Professional Documents
Culture Documents
Rumah Limas Negeri Johor
Rumah Limas Negeri Johor
0 PENDAHULUAN
Seni bina rumah limas tergolong dalam budaya kebendaan. Sebenarnya, seni
bina rumah limas banyak menerima pengaruh luar. Antaranya penjajahan
Belanda dan British di Tanah Melayu, pengaruh kemasukan agama Islam serta
pengaruh daripada seni bina rumah Indonesia. Hal ini demikian dapat dilihat
melalui transformasi rumah bumbung panjang iaitu rumah tradisional Melayu
Johor kepada rumah limas. Masyarakat Melayu tradisional Melayu Johor telah
mengadaptasi seni bina luar ke dalam seni bina rumah limas. Contohnya melalui
pembinaan tangga yang mempunyai maksud tertentu. Pengaruh ini bukan
sahaja diserap oleh masyarakat Melayu Johor namun masyarakat Melayu amnya.
Seni bina rumah masyarakat Melayu Johor ini mempunyai nilai estetika yang
perlu dikekalkan dan diwarisi daripada satu generasi ke satu generasi.
Menurut Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh (1997: 70), rumah Melayu
bentuk limas mula berkembang dan popular di Malaysia sejak pertengahan kurun
ke 19. Pengaruh kebudayaan luar khususnya daripada Kepulauan Melayu seperti
Pattani, Acheh, Minangkabau, Jawa, Bugis, Riau, Jambi, dan Bajau telah
mempengaruhi seni bina dan reka bentuk rumah Melayu. Contohnya Rumah
Minangkabau, Rumah Bugis, Rumah Belanda, dan Rumah Bujang. Kedatangan
penjajah Barat khususnya Belanda dan Inggeris pula telah menyebabkan rumah
tradisional Melayu Johor berubah bentuk daripada rumah bumbung panjang
kepada rumah limas iaitu berbeza pada kedudukan bumbungnya (Abdul Halim
Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997:67). Dapatlah dikatakan bahawa semua
rumah tradisional negeri di Malaysia mempunyai rumah bumbung panjang
namun, selepas kedatangan penjajah dan kemasukan pengaruh luar, seni bina
dan bentuk rumah tradisional Melayu mengalami perubahan bentuk seperti limas
atau bumbung Belanda di Johor.
1 | Page
Garis besar rumah Limas terdiri daripada tiga bahagian, iaitu bahagian depan,
bahagian tengah dan bahagian belakang. Pada bahagian depan rumah terdapat
tangga dengan anak tangga berjumlah ganjil. Bahagian dalamnya pula berupa
pelataran yang luas. Ruangan ini dijadikan pusat berkumpul pada majlis-majlis
seperti kenduri dan majlis Marhaban. Ruang tamu sekaligus akan dijadikan
ruang pamer untuk menunjukkan kemakmuran pemilik rumah. Pada bahagian
ruangan dinding akan dihiasi dengan ukiran bermotif flora yang dicat dengan
warna keemasan. Ruang bahagian belakang digunakan sebagai dapur.
Dengan istilah lain, bahagian depan digelar rumah ibu (sempena menghormati
peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga), bahagian tengah
sebagai rumah tengah dan bahagian belakang ialah rumah dapur
(www.sumsel.go.id/seniBudaya). Kebiasaannya pada bahagian hadapan rumah
mesti mempunyai bahagian lantai yang lebih rendah daripada aras rumah ibu.
Bahagian tersebut berbumbung namun selalunya tak berdinding dan cuma
berpagar susur (railings). Bahagian ini juga dipanggil serambi, ataupun selasar
(www.dipardass.go). Ruang ini menjadi tempat pengantara di antara bahagian
luar rumah dan dalam rumah untuk tujuan melakukan pekerjaan, beristirahat
atau menerima tetamu yang bukan muhrim. Pada bahagian belakang rumah pula
terdapat pelantar yang menjadi tempat kerja basahan atau basuhan.
Rumah limas mempunyai bumbung lima atau limas (atap perisai). Bumbung
lima ialah jenis yang ada lima perabung atau empat perabung seperti piramid
untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf (http://myschoolnet.ppk.kpm.my).
Lebih canggih lagi, bumbung lima ini ditambah struktur segitiga di atasnya
yang dipanggil limas (dari lima emas karena suatu masa dulu hanya rumah
orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula
digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau).
Sifat paling ketara pada rumah limas adalah pada struktur binaannya yang
didirikan di atas tiang. Kelebihan yang diperolehi daripada keterapungan ini;
termasuklah mengelakkan daripada mudah dimasuki haiwan liar, dan dapat
mengelak air daripada masuk ke rumah jika berlaku banjir. Rumah juga akan
lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi dan
bawah). Selain itu, ruang kosong pada bahagian bawah rumah (juga disebut
polong) menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan barang.
Seni bina rumah limas dikaitkan dengan sifat kreatif masyarakat Melayu serta
hubungan mereka yang sangat erat dengan persekitaran dan pegangan mereka.
Antara faktor yang mempengaruhi seni bina rumah limas ialah faktor iklim,
agama Islam, sosial dan alam sekitar. Faktor agama Islam menyebabkan rumah
didirikan mengikut arah kiblat dan ruang di antara kaum lelaki dan perempuan
dipisahkan. Rumah limas mempunyai bilik yang lebih daripada satu. Hal ini
demikian merangkumi bilik tidur utama, bilik tidur anak lelaki, bilik tidur anak
perempuan dan bilik tidur tetamu. Selain itu, pembahagian rumah kepada rumah
ibu, rumah tengah dan rumah dapur juga merupakan pengaruh sosio agama
masyarakat Melayu terdahulu termasuklah dalam masyarakat Melayu Johor.
Kewujudan konsep pelan terbuka menyebabkan wujudnya pelbagai bentuk
simbol fizikal pemisah. Zon tetamu biasanya pada bahagian hadapan manakala
zon keluarga pada bahagian belakang rumah (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et.
al 2004: 33).
Faktor iklim dan lokasi perumahan yang berhampiran dengan hutan pula
menyebabkan rumah limas ini bertiang dengan lantainya tinggi daripada
permukaan tanah supaya dapat mengatasi kelembapan tanah dan dapat
3 | Page
mengelak daripada dimasuki haiwan liar (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al
2004: 28). Selain itu, tiang ini juga dapat mencegah ruang di dalam rumah
ditenggelami air jika berlaku banjir.
Budaya masyarakat Melayu kaya dengan kiasan atau pengaruh daripada agama
Islam sehinggakan pengaruh seni bina Barat juga tidak mampu menandinginya.
Rumah limas biasanya dibina menghadap matahari naik atau jatuh untuk
menyesuaikannya dengan arah kiblat dan juga untuk mengawal suhu di dalam
rumah (Abdul Halim Nasir dan Wan Hashim Wan Teh 1997: 36). Orang-orang tua
juga mempercayai bahawa kebiasaan membuka tingkap pada awal pagi
walaupun matahari belum terbit akan memanggil malaikat pembawa rezeki.
Pintu dan tingkap pula dihiasi dengan ukiran berbentuk awan larat yang indah
sebagai tanda mengalu-alukan tetamu yang datang kerana mereka dianggap
membawa rezeki.
Unsur sufisme dalam seni bina rumah limas adalah sebagai satu perumpamaan
kubur supaya sentiasa mengingati kematian. Dengan itu, manusia akan
menjauhi perkara-perkara yang dilarang dan mengamalkan perkara yang
diperintahkan oleh Allah S.W.T. Konsep ini dapat dilihat pada rumah limas yang
mempunyai petunjuk langit pada bahagian hujung kiri dan kanan bumbung dan
berbentuk batu nisan. Unsur ini juga sebagai perlambangan bahawa manusia
mendapat cahaya daripada langit.
Anak tangga rumah Melayu tradisional sengaja dibina dengan bilangan ganjil
kerana bilangan genap menunjukkan kesempurnaan dan ia hanya milik Allah
S.W.T. Hal ini demikian juga sama dengan seni bina rumah limas. Bilangan ganjil
menunjukkan manusia sebagai hamba-Nya yang lemah dan tidak sempurna.
Biasanya masyarakat Melayu tradisional mengambil bilangan 3, 5, 7 dan 9 anak
tangga. Angka 7 sering dikaitkan dengan pengertian 7 petala langit, 7 petala
bumi, 7 hari dan sebagainya. Hal ini demikian menjelaskan bahawa masyarakat
Melayu tradisional sering mengadaptasi isi kandungan al-Quran dalam seni bina
rumah mereka (http://www.palembang.go.i).
Perubahan turut berlaku dalam aspek alat atau keperluan asas serta perkakasan
dan hiasan rumah. Rumah limas menuntut tuan rumah menyediakan meja dan
kerusi pada bahagian anjung atau beranda rumah di samping, di ruang makan
dan ruang tamu. Langsir tingkap yang menjadi bahagian terpenting pada rumah
limas juga memerlukan penggunaan jumlah kain yang banyak untuk dipadankan
dengan panjang dan lebar tingkap tersebut. Selain itu juga, rumah limas
mempunyai ruang tamu yang khas dan boleh diubahsuai untuk keperluan
anggota rumah (Rahmah Bujang dan Nor Azlin Hamidon 1998:124). Hiasan
rumah perlu dipelbagai mengikut kesesuaian pembahagian ruang dalam rumah.
Perkara ini menjadi suatu kebiasaan bagi pemilik rumah limas. Namun begitu,
bagi masyarakat moden, semua ini tidak menjadi kemestian kepada pemilik
rumah kerana tuan rumah berhak menentukan keadaan rumah mereka sendiri.
Tambahan pula, kemasukan unsur barat, timur dan juga pengaruh Indonesia
dalam membawa imej pada hiasan sesebuah rumah mula menarik minat
masyarakat moden terhadap aspek hiasan dalaman rumah. Buktinya semakin
ramai masyarakat di Malaysia termasuklah masyarakat Johor sendiri
mengimpikan struktur binaan rumah ala barat yang jauh lebih ringkas dan
memerlukan kos yang lebih rendah. Pengaruh kenaikan suhu dunia juga sedikit
sebanyak telah mengubah seni bina rumah limas iaitu dengan pengaruh alat
penghawa dingin.
rumah tersebut (Mohd Tajuddin Mohamad Rosli et. al 2004:29). Apabila mencapai
kata sepakat, mereka akan mengadakan upacara menyembelih haiwan berkaki
dua atau empat seperti ayam dan kambing untuk tujuan mesyuarat bagi mencari
sumber bahan binaan, tempat yang ingin didirikan, waktu pendirian, pengadaan
bahan dan mencari pembuatnya. Dalam majlis mesyuarat tersebut, turut
diadakan majlis bacaan doa selamat bersama seluruh penduduk kampung. Majlis
tersebut diadakan pada malam Jumaat.
Ibarat sudah terhantuk baru hendak tersedar, begitulah halnya dengan nasib
masyarakat Johor. Rumah tradisional ini telah dijadikan sebagai salah satu
6 | Page
cadangan bagi mengatasi masalah kerosakan yang teruk akibat banjir yang
kerap melanda negeri tersebut sejak akhir-akhir ini. Memetik kenyataan Menteri
Besar Datuk Abdul Ghani Othman oleh Bernama, kerajaan negeri Johor akan
mengetengahkan reka bentuk "Rumah Limas Johor" yang didirikan di atas tiangtiang, untuk membina projek-projek perumahan di kawasan yang kerap dilanda
banjir (Berita wilayah, Berita Selatan Mei, 24). Keadaan ini telah memberi nafas
baru kepada rumah limas kerana setelah sekian lama dipinggirkan, barulah
maksud seni binanya disedari oleh masyarakat moden pada hari ini. Rumah
Limas, akan dibina menerusi projek-projek perumahan kerajaan negeri dan akan
menggunakan konkrit dan bukan kayu berikutan harga bahan mentah berkenaan
yang mahal di pasaran. Kerajaan negeri bercadang mengketengahkan reka
bentuk itu pada tahun ini dengan harga di antara RM60,000 dan RM70,000
sebuah (Berita wilayah, Berita Selatan Mei 24).
Tambahan pula, usaha mempopularkan semula rumah limas juga sedang giat
dijalankan bagi menerangkan kepada orang ramai tentang seni warisan
tradisional Johor. Program-program seperti program merakyatkan seni budaya
yang dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa)
dan Kerajaan Negeri Johor dilihat sebagai antara contoh usaha dan perlu
diteruskan demi mempertahankan seni warisan dan kebudayaan negeri daripada
hilang dimakan zaman.
3.0 KESIMPULAN
Sesungguhnya budaya, kesenian dan kesusasteraan dalam sesebuah negeri
sebenarnya mencerminkan identiti negeri dan masyarakat negeri berkenaan.
Oleh itu, keperluan untuk kita mempertahankan seni warisan tersebut amatlah
dituntut bagi menghalangnya daripada hilang dimakan masa dan lenyap dipukul
badai. Dalam seni bina tradisional rumah limas, langkah yang lebih drastik
perlu diambil untuk memelihara dan memulihara saki baki rumah limas dan
mengkomersialkannya untuk tatapan generasi masa hadapan. Jangkaan masa
hadapan terhadap kewujudan rumah ini pada masa hadapan masih lagi kabur
memandangkan minat serta kecenderungan generasi kini terhadap rumah limas
semakin terpinggir. Oleh hal yang demikian, program pembudayaan seni warisan
perlulah dijalankan dari masa ke masa untuk terus mempromosi rumah limas ke
arena yang lebih global lagi.
7 | Page