Kontrak Sosial

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 17

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula
sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British


telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui
dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang
membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka
pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan
Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap
sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen
berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di
jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat
kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan
bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara
tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang
menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa
tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam
hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di
kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap
ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan


luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan
kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini
tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan
memberi “tetamu-tetamu” ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang
Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa
British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah
Melayu (Federation of Malaya) yang baru.
12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan
di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih
ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden
UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum.
Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal
kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan
MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam
pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana
kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon
mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak
bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India
MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka
menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya
menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk
menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan
India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan
orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua
komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol
ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang
kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang
telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu
(Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat
perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan
Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai
Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama
rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu
dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.
21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa
Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus
gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai
bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di
sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut
agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan
bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana
yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan


Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu,
akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat
ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang
diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil
tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana
negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini
yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya
dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-
dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian
bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa
bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina
kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu
Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-
masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada
tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang
ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama
lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan
Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi
setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan
profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup
bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu
yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.
31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen
bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya
untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-
Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama
lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh
Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau
Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan
dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus
diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri
Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu
mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik
negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak
mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan
India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli
Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu
langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri
Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik
UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada
ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan
persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya
akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan
Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini
menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang
merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk
Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah
dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan
Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah,
Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara
meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya
orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera
diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.
39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud
samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh
pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya
pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap
Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di
dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan
kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam.
Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni.
Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara
kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun
majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak
menerima kontrak sosial ini. Tetapi kerana Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada asasnya
kalah dalam pilihanraya 2008 dan sekarang mengetuai Kerajaan yang lemah, pihak ekstrimis dan
penyanggah sekarang ini mempersoalkan kontrak sosial ini. Majlis Peguam kini telah menjadi
sebuah parti politik yang percaya bahawa kepakarannya dalam undang-undang akan
mengecualikan ianya daripada dipersoal tentang kelayakannya dan objektif politiknya.

44. UMNO Abdullah tidak berdaya menangkis apa-apa serangan terhadap kontrak sosial ini. Jika
apa-apa terjadi Abdullah dan UMNO harus dipertanggungjawabkan.

Siapa kata jangan pandang belakang? Kita tak boleh pandang belakang ke? Sedangkan sejarah
itulah yang mengajar kita tentang apa yang boleh dan tidak boleh kita lakukan pada masa akan
datang.

Artikel Kontrak Sosial Malaysia ini aku perolehi daripada blog Mentor Malaysia, iaitu Bapa
Wawasan Tun Dr Mahathir Mohamad aka Chedet.

Anda boleh baca kandungan asalnya artikel ini di chedet.com

Bagi aku, setiap rakyat Malaysia haruslah tahu dan memahami apa yang dimaksudkan Kontrak
Sosial. Agar keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita dapat dikekalkan.

Kontrak Sosial
Written by Admin   
Tuesday, 02 December 2008
"DEFINISI : KONTRAK SOSIAL ialah satu bentuk pakatan atau persetujuan untuk
mencapai sesuatu maksud atau tujuan antara 2 pihak atau lebih sama ada secara
bertulis atau lisan.
CONTOH : Piagam Madinah iaitu perjanjian yang di antara kaum Muhajirin dan Ansar
yang di ilhamkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W. Maka negara Islam pertama di
dunia terbentuk. Piagam Madinah mengandungi 47 fasal yang dipersetujui.
Di Malaysia, Kontrak sosial wujud di antara orang Melayu dengan orang Cina serta
India yang pada hari ini merangkumi Melayu dan Bumiputera Sabah/Sarawak.
TUJUAN :
i) ianya bertujuan untuk menyelesaikan perbezaan kepentingan diri atau kelompok
masing - masing.
ii) memastikan kepentingan majoriti dan minoriti di ambil kira tanpa menjejaskan hak
dan kepentingan masing-masing.
iii) memastikan persetujuan yang dicapai kekal dan diwarisi turun-temurun kerana
persetujuan dianggap memenuhi kepentingan yang berpanjangan.
iv) memastikan setiap pihak yang bersetuju mematuhi dan menyampaikan kepada
generasi seterusnya agar ia tidak bercanggah di masa depan.
Isi Kandungan Kontrak Sosial di Malaysia.
i) Orang Melayu menerima dan mengiktiraf orang Cina dan India sebagai warganegara.
(Berasaskan prinsip Jus Soli).
ii) Orang Cina dan India mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan.
iii) Orang Cina dan India mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan.
iv) Orang Cina dan India mengiktiraf kedaulatan Raja - Raja Melayu
v) Orang Cina dan India mengiktiraf Hak keistimewaan orang Melayu

Usrahwave.com

SN098 - KONTRAK
SOSIAL

Khamis, 12 Jun 2008 19:29

PDF

SN Keluaran 2006

[SN098] Pada persidangan Agung UMNO ke-57 baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, yang juga merupakan Presiden UMNO menegaskan dalam ucapannya, bahawa kerajaan akan
menguatkuasakan undang-undang ke atas pihak yang terus mempertikaikan kontrak sosial yang telah termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan ini kemudiannya disambut secara positif oleh Ketua Pengarah
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang juga Ketua Hakim Syarie, Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman
yang menyatakan, kontrak sosial itu telah diterima sekian lama oleh rakyat Malaysia dan tidak wajar ia
diperbahaskan. ‘‘Kontrak sosial tersebut memberi ketenteraman sekian lama hingga Malaysia menjadi contoh bagi
sesetengah negara lain.....Ia tidak patut dipertikai oleh mana-mana pihak’’ katanya ketika ditemui Utusan Malaysia
selepas perasmian Sekretariat Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Tambahnya, seandainya pertikaian
berterusan, ia akan menggugat perkembangan dan kemajuan Malaysia. [UM 18/11/06].

