Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

Tajuk: Ajaran sesat banyak menimbulkan masalah dalam masyarakat dan juga

negara. Bincangkan.

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orangorang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut
adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam, sedangkan hakikatnya
ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada Islam yang berdasarkan
kepada Al-Quran dan Al-Sunnah serta bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal
Jamaah.
Kewujudan ajaran-ajaran sesat dan amalan-amalan sesat dalam masyarakat
Islam di Malaysia bukanlah satu perkara baru dan tidak disedari malah telah lama
wujud di Negara ini. Tetapi kadang-kadang ajaran sesat tidak dapat dikatakan sesat
keseluruhannya kerana ada yang bercampur-aduk di antara benar dan yang salah.
Perkara yang paling rumit dan kritikal sekali adalah dalam ajaran-ajaran berkenaan
dikatakan betul oleh satu golongan dan dikatakan salah oleh golongan yang lain.
Namun begitu, masalah perselisihan pendapat ini adalah disebabkan oleh beberapa
faktor seperti orang yang memperkatakan tentang ajaran itu mempunyai sikap dan
niat tertentu dan mereka yang cuba menilai ajaran tidak mengetahui betul-betul
ajaran berkenaan. Di samping itu, aliran atau ajaran dari kumpulan berkenaan
mempunyai cara-cara pengajarannya mengikut peringkat-peringkat tertentu seperti
pada peringkat awal menonjolkan kebenaran tetapi akhirnya mengandungi ajaran
dan kepercayaan yang mengelirukan, bahkan mempunyai unsur yang bertentangan
dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ajaran-ajaran berkenaan kebanyakannya
tidak disebarkan secara terbuka. Oleh itu, hal ini tidak dapat dibincang dan dinilai
oleh umum secara terus atau terperinci.
Seperti yang kita ketahui, akidah Islam adalah berpusat kepada kepercayaan
kepada Allah, kepercayaan kepada Malaikat, kepercayaan kepada Nabi dan Rasul,
Kepercayaan kepada kitab Al-Quran, kepercayaan kepada Qada dan Qadar, serta
kepercayaan kepada hari Akhirat. Sehingga kini, hampir setiap buah negeri di
Malaysia terdapat ajaran-ajaran yang disebarkan secara senyap-senyap dan
adakalanya mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh agama tempatan. Untuk

makluman, ajaran sesat bukanlah suatu perkara baru bagi kita, malah
kemunculannya di negara ini adalah merupakan adunan dari pengaruh sebelum
Islam dan kepercayaan animisme serta daya reka cipta kuno yang tidak
berlandaskan syariat Islam. Walau bagaimanapun, kemunculan ajaran sesat ini mula
diberi perhatian berat setelah berlaku peristiwa yang menumpahkan darah iaitu
penyerangan kumpulan ajaran sesat yang bertopengkan Tarikat Nurul Zaman ke
atas balai polis Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980, yang telah meragut nyawa
6 orang daripada kumpulan penyerang dan mencederakan kira-kira 23 orang awam.
Hal ini menunjukkan bahawa kes ajaran sesat ini wajar dibanteras kerana boleh
mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat dan negara.
Antara ciri-ciri ajaran sesat yang didapati dalam ajaran-ajaran sesat di
Malaysia adalah pembawa ajaran sesat berkenaan mengaku dirinya sebagai Nabi
dan mendakwa menerima wahyu, mempercayai terdapat Nabi-Nabi lain selepas
Nabi Muhammad, mempercayai wahyu masih lagi turun selepas wafatnya
Rasulullah s.a.w., mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau
mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai
manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi, mendakwa pengikut-pengikut
ajarannya sahaja akan masuk syurga, dan banyak lagi ciri-ciri ajaran sesat yang
terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Ajaran sesat yang terdapat di
Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga bentuk iaitu bentuk yang pertama, Bentuk
Ajaran Baru, yang mana ajaran bentuk tarikat ini biasanya menggunakan berbagaibagai nama seperti Ajaran Crypto, oleh Mokhtar Hassan di Kluang, Selangor dan
Ajaran Ilmu Hakikat oleh Jahar @ Jara b. Dumin. Bentuk yang kedua pula adalah
Bentuk Tarikat, ajaran bentuk Tarikat ini biasanya menggunakan nama-nama Tarikat
yang masyhur dan guru-gurunya menggunakan cara-cara yang berbeza dengan
yang asal atau diubah suai. Terdapat juga Tarikat yang dicipta sendiri oleh
pengasasnya seperti Tarikat Zikrullah oleh Hasan Anak Rimau dan Ayah Pin di
Kelantan, Tarikat Khalid, dan lain-lain lagi. Bentuk yang ketiga adalah Bentuk
Kepercayaan dan Amalan Tradisi, bentuk ini lumrahnya diamalkan oleh orang yang
dianggap Wali kepercayaan kepada dukun-dukun, pawang, bomoh, atau pembawa
ilmu tertentu sama ada melalui menurun dan sebagainya. Jadi, semua bentuk ajaran
ini jelas membawa kepada penyelewengan dari segi akidah yang boleh
menjerumuskan pengamalnya kepada kesesatan.

