa mutlak dan kemudiannya diwarisi oleh kaum keluarganya seperti Charles Johnston Brooke dan Charles Vyner Brooke (Mazlan Abdullah 1978: 34-35). James Brooke kemudian meluaskan kuasanya ke atas Mukah yang kaya dengan sagu. Selepas mendapatkan kebenaran Sultan Brunei untuk meletakkan Mukah di bawah kuasanya, James Brooke telah mendirikan kota di Sarikei dengan alasan untuk menjaga keamanan di situ. Antara tahun 1853 hingga 1861, Sultan Brunei terpaksa menyerahkan beberapa kawasan lagi kepada James Brooke. Antaranya ialah Sungai sadong, Saribas, Rajang, Semarahan, krian, Sekrang dan kawasan dari Rajang ke Tanjung Kindurong (Betty Ann Carner et al. 1973: 10-11). Pada tahun 1863, James Brooke meninggalkan Sarawak dan pulang ke England untuk berehat. Pemerintahan negeri Sarawak diserahkan kepada anak saudaranya iaitu Charles Johnston Brooke yang dilantik sebagai pemangku raja. James Brooke meninggal dunia pada 11 Jun 1868 di England dan Charles Johnston Brooke telah dilantik sebagai Raja Putih II Sarawak pada 3 Ogos 1868. Charles Johnston Brooke telah meneruskan dan memperkukuhkan dasar-dasar yang dijalankan oleh James Brooke. Pada zaman pemerintahannya, beliau telah berjaya menakluk satu demi satu kawasan yang dimiliki Sultan Brunei. Pada tahun 1882, beliau telah mengambil Baram, Trusan (1884), Limbang (1890) dan Lawas (1905). Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1917 dan kemudian tempatnya diganti oleh anaknya yang bernama Charles Vyner Brooke sebagai Raja Putih III Sarawak. Charles Vyner Brooke mula dilantik sebagai Raja Putih III Sarawak pada 23 Julai 1917 dan memerintah Sarawak sehingga 1 Julai 1946 apabila Sarawak diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Inggeris dan menjadi tanah jajahan Inggeris. Walau bagaimanapun, Sarawak pernah diperintah oleh Pemerintahan Tentera British mulai November 1945 hingga April 1946 iaitu selepas Perang Dunia ke-2.

Keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada Kerajaan Inggeris adalah disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah masalah dalaman keluarga Brooke, hubungan diplomatik di antara Sarawak dan Britain dan keadaan Sarawak selepas pendudukan Jepun. Dengan itu, tamatlah pemerintahan keluarga Brooke selama lebih 100 tahun dan bermulalah penjajahan rasmi kerajaan Inggeris ke atas Sarawak sehingga ia berakhir pada 16 September 1963 apabila Sarawak merdeka dan menyertai Malaysia (Mazlan Abdullah 1978: 42-52; Betty Ann Carner et al.: 1973: 11-13; Sanib Said 1985: 3745). KEMASUKAN DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG INGGERIS DI SABAH Kompeni telah melantik seorang gabenor dan dibantu oleh Majlis Penasihat (ditubuhkan pada tahun 1883) yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kompeni (Setiausaha Kerajaan, Bendahari dan Ketua Pasukan Keselamatan) untuk mentadbir Sabah. Pada tahun 1912, Majlis Mesyuarat Undangan Negeri telah ditubuhkan bagi menggantikan Majlis Penasihat. Majlis ini ditubuhkan bagi memperoleh pandangan pelbagai kaum dalam penggubalan undang-undang. Majlis ini mempunyai tujuh orang ahli rasmi (gabenor, pegawai-pegawai residen dan pegawai-pegawai kompeni) dan empat orang ahli tidak rasmi (wakil kaum Cina, kaum pedagang dan orang-orang Eropah) yang dilantik oleh gabenor. Pada 17 Oktober 1950, perlembagaan baru telah diperkenalkan yang menyatakan bahawa gabenor dalam pentadbirannya dibantu oleh Majlis Eksekutif dan Majlis Mesyuarat Undangan. Majlis Eksekutif mempunyai sembilan orang ahli yang bertugas untuk menasihati gabenor atas hal-hal pentadbiran dan dasar kerajaan yang penting. Manakala Majlis Mesyuarat Undangan mengandungi 19 ahli, di mana 10 daripadanya ialah ahli-ahli tidak rasmi yang semuanya dilantik oleh gabenor. Kemudian pada tahun 1960, perlembagaan telah digubal semula di mana ahli Majlis Eksekutif ditambah menjadi 12 orang dam ahli Majlis Mesyuarat Undangan menjadi 25 orang (Mazlan Abdullah 1978: 87-88). Untuk tujuan-tujuan mengadakan keadilan, Kompeni Berpiagam Borneo Utara telah mengambil perundangan dari India, Negeri-negeri Selat dan jajahan Inggeris yang lain. Contohnya, pada tahun 1883, Undang-undang Perkongsian Fiji telah diambil untuk dikuatkuasakan di Borneo Utara. Beberapa Ordinan Negeri-negeri Selat seperti Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian telah diambil dalam tahu 1884. Selain itu, Majlis Penasihat yang bertanggungjawab meluluskan perundangan telah meluluskan perundangan yang ditiru daripada perundangan Inggeris. Dari tahun 1881 hingga 1902, terdapat sejumlah 250 perundangan telah diluluskan. Dalam bidang pentadbiran peringkat kampung, kompeni telah meluluskan Akta Pentadbiran Kampung (Village Administration Act) pada tahun 1891. Undang-undang ini membenarkan ketua-ketua kampung menyelesaikan perkara-perkara kecil yang bersangkutan dengan orang-orang kampung kecuali perkara-perkara jenayah yang besar. Kemudiannya, Ordinan Pentadbiran Kampung pula diperkenalkan oleh gabenor Sabah di antara tahun 1912 dengan tahun 1915. Ketua-ketua kaum diberi kuasa untuk mentadbir kaum dan kawasan masing-masing (Mazlan Abdullah 1978: 60).

