Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 13

1.

0 PENGENALAN
Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan, beberapa transformasi pendidikan telah
dilaksanakan. Pelaksanaan tranformasi tersebut mempunyai harapan yang unggul iaitu mahu
memperbaiki dan meningkatkan lagi kemampuan sistem pendidikan negara untuk memenuhi
keperluan semasa dan masa hadapan.
Seawal 1980, perbelanjaan Persekutuan untuk pendidikan rendah dan menengah sebagai
peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah yang tertinggi di Asia Timur. Pada 2011,
jumlah perbelanjaan pendidikan sebanyak 3.8% daripada KDNK, atau 16% daripada jumlah
perbelanjaan Kerajaan bukan sahaja lebih tinggi daripada purata OECD (sebanyak 3.4% daripada
KDNK dan 8.7% daripada jumlah perbelanjaan awam), malah adalah setara atau lebih tinggi daripada
sistem berprestasi tinggi seperti Singapura, Jepun dan Korea Selatan. Pada 2012, kerajaan terus
menyediakan peruntukan yang terbesar, iaitu RM 36 bilion atau 16% daripada jumlah bajet, kepada
Kementerian Pendidikan. Peruntukan ini menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pendidikan
sebagai satu daripada keutamaan negara.
Kesan globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat yang pesat telah memberi kesan secara
langsung terhadap dunia pendidikan di negara kita. Perubahan ini secara tidak langsung telah
mempengaruhi proses pembelajaran, gaya kita berfikir dan bertindak (Mohd Salleh, 2000). Ia dengan
matlamat bahawa individu seharusnya berupaya untuk menyesuaikan diri dalam menghadapi arus
perubahan ini agar tidak ketinggalan serta mampu berubah mengikut perubahan zaman. Perubahanperubahan seperti ini telah memberi impak yang amat ketara kepada sistem pendidikan.
Penyediaan sokongan dan sumber oleh sesuatu sistem adalah penting bagi membolehkan guru
besar, pengetua dan guru memberi tumpuan kepada tugas utama mereka dalam melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk meningkatkan prestasi sekolah. Oleh itu, pelaburan
dalam sistem pendidikan menjadi ukuran penting yang menggambarkan kesungguhan dan komitmen
kerajaan. Kerajaan Malaysia telah mengekalkan tahap pelaburan yang tinggi dalam pendidikan sejak
negara mencapai kemerdekaan lebih 55 tahun yang lalu.
Bagi sesebuah negara yang ingin memiliki satu sistem pendidikan yang mantap, ia
memerlukan penghayatan dan pelaksanaan sebaik mungkin. Peranan yang dimainkan oleh para guru
dalam merealisasikan falsafah dan harapan sistem pendidikan negara merupakan faktor penentu yang
utama. Para guru yang berada di barisan hadapan harus menunjukkan keterampilan yang tinggi ketika
menjalankan tugas mereka. Harapan terhadap kefungsian sekolah dan guru sentiasa bersikap dinamik
telah menyebabkan keupayaan guru-guru terutamanya guru novis menangani cabaran-cabaran dalam
pendidikan terus dipersoalkan oleh semua pihak. Keupayaan para pelajar Malaysia manfaat daripada
pendidikan juga sering dikaitkan dengan kemampuan, kelayakan dan kemahiran guru-guru memberi
perkhidmatannya sejajar dengan tuntutan dan harapan tinggi negara serta masyarakat. (Yusri, 2001).
1

Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015, melalui gelombang ke-10,


adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit yang
dilaburkan. Seperti yang dinyatakan seperti di atas tadi, 16% daripada bajet tahunan persekutuan telah
dilaburkan untuk Kementerian Pendidikan. Pelaburan yang signifikan ini menunjukkan komitmen
kerajaan terhadap pendidikan. Namun, perpindahan sejumlah besar dana daripada bahagian keutamaan
lain kepada sistem pendidikan tidak mungkin akan berlaku. Sebaliknya, kementerian perlu
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam perbelanjaan dan peruntukan dananya.
Memandangkan usaha transformasi hebat yang akan dilaksanakan oleh sistem pendidikan ini,
maka kerajaan akan terus melabur dan akan memperuntukkan dana bagi keutamaan yang direncanakan
dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, yang langsung tidak melibatkan program dan inisiatif
berimpak rendah yang lain. Kerajaan juga akan memantau dan melaporkan pulangan atas pelaburan
yang didapati daripada setiap inisiatif, dengan pelaburan seterusnya bergantung pada hasil yang
ditunjukkan.
Mengaitkan setiap program kepada keberhasilan murid yang jelas dan merasionalisasi
program berimpak rendah pada setiap tahun, selaras dengan anjakan keseluruhan kerajaan ke arah
OBB. Outcome atau Belanjawan berdasarkan Prestasi (OBB) menggunakan penyata misi, matlamat
dan objektif untuk menjelaskan mengapa wang yang dibelanjakan. Ia adalah satu cara untuk
memperuntukkan sumber untuk mencapai objektif khusus berdasarkan matlamat program dan
keputusan pengukuran. Oleh itu, OBB termasuk tiga komponen utama iaitu:
- Keputusan Belanjawan Berdasarkan (RBB)
- Keputusan Berdasarkan Penilaian Prestasi
- Keputusan yang Berdasarkan Sistem Pengurusan Maklumat
Belanjawan yang berasaskan outcome yang berbeza daripada pendekatan tradisional kerana ia
memberi tumpuan kepada hasil daripada penggunaan input apakah wang membeli dan hasil daripada
pembelian. Ini membolehkan pembuat dasar menentukan apakah aktiviti kos berkesan dalam
mencapai hasil akhir mereka. Apabila perubahan sistem pembiayaan ini selesai dan penyusunan
semula kementerian dilaksanakan dalam Gelombang 2 (seperti diperincikan dalam bahagian
Melaksanakan penstrukturan semula Kementerian secara menyeluruh), kementerian akan memberi
tumpuan kepada pengurusan kewangan yang lebih strategik, termasuk peruntukan bajet terbeza
berdasarkan keperluan murid.
Kementerian juga akan memastikan keberkesanan perbelanjaan pendidikan, meningkatkan
pulangan pelaburan (ROI), dan melaksanakan analisis kos-faedah sosioekonomi yang jelas untuk
setiap pelaburan utama. Matlamatnya adalah untuk meminimumkan keperluan dana tambahan sambil
memaksimumkan ROI dalam bidang yang penting, seperti keberhasilan murid. Bagi tujuan ini,
kementerian akan berusaha menyusun semula keutamaan dan mewajarkan dasar dan program semasa
2

bagi memastikan dana dimanfaatkan untuk bidang keutamaan yang paling penting. Kementerian juga
memberi komitmen bagi melaksanakan syor Ketua Audit Negara seperti pemantauan perbelanjaan
yang lebih teliti, pematuhan peraturan kewangan, dan penambahbaikan pembayaran perbelanjaan yang
diperuntukkan dalam bajet. Dalam jangka masa pendek, usaha ini memerlukan tindakan segera dengan
mewajarkan program dan menyemak proses perolehan apabila kontrak sedia ada diperbaharui.
Bergerak ke hadapan, setiap program yang dilancarkan oleh Kementerian akan dihubungkan
dengan sasaran khusus yang berkait dengan keberhasilan murid. Pejabat persekutuan, negeri dan
daerah akan menjalankan kajian semula tahunan untuk menilai kejayaan program bagi memenuhi
sasaran ini. Pemberian dana untuk tahun berikutnya akan bergantung pada peningkatan hasil yang
ditunjukkan. Melalui pendekatan bajet berasaskan hasil ini, ibu bapa, guru dan pengetua/guru besar
akan berkeyakinan bahawa setiap program diselaraskan dengan keutamaan dan nilai tambah Pelan
Pendidikan Pembangunan ini.
Pendekatan ini juga akan mengurangkan risiko bebanan berlebihan yang dihadapi oleh guru
dan pengetua/guru besar dengan mengagihkan peruntukan kepada bidang paling kritikal seperti
peningkatan kemahiran dan latihan guru. Kementerian akan mengkaji semula corak perbelanjaan di
peringkat persekutuan, negeri dan daerah secara teliti bagi mewujudkan tanda aras perbelanjaan dan
memurnikan proses pemerolehan. Jabatan dan pejabat yang berbelanja melebihi tanda aras yang
ditetapkan perlu memastikan perbelanjaan mereka mengikut tanda aras ini. Selaras dengan amalan ini,
Kementerian komited untuk mengambil tindakan terhadap apa-apa isu yang dibangkitkan dalam
laporan tahunan Ketua Audit Negara.
Kementerian juga akan membuat anjakan ke arah program bantuan kewangan berasaskan
keperluan. Keluarga berpendapatan rendah akan terus menerima bantuan yang diperlukan bagi
memastikan anak-anak mereka terus bersekolah, manakala keluarga berpendapatan lebih tinggi yang
lebih berkemampuan pula akan menerima bantuan yang lebih rendah. Dana yang pada asalnya
diperuntukkan bagi program ini akan diperuntukkan semula ke bahagian lain yang mempunyai
keberhasilan berimpak tinggi, contohnya latihan dan peningkatan kemahiran guru. Sebanyak RM1
bilion dalam perbelanjaan permulaan operasi bagi tempoh 2013-2025 telah dikenal pasti untuk tujuan
penjimatan dan pengagihan semula, dan pada masa yang sama kajian semula perbelanjaan
pembangunan sedang dijalankan. (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025 Ringkasan
Eksekutif).
2.0 Kupasan Program Latihan Guru
Sistem pentadbiran pendidikan di Malaysia bukan sahaja menumpukan kepada kemajuan
murid tetapi juga pada masa yang sama tertumpu kepada guru-guru. Tanpa guru-guru yang berkualiti
dan mengikut perkembangan dasar semasa, berkemungkinan besar kemajuan murid tidak akan dicapai
sepenuhnya. Oleh sebab itu pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sering mengadakan latihan
3