Isu Kontrak Sosial ini sebenarnya telah pun hangat pada tahun lepas, tatkala Mingguan Malaysia pada 14/08/05
menyiarkan laporan yang memetik ucapan Presiden Parti Gerakan, Datuk Seri Lim Keng Yaik yang menggesa parti-
parti politik di negara ini melupakan formula kontrak sosial antara kaum kerana ia didakwa membuatkan masyarakat
Cina dan India merasa ‘kecil hati'. Berikutan itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin
membidas kenyataan tersebut dengan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Reaksi serupa
dari beberapa pemimpin UMNO turut disiarkan di media. Selepas beberapa orang pemimpin campur tangan, maka
seperti biasa, semua pihak yang berani bersuara terus menutup mulut dan memendam segala rasa tidak puas hati.

Meskipun istilah ‘Kontrak Sosial’ bukan merupakan sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia dan telah menjadi
bualan dan perbincangan pada mesyuarat agung UMNO yang lepas, tidak dapat dinafikan bahawa masih ramai di
kalangan rakyat yang kurang faham ataupun langsung tidak memahami maksudnya. Sautun Nahdhah kali ini akan
menyongsong sejarah tentang kedudukan Kontrak Sosial (The Social Contract) ini, seterusnya memaparkan
perbincangan tentang Piagam Umat (Mitsaq al-Ummah) menurut perspektif Islam.

‘Du Contract Sosial’

Ketika Eropah masih di zaman kegelapan (dark ages), gereja bersikap keras terhadap sains dan akan menghalang
apa sahaja teori yang bercanggah dengan dogmanya. Ini menyebabkan wujudnya ahli fikir dan ahli falsafah
(golongan intelektual) yang amat tidak berpuas hati dan mengambil keputusan untuk menggulingkan kuasa
gereja/agama. Setelah itu, terjadi pertembungan yang begitu hebat di antara gereja dan kelompok intelektual ini.
Krisis berdarah ini berakhir dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk mengambil jalan tengah (kompromi) di mana
kuasa pemerintahan yang ada pada gereja dihapuskan dan diserahkan kepada golongan intelektual. Gereja hanya
dibenar menguruskan hal-hal agama sahaja. Agama tidak dinafikan tetapi mesti dipisahkan dari kehidupan atau
pemerintahan. Setiap orang adalah bebas untuk percaya kepada agama atau tidak (kebebasan beraqidah). Yang
penting, agama mesti dipisahkan dari urusan kehidupan. Inilah peristiwa yang membidani lahirnya ‘Sekularisme’.

Golongan Intelektual ini kemudian berfikir keras tentang cara untuk mewujudkan sebuah negara yang ideal
(sempurna). Mereka sebenarnya tidak mempunyai idea untuk membina sebuah Negara pun, apatah lagi yang ideal.
Dari sini, lahirlah para pemikir atau cendekiawan Barat yang cuba membina suatu persepsi baru untuk memulakan
sebuah Negara. Selama ini mereka jauh ketinggalan dari segala aspek tentang kenegaraan berbanding umat Islam,
yang diterajui oleh Khilafah Uthmaniah yang mendominasi politik dunia pada ketika itu. Beberapa perkara tentang
Negara mula difikirkan oleh pemikir-pemikir Eropah yang akhirnya meletuskan Revolusi Perancis sebagai manifestasi
dari proses Renaissance (pencerahan dari aspek pemikiran). Para pemikir ini kemudian melahirkan pelbagai teori
bagaimana untuk mengatur urusan sebuah negara. Oleh kerana tiada apa-apa yang boleh menjadi pegangan
mereka, tiada kitab sebagai rujukan, tiada hukum-hakam yang menjadi pegangan, tiada ajaran agama yang boleh
memandu mereka, maka mereka hanyalah menggunakan kecerdasan akal semata-mata di dalam mencipta setiap
teori. Pada peringkat ini, apa yang mereka boleh kemukakan hanyalah teori semata-mata, dengan beberapa istilah
yang digunakan untuk menjelaskan teori tersebut.

Istilah asal Kontrak Sosial (the social contract) telah dikemukakan oleh Plato, seorang ahli falsafah Yunani, lebih
2,500 tahun yang lalu dalam tulisannya ‘The Republic’. Namun begitu beliau tidak memberikan penjelasan secara
terperinci mengenainya. Setelah itu, datang ahli falsafah yang menerangkan konsep Kontrak Sosial ini; antaranya
adalah Hugo Grotius, Kant, Rousseau dan Hobbes. Ahli-ahli falsafah ini bersetuju tentang wujudnya Kontrak Sosial
antara pemerintah dengan rakyat. Idea Kontrak Sosial ini diasaskan atas premis bahawa kuasa terletak pada rakyat.
Tiga orang ahli falsafah yang banyak menghidupkan dan mewarnai teori Kontrak Sosial dalam sains politik moden
Barat, ketika zaman pencerahan dan Revolusi Industri adalah Thomas Hobbes [Leviathan, 1651M], dikuti oleh John
Locke [Two Treaties of Goverment, 1690M] dan Jean Jacques Rousseau [Du Contrat Social 1762M]. Karya
Rousseau, Du Contrat Social, dikatakan amat berpengaruh dalam mencetuskan Revolusi Perancis 1789.