Kemunculan ajaran sesat adalah disebabkan kecetekan ilmu pengetahuan


mengenai agama Islam. Ia akan memberi kesan terhadap akidah umat Islam.
Apabila terpengaruh dengan ajaran sesat, seseorang itu akan terdedah dengan
aktiviti-aktiviti yang bertentangan dengan ajaran agama Islam seperti melakukan
perbuatan-perbuatan syirik dan khurafat. Contohnya, percaya kepada ibu duit,
pemujaan kubur, dan memuja roh, yang mana semua itu adalah perbuatan khurafat.
Sekiranya kemunculan kumpulan ajaran sesat ini tidak dibendung, ia akan memberi
kesan terhadap diri dan masyarakat. Antara kesan apabila seseorang itu terjerumus
dengan ajaran sesat ialah minda terkongkong. Apabila seseorang itu telah terjebak
dan mengikuti ajaran sesat, minda seseorang itu akan terkongkong, malah
tercetusnya perbuatan dan kelakuan yang tidak rasional kerana sifat ketaksuban
mereka. Seperti yang kita dapat lihat, para pengamal dan pengikut ajaran sesat ini
kadang-kala sering melakukan perkara-perkara yang pelik-pelik dan aneh-aneh yang
menunjukkan ketaksuban mereka dalam mendalami ilmu ajaran sesat ini. Selain itu,
para pengikut ajaran sesat ini akan lupa tanggungjawab terhadap keluarga kerana
mempunyai sifat taksub dan melampau dalam beragama. Hal ini menyebabkan
keluarga tidak terurus dengan sempurna sepertimana yang diamanahkan oleh Allah
S.W.T. dan keadaan ini juga boleh menyebabkan berlakunya keruntuhan institusi
kekeluargaan itu sendiri. Perpaduan dalam masyarakat juga akan tergugat ekoran
ajaran sesat ini kerana berlakunya keganasan dan tindas-menindas sesama sendiri
disebabkan masing-masing ingin menjadi kumpulan yang unggul dan berpengaruh
memandangkan banyak kumpulan ajaran sesat yang wujud dewasa ini. Setiap
kumpulan saling menyaingi antara satu sama lain dalam mngumpul jumlah pengikut
dan dalam menyebarkan ajaran masing-masing. Justeru itu, umat Islam disarankan
agar menjauhi golongan-golongan pelampau agama iaitu mereka yang berpendirian
dan bertindak keterlaluan dalam beragama seperti pelampau syiah, wahabi atau
salafi moden, Islam liberal, dan lain-lain. Bagi menjamin diri dan keluarga tidak
terbabit dengan ajaran sesat, umat Islam jangan jemu mempelajari ilmu berkaitan
Islam kerana mereka yang berilmu tidak akan tersesat dan mudah tertipu
berbanding mereka yang kurang ilmu agamanya. Di samping itu, Iman dan akidah
umat Islam boleh tergugat jika terjebak dalam ajaran sesat ini kerana kebanyakan
perkara yang dilakukan serta yang diamalkan dalam ilmu ajaran sesat ini ternyata
bertentangan dengan syariat Islam. Jadi, sebagai umat Islam yang cinta akan