dalam perkhidmatan, seminar, kursus jangka pendek dan sebagainya dengan tujuan untuk memberi
pendedahan yang mendalam tentang dunia pendidikan kepada guru-guru. Program tersebut biasanya
dijalankan setelah mendapat maklum balas daripada pihak sekolah tentang penyeliaan dan penilaian ke
atas guru-guru. Maka perkaitan antara penyeliaan, penilaian dan perkembangan seseorang guru adalah
berkait rapat antara satu sama lain.
3.0 Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) / Latihan Pembangunan Staf (LPS)
Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) adalah agenda utama KPM kerana guru
berkualiti merupakan nadi kepada kejayaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Negara yang mempunyai
kaitan secara langsung dengan keberhasilan murid. Guru perlu secara berterusan sepanjang tempoh
perkhidmatan melengkapkan dan dilengkapi dengan ciri-ciri pendidik profesional abad ke-21 bagi
memastikan mereka kekal relevan dan efektif dalam ekosistem pendidikan yang dinamik, mencabar
dan sentiasa menuntut keberhasilan murid yang holistik serta menepati kualiti gobal. (Dato Sri Dr.
Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia).
Pelan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPPB) dibangunkan bagi melengkapi usahausaha pembangunan profesionalisme kepada guru dan pemimpin sekolah. Aktiviti pembangunan
profesionalisme sedia ada yang dikenali sebagai Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP/LDP) dan
Latihan Pembangunan Staf (LPS) telah dimantapkan seiring dengan amalan Pembangunan
Profesionalisme Berterusan (PPB). Pelan PPB bertujuan mentransformasikan amalan ini bagi
meningkatkan kualiti guru dan pemimpin sekolah serta memperkasa profesion keguruan.
Menerusi program latihan pembangunan staf, para guru dapat meningkatkan profesionalisme
mereka di samping membentuk dan memantapkan kumpulan kerja yang efektif untuk mencapai
matlamat kerja serta dapat menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat. Menyedari bahawa
latihan pembangunan staf merupakan komponen yang penting dalam organisasi dan pencapaian kerja,
maka pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Unit Latihan bagi meningkatkan
kualiti serta membantu meningkatkan profesionalisme tenaga pengajar.
Para guru juga bertanggungjawab untuk memperlengkapkan pengetahuan dan kemahiran
masing-masing bagi mencapai aspirasi organisasi. Latihan pembangunan guru ini merangkumi setiap
program dan aktiviti yang dilaksanakan bagi meningkatkan dan mengembangkan pengetahuan serta
kemahiran para guru supaya mereka boleh menyumbangkan idea dan tenaga sepenuhnya ke arah
pencapaian matlamat dan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia.
Keperluan guru mendapat maklumat terkini dianggap penting kerana mereka adalah
merupakan sumber utama dalam menyampaikan ilmu dan melaksanakan dasar-dasar serta peraturan
yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran. Perkembangan staf juga mestilah dijadikan
sebagai budaya sekolah serta perlu dilaksanakan secara berkala sepanjang tahun.
4

