Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Peranan Masyarakat Dalam Menyelamatkan Alam Sekitar

Ditulis oleh Rosmidzatul Azila binti Mat Yamin.


http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/artikel/7756-peranan-masyarakat-dalammenyelamatkan-alam-sekitar

Pada hari ini pencemaran alam sekitar berlaku di mana-mana dan ia merupakan satu perkara
yang besar bukan sahaja di negara kita, malah turut juga dihadapi oleh negara-negara
membangun yang lain. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku?Pencemaran yang berlaku
secara berleluasa di negara kita adalah disebabkan oleh pelbagai unsur. Mengikut hasil kajian
yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak 91% kejadian pencemaran terutamanya
pencemaran sungai yang berlaku di negara kita adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis
haiwan mahupun najis manusia.
Antara faktor lain berlakunya pencemaran termasuklah disebabkan oleh bahan kumbahan dan
baja yang digunakan untuk tujuan pertanian terutamanya yang mengandungi galian seperti
nitrat dan fosfat. Pencemaran juga berlaku adalah disebabkan oleh penghasilan kelodak dan
bahan-bahan lain berbentuk pepejal seperti tanah, bahan buangan daripada kawasan
pembinaan serta kawasan perbandaran dan juga disebabkan oleh hakisan tebing sungai
apabila berlakunya hujan lebat.
Di samping itu, bahan buangan daripada kilang-kilang, pembasmian hutan dan pembangunan
industri juga menjadi punca berlakunya pencemaran terhadap alam sekitar kita. Mungkin ada
antara kita yang sedia maklum bahawa kebanyakan bahan pencemar selalunya cepat tersebar
dan boleh meliputi kawasan yang luas dalam jangka masa yang singkat sahaja. Pencemaran
seperti ini boleh juga disifatkan sebagai pencemaran jangka pendek. Manakala, bagi
pencemaran jangka panjang pula, ia memerlukan perhatian yang khusus walaupun ianya
masih lagi pada tahap yang rendah di negara kita, kerana ia boleh memberi kesan yang besar
kepada seluruh ekosistem melalui rantaian hidupan.
Pencemaran tanah dan air bawah tanah misalnya tidak boleh tersebar dalam jangka masa
yang cepat. Namun demikian ia boleh memberi kesan yang besar kepada hidupan
terutamanya jenis haiwan yang menghuni sesuatu ekosistem. Sebagai contoh, aliran
kehidupan biasa dalam kitar pembiakan haiwan seperti spesies katak sudah terganggu,
puncanya adalah merujuk kepada pencemaran dan keracunan yang berlaku disebabkan oleh

pencemaran jangka panjang, dan sebahagian saintis khuatir sekiranya keadaan tersebut
berterusan, ia akhirnya akan turut memberi kesan kepada manusia.
Sebagai individu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengatasi masalah pencemaran alam
sekitar kita pada hari ini? Sebenarnya kuasa untuk menyelamatkan alam sekitar kita adalah
terletak di tangan kita sendiri. Bila-bila masa sahaja kita boleh katakan tidak' kepada
pembasmian hutan dan juga persekitaran yang kotor. Sebagai contoh, kita mempunyai kuasa
untuk mendesak para pemaju dan penjaja supaya mereka lebih mesra alam' dalam
menjalankan kerja mereka.
Kita sebagai individu juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli rumah dalam kawasan
ladang yang mana pemaju telah menebang semua pokok untuk tujuan pembukaan kawasan
perumahan. Kita sepatutnya bertanya pada diri kita sendiri, mengapa perlu kita tinggal di
kawasan persekitaran yang tidak selamat dan selesa? Hanya kita sendiri sahaja yang berhak
untuk katakan tidak' ataupun ya' dalam memastikan kita hidup dalam suasana persekitaran
yang bersih dan selesa.
Kegagalan untuk menjaga kebersihan alam sekitar juga boleh memberi kesan yang besar
kepada sektor pelancongan di negara kita, misalnya ia akan membantutkan kegiatan-kegiatan
pelancongan sama ada yang sedia ada ataupun yang bakal diterokai. Sebagai contoh, pada
penghujung tahun lepas, pelabur telah menolak rancangan untuk membina hotel di Pantai
Pasir Gemuruh berhampiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang kerana kawasan tersebut telah
diancam pencemaran. Kawasan tersebut yang dahulunya bersih dan cantik, kini telah
dipenuhi dengan sampah sarap.
Selain itu, 50% sungai di negara kita juga telah tercemar , dan 5% daripadanya berada pada
tahap yang sangat tenat. Jika diamati, kini tiada lagi kawasan air terjun di Pulau Pinang,
Sungai Klang pula tercemar teruk dan kawasan perlombongan di Batu Pahat, Johor juga
dipenuhi dengan sampah sarap.
Bagi memastikan persekitaran kita selamat untuk didiami, orang awam perlu mengambil
berat dan memberi perhatian terhadap kebersihan di dalam dan juga di luar rumah mereka
terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi dari rumah.
Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga
kebersihan, misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan sistem

perparitan, kerana ia akan menyebabkan sistem saliran tersumbat dan akhirnya akan
membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlakunya banjir dan sebagainya.
Misalnya kejadian banjir besar yang berlaku di Johor pada tahun lepas telah menyebabkan
kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar, iaitu sebanyak RM1 bilion hanya untuk
memperbaiki kemudahan-kemudahan asas yang rosak akibat banjir tersebut. Ia jelas
merugikan apabila kita terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang besar hanya untuk
membaik pulih kerosakan akibat daripada banjir tersebut. Adalah lebih baik sekiranya kita
dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat seperti untuk
tujuan pembinaan sekolah dan juga hospital.
Bukan itu sahaja, malah kita juga memerlukan penguatkuasaan yang bersepadu dalam
membanteras pembalakan haram. Ini kerana, pembalakan haram merupakan salah satu
daripada kegiatan yang turut memusnahkan dan mencemar alam sekitar kita termasuk sungai
dan juga laut. Daripada kerja pembalakan haram tersebut juga, ia akan turut membawa
kepada musnahnya kebanyakan habitat semula jadi ikan air tawar yang sedia ada.
Selain memusnahkan habitat semula jadi ikan air tawar, aktiviti pembalakan haram juga akan
turut memusnahkan kebanyakan habitat hutan yang seterusnya akan membawa kepada
masalah-masalah lain seperti hakisan tanah, banjir, pemanasan sejagat dan sebagainya. Kita
sepatutnya sedar bahawa habitat hutan sangat penting bukan sahaja kepada kita, malah juga
kepada alam sekitar kita. Seperti yang kita sedia maklum, kewujudan tumbuh-tumbuhan
adalah sangat penting terhadap alam sekitar yang mana ia sangat diperlukan bagi
membolehkan penggunaan karbon dioksida oleh tumbuh-tumbuhan dan pengembalian
oksigen untuk tujuan pernafasan.
Kewajipan menjaga kebersihan alam sekitar adalah terletak sepenuhnya di tangan kita. Sudah
tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang sikap tak apa' dalam diri masing-masing
untuk melindungi dunia daripada melakukan pemusnahan terhadap alam sekitar secara
berterusan. Ia merupakan tugas dan kewajipan akhlak kita di muka bumi ini untuk menjaga
dan memelihara alam sekitar kita sebagaimana ia telah memberi pelbagai manfaat kepada kita
berabad lamanya.
Selain itu, kita juga memerlukan proses pembaikan dalam senario pemuliharaan di negara
kita. Langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan mesej yang jelas mengenai
unsure-unsur pemuliharaan alam sekitar yang betul dapat disampaikan kepada setiap anggota

masyarakat bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita terus terpelihara. Setiap anggota
masyarakat perlu sedar bahawa usaha pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masingmasing, kerana kesedaran dalam diri setiap individu adalah sangat penting. Jika semua
anggota masyarakat bertanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing dan
bekerjasama untuk menyelamatkan alam sekitar, pastinya alam sekitar kita akan dapat
diselamatkan dan dipelihara sepenuhnya.

You might also like