agama, kita mesti mempertahankan agama Islam dan iman kita supaya tidak mudah
goyah disebabkan oleh sesuatu perkara.
Tambahan pula, seperti yang kita ketahui, kebanyakan ajaran sesat
mensyaratkan pengikut-pengikutnya menyembunyikan ajaran yang dipelajari
daripada diketahui oleh orang lain kecuali pengikut-pengikutnya sahaja. Hal ini amat
berbeza sekali dengan kehendak Islam kerana Islam adalah satu agama yang
menghendaki umatnya menyeru untuk menyampaikan perkara baik kepada manusia
sejagat secara terus-terang dan tidak bersembunyi-sembunyi. Jadi, ternyatalah
ajaran sesat tidak mengikut seperti apa yang dikehendaki oleh Islam dan tidak patut
diamalkan oleh sesiapa pun. Firman Allah yang bermaksud:
Katakanlah (Wahai Muhammad) inilah jalanku, aku dan orang-orang yang
menurutku menyeru manusia semuanya kepada agama Allah dengan berdasarkan
keterangan dan bukti yang jelas nyata.
(Surah Yusof: 10)
Islam berkembang melalui strategi dakwah iaitu dengan jalan menyeru dan
meyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada manusia seluruhnya. Justeru itu, kalau
ditinjau sejarah pengutusan Rasul-rasul, kita akan dapati bahawa tugas utama
mereka ialah menyeru dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. dalam setiap zaman
dan generasi. Maka, sebab itulah tugas para Rasul ialah menyampaikan, bukan
menyembunyikan. Mustahil bagi seseorang Rasul itu menyembunyikan risalah Allah
yang diamanahkan kepadanya untuk disampaikan atau disebarkan. Jelas di sini
bahawa menyampai atau mengajar sesuatu ilmu atau ajaran yang baik itu adalah
dituntut oleh Islam. Bukan seperti ajaran sesat yang menyembunyikan tentang
aktiviti dan kegiatan mereka daripada pengetahuan umum. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa ajaran mereka ini tidak betul dan terpesong kerana mahu
menyembunyikan kegiatan mereka daripada masyarakat, hanya pengikut-pengikut
ajaran berkenaan sahaja yang mengetahui tentang aktiviti mereka. Di samping itu,
ajaran-ajaran sesat ini banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan
negara. Apabila seseorang itu terlibat dalam ajaran sesat, akidahnya akan rosak
kerana masa banyak terbuang dengan melakukan aktiviti yang tidak sihat dan
bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja serta melakukan amalan-amalan

syirik dan khurafat. Mereka wajib bertaubat kepada Allah dan kembali kepada ajaran
Islam yang sebenar. Selain itu, masalah yang akan timbul kepada negara pula
ekoran daripada kes ajaran sesat ini adalah negara akan menjadi mundur.
Penglibatan seseorang individu dalam ajaran sesat akan menjadikan diri individu itu
tidak proaktif dan hanya membuang masa sahaja. Hal ini akan menyebabkan
prestasi ekonomi negara terjejas kerana prestasi sesebuah negara itu bergantung
kepada sumbangan dan produktiviti rakyatnya. Negara juga akan menjadi tidak
stabil kerana penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan
keharmonian masyarakat. Hal ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi
negara. Akibatnya, negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan
untuk mengekalkan kestabilan sesebuah negara itu.
Pihak pembangkang juga tidak ketinggalan dengan mengatakan kerajaan
sesat. Para pengundi yang tidak memangkah mereka diancam akan masuk
neraka.Pihak berkuasa kerajaan pula menyenaraikan 125 kumpulan ajaran sesat.
Tidak masuk dalam senarai tetapi juga dianggap sesat ialah kumpulan
pembangkang yang menggunakan agama untuk kepentingan politik. Dalam keadaan
begini, akhirnya masyarakat Islam jadi bingung. Siapa yang sesat, siapa yang tidak
sesat? Nampaknya terlampau banyak pihak yang cukup seronok mengutarakan isu
sesat menyesat, sambil menuding jari kepada orang lain tanpa menyedari diri
mereka sendiri mungkin sesat. Di dalam al-Quran, Allah s.w.t. melarang tegas
perbuatan menuduh orang lain sesat kerana jika tuduhan kita tidak betul, akhirnya
kesesatan itu akan dipikul oleh yang menuduh. Rasulullah s.a.w pula mengingatkan
tentang sebilangan umatnya yang menjadi 'muflis' dari segi pahala kerana
amalannya diperoleh orang lain yang dituduhnya sesat. Siapakah yang sebenarnya
sesat? Dalam al-Quran terdapat banyak istilah, antaranya al-dhallun, al-kafir, almunafik dan al-fasik. Mereka yang memikul label ini adalah orang-orang yang sesat.
Mereka yang tidak sesat hanyalah orang-orang yang beriman dari kalangan umat
Islam. Dalam Surah al-Anfal, ayat 2, Allah berfirman:
''Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila
disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhanlah mereka
bertawakal.''

