Ulasan Buku - Sejarah Hubungan Kaum Melayu-Cina

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

AEGF 6105 : KERAJAAN DAN POLITIK MALAYSIA

ULASAN BUKU : Comber, Leon (1985), Peristiwa 13 Mei: Sejarah Perhubungan


Melayu Cina, Petaling Jaya: IBS Buku Sdn Bhd.

Buku yang saya pilih untuk diulaskan ini bertajuk Peristiwa 13 Mei: Sejarah
Perhubungan Melayu Cina. Buku ini telah dikarang oleh Leon Comber iaitu seorang warga
Eropah. Beliau

merupakan pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu

sebagai 'polis rahsia' dalam tahun-tahun sukar negara iaitu semasa era darurat. Biarpun
beliau berbangsa Eropah, beliau merupakan seorang yang fasih berbahasa Melayu dan juga
Bahasa Cina.
Buku ini merupakan sebahagian daripada tesis beliau dalam memenuhi syarat bagi
mendapatkan Ijazah Sarjana (M.A) dalam Comparative Asian Studies di Universiti Hong
Kong. Buku ini pada asalnya dalam Bahasa Inggeris berjudul 13th May 1969: A Historical
Survey of Sino-Malay Relations dan telah diterbitkan oleh Heinemann Educational Books
(Asia) Ltd. Buku ini telah dicetak pada permulaannya pada tahun 1985 dan kemudiannya
telah diulang cetak pada tahun 2007. Seterusnya, buku ini kemudiannya telah diterjemahkan
oleh Omardin Haji Ashaari dan dicetak serta diterbitkan di Malaysia oleh penerbit IBS Buku
Sdn Bhd. Daripada pengamatan saya, Omardin berjaya memberikan terjemahan yang baik
kepada buku asal tulisan Comber ini supaya isi kandungan dan maklumat disampai tidak
berbeza daripada versi asalnya.
Dari aspek fizikalnya, buku ini boleh dikatakan tidak begitu tebal dan dijilidkan
menggunakan kulit buku yang nipis. Di bahagian awal buku ini mempunyai 24 muka surat
yang bertulisan huruf roman iaitu yang melibatkan bahagian kandungan, pendahuluan, lidah
pengarang, penghargaan, senarai singkatan bagi perkataan diguna dan juga memasukkan
bahagian pengenalan. Seterusnya keseluruhan bilangan muka surat bagi kandungan buku ini
1

yang dicetak dibahagian depan dan belakang adalah sehingga 170 muka sahaja. Setelah
dibuat penelitian buku ini turut memasukkan elemen lampiran yang merupakan salah satu
perkara penting untuk memudahkan penyampaian maklumat dalam sesebuah buku.
Lampiran yang dibuat memasukkan beberapa elemen seperti jadual pecahan kaum, maklumat
pilihanraya parlimen, peta-peta dan juga gambar-gambar yang berkaitan dengan tajuk buku.
Bertepatan dengan judul buku ini, penulis dalam kajiannya cuba menyerlahkan sebab
musabab berlakunya peristiwa 13 Mei di Tanah Melayu yang digambarkan sebagai rusuhan
kaum melibatkan dua kaum terbesar iaitu kaum Melayu dan Cina. Untuk itu penulis membuat
kajian dengan menilai sejarah perhubungan orang-orang Melayu dan Cina di Tanah Melayu.
Dalam kajiannya, penulis juga telah mengambil kira pelbagai pendekatan bagi mengkaji
perhubungan kaum antaranya dengan membuat analisis dan hubung kait berkaitan aspek
politik, persoalan sosial dan juga ekonomi. Di sebalik kajian ini, idea pengarang sebenarnya
cuba menunjukkan bahawa perhubungan antara kaum merupakan faktor yang amat penting
dalam menjamin keamanan. Lantaran hubungan antara kaum yang rengganglah telah
membawa kepada meletusnya malapetaka 13 Mei di Kuala Lumpur. Perkara ini amat sesuai
dengan kata-kata Tunku Abdul Rahman bahawa 13 Mei merupakan pengalaman dan
pengajaran yang tidak dapat kita lupa selama-lamanya. Kerana kejadian itu dapat
menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau
lalai dan cuai. Oleh itu amatlah mustahak bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya hidup
bersama-sama dan cuba memahami antara satu sama lain dengan semangat persefahaman,
hormat-menghormati agar kita dapat memelihara keharmonian daan keamanan.1
Merujuk kepada keadaan masyarakat di Malaysia, penulis mengatakan kerjasama dan
persefahaman antara semua kaum adalah jaminan kepada kemakmuran dan kesejahteraan.
1 Tunku Abdul Rahman, 13 Mei Sebelum Dan Selepas, Kuala Lumpur, Utusan Publications
& Distributors Sdn Bhd, 2007.

Pengalaman penulis sendiri yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu serta mampu
berinteraksi denga masyarakat tentunya amat membantu beliau untuk lebih memahami
keadaan di Malaysia.
Jadi bersesuaian dengan kajiannya itu, penulis berharap buku ini dapat memberi
maklumat dan latar belakang yang berguna terhadap perhubungan dua kaum terbesar
Malaysia ini. Penulis juga berpandangan bahawa kajian kritis dan mendalam terhadap aspek
ini harus dilakukan agar dapat melahirkan generasi baru yang mengetahui rentetan atau
kronologi peristiwa sejarah yang telah berlaku. Harapannya supaya generasi baru itu benarbenar mendalami sepenuhnya inti pati dan jiwa sejarah serta berupaya merumus persoalanpersoalan berkaitan sejarah perhubungan kaum di Malaysia. Hal ini mencerminkan bidang
pensejarahan memang memainkan peranan penting kerana melalui pensejarahan kita dapat
mengesan dan merujuk semua peristiwa sejarah yang telah berlaku, malah melaluinya kita
dapat mengupas secara kritis, mengolah dan menganalisis pemikiran atau idea-idea sejarah
serta mengambil ibrah daripada peristiwa sejarah tersebut
Apa yang menariknya berkaitan buku ini, untuk memudahkan pemahaman pembaca
maka buku ini telah disusun mengikut kronologi. Penulisannya bermula dengan mengkaji
bagaimana boleh terhasilnya masyarakat majmuk di Malaysia dan kemudian dikembangkan
dengan mengikut konteks kajian sehinggalah tercetusnya peristiwa 13 Mei. Buku ini
mempunyai 8 bab yang secara khusus memberi perhatian kepada perhubungan kaum antara
Melayu dan Cina. Susunan bab-bab yang mengikut kronologi serta membuat analisis dari
aspek politik, sosial dan ekonomi mampu menjelaskan perkembangan hubungan kaum
Melayu dan Cina dengan cara yang lebih mudah. Disebabkan penyusunan bab yang mengikut
peredaran masa peristiwa sejarah

maka sudah tentu memudahkan pembaca membaca,

membuat rujukan serta memahami perkembangan konteks kajian. Daripada lapan pecahan
bab yang digarab, pada pendapat saya bab keenam iaitu Sebelum Rusuhan 13 Mei 1969
3

adalah bab utama yang menjadi intipati kepada buku ini bagi menunjukkan mula berlakunya
kerenggangan dalam hubungan kaum. Dalam bab ini dibangkitkan tentang permasalahan
yang timbul dalam Malaysia dari aspek politik, ekonomi dan sosial.
Disamping itu, oleh kerana buku ini adalah tulisan berbentuk akademik maka kajian
telah dihurai dan dikupas dengan terperinci serta disusun dengan baik supaya mampu
memudahkan pemahaman pembaca. Selain itu, bahasa yang digunakan juga amat mudah
tanpa mencampur aduk dengan istilah yang sukar. Malah setiap ayat tidak ditulis terlampau
panjang dan meleret-leret. Seterusnya sebagai sebuah penulisan akademik berkaitan sejarah,
amat penting bagi penulis dan mana-mana pengkaji menggunakan bahan-bahan rujukan yang
berkaliber bagi mengukuhkan pandangan yang diutarakan. Melihat kepada penggunaan
sumber yang digunakan sebagai rujukan oleh penulis, dapat dipastikan bahawa Comber amat
bergantung kepada sumber kedua. Kebanyakan sumber kedua yang digunakan iaitu tulisan
yang telah dibuat sejarawan terdahulu. Penggunaan sumber pertama juga ada digunakan
tetapi dalam kadar yang sedikit sahaja.
Sebenarnya untuk menjamin mutu kajian dan memaparkan pendapat yang jitu, maka
penggunaan bahan rujukan daripada sumber pertama amat dituntut. Namun demikian,
pergantungan kepada sumber kedua ini tidaklah bermakna buku hasil kajian Comber ini
ditolak. Apa yang pasti penulis semestinya menghadapi kesukaran mendapatkan sumbersumber pertama ketika kajian dilakukan. Ini kerana kebanyakan sumber asal tentang
peristiwa 13 Mei belum dibuka sepenuhnya untuk tatapan umum dan kajian. Banyak
dokumen-dokumen rasmi kerajaan dan laporan berkaitan peristiwa 13 Mei memang banyak
menjadi dokumen rahsia dibawah Akta Rahsia Rasmi. Kepentingan sumber pertama tidak
dapat dinafikan. Penggunaannya membolehkan sejarawan memberi pandangan yang berbeza
terutama apabila kajian dibuat terhadap rekod yang baru dibuka untuk umum. Contohnya
Dr.Kua Kia Soong telah memberi pandangan yang jelas berbeza dari pandangan biasa setelah
4

mengkaji dokumen berkaitan peristiwa 13 Mei yang baru dibuka untuk bacaan umum. Beliau
dengan tegas mengatakan peristiwa 13 Mei adalah satu episod kapitalis Melayu yang baru
bangkit untuk menggulingkan Tunku.2
Penggunaan sumber rujukan oleh penulis dapat dikesan daripada penggunaan nota
hujung yang dimasukkan pada halaman akhir setiap bab. Penggunaan nota hujung
membolehkan penulis menunjukkan rujukan yang digunakan bagi setiap maklumat
dipaparkan dan perkara ini mampu menguatkan setiap hujan penulis. Tindakan penulis
memasukkan lampiran di muka surat belakang yang terdiri daripada jadual, peta dan gambar
mampu menambahkan maklumat untuk rujukan.
Secara keseluruhannya pada pendapat saya buku ini digarapkan dengan baik untuk
menjelaskan konteks kajian berkaitan peritiwa 13 Mei dan perkaitkannya dengan masalah
hubungan kaum Melayu dan Cina.

BIBLIOGRAFI
Kua Kia Soong, 13 Mei : Dokumen-Dokumen Deklarasifikasi Tentang Rusuhan 1969
Malaysia, Petaling Jaya, Suaram Komunikasi, 2007.
Tunku Abdul Rahman, 13 Mei Sebelum Dan Selepas, Kuala Lumpur, Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd, 2007.

2 Kua Kia Soong, 13 Mei : Dokumen-Dokumen Deklarasifikasi Tentang Rusuhan


1969 Malaysia, Petaling Jaya, Suaram Komunikasi, 2007, hlm. 3.
5

You might also like