Selain daripada cara perundangan, undang-undang Inggeris juga dibawa masuk melalui badan kehakiman. Mahkamah-mahkamah telah ditubuhkan menurut sistem mahkamah Inggeris. Dalam menjalankan keadilan jenayah, Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah dan Akta Keterangan daripada India telah digunnakan sebagai model (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 88-89). Terdapat juga Mahkamah Anak Negeri yang dikendalikan oleh hakim-hakim tempatan yang terdiri daripada ketua anak negeri. Mahkamah Anak Negeri membicarakan semua kes yang berhubung dengan hukum adat dan syariah. Manakala kompeni pula membentuk mahkamah barat untuk melaksanakan undang-undang Inggeris (Shaykh Salim 1999: 70). Penerimaan undang-undang Inggeris di Sabah telah disahkan oleh statut pada tahun 1951. Ini dilakukan dengan berkuatkuasanya Ordinan Pemakaian Undang-undang Sabah 1951. Ordinan ini memperuntukkan bahawa common law England dan doktrin ekuiti berserta dengan statut pemakaian am Inggeris seperti yang ditadbirkan atau berjalan kuatkuasa di England pada 1 Disember 1951 hendaklah dipakai di Sabah. Pemakaian ordinan ini berkuatkuasa di Sabah sekiranya tiada peruntukan tempatan dan setakat yang dibenarkan oleh penduduk tempatan serta tertakluk kepada kelayakan mengikut keadaan tempatan dan adat-adat bumiputera yang difikirkan perlu. Selepas Sabah menyertai Malaysia, Ordinan Undang-undang Sivil 1956 bagi Malaysia Barat telah diperluaskan pemakaiannya ke Sabah oleh perintah Ordinan Undang-undang Sivil (Perluasan) 1971 yang berjalan kuatkuasanya pada 1 April 1972 (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 89; Ahmad Ibrahim 1995: 128; Wu 1998: 21). KEMASUKAN SARAWAK DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG INGGERIS DI

Semasa James Brooke memerintah Sarawak, beliau memerintah berdasarkan undangundang sendiri. Beliau memperkenalkan mahkamah di Sarawak dan beliau sendiri menjadi hakim dan ketuanya dengan dibantu ketua-ketua masyarakat Melayu, Bumiputera dan Cina serta pegawai-pegawai Eropah. Segala kesalahan jenayah dan sivil dibicarakan di hadapan beliau (Mazlan Abdullah 1978: 35). Beliau berusaha untuk menyusun undang-undang dan adat yang ada. Pada 2 Februari 1842, beliau berjaya mengkanunkan undang-undang dan adat dalam kanu yang dipanggil Ondong-ondong ((Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 84; Salleh Buang 1996: 191-192). Kanun ini mempunyai lapan perkara iaitu: (1) Bahawa membunuh, merompak dan perbuatan jenayah kejam yang lain akan dihukum menurut ondong-ondong (undang-undang bertulis Borneo) dan tiada seorangpun yang melakukan kesalahan tersebut akan terlepas jika selepas siasatan adil dia dibuktikan bersalah. Untuk memastikan faedah kepada negara, semua orang sama ada Melayu, Cina atau Dayak dibenarkan untuk berdagang atau bekerja menurut pilihan mereka dan memperoleh keuntungannya.

(2)

(3)

Semua jalanraya dibuka supaya penduduk boleh mencari keuntungan di laut dan darat dan semua kapal yang datang dari tempat lain bebas untuk memasuki sungai dan berlepas tanpa sebarang halangan. Perdagangan dan yang berkaitan dengannya adalah bebas kecuali bijih antimoni yang dipegang oleh kerajaan. Diperintahkan, bahawa tiada seorangpun yang berurusan dengan orang Dayak boleh mengganggu mereka atau memperoleh keuntungan dengan memperdayakan mereka. Gabenor yang memeriksa hasil pendapatan dan menetapkan kadar yang sesuai supaya semua orang akan tahu berapa banyak sumbangan tahunannya untuk membantu kerajaan. Perlu juga diselesaikan masalah timbangan, ukuran dan nilai matawang negara dengan memperkenalkan doits (money) supaya orang miskin boleh membeli makanan dengan murah. Gabenor akan mengeluarkan perintah-perintah ini dan akan menguatkuasakan pematuhannya dan sementara itu gabenor akan memberi perlindungan dan pertolongan kepada mereka yang benar, beliau akan menghukum mereka yang ingin membuat kekacauan terhadap ketenteraman awam atau melakukan jenayah. Pada mulanya James Brooke tidak begitu berminat untuk memasukkan undangundang Inggeris ke dalam pentadbiran keadilan Sarawak. Ini ternyata dalam satu arahan yang diberinya kepada majistret-majistret dalam tahun 1847. Beliau berkata: Majistret-majistret adalah dengan itu tidak terikat untuk mentadbir keadilan mengikut undang-undang Inggeris, tetapi mengadili kes-kes menurut prinsip kesaksamaan (ekuiti) di antara seorang dengan seorang di atas prinsip keadilan yang luas dan teguh. Bagi mahkamah sedemikian pelbagai bentuk, kaedah, fahaman, kenyataan dan selok belok teknik undang-undang Inggeris akan menjadi halangan dan bahaya yang serius.... Semasa mentadbir Sarawak, Brooke telah mengeluarkan undang-undang sendiri berdasarkan seksyen 8 Ondong-ondong. Undang-undang ini dalam bentuk perintahperintah, kenyataan-kenyataan, perisytiharan dan arahan-arahan yang digubal secara tidak formal. Pada tahun 1855, James Brooke telah menubuhkan Majlis Tertinggi yang bertujuan untuk membuat semua dasar pentadbiran Sarawak. Ia dianggotai oleh pembesar-pembesar tempatan yang terkemuka. Kemudian dalam tahun 1865, Charles Brooke (Raja Kedua) telah menubuhkan Majlis Negeri yang berfungsi untuk menentukan mana-mana adat bumiputera yang harus dipilih untuk dikuatkuasakan. Ahli majlis ini terdiri daripada anggota Majlis Tertinggi, pegawai kanan Eropah dan Melayu serta ketuaketua kaum Iban. Penubuhan majlis ini juga penting sebagai langkah ke arah pembentukan badan perundangan untuk memberi kuasa dari segi undang-undang kepada undang-undang yang telah yang telah dikeluarkan oleh Raja Brooke. Namun demikian,