Dua isu penting yang dibincangkan di dalam teori Kontrak Sosial ini ialah:-

 Institusi yang baik dan berkesan untuk menjaga kepentingan rakyat ialah ‘Negara’ di mana setiap individu
melepaskan dirinya dan kuasanya kepada ’kehendak umum’.
Negara diwujudkan ekoran dari sebuah ‘perjanjian’.

Namun ada beberapa persoalan yang sering menjadi perselisihan di kalangan mereka - mengapakah manusia
mewujudkan negara? Siapakah yang akan menganggotai pakatan yang kemudiannya mewujudkan negara? Apakah
syarat-syarat perjanjian tersebut? Persoalan-persoalan sebegini telah menjadi perdebatan oleh mereka di dalam
perjalanan mewujudkan ‘negara idaman’ mereka. Sebenarnya semua persoalan ini muncul hasil dari ketidakjelasan
dan kecelaruan mereka di dalam berfikir yang tidak dipandu oleh suatu aqidah yang benar, yang gagal menjawab
dan memuaskan akal si pemikir dan manusia secara umumnya. Inilah manifestasi dari kegagalan aqidah
Sekularisme yang memberikan penyelesaian berdasarkan akal manusia, bukannya wahyu. Di dalam Islam,
persoalan-persoalan sebegini telah lama dijawab oleh Rasulullah di dalam perjalanan dakwah baginda mewujudkan
Negara Islam di Madinah.

Piagam Umat

Sebelum kedatangan Islam lagi telah ada satu kesepakatan seakan-akan ‘Kontrak Sosial’ antara dua kaum Aus dan
Khazraj dalam hal kepimpinan dan kenegaraan, namun ianya berlegar atas dasar perkauman. Telah wujud satu
kesepakatan di antara mereka bahawa kepimpinan Yathrib (Madinah) mestilah terdiri dari kalangan dua kaum itu
sahaja. Namun kesepakatan ini telah terungkai setelah mereka memeluk Islam dan disusuli dengan peristiwa Bai’ah
Al-Aqabah II. ‘Kontrak Sosial’ yang wujud sejak sekian lama di negara mereka (Madinah) telah diubah oleh mereka
sendiri apabila mereka memeluk Islam dan berbai’ah kepada Rasulullah. Hal ini jelas terlihat dari ucapan mereka
kepada Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam tatkala proses bai’ah berlangsung. Asy-Sya’bi meriwayatkan bahawa As’ad
bin Zararah (pemimpin suku Khazraj) berkata kepada Rasulullah,

”.....engkau telah meminta kepada kami (untuk menyerahkan kekuasaan milik kami), walhal kami adalah satu
kelompok masyarakat yang hidup di dalam negara dalam keadaan mulia dan kuat di mana di dalamnya tidak ada
seorang pun yang rela dipimpin oleh orang dari luar suku kami.........permintaan tersebut adalah suatu hal yang sukar
sekali, tetapi kami ini (telah sepakat) memenuhi permintaan engkau.”
Begitulah para sahabat yang mulia telah melepaskan segala ikatan yang ada pada mereka hanya semata-mata
untuk mengikat diri mereka dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Mereka
meninggalkan ikatan sejarah mereka dan mengikat diri dengan ikatan Islam. Setelah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa
Sallam hijrah ke Madinah, maka baginda terus menggubal piagam yang dinamakan Sahifah Al-Madinah (Piagam
Madinah) sebagai asas kepada pembentukan sebuah negara baru, yakni Daulah Islamiyyah. Sahifah yang menjadi
dokumen asas negara ini digubal berdasarkan wahyu semata-mata. Antara kandungan yang jelas adalah unsur
pembentukan Negara, hubungan antara orang Islam dan kafir serta hubungan luar negara. Yang paling penting
sekali adalah jika wujud sebarang persengketaan, hendaklah ia dirujuk kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa
Sallam.
Sekiranya kita mengkaji khazanah Islam tentang sains politik, maka kita akan menjumpai jawapan yang jelas tentang
ilmu politik Islam. Kita pasti akan menemui dengan mudah apa yang dinamakan oleh Barat, Kontrak Sosial ini,
bahkan penjelasannya adalah jauh lebih terperinci. Di dalam keadaan Barat terkial-kial mencari jawapan yang benar,
di dalam keadaan mereka meraba-raba untuk keluar dari kegelapan, Islam telah lama memberi cahaya petunjuk
kepada kita semua. Sebagai contoh, persoalan ahli falsafah Barat berkenaan apakah ‘kontrak’ yang perlu wujud
antara pemimpin dan yang dipimpin? Islam telah lama menjelaskan bahawa ”Imam (Khalifah) itu adalah pemelihara
dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipeliharanya (rakyatnya).....” [HR Bukhari dan Muslim]. Islam juga
menjelaskan bahawa ”Imam itu adalah perisai, yang mana dibelakangnya umat berperang.” [HR Muslim]. Hadis-
hadis ini dan yang senada dengannya menjelaskan tentang tanggungjawab pemimpin terhadap rakyatnya.

Syeikh Abu Ubaid Al-Qasim, salah seorang ulama Islam yang meninggal tahun 224H (884M), hampir seribu tahun
mendahului Rousseau, telah meletakkan bab Haqqul Imam ’ala Ra’iyyat, Wa Haqqul Ra’iyyat ’ala Imam
(tanggungjawab rakyat terhadap pemimpin dan tanggungjawab pemimpin terhadap rakyat) sebagai bab pertama di
dalam kitab tulisannya berkenaan harta, Al-Amwal. Beliau memuatkan hadis-hadis dan atsar berkenaan dengan dua
identiti penting dalam negara iaitu rakyat dan pemerintah. [Kitab Al-Amwal, Abu Ubaid Al-Qasim Bin Salam, ms 10].

