Perkhidmatan Kanak

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 5

Perkhidmatan Kanak-Kanak

Perkhidmatan kanak-kanak menyediakan perkhidmatan perlindungan kepada kanak-kanak daripada semua bahaya
termasuk jenis penyalahgunaan, penyeksaan, penderaan, diskriminasi dan eksplotasi. Di samping itu penekanan
khusus diberi kepada perkembangan sihat kanak-kanak dari segi fizikal, sosial, emosi dan mental. Mereka juga
dilengkapi dengan nilai dan sikap yang sesuai supaya mereka mempunyai haluan dan tujuan sebagai generasi dan
pemimpin masa hadapan.

Objektif
Memastikan khidmat pemeliharaan, perlindungan, pemulihan dan pembangunan kanak-kanak disediakan dengan
cekap dan berkesan.

Definisi Kanak-kanak

Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang memerlukan jagaan, pemeliharaan, perlindungan dan
pemuliharaan mengikut takrifan Akta Kanak-kanak 2001.

Komitmen Antarabangsa

1. The Convention On The Rights Of The Child (CRC) 1994 - ditandatangani pada 28 Disember 1994.
2. Bali Consensus On Partnerships With And For Children In The East Asia And Pacific Region (2005).

Akta-akta Berkaitan Kanak-kanak

1. Akta Kanak-kanak 2001


2. Kanun Acara Jenayah (Sek 173A, 293 & 294)
3. Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952
4. Akta Pengangkatan 1952
5. Akta Keganasan Rumahtangga 1994
6. Akta TASKA (Pindaan) 2007
7. Akta Pusat Jagaan (Pindaan) 2007
8. Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007

Peraturan-peraturan Berkaitan Kanak-kanak

1. Akta Kanak-kanak 2001 - Peraturan-peraturan Kanak-kanak (Tempat Selamat) 2007


2. Akta Mahkamah Juvana 1947 - Peraturan-peraturan Asrama Akhlak 1982
3. Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 - Kaedah-kaedah Perlindungan Wanita dan Gadis (Tempat
Perlindungan) 1982
4. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 - Peraturan-peraturan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (Prosedur
& Amalan) 1995
5. Peraturan-peraturan Jawatankuasa Kebajikan Juvana (Perlindungan dan Kewajipan 1976)
6. Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 - Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak Komuniti 2007

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara


PENGENALAN

Kanak-kanak merupakan modal insan penting kepada negara. Modal insan ini dapat dibangunkan kepada tahap
optimum melalui penyediaan persekitaran yang selamat dan kondusif. Sehubungan itu, perlindungan terhadap
kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah
diberi keutamaan.
Justeru, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa ini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi
dan anggota masyarakat memberi keutamaan kepada perlindungan kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.
Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak
2001 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak demi kepentingan terbaik mereka.

DEFINISI

Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta
Kanak-Kanak 2001.
Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap
pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal,
emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan
kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk
bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.
Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk
berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup
mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi
fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat
kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.
Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi
emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti
kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.
Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi
seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur
seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau
orang lain.
Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari
segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.
Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat
faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan
psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

PERNYATAAN DASAR

Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ini merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip
perlindungan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak
2001. Dasar ini memberi tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan dan penyelidikan dan
pembangunan bagi melindungi kanak-kanak.

PERNYATAAN MATLAMAT

Secara khususnya, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak bertujuan untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat
perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi. Dasar ini juga menjadi pemangkin
kepada kesedaran dan komitmen semua pihak, termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-
kanak.
OBJEKTIF

Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara menetapkan 7 objektif utama seperti berikut:


i. meningkatkan kesedaran dan komitmen pelbagai pihak terhadap usaha melindungi kanak-kanak sebagai
tanggungjawab bersama;
ii. mewujudkan persekitaran yang selamat dan mesra kanak-kanak;
iii. menggalakkan organisasi yang berhubung secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak
mewujudkan dasar perlindungan kanak-kanak organisasi masing-masing;
iv. melindungi setiap kanak-kanak daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan
eksploitasi;
v. menetapkan hanya individu yang bersesuaian sahaja boleh berurusan secara langsung dengan kanak-
kanak;
vi. meningkatkan khidmat sokongan bagi menangani pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi
terhadap kanak-kanak; dan
vii. meningkatkan penyelidikan dan pembangunan bagi menambah baik perlindungan terhadap kanak-kanak.

STRATEGI

Bagi mencapai objektif-objektif di atas, 11 strategi dirangka berasaskan 4 aspek utama iaitu advokasi, pencegahan,
khidmat sokongan dan penyelidikan dan pembangunan. Strategi-strategi tersebut adalah seperti berikut:

Advokasi

1. Menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada
semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar (smart partnership) dengan pihak media
dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat.
2. Memastikan mereka yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak berupaya mengenal pasti dan
seterusnya melaporkan kes-kes pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.
3. Memastikan kanak-kanak dan anggota masyarakat termasuk pengamal undang-undang, penuntut jurusan
undang-undang, pendidik, pekerja sosial, doktor, anggota penguat kuasa (seperti pegawai polis dan imigresen),
pemandu pengangkutan awam (seperti bas dan teksi) dan pengawal keselamatan diberi kefahaman mengenai
hak kanak-kanak di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dengan fokus kepada aspek
perlindungan.
4. Menggalakkan penyediaan persekitaran yang sihat dan selamat untuk kanak-kanak.
5. Menggalakkan setiap organisasi mewujudkan dasar dan peraturan mengenai perlindungan kanak-kanak.

Pencegahan

1. Mewujudkan mekanisme amaran awal dan mengukuhkan mekanisme perlindungan kanak-kanak di


peringkat nasional dan antarabangsa.
2. Menyediakan pengetahuan asas kepada kanak-kanak untuk membolehkan mereka melindungi diri daripada
pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi serta mengenal pasti keadaan yang berisiko kepada
mereka.
3. Mewujudkan sistem saringan, pengiktirafan dan latihan bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan
kanak-kanak.

Khidmat Sokongan

1. Memperluas dan meningkatkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa, keluarga, pesalah dewasa,
pesalah kanak-kanak dan komuniti setempat.
2. Meningkat dan memperluaskan perkhidmatan perlindungan dan kesihatan kepada mangsa dan keluarga.

Penyelidikan dan Pembangunan

1. Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai perlindungan kanak-kanak serta menyebar luas
hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.

You might also like