Professional Documents
Culture Documents
Folio Gasing
Folio Gasing
Folio Gasing
Nama permainan tradisional yang dipilih oleh saya adalah ‘Gasing’. Gasing satu permainan
tradisi masyarakat melayu sejak berkurun lagi. Gasing tidak mempunyai nama lain, tetapi ia
mempunyai pelbagai jenis bentuk. Terdapat beberapa jenis gasing yang popular di beberapa
buah negeri di Malaysia.
LATAR BELAKANG
ASAL-USUL
Mengimbas mengenai permainan gasing itu, ada cerita yang mengaitkan bahawa asal usul
permainan terbabit dengan buah berembang. Berembang yang mudah diperoleh di tepi
pantai berbentuk bulat, licin dan leper itu dikatakan menimbulkan idea orang zaman dulu
untuk meniru bentuk berembang bagi dijadikan sejenis permainan.
Ketika gasing berputar ligat, ia dipanggil ‘gah’ bermaksud tegak dan kuat ketika berpusing.
Mengikut cerita masyarakat di Kedah, ia berasal daripada permainan laga telur yang kerap
dimainkan di kalangan kanak-kanak. Di situ timbul idea mengikut kayu dalam bentuk telur
dan dipasangkan paksi. Bagi memastikan ia berputar ligat, tali digunakan untuk
memusingkannya.
TUJUAN DIMAINKAN
Gasing merupakan sejenis permainan tradisional yang begitu popular pada suatu ketika
dahulu. Kepenatan membanting tulang dalam mencari rezeki menyebabkan orang Melayu
dahulu mencari alternatif untuk bergembira tanpa mengeluarkan belanja yang besar dan
menggunakan bahan terbuang. Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan
bahan terbuang, permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat
Melayu, dan ini terbukti dengan kemunculan pelbagai bentuk gasing serta teknik permainan.
Permainan gasing juga dapat menyerikan lagi rumah tradisional Melayu kerana gelanggang
permainan gasing kebiasaannya dibina di halaman rumah dan di bawah pohon yang
rendang yang meredupkan gelanggang. Permainan gasing bagi orang Melayu juga
mengukur tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi sesuatu situasi.
CARA DIMAINKAN
Dalam permainan gasing, semua pemain mesti mempunyai kemahiran memusing,
memangkah, mengangkat, menegak dan membela uri gasing. Dalam permainan gasing
langkah - langkah yang paling ada bagi setiap pemain untuk bermain gasing ialah:-
1) Melilit Tali
Terdapat 2 cara untuk melilit tali iaitu dengan cara melilit di lengan atau melilit di jari
kelingking. Kedua - dua kaedah ini penting sebelum memulakan permainan kerana tali yang
kemas dan tidak terlalu panjang akan menghasilkan pusingan gasing yang baik. Cara yang
pertama dipakai dengan memasukkan pergelangan tali ke dalam lengan pemain dan
cecincin iaitu hujung tali yang diikat membulat akan menjadi penyimpul hidup. Ini akan
memudahkan pemain kerana apabila ditarik ia tidak mudah terurai. Pusingan tali pada
lengan pula bergantung kepada pemain sama ada dililit pada tangan kanan atau tangan kiri.
Pusingan lilitan bergantung kepada pemain untuk memastikan pemain selesa dengan llilitan
tali tersebut. Lilitan tali biasanya dilakukan sendiri manakala bagi pemain gasing uri
Kelantan mereka tidak melilit tali sendiri, tetapi lilitan dibuat oleh orang lain dan setelah
kemas barulah pemain mengambilnya.
Kaedah yang kedua pula dilakukan dengan membuat lilitan pada jari kelingking pemain.