(4)

(5)

(6)

(7)

(8)

Raja Brooke masih berkuasa mengeluarkan undang-undang dalam keupayaannya sendiri (Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned 1992: 84-85). Dalam kes-kes jenayah, Raja seboleh-bolehnya mengikut Kanun Keseksaan India. Dalam hal lain, pegawai kehakiman membuat keputusan mengikut budibicara mereka dengan memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada adat dan agama kaum bumiputera. Dalam proses ini tidak dapat diragukan pegawai-pegawai ini amat terpengaruh dengan prinsip undang-undang Inggeris. Pada tahun 1922, Kanun Keseksaan India telah diambil menerusi Perintah-perintah Mahkamah (Courts Order). Beberapa buah buku yang mengumpulkan undang-undang yang dikeluarkan oleh Rajah Brooke telah diterbitkan. Contohnya, buku yang dipanggil Orders 1863 1913 yang mengandungi semua perintah yang dikeluarkan dari tahun 1863 hingga 1913. Dalam tahun 1933, Green Book telah diterbitkan yang mengandungi perintah-perintah yang dikeluarkan dari tahun 1927 hingga 1933. Green Book mengandungi campuran undang-undang berkanun, kaedah, peraturan dan arahan-arahan Raja Brooke sendiri. Langkah penerimaan undang-undang Inggeris secara lebih meluas wujud dalam tahun 1922 apabila red Book diterbitkan. Dalam buku ini terkandung Perintah-perintah Negeri (State Orders) yang digubal mulai 1 Julai 1927. Dalam pada itu, Kanun Keseksaan dan Kanun Acara Jenayah telah digubal dengan meniru peruntukan-peruntukan Kanun Jenayah India (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 85). Undang-undang am Inggeris masuk secara rasmi di Sarawak pada tahun 1928 iaitu apabila tergubalnya Ordinan Undang-undang Sarawak 1928 (Law of Sarawak Ordinance 1928). Ia juga mengesahkan pemakaian undang-undang Inggeris yang telah berlaku sebelum ini. Melalui ordinan ini, pentadbiran undang-undang dijalankan berdasarkan kepada prinsip iaitu undang-undang Inggeris hendaklah menjadi undang-undang Sarawak sejauh yang mungkin. Di samping itu, undang-undang tempatan dan adat hendaklah dipelihara selagikedua-duanya tidak bercanggah dengan urusan pentadbiran. Walau bagaimanapun, mahkamah telahpun menunjukkan sikap bersimpati terhadap undang-undang adat bumiputera. Contohnya dalam kes S.M Mahadar vs Chee [1941] S.C.R 96, di mana undang-undang adat Melayu mengenai keterangan bersumpah seorang perempuan yang hamil mengenai siapa bapa anak dalam kandungannya tidak boleh dipersoalkan. Ini bertentangan sama sekali dengan prinsip undang-undang Inggeris dan Islam. Manakala dalam kes Chan Bee Neo & Ors vs Ee Siok Choo [1947] S.C.R, mahkamah memutuskan bahawa kes yang berkaitan dengan wasiat yang melibatkan pihak yang berketurunan Cina, maka undang-undang Inggeris akan terpakai. Walau bagaimanapun, mahkamah juga menyatakan bahawa sekiranya kes melibatkan bumiputera mengenai wasiat, maka undang-undang dan adat bumiputera akan diberi penghormatan dan jika wajar akan dipakai (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 86; Shaykh Salim 1999: 69; Salleh Buang 1996: 116-119). Pada 24 September 1941, Sarawak telah dianugerahkan satu perlembagaan sempena genap 100 tahun pemerintahan keuarga Brooke. Perlembagaan ini juga dikenali sebagai Sembilan Prinsip Raja-raja Brooke. Mengikut perlembagaan ini, kuasa mutlak Vyner Brooke diserah kepada Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri. Kemudian pada tahun 1956 satu perlembagaan baru telah diluluskan dan berkuatkuasa pemakaiannya pada 1 April 1957 (Mazlan Abdullah: 51).

