Professional Documents
Culture Documents
Badawi
Badawi
Badawi
Penjawat kini
26 November 1939
Tarikh lahir
Pulau Pinang
Kawasan pilihan
Kepala Batas
raya
Parti politik
UMNO
Agama Islam
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26
November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan Perdana Menteri Malaysia
ke-5, mewarisi Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan Presiden
UMNO, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Sebelum menjadi Perdana
Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun,
beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO
pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar
Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir
pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr.
Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir
sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.
Biodata peribadi
Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang,
beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang
Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru.
Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada
Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai
Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah
berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa
eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.
Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam
kementerian yang sama pada tahun 1974.
Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada
tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober
2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu
dara sejak 2003.
Setelah hampir 2 tahun menduda, beliau telah terbuka hatinya untuk menerima Jeanne
Abdullah sebagai isteri beliau apabila melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.
Kerjaya politik
Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan
jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan
parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak
1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang
jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula
untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000,
Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.
Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang
pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang
menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas
Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku
Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh
sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau
dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.
Abdullah dikembalikan jawatannya dalam kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan
Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau pernah menjawat jawatan:
Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan
bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam.
Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang merupakan pilihan raya sulung
Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk
Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di
Parliamen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri
itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap
secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding
fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.
Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari penjara, bekas Timbalan Perdana
Menteri, Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir,
memuji Abdullah di khalayak ramai kerana tidak campur tangan sewaktu mahkamah
mengubah keputusan tentang sabitan liwatnya.
Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk
"Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah
harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat
khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak
rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk
kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.
Anugerah
Tahun Nama Anugerah Daripada
Institute of Engineers
2001 Fellowship Kehormat
Malaysia
Republik Rakyat
1997 First Class Order Of Friendship Of DPRK Demokratik Korea (Korea
Utara)
Garis masa
1939: Dilahirkan di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26 November.
1964 (umur 25): Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari
Universiti Malaya; menjadi Penolong Setiausaha, Jabatan Perkhidmatan Awam
(sehingga 1969).
1965 (umur 26): Berkahwin dengan Datin Paduka Seri Endon Mahmood.
1969 (umur 30): Dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha kepada Majlis
Gerakan Negara, Jabatan Perdana Menteri (sehingga 1971).
1971 (umur 32): Dilantik sebagai Ketua Pengarah, Kementerian Kebudayaan,
Belia dan Sukan (sehingga 1973).
1974 (umur 35): Dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian
Kebudayaan, Belia dan Sukan.
1978 (umur 39): Menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas; juga menjadi Setiausaha
Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (sehingga 1980).
1979 (umur 40): Menjadi Ketua UMNO Cawangan Bertam serta Ketua UMNO
Bahagian Kepala Batas.
1980 (umur 41): Dilantik sebagai Timbalan Menteri Kementerian Wilayah
Persekutuan (sehingga 1981).
1981 (umur 42): Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO; menjadi Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (sehingga 1984).
1984 (umur 45): Dilantik sebagai Menteri Pendidikan sehingga 1986; menjadi
Naib Presiden UMNO sehingga 1990.
1986 (umur 47): Dilantik sebagai Menteri Pertahanan (sehingga 1987).
1990 (umur 51): Dilantik sebagai Ketua Delegasi UMNO ke Jawatankuasa
Perundingan Ekonomi Negara/Pengerusi Jawatankuasa Penyusunan Semula
Masyarakat.
1991 (umur 52): Dilantik sebagai Menteri Luar Negeri (sehingga 1999).
1993 (umur 54): Menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO (sehingga 1996).
1996 (umur 57): Menjadi Naib Presiden UMNO.
1998 (umur 59): Menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau
Pinang.
1999 (umur 60): Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada
Januari sehingga Oktober 2003; menjadi Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan
Ekonomi Negara (MTEN).
2000 (umur 61): Menjadi Timbalan Presiden UMNO pada Mei.
2003 (umur 64): Dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima pada 31
Oktober.
2004 (umur 65): Menjadi Presiden UMNO pada September.
2007 (umur 68): Berkahwin dengan Datin Seri Jeanne Abdullah pada 9 Jun.
Alamat
Alamat pejabat
Pejabat Perdana Menteri,
Blok 'A' Pusat Pentadbiran,
Kerajaan Persekutuan Putrajaya,
62502, Putrajaya.
Tel: 03-88888033, 03-88883430
Faks: 03-88883430
E-mel: ppm@pmo.gov.my
Laman web: http://www.pmo.gov.my/
Alamat perhubungan
Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri,
Pejabat Perdana Menteri,
Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya.
Faks: 03-88884333