Imam Marwardi (meninggal 450H/1058M) dan Imam Abu Ya’la (meninggal 458 H/1065M) telah menulis kitab
kenegaraan yang sama judulnya, iaitu Al-Ahkam Al-Sulthaniyyah mengikut pandangan Mazhab Syafie dan Hambali.
Kalau kita mengkaji kitab-kitab ini nescaya kita akan dapat menjawab semua permasalahan asas yang dilontarkan
oleh pelopor teori Kontrak Sosial Barat. Hukum-hakam bernegara di dalam Islam telah selesai lebih dari 1400 tahun
yang lepas. Barat yang telah lama hidup di dalam kegelapan dan jahil tentang ilmu pemerintahan berusaha
merangkak keluar darinya dengan mencari-cari alasan yang rasional dan logik terhadap keperluan penubuhan
sebuah negara, Hasilnya, mereka menemukan teori Kontrak Sosial yang dilihat sebagai jalan keluar, hal yang telah
lama diselesaikan oleh Islam dengan jalan wahyu. Malangnya, pemimpin umat Islam sekarang telah kembali semula
ke zaman kegelapan dengan menelusuri sejarah kelam Eropah untuk membentuk sebuah negara berdasarkan
kontrak sosial ala Barat. Walhal yang sepatutnya dilakukan oleh para pemimpin ialah mengikuti sejarah
pembentukan Negara Islam Madinah yang dirintis oleh Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Inilah
KEWAJIBAN yang sebenar-benarnya.

Di sini kami ingin utarakan dua isu sebagai kajian perbandingan, kerana ruangan ini semestinya terlalu sempit untuk
membicarakan satu kritikan yang komprehensif. Persoalan Pertama, mengapakah manusia mewujudkan negara?
Persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh kedua-dua Imam tentang peri pentingnya Imam (Ketua Negara) dalam
Islam. Al-Mawardi dan Abu Ya’la mengatakan bahawa WAJIB secara Ijma’ untuk melantik Imam (Khalifah), di mana
mereka beristidlal dengan surah Al-Nisa ayat 49 [Al-Ahkam Al-Sultaniyyah, Mawardi, ms 5, Abu Ya’la ms 19]. Ulama
kontemporeri, Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menerangkan dengan jelas tentang kewajiban menubuhkan sebuah
Negara Islam (Negara Khilafah) sebagai pimpinan umum bagi seluruh kaum Muslimin di dunia yang akan
menerapkan hukum-hakam syara’ dan mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia. Beliau telah
mengambil dalil dari Al-Quran, Al-Sunnah, Ijma’ Sahabat dan kaedah usul untuk menerangkan secara syar’i,
mengapa umat Islam wajib mendirikan sebuah Daulah Islam. [Al-Khilafah, Taqiuddin Al-Nabhani, ms 1-14]. Justeru,
jawapan ringkas kepada persoalan kenapa kita perlu kepada negara adalah ia merupakan suatu KEWAJIBAN yang
telah ditetapkan Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas kita.

Persoalan Kedua ialah, apakah boleh berlaku pembaharuan Kontrak Sosial jika rakyat menginginkannya? Persoalan
ini dijawab oleh Rousseau dalam bab ‘Bagaimana Menyekat Rampasan Kuasa Kerajaan’; beliau menyatakan
”...bahawa dalam negara, tidak ada undang-undang asas apapun yang boleh ditarik balik, termasuk perjanjian sosial
itu sendiri..”. Persoalan ini juga telah lama terjawab di dalam khazanah politik Islam dengan jawapan yang benar-
benar memuaskan akal, di mana ‘Piagam Umat’ yang wujud adalah merupakan suatu perkara yang baku, yang tidak
dapat diubah kerana ianya bersumber dari wahyu. Perubahan hanya boleh berlaku jika ada nas yang menjelaskan
kebolehannya. Rampasan kuasa haram dilakukan sama sekali, selama mana pemerintah memerintah dengan
kitabullah dan sunnah RasulNya. Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam
tentang seorang pemimpin yang berbuat zalim, "Apakah kami diperbolehkan untuk memerangi mereka, ya
Rasulullah?", jawab Nabi, "Jangan, biarkan mereka selama mereka masih mendirikan puasa dan solat." [HR At-
Thabrani dalam Al-Kabir juga Ibnu Hajar Al-Haitsami dalam Majma Al-Zawaid, V/224]. Puasa dan solat di dalam
hadis tersebut merupakan kinayah (kiasan) kepada ‘penerapan syariat Islam’ oleh Ketua Negara.

Dalam riwayat lain: "Dan agar kami tidak merampas urusan (pemerintahan) itu dari pemegangnya, kecuali (kata
Nabi): “Jika kalian melihat kekufuran yang nyata, dimana kalian mempunyai bukti yang jelas di sisi Allah." [HR
Bukhari dan Muslim]. Semuanya ini menjelaskan larangan yang nyata untuk merampas atau mengguling
pemerintahan selama mana pemerintah masih menerapkan hukum-hukum Islam [Muqadimah Al-Dustur, Taqiuddin
Al-Nabhani, ms 8]. Manakala jika ada pihak pemberontak (bughat) cuba untuk merampas kuasa, Islam telah
memerintahkan pihak yang memegang tampuk pemerintahan untuk memerangi mereka sehingga mereka tunduk.
Peperangan ini adalah peperangan berbentuk ta’dib (pengajaran) bukannya sebuah perang untuk membunuh musuh
[Nizhamul Uqubat, Abdurahman Al-Maliki]. Jika kita kaji dengan teliti, nescaya kita akan dapati bahawa hukum-
hakam Islam telah pun menjawab seawal satu abad (1,000 tahun) persoalan-persoalan yang baru muncul di Barat
tentang kenegaraan, dengan jawapan yang jauh lebih jitu, terperinci dan sempurna.