Sarawak telah menerima undang-undang Inggeris secara meluas selepas Perang Dunia ke-2 iaitu selepas tahnun 1946. Dalam tahu 1949, Ordinan Pemakaian Undangundang Sarawak 1949 telah diluluskan dan memansuhkan Ordinan Undang-undang Sarawak 1928. Ordinan 1949 memperuntukkan pemakaian common law England sekiranya tiada peruntukan tempatan, sejauh yang diizinkan adat dan keadaan tempatan. Pemakaian undang-undang Inggeris di Sarawak diperluaskan di bawah ordinan ini, jauh lebih luas dari apa yang telah ditetapkan oleh Ordinan 1928. Sejumlah akta-akta parlimen British boleh dibawa masuk berdasarkan Ordinan 1949 sama ada yang digubal sebelum atau selepas 12 Disember 1949. Di antara contoh akta-akta tersebut ialah Defamation Act 1952, Law Reform (Miscellaneous Provisions) Act 1934, Law Reform (Married Women and Tortfeasors) Act 1935, Law Reform (Contributory Negligence) Act 1945, Law Reform (Personal Injuries) Act 1948 dan lain-lain. Selepas Sarawak menyertai Malaysia, Ordinan Undang-undang Sivil 1956 telah diperluaskan pemakaiannya di Sarawak oleh perintah Ordinan Undang-undang Sivil (Perluasan) 1971 yang berjalan kuatkuasanya pada 1 April 1972 (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 85-91; Shaykh Salim 1999: 68-69; Wu 1998: 21). KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT SEMASA ERA BRITISH DI SABAH Sejarah Sabah jelas menunjukkan bahawa sebelum Kompeni Berpiagam Borneo Utara meletakkan asas-asas pembentukan sebuah sistem undang-undang kebangsaan, negeri tersebut mempunyai keteraturan undang-undang (legal order) yang dihasilkan oleh sukusuku kaum yang mendiami negeri itu. Keteraturan itu, seperti juga suku-suku kaum yang diwakilinya, terpisah di antara satu sama lain dan mencerminkan masyarakat yang berbeza dari segi organisasi sosial, bahasa, kawasan kediaman, kepercayaan, keturunan etnik dan pendedahan kepada pengaruh luar. Oleh kerana undang-undang dalam masyarakat tradisional Sabah terdiri daripada anggapan-anggapan tentang cara-cara yang wajar untuk hidup bermasyarakat, maka kesalahan-kesalahan terhadap adat tidak dibahagikan kepada kesalahan sivil dan jenayah. Sebarang pencerobohan ke atas harta benda dan manusia dipersepsikan sebagai kesalahan (wrong) yang memerlukan gantirugi bukan jenayah (crime) iaitu yang memerlukan hukumsn denda. Apabila seorang ahli masyarakat gagal mematuhi adat, pihak yang merasa dirinya teraniaya akibat penyelewengan itu berhak menuntut gantirugi terus daripada lawannya tanpa melalui orang tengah. Adakalanya pertikaian dan konflik diselesaikan melalui orang tengah yang bertindak sebagai pendamai. Orang tengah ini lazimnya terdiri daripada ketua kampung, jiran tetangga, sahabat handai, kaum kerabat ataupun orang tua-tua kampung (Syarifah Zaleha 1993: 54-60). Ada juga kesalahan-kesalahan seperti membunuh, mencuri, merosakkan harta benda orang, melarikan isteri orang, berzina dan menceroboh kawasan suku kaun lain yang terpaksa dibawa ke perhimpunan kampung (village moot). Perhimpunan ini diadakan secara ad hoc, sementara para hakimnya terdiri daripada orang tua-tua kampung. Perhimpunan kampung boleh dikatakan sebagai satu forum untuk pihak-pihak berbalah membuat dakwaan, mengemukakan keterangan dan meminta tuntutan di hadapan khalayak ramai (Syarifah Zaleha 1993: 58; Ismail Yusoff 1997: 35-36).

Semasa Sabah di bawah pentadbiran Kompeni Berpiagam Borneo Utara, undangundang anak watan masih diberi keutamaan. Ini jelas seperti yang diperuntukkan di dalam piagam tersebut seperti berikut: Dalam pentadbiran keadilan oleh kompeni terhadap rakyat Borneo, atau terhadap mana-mana penduduknya, perhatian berat hendaklah sentiasa diberi kepada adat dan undang-undang kelas dan puak atau negara asal pihak itu, khususnya berkenaan pegangan, pemilikan dan pindah milik dan kelupusan tanah dan barangan, dan meninggalkan wasiat atau tidak meninggalkan wasiat, dan perkahwinan, perceraian dan kesahan, dan hak harta yang lain dan hak persendirian (Salleh Buang 1996: 189). Kedudukan dan masa hadapan undang-undang dan adat boleh dikatakan bergantung sepenuhnya kepada para pentadbir Inggeris. Pihak Inggeris lebih berminat supaya undang-undang adat ditukar menjadi undang-undang moden dalam ertikata bahawa mereka cuba memformalisasi beberapa aspek sistem undang-undang tradisional yang sedia ada. Dengan itu, pihak Inggeris cuba memperkenalkan pembaharuan kepada sistem undang-undang yang sedia ada supaya menjadi unsur-unsur kepastian (certainty). Untuk mencapai objektif tersebut, pihak Inggeris mula mengambil beberapa langkah. Langkah pertama ialah mengenalpasti dan mengiktiraf autoriti adat. Pihak Inggeris cuba menyerapkan pemimpin-pemimpin tempatan yang mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang undang-undang adat ke dalam pentadbiran peringkat lokal khususnya pentadbiran di peringkat daerah dan kampung. Pemimpin-pemimpin peribumi yang diterima sebagai kakitangan kerajaan Inggeris diberi gelaran rasmi Ketua Anak Negeri (Native Chiefs) (Syarifah Zaleha 1993: 61). Undang-undang pertama yang secara khusus menyentuh hal ehwal anak watan ialah Perisytiharan Hak Anak Watan ke atas Tanah 1889 (Natives Rights to Land Proclamation of 1889). Perisytiharan ini lebih berbentuk pentadbiran dan hanya menyentuh penubuhan sistem pentadbiran tanah (Salleh Buang 1996: 190). Kemudian pada tahun 1891, Perisytiharan Pentadbiran Kampung (The Village Administration Proclamation) telah diluluskan yang memberi kedudukan dan peranan baru kepada para pemimpin peribumi. Perisytiharan ini kemudiannya dipinda dalam tahu 1913 dan dalam tahun 1937 diganti dengan Ordinan Autoriti Anak Negeri ((Syarifah Zaleha 1993: 61). Selepas itu, Ordinan Pentadbiran Kampung diperkenalkan oleh Gabenor Sabah di antara tahun 1912 dengan tahun 1915. Ketua-ketua kaum diberi kuasa untuk mentadbir kaum dan kawasan masing-masing (Mazlan Abdullah 1978: 87). Langkah kedua yang diambil oleh Inggeris untuk menjamin pelanjutan dan reformasi undang-undang adat ialah mengiktiraf perhimpunan kampung sebagai satu institusi undang-undang dan memberikannya satu nama baru iaitu Mahkamah Anak Negeri. Dalam tahun 1953, untuk mengesahkan dan mengukuhkan Mahkamah Anak Negeri sebagai jentera adat yang rasmi, kerajaan Sabah telah meluluskan Ordinan Mahkamah Anak Negeri yang antara lain mengiktiraf hak Residen menubukan mahkamah tersebut dalam residensinya dan melantik Ketua Anak Negeri dan ketua kampung sebagai anggotanya. Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1953 juga memberi kuasa kepada pegawai

