Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Belajar secara berkumpulan ialah belajar secara beramai-ramai di sesuatu tempat

untuk membincangkan sesuatu pelajaran. Belajar secara berkumpulan


mendatangkan banyak kebaikan kerana mampu membantu meningkatkan
kefahaman tentang sesuatu pelajaran. Namun begitu, belajar secara berkumpulan
juga mampu memberikan kesan buruk atau kurang efektif sekiranya ahli kumpulan
tidak memberikan komitmen yang sepenuhnya. Oleh itu, setiap ahli kumpulan
hendaklah mempunyai visi yang sama iaitu berkeinginan tinggi untuk belajar agar
aktiviti belajar secara berkumpulan yang dilaksanakan lebih berkesan. Persoalan
yang bermain di benak fikiran kita, apakah faedah-faedah belajar secara
berkumpulan?
Perbincangan pertama mengenai faedah belajar secara berkumpulan ialah ahli
kumpulan dapat saling bertukar idea serta bantu membantu. Hal ini demikian
kerana apabila belajar secara berkumpulan, kita dapat bertukar pendapat tentang
sesuatu pelajaran antara satu sama lain. Sebagai contoh, setiap ahli akan
mengajukan pendapat masing-masing dan pendapat tersebut akan dipertimbangkan
oleh ahli kumpulan yang lain. Setiap ahli kumpulan juga akan bantu membantu
antara satu sama lain tentang sebarang subjek yang mereka lemah dan
bekerjasama bagai aur dengan tebing. Ahli kumpulan yang mahir dalam sesuatu
subjek akan membantu ahli-ahli yang lain dengan menerangkan dengan lebih
terperinci tentang subjek tersebut. Berdasarkan mauduk yang dihuraikan,
terbuktilah bahawa belajar secara berkumpulan mampu mendatangkan kebaikan
kerana dapat bertukar idea serta bantu membantu.
Perbincangan seterusnya mengenai faedah belajar secara berkumpulan ialah
pembelajaran menjadi aktif dan kreatif. Hal ini demikian kerana, aktiviti belajar
secara berkumpulan mampu memberi peluang kepada setiap ahli untuk
menyuarakan pendapat masing-masing. Dalam konteks ini, setiap ahli akan
bergerak aktif dengan menyuarakan idea mereka. Sebagai contoh, setiap ahli
kumpulan bersungguh-sungguh melontarkan buah fikiran masing-masing ketika
mereka membincangkan isu jenayah. Pembelajaran menjadi kreatif kerana ahli
kumpulan dapat menghasilkan sesuatu formula untuk memudahkan mereka
mengingati sesuatu pelajaran. Berdasarkan hujah yang dihuraikan, terbuktilah
bahawa belajar secara berkumpulan memberi banyak faedah kerana pembelajaran
menjadi lebih kreatif dan aktif.
Lontaran idea kedua mengenai faedah belajar secara berkumpulan ialah
pembelajaran menjadi lebih seronok dan tidak membosankan. Belajar secara
berkumpulan memberikan suasana belajar yang menyeronokkan. Hal ini demikian
kerana, seseorang pelajar akan dapat belajar atau membuat ulang kaji dengan
perasaan yang ceria tanpa tekanan daripada guru-guru. Rakan-rakan juga
merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga. Sebagai
contoh, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk bertanya kepada
guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya dia akan
bertanya dan mengeluarkan buah fikiran di depan rakan-rakannya. Berdasarkan
hujah yang dinyatakan, jelaslah bahawa belajar secara berkumpulan banyak
manfaatnya kerana lebih seronok dan tidak membosankan.
Seterusnya, faedah belajar secara berkumpulan ialah dapat mewujudkan
persaingan yang sihat dan menguntungkan. Hal ini demikian kerana belajar secara
berkumpulan mampu membuka langkah kepada pelajar untuk memajukan diri
dalam pelajaran. Sebagai tamsilnya, seorang pelajar berasa tercabar dengan
rakannya yang menguasai kemahiran menjawab dengan lebih baik. Pelajar tersebut
akan berusaha mengukuhkan kemahiran menjawabnya dan seterusnya mencapai
keputusan yang cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran. Perkara ini merupakan
satu persaingan yang sihat kerana setiap pelajar berusaha untuk meningkatkan
prestasi masing-masing dengan bersaing antara satu sama lain dalam bidang
akademik. Berdasarkan mauduk yang dinyatakan, sudah terang lagi bersuluh,
belajar secara berkumpulan memang banyak manfaatnya kerana mampu
mewujudkan persaingan yang sihat dan menguntungkan.

Secara deduktifnya, belajar secara berkumpulan boleh dikatakan sebagai batu


loncatan ke arah kejayaan kerana usaha ini boleh mendatangkan pelbagai faedah
kepada pelajar-pelajar. Belajar secara berkumpulan merupakan langkah yang bijak
bagi pelajar yang ingin mencapai kecemerlangan. Setiap pelajar hendaklah
memberikan komitmen yang sepenuhnya dan tidak melaksanakan aktiviti ini seperti
melepaskan batuk di tangga bagi memastikan aktiviti belajar secara berkumpulan
ini berkesan dan berjalan lancar. Oleh itu, sebagai bakal pemimpin negara, kita
seyogianya melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan memanfaatkan
kaedah belajar secara berkumpulan untuk menjadi seorang yang cemerlang dan
seterusnya memberi sumbangan kepada negara.

You might also like