Menurut Joyce dan Calhoun (1999), Staff development programs must be carefully
designedas educational programs for students and the implication of not doing so is serious.
Hasrat negara akan dapat dicapai dengan adanya komitmen daripada pihak Kementerian
Pelajaran. Mesejnya ini jelas kerana latihan dalam perkhidmatan dan pendidikan berterusan adalah
penting terutamanya bagi golongan pendidik. Malah pihak jemaah nazir juga adalah berperanan
memastikan sekolah mempunyai perancangan dalam perkembangan staf untuk meningkatkan
profesionalisme dan menyampaikan maklumat terkini kepada guru-guru.
Semasa membuat pemeriksaan di sekolah, nazir akan memberi input kepada guru melalui
kumpulan-kumpulan kecil. Dalam sesi ini mereka bebas mengeluarkan pendapat dan cadangan serta
bertukar-tukar fikiran untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Galakan akan diberikan supaya aktiviti
perkembangan staf itu diadakan secara berkala sepanjang tahun. Penyumbang perkembangan staf ini
mungkin terdiri daripada guru-guru senior atau mereka yang baru menghadiri kursus atau pihak-pihak
luar yang mempunyai kemahiran tertentu.
Dengan pendedahan yang diperoleh oleh guru melalui LPS dan LDP, maka ilmu tersebut boleh
dipulangkan semula serta diaplikasikan dalam kemahiran pengajaran bagi melahirkan murid yang
berkualiti. Ia bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan
kemenjadian murid dalan semua aspek.
Kelemahan Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) / Latihan Pembangunan Staf (LPS)
Walaupun begitu, program ini didapati mempunyai kelemahan

dan mempunyai kritikan.

Antara kritikan yang diberi ialah program-program ini tidak mempunyai objektif yang jelas,
kekurangan tindakan susulan, tidak berkaitan atau memenuhi keperluan individu, atau kekurangan
model. Joyce dan Showers (1995) melaporkan bahawa pendidik secara umumnya menyifatkan latihan
dalam perkhidmatan sebagai kurang perancangan, kelam-kabut, tidak relevan dan tidak berkesan.
Perkara ini selari dengan apa yang berlaku di kebanyakan sekolah pada hari ini. Apabila
mendapat arahan yang memerlukan laporan atau tindakan dari sekolah, maka LDP akan dijalankan
sesegera mungkin bagi membuktikan sekolah telah melaksanakan program penataran kepada semua
guru. Tindakan tergesa-gesa serta kurang perancangan ini kerapkali menjadikan penyampaian dalam
LDP kurang berkesan kepada para guru. Justeru itu, hasil yang diharapkan agar intipati LDP dapat
membantu guru menyampaikan pengajaran berkesan kepada murid, kurang mencapai matlamat.
Selain itu, terdapat juga proses penyampaian yang tidak relevan berlaku akibat ingin
menjimatkan masa. Kadangkala dalam satu slot LDP, ia mempunyai 6 hingga 8 penyampaian yang
berbeza-beza mengikut bidang. Semua guru akan mendengar taklimat yang tiada kaitan dengan bidang
subjek. Ia bukan sahaja merugikan masa, malah akibat penyampaian yang padat, akhirnya ia tidak
memberi input yang berkualiti bagi menghasilkan kemenjadian murid itu sendiri.
5

Penambahbaikan Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) / Latihan Pembangunan Staf (LPS)


Pelaksanaan LDP merupakan satu aktiviti penting dalam pembangunan sumber manusia.
Fungsi dan matlamat nya adalah untuk meningkatkan keberkesanan pembangunan kemenjadian murid.
Oleh itu, keperluan untuk mengurus dan mentadbir program LDP di sekolah dengan baik memerlukan
perancangan dan pelaksanaan yang komprehensif. Aspek utama yang perlu diambil perhatian ialah
aspek pengisian dan strategi pelaksanaan. Pengisian melibatkan apa yang perlu dibentang secara
relevan dan bersesuaian dengan staf sekali gus bermanfaat bagi meningkatkan kualiti kemenjadian
murid.
Hubungan timbal balik antara sekolah dan komuniti perhubungan sekolah dengan komuniti
haruslah erat dan saling berinteraksi serta mempengaruhi satu sama lain untuk kebaikan semua. Ia
merupakan pengaruh utama dalam pembentukan sahsiah murid. Pengaruh sekolah berlandaskan
kebudayaan masyarakat-kepercayaan,

norma,

agama dan ilmu. Sekolah menjadi agen yang

memodenkan masyarakat dalam semua bidang perkembangan dan kemajuan. program LDP ini dilihat
mampu melahirkan pelajar mengikut keperluan yang dinyatakan dalam matlamat pendidikan negara,
sekiranya perancangannya dibuat dengan teliti.