Ini adalah tanda yang cukup jelas. Jika seseorang itu tidak merasai gementar
apabila disebut nama Allah, maka bermakna tiadalah iman dalam diri mereka.
Sekalipun mereka berwirid beribu kali, cukup sembahyang dan berpuasa. Mereka
yang gementar hati inilah yang dijamin oleh Allah tidak sesat. Ini bukan fatwa ulama
yang boleh kita pertikaikan, tetapi adalah firman Allah. Kebanyakan ulama hari ini
hanya banyak bercakap dan orang-orang yang jahil pula terus mengikut sekalipun
dikatakan bahawa Allah mencarut. Ulama begini akhirnya jadi fasik (rosak amalan)
dan yang mengiakan turut sesat. Timbulnya perbalahan di dalam memahami isu
ajaran sesat ini adalah kerana kita tidak berpandukan al-Quran dan sunah. Masingmasing mengikut tafsiran ulama masing-masing. Akhirnya isu berlarutan tanpa
noktah dan masyarakat Islam di Malaysia menjadi semakin kabur. Pihak yang
berkewajipan mestilah mencari penyelesaian, bukan sekadar mengumumkan jumlah
ajaran sesat apabila ditanya oleh pemberita. Misalnya, Jakim tidak berhak mendabik
dada bahawa isu Al-Arqam sudah selesai jika setakat menghukum mereka sesat,
tanpa membimbing mereka ke jalan yang betul. Sebab itulah tidak mustahil kalau
kita melihat sebilangan mereka masih aktif pada hari ini kerana tiada siapa yang
mampu menunjukkan contoh teladan atau jalan yang lebih baik daripada yang
mereka telah lalui. Kebanyakan mereka yang terperangkap dengan ajaran sesat
ialah mereka yang ada keinginan untuk menjadi baik. Sesuai dengan firman Allah di
dalam ayat 35, surah al-Maidah:
'' Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah kepada Allah dan carilah
jalan untuk mendekatkan diri kepada-Nya dan berjihadlah di jalan-Nya supaya kamu
mendapat keberuntungan.''
Sepatutnya jalan ini ditunjukkan oleh para ulama, malangnya, sebahagian
daripada mereka melakukan apa yang Allah tegah dengan bercakap tidak serupa
bikin. Akhirnya, mereka ini menjadi fitnah kepada agama Allah yang suci. Fasih
membaca al-Quran, pandai mengeluarkan hukum halal haram tetapi mereka jugalah
pencaci, pemarah dan pencela. Berselindung di sebalik serban dan ijazah untuk
mempengaruhi masyarakat. Marilah sama-sama menyeru umat Islam supaya
menjadikan Islam sebagai cara hidup dan benar-benar beriman dengan menjadikan
al-Quran dan sunnah sebagai pegangan. Bukan setakat bersembahyang, berpuasa,
dan menunaikan zakat, tetapi mencakupi kehidupan keseluruhan termasuk tutur

kata, pergaulan sesama manusia, pendidikan, dan ekonomi. Barulah kita mendapat
bimbingan Allah dan terselamat daripada kesesatan. Kita semua umat islam, perlu
berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah, iaitu menggunakan disiplin dan
metodologi yang jelas dalam memahaminya. Sebarang pentafsiran al-Quran perlu
merujuk mufassirin. Manakala huraian hadis perlu merujuk kepada muhaddithin.
Inilah dunia hari ini yang semakin menuju ke gerbang kiamat, segala yang
dinyatakan oleh Nabi S.A.W. semakin hari semakin terpapar di skrin mata manusia.
Masihkah kita leka dengan kehidupan yang akan habis ini? Bagaimanakah keadaan
sekeliling kita yang sentiasa menumbuhkan pemikiran-pemikiran sesat? Inilah tandatanda kiamat. Kepada yang sudah tersesat, pulanglah ke pangkal jalan.
Sesungguhnya dosa mensyirikkan Allah adalah dosa yang tidak terampun.

RUJUKAN
http://www.scribd.com/doc/2764156/AJARAN-SESAT-DI-MALAYSIA

ajaran sesat di Malaysia by onemahmud, 14/3/2011


http://ibnismail.wordpress.com/2008/07/18/kesan-ajaran-sesat-terhadap-dirikeluarga-dan-masyarakat/
Kalam Abu Musaddad by Abu Musaddad, 14/3/2011
http://zikrihusaini.com/ajaran-sesat-di-malaysia-semakin-parah/
Ajaran sesat di Malaysia semakin parah, 16/3/2011
http://www.sabah.edu.my/cwm010/ajaransesat.htm
Nota Tingkatan 5 (Ajaran Sesat), 16/3/2011

You might also like