daerah untuk menghadiri pengadilan yang diselenggarakan oleh Mahkamah Anak Negeri dan memberi kata putus sama ada keputusan para hakim institusi tersebut wajar dilaksanakan atau tidak. Bagi memodenkan undang-undang adat, ahli-ahli Mahkamah Anak Negeri diberi hak menjatuhkan hukuman denda dalam bentuk wang ataupun penjara di samping denda adat. Usaha Inggeris untuk menyelaraskan pentadbiran undang-undang adat juga boleh ditinjau dari segi langkah-langkah yang diambil untuk menentukan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri. Peruntukan dalam Seksyen 5 Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1953 jelas menyatakan bahawa institusi undang-undang tersebut hanya berhak mengadili kes-kes adat yang berkaitan dengan soal agama, perkahwinan dan hubungan seksual di kalangan anggota-anggota sesuatu suku kaum. Dalam usahanya untuk mereformasikan undang-undang di Sabah, penjajah Inggeris juga memastikan supaya maslah-masalah yang berkaitan dengan urusan perniagaan, perdagangan, pentadbiran dan pertahanan diserahkan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan Mahkamah Sivil. Begitu juga, kesalahan-kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak, menculik, merogol dan mencuri yang pernah dianggap sebagai kesalahan terhadap adat, kini dikategorikan sebagai jenayah dan perlu dibicarakan dalam mahkamah sekular (Syarifah Zaleha 1993: 62-63). Berikut adalah sistem Mahkamah Anak Negeri Sabah (Ahmad brahim & Ahilemah Joned 1992: 46): Pada tahun 1936, sekumpulan undang-undang Islam dan undang-undang adat telah digubal dan diterima dalam perjumpaan ketua-ketua anak negeri. Kumpulan undang-undang ini telah diedar kepada kaum bumiputera untuk makluman dan panduan mereka. Kanun ini dinamakan Undang-undang Mahkamah Adat Orang Islam. Walaupun kanun ini diterima sebagai undang-undang, ketua-ketua adat dinasihatkan mengubah suai undang-undang itu dalam pelaksanaannya mengikut undang-undang adat tempatan. Undang-undang Mahkamah Adat Orang Islam ini selain daripada menyatakan peruntukan-peruntukan undang-undang Islam dalam hal-hal perkahwinan, pembahagian harta semasa perceraian dan warisan, juga mengandungi sejumlah adat Melayu mengenai kesalahan seks dan pertunangan. Kes-kes mengenai undang-undang Islam dan adat Melayu juga diputuskan oleh Mahkamah Anak Negeri dengan bantuan dua orang pentaksir beragama Islam (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 43-44; Tregonning 1965: 117). Kuasa ini ditarik balik pada tahun 1977 apabila Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak No. 15 memindahkan tanggungjawab mengadili kes-kes melibatkan undangundang Islam kepada Mahkamah Syariah. Namun demikian, di kawasan-kawasan yang belum mempunyai Mahkamah Syariah belum ditubuhkan lagi, Mahkamah Anak Negeri boleh membicarakan kesalahan tehadap undang-undang Islam (Syarifah Zaleha 1993: 64). KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT SEMASA ERA BRITISH DI SARAWAK Di Sarawak, sama seperti di Sabah, undang-undang yang dipakai oleh penduduk tempatan sebelum Inggeris memerintah ialah undang-undang adat seperti Adat Dusun Tunggu dan undang-undang adat Melayu termasuk undang-undang Islam. Apabila James Brooke