4.0 Program Professional Learning Communities (PLC)

Terdapat banyak kajian ilmiah terdahulu yang berkaitan dengan bidang keberkesanan
sekolah (school effectiveness) mendapati bahawa prestasi pelajar dipengaruhi oleh sistem sekolah

yang berprestasi tinggi. Ia disokong oleh dua komponen utama iaitu kualiti kepimpinan dan kualiti
guru. Untuk meningkatkan prestasi sekolah melalui peningkatan kualiti secara menyeluruh, semua
sekolah telah diberikan kedudukan melalui proses penyenaraian dan diberikan kedudukan bermula

dari band 1 sehingga 7. Sekolah yang berprestasi rendah diberikan sokongan dan dorongan untuk
penambahbaikan terhadap aspek kepimpinan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP). Antara inisiatif
yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) untuk meningkatkan kualiti guru ialah
melalui program Komuniti Pembelajaran Profesional atau Professional Learning Communities (PLC).
Professional Learning Community (PLC) merujuk kepada usaha para pendidik yang komited
dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi
mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka (DuFour, Eaker, & Many, 2006).
Pelbagai aktiviti dalam pendekatan Komuniti Pembelajaran Profesional telah digunakan oleh
masyarakat guru di negara-negara maju, antaranya ialah pengajaran bersama rakan guru (team
teaching), tunjuk cara dalam pengajaran (lesson demonstration), sistem sokongan rakan sekerja
(buddy support system), perkongsian pintar antara komuniti sekolah dengan komuniti di luar sekolah,
dan pengajaran secara kolaboratif (collaborative teaching). Lesson Study sebagai satu aktiviti
6

pengajaran dan persediaan pengajaran secara kolaboratif semakin mendapat tempat dalam sistem
pendidikan di negara-negara maju seperti Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat .
Pada tahun 2011 Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah melaksanakan PLC bermula dengan
strategi Lesson Study kepada 289 panitia mata pelajaran di 289 buah sekolah berprestasi rendah.
Pembudayaan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran secara kolaboratif dalam kalangan
komuniti guru telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan
profesionalisme guru berasaskan sekolah. Usaha ini diteruskan pada tahun 2012 kepada 107 panitia
mata pelajaran di 107 buah sekolah. Selain daripada Lesson Study, strategi-strategi PLC yang lain
seperti Pembimbing Rakan Sebaya (Peer Coaching), Jejak Pembelajaran (Learning Walk) dan Sesi
Perkongsian (Sharing Sessions) telah diperluaskan . Pelaksanaan PLC ini bukan sahaja dapat
meningkatkan profesionalisme guru melalui amalan kolaboratif, malah ia dapat meningkatkan
pencapaian murid sekaligus meningkatkan ketrampilan guru.
Pemantauan dan Bimbingan pelaksanaan aktiviti PLC akan dilaksanakan dari semasa ke
semasa oleh pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) masing-masing dengan pelbagai pendekatan
termasuk secara outsite in dan insite out. Semua dapatan aktiviti akan dilaporkan kepada ahli
Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Negeri untuk makluman dan tindakan lanjut.
Kelemahan Program Professional Learning Communities (PLC)
Program ini mempunyai dasar dan matlamat yang jelas, iaitu ingin meningkatkan pengajaran
guru. Sungguhpun begitu, pihak sekolah sebenarnya menghadapi masalah tentang cara untuk
melaksanakannya. Seperti contoh sekiranya PLC ini dijalankan mengikut cara Lesson Study, maka
guru-guru dalam satu panitia akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bagi membina rancangan
pengajaran harian. Proses ini memerlukan perancangan yang teliti dan melibatkan masa guru-guru
selepas waktu persekolahan, atau masa terluang semua guru secara serentak. Oleh itu, kadangkala bagi
memudahkan guru-guru, satu rph yang agak baik yang dapat disediakan oleh mana-mana guru akan
diambil sebagai rph bagi pelaksaan lesson study. Justeru itu, langkah pertama sahaja sudah dilihat
sebagai suatu proses yang sukar untuk dilaksanakan.
Apabila proses pengajaran dijalankan pula, terdapat seorang guru yang akan mengajar,
sementara sebahagian guru lagi akan membuat penilaian berdasarkan borang tertentu. Keadaan ini
menyukarkan pihak pentadbiran untuk menyusun jadual ganti bagi semua guru-guru yang terlibat
dengan kelas lain pada waktu yang sama. Kekangan ini menyebabkan kebanyakan guru tidak dapat
melaksanakan program ini dengan jayanya.
Apabila berkait dengan pemantauan pula, kebanyakan sekolah hanya diminta menghantar
laporan perjalanan program PLC sepanjang tahun. Oleh itu, terdapat kes dimana borang pelaporan
diisi tanpa menjalankan aktiviti PLC di sekolah.
7

Penambahbaikan program PLC


Bagi mendapat hasil yang maksimum, pihak sekolah seharusnya mampu menyediakan
pelbagai kemudahan yang sesuai bagi guru-guru menjana, bertukar dan mencabar idea masing-masing
secara

berterusan

untuk

meningkatkan

mutu

pengajaran

mereka.