Kontrak Sosial Di dalam Penubuhan Malaysia

Apabila negara-negara Komunis menyerang Ideologi Kapitalis dengan mengatakan bahawa kemuncak kepada
Kapitalisme adalah penjajahan, ini menyebabkan berlaku beberapa perubahan yang mendasar dalam polisi luar
British di tanah jajahan mereka. Mereka mula berfikir untuk memerdekakan negara-negara jajahan mereka. Oleh itu,
mereka mula menanamkan asas-asas pemikiran Negara Ideal yang menjadi imaginasi tokoh-tokoh Renaissance
mereka. Mereka telah meletakkan bahawa untuk mencapai apa yang mereka sebut sebagai sebuah ‘kemerdekaan’,
penduduk negara tersebut mestilah mengadakan apa yang mereka namakan sebagai Kontrak Sosial, sebagai pra-
syarat untuk kemerdekaan. Dr Chandra Muzaffar mengulas dalam temubual bertajuk ‘Kembali Kepada Sejarah’
“Tanpa kontrak sosial tidak ada Perlembagaan. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai
kemerdekaan kerana British menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak Sosial adalah anak kunci
kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Kontrak Sosial juga asas kepada
sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan dengan konsep
negeri dan persekutuan. Atas sekurang-kurangnya empat perkara ini - perlembagaan, kemerdekaan, hubungan
kaum dan sistem pemerintahan - Kontrak Sosial telah memainkan peranan yang penting.” [UM 28/08/05].

Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan,
dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkaitan dengan
pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak
istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kadang-kala digunakan untuk merujuk
kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia
adalah sebuah negara sekular. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Kontrak_Sosial_di_Malaysia]

Begitulah liciknya British, semasa mereka memerintah (sebenarnya menjajah) negara umat Islam (termasuk Tanah
Melayu). Mereka tidak pernah memperkenal atau mengamalkan konsep Kontrak Sosial ini di dalam pemerintahan
mereka malah hanya menerapkan sistem kufur mereka ke atas kita secara paksa. Namun, bila mereka ingin
meninggalkan negara dengan ‘memberi’ sebuah ‘kemerdekaan’, mereka mencari jalan supaya ‘legacy’ (warisan)
mereka terus tertanam dalam negara umat Islam. Maka, mereka ‘mencipta’ satu konsep yang menurut mereka
kononnya ‘baik’ untuk kita, lalu mereka meletakkan Kontrak Sosial sebagai pra-syarat kemerdekaan. Seterusnya,
untuk mengukuhkan lagi cengkaman mereka ke atas kita, dimasukkan pula konsep ini ke dalam Perlembagaan, dan
mereka menetapkan bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara yang mesti ‘dijunjung’. Inilah di
antara kejayaan kafir British, dengan kerjasama, secara sedar atau tidak, boneka-boneka mereka – kaum Muslimin
telah benar-benar berjaya dikongkong oleh mereka, sehingga umat Islam menganggap seolah-olah apa yang
ditinggalkan oleh sang kafir ini sebagai suatu yang ‘suci’ dan tidak boleh dipermainkan. Hukum Allah boleh ditukar
ganti tetapi hukum British tidak boleh! Inilah hakikat Kontrak Sosial yang telah ditetapkan oleh British di negeri-negeri
kaum Muslimin, termasuk Malaysia.
Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi dari Islam. Agama Allah ini telah sempurna
diturunkan untuk mengatur segala hubungan di antara manusia sesama manusia. Apa yang wajib kita lakukan
hanyalah kembali kepada Islam di dalam menyelesaikan segala masalah yang muncul. Rasulullah telah mengatur
urusan dunia dengan Islam. Baginda telah merubah sistem masyarakat dengan sistem Islam. Oleh yang demikian
adalah suatu yang tabi’i dan patut disedari oleh umat Islam bahawa untuk mengatur hubungan masyarakat di dalam
negara secara benar, kita perlu kembali kepada Islam, bukan kepada sejarah, apatah lagi sejarah penjajahan Barat.
Umat Islam wajib beriman dengan Kitab dan Sunnah dan wajib menjadikan keduanya sebagai Piagam Umat,
sebagai sumber rujukan tertinggi untuk Perlembagaan dan Undang-Undang.

Di dalam melaksanakan aktiviti ini, umat Islam memerlukan ‘Kerangka Kerja’ yang jelas bagaimana untuk
mengaplikasikan Al-Quran dan Sunnah sebagai Piagam Umat, seterusnya memastikan kelicinan perjalanannya.
Penjelasan tentang cara untuk memahami Al-Qur’an dan Sunnah serta bagaimana keduanya ini menjadi sumber
Perlembagaan dan Undang-Undang, pencerahan tentang konsep negara dan asas-asasnya, juga dari aspek
perlaksanaannya, perlu dikaji dengan mendalam. Oleh sebab itu Al-Quran dan Sunnah hendaklah diambil sebagai
Piagam Umat di dalam bentuk ‘blue print’ yang bersifat praktikal, yang menjadi kerangka dasar Piagam ini.
Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdul Qadim Zallum telah menulis sebuah kitab untuk kaum Muslimin yang begitu
baik bagi menggambarkan sebuah Piagam Umat [Mitsaqul Ummah, Abdul Qadim Zallum].