10

memerintah Srawak 1841, beliau tidak menghapuskan undang-undang yang diamalkan sebelum ini, malah beliau telah mengiktiraf undang-undang tersebut. Di samping itu, undang-undang adat bangsa lain juga diikuti di Sarawak. Contohnya, undang-undang berkenaan dengan kelaziman-kelaziman dan pewarisan Cina telah diiktiraf dan dikuatkuasakan oleh Mahkamah Sarawak, walaupun orang-orang Cina tidak dianggap bumiputera Sarawak (Sanib Said 1985: 11; Porritt 1997: 145; Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 24). Oleh itu, undang-undang adat yang terdapat di Sarawak pada masa pemerintahan Inggeris boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu: (1) (2) (3) Undang-undang adat Melayu yang terpakai kepada orang Melayu berhubung dengan undang-undang diri seperti perkahwinan, perceraian dan warisan. Undang-undang adat bumiputera (undang-undang adat) yang terpakai kepada bumiputera bukan Melayu. Undang-undang adat Cina yang dimasukkan ke dalam statut-statut. Pada masa pemerintahan Inggeris, urusan berkaitan dengan agama Islam diuruskan oleh datu-datu yang dilantik oleh pihak kerajaan pada masa itu. Undangundang Mahkamah Melayu Sarawak telah ditubuhkan pada tahun 1915. Ia merupakan undang-undang adat bumiputera bagi masyarakat Melayu Sarawak. Kuasa untuk menjalankan undang-undang tersebut dari awal lagi telah diberikan kepada majistret sehinggalah Sarawak menjadi tanah jajahan Inggeris. Pegawai anak negeri menjadi pegawai tadbir sehingga waktu-waktu terakhir sebelum Mahkamah Syariah ditubuhkan oleh Ordinan Majlis Islam (Penubuhan) (Pindaan) 1978. Adat Melayu telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada undang-undang adat sebagaimana kes S.M. Mahadar bin Datu Tuanku Mohamad vs Chee [1941] S.C.R. 96. Kes ini merupakan kes rayuan yang telah dibuat daripada keputusan Mahkamah Anak Negeri ke Mahkamah Pesuruhjaya Kehakiman. Isu yang dihadapkan ke mahkamah adalah sama ada mahkamah sivil boleh mencampuri keputusan Mahkamah Anak Negeri tentang status kanak-kanak mengikut peruntukan undang-undang Melayu Sarawak. Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman menetapkan bahawa undang-undang Melayu Sarawak mesti dipakai bagi menyelesaikan pertikaian di kalangan orang Islam Sarawak berhubung taraf seorang kanak-kanak dan undang-undang Inggeris tidak boleh dipakai. Oleh itu, mahkamah terpaksa menguatkuasakan peraturan adat Melayu yang memperuntukkan bahawa keterangan bersumpah seorang perempuan hamil yang menunjukkan seorang lelaki sebagai bapa anaknya (Salleh Buang 1996: 119). Terdapat banyak kes lagi yang menyentuh adat Melayu, antaranya kes Serujie & Hanafiah vs Sanah binti Haji Amin [1953] S.C.R. 40. Kes ini berhubung dengan adat harta sepencarian orang Melayu telah dipakai. Apabila berlaku perceraian, suami dan isteri mendapat sebahagian daripada harta sepencarian itu. Walau bagaimanapun, terdapat keputusan yang dibuat oleh mahkamah bertentangan dengan undang-undang Islam. Contohnya, kes Sheripah Unei vs Mas Poeti [1949] S.C.R. 5 telah diputuskan bahawa pengambilan anak angkat diiktiraf oleh undang-undang Sarawak dan akibatnya

11

taraf dan hak anak angkat itu berhubung dengan ibu bapa angkatnya adalah sama seperti anak yang dilahirkan hasil perkahwinan yang sah. Bagi bumiputera sama ada Melayu atau tidak, undang-undang yang digunapakai ialah undang-undang adat. Pemakaian undang-undang ini tidak banyak dan terhad. Pentadbiran sebenar undang-undang adat dijalankan di Pejabat Residen di seluruh negeri. Pentadbiran undang-undang adat ini tidak teratur sehinggalah pada tahun 1955, di mana struktur formal pentadbiran undang-undang adat mencapai bentuk yang muktamad dengan pengisytiharan Ordinan Mahkamah Anak Negeri dan Ordinan Undang-undang Adat Anak Negeri (Salleh Buang 1996: 192-193). Berdasarkan Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1955, Sistem Mahkamah Anak Negeri telah ditubuhkan seperti berikut: Mahkamah-mahkamah Anak Negeri ini mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan perkara-perkara sivil dan jenayah seperti: (a) Kes-kes yang timbul akibat menyalahi undang-undang atau adat anak negeri apabila kesemua pihak tertakluk kepada undang-undang diri sistem anak negeri yang sama; Kes-kes yang timbul akibat menyalahi undang-undang atau adat anak negeri tentang agama, perkahwinan atau perkara-perkara seks apabila salah seorang daripadanya anak negeri; Kes-kes berkenaan perlanggaran peraturan-peraturan di dalam undang-undang Mahkamah Melayu atau adat Melayu apabila semua pihak yang terlibat orang Islam; Kes-kes sivil (tidak termasuk tanah) apabila nilai perkara yang dibicarakan itu tidak lebih dari lima puluh ringgit (RM50.00) dan kesemua pihak tertakluk kepada undang-undang diri sistem anak negeri yang sama; Sebarang kes berkenaan dengan tanah yang tiada surat hak milik dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan kesemua pihak tertakluk kepada undang-undang diri sistem anak negeri yang sama. Perkara-perkara berkenaan warisan tidak termasuk dalam perkara-perkara yang disebut dan bukan perkara yang patut dibicarakan oleh Mahkamah Anak Negeri. Sebenarnya penghulu atau ketua anak negeri adalah orang yang layak memberi nasihat dan menyelesaikan perkara ini melalui pentadbiran. Walau bagaimanapun, jika pihak yang terlibat tidak menerima keputusan itu, maka bolehlah perkara itu dibawa ke mahkamah sivil. Mahkamah-mahkamah Anak Negeri mempunyai bidang kuasa ke atas perkara-perkara tentang undang-undang Islam dan kes-kes yang timbul akibat menyalahi Undang-undang Mahkamah Melayu Sarawak atau adat Melayu Sarawak apabila pihakpihak yang berkenaan adalah orang-orang Islam. Walau bagaimanapun, selepas tahun 1978, pentadbiran undang-undang Islam dan adat Melayu Sarawak ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah yang ditubuhkan melalui Ordinan Majlis Islam (Penubuhan) (Pindaan) 1978 (Wu 1998: 137-139; Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 42-45).