Di samping itu, penambahbaikan secara berterusan terhadap kualiti guru dan kualiti pengajarannya
juga merupakan elemen penting dalam usaha untuk melakukan peningkatan prestasi pelajar.
Dalam hal ini, tidak ada gunanya menyediakan ruang untuk PLC dilaksanakan di sekolah tanpa ada
usaha

untuk

mewujudkan

peningkatan

kualiti

para

guru

dan

proses

pengajarannya.

Seterusnya, pelaksanaan PLC memerlukan fokus yang jelas serta tepat tentang keperluan dan masalah
pelajar. Masa bagi melaksanakan program ini juga perlu dirancang sebaik mungkin bagi memastikan
pelaksanaannya mendapat hasil yang mampu memanfaatkan pelajar.
5.0 Dual Language Programme (DLP)
Dasar MBMMBI diperkenalkan untuk memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia
dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul. Dual Language Programme (DLP) adalah program yang
diperkenalkan di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI). Ia merupakan satu program yang memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang
memenuhi kriteria untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris
sepenuhnya selain daripada bahasa Malaysia bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Teknologi
Maklumat dan Komunikasi, serta Reka Bentuk dan Teknologi.
Selaras dengan aspirasi PPPM agar murid menguasai kemahiran dwibahasa, DLP memberi
peluang kepada murid untuk mengguna pakai bahasa Inggeris melalui mata pelajaran Matematik,
Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, serta Reka Bentuk dan Teknologi. DLP membolehkan
masyarakat Malaysia meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat
global.
DLP mendedahkan murid kepada masa pengajaran dan pembelajaran yang lebih lama dari
kadar semasa yang diperuntukkan untuk dalam mata pelajaran bahasa Inggeris. Pelaksanaan DLP
bertujuan untuk menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris murid melalui peningkatan
masa pendedahan kepada bahasa Inggeris secara tidak langsung. Dengan pengukuhan dwibahasa
seseorang murid, DLP boleh memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses, penerokaan
pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat global serta meningkatkan kebolehpasaran murid di alam
pekerjaan.
Program yang melibatkan kos sebanyak RM 38.5 juta ini sejajar dengan usaha pengukuhan
bahasa Inggeris di bawah dasar MBMMBI yang akan dilaksanakan menerusi gelombang dua PPPM
2013-2025 (Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof). Dalam pelaksanaan
8

bagi kedua-dua inisiatif tersebut, sebanyak 300 buah sekolah telah dikenal pasti melaksanakannya
sebagai perintis. Pemilihan sekolah tersebut berdasarkan kepada permintaan ibu bapa dan pengetua
atau guru besar serta kesediaan sekolah berkenaan melaksanakannya.
Kelemahan Dual Language Programme (DLP)
Sebenarnya program Memartabatkan Bahasa Melayu dam Memperkasakan Bahasa Inggeris
(MBMMBI) adalah jalan tengah yang diambil oleh kementerian supaya bahasa Melayu terus diangkat
untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa Inggeris tidak ditinggalkan sebagai bahasa antarabangsa.
Salah satu program yang dirancang di bawahnya termasuklah program DLP ini. Pendekatan dwibahasa
ini sepatutnya disokong dengan mengambil pendekatan yang lebih terancang dari sudut latihan
keguruan, aplikasi ICT, makmal bahasa, penyusunan semula kurikulum dan buku teks. Kepentingan
memajukan bahasa ibunda dalam kebanyakan negara di dunia tidak menjejaskan keupayaan pelajarnya
untuk terus maju. Jika dilihat pada negara Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea Selatan
umpamanya, mereka memartabatkan bahasa ibunda, tetapi dalam masa yang sama pelajar China,
Jepun dan Korea Selatan dihantar ke Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand untuk
menguasai ilmu dalam bahasa Inggeris.
Negara ini terus maju kerana dasar memartabatkan bahasa ibunda dan memperkasa bahasa
Inggeris dilaksanakan. Dalam konteks negara kita, para ibu bapa akan berasa berbelah bahagi ke mana
arah untuk anak mereka hendak mendapatkan ilmu di sekolah yang memiliki Program Dwibahasa atau
sekolah yang melaksanakan Program Imersif Tinggi. Sudah tentu akan ada kelebihan dan kekurangan
pelajar yang memilih salah satu program pendidikan berdasarkan bahasa Melayu atau bahasa Inggeris
ini kelak.
Selain itu, jika dilihat syarat untuk menubuhkan kelas DLP di sekolah antaranya mendapat
persetujuan semua ibu bapa yang diputuskan melalui mesyuarat PIBG sekolah. Dalam hal ini benarkah
semua ibu bapa murid dan pelajar di sesetengah sekolah bersetuju dengan keputusan yang mungkin
dibuat hasil mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru yang kebiasaannya dihadiri hanya kira-kira 50
peratus daripada jumlah ibu bapa dan penjaga yang anak mereka belajar di sekolah itu.
Pendekatan program DLP ini dilihat tidak wajar kerana sebahagian guru mempunyai opsyen
matematik dan sains sebagai opsyen major atau minor. Justeru itu, mereka tidak mahir menjalankan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris. Langkah ini juga akan mencacatkan
prestasi pelajar dalam menguasai mata pelajaran penting, selain guru-guru juga tidak diberi
pendedahan dan kurang persediaan dalam melaksanakan program baru.