Wahai kaum Muslimin! Di dalam membincangkan isu Kontrak Sosial ini dan juga lain-lain permasalahan, kita tidak
boleh melihatnya dari aspek sejarah dan berpegang dengan apa yang British (dan Perlembagaan mereka) telah
‘tetapkan’ ke atas kita, tetapi kita wajib melihat dan mengembalikan segala persoalan yang ada hanya kepada Islam
semata. Ingatlah Firman Allah, “.....kemudian jika kamu berbantah-bantah (berlainan pendapat) tentang sesuatu,
maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul(Nya)....” [TMQ An-Nisa (4):59]. Sejak kejatuhan Daulah
Khilafah, segala keburukan dan kehinaan tidak putus-putus menyelimuti umat yang digelar oleh Allah sebagai
sebagai umat yang terbaik ini, umat yang suatu ketika dulu pernah menakluk hampir dua pertiga dunia, dan
memerintah dunia dengan hukum dari tujuh petala langit. Umat ini pada hari ini cukup menderita, menggelupur
kesakitan, mengalami pelbagai siksaan dan penghinaan setelah mereka memerintah dengan hukum keji ciptaan
mereka sendiri, malah lebih buruk, ciptaan musuh-musuh mereka, musuh Rasul dan musuh Allah. Apa sudah jadi???

Wahai kaum Muslimin! Saat ini, beberapa negeri umat Islam telah mengambil sistem Sosialisme dan yang
selebihnya menerapkan sistem Kapitalisme di dalam negara masing-masing. Tidakkah kalian saksikan bahawa
kesemua sistem yang diterapkan ini gagal menjadikan kalian umat yang terbaik? Malah sistem yang lahir dari
ideologi kufur inilah yang sebenarnya telah menjadikan kalian umat yang hina. Ini adalah kerana kalian dipimpin
dengan hukum kufur yang meninggikan akal manusia dan merendahkan ayat Allah. Oleh itu, bersaksilah kalian
bahawa satu-satunya jalan untuk mengembalikan kemuliaan kalian adalah dengan mengembalikan semula
kehidupan Islam melalui penegakan semula Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah yang akan menerajui dunia dengan Kitab
Allah dan Sunnah RasulNya. Bersaksilah wahai saudaraku.....
  Mykhilafah. .com

Malam ini Majlis Peguam menganjurkan satu dialog bertajuk 'KONTRAK SOSIAL' di dewan Auditorium BAR di
Leboh Pasar Besar (belakang Pasar Seni). Dialog ni bercadang mengupas mengenai kontrak sosial di kalangan
rakyat Malaysia.. Lebih tepat lagi mempersoalkan tentang isu hak istimewa Islam & orang Melayu di Malaysia.
Pada saya amatlah malang kalau ada lagi serpihan masyarakat picisan di luar sana yang masih nak
mempersoalkan isu ini.

Hak istimewa Islam & bangsa Melayu telah termaktub dengan jelas di dalam perlembagaan persekutuan. Kita
khuatir dengan keghairahan golongan yang membutakan mata terhadap sejarah, sehingga sanggup
mengujudkan suasana keresahan di kalangan umat Islam di Malaysia, yang kebetulan majoritinya Melayu.

Apa yang saya faham tentang kontrak sosial ini mudah aje. Persekutuan Tanah Melayu adalah negeri umat
Islam bangsa Melayu sebelum penjajahan British. British membawa masuk bangsa Cina & India ke Malaya
untuk membantu mereka merompak harta tanah Melayu ini untuk dipunggah ke England. Segala bangunan &
jalan yang dibina di London kebanyakannya adalah dari hasil rompakan kekayaan tanah jajahan British
termasuk Malaya. Sebelum kemerdekaan, bangsa Cina & India yang berada di Malaya adalah warga British
mengikut undang-undang antarabangsa. British yang bertanggungjawab menjaga kebajikan bangsa Cina &
India. Itulah sebabnya kumpulan Hindraf menyaman Kerajaan British atas dakwaan gagal menjaga
tanggungjawab kaum India selepas merdeka. Sekiranya Malaya merdeka tanpa penyelesaian masaalah kaum
India & Cina, maka British terpaksa membawa balik semua kaum Cina & India ke England. Sudah tentu British
tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab ini. Maka British berunding dengan orang Melayu bahawa
antara syarat mendapatkan kemerdekaan orang Melayu mesti bersedia menerima pendatang asing Cina &
India ini sebagai rakyat Malaya. Ini akan melepaskan British daripada tanggungjawab mereka. Sebagai
balasan, semua hak orang Melayu & agama Islam dipelihara dan dimaktubkan. Orang Melayu telah bersetuju
dengan cadangan ini. Sebab itulah hak istimewa Melayu & ketuanan Islam dinyatakan dengan jelas dalam
Perlembagaan saperti Artikel 3 (Islam agama Persekutuan, agama lain tidak boleh disebarkan kepada orang
Melayu/ Islam, Artikel 12 (kerajaan wajib memberi peruntukan kepada institusi Islam), Art 74/ Senarai 2
Jadual 9 (penubuhan Mahkamah Syariah), Artikel 154 (hak istimewa Melayu), Artikel 160 (orang Melayu wajib
Islam) dan beberapa lagi peruntukkan yang jelas bagi keistimewaan Islam & Melayu. Sebagai balasan, orang
Melayu bersedia menerima kaum Cina & India sebagai warga Malaysia.

