Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Soalan : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat membimbangkan masyarakat di negara kita.

Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah ini.

Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa. Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas. Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar, solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas. Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain, begitu jugalah dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam kancah maksiat. Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik mereka bagai menatang minyak yang penuh. Dengan perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti pembuangan bayi. Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya. Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Soalan: Masalah pembuangan bayi semakin hari semakin membimbangkan masyarakat. Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya pembuangan bayi dan kesannya akibat tindakan tersebut. Masalah pembuangan bayi semakin hari semakin membimbangkan masyarakat. Hal ini demikian, kerana jumlah kes pembuangan bayi semakin meningkat dari tahun ke tahun. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pembuangan bayi, antaranya ialah tiada persediaan untuk menjadi ibu bapa. Hal ini turut disebabkan ibu tidak bersedia untuk berhamil. Seseorang ibu akan berasa tertekan apabila tiada keinginan untuk berhamil. Hal ini demikian, kerana seseorang ibu menyedari tanggungjawab yang harus dipikul setelah bayi itu dilahirkan. Oleh itu, dengan ketiadaan persediaan untuk memelihara seseorang anak, ibu bapa akan mengambil tindakan untuk membuang bayi. Selain faktor itu, masalah pembuangan bayi turut berlaku apabila ibu bapa kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan keluarga. Ibu bapa mengabaikan perancangan untuk bilangan anak dan kewangan. Hal ini jelas bahawa ibu bapa melahirkan anak mengikut hawa nafsu tanpa mengambil kira bilangan anak mengikut kemampuan mereka. Apabila kemampuan ibu bapa dari segi kewangan tidak dapat menampung bilangan anak yang banyak, maka ibu bapa yang tidak bertanggungjawab akan memilih untuk membuang bayi. Pembuangan bayi akan meninggalkan banyak kesan kepada individu itu sendiri mahupun masyarakat. Antara kesannya ialah ibu akan mengalami gangguan psikologi. Tidak dapat menafikan bahawa seseorang ibu yang membuang bayinya akan berasa bersalah dan berdosa setelah setempoh masa berlalu. Seseorang ibu itu akan sesal dan menganggap diri sebagai pembunuh. Sebagai kesannya, seseorang ibu itu akan menghadapi gangguan emosi dan mental. Keadaan bertambah buruk lagi apabila ahli keluarga menyalahi dan memarahi ibu bapa yang membuang bayi mereka sendiri. Hal ini memberi kesan yang mendalam terhadap ibu tersebut sehingga boleh menyebabkannya gila. Kesan yang lain ialah hilang sikap tanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa jelas memperlihatkan sikap tanggungjawab semakin merosot malah lenyap dalam kalangan masyarakat. Mereka yang tidak bertanggungjawab merasakan perkara ini adalah satu kebiasaan. Selain itu, mereka turut tidak menghiraukan kepentingan nyawa yang baru dilahirkan. Jelasnya, perbuatan pembuangan bayi seolah-olah amalan masyarakat Jahiliah kerana ketiadaan nilai tanggungjawab dan kemanusiaan. Kesimpulannya, masalah pembuangan bayi perlu dicegah dengan berkesan. Oleh itu, kerjasama antara pihak amat mustahak untuk membendung masalah pembuangan bayi.

SOALAN : Gejala pembuangan bayi merupakan fenomena jahiliah moden. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.

Hamka pernah mengungkapkan, Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkahlangkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama. Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita. Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, sudah terhantuk baru nak terngadah. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana nasi sudah menjadi bubur. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan. Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segansegan menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.

Selain itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurleburkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anakanak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana malang tidak berbau. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah. Konklusinya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat kita.

You might also like