Penambahbaikan program DLP


Perkara paling utama yang sepatutnya dilaksanakan oleh pihak kementerian pelajaran adalah
memperkasakan matapelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Guru-guru Sains dan Matematik perlu
dilatih terlebih dahulu agar menguasai kandungan subjek..
Seterusnya, pihak kementerian perlu menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang
lengkap bagi membantu kefahaman murid-murid serta melengkapkan perpustakaan di sekolah,
terutamanya di sekolah menengah. Buku-buku teks perlu dibekalkan ke sekolah terlebih dahulu. Apa
yang berlaku kini bagi program DLP, guru matematik terpaksa merujuk buku lama yang digunakan
sewaktu program PPSMI suatu ketika dahulu. Ia jelas berbeza dengan sukatan pelajaran KSSR yang
terkini.
Sekolah yang menerima tawaran untuk menjalankan program ini pula perlu mengadakan latihan secara
dalaman kepada guru-guru secara lebih terancang dan berjadual dan dikendalikan sendiri oleh pihak
sekolah. Akhir sekali, semua murid perlu diberi kesedaran untuk lebih bersungguh-sungguh
mempelajari Sains dan Matematik demi masa depan mereka.
6.0 Program Penutur jati
Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Pembangunan Dasar Kurikulumnya telah
memperkenalkan Program Penutur Jati di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Program yang dilaksanakan ini adalah dalam usaha
untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru sekolah. Timbalan
Pengarah bahagian itu, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib berkata, strategi yang dicadangkan adalah
dengan pengambilan pakar bahasa Inggeris (mentor) dari luar negara untuk bekerjasama dengan pakar
negara ini bagi tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan guru-guru.
(Utusan Malaysia ,2012)
Tujuan program penutur jati ini adalah untuk membantu guru-guru yang mengajar Bahasa
Inggeris khususnya Tahap 1 iaitu tahun 1, 2 dan 3 memahami kaedah dan teknik berkesan dalam
pembelajaran dan pengajaran seterusnya dapat membantu murid-murid memperbaiki penguasaan
Bahasa Inggeris ke tahap yang lebih baik selaras dengan aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia
terhadap MBMMBI.
Program penutur jati adalah salah satu program di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ianya telah dimulakan sejak tahun 2011 hingga 2013. Selama tiga tahun guru-guru Bahasa Inggeris di
seluruh negara berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada mentor yang telah ditetapkan oleh Pejabat
Pelajaran Daerah masing-masing. Seramai 360 penutur jati dibahagikan kepada beberapa kawasan di
seluruh negara. Seorang penutur jati dipertanggungjawabkan untuk menjaga lima buah sekolah yang
berada di kawasan tersebut.
10