Pada saya inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui di antara orang Melayu dan British yang mewakili
kaum Cine & India. Oleh kerana itu cubaan membuka semula isu kontrak sosial ini akan mengundang reaksi
dari orang Islam bangsa Melayu. Apa yang nak menghalang orang Melayu mempersoalkan kerakyatan yang
diberi kepada kaum Cina & India. Kalau hak istimewa Islam/ Melayu mula dipersoalkan, orang Melayu pula
akan mula mempersoalkan kewajaran memberi kerakyatan kepada kaum Cina & India. Pertelagahan seperti
ini tidak membawa kepada apa-apa kebaikan.

Pada saya, kita semua rakyat Malaysia sepatutnya mebincangkan bagaimana nak membangunkan negara kita
dan memajukan rakyat serta cara terbaik mengagihkan kekayaan negara tanpa mengorban atau
mempersoalkan perihal yang telah dimaktubkan didalam Perlembagaan Persekutuan. Membantu orang
Melayu menurut peruntukkan yang ditetapkan Perlembagaan tidak bermakna kita meninggalkan atau
mengenepikan kaum lain. Di sinilah kegagalan kerajaan UMNO/ Be End. Dalam merangka pelan pembangunan
negara, UMNO/ Be End terlalu memberi penekan kepada memperkayakan golongan UMNOPutra sehingga
bukan sahaja menegnepikan kaum lain, malahan ada ramai bangsa Melayu diluar sana yang turut tercicir dan
dianaktirikan. Adios

Zulkifli Noordin

Zul4kulim blogspot.com

Memperjelas Persoalan Kontrak Sosial


Oleh Nor Hayati Muda

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Sejak beberapa bulan kebelakangan, persoalan mengenai
kontrak sosial sering kali menjadi topik diskusi pelbagai pihak, baik kalangan perundangan, ahli politik
mahupun mereka yang berkepentingan.

Masing-masing tidak silu menyatakan pandangan meskipun adakalanya pendapat itu mencerminkan
kedangkalan mereka tentang isu yang dibahaskan, hingga 'mencuit hati' pakar perundangan yang
memerhati.

Antara mereka ialah pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof
Dr Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan kewajaran isu tersebut diperbesar-besarkan.

"Pada saya isu ini tak ada apa-apa pun. Jadi saya tak faham mengapa nak dibahas dan didebatkan
sehingga membawa gambaran seolah-olah orang Melayu sedang diancam," katanya dalam temubual
dengan Bernama baru-baru ini.

Penyelaras kursus undang-undang Perlembagaan UIAM itu juga berpandangan kebanyakan yang
bersuara mengenai isu tersebut kurang memahami intipati Perlembagaan sehingga menafikan
kewujudan konsep kontrak sosial di negara ini.

"Memang terma kontrak sosial tak ada (dalam Perlembagaan Persekutuan), tapi saya tidak bersetuju
dengan pendapat yang mengatakan bahawa konsep itu tak ada. Konsep kontrak sosial (di negara ini)
tak sama dengan kontrak sosial (oleh ahli falsafah) John Locke ataupun Thomas Hobbes, tetapi
perkara pokoknya ialah mengenai tolak ansur).

"Memang definisinya berbeza daripada tanggapan bahawa orang menyerahkan hak mereka kepada
negara sebagai balasan kepada perlindungan. Itu lain, tetapi soalnya isu ini ada quid pro-quo
(perkataan latin bermaksud "sesuatu untuk sesutau"), ada kompromi, saling bertolak ansur antara
kaum," kata Ketua Editor Jurnal Undang-Undang UIAM itu.

Abdul Aziz menjelaskan walaupun konsep kontrak sosial tersebut tidak tertulis secara hitam putih, ia
sebenarnya dimanifestasikan dalam Perlembagaan menerusi beberapa peruntukan termasuk Perkara
153 Perlembagaan Persekutuan.
"Ini bukan perjanjian undang-undang secara langsung, ini adalah falsafah politik, bukan seperti kita
beli kereta, beli rumah ada S & P (Perjanjian Jual Beli), jadi jangan dikelirukan...kalau tak faham diam
saja," katanya.

Selain itu katanya, makna kontrak sosial dimanifestasi dalam pelbagai aspek lain dalam Perlembagaan
termasuk Perkara 3 (berkenaan Agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, manakala agama-
agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan), Perkara 152
(penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi).

"Ini semua menunjukkan unsur tolak ansur sebab dalam Perkara 152 misalnya walaupun bahasa
Melayu jadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh dituturkan," katanya.

Abdul Aziz juga berpandangan bahawa kontrak sosial dalam konteks negara ini boleh berubah
mengikut keadaan seperti dibuktikan menerusi pindaan Perkara 153 pada tahun 1963 apabila Sabah
dan Sarawak menyertai Persekutuan.

"Apabila Bumiputera Sabah dan Sarawak diberi kedudukan yang sama (dengan orang Melayu), pada
1963 (Perkara 153) dipinda bahawa sekarang Yang di-Pertuan Agong diberi tanggungjawab untuk
melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan
sah kaum lain.

"Maksudnya sekarang bukan saja antara Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga Melayu, Bumiputera
Sabah dan Sarawak dan kaum lain. Ini maksudnya (kontrak sosial) boleh berubah, ikut masa, ikut
keadaan asalkan perubahan itu dibuat secara telus, secara terbuka dan tidak secara unilateral,"
katanya.