Pemilihan jari kelingking sama ada sebelah kanan atau kiri bergantung pemain. Cecincin
pada hujung tali akan dimasukkan pada jari kelingking oleh pemain seterusnya tali tadi akan
dililit pada tapak tangan. Biasanya cara ini banyak dilakukan oleh pemain yang telah berusia
kerana dengan cara ini tali akan menjadi lebih panjang dan menghasilkan cengkaman yang
lebih kuat pada gasing. Untuk memudahkan lilitan pada leher gasing, pemain perlu
melilitkan kesemua tali di lengan dengan meninggalkan beberapa sentimeter untuk
memudahkan pemain mengesan kelembapan, kelembutan dan ketegangan tali. Selepas
balingan gasing dibuat, tali akan dililit pada lengan atau tapak tangan sehingga habis bagi
memudahkan tugas mengankat atau menegak uri.
2) Melilit Gasing
Terdapat dua cara melilit pada gasing yang biasa diamalkan, iaitu melilit pada lengan dahulu
kemudian barulah dililit disekeliling gasing. Cara lain adalah seperti yang diamalkan oleh
pemain gasing tradidional iaitu melilit gasing dengan mengikat pada pokok kayu supaya
lilitan menjadi lebih kemas bagi menghasilkan pusingan yang lama. Semua gasing yang
akan dililit hendaklah dipastikan bahu, labu dan pataknya supaya dalam keadaan rata, jika
keadaan labu tidak rata, kerja meratakannya haruslah dilakukan dengan mengikir,
mengetuk atau menggosok dengan kertas kaca. Bagi menghasilakan cengkaman yang kuat
biasanya pemain gasing akan menyapu kanji dibahagian bahu gasing.
Untuk melilit, gasing mestilah dipegang dengan tangan kiri dan tangan kanan pula bersedia
untuk melilit. Ibu jari kiri digunakan untuk menekan rambu pada leher gasing. Lilitan tali
pada gasing adalah melawan arah pusingan jam dan tali hendaklah ditarik dengan ketat dan
kuat. Lilitan kedua dan ketiga hendaklah dilakukan seperti lilitan pertama. Lilitan berikutnya
pula hendaklah sentiasa mencecah ke bahu gasing untuk mendapatkan lilitan yang kemas,
padat dan sejat. Semasa melilit, pastikan yang tali tidak bertindih atau bersilang. Jika ini
berlaku, gasing akan borot dan membahayakan semua orang.
3) Memusing Gasing
Terdapat berbagai - bagai gaya dalam memusing gasing, memusing mengikut cara yang
betul akan menghasilkan pusingan yang tegak, kuat, ligat dan tetap. Untuk menghasilkan
pusingan seperti ini, langkah yang disusun hendaklah mengikut cara yang betul supaya
gasing tidak jatuh mengiring, meleret atau borot. Umumnya terdapat dua jenis pusingan
yang biasa diamalkan, iaitu pusingan sorong tarik dan pusingan sentap.
Untuk pusingan sorong tarik, gasing hendaklah dipegang secara mengiring dan dihayun ke
belakang. Serentak dengan itu mata mestilah tertumpu ke arah sasaran di hadapan.
Kedudukan gasing hendaklah sentiasa mengiring semasa gerakan ini. Semasa menghayun,
gasing mestilah dalam kedudukan mengiring sehingga gasing tiba di hadapan, barulah
gasing ditegakkan sebelum dilepaskan. Kedudukan badan mestilah rendah dan kaki berada
tidak jauh dari sasaran yang hendak dipusingkan. Hayunan tangan pemain hendaklah
mengikut hayunan gasing dan badan membongkok kira-kira 45 darjah. Pusingan gaya ini
agak rendah dan dekat Gambarajah di bawah ditunjukkan cara melakukan teknik pusingan
sorong tarik.
4) Memangkah Gasing
Memangkah adalah satu gerakan yang penting dalam permainan gasing. Tumpuan,
perhatian dan hayunan hendaklah tepat mengenai sasaran supaya gasing akan
menghasilkan uri yang ligat, tegak dan kuat. Tedapat empat gaya pangkahan yang biasa
digunakan oleh pemain dalam apa juga pertandingan, iaitu pangkah totok, pangkah hentak,
pangkah layang dan pangkah tebang.