Walau bagaimanapun bukan semua guru Bahasa Inggeris terlibat dalam program ini. Hanya
sekolah-sekolah terpilih sahaja dapat mengikuti program ini kerana bilangan penutur jati adalah
terhad. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah dipilih oleh Pejabat Pelajaran berdasarkan kriteria-kriteria
tertentu. Program ini juga secara tidak langsung membolehkan murid-murid luar bandar
berkomunikasi secara langsung dengan guru bahasa Inggeris dari luar negara dan seterusnya
meningkatkan keyakinan diri mereka. Selain itu, pelbagai pendekatan menarik diwujudkan melalui
program ini yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi keseronokan murid-murid untuk belajar
bahasa Inggeris termasuklah aktiviti latihan, aktiviti bercerita dengan muzik dan juga aktiviti
pembelajaran di luar bilik darjah.
Kelemahan Program Penutur jati
Tidak semua sekolah dalam negara terlibat dan ini memberi gambaran seolah-olah objektifnya
tidak menyeluruh. Selain itu, Bahasa Inggeris yang digunakan oleh mentor (penutur jati) agak sedikit
berbeza dari segi sebutannya dengan Bahasa Inggeris di Malaysia. Perbezaan slanga ini juga
kadangkala menimbulkan kesulitan dalam urusan komunikasi perbengkelan atau workshop. Dengan
wujudnya workshop ini juga, bebanan tugas ke atas guru yang terlibat semakin bertambah apabila
guru yang sama juga mengajar Tahun 6, dan sudah tentu memberikan fokus yang lebih terhadap
peperiksaan UPSR
Ini belum diambil kira dengan jadual workshop yang bertindih dengan aktiviti sekolah seperti
kursus, mesyuarat, contact time, ko-kurikulum, latihan sukan dan lain-lain serta guru besar pula agak
keberatan memberi keizinan jika melibatkan aktiviti besar sekolah. apatah lagi jadual tersebut
berbeza di antara sekolah-sekolah yang terlibat. Contohnya jika sekolah A ada mesyuarat kurikulum
pada hari Isnin , sekolah B hari Selasa dan sekolah C pula ada perjumpaan dengan ibu bapa pada hari
yang sama tentulah kehadiran bagi workshop tidak penuh. Apabila ini berlaku tentulah menyukarkan
mentor untuk mengulang semula perkara yang sama. Banyak kali berlaku guru tidak dapat hadir
dengan sebab tertentu dan ada kalanya workshop dibatakan kerana hanya seorang atau dua orang guru
yang hadir.
Jadual waktu guru yang terlibat juga padat terutama pada sebelah petang. Guru perlu
memastikan anak-anak yang bersekolah sesi petang selesai diuruskan sebelum menghadiri workshop.
Begitu juga anak-anak yang bersekolah agama rakyat mesti dihantar mengikut masa yang ditetapkan.
Situasi ini tentu bertambah sukar apabila anak jatuh sakit atau suami pula berkursus atau bertugas di
luar daerah. Masalah-masalah inilah yang mengekang kehadiran guru ke workshop dan seterunya
menjejaskan matlamat penutur jati.
Pertukaran guru dan perubahan kelas yang diajar oleh guru. Contohnya ada guru yang
mengikuti program ini di tahun pertama tetapi tidak dapat meneruskannya di tahun kedua kerana
11

bertukar ke sekolah yang tidak mempunyai program ini. Terdapat juga guru yang terlibat telah pencen
dan ada juga yang mengajar tahap dua dan tidak lagi mengajar tahap satu .
Penambahbaikan program Penutur Jati
Program ini perlu melibatkan semua sekolah dan semua guru Bahasa Inggeris termasuklah
guru Tahap1dan Tahap 2. Guru yang terlibat jika boleh tidak terikat dengan kelas lain terutama Tahun
6. Seterusnya jumlah lima buah sekolah dengan maksima lima belas orang guru adalah sesuatu yang
sukar untuk melihat keberkesanan program ini. Bagi melihat keberkesanan program ini, kurangkan
jumlah sekolah dan guru yang terlibat bagi seorang mentor. Selain itu, untuk kesan jangka panjang
program ini dilihat lebih sesuai diadakan di peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG), kerana lebih
mudah dilaksanakan terhadap guru-guru pelatih yang masih muda dan sepenuh masa berada di
kampus berbanding guru-guru di sekolah yang kebanyakannya berumur dan mempunyai
tanggungjawab lain yang sememangnya tidak pernah kurang.

12

Rujukan
Abdul Rahim Hamdan (2007) Pengajian Kurikulum. Skudai: Universiti Teknologi Malaysia
Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon dan Abdul Rahim Hamdan ( 2006) ,
Menguasai Penyelidikan Dalam Pendidikan.Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd
Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia, Bilangan 7/2015
Kementerian Pendidikan Malaysia (2001). Pembangunan Pendidikan 2001-2010. Perancangan
Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan. Pusat Bandar Damansara, Kuala Lumpur.
Modul komuniti Pembelajaran Profesional
Mohamad Majid Konting (1997) Kaedah penyelidikan Pendidikan: Kuala lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka
Mohamed Najib Abdul Ghaffar (1999) Penyelidikan Pendidikan Universiti Teknolog Malaysia Skudai
Shanti a/p Rangharan (1998) Peranan Dan Tanggungjawab Guru Dalam Meningkatkan
profesionalisme Perguruan Ke arah PencapaianPendidikan Cemerlang.Tesis Sarjana Pendidikan Tidak
Diterbitkan: Universiti Kebangsaan Malaysia
Surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia, Bilangan 18 Tahun 2015, Pelaksanaan Rintis Program
Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) di sekolah pada Tahun 2016

13

You might also like