Beliau turut menyifatkan dakwaan sesetengah individu bahawa kontrak sosial itu hanya menjaga
kepentingan orang Melayu sebagai suatu pandangan yang jahil.

"Sebenarnya kalau kita bercakap daripada segi relevan dan kepentingannya (kontrak sosial), ia
penting untuk semua orang, Melayu dan bukan Melayu. Tanpa kontrak sosial keadaan negara akan
kacau dan siapa pun tak boleh hidup dengan aman.

"Sekarang kita tak perlu bercakap pasal kontrak sosial, tetapi soal mengisi dan melaksanakan
Perlembagaan. Itu saja cukup sebab itu kontrak sosial dah," katanya.

Abdul Aziz menghujahkan tidak ada sebab untuk orang Melayu berasa terancam dengan tuntutan
yang dibuat oleh bukan Melayu kebelakangan ini kerana hak orang Melayu dilindungi Perlembagaan.

"Jika Lim Kit Siang (Penasihat DAP) jadi Perdana Menteri sekalipun, dia tak boleh mengingkari Perkara
153, kalau dia nak buat satu perubahan polisi sekalipun dia kena bincang dengan Majlis Raja-Raja
seperti yang dikehendaki Perkara 38 Fasal 5.

"Mereka (Melayu) dilindungi, dijaga dengan baik dalam Perlembagaan, seiapa pun tidak boleh
keluarkan peruntukan berkenaan sewenang-wenangnya, tidak boleh pinda Perlembagaan tanpa
persetujuan Majlis (Raja-Raja), di negeri-negeri tanpa sultan mereka tak boleh pinda tanpa
persetujuan TYT (Tuan Yang Terutama). Jadi apa yang kita nak takut?" katanya.

Bagaimanapun kata beliau, kesilapan sebenar terletak di tangan rakyat kerana beranggapan Perdana
Menteri mempunyai kuasa penuh untuk melakukan segala-galanya termasuk meminda Perlembagaan.

Malah, kata Abdul Aziz, segala kekeliruan yang timbul sekarang termasuk isu ketuanan Melayu
terhasil daripada salah faham dan keengganan pihak yang berkenaan untuk memahami makna
sebenar falsafah-falsafah politik yang ada.

"Itu (ketuanan Melayu) satu lagi falsafah politik. Dalam Perlembagaan ia sebagai identiti kita, bukan
soal ketuanan. Kalau kita bercakap soal ketuanan Melayu - ada tuan dan lainnya ialah kelas kedua
atau hamba iaitu sesuatu yang tidak boleh diterima, sama ada melalui Pelembagaan demokratik atau
malahan dalam Islam.

"Adakah anda katakan yang orang Melayu dapat layanan istimewa dalam semua aspek? Isu ketuanan
Melayu ini pun timbul kemudian dan pada saya lagi banyak anda perkatakan mengenainya, akan
timbul lebih banyak percanggahan," katanya.

Beliau seterusnya menyimpulkan jatuh bangun orang Melayu terletak di tangan bangsa sendiri,
memandangkan mereka telahpun mempunyai perlindungan yang ampuh dalam bentuk Perlembagaan.

"Sebenarnya ia suatu yang memalukan, yang pelik dan ganjil, sudah merdeka 50 tahun kita masih
bercakap soal-soal ini. Sepatutnya perkara ini sudah selesai. Tidak timbul lagi soal Melayu miskin, tak
timbul lagi soal Melayu terancam, soal Melayu terpinggir dan sebagainya," katanya mengakhiri
temubual.

*Abdul Aziz adalah mantan Ketua Jabatan Undang-Undang Awam UIAM, anggota International Bar
Association dan Society of Legal Scholars yang berpusat di London, dan telah banyak menghasilkan
penulisan termasuk tujuh buah buku dan lebih 50 artikel berkenaan undang-undang awam khususnya
undang-undang Perlembagaan.

-- BERNAMA

www.bernama.com

Kami menyediakan langganan  


berita melalui perkhidmatan Newswire.

Kembali Ke Atas

Hak Melayu kekal, PAS tetap pertahan kontrak sosial -


Salahuddin

Written by Hashim Abdullah   

Friday, 09 May 2008

KUALA LUMPUR, 9 Mei - PAS akan mempertahankan kontrak sosial selagi mana ia dapat melindungi hak-hak
orang Melayu dan bukan Melayu kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian,
Salahuddin Ayub.

Ketika menjawab soalan pemberita di lobi Parlimen semalam, beliau berkata prinsip mendapatkan keadilan menjadi
prinsip utama, mengapa setiap ahli Parlimen PAS berada di Parlimen mempertegaskan sikap mereka.

"PAS berperanan mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bukan Melayu, perkara ini tidak pernah berubah dan
inilah yang menyebabkan kita berada disini (Parlimen)," katanya.

Dalam pada itu isu permuafakatan Melayu terus mendominasi perbincangan ahli-ahli Parlimen semasa perbahasan
menjunjung titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.
Sementara, dilobi Parlimen Ahli Parlimen Pakatan Pembangkang terutama dari PAS menjadi sasaran utama
pertanyaan-pertanyaan oleh wartawan-wartawan yang mahukan sikap dan prinsip perjuangan mereka.

Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar pula menyifatkan perpecahan
apa yang berlaku kepada orang Melayu berpunca daripada Umno yang mengamalkan politik perpecahan.

"Di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mereka gangu Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK). Mereka
tubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan di negeri-negeri diperintah pembangkang. Ini semua kerja jahat Umno,"
katanya.
www.pas.org.com
 

You might also like