Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Mongkut dan Chulalongkorn: Reformasi atau Penyelamat

Kemerdekaan Thailand?
Thailand merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang telah berjaya mengekalkan status kemerdekaannya
daripada diganggu gugat oleh kuasa-kuasa luar sehingga ke hari ini. Kejayaan ini memperlihatkan keupayaan dan daya
usaha pemimpin terdahulu dalam merencanakan hubungan baik dengan bangsa asing. Tugas atau legasi kepimpinan
dipikul dengan berhati-hati kerana bimbang dengan kemaraan kuasa Eropah yang telah menghantui Asia Tenggara sejak
abad ke-19. Namun, situasi sukar ini telah mematangkan negara Thailand dalam mencartakan hubungan luarnya.
Perkara yang membezakan Thailand dengan wilayah di Asia Tenggara ialah tiada satu kuasa Eropah yang mendakwa
Thailand di bawah jajahannya. Keadaan ini bersabit dengan kebijaksanaan pemimpin Thailand yang menyambut atau
mempelawa bangsa asing untuk melebarkan jaringan perniagaan mereka. Walaupun begitu, masih wujud pertembungan
budaya yang kadang-kadang mengundang konflik. Kebijaksanaan dan kepimpinan Raja Mongkut (1851-1868) dan Raja
Chulalongkorn (1868-1910) terus menghidupkan nyalaan kemerdekaan daripada di padam oleh kuasa Barat. Oleh itu,
penulisan ini akan menjawab persoalan bagaimana Thailand tetap berdiri sebagai negara merdeka sedangkan bangsa lain
tersungkur jatuh di tangan kuasa Eropah.
Pengekalan Thailand sebagai sebuah wilayah yang merdeka didorong oleh kebolehan pemerintahnya pada ketika
itu, Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn. Dua individu ini merupakan tokoh yang berkaliber dan mempunyai daya
kepimpinan yang berbeza berbanding dengan pemerintah Thailand sebelum ini. Dalam mengekalkan status
kemerdekaan wilayah Thailand, Raja Mongkut telah mengambil inisiatif untuk membuka pintu negaranya kepada dunia
luar. Tindakan berani Raja Mongkut ini didorong oleh peristiwa kegagalan negara China menghadapi kuasa Barat dalam
mempertahankan dasar isolasi yang diimplementasikan oleh negara berkenaan. Dasar pintu terbuka ini telah membuka
ruang dan peluang kuasa Eropah mendapatkan bahagian dari sudut ekonomi di Thailand. Perjanjian Bowring 1855 yang
ditandatangani oleh Raja Mongkut dengan Sir John Bowring turut memperjelaskan sikap pemerintah Thailand ini
terhadap kuasa Barat. Dalam perjanjian ini, Britain diberi kebenaran untuk melakukan urus niaga dan dibenarkan untuk
menyewa atau membeli tanah yang berhampiran dengan kawasan bandar. Cukai bagi barangan turut dikurangkan
menjadi 3% ad valorem dan candu dibenarkan di import tanpa cukai. Pada peringkat awal hubungan ini memberi
kebimbangan kepada Raja Mongkut kerana telah berlaku percanggahan budaya dan perlanggaran nilai tradisi antara
bangsa Thailand dengan bangsa Eropah. Kejayaan British ini telah menarik perhatian kuasa Eropah yang lain untuk
melakukan aktiviti ekonomi di Thailand.
Selain daripada dasar pintu terbuka yang dilakukan oleh Raja Mongkut, hubungan antara kuasa Eropah iaitu
British dan Perancis turut membantu mengekalkan kemerdekaan negara Thailand. British dan Perancis memiliki
kepentingan tersendiri di wilayah Asia Tenggara di mana British ingin mengawal keselamatan wilayah jajahan takluknya
iaitu Burma dan Tanah Melayu. Sementara itu, Perancis turut memiliki tujuan yang sama iaitu ingin menyelamatkan
kepentingan ekonomi di Indochina. Thailand tersepit dengan situasi ini apabila dua buah kuasa Eropah ini mempunyai
konflik yang tersendiri di Afrika semasa peristiwa Fashoda, 1898. Oleh itu, Raja Chulalongkorn harus bijak dalam
menghadapi situasi sebegini bagi mengelakkan Thailand di bawah pemerintahan kolonial. Hal ini kerana British dan
Perancis ingin meluaskan wilayahnya ke negara Thailand. Raja Chulalongkorn bersedia untuk mengorbankan
wilayahnya demi kemerdekaan negaranya. Bagi Raja Chulalongkorn adalah lebih baik untuk mengalah kepada kuasa
Barat kerana pengorbanan sekecil ini mampu mencapai kejayaan yang besar khususnya dalam mengekalkan dan
menjamin status negara merdeka. British dan Perancis perlu mengambil langkah bijak untuk mengisytiharkan Thailand
sebagai negara penampan (buffer state). Hal ini dijelaskan oleh Patit Paban Mishira dalam bukunya The History of
Thailand menyatakan bahawa British dan Perancis harus bijak dalam menyelesaikan permasalahan ini dengan

meletakkan Thailand sebagai buffer state berbanding menjadikan wilayah ini di bawah pemerintahan kolonial. Pada 15
Januari 1896, Britsh dan Perancis telah menandatangani satu perjanjian Anglo-French Declaration yang mengiktiraf
Thailand sebagai negara merdeka. Kedua-dua negara bersetuju untuk tidak memiliki tanah jajahan yang bersempadan.
Hubungan dua negara Eropah ini telah mencerahkan lagi peluang Thailand untuk kekal sebagai sebuah negara merdeka.
Sejak kehadiran kuasa Eropah ini telah banyak mengubah struktur politik, ekonomi dan sosial di negara
Thailand. Raja Mongkut sedar bahawa reformasi ini perlu dilakukan bagi menyesuaikan suasana wilayahnya yang turut
didiami oleh masyarakat luar. Dalam aspek politik, Raja Mongkut telah membawa masuk penasihat daripada Eropah
bagi menyusun semula sistem kerajaan. Pegawai Thailand masih baru dengan sistem kerajaan Barat dan kebanyakan
daripada kumpulan ini diberi peluang memegang jawatan sebagai ketua jabatan. Hal ini turut bersabit dengan
kekurangan pengalaman dan latihan dalam sistem kerajaan Barat. D.G.E Hall dalam bukunya A History of South-East
Asia memberitahu bahawa unsur-unsur pemodenan telah dibawa masuk oleh Raja Mongkut dengan mengambil pekerja
daripada Eropah seperti guru dan penasihat bagi merangka semula sistem perkhidmatan kerajaan. Malah, Raja
Chulalongkorn sendiri telah meminta penasihatnya, Rolin-Jaequemins untuk melakukan transformasi dalam aspek
politik. Misalnya, dalam bidang kehakiman, Raja Chulalongkorn telah menghantar ratusan anak muda ke Eropah bagi
mempelajari kaedah Barat. Salah seorang pelajar yang berjaya ialah Putera Rabi yang melanjutkan pengajian di Oxford
dan pencapaian terbesarnya ialah menubuhkan sekolah undang-undang kepada para pelajarnya. Satu perubahan ketara
dalam bidang undang-undang ini ialah reformasi terhadap sistem penjara dan pemodenan bagi pasukan anggota polis
yang direkrut daripada India dan Burma.
Dari sudut ekonomi, berlaku reformasi yang ketara apabila berlakunya perubahan ciri-ciri ekonomi di Thailand.
Pertama, pelabuhan Siam mula dikunjungi pedagang daripada Singapura dan Hong Kong. Hal ini telah membawa
kepada pengenalan komoditi baharu selain daripada mewujudkan hubungan dagangan antara Thailand dengan dunia
luar. Jabatan kastam turut ditubuhkan bagi mengurus aktiviti perdagangan di pelabuhan ini. Selain itu, kuasa Eropah
turut menikmati kemakmuran ekonomi ini khususnya Britain. Penduduk Britain di Thailand diberikan kebenaran untuk
memiliki tanah sendiri di sekitar Bangkok dan masyarakat asing ini akan diadili berdasarkan kepada undang-undang
British. Di Selatan Thailand, British Bombay-Burmah Corporation memiliki perkongsian dalam industri kayu jati
misalnya. Firma-firma British telah melakukan perniagaan di Bangkok dan negara Eropah inilah yang paling banyak
melakukan pelaburan di negara Thailand. Perubahan ini turut melibatkan aspek ekonomi dalaman negara Thailand.
Institusi kewangan mula memainkan peranan penting dalam aktiviti ekonomi di Thailand. Raja Chulalongkorn sendiri
yang telah menggalakkan penubuhan bank yang telah membawa hasil positif apabila bank-bank British mula didirikan
pada tahun 1888 dan bank Perancis pada tahun 1897. Malah, Peter Church memberitahu bahawa zaman Raja
Chulalongkorn telah berjaya meningkatkan hasil pertanian padi selain daripada kayu jati. Pencapaian positif dalam
prospek ekonomi ini adalah suatu perkara yang perlu bagi wilayah Thailand sebagai satu transisi menuju ekonomi
moden.
Dalam aspek sosial khususnya pendidikan, Raja Chulalongkorn telah berusaha untuk mengubah sistem yang
diguna pakai sebelum ini yang hanya berfokus kepada peranan golongan agama, iaitu sami Buddha. Pendidikan sekular
diperkenalkan mengikut acuan Barat. Putera Damrong telah dihantar ke Eropah untuk mempelajari kaedah yang
diaplikasikan dalam bidang pendidikan dan sekembalinya ke Thailand, Jabatan Pendidikan telah ditubuhkan. Jabatan ini
berubah wajah menjadi Ministry of Public Instruction. Kementerian ini berperanan dalam meningkatkan bidang
pendidikan di Thailand dari segi pembinaan sekolah, kurikulum, struktur organisasi dan termasuk buku-buku untuk
proses pengajaran dan pembelajaran. Pada peringkat awal, sistem pendidikan ini masih lagi terhad perkembangannya
kerana kekurangan buku-buku dalam bahasa Thailand dan sistem pendidikan tinggi masih lagi menggunakan bahasa
asing sebagai bahasa pengantarnya. Malah, taburan atau pola kependudukan masyarakat yang terbahagi kepada bandar

dan luar bandar telah menyekat lagi peluang pendidikan untuk rakyat. J.G.D Campbell menyatakan bahawa pendidikan
di Thailand masih lagi dalam keadaan terkebelakang dan kekurangan kemudahan. Malah, semasa era Raja
Chulalongkorn, tidak ada wujud universiti untuk pelajarnya melanjutkan pengajian. Hanya wujud sekolah bagi latihan
dalam bidang tertentu seperti undang-undang dan perubatan, sekolah kadet dan ketenteraan dan sekolah kajian.
Sungguhpun begitu, selepas era Raja Chulalongkorn berakhir, barulah sistem pendidikan berkembang dengan baik.
Guru-guru daripada Eropah di bawa masuk bagi memperkemaskan sistem pendidikan di Thailand. Di sini kita dapat
lihat perkembangan sistem pendidikan di Thailand.
Selain itu, sistem pengangkutan di Thailand turut mengalami perubahan apabila Raja Chulalongkorn telah
berusaha memperkemaskan sistem pengangkutan yang kebanyakannya menggunakan jalan air. Raja Chulalongkorn
melihat sistem pengangkutan penting apabila pihak British telah mewujudkan jalan raya yang menghubungkan Burma
dan China pada tahun 1893. Jalan raya pertama di Thailand dibina sepanjang enam belas batu yang menghubungkan
Bangkok dan Paknam. Jalan raya ini dikendalikan oleh syarikat swasta dengan bantuan daripada pihak pemerintah.
Perkembangan sistem pengangkutan ini tampak jelas apabila Perancis sampai ke Thailand. Hal ini telah menyebabkan
jalan raya yang strategik akan dibina daripada Bangkok hingga ke Korat pada tahun 1892. Royal Railway
Department telah ditubuhkan bagi melakukan urusan pembinaan jalan raya tersebut. Kerja-kerja pembinaan jalan raya
ini membuahkan hasil apabila projek pertama yang menghubungkan Bangkok dengan bandar lama Ayutia berjaya
dibina pada tahun 1897. Setelah itu, sistem pengangkutan menunjukkan impak positif apabila jalan raya telah dibina di
Lopburi, Utaradit dan Sawankalok pada tahun 1901. Dua tahun selepas itu, telah wujud jalan raya yang akan
menemukan Bangkok dengan Singapura melalui Tanah Melayu dan pada tahun 1903 dan sampai sehingga ke
Petchaburi. Daripada perkembangan sistem pengangkutan ini, hanya selepas kedatangan kuasa Eropah di Thailand
barulah wujud sistem pengangkutan moden selain daripada peranan Raja Chulalongkorn itu sendiri. Namun, agak
keterlaluan jika kita mengatakan bahawa Thailand sepi daripada perkembangan sistem pengangkutan.
Kesimpulannya, kejayaan Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn mengekalkan status kemerdekaan negaranya
didorong oleh faktor dalaman dan luaran wilayah berkenan. Faktor dalaman ialah sikap pemerintah Thailand yang
membuka pintunya kepada kuasa luar. Latar belakang pendidikan Barat dua individu ini turut mempengaruhi tindakan
yang dilakukan oleh mereka. Dari aspek luaran, Perjanjian British-Perancis telah menjadi faktor lain kepada
kemerdekaan negara Thailand. Reformasi dan pemodenan yang dibawa daripada negara Eropah sedikit sebanyak
memberi sumbangan kepada kematangan aspek politik, ekonomi dan sosial. Bolehlah dikatakan Thailand menjadi
sebagai pelabuhan yang bebas bagi kuasa-kuasa Barat. Unsur pembaratan ini dimulakan oleh Raja Mongkut memasuki
abad ke-19 dan Raja Chulalongkorn menjadi penyambung legasi yang merancakkan lagi gelombang pemodenan
Thailand. Tuntasnya, pengekalan kemerdekaan Thailand ini telah melalui proses sejarah yang panjang lagi sukar dan
kejayaan Raja Mongkut dan Raja Chulalongkorn ini harus menjadi sebagai satu kebanggaan masyarakat Thailand.

You might also like