•Pangkah totok.
Pangkahan dilakukan dari jarak dekat dan pemain perlu membongkokkan badan. Kemudian
gasing mestilah di aras bahu dan siku, separas pula dengan bahu pemangkah. Sasarannya
pula ialah pada bahagian labu, kepala atau bahu gasing. Pangkahan ini bertujuan untuk
menghalakan gasing lawan keluar dari gelanggang. Jika menggunakan gasing yang agak
berat, pangkahan jenis ini kurang sesuai. Gasing yang berbentuk tinggi adalah sesuai
dengan jenis pangkahan ini.
•Pangkah hentak
Untuk melakukan pangkah hentak, badan pemangkah mestilah tegak. Tangan pula
diletakkan tegak atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayun tegak
serta kuat ke arah sasaran. Hayunan ini akan dilepaskan ke sisi kiri atau kanan pemangkah.
Sasarannya ialah pada kepala, labu atau bahu gasing. Jika tepat mengenai sasaran,
kesannya amat ketara kerana ia boleh memecahkan gasing lawan. Sebab itulah dalam
latihan biasa pangkahan ini tidak digalakkan. Jenis gasing yang sesuai untuk melakukan
pangkah hentak ialah gasing berembang dan gasing leper. Pangkahan ini bertujuan
mematikan dan merosakkan gasing lawan.
Kaedah melakukan pangkah hentak. Kedudukan gasing yang tinggi memberikan kekuatan
pada gasing untuk menghentak gasing lawan.
•Pangkah layang Kedudukan tubuh pemangkah mestilah tegak. Tangan pula hendaklah
tegak di atas kepala dengan memegang gasing secara tegak. Gasing dihayunkan ke arah
sasaran dengan kuat, cepat dan kencang. Pangkahan ini selalunya menghasilkan pusingan
yang ligat dan terus keluar dari sasaran selepas memangkah. Sasaran pangkahan jenis ini
ialah bahagian bahu, labu, kepala atau tengkuk gasing.
•Pangkah tebang
Pangkahan ini bertujuan mengeluarkan gasing lawan jauh dari sasaran dan ia juga
merupakan pangkahan jarak jauh. Untuk menghasilkan pangkahan yang kuat, kedudukan
pangkah mestilah tegak. Gasing pemangkah akan mengenai labu gasing lawan serentak
dengan paksinya mencecah ke bumi. Gasing yang paling sesuai untuk tujuan ini ialah gasing
lipat kajang, gasing tanjung dan gasing concord kerana sifatnya yang berat dan pepat.
5) Mengangkat Gasing
Setelah gasing dipusingkan atau dipangkah, ia perlu pula diangkat ke tapak uri yang sesuai
untuk menjamin keligatannya agar terus terpelihara. Mengangkat gasing memerlukan
kemahiran, kesabaran dan kecekapan yang tinggi.
Sebelum gasing diangkat, pemain mestilah terlebih dahulu menentukan liuk arah pusingan
dan kedudukan gasing. Menentukan liuk bermakna mencari liuk atau kedudukan pusingan
terendah bahagian patak dengan bumi. Bahagian terendah inilah yang akan diangkat. Arah
pusingan perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan badan ketika membawa
gasing. Mengangkat gasing dilakukan dengan menggunakan tali dan cokok. Cokok
digunakan untuk gasing yang berbentuk leper dan berat. Kedudukan gasing semasa hendak
diangkat hendaklah berada dakam keadaan tegak kerana jika kedudukannya mengiring ia
akan menjejaskan keligatan gasing. Tali yang digunakan untuk mengangkat gasing mestilah
tegang dan ketika mengangkat patak akan dielakkan dari tersentuh tali kerana ini akan
mengurangkan keligatan pusingan gasing.