(b)

(c)

(d)

(e)

12

Selain dari undang-undang adat Melayu dan undang-undang adat anak negeri, undang-undang adat Cina juga terpakai di Sarawak. Dalam kes Chan Bee Neo & Ors vs Ee Siok Choo [1947] S.C.R. 1 iaitu kes berhubung dengan wasiat yang dibuat oleh seorang Cina di Sarawak, Mahkamah Agong memutuskan bahawa adat Cina bukanlah adat bumiputera menurut Ordinan Undang-undang Sarawak. Namun demikian mahkamah akan memakai undang-undang adat Cina dalam keadaan-keadaan berikut: (a) di mana adat dalam persoalan dengan jelas disebut dalam mana-mana Ordinan Undangundang Sarawak atau oleh kaedah-kaedah yang dibuat di bawah kaedah-kaedah ordinan; atau di mana adat itu diiktiraf sama ada dengan nyata atau dengan implikasi yang perlu dalam Ordinan Undang-undang Sarawak. Oleh sebab adat Cina bukan adat bumiputera, Mahkamah Anak Negeri tidak mempunyai bidang kuasa dalam kes-kes tersebut dan akan didengar dalam mahkamah sivil yang pada lazimnya didengar oleh Mahkamah Tinggi (Salleh Buang 1996: 116; Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 46). KESAN KEMASUKAN DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG INGGERIS TERHADAP UNDANG-UNDANG ISLAM DAN ADAT DI SABAH DAN SARAWAK Kemasukan dan pemakaian undang-undang Inggeris di Sabah dan Sarawak tidak meninggalkan kesan yang ketara terhadap undang-undang Islam dan adat yang diamalkan sebelumnya. Apabila Inggeris memerintah kedua-dua negeri tersebut, mereka telah memberi perhatian yang serius terhadap undang-undang yang diamalkan oleh penduduk tempatan. Keadaan ini berlaku kerana pihak Inggeris cuba menegakkan keadilan dan memberi hak kepada penduduk tempatan mengendalikan sebarang masalah berdasarkan undang-undang adat yang diamalkan oleh tiap-tiap suku kaum. Di samping itu, undang-undang Islam juga telah dikategorikan sebagai undang-undang adat. Walaupun, pada peringkat awalnya Inggeris tidak berminat untuk menggunapakai undang-undangnya terhadap penduduk tempatan, tetapi selepas Sabah dan Sarawak menjadi negeri naungan atau lindungan Inggeris pada 1888, maka banyak undangundang Inggeris telah dibawa masuk sama ada dari negeri-negeri jajahan Inggeris yang lain atau digubal sendiri oleh majlis tempatan yang diwujudkan. Namun begitu, Inggeris tidak mengubah secara mendadak sistem undang-undang adat yang telah lama wujud. Sebagai contoh, undang-undang terawal berkaitan dengan tanah si Sarawak hanya bermula pada 1863 apabila Peraturan Tanah (Land Order) telah diperkenalkan oleh Raja Sarawak Pertama setelah mendapat kelulusan Majlis Tertinggi. Sebelum itu, perkaraperkara yang berkaitan dengan tanah diurus berdasarkan undang-undang adat. Peraturan ini telah dipinda dari masa ke semasa sehinggalah pada tahun 1957 telah diperkenalkan Kanun Tanah (Land Code) yang mula digunapakai pada tahun 1958. Kanun Tanah ini masih digunakan sehinggalah ke hari ini (Evelyne 1987: 37-60).

(b)

