Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 6

1

Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca
kekurangan air bersih di negara ini dan implikasinya kepada pengguna. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kita akui bahawa kemudahan asas, termasuk bekalan air di negara ini kini, jauh lebih
baik berbanding dengan keadaannya sedekad yang lalu. Kemudahan bekalan air menjadi
penanda aras bagi membolehkan kita menapak lebih jauh dari segi pertumbuhan ekonomi
dan kemakmuran sosial. Namun begitu, kita masih berhadapan dengan hakikat bahawa
projek pembangunan yang dilaksanakan tanpa kawalan mendatangkan kesan yang serius
kepada kestabilan alam sekitar dan bekalan air di negara ini.
Jika dibiarkan, fenomena ini akan bertambah serius. Akibatnya, kemajuan sesuatu
kawasan itu tidak selari dengan keharmonian alam sekitar, termasuk kemajuan dalam sektor
perindustrian, pelancongan dan pembuatan. Kadangkala dalam keasyikan kita memajukan
tanah untuk pelbagai program pembangunan, kita memusnahkan kawasan tadahan hujan
sehingga sumber air semakin berkurangan. Suatu hal yang agak aneh di Malaysia adalah
walaupun purata hujan di negara ini melebihi 2500mm setahun, masalah kekurangan bekalan
air bersih masih dialami. Selama ini, kita hanya bergantung pada kerangka konvensional
untuk perkhidmatan air, iaitu mendapatkan air daripada sumber permukaan, iaitu air sungai
kemudian disalirkan ke empangan atau ke takungan air. Pendekatan yang lebih inovatif perlu
dirancang dan dilaksanakan agar pengagihannya lebih berkesan dan seterusnya dapat
mengelakkan pembaziran.
Masalah yang lain ialah sumber air tidak dikawal daripada punca pencemaran. Pada
ketika ini, kita sedar bahawa seluruh negara mengalami kemerosotan kualiti air yang
berpunca daripada buangan pelbagai sisa dan keladak. Sebenarnya, terdapat teknologi
canggih yang boleh digunakan bagi membersihkan air mentah untuk dijadikan air minuman
atau kegunaan industri tetapi kosnya tinggi. Sanggupkah pengguna membayar harga yang
lebih untuk mendapatkannya atau bersediakah kerajaan memberikan subsidi untuk
menampung kos pengeluaran air? Kita masih menunggu langkah pihak berkuasa
melaksanakan dasar baharu yang berkaitan dengan pengurusan air negara. Dasar itu
diharapkan bukan sahaja dapat memastikan pembangunan negara terus berkembang dengan
adanya bekalan air yang mencukupi tetapi juga dapat memastikan bekalan air tidak tercemar.
Lagipun pada masa ini, sistem pengurusan air yang ada tidak telus daripada kawal selia yang
bebas. Pengguna yang prihatin terhadap hak dan tanggungjawab tidak dapat memastikan
bahawa perkhidmatan air dilaksanakan dalam konteks yang lebih kompetitif.
Penggunaan air sangat penting dan peranannya dapat ditingkatkan daripada
kemudahan asas kepada sebuah industri. Selain untuk minuman, air juga dijadikan bahan
pembersih dalam loji pembuatan dan kegunaan isi rumah. Air juga merupakan nadi kepada
sektor pertanian dan pelancongan. Oleh itu, halangan dalam usaha untuk melicinkan
pengendalian perkhidmatan air perlu diatasi di pelbagai peringkat.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Krisis Air
Oleh Zul Fakhry Zulkifli,
Dewan Masyarakat, Mac 2012.)





2





Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]
Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud penanda aras dalam petikan tersebut. [2 markah]

(ii) Apakah kegunaan air dalam aktiviti harian manusia? [3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, apakah tindakan yang harus dilakukan untuk menangani masalah
pencemaran air?
[4 markah]

Soalan 2 (b) Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dalam keadaan kami diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa, tiba-tiba Pak
Husain menjongol dalam lingkungan kami di Kampung Dal. Tiap-tiap kami bagai
melingkungi ahli silap mata. Kehadiran Pak Husain juga menakjubkan. Tiap-tiap kami berasa
bahawa kehadirannya bersama-sama cerita yang dibawanya, tanpa disedarinya telah
memanjatkan gelaran 'pahlawan' kepadanya. Ceritanya begini:
Waktu kami akan berangkat meninggalkan pangkalan, Pak Husain dalam perjalanan
kerana memeriksa barang-barang rumahnya. Dengan tiba-tiba dia dicegat oleh dua orang
tentera Jepun. Rupa-rupanya Jepun itu boleh berbahasa Melayu. Dia kenal orang Melayu.
Dengan senapangnya, dia memaksa Pak Husain menguburkan mayat-mayat tentera dan orang
mati. Ketika beberapa orang Jepun itu mahu mencari orang-orang kampung, Pak Husain
menyatakan semuanya sudah lari. Sekaliannya sudah pindah. Akibat daripada sikapnya yang
berani itu, Jepun tidak turun ke pangkalan. Pak Husain dipaksa menggali kubur besar. Mayat-
mayat yang berpuluh-puluh (di pantai Pak Amat sahaja) dikuburkan beramai-ramai. Dia
bekerja sehari suntuk. Darah menyimbah ke seluruh badannya. Dia seorang diri. Hingga
menjelang senja (dia pun diberi makan biskut dan air oleh tentera Jepun), dia meminta
kepada tentera yang pandai berbahasa Melayu itu, mahu membuang air besar. Ketika itulah
dia mengambil peluang untuk melarikan diri. Pak Husain menyeberangi sungai ke Tuk
Lukup. Dari Tuk Lukup dia berjalan kaki ke Sungai Gali.

(Dipetik daripada
Cerpen Pahlawan Buntung
oleh S. Othman Kelantan
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku
Dewan Bahasa dan Pustaka)



3

(i) Apakah kesan daripada tindakan Pak Husain membohongi tentera Jepun dengan
mengatakan semua penduduk sudah lari?
[2 markah]

(ii) Dalam petikan digambarkan bahawa tentera Jepun fasih berbahasa Melayu. Nyatakan
kebaikan-kebaikan menguasai banyak bahasa.
[3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Pak Husain yang terdapat dalam petikan cerpen
di atas dan satu perwatakan lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.
[4 markah]


Soalan 2 (c) Petikan Prosa Tradisional

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Setelah Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi mendengar serta dayang-dayang dan inang
pengasuh melihat nuri itu berpantun, maka asuh sekalian itu pun hairanlah di dalam hatinya.
Maka kata tuan puteri di dalam hati, Bijaksana sekali Raja Indera Bumaya itu. Maka kata
tuan puteri, Hai nuri, di manakah Raja Indera Bumaya itu sekarang ? Maka sahut nuri itu,
Ya tuanku tuan puteri, adapun baginda itu hampirlah datang ke negeri ini. Maka tuan puteri
pun berahilah hendak melihat akan Raja Indera Bumaya itu. Maka tuan puteri pun berkata,
Hai nuri, dapatkah engkau tunjukkan aku rupanya Raja Indera Bumaya itu ? Maka sahut
nuri itu, Dapatlah juga patik tunjukkan. Maka nuri itu pun menyelit dada tuan puteri itu
dengan sayapnya, maka kelihatanlah rupa Raja Indera Bumaya itu kepada tuan puteri itu.
Syahadan, seketika itu maka nuri itu pun menjadi bunga yang sudah dikarang dengan
cemerlang terlalu indah-indah rupanya. Setelah tuan puteri dan segala dayang-dayang melihat
nuri itu menjadi bunga maka tuan puteri hairanlah seraya mengambil bunga itu lalu
diciumnya.
Setelah maka Raja Indera Bumaya pun mengembalikan dirinya yang sediakala duduk di
kanan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi. Setelah dilihat oleh tuan puteri bunga itu menjadi
seorang laki-laki terlalu elok parasnya dan sikapnya terlalu pantas, maka di dalam hati tuan
puteri, Inilah rupanya yang dikatakan oleh nuri, ini juga rupanya yang menjadi bayan ini dan
nuri menjadi bunga. Di dalam hati tuan puteri, Bijaksana sekali-kali Raja Indera Bumaya
ini. Maka Raja Indera Bumaya pun mengembalikan dirinya seperti yang sediakalanya. Maka
dilihat oleh tuan puteri seorang laki-laki. Maka tuan puteri pun kemalu-maluan serta
berpaling hendak turun.

(Dipetik daripada Hikayat Langlang Buana,
dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Apakah maksud rangkai kata dikarang dengan cemerlang ?
[2 markah]

(ii) Nyatakan tiga keistimewaan Raja Indera Bumaya.
[3 markah]


4

(iii)Pada pendapat anda, mengapakah Raja Indera Bumaya menukarkan dirinya kepada
berbagai-bagai bentuk penyamaran ?
Berikan tiga alasan anda.
[3 markah]

Soalan 2 (d) Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Kecek (V)
1
seorang pengarah
membuka akaun semasanya
di sebuah bank ternama
tetapi dalam diam
dia mencantum kemiskinan
orang lain
ke dalam amanahnya
yang telah lama pecah.

2
di kampung
seorang petani
membuka akaun kemiskinannya
di ruang kedaifan
dan mengunci sedozen anak-anaknya
di dalam pagar sengsara
tetapi dia tidak pernah mencantum
kekayaan orang lain
ke dalam getirnya
yang sudah lama
berumbi.
3
di pantai
seorang nelayan
membuka akaun sengsaranya
di rahang laut ternganga
dia mengurung sederet anak-anaknya
di bawah pusaran nasib
tapi dia tak pernah mengumpul
kesenangan orang lain
ke dalam kegusarannya
yang telah sekian musim
berlumut
di papan hidupnya.

4
Tuhan tidak pernah mungkir
mencatatkan setiap angka
dan nilai hitungan paling kecil
ke dalam akaun-Nya
di rumah keadilan.

Awang Abdullah
Dalam antologi Dirgahayu Bahasaku,
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Perihalkan sikap negatif pengarah seperti yang digambarkan oleh penyajak.
[2 markah]

(ii) Jika anda seorang petani, apakah langkah-langkah yang akan anda ambil untuk
meningkatkan taraf hidup anda dan keluarga?
Nyatakan tiga langkah tersebut. [3 markah]

(iii)Huraikan dua nilai murni yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]






5

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda
faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan
atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) alunan
(ii) adunan
(iii) sangkar
(iv) sangkal
(v) gelaran
(vi) getaran [6 markah]

(b) Tukarkan ayat-ayat bersusunan biasa di bawah ke dalam bentuk susunan ayat
songsang tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Encik Fakhry akan menghadiri kursus itu pada hujung minggu ini.

(ii) Hujan lebat belum reda sejak semalam.

(iii) Aktiviti pembalakan secara haram masih berleluasa walaupun pelbagai usaha
dilakukan oleh pihak kerajaan.
[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi
setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan
satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Industri perbankan tempatan pada umumnya masih kukuh dan ekonomi
domestik mampu menahan walaupun terpaksa berhadapan dengan krisis
matawang yang melanda negara-negara maju di seluruh dunia.

(ii) Penjenayah di kawasan bandar mula menjadikan kundominium sebagai sarang
kegiatan mereka kerana sikap segelintir penghuninya yang tidak mempeduli
urusan jiran tetangga.

(iii)Satu lapuran lengkap tentang kejadian kemalangan yang dilibatkan bas
ekspres itu diserahkan kepada Menteri Pengangkutan.
[6 markah]

(d) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan
penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu
menyalin ayat itu semula.

(i) Kebanyakan peserta yang menganggotai kejohanan mini maraton di bandar itu
baru-baru ini sangat bersemangat.

6

(ii) Pemimpin itu menjelaskan yang kecepatan pembangunan di negara ini
dijalankan untuk kepentingan rakyat.

(iii)Sebahagian besar daripada peneroka-peneroka tanah Felda Gedangsa akan
menerima intensif daripada pihak kerajaan kerana peningkatan hasil tahunan.

[6 markah]


(e) Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.

Ibu bapa seharusnya mendidik anak-anak tentang kepentingan aktiviti
bergotong-royong. Tindakan ibu bapa yang membiasakan anak-anak menyertai
aktiviti tersebut sejak kecil amatlah wajar, bertepatan dengan peribahasa
_____(i)_____ . Dalam melakukan sesuatu pekerjaan pula, ibu bapa perlu
menunjukkan kesungguhan dan tidak sekali-kali melakukannya sekadar
_____(ii)_____. Walaupun usaha yang kita lakukan itu kadangkala kurang berkesan,
kita perlu memikirkan kaedah yang lain bagi mencapai hasrat ini. Peribahasa ada
menyatakan bahawa ____(iii)____. Jadi, kitalah yang perlu mencari jalan tersebut.

[6 markah]


Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel yang anda kaji.

i. Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir
ii. Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah

(a) Berdasarkan novel Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir , bincangkan dua
latar masyarakat yang ingin diketengahkan dalam novel tersebut.
[7
markah]

(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan peristiwa yang menunjukkan
nilai pengorbanan dalam novel-novel tersebut.

[8 markah]




KERTAS SOALAN TAMAT


Disedia dan disemak oleh: Disahkan oleh:

.
Cik Norsiah bt Abu Bakar Pn. Thaligavathi A/P Rathakrishnan
(Ketua Panitia Bahasa Melayu)

You might also like