Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 1

KEUSAHAWANAN DI SEKOLAH

Modenisasi peradaban masa kini memacu rentak pembangunan secara total


pada tahap global. Dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar, Malaysia sebagai
sebuah negara membangun seakan tiada pilihan tetapi untuk terus memiliki daya
saing yang tinggi untuk memastikan prestasi dan hala tuju negara dapat terus
dicapai. Keusahawanan adalah antara pasak binaan yang dapat mengukuhkan
kedudukan Malaysia di mata dunia yang amat diberikan penekanan dan keutamaan
oleh pucuk pimpinan kerajaan di peringkat akar umbi lagi.
Untuk merealisasikan kejayaan jangka panjang ini, penerapan elemen
keusawanan telah sekian lama ditekankan melalui pendidikan sebagai
instrumennya. Kurikulum digubal agar dapat menyemai kepentingan menguasai ilmu
keusahawanan dalam kalangan pelajar secara tersurat dan tersirat. Sebagai contoh,
subjek elektif Kemahiran Hidup Bersepadu Perniagaan dan Keusahawanan yang
ditawarkan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia memberi
pendedahan mengenai asas perniagaan, pengurusan dokumen yang melibatkan
jual-beli, serta standard prosedur yang harus diikuti semasa perniagaan dijalankan,
selain menerapkan nilai dan kepentingan mengungguli bidang keusahawanan.
Pendoktrinan melalui pendidikan keusahawanan seperti ini dapat membuka mata
sebilangan besar pelajar bahawa Malaysia menitikberatkan bidang ini dalam
memastikan pembangunan negara.
Pelaksanaan aktiviti luar bilik darjah juga merupakan antara usaha kerajaan
dalam menerapkan nilai keusahawanan di sekolah dalam kalangan pelajar. Kapasiti
kognitif golongan kanak-kanak dan remaja yang masih dalam peringkat membesar
tidak boleh dibandingkan dengan orang dewasa; dasar dan teori semestinya tidak
menarik perhatian mereka. Maka, aktiviti hands-on merupakan alternatif yang
ditawarkan oleh pihak sekolah dengan memfokuskan gerakerja dan pendedahan
struktur keusahawanan kepada golongan pelajar. Aktiviti seperti Hari Kantin, Jumbo
Sale dan Karnival Keusahawanan merupakan antara program yang saban tahun
dijalankan di sekolah-sekolah di Malaysia yang sedikit sebanyak melibatkan pelajar
secara langsung dalam perniagaan. Pengelolaan aktiviti kokurikulum seperti Kelab
Usahawan dan Persatuan Usahawan Muda di sekolah pula lebih menjurus ke arah
penstrukturan organisasi yang dapat mendedahkan pelajar-pelajar dengan
profesionalisma yang ada dalam bidang keusahawanan.
Abad ke-21 menjadi bukti bahawa kekayaan hasil bumi tidak lagi menjamin
kemajuan sesebuah negara. Malaysia harus memastikan sumber manusia yang ada
lengkap dengan keupayaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi agar negara
tidak dihimpit dan dieksploit oleh gergasi dari rantau Timur mahupun Barat.
Pelaksanaan pelbagai elemen keusahawanan di sekolah menjadi percaturan dalam
menghasilkan generasi yang cakna akan kepentingan bidang ini sekaligus memberi
harapan dalam meletakkan Malaysia di pentas dunia sebagai negara yang
cemerlang, gemilang dan terbilang.

You might also like