13

Kesan yang paling ketara akibat kemasukan dan pemakaian undang-undang Inggeris ialah mereka telah cuba menyempitkan pemakaian undang-undang adat (termasuk undang-undang Islam) yang telah sekian lama diamalkan oleh penduduk tempatan. Ini terbukti dengan penubuhan Mahkamah Anak Negeri di setipa daerah. Setiap kes yang berlaku berkaitan dengan adat tempatan hendaklah dibicarakan oleh mahkamah tersebut. Sedangkan sebelum kedatangan Inggeris, setiap suku kaum mempunyai adatnya tersendiri dan berkuasa menyelesaikan kes-kes berlaku berdasarkan adat mereka. Namun selepas tertubuhnya Mahkamah Anak Negeri, berlaku pengkelompokan penduduk peribumi dalam satu pentadbiran peringkat kawasan dan daerah di bawah pengawasan pegawai daerah. Dengan ini, secara tidak langsung telah memusnahkan autonomi undang-undang dan politik yang pernah dinikmati oleh setiap kaum (Syarifah Zaleha 1993: 66). Selain itu, Mahkamah Anak Negeri juga hanya boleh membicarakan kes-kes yang melibatkan undang-undang peribadi penduduk tempatan seperti perlanggaran adat, perkahwinan, perceraian, warisan dan lain-lain berhubung dengan adat. Sedangkan perkara-perkara jenayah dan sivil yang lain dibicarakan oleh Mahkamah Sivil berdasarkan undang-undang Inggeris. Perkara yang sama juga berlaku kepada undang-undang IslaM yang dikategorikan oleh Inggeris sebagai undang-undang adat. Oleh itu, sebarang yang berhubung dengan undang-undang Islam dan adat Melayu dibicarakan di Mahkamah Anak Negeri. Undangundang Islam telah disempitkan skop amalannya oleh Inggeris hanya menyentuh perkaraperkara peribadi sahaja. Sebagai contoh, Raja Brooke telah menggubal satu undangundang iaitu Ordinan Wasiat Islam pada tahun 1896 untuk mengatur segala urusan wasiat yang dilakukan oleh orang Islam. Dalam ordinan tersebut menyatakan bahawa wasiat yang dibuat hendaklah menggunakan borang yang disediakan dan disaksikan leh tiga orang saksi. Dua orang daripada mereka adalah ketua anak negeri yang beragama Islam dan seorang pegawai kanan kerajaan. Walau bagaimanapun, mereka boleh membuat wasiat di hadapan saksi-saksi lain menurut undang-undang warisan Islam dan boleh diiktiraf sah. Dalam ordinan tersebut juga jelas menyatakan bahawa wasiat boleh dibuat berdasarkan kemahuan dan kehendak pewasiat dan tidak semestinya dibuat menurut undang-undang warisan Islam (Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned 1992: 40). Kemasukan dan Pemakaian undang-undang Inggeris secara lebih meluas lagi apabila Sabah menguatkuasakan Ordinan Pemakaian Undang-undang 1951 dan Sarawak menguatkuasakan Ordinan Pemakaian Undang-undang 1949. Kedua-dua ordinan ini telah mengesahkan lagi pemakaian undang-undang Inggeris di Sabah dan Sarawak sama ada common law Inggeris, ekuiti atau statut pemakaian am. Dengan kuatkuasanya keduadua ordinan ini juga maka undang-undang adat menjadi semakin sempit dan terbatas. Kemudiannya apabila kedua-dua negeri tersebut menyertai Malaysia, Ordinan Undangundang Sivil 1956 yang dikuatkuasakan di Malaysia Barat telah diperluaskan pemakaiannya ke Sabah dan Sarawak pada 1972. PENUTUP

14

Di Sabah dan Sarawak, pertembungan terawal dengan undang-undang Inggeris berlaku selepas keluarga Brooke memerintah Sarawak (1841 1946) dan Kompeni Berpiagam Borneo Utara mentadbir Sabah (1881 1946). Pada peringkat awal, sistem keadilan Inggeris yang difahami oleh pemerintah-pemerintah Inggeris di Sabah dan Sarawak telah diperkenalkan di samping mengekalkan adat anak negeri yang boleh digunapakai. Undang-undang Inggeris digunakan secara lebih teratur apabila kedua-dua negeri tersebut menjadi negeri lindungan Inggeris (British Protectorates State) dalam tahun 1888. Sebelum kedatangan Inggeris, undang yang dipakai pada asasnya ialah undangundang adat anak negeri pelbagai kaum peribumi termasuk apa yang dikenali pada masa itu Muhamedan Law. Undang-undang Islam dikira sebagai sebahagian daripada adat anak negeri dan ditadbirkan oleh Mahkamah Anak Negeri. Semasa Sabah dan Sarawak menjadi negeri lindungan Inggeris 1888 1946 dan tanah jajahan Inggeris (British Colonies) 1946 1963, prinsip undang-undang Inggeris telah diterima menerusi metod yang sama seperti di Semenanjung, iaitu melalui perundangan secara langsung dan keputusan kehakiman. Kedua-dua prinsip ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap undang-undang adat, di mana undang-undang adat yang diamalkan secara meluas oleh setiap suku kaum telah dipersempitkan skop dan bidangnya.

RUJUKAN Abdullah Ayob. 1978. Cara Pemerintahan Tanah Melayu (1957-1963). Ed. ke-2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ahmad Ibrahim & Ahilemah Joned. 1992. Sistem Undang-undang di Malaysia. Ed. ke-2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Ahmad Ibrahim. 1995. Mendekati Sejarah Undang-undang di Malaysia dan Singapura. Terj. Muhammad Bukhari Abd. Hamid. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Akta Undang-undang Sivil 1956. Betty Ann Carner et al. 1973. North Borneo Brunei Sarawak (British Borneo). Westport, Connecticut: Greenwood Press, Publishers. Enelyne Hong. 1987. Natives of Sarawak: Survival in Borneos Vanishing Forest. Malaysia: Institut Masyarakat. Ismail Yusoff. 1997. Politik dan Agama di Sabah. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Mazlan Abdullan. 1978. Sejarah Malaysia Timur. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors. Porritt, Vernon L. 1997. British Colonial Rule in Sarawak, 1946 1963. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

15

Salleh Buang. 1996. Sejarah Undang-undang Malaysia; Kes dan Material. Terj. Asiah mohd. Yusof. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sanib Said. 1985. Malay Politics in Sarawak 1946 1966. New York: Oxford University Press. Sheikh Salim Sheikh Salleh. 1999. Sistem Undang-undang di Malaysia (Modul PJJ). Bangi: Pusat Pengajian Jarak Jauh. Syarifah Zaleha Syed Hassan. 1993. Perubahan dan kesinambungan tradisi undangundang peribumi di Sabah. Dlm. Mohamed Salleh Lamry & Hasan Mat Nor (pnyt.). Masyarakat dan Perubahan, hlm. 51 73. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Tregonning, K.G. 1965. A History of Modern Sabah (North Borneo 1881 1963). Ed. ke2. Kuala Lumpur: university of Malaya Press. Wright, L.R. 1970. The Origins of British Borneo. t.tp.: Hong Kong University Press. Wu Min Aun. 1998. Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Cet. ke-8. Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

16

You might also like