Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

LAPORAN PELAKSANAAN INTERSHIP

Nama Pelajar : Shahmi Hakim Bin Tajudin


Program : PISMP Ambilan Januari 2011
Nama Sekolah : Sekolah Kebangsaan Bakap Indah
Nama Projek : Projek Keceriaan Surau Sekolah
Tempoh Pelaksanaan : 14 Julai 2014 25 Julai 2014
Objektif :
1. Menceriakan surau Sekolah Kebangsaan Bakap Indah.
2. Menambah bahan maklumat yang berkaitan dan menghias surau sekolah.
3. Mewujudkan suasana kondusif untuk guru dan murid semasa menggunakan surau
sekolah.
Strategi Pelaksanaan :
1. Mengadakan perbincangan awal bersama pihak pentadbiran mengenai projek yang
dirancang. Perbincangan ini diadakan bertujuan untuk mengambil pendapat dan
pandangan pihak pentadbiran sekolah terhadap projek yang akan dilakukan di surau
sekolah.

2. Mengadakan perbincangan bersama guru pembimbing mengenai aktiviti yang akan
dilakukan. Perbincangan yang dibuat meliputi kerja-kerja yang akan dilakukan
sepanjang projek keceriaan surau sekolah dilaksanakan. Selain itu, perbincangan
mengenai anggaran perbelanjaan turut dilakukan bertujuan untuk menilai kos yang
akan digunakan di dalam projek yang dibuat.

3. Menyediakan kertas kerja untuk pelaksanaan projek keceriaan surau sekolah.

4. mendapatkan kelulusan dari pihak pentadbiran sekolah iaitu Guru Besar, Puan Noor
Farizah Bt Abdul Rahman bagi menjalankan projek yang telah dirancang setelah
disemak oleh guru pembimbing.

5. Membuat lawatan ke surau sekolah untuk meninjau keadaan surau sekolah sebelum
melaksanakan projek keceriaan surau. Lawatan ini turut dibuat bertujuan untuk
membuat perancangan dan menyediakan bahan yang diperlukan untuk projek
keceriaan ini.

6. Memaparkan maklumat yang berkaitan dengan surau sekolah di sudut bacaan dan
dinding surau seperti ;

- Carta organisasi pengurusan surau sekolah
- Peraturan surau
- Jadual bertugas
- Visi dan misi surau sekolah
- Maklumat-maklumat mengenai agama Islam

7. Menampal arah kiblat dan garisan saf solat di dalam surau bagi memudahkan guru
dan murid-murid untuk menunaikan solat dalam keadaan yang teratur dan
sempurna.

8. Menyediakan buku laporan penggunaan surau di dalam surau sekolah. Buku
laporan ini penting bagi memastikan semua pihak yang menggunakan surau
sekolah sentiasa menjaga kebersihan surau sekolah dengan sebaiknya.

9. Membuat pemantauan secara berkala di dalam surau sekolah bagi memastikan
keadaan di dalam surau sekolah diurus dengan baik dan tersusun. Selain itu, segala
kerosakan yang berlaku di dalam surau sekolah turut dicatatkan untuk tindakan
selanjutnya.

Refleksi :
1) Kekuatan Projek :
terdapat beberapa kekuatan yang dapat diambil hasil daripada pelaksanaan projek
ini. Antaranya ialah saya dapat mempelajari tentang cara-cara untuk menguruskan
sesuatu projek atau program di sekolah. Saya juga turut dapat mengetahui tentang
cara-cara untuk merangka dan menyediakan kertas kerja bagi melaksanakan
program yang hendak dilakukan. Ilmu pengetahuan dan pengalaman yang
diperolehi hasil daripada pembelajaran ini membantu saya dan rakan-rakan
Intership saya yang lain mengetahui tentang prosedur-prosedur yang perlu
dilakukan dalam menjalankan sesuatu program atau projek.

Pelaksanaan projek keceriaan surau ini turut membantu memberi kesedaran kepada
guru dan murid-murid di sekolah tentang kepentingan menjaga kebersihan dan
keceriaan surau sekolah dengan baik. Ini adalah kerana, surau sekolah banyak kali
digunakan sebagai tempat untuk warga sekolah untuk mengerjakan ibadah seperti
membaca al-Quran dan mendirikan sembahyang zohor. Jika kebersihan dan
keceriaan di dalam surau sekolah tidak dijaga dan diuruskan dengan baik, ini akan
membuatkan semua warga sekolah yang menggunakan kemudahan surau sekolah
ini berasa kurang selesa untuk mengerjakan ibadah dengan sebaiknya.

Antara kekuatan lain hasil daripada pelaksanaan projek ini ialah dapat mewujudkan
suasana yang kondusif dan ceria di dalam surau sekolah. Keadaan surau sekolah
yang kondusif dan selesa akan dapat membantu dan membuatkan proses
pengajaran dan pembelajaran yang diadakan di surau berjalan dalam keadaan
selesa dan lancar. Selain itu, keadaan surau sekolah yang kondusif turut dapat
membantu menarik minat murid-murid di sekolah untuk datang ke surau sekolah
bagi mengerjakan ibadah selain menjalani proses pembelajaran mengenai
pendidikan Agama Islam.


Melalui projek ini, saya juga turut dapat mewujudkan dan merapatkan hubungan
yang lebih erat dengan pihak sekolah. Perjalinan hubungan yang erat antara guru
Intership dan pihak sekolah dapat membantu dalam memastikan projek yang
dilakukan ini mendapat sambutan dan kerjasama yang baik supaya projek ini dapat
mencapai sasaran dan objektif yang telah ditetapkan.

Projek keceriaan surau sekolah ini turut membantu dalam menyebarkan dan
menambahkan ilmu pengetahuan kepada murid-murid sekolah secara tidak
langsung mengenai agama Islam. Paparan maklumat yang berkaitan seperti cara-
cara mendirikan solat, bacaan dalam solat, akibat meninggalkan solat, kepentingan
menutup aurat, contoh akhlak mulia dan sebagainya dapat memberi info dan
maklumat yang berguna kepada murid-murid dalam usaha untuk melahirkan
generasi yang tidak hanya berjaya di dalam bidang akademik malah turut berjaya
dalam bidang kerohanian.

Murid-murid sekolah juga turut dapat mempelajari dan mengetahui tentang adab-
adab semasa berada di dalam surau sekolah melalui projek yang dijalankan ini.
Melalui maklumat mengenai peraturan di dalam surau sekolah yang dipaparkan di
sudut bacaan, murid-murid sekolah dapat mengetahui tentang peraturan yang perlu
dipatuhi dan diikuti semasa berada di dalam surau sekolah. Hasil daripada
peraturan yang ditetapkan ini akan dapat melahirkan murid-murid yang berdisiplin
dan berakhlak mulia selain sentiasa menjaga adab semasa berada di tempat
ibadah.

Projek keceriaan surau sekolah ini turut menggalakkan guru pelatih yang menjalani
Intership untuk sentiasa berinisiatif dan aktif dalam melakukan sesuatu aktiviti selain
memupuk semangat bekerja dalam pasukan bagi menjayakan sesuatu perkara
dengan sebaiknya.


2) Kelemahan Projek :
Terdapat beberapa kelemahan yang didapati semasa melaksanakan projek ini.
Antaranya ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan murid-murid untuk menjaga
kebersihan dan keceriaan surau sekolah. Ini dapat dilihat dari sikap segelintir murid-
murid yang membuang sampah merata-rata di dalam surau selepas digunakan.
Selain itu, terdapat juga murid-murid yang tidak menyimpan dan menyusun kembali
naskah al-Quran yang digunakan dengan elok dan teratur. Keadaan ini
menyebabkan susunan al-Quran menjadi berselerak di atas rak.

Selain itu, masalah sistem pengairan di tempat mengambil wuduk yang tersumbat
turut menjadi masalah dalam melaksanakan projek keceriaan surau sekolah ini. Ini
disebabkan kerana keadaan air yang bertakung dan tersumbat membuatkan lantai
menjadi kotor dan tercemar. Keadaan ini boleh mendatangkan perasaan kurang
selesa kepada warga sekolah yang menggunakan kemudahan ini. Selain itu,
keadaan ini turut boleh membahayakan keselamatan khususnya murid-murid kerana
keadaan lantai yang basah dan licin disebabkan oleh air yang bertakung.

Kekurangan kemudahan di dalam surau sekolah seperti meja dan papan rehal turut
menjadi masalah dalam melaksanakan projek ini. Kebanyakkan papan rehal yang
terdapat di surau sekolah sudah rosak dan patah. Keadaan ini membuatkan murid-
murid terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan rehal yang elok bagi
memudahkan proses mempelajari al-Quran.

Antara kelemahan lain ialah kekurangan dari segi kewangan untuk membeli
peralatan yang sesuai bagi menghias dan menceriakan surau sekolah. Keadaan ini
membuatkan kami terpaksa menggunakan duit poket sendiri untuk membeli barang-
barang yang berkaitan untuk menceriakan surau.




Penambahbaikan :
Terdapat beberapa cadangan penambaikan yang boleh dibuat untuk memastikan
projek keceriaan surau ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan pada
masa akan datang. Antaranya ialah ;
- Membuat jadual pemeriksaan surau sekolah secara berjadual. Pemeriksaan secara
berjadual ini penting untuk memastikan surau sekolah berada dalam keadaan
bersih, teratur dan selamat untuk digunakan. Segala kekurangan atau kerosakan
yang berlaku perlu dilaporkan kepada pihak yang berkaitan untuk memastikan surau
sekolah dalam keadaan ceria dan selesa untuk digunakan.

- Menyediakan hadiah dan ganjaran kepada murid-murid yang melibatkan diri secara
aktif dalam projek keceriaan surau sekolah ini. Ganjaran dan peneguhan perlu
diberikan kepada murid-murid yang sentiasa menjaga adab dan kebersihan semasa
berada di dalam surau sekolah. Melalui cara ini, ianya akan dapat menarik minat
murid-murid lain untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan keceriaan surau
sekolah dengan baik.

- Memberi peringatan kepada murid tentang kepentingan beradab dan menjaga
kebersihan surau sekolah. Peringatan kepada murid-murid perlu dilakukan secara
berterusan oleh guru-guru apabila menggunakan kemudahan surau sekolah.
Peringatan yang berterusan ini penting dalam memastikan objektif yang ditetapkan
dapat dicapai dengan sebaiknya iaitu hendak mewujudkan suasana surau sekolah
yang kondusif dan selesa untuk digunakan dalam sebarang aktiviti kerohanian.

- Menyediakan kemudahan yang selengkapnya di dalam surau sekolah untuk
kegunaan warga sekolah. Antara kemudahan yang boleh disediakan adalah seperti
alatan membersih, papan rehal, kitab al-Quran, kain pengesat kaki dan sebagainya.
Penyediaan kelengkapan di dalam surau sekolah yang mencukupi dapat membantu
murid-murid dan guru untuk menggunakan kemudahan yang disediakan dengan
selesa.
Kesimpulan :
Banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan baru dan bermanfaat yang saya perolehi
hasil daripada pelaksanaan projek keceriaan surau sekolah ini. Antaranya, saya telah
mempelajari tentang cara menulis dan menyediakan kertas kerja untuk projek ini. Selain
itu, saya juga turut dapat mempelajari tentang cara-cara untuk mengurus dan
mengendalikan sesuatu projek dengan sistematik dan teratur. Pengalaman dan
pengetahuan yang bermanfaat seperti ini amat penting dan berguna kepada saya
sebagai seorang bakal guru yang akan memberikan perkhidmatan dalam bidang
pendidikan kepada anak bangsa pada masa akan datang.
Selain itu, saya juga turut dapat mempelajari tentang kepentingan bekerja dalam satu
pasukan. Kerjasama yang diberikan dalam kalangan setiap ahli akan memberikan
kesan yang positif dalam melakukan sesuatu perkara atau aktiviti. Melalui pelaksanaan
program ini, saya juga turut dapat memupuk nilai murni dalam diri saya sebagai
seorang bakal guru seperti sentiasa memberikan pertolongan, saling tolong-menolong
antara satu sama lain serta sentiasa menjaga penampilan dan kebersihan diri.
Walaupun tempoh pelaksanaan projek ini tidak begitu panjang iaitu selama dua minggu
namun, saya berharap semua warga sekolah dapat mengambil manfaat dan maklumat
yang berguna sepanjang projek keceriaan surau sekolah ini diadakan. Saya juga turut
berharap agar segala ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran yang saya
perolehi hasil daripada pelaksanaan program ini, dapat saya amalkan dan aplikasikan
dalam kehidupan seharian saya pada masa akan datang.

You might also like