Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 28

TAMADUN ISLAM

3.1 KONSEP TAMADUN

3.1.1 Pengertian tamadun.

a. Dari segi bahasa:

Mengikut Kamus Dewan, perkataan tamadun bererti kebudayaan, kemajuan dan


peradaban. Perkataan peradaban membawa erti kebudayaan, tamadun dan kemajuan (jasmani
dan rohani)

Dari segi bahasa Arab, perkataan tamadun atau peradaban sering dkaitkan dengan
beberapa istilah seperti madaniah dan hadharah.Perkataan tamadun lahir daripada perkataan
madanna yang mempunyai dua pengertian yang merujuk kepada perbuatan membuka
bandar atau kota serta perbuatan memperhalus bud pekerti.

Daripada perkataan madanna muncul pula perkataan madani yang merujuk kepada
pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji.

Hadharah pula dikaitkan dengan kehidupan yang berada pada tahap yang maju.
Lawannya ialah badawah yang bereti mundur. Daripada erti perkataan hadharah ini dapat
difahamkan bahawa apa yang kita namakan tamadu itu berasal daripada perkataan bandar.

Ini kerana bandar merupakan tempat yang sesuai untuk melahirkan kemajuan
disebabkan di situ terdapat pelbagai benda dan kemudahan yang boleh menjadi asas kepada
kelahiran dan peningkatan tamadun. Kehidupan hadharah banyak tertumpu kepada unsur-
unsur yang bercorak perdagangan,kemajuan teknologi dan pengkhususan pekerjaan. Kota-
kota di dalam bahasa Arab dipanggil mudun yang memiliki ciri-ciri tamadun.

Dalam bahasa Melayu sama ada di Malaysia atau di Indonesia menurut Sidi
Ghazalba, perkataan peradaban adalah dipandang sinonim dengan perkataan tamadun.
Apabila disebut beradab,bermaksud sopan,terhormat dan berakhlak.
Dalam bahasa Inggeris, civilized bermaksud memperbaiki tingkah laku yang kasar
atau kurang sopan atau keluar daripada kehidupan barbarian (biadap) kepada kehidupan yang
lebih baik iaitu yang mempunyai kehalusan akal budi dan kesopanan.

Kesimpulannya ciri-ciri tamadun mestilah merangkumi kehidupan kota, sistem


perundangan dan pemerintahan yang berkesan, memperbaiki tingkah laku dan kemajuan
dalam bentuk fizikal dan spritual.

b. Dari segi istilah :

Mahmood Mohd Taib al-Najmi (1971) dalam bukunya Sejarah Tamadun Islam
menjelaskan tamadun sebagai peraturan masyarakat yang dapat membantu manusia
menambah hasil pengeluaran dari segi pemikiran dan kebendaan.

Kamus Dewan (1997) mendefinisikan tamadun sebagai keadaan masyarakat manusia


yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan dan taraf pemikiran (sosial,
politik, budaya dan lain-lain) yang tinggi.

A.S Hornby dan E.C Pornwell (1972) dalam bukunya The Progressive English
mendefinasikan civilization sebagai maksud meningkatkan pencapaian hidup manusia
daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang ilmu, sains, teknologi, politik dan
moral.

Ahmad Tarmizi Talib (1997) menjelaskan bahawa tamadun ini merangkumi


kebudayaan, peradaban, kemajuan (kebendaan dan kerohanian) dan sopan santun. Manusia
tidak akan mencapai satu etika tamadun jika tidak mempunyai masyarakat bermoral.

Sarjana Islam seperti Asad bin Ali Shariati (1985) menekankan bahawa peranan
Islam adalah merupakan faktor penting dalam pembentukan tamadun Islam. Ini dijelaskan
lagi dengan memberi penekanan khas kepada kepimpinan Nabi Muhammad saw dan al-
Quran dalam proses mentamadunkan orang arab. Secara amnya kedatangan agama Islam di
kalangan masyarakat arab jahiliah telah mengubah keseluruhan corak hidup mereka.
Tamadun Islam dapat dibangunkan ditengah-tengah padang pasir yang kering kontang dan
menguasai hampir seluruh dunia beberapa abad lamanya. Tamadun Islam telah merubah
beberapa aspek penting kehidupan masyarakat arab jahiliah seperti aqidah, sosial, politik,
ekonomi, pendidikan, seni bina, kesenian dan sebagainya.

3.1.2 Matlamat Tamadun Islam

Secara umumya matlamat utama tamadun Islam ialah untuk memartabatkan Islam sebagai
Ad-Deen iaitu satu cara hidup yang lengkap dan komprehensif. Manakala matlamat khusus
tamadun Islam pula adalah untuk menjalinkan hubungan manusia dengan Allah, hubungan
manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam.

a. Hubungan manusia dengan Allah

Matlamat Tamadun Islam tidak dapat dipisahkan dengan matlamat hidup manusia sebagai
hamba Allah dan khalifah Allah. Hamba Allah bermaksud melakukan ibadat hanya kepada
Allah. Oleh itu sekiranya seseorang melakukan sesuatu ciptaan baru, ia bermatlamat untuk
mendapat keredhaan Allah semata-mata bukan untuk berbangga-bangga dengan perkara yang
dihasilkan.

Hubungan manusia dengan Allah dizahirkan melalui kepercayaan dan pelaksanaan


ibadat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T sebagaimana yang diajar oleh nabi Muhammad
S.A.W dengan melaksanakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Hubungan ini merupakan hubungan yang paling tinggi dan mulia dalam kehidupan manusia,
mengatasi hubungan yang wujud antara manusia sesama manusia atau makhluk lain.

b. Hubungan manusia dengan manusia

Hubungan manusia sesama manusia adalah berlandaskan aturan dan hak-hak yang telah
ditetapkan oleh Allah S.W.T sebagai pencipta kerana hanya Allah sahaja yang mengetahui
apa yang terbaik bagi manusia. Hubungan manusia dengan manusia meliputi pembentukan
sahsiah, keluarga, hidup berjiran, pembentukan masyarakat, pembentukan institusi
pemerintahan, hal pentadbiran, kegiatan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan segala bidang
kehidupan manusia.
Hubungan sesama manusia dibina atas dasar ketakwaan, belas kasihan sesama
makhluk dan hormat menghormati tanpa mengira agama, bangsa, keturunan, pangkat,
kedudukan dan sempadan geografi. Rasulullah S.A.W merupakan contoh terbaik dalam
sejarah yang memperlihatkan hubungan baik dengan manusia tanpa mengira muslim atau
bukan muslim. Bagi masyarakat muslim, hanya satu ukuran disisi Allah S.W.T iaitu
ketakwaan kepadaNya disamping berbuat baik kepada sesama manusia.

c. Hubungan manusia dengan alam

Manusia dan alam adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T. Namun begitu, Allah memberikan
taraf yang lebih tinggi kepada manusia berbanding makhluk lain. Ini kerana Allah telah
mengurniakan kelebihan akal dan tanggungjawab sebagai khalifah kepada manusia. Sebagai
khalifah manusia bertanggungjawab memeliharan dan memulihara alam ini mengikut
ketetapan Allah S.W.T atau sunnatullah. Sehubungan dengan itu Allah telah berfirman:

Maksudnya : Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan
Segala Yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadanya Dengan perasaan
bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga Dengan perasaan terlalu mengharapkan
(supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang Yang
memperbaiki amalannya. (Surah al-Araf 7:56).

Tamadun Islam mewajibkan agar manusia mengusahakan sesuatu yang boleh


membawa kepada kesejahteraan hidup mereka di atas muka bumi ini melalui pemanfaatan
terhadap sumber alam yang sedia ada. Dalam masa yang sama mereka berkewajipan
memastikan agar kegiatan tersebut tidak menjejaskan dan memusnahkan alam sekitar serta
menggangu ekosistem.
3.1.3 Dasar Tamadun Islam

Dasar utama tamadun Islam ialah untuk memelihara dan memulihkan serta menghormati hak
asasi manusia yang telah dianugerahkan Allah S.W.T kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini,
termasuklah lain-lain makhluk ciptaan-Nya. Dasar utama tamadun Islam ini ditentukan,
didorong dan didukung oleh beberapa aspek penting iaitu memelihara agama, memelihara
nyawa atau jiwa, memelihara akal, memelihara maruah atau keturunan dan memelihara harta.

a. Memelihara Agama

Salah satu daripada fitrah semula jadi manusia ialah memikirkan hal-hal ghaib, alam roh dan
alam ketuhanan. Oleh kerana fitrah semula jadi manusia itu yang sentiasa hendak beragama,
maka Allah S.W.T telah memberikan kebebasan beragama. Soal memilih agama-agama
adalah menjadi hak asasi manusia. Justeru itu seseorang tidak boleh dipaksa atau
menggunakan kekerasan untuk mempercayai sesuatu ajaran.Firman Allah yang bermaksud:

Tidak ada paksaan dalam beragama. ( Surah al-Baqarah 2:256 )

Oleh kerana kesejahteraan masyarakat manusia ditentukan oleh setiap anggota


masyarakat itu sendiri, maka untuk tujuan mewujudkan suatu masyarakat yang adil, aman
dan sejahtera, setiap individu dikehendaki mematuhi dan beribadat serta menyerah diri
kepada Allah S.W.T yang maha Esa dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan
segala larangan-Nya.

Lebih-lebih lagi secara pasti segala suruhan-Nya seratus peratus untuk kebaikan dan
kebajikan manusia sejagat. Sebaliknya meninggalkan segala larangan-Nya juga untuk
memelihara keselamatan agama, nyawa, akal, maruah, keturunan, harta benda, hak dan
kebebasan. Jesteru itu dasar utama tamadun Islam ialah untuk memelihara keselamatan
agama seperti pencegahan berlakunya penyelewengan ajaran Islam contohnya ialah ajaran
sesat dan budaya murtad.

b. Memelihara Nyawa

Tamadun Islam juga berprinsipkan untuk menjamin keselamatan setiap nyawa atau jiwa
daripada pencerobohan manusia lain. Sebab itulah tamadun Islam melarang pembunuhan
sama ada diri sendiri atau diri orang lain. Sebaliknya pemeliharaan diri setiap manusia
daripada mara bahaya sentiasa digalakkan oleh tamadun Islam daripada sebarang tindakan
yang boleh mencederakan fizikal orang lain. Allah S.W.T menerangkan hal ini dalam ayat,
terjemahannya:

Dan janganlah kamu membunuh bangsamu sendiri, Sesungguhnya Tuhan itu


penyayang padamu. ( Surah an-Nisaa 4:29 )

Manusia saling perlu-memerlukan untuk menyempurnakan perjalanan dan kelicinan


hidup masyarakat manusia. Sebab itulah membunuh walaupun diri sendiri melambangkan
pembunuhan makhluk manusia pada keseluruhannya. Hal ini disebabkan, ia telah
mengurangkan satu anggota masyarakat. Larangan ini dijelaskan oleh Allah S.W.T:

Maksudnya : Barang siapa yang membunuh seorang manusia bukan kerana hukuman
pembunuhan atau kerana membuat bencana dalam negeri, maka ertinya orang itu telah
membunuh manusia seluruhnya. ( Surah al-Maaidah 5:32 )

c. Memelihara Akal

Oleh kerana mulia dan tingginya darjat akal yang membezakan manusia daripada haiwan,
maka tamadun Islam berusaha untuk memelihara keselamatan, kewarasan dan
kesejahteraannya. Sebab itulah tamadun Islam telah mengharamkan minuman keras kerana ia
boleh menyebabkan berlakunya pencemaran kewarasan fikiran.

d. Memelihara Maruah

Fitrah semula jadi manusia selanjutnya ialah suka kepada berketurunan dan mempunyai
cahaya mata. Islam memuliakan manusia dan meletakkan manusia berbeza dengan haiwan
keran untuk berkembangbiak manusia perlu melalui ikatan perkahwinan terlebih dahulu.

Perkahwinan memberi pengiktirafan dan pemeliharaan hak-hak suami, isteri, anak-


anak dan ibu bapa seterusnya memelihara kehormatan dan keturunan manusia. Aspek
pemeliharaan dan penjagaan ini sangat dikawal rapi, sehinggakan perkara yang yang boleh
merosakkan keturunannya ditegah sama sekali seperti berzina, seks bebas, hubungan luar
tabii dan sebagainya.

e. Memelihara Harta

Fitrah semula jadi manusia juga ialah suka untuk mencari harta kekayaan. Jesteru itulah
tamadun Islam menggalakkan manusia untuk mencari kekayaan. Setelah jaminan kebebasan
untuk mencari harta benda dengan cara yang halal diperundangkan, harta yang diusahakan itu
mestilah halal dari segi cara ia diperoleh, barangan yang terlibat dan cara ia dibelanjakan.
Untuk memelihara keselamatan harta benda yang menjadi hak milik halal bagi individu,
tamadun Islam mengharamkan sebarang bentuk pencurian daripada sekecil-kecil harta seperti
jarum hinggalah sebesar-besarnya. Hal ini diperjelaskan oleh Allah S.W.T yang bermaksud:

Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya sebagai pembalasan
daripada apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah. ( Surah al-
Maaidah 5:38 )

3.1.4 Perbezaan Antara Tamadun Islam Dan Tamadun Lain (Barat).

a. Kedudukan Agama dalam Tamadun.

Menurut pandangan barat yang dipengaruhi oleh fahaman sekularisme agama


adalah sebahagian dari kebudayaan. Dengan kata lain dengan budi dan daya manusia
mencipta agamanya. Kebudayaan sentiasa mengalami perubahan, mengembang dan merosot.
Menurut konsep ini agama turut sama mengalami perubahan. Akibatnya, agama mengikut
(dicorakkan) oleh pembaharuan.

Pandangan ini tidak selaras dengan Islam yang menegaskan bahawa Dinul Islam
adalah mencakupi seluruh sudut kehidupan manusia, samaada keagamaan atau keduniaan.
Dinul Islam adalah kurniaan Allah, melalui wahyu sahaja manusia diajar aqidah yang benar,
cara-cara melakukan ibadat khusus dan prinsip-prinsip dan muamalat, dengan akal yang
dikurniakan oleh Allah manusia membina tamadun, berpandukan dan selaras dengan prinsip-
prinsip yang ditetapkan oleh wahyu.
Aqidah, ibadah khusus dan prinsip-prinsip asas muamalat adalah tetap, tidak boleh
diubah. Yang berubah hanyalah tamadun yang dikembangkan oleh manusia mengikut
kesesuaian masa dan tempat pada ukuran akal yang berlandaskan prinsip-prinsip atau acuan
wahyu tersebut. Oleh itu pembaharuan dalam Islam berlandaskan prinsip-prinsip atau acuan
wahyu tersebut iaitu menurut Dinul Islam bukan sebaliknya. Walaupun begitu ia tetap
bersifat fleksible dan tidak rigid.

Perbezaan antara dua konsep tersebut berpunca dari perbezaan ajaran dan fungsi
antara agama-agama lain dengan Islam. Pandangan barat seperti diatas berdasarkan ajaran
agama-agama lain yang tidak memasukkan semua aspek kehidupan ke dalam agama seperti
Islam. Pandangan mereka terhadap Islam juga berdasarkan fahaman yang serupa.

b. Konsep Kesepaduan dan Pengawalan.

Di dalam tamadun Islam terdapat konsep kesepaduan dan pengawalan oleh Dinul
Islam. Hubungan manusia dengan Allah berkait erat dengan hubungan manusia sesama
manusia, begitu juga pembangunan kebendaan berkait rapat dengan kerohanian. Segala
kemajuan dan kegiatan manusia mestilah menurut aqidah, syariat dan akhlak Islam.
Ringkasnya tamadun Islam adalah tamadun yang terpimpin.

Di dalam tamadun sekular tidak terdapat konsep kesepaduan , sementara


kawalannya sangat longgar. Sekularisme mengajar bahawa perkara-perkara keduniaan hanya
untuk kegiatan dunia semata-mata, tiada kaitan dengan kegiatan keagamaan yang berkait
dengan akhirat. Oleh itu kegiatan seperti berjual beli dianggap sebagai kegiatan sesama
manusia sahaja tiada hubungan dengan Tuhan. Didalam keadaan ini tidak akan ada
keikhlasan, kebajikan dan sebagainya daripada seorang peniaga kerana dia tidak
mengharapkan pahala dari Tuhan. Apa yang diharapkan adalah keuntungan dengan apa cara
sekalipun walaupun dengan memeras dan menipu. Apatah lagi dia tidak merasakan dirinya
tidak terikat dengan undang-undang Tuhan. Seseorang itu mungkin terikat dengan undang-
undang negara ciptaan manusia, tetapi kawalannya terlalu longgar. Bila-bila masa sahaja dia
boleh melakukan penipuan apabila berada di belakang pihak yang berkuasa, kerana tiada
ikatan supaya seseorang itu beriman dengan undang-undang ini. Tambahan pula sekularis
bebas memilih apa sahaja fahaman yang mereka sukai sama ada kapitalisme, liberalisme,
sosialisme dan lain-lain yang menyebabkan bentuk kawalan tamadun itu berubah-ubah dan
tidak seragam.

c. Konsep Kemajuan.

Kemajuan menurut konsep barat adalah berdasarkan kepada jumlah keuntungan atau
pembaharuan yang dicipta dan seumpamanya. Islam juga mengambil kira perkara-perkara ini,
tetapi Islam juga mengambil kira apakah pembaharuan itu, bagaimana ia dicapai dan apakah
matlamatnya. Virus komputer adalah satu penemuan dan pembaharuan di dalam dunia sains
tetapi Islam tidak mengiktirafkannya sebagai pembaharuan atau tamadun. Islam menyanjungi
kemajuan nuklear, tatapi tidak membenarkan ia digunakan untuk memusnahkan manusia dan
alam. Oleh itu kayu ukur yang sebenarnya ialah sejauh manakah sesuatu kemajuan itu selaras
dengan etika yang sebenar, kebenaran yang mutlak yang ditentukan oleh Pencipta.

Dunia barat menitikberatkan aspek kebendaan dan mengenepikan aspek kerohanian.


Islam menekankan kedua-dua aspek ini. Pembangunan Islam bersifat komprehensif (lengkap)
dan multi dimensional (dilakukan serentak dalam beberapa arah).

Sungguhpun begitu, Islam mengutamakan kerohanian, tanpa mengabaikan aspek


kebendaan. Islam mengambil berat pembangunan dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Pendidikan ke atas seorang insan ditekankan semenjak sebelum ia dilahirkan sehinggalah ke
akhir hayatnya. Didalam menjalani kehidupannya seseorang itu diperintahkan pula supaya
memantapkan ekonominya, maka wajib keatasnya bekerja bersungguh-sungguh mencari
rezeki yang halal untuk menanggung keluarganya. Tetapi tidak ditekankan mengejar
kekayaan semasa dia masih kanak-kanak, tidak seperti pendidikan yang ditekankan walaupun
dia masih kecil. Islam menggariskan bahawa bukanlah kekayaan sebenar berdasarkan
kekayaan kebendaan tetapi berdasarkan kekayaan jiwa.

Pembangunan kebendaan dalam Islam adalah semata-mata sebagai alat untuk


menyempurnakan pembangunan kerohanian. Misalnya kekayaan ekonomi digunakan untuk
mendirikan pusat-pusat pendidikan. Wang yang kita dapati adalah untuk menyempurnakan
pendidikan anak-anak dan digunakan ke jalan-jalan lain seperti bersedekah, mengerjakan
haji, dan seumpamanya yang menjadi saham akhirat. Keindahan seni adalah semata-mata
sebagai umpan yang menarik minat untuk menghayati masej yang hendak disampaikan. Di
sini memperlihatkan ikatan yang harmoni di antara kebendaan dengan kerohanian, keduniaan
dengan keakhiratan di dalam Islam.

Pembangunan kerohanian akan menjamin pembangunan kebendaan. Sebaliknya


pembangunan kebendaan belum tentu dapat diperoleh dari seorang usahawan yang suka
berjudi akan dihabiskan untuk berjudi. Kalau beliau seorang peminat rock akan dibelanjakan
untuk budaya rock yang meruntuhkan moral dan masyarakat. Sebaliknya usahawan yang
terdidik akhlaknya akan membelanjakannya untuk pembangunan diri dan masyarakat. Oleh
itu fokus utama pembangunan Islam ialah manusia itu sendiri.

3.1.5 Keistimewaan Tamadun Islam.

Tamadun Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri sesuai dengan sifat ajaran Islam
itu sendiri yang tentunya berbeza dengan tamadun bangsa lain di dunia ini. Keistimewaannya
terletak kepada:
i. Bersumberkan al-Quran dan Sunnah.
ii. Diasaskan secara tegas dan tetap tanpa pengaruh kebendaan.
iii. Bersifat terbuka kepada semua jenis tamadun bangsa dan agama.
iv. Sesuai dengan fitrah manusia.
v. Bersifat syumul, sempurna, konsisten dan global.
vi. Hanya tamadun Islam menyepadukan antara nilai rohani (spiritual) dengan
nilai kebendaan (material).
vii. Tamadun yang unik kerana,
menghubungkan manusia dengan Tuhan.
menghubungkan manusia dengan manusia.
menghubungkan manusia dengan alam.

3.1.6 Contoh sumbangan Tamadun Islam kepada dunia dalam beberapa bidang.

Beberapa tamadun yang besar telah wujud sejak 5000 S.M seperti tamadun China (500
SM), India (3000 SM) Babylon (300SM), Mesir Kuno(500SM) Yunani (1500SM) dan Rom
(selepas 500 SM). Kesemua tamadun tersebut telah mencatat keagungan dan ciri-ciri
tersendiri. Namun begitu secara keseluruhannya kelahiran tamadun tersebut berpusat dan
berkembang di sekitar lembah sungai. Tamadun China lahir daripada pertumbuhan
masyarakat dan kebudayaan yang pesat disekitar Sungai Yangzte, tamadun India berpusat di
Tigris-Euphrates dan Mesir kuno di kawasan Sungai Nil.

Kebanyakkan tamadun tersebut berlaku di kawasan lembah sungai kerana manusia di


kawasan berkenaan terpaksa berfikir, berusaha dan bersatu untuk mengatasi masalah yang
timbul seperti banjir. Secara tidak langsung terbentuklah satu tamadun di kawasan tersebut.
Mereka juga berusaha dengan sebaik mungkin tanah yang subur di kawasan lembah sungai,
seterusnya lahirlah beberapa penemuan dan berlakulah tamadun di kawasan tersebut.
Tamadun-tamadun terdahulu berlaku daripada sumber alam. Manusia di kawasan berkenaan
menggunakan sumber alam dan pengetahuan untuk mewujudkan tamadun. Sebaliknya
tamadun Islam bersumberkan wahyu, akal, penemuan atau penciptaan baru, pengubahsuaian
dan penyempurnaan semula. Tamadun Islam lahir dan tegak dengan sendirinya dan bebas
daripada sebarang pengaruh asing. Kelahiran tamadun Islam adalah daripada wahyu (al-
Quran) dan hadith.

Al-Quran telah mencetuskan semangat yang sungguh bertenaga dan dapat


meninggikan kesedaran kerohanian umat Islam. Cara hidup umat Islam dipengaruhi
sepenuhnya saranan-saranan al-Quran. Allah telah menjadikan langit dan bumi serta isinya
untuk memberi ruang yang luas kepada manusia untuk menerokainya untuk kepentingan
mereka. Manusia dapat membangunkan kota-kota menerokai bidang pertanian, seni dan
pelbagai bidang yang lain dengan matlamat mencapai keredhaan Allah. Allah menentukan
panduan dan peraturan tertentu mengikut syariat, akidah dan akhlak Islam supaya manusia
tidak melampaui batas. Hasil galakan agama umat Islam berjaya menghasilkan berjuta-juta
buku dalam pelbagai bidang ilmu yang sehingga kini menjadi rujukan dan dibaca oleh sarjana
di seluruh dunia.

Pada umumnya, tamadun Islam memberi sumbangan kepada setiap aspek kehidupan
peradaban manusia. Para pengkaji yang jujur dan rasional tidak menafikan wujudnya
pengaruh dan kesan tamadun Islam, dalam tamadun barat atau tamadun Eropah. Sebahagian
besar sejarawan dan para pengkaji barat sendiri mengakui keunggulan serta sumbangan
tamadun terhadap dunia. Antara mereka ialah Gostav Levon yang antara lain menyebut
bahawa ahli falsafah Islam ialah orang yang mula-mula mendedahkan kepada dunia bahawa
terdapat persesuaian di antara kebebasan berfikir dan keteguhan beragama.
Ada pula pengkaji yang menyebut bahawa sumbangan orang Islam terhadap kemajuan
ilmu pengetahuan tidak diberikan nilai yang sewajarnya oleh para sejarawan. Banyak kajian
telah memperlihatkan bahawa ulama Islam telah menyebarkan ilmu pengetahuan, sedangkan
Eropah diselubungi kegelapan pada abad pertengahan. Seorang sarjana Inggeris yang
bernama Briffault berkata sedang Eropah dalam kejahilan dan kegelapan, dunia Islam di
Baghdad, Kaherah, Damsyik, Cordova dan Toledo telah menjadi pusat-pusat tamadun Islam
dan kegiatan ilmiah.

Ulamadan sarjana Islam telah memberikan sumbangan yang besar dan berkesan
terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan mereka bertanggungjawab menyebarkannya
keseluruh dunia. Mereka telah mendirikan gedung-gedung ilmu pengetahuan. Malahan
universiti yang mula-mula muncul di dunia didirikan oleh orang Islam pada tahun 245H di
kota Fas, Maghribi.

Universiti ini dalam bentuk sebuah masjid, disamping digunakan untuk beribadat ia
telah menjadi gedung ilmu untuk mengajar bukan sahaja ilmu-ilmu agama seperti al-Quran,
hadith, tafsir, fiqh, malah diajar juga ilmu-ilmu lain seperti ilmu geografi, falak dan lain-lain
dan ia dikunjungi oleh para pelajar dari pelbagai negara.Universiti ini terkenal dengan nama
Jamiah al-Qurawiyyin.

a. Arkitek

Ilmu arkitek (architecture) atau ilmu handasah mempunyai kedudukan yang tinggi
dalam peradaban Islam. Kota-kota Baghdad, Damsyik, Kaherah, Allepo, Samarkand, Isfahan,
Khairwan, Fez, Moroko, Granada, dan lain-lain dipenuhi dengan bangunan, rumah, istana,
masjid, menera, jambatan serta binaan lain yang indah dan mengagumkan.

Keindahan dan keteguhan istana al-Hambra yang memukau dunia sehingga sekarang
di Granada serta istana Asjbiliyah di Sevilla, pintu gerbang di Toledo dan masjid Jamek di
kota Cordova dengan 860 tiang yang besar-besar serta dihiasi dengan pelbagai warna yang
berkilau-kilau adalah contoh ketinggian ilmu arkitektur Islam.
Pada zaman pemerintahan al-Walid di Sepanyol telah didirikan bangunan-bangunan
yang sangat indah dan penuh nilai astetika yang tinggi terutama dalam binaan masjid dan
istana. Begitu juga pembinaan Masjid Umar di Baitulmuqaddis, masjid Umaiyah di Damsyik,
Masjid Sidi Okbah di Tunis, Masjid Ibnu Tulun di Cairo, masjid-masjid di Cordova, Sevilla
dan Toledo. Begitu juga dengan keindahan istana Umaiyah di Kushair Amra, istana Masjatta
di Syam, istana Samara dan lain-lain.

b. Sains dan Teknologi.

Perkembangan sains moden yang diperkenalkan oleh dunia barat sekarang berasal
daripada sains dunia Islam yang telah diubah dan ditokok tambah. Sumbangan para saintis
Islam boleh dibahagikan ke dalam dua kategori utama iaitu terjemahan daripada karya-karya
Greek dan penemuan-penemuan yang asli.

Kebangkitan kerajaan Abbasiah pada tahun 750M menandakan kelahiran suatu kuasa
besar dalam sejarah pemerintahan Islam. Para pemerintah kerajaan Abbasiah telah
memberikan perhatian besar terhadap perkembangan ilmu pengetahuan saintifik. Pada zaman
pemerintahan khalifah kedua kerajaan Abbasiah iaitu al-Mansur, usaha-usaha penterjemahan
karya Greek telah dilakukan dengan meluas.

Semasa pemerintahan khalifah al-Mamun (813-833M) pula, kegiatan mempelajari


ilmu-ilmu baru telah mencapai kemuncaknya. Baginda telah mendirikan sekolah
penterjemahan di Baghdad yang dilengkapi dengan perpustakaan sendiri. Salah seorang
daripada penterjemah yang berkhidmat di sekolah ini ialah Hunayn ibn Ishaq (807-877M).
beliau merupakan seorang ahli falsafah dan doktor terkenal. Beliau telah menterjemah
keseluruhan karya Galen.

Para saintis Islam tidak hanya melibatkan diri dalam menterjemah karya-karya Greek.
Mereka juga turut menghasilkan karya-karya asli dalam bidang sains. Ini kerana terdapat
perbezaan persepsi antara sarjana Islam dengan Greek terutamanya tentang alam. Bagi orang
Islam, alam ini adalah hidup dan berubah sebagai manifestasi daripada kekuasaan Allah
SWT. Sebaliknya orang Greek menganggap alam ini sebagai statik. Plato dan Zeno
menggangap masa sebagai tidak ada dan Heraclius pula menganggapnya sebagai terikat
dalam satu pusingan. Al-Khawarizmi (780-850M) merupakan sarjana Islam pertama yang
mengambil langkah mengubah persepsi Greek yang menganggap alam ini sebagai statik
sebagai sesuatu yang dinamik.

c. Teknologi dan Kejuruteraan.

Ilmu fizik adalah ilmu asas teknologi dan kejuruteraan. Ilmu fizik yang membahaskan
tentang dasar-dasar tabii alam dan cakerawala. Ilmu fizik berhubung rapat dengan ilmu-ilmu
lain seperti matematik, kimia, perubatan, astronomi, sains dan teknologi.

Adalah jelas bahawa teknologi moden kebanyakkannya sesuai dengan Islam dan tidak
bercanggah dengan ajaran dan amalan keilmuan Islam bahkan dalam bahagian-bahagian yang
tertentu ia bersifat wajib dituntut, dipelajari dan dikuasai untuk penciptaan, rekabentuk dan
kegunaan. Tetapi konsep yang terkandung dalam sains moden Barat adalah satu ancaman
kepada kita dan generasi Islam jika kita mengambil secara langsung tanpa menapis isme dan
kegunaan dalam bentuk yang negatif.

Al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, al-Biruni adalah merupakan contoh-contoh saintis Islam
adalah tokoh teknologi optik. Ibnu Khazani telah mencipta pelbagai alat timbangan yang
begitu sempurna. Kompas yang dicipta oleh beliau telah digunakan di Eropah sehingga hari
ini.Kompas yang dikatakan dicipta oleh orang Itali sebenarnya ciptaan Ibnu Khazini dan
diakui oleh para saintis Eropah.

d. Kimia.

Ilmu kimia Islam biasanya terangkum dalam ilmu kedoktoran dan industri, seperti
pencarian logam bagi penciptaan dan kegunaan peralatan. Menempa besi, mengecat barang-
barang dan membuat kertas daripada barang-barang dan membuat kertas daripada kain-kain
buruk sebagai pengganti kulit dan papyrus.

Dunia Islam telah melahirkan beberapa tokoh kimia yang banyak memberikan
sumbangan dan pengaruh sehingga hari ini. Khalid ibnu Yazid (abad ke7M) cucu Muawiyah
adalah ahli kimia Islam yang paling awal. Dia telah menterjemahkan teks kimia Iskandariah
dan menghasilkan penulisan tentang kimia. Dalam bait-bait syairnya terdapat maklumat
tentang bahan kimia seperti ammonia, boraks dan kaedah-kaedah sains yang memerlukan
pertimbangan yang tepat.

Abu Musa Jabir al-Hayyan.(abad ke 8M) lebih dikenali sebagai Gaber adalah bapa
ilmu kimia moden. Beliau menghasilkan banyak penulisan dan ditambah oleh para
pengikutnya yang menulis menurut doktrin Jabir termasuklah kitab al-Sabin dan kitab al-
Mizan.

Perbezaan besar antara ahli kimia Islam dengan ahli kimia barat ialah kepercayaan
kepada Allah SWT dan RasulNya. Walaupun ahli kimia barat percaya kepada kewujudan
tuhan tetapi mereka tidak memerima kerasulan Nabi Muhammad saw. Nilai-nilai kerohanian
dan kewujudan Tuhan dalam kimia barat adalah akibat pengaruh kimia Islam. Ilmu dalam
Islam adalah berasaskan al-Quran dan para ulama mengkaji segala bidang ilmu yang tidak
bercanggah dengan Islam untuk memperkuatkan iman serta melahirkan perasaan khusyuk
dan takut kepada Allah.

e. Astronomi.

Astronomi adalah satu cabang ilmu yang tertua di kalangan ahli sains. Astronomi di
takrifkan sebagai ilmu tentang agihan, pergerakan serta ciri cakerawala dan bintang. Kajian
terhadap astronomi oleh para sarjana Islam adalah saranan daripada al-Quran sama ada
untuk mengkaji keagungan Allah dari aspek hikmah atau rahsia alam cakerawala dan fungsi-
fungsinya ke atas manusia dan alam semesta. Al-Quran sendiri telah banyak menukilkan
perihal astronomi melalui ayat-ayat berikut.


Maksudnya : Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan
yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk
mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang
bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di
laut. Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi
orang-orang yang mengetahui. ( Surah al-Anam: 96 dan 97 )

Maksudnya: Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan


bulan bercahaya, dan Dia lah Yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-
randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing supaya kamu dapat mengetahui
bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan
adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda
kebesarannya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang
dijadikanNya).
( Surah Yunus : 5 )

Antara sarjana Islam yang memberi sumbangan dalam bidang astronomi ialah Abd.
Rahman al-Sufi. Beliau adalah orang pertama menulis buku tentang astronomi. Beliau telah
mengkatalog bintang sehingga lebih daripada 1000 jenis. Nama bintang yang diperkenalkan
oleh beliau telah terus digunakan oleh ahli astronomi barat sehingga ke hari ini, contohnya
algorab, adbebara, acrab, algedi dan atair.

g. Perubatan.

Ar-Razi (Rhazes 865-925M) telah mementingkan praktis perubatan klinikal lebih


daripada berteori sahaja. Beliau berjaya menghasilkan lebih daripada 20 jilid penulisan.
Antaranya ialah kitab al-Hawi (Liber Continens). Karya ini adalah ensiklopedia yang menjadi
rujukan pada abad ke 12-17M. Beliau juga adalah pengasas perubatan psiko optik.
Ibnu Sina (Avicenna 980-1037M) telah berjaya menghasilkan 456 buku dalam pelbagai
judul khususnya dalam bidang perubatan. Kitab al-Qanun mengandungi sejuta perkataan,
dibahagikan kepada 5 jilid serta amat berpengaruh pada ke 10M. Buku ini telah teks
perubatan yang terkenal selama 6 abad di Eropah.

Al-Zahrawi (Abu Cassis 936-1013M) tokoh bedah dan farmasi. Kitab at-Tasrif al-
Zahrawi) terdiri 30 bahagian dan diterjemahkan ke dalam bahasa Latin, Perancis, Sepanyol
dan Hebrew. Beliau juga memperkenalkan 150 alat pembedahan yang masih diguna pakai
hingga hari ini.

Tokoh-tokoh lain dalam bidang perubatan ialah Ali Abbas al-Majusi (Hally Abbas), Abu
Marwan Abdul Malik atau Ibnu Zuhr (Avenzoar), Ibnu Rushd, Ibnu al-Quff, Ibnu Nafis dan
lain-lain.

3.2 KONSEP AL-FALAH

3.2.1 Definisi al-Falah

Keadaan yang memenuhi tuntutan-tuntutan kesatuan rohani dan jasmani di dunia dan
sekaligus mengakibatkan kebahagian di akhirat di dalam Al Quran disebut sebagai Al
Falah. Ia membawa erti kepada kejayaan, keuntungan, kesejahteraan dan kemakmuran.
Menurut pengarang kamus Arabic English Lexicon yang terkenal, iaitu Stanley Lane,
Tidak ada satu perkataan dalam bahasa orang Arab yang merangkumi pengertian tentang apa
yang baik dalam kehidupan dunia dan kehidupan akhirat daripada al Falah. Untuk
menjelaskan nilai al Falah ini, di bawah ini diberikan maksud sebahagian daripada ayat
ayat Al Quran yang menunjukkan keluasan ruang lingkup nilai tersebut.


Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian(pula) kepada fakir
dan miskin dan orang orang yang dalam perjalanan. Itulah lebih baik bagi orang orang
yang mencari keredhaan Allah dan mereka orang orang yang mendapat kejayaan dan
kesejahteraan ( surah Ar Rum 30 : 38)

Apabila selesai solat,maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah
dan ingatlah Allah banyak banyