Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 12

ABSTRAK

Kajian ini dilaksanakan untuk melihat dan menilai sejauhmanakah pendekatan didik
hibur dapat menarik minat murid orang Asli terhadap pengajaran dan pembelajaran
Pemulihan Bahasa Melayu. Pendekatan didik hibur mengandungi beberapa aktiviti
seperti nyanyian, aktiviti bercerita, lakonan dan puisi. Objektif pengkaji menjalankan
kajian ini adalah untuk mengenal pasti sama ada pendekatan didik hibur dapat menarik
minat murid pemulihan orang Asli terhadap mata pelajaran Pemulihan Bahasa Melayu
berbanding dengan pendekatan tradisional. Kajian ini menggunakan pendekatan
kualitatif. Maklumat yang digunakan dalam kajian ini diperolehi melalui temu bual,
pemerhatian dan analisis dokumen.Kumpulan utama subjek kajian ialah siswa pendidik
Semester 6 yang sedang menjalani praktikum di sebuah sekolah orang asli serta murid
orang Asli di Perak. Temu bual melibatkan empat orang siswa pendidik dan lapan orang
murid. Temu bual dilaksanakan ke atas setiap guru dan murid yang menjadi responden
kajian. Borang senarai semak persepsi siswa pendidik ke atas aplikasi pengajaran dan
pembelajaran baru disediakan dan akan diisikan oleh mereka. Hasil temu bual yang
diperolehi daripada guru dan murid orang Asli dianalisis melalui analisis kandungan.
Seterusnya hasil analisis telah dikategorikan kepada beberapa aspek dan tema.
Cadangan penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti pedagogi sekolah peribumi juga
turut dibincangkan. Hasil kajian mendapati pendekatan didik hibur ini telah dapat
menaikkan semangat, minat dan penyertaan murid secara menyeluruh. Disamping
mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan kondusif.

Kata Kunci: didik hibur, pendekatan tradisionl, minat, dan murid orang Asli, siswa
pendidik
PENDAHULUAN
Menurut Wan Afizi Wan Hanafi, Shaharuddin Ahmad & Noraziah Ali ( 2014 ) usaha untuk
meningkatkan pembangunan pendidikan Orang Asli di negara kita telah dilakukan sejak zaman
penjajah lagi. Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM ) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan
Orang Asli ( JAKOA ) telah bertanggungjawab untuk memajukan masyarakat Orang Asli dalam
pendidikan. Peningkatan kualiti pendidikan murid Orang Asli merupakan keprihatinan
kebangsaan yang sentiasa ditekankan oleh semua lapisan masyarakat pendidik di Malaysia.
Hakikat yang tidak dinafikan ialah murid-murid Orang Asli juga mempunyai keperluan
pembelajaran pelbagai. Kepelbagaian keperluan ini perlu diambil kira untuk mewujudkan
suasana pembelajaran yang kondusif untuk murid-murid orang Asli ini. Oleh itu, daya kreativiti
guru, pengubahsuaian strategi dan teknik mengajar lebih menarik, bermakna dan membawa
kesan yang maksimum lebih-lebih lagi berdepan dengan murid-murid yang bermasalah. Salah
satu pendekatan yang mampu memenuhi ciri tersebut adalah melalui pelaksanaan pendekatan
didik hibur dalam amalan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu.
Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa masyarakat orang Asli merupakan satu kelompok
masyarakat yang mendiami kawasan luar bandar. Mereka hidup dalam keadaan yang serba
ringkas dan mudah. Corak kehidupan sebegini ternyata banyak mempengaruhi gaya
pembelajaran murid-murid Orang Asli. Secara puratanya murid-murid Orang Asli mempunyai

pencapaian yang lemah dalam akademik. Mereka juga tidak mempunyai minat yang tinggi.
Begitu juga dengan sikap terhadap pelajaran pelajaran. Kebanyakkan murid orang Asli begitu
pasif dan pemalu.
Namun begitu, sifat-sifat negatif yang sinonim dengan murid orang Asli terutamanya dari aspek
minat dan sikap terhadap pelajaran bukanlah sesuatu yang tepu sifatnya. Minat boleh dipupuk
dan sikap boleh diubah jika kena dengan cara dan gayanya. Apa yang paling penting adalah
usaha yang berterusan oleh para pendidik untuk mencari strategi yang sesuai dalam usaha
menyampaikan ilmu dan nilai kepada murid orang asli.
Hakikatnya dari segi teori, pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam amalan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah mampu menyuburkan daya kognitif dan kemahiran
sosial murid-murid. Apa yang diharapkan agar strategi yang dirancang dengan mengaplikasikan
beberapa pendekatan didik hibur mampu memberi semangat dan dimensi baru kepada minat dan
sikap murid-murid orang Asli terhadap subjek Bahasa Melayu khususnya dan terhadap bidang
pelajaran amnya. Sesungguhnya usaha murni ini diharap dapat mengubah senario amalan
pedagogi Bahasa Melayu ke arah yang lebih mantap, kemas dan tersusun dalam usaha mengubah
nasib masyarakat orang Asli ke arah yang lebih cemerlang.
Hasrat kerajaan memperkenalkan pendekatan seni bahasa dan didik hibur di sekolah rendah
semata-mata untuk merealisasikan hasrat transformasi P&P dalam bilik darjah. Pendekatan didik
hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses P&P lebih interaktif serta berpusatkan murid.
Oleh itu, pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid. Rumusannya, seni
bahasa dan didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses P&P yang bersifat santai tetapi
terkawal dengan memberikan penekanan dan cara pelaksanaannya terhadap empat komponen
bahasa dan sastera, iaitu nyanyian, bercerita, lakonan dan berpuisi. Oleh itu, keseronokan murid
secara total dalam mempelajari Bahasa Melayu akan dapat direalisasikan secara terancang,
bersistematik dan menyenangkan.
PERNYATAAN MASALAH

Tay Meng Guat (2015) telah memetik pandangan Shaffe Mohd Daud, Ramli Basri, Roselan
Baki, Sahandri Ghani Hamzah dan Mokhtar Narawi (2011) dengan mendakwa bahawa sekolah
sebagai salah satu institusi pendidikan memang sangat terikat dengan peraturan dan tatacara
sehingga menjadikannya suatu tempat yang kurang menarik dan kadang-kadang menakutkan
murid-murid untuk datang ke sekolah. Kebergantungan sepenuhnya kepada guru, papan hitam
dan buku teks dirasakan kurang sesuai digunakan dalam sistem pendidikan moden kini ( Ramlah
Jantan, 2012). Kaedah penyampaian berbentuk satu hala dan tidak berpusatkan pelajar ini telah
menghalang pelajar untuk mengembangkan prestasi pembelajaran masing-masing dengan cara,
teknik serta gaya pembelajaran mereka tersendiri.
Penumpuan memperkasakan Bahasa Melayu dalam program Memartabatkan Bahasa Malaysia
dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) turut menekan pelaksanaan transformasi
kurikulum di sekolah rendah dan menengah yang memberikan fokus kepada penguasaan asas
kemahiran berbahasa dalam kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu,
seimbang dan holistik merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis

serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Bagi merealisasikan hasrat transformasi berkenaan,
Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat memperkenalkan pendekatan seni bahasa, didik
hibur yang menimbulkan kesedaran kepada apresiasi bahasa dan sastera di sekolah rendah.
Kaedah pengajaran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu ini akhirnya dilihat akan lebih interaktif
supaya PdP mata pelajaran Bahasa Melayu akan lebih mudah dihayati dan difahami.
Sehubungan dengan itu pengkaji cuba membantu pihak KPM, JPN, PPD dan khususnya sekolah
agar menjadikan pendekatan didik hibur sebagai salah satu cara menarik minat murid orang Asli
belajar dengan seronok dalam bilik darjah.
OBJEKTIF DAN PERSOALAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan berlandaskan kepada tiga objektif seperti berikut:
1. Untuk mengenal pasti reaksi murid orang Asli terhadap mata pelajaran Pemulihan Bahasa
Melayu yang menerapkan pendekatan didik hibur.
2. Untuk mengenal pasti penglibatan murid orang Asli dalam setiap aktiviti pengajaran dan
pembelajaran Pemulihan Bahasa Melayu yang mengaplikasikan pendekatan didik hibur.
3. Untuk mengenal pasti implikasi pengajaran dan pembelajaran guru Pemulihan Bahasa
Melayu menggunakan pendekatan didik hibur terhadap motivasi diri untuk datang ke
sekolah dalam kalangan murid orang Asli.
Kajian ini mengemukakan tiga persoalan seperti berikut:
1. Sejauhmanakah reaksi murid orang Asli terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu yang
menerapkan pendekatan didik hibur.
2. Sejauhmanakah penglibatan murid orang Asli dalam setiap aktiviti pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu yang mengaplikasikan pendekatan didik hibur.
3. Sejauhmanakah implikasi pengajaran dan pembelajaran guru Bahasa Melayu
menggunakan pendekatan didik hibur terhadap motivasi diri untuk datang ke sekolah
dalam kalangan murid orang Asli.
SIGNIFIKAN KAJIAN
Kajian ini memfokuskan keberkesanan pendekatan didik hibur dalam P&P Pemulihan Bahasa
Melayu dalam kalangan para siswa pendidik yang sedang menjalani praktikum. Kajian ini
signifikan kerana ia dapat memberi kesedaran kepada siswa pendidik khususnya dan guru
umumnya tentang keberkesanan penerapan pendekatan didik hibur dalam usaha mengajar
kemahiran berbahasa. Selain itu ia dapat membantu mereka merancang aktiviti menggunakan
pendekatan didik hibur yang kreatif dan inovatif bagi menarik minat murid orang asli belajar
dengan seronok dalam bilik darjah. Kajian ini mampu memahami aprisiasi murid Orang Asli
sebagai asas dalam penyediaan perancangan dan pelaksanaan pengajaran Pemulihan Bahasa
Melayu melalui penerapan pendekatan didik hibur. Akhirnya, kajian ini sangat signifikan dalam
usaha membantu Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan ( PKPPK) merangka
modul berkesan bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran
Pemulihan Bahasa Melayu bagi murid-murid orang Asli.
BATASAN KAJIAN

Kajian juga dibataskan kepada perkara-perkara berikut:


1. Murid yang dijadikan kumpulan sasaran di adalah murid Orang Asli yang mempunyai
pencapaian akademik yang amat rendah.
2. Kelas dan siswa pendidik yang telah dipilih sahaja yang akan dibuat pemerhatian dan
pencerapan proses pengajaran dan pembelajaran.
3. Hanya aplikasi pendekatan didik hibur dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Pemulihan Bahasa Melayu sahaja yang dicerap.
4. Dua aspek yang dikaji iaitu proses pengajaran guru dan pembelajaran murid.
TINJAUAN LITERATUR
Hassan, Shaharudin dan Aziz (2001) dan Khan (1987) sependapat dalam mendapati anak-anak
Orang Asli tidak berminat untuk hadir ke sekolah disebabkan kesukaran memahami
pembelajaran, kurang berminat terhadap kerja sekolah dan faktor kegagalan dalam sesuatu mata
pelajaran. Pendapat ini turut dikongsikan oleh Marof dan Sarjit (2008) yang menjelaskan faktor
yang membawa murid Orang Asli kurang kompeten dalam aspek pengetahuan hingga
menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah adalah disebabkan oleh kesukaran dalam menanam
minat dan budaya belajar, kurang motivasi dan semangat untuk kehadapan dan sukar memahami
penyampaian maklumat.
Lazimnya kurang minat belajar akan membawa kesan langsung kepada pencapaian akademik
seseorang pelajar yang dinyatakan sebelum ini. Mengikut Raven(1977) apabila seorang pelajar
tidak minat dalam sesuatu mata pelajaran tertentu dan guru pula tidak berusaha untuk menarik
minat mereka, pelajar-pelajar ini akan kurang bersemangat dan akan melakukan sesuatu yang
terlintas di fikiran mereka. Dan kajian mendapati elemen muzik dan nyanyian mampu
menyelesaikan masalah ini. Muzik adalah sebahagian daripada alam kehidupan pelajar yang
tidak boleh dipisahkan. Tanpa muzik beerti dunia pelajar adalah kosong (Zulkifli bin
Yaakob,2007) Selain daripada itu, muzik juga merupakan satu budaya kepada masyarakat.
Pelajar sentiasa memberi respon kepada muzik dan akan merasa senang hati apabila dapat
melahirkan ekspresi diri apabila mendengar muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga terdapat
dalam amalan dan interaksi harian. Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar
mempunyai peranan tertentu dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti diri dan
sahsiahnya (Zulkifli Yaakob,2007).
Shaari, Yusoff, Ghazali dan Dali (2011) dalam kajian mereka mendapati sebab dan alasan
mengapa murid Orang Asli tidak menguasai pelajaran yang diajar oleh guru disebabkan mereka
mudah lupa. Hal ini disebabkan daya ingatan mereka yang rendah. Menurut Shaari et.al (2011)
juga, menerusi penelitian hasil kajian mereka mendapati kebanyakkan murid Orang Asli
mengalami masalah dalam menguasai 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Walaupun terdapat murid yang boleh membaca tetapi bukan semua mereka yang memahami
makna ayat yang dibaca. Masalah penguasaan 3M ini akan mendatangkan masalah penguasaan
ilmu pada peringkat yang selanjutnya. Perkara ini dikongsikan oleh Dawi (2002) yang mendapati
kegagalan murid khasnya murid luar bandar sewaktu UPSR adalah berpunca daripada kelemahan
mereka menguasai kemahiran 3M pada peringkat awal persekolahan. Selain itu, penguasaan

kemahiran 3M yang lemah juga akan menyebabkan murid-murid Orang Asli ini sukar menguasai
mata pelajaran yang memerlukan penyelesaian masalah.
Daya penaakulan yang lemah ini adalah disebabkan mereka tidak berusaha untuk memahami
sesuatu ilmu yang dipelajari (Shaari et.al , 2011). Murid-murid Orang Asli juga didapati mudah
berasa bosan dan jemu dengan aktiviti pembelajaran. Menurut Ahmad & Mohd Jelas (2009)
menerusi pengalaman program mentor mantee bersama murid-murid Orang Asli di sekitar
kawasan Selangor mendapati mereka mudah berasa bosan dan hanya boleh memberi tumpuan
selama 15 minit sahaja. Namun begitu, jika aktiviti pembelajaran dijalankan di kawasan terbuka
seperti di tepi sungai atau di bawah pokok, mereka dapat memberi tumpuan selama 30 minit. Ini
mungkin disebabkan sifat semulajadi mereka yang dekat dan cintakan alam sekitar. Hasil
dapatan ini adalah seiring dengan penyataan Marof dan Sarjit (2008) yang menyatakan anakanak Orang Asli menyukai pendidikan yang tidak formal khasnya yang menawarkan kebebasan
dengan melakukan aktiviti yang lebih mencabar dengan alam sekeliling. Bagi murid Orang Asli
hutan begitu penting dalam kehidupan mereka.
Menurut Abdullah Hassan (1980) menjelaskan, mengajar bahasa kedua kepada pelajar bukan
penutur jati memerlukan perhatian yang lebih teliti: dirancang dan dilaksanakan secara semula
jadi dan tidak terlalu formal. Oleh itu dalam pengajaran, guru sewajarnya menggunakan
pendekatan, kaedah dan teknik, yang bersesuaian dalam menyampaikan pengajaran.
METODOLOGI
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Metod kajian menggunakan temu bual,
pemerhatian dan analisis dokumen. Temu bual dijalankan dengan siswa pendidik dan murid
orang Asli. Temu bual dilakukan dengan secara bersemuka pada sebelah petang dan malam.
Temu bual itu dirakamkan dan ditranskripsikan. Temubual berbentuk semi struktur berdasarkan
tema pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Pemulihan Bahasa Melayu:
Pemerhatian dijalankan dalam bilik darjah berdasarkan senarai semak iaitu interaksi guru dengan
murid dari aspek pengajaran dan pembelajaran. Analisis dokumen dijalankan dengan melihat
Portfolio siswa pendidik, Jurnal Mingguan, rekod kehadiran serta lembaran kerja murid.
Analisis dan Triangulasi Data
Analisis kandungan digunakan untuk mengenal pasti tema, konsep dan makna. Dalam hal ini,
analisis kandungan memerlukan sistem pengkodan yang berkaitan dengan matlamat sesuatu
penyelidikan. Menurut Burn (1995), kategori pengkodan harus dibangunkan sebaik sahaja
pengumpulan data pertama dilakukan. Pengkodan memudahkan seseorang penyelidik
memahami maklumat yang diperoleh dan menjadi panduan kepadanya untuk menetukan apakah
yang harus difokuskan kepada maklumat seterusnya. Analisis data tertumpu kepada tiga aspek
yang merupakan angkubah signifikan bagi melihat reaksi murid terhadap pengajaran dan
pembelajaran yang menggunakan pendekatan didik hibur. Penganalisisan data temu bual ini
dilakukan mengikut dua peringkat, iaitu (i) peringkat transkripsi rakaman temu bual (ii)
pencarian tema dan pengkodan.
Triangulasi merupakan salah satu kaedah yang boleh meningkatkan kebolehpercayaan sesuatu
penyelidikan kualitatif (Merriam, 1998).Untuk tujuan triangulasi data, kaedah member checking

( , ) iaitu semua maklumat yang diperoleh melalui temu bual, akan diperdengarkan semula oleh
pengkaji melalui pita rakaman untuk mendapatkan pengesahan subjek kajian. Selain itu, data
temu bual akan dibandingkan pula dengan dengan catatan lapangan dan semakan dokumen.
Penggunaan kaedah triangulasi sama ada secara between method mahu pun within method akan
mampu meningkatkan kebolehpercayaan penyelidikan ini.
DAPATAN KAJIAN
1.

Minat belajar murid Orang Asli.

Subjek kajian yang terdiri daripada empat orang siswa pendidik peribumi yang sedang menjalani
latihan praktimu yang saya namakan sebagai SP1, SP2, SP3 dan SP4 telah memberi respon
mereka dalam temu bual yang telah dijalankan.
SP 1 telah menyatakan;
Pendekatan didik hibur amat menyeronokkan murid dan saya sendiri.Saya
amat seronok kerana nampak murid lebih fokus dalam kelas dan agak cepat
menguasai abjad. Yang penting mereka aktif dan nampak ceria. (Temu bual
SP1)
Seorang responden yang berpengalaman mengajar Bahasa Melayu menjelaskan;
Pengalaman saya yang tak dapat saya lupa semasa menyanyikan lagu bagi
mengingat "hari dalam seminggu", bagi murid tahun 1. Didapati hampir 80%
boleh mengingati nama hari selepas proses pengajaran dan pembelajaran
kelas. (Temu bual 2_GBM2)
Begitu juga bagi guru Bahasa Melayu tahun 4 (GBM5) menceritakan perasaan-perasaan yang
muncul kalangan muridnya apabila beliau mengajar menggunakan pendekatan didik hibur.
Rasa gembira dan seronok apabila murid-murid beri lebih tumpuan terhadap
PdP. (Temu bual 3_ GBM3)
Seterusnya seorang guru Bahasa Melayu tahun 4, sekolah yang berbeza menyatakan:
Pendekatan didik hibur ini bagi saya adalah satu pendekatan yang amat baik.
Murid-murid seronok mengikuti perkembangan pengajaran dan pembelajaran
yang mengandungi aktiviti nyanyian dan permainan bahasa. Penglibatan
murid begitu memberangsangkan terutama apabila aktiviti nyanyian
dijalankan. Murid Asli dapat nyanyi memang seronok. (Temu bual 4_ GBM5)
2. Penglibatan murid-murid mengikuti aktiviti didik hibur yang dirancang oleh guru.

Pengkaji mendapati selepas pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan didik


hibur, murid menunjukkan perlakuan positif, di mana mereka begitu aktif dan memberi
kerjasama yang baik terhadap pengajaran guru.
Murid-murid menunjukkan riak muka yang ceria dan gembira semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran berjalan khusus semasa aktiviti nyanyian dan
permainan bahasa. Murid yang pasif dan pemalu juga turut bersama
melakukan aktiviti khususnya permainan bahasa. Keadaan ini sedikit sebanyak
mencerminkan perasaan dalamannya yang cukup seronok dan gembira
mengkuti kelas tersebut. (Temu bual 5_GBM6)
Begitu juga semasa aktiviti pada induksi set dan penutup semasa aktiviti
menyanyi, semua murid memberi komitmen menyanyi lagu tersebut dengan
penuh semangat. Ada juga murid yang tidak faham lirik yang diberi tetapi ikut
serta menyanyi. Ini melucukan tetapi yang penting penglibatan mereka. (Temu
bual 6_ GBM4)
Seorang responden turut memberi maklumat bahawa apabila aktiviti didik hibur dijalankan,
murid memberi respon seperti di bawah.
Apabila aktiviti didik hibur terutamanya semasa aktiviti menyanyi semua
murid sama ada yang pemalu atau yang pasif sama-sama turut menyanyi
bersama. Saya juga turut kelakar tengok gelagat mereka kerana sebelum ini
mereka yang pasif suka termenung dan buat hal sendiri. (Temu bual 7_ GBM7)
Begitu juga bagi seorang responden bersetuju menyatakan murid memberi kerjasama yang baik
kepada guru sekira aktiviti didik hibur dijalankan.
Semasa aktiviti lakonan menjual buah-buahan sambil menyanyi, murid-murid
sangat gembira dan seronok menyanyi lagu tersebut. Mereka menyanyi
mengikut lirik yang diberi mengikut tempo lagu "Rasa Sayang Ye". (Temu bual
8_-GBM8)
Seorang responden turut memberitahu bahawa semasa aktiviti lakonan dan nyayian, apabila
diminta beberapa orang murid tampil ke depan, mereka memberi kerjasama.
Begitu juga semasa aktiviti lakonan antara penjual buah-buahan dengan
pembeli, apabila guru meminta beberapa orang murid tampil ke depan,
mereka berani ke depan. Mungkin aktiviti tersebut mereka suka kerana ada
aktiviti lakonan mudah dan nyanyian. (Temu bual 9_ GBM2)
3. Motivasi diri murid orang Asli hadir ke sekolah kesan daripada pengajaran
menggunakan pendekatan didik hibur.
Apabila pengajaran Bahasa Melayu banyak menggunakan pendekatan didik hibur,
respon guru menunjukkan murid sudah mula kurang ponteng.

Kami dapati bahawa unsur-unsur hiburan, keseronokan dan peluang turut


serta dalam setiap aktiviti yang berunsurkan didik hibur sememangnya
memberi pengaruh besar kepada minat murid-murid orang asli untuk datang
ke sekolah.
(Temu bual 10_GBM3)
Kalau dulu mereka sering ponteng tetapi apabila pendekatan pengajaran
diubah kepada lebih banyak pendekatan didik hibur, mereka sudah sering ke
sekolah kerana seronok mengikuti proses pengajaran tersebut. Murid-murid
menunjukkan riak muka yang ceria dan gembira semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berjalan. (Temu bual 11_GBM5)
Minat mereka akan lebih mendalam dan akan menimbulkan rasa tertunggutunggu untuk mempelajari Bahasa Melayu. (Temu bual 12_ GBM2)
Begitu juga beberapa orang responden turut memberi maklumat baru sikap murid yang sebelum
ini sering tidak hadir ke sekolah. Apabila aktiviti yang melibatkan hiburan seperti aktiviti
nyanyian dan permainan bahasa diadakan ianya menjadi salah satu mekanisma yang boleh
menarik minat murid ke sekolah
Apabila mereka sudah menunjukkan minat terhadap pengajaran guru yang
banyak mengandungi aktiviti didik hibur seperti menyanyi, main peranan dan
permainan bahasa, nampak mereka sudah mula kurang ponteng sekolah. Yang
pasifpun nampak ceria dan bersemangat. (Temu bual 13_ GBM3)
Murid orang Asli amat meminati hiburan, terutamanya nyanyian, mereka akan
gembira dan seronok jika mereka disuruh menyanyi. Yang pemalu sebelum ini
turut sama menyanyi. Dengan cara ini saya merasakan bahawa aktiviti didik
hibur adalah satu cara untuk menarik minat murid ke sekolah. (Temu bual 14_
GBM8)
Hasil Pemerhatian
Pemerhatian merupakan satu teknik pengutipan data dengan memerhati tingkah laku
subjek kajian secara langsung. Penyelidik membuat andaian bahawa program yang
berkesan dengan rancangan yang teliti terutama pengajaran menggunakan pendekatan
didik hibur dapat menarik minat murid untuk hadir ke sekolah.
Perkara

Subjek Kajian 1

Nota Pemerhatian

Murid seronok dan ceria mengikuti pengajaran


menggunakan pendekatan didik hibur oleh guru.
Murid yang sebelum ini pemalu dan kurang aktif
nampak aktif apabila guru menggunakan pengajaran
pendekatan didik hibur.
Murid banyak bergerak dan aktif semasa
pengajaran guru berlangsung tetapi terkawal.

Subjek Kajian 2

Murid sangat suka akan pengajaran yang ada


nyanyian dan permainan bahasa seperti "Kotak
Beracun".
Murid memberi respon dan maklum balas
dalam pengajaran dan pembelajaran
menggunakan pendekatan didik hibur.
Murid begitu aktif dan riang semasa pengajaran
guru apabila menggunakan pendekatan didik hibur.

Subjek Kajian 3

Murid sangat berminat terhadap pengajaran


guru menggunaka pendekatan didik hibur
terutamanya bahagian nyanyian.
Nampak kecenderungan positif terhadap
pengajaran guru menggunakan pendekatan didik
hibur apabila murid mengangkat tangan untuk
menjawab soalan guru.

Subjek Kajian 4

Murid nampak ceria dan berminat mengikuti


pengajaran guru menggunakan pendekatan didik
hibur.
Murid sudah mula berani tampil ke hadapan kelas
apabila guru mengarah mereka ke depan untuk
mengambil bahagian dalam permainan bahasa.

Berdasarkan Jadual 1 di atas, lapan orang murid merupakan sampel yang diperhatikan.
Melalui temubual murid-murid SK. Suak Padi, SK Pos Raya, SK. Kampung Kenang
dan SK. Chenein samada mereka suka mengikuti pengajaran guru. Kelapan-lapan murid
ini menjawab suka dan seronok. Sehubungan dengan itu, guru perlu perbanyakkan
menggunakan pendekatan didik hibur dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH)
supaya murid seronok dan ceria mengikuti pengajaran guru.
RUMUSAN DAN PERBINCANGAN
Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid orang Asli begitu
seronok dan berminat untuk mengikuti kelas mata pelajaran Bahasa Melayu, yang diajar oleh
guru yang menggunakan pendekatan didik hibur. Pemerhatian oleh pengkaji juga mendapati
bahawa murid-murid telah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung selama
satu jam, dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Segala arahan dan permintaan guru, dipatuhi
dan dilakukan dengan baik. Riak muka mereka begitu ceria dan situasi bilik darjah begitu
hidup.
Tambahan pula dengan perancangan yang rapi dan persediaan yang baik dibuat oleh guru, sudah
tentu hasilnya tentu membanggakan. Murid seronok belajar, manakala guru seronok mengajar.
Menurut aliran pendekatan teori tingkahlaku yang dipelopori oleh tokoh -tokoh seperti Pavlov,
Thorndike, Watson dan Skinner (Slavin, R.E 1997) telah membuktikan bahawa pembelajaran
yang dilakukan dengan adanya kesediaan dalaman sudah pasti akan menghasilkan pembelajaran
positif. Thorndike, misalkan melalui teorinya yang berkait rapat dengan konsep Hukum

Kesediaan, Hukum Kesan dan Hukum Latihan, berpendapat bahawa pembelajaran akan menjadi
lebih sempurna sekiranya dilaksanakan dalam bentuk yang menyeronokkan. Seandainya dapat
dilaksanakan dalam bilik darjah sudah pasti akan memberi impak yang positif dalam pengajaran
dan pembelajaran (Roblyer, M.D, et al. (1977)..
Faktor kedua adalah minat murid-murid orang Asli terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu yang
mengaplikasikan pendekatan didik hibur, juga disebabkan oleh mereka diberi ruang dan peluang
untuk turut serta dalam setiap aktiviti yang dirancang oleh guru. Lumrah kehidupan sebenar
masyarakat orang asli yang lasak dan sentiasa bergerak untuk survivalnya nampak lebih sinonim
dengan aktiviti yang disediakan melalui pendekatan didik hibur. Sebagai contohnya, melalui
aktiviti main peranan, murid diminta tampil ke hadapan, bergerak dan bertindak sebagaimana
yang diarahkan, sudah tentu akan menghilangkan rasa bosan dan mengantuk.
Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa setelah diserapkan pendekatan didik hibur dalam
pengajaran dan pembelajaran, bilangan murid orang Asli yang bersedia untuk memberikan
kerjasama kepada guru dalam setiap aktiviti makin bertambah. Melalui pemerhatian pengkaji,
murid orang Asli begitu ghairah mengangkat tangan dan menawarkan diri, untuk turut serta
dalam setiap aktiviti. Pemerhatian pengkaji juga mendapati, situasi ini memberi sedikit cabaran
kepada guru dalam pengurusan bilik darjah. Namun guru tetap ceria.
Fenomena ini agak luar biasa dan jarang berlaku. Sebagaimana yang kita ketahui masyarakat
orang asli begitu pasif dan sangat menebal rasa rendah dirinya. Anak-anak murid orang Asli amat
sukar untuk memberi kerjasama jika dia tidak berminat terhadap sesuatu perkara. Faktor inilah
merupakan salah satu tabiat negatif yang menyumbang kepada kemunduran masyarakat orang
Asli di negara kita.
Namun begitu, pengalaman mengikuti kelas Bahasa Melayu di 4 buah sekolah orang Asli yang
menjadi subjek kajian, didapati bahawa rata-rata murid orang Asli memberikan respon yang baik
terhadap aktiviti yang dijalankan oleh guru. Perasaan malu, segan dan rendah diri ternyata
berjaya dihindari seketika semasa mengikuti pengajaran dan pembelajaran yang
mengaplikasikan pendekatan didik hibur. Walaupun tempoh pemerhatian yang singkat iaitu
selama 60 minit sahaja, namun dapat diperhatikan dengan jelas perubahan sikap ini.
Sememangya, murid-murid orang Asli yang menjadi subjek kajian sudah memenuhi matlamat
tersebut. Hal ini kerana melalui aktiviti main peranan yang dijalankan, murid-murid harus
melibatkan diri untuk memahami tugas sebenar mengikut peranan yang diberikan. Seandainya,
mereka diberi peranan sebagai tentera misalnya, maka murid perlu terlebih dahulu memahami
tugas sebagai seorang anggota tentera, mengaitkan dengan pengalaman sedia ada, kemudian
menterjemahkan semula dalam bentuk lakonan dalam bilik darjah.
Masalah ponteng sekolah sudah menjadi sinonim dengan budaya sekolah orang Asli. Kedatangan
harian ke sekolah begitu mengecewakan. Sememangnya, pihak pengurusan sekolah telah
melakukan berbagai-bagai cara dan ikhtiar untuk mengatasi gejala ini kerana jika keadaan ini
berterusan maka hasrat kerajaan untuk mengatasi masalah murid tercicir, khusunya di kalangan
masyarakat luar bandar, akan menemui jalan buntu.

Dapatan kajian ini mendapati bahawa murid orang Asli berminat untuk datang ke sekolah jika
guru menyediakan set pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan didik hibur. Dapatan kajian
menunjukkan bahawa hampir semua responden bersetuju dengan kenyataan ini. Dengan bahasa
yang lebih mudah dapat dikatakan iaitu, pendekatan didik hibur yang diaplikasikan dalam
pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu berkeupayaan bagi menarik minat murid-murid orang
Asli untuk datang ke sekolah. Fenomena ini nampaknya memberikan satu dimensi baru dalam
usaha mengurangkan masalah keciciran murid yang menjadi salah satu agenda utama
Kementerian Pelajaran Malaysia.
Secara semula jadi, ramai orang gemar kepada hiburan sama ada melalui nyanyian, tarian dan
main peranan. Persembahan yang menghiburkan ini merupakan sebahagian daripada kehidupan
masyarakat, tidak kira rupa paras dan warna kulit. Melalui seni pesembahan (lagu atau tarian),
seseorang itu dapat berhibur, meluahkan perasaan dan menyampaikan mesej. Begitu juga dengan
masyarakat orang Asli. Anak-anak orang Asli amat meminati seni persembahan dan seni muzik.
Diharapkan kajian ini dapat diaplikasikan oleh guru Bahasa Melayu dalam usaha meningkatkan
pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya di kalangan orang Asli.
Kajian ini menunjukkan bahawa minat yang mendalam dan sikap yang positif terhadap mata
pelajaran Bahasa Melayu boleh meningkatkan kebolehan murid menguasai kemahiran berbahasa
sekali gus dapat meningkatkan pencapaian murid secara keseluruhannya dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu.
Guru juga perlu diberi pendedahan, pengalaman, kefahaman dan pengetahuan yang lebih luas
tentang amalan pembelajaran menyeronokkan. Misalnya, memberi kursus-kursus mahupun
bengkel -bengkel jangka pendek secara berkala untuk memastikan guru-guru Bahasa Melayu
sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan kemajuan dalam
teknologi pendidikan terkini. Begitu juga, unsur-unsur didik hibur didatangkan dalam bentuk
modul yang lengkap dan aktiviti-aktiviti yang disusun rapi sebagai panduan kepada guru tentang
konsep didik hibur.
Pada kesimpulannya, aktiviti nyanyian dalam didik hibur banyak membantu dalam pengajaran
dan pembelajaran di sekolah-sekolah murid orang Asli. Aktiviti sebegini boleh ditingkatkan lagi
dengan memberi pendedahan kepada para guru menguasai komponen didik hibur terutamanya
aktiviti nyanyian. Kepelbagaian kaedah dan teknik guru harus dipertingkatkan dan ini
berssesuaian dengan pendapat Abdullah Hassan (1980) menjelaskan bahawa mengajar bahasa
kedua kepada pelajar bukan penutur jati memerlukan perhatian yang lebih teliti, dirancang dan
dilaksanakan secara semula jadi dan tidak terlalu formal.
RUJUKAN
Ahmad, Abdul Razaq & Mohd Jelas, Zalizan. (2009). Masyarakat Orang Asli. Perspektif
Pendidikan dan Sosiobudaya. Bangi:UKM
Dawi, Amir Hassan. (2002). Penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak di
peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Univerisiti Malaya.

Hassan, M.N., Shaharudin, I. & Sarah Aziz, A.G.A. eds., (2001). Manusia, Alam Sekitar dan
Pembangunan: Bicara Pengalaman Komuniti Orang Asli, Selangor
Hasnalee Tubah; Zulkifly Hamid. (2011). Pengaruh Demografi Terhadap Kemahiran Membaca
dan Memahami Dalam Kalangan Murid-Murid LINUS. Jurnal Melayu, (6), 2947.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Ringkasan Eksekutif Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 (Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah).
Khan, Jamilah. (1987). Perubahan sosial dalam kalangan Orang Asli Temuan di Sungai Buah.
Satu kajian kes. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Marof, R. & Sarjit S., G. eds.,( 2008). Orang Asli:Isu, Transformasi dan Cabaran, Selangor:
Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Md Nasir Masran, Ramlah Jantan, Suppiah Nachiappan, abd Aziz Shukor, & Roslinda Mustapha.
(2010). Tahap Kebolehbacaan Dalam Kalangan Orang Asli (Program Pemulihan) di Sekolah
Kebangsaan Brinchang (Pahang) dan Sekolah Kebangsaan Batu 14 Tapah(Perak). Seminar
JPPG, 124.
Merriam, S. B. (2009). Qualitative Research: A Guide to Design and Implementation. The
JosseyBass higher and adult education series (Vol. 2nd).
Roblyer, M.D., Edwards,J, Harviluk, M.A., (1977). Antegrating Educational Technologyinto
Teaching. New Jersey: Prantice Hall.
Slavin, R.E (1997). Educatinal Psychology : Theory and Practise. Boston: Allyn Bacon.
Tay Meng Guat ( 2015 ). Pembelajaran Menyeronokkan Dalam Pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu. Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 12, 2015

Wan Afizi Wan Hanafi, Shaharuddin Ahmad & Noraziah Ali ( 2014 ). Faktor budaya dan
persekitaran dalam prestasi pendidikan anak Orang Asli Malaysia: Kajian kes di
Kelantan. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 10 issue 5
(107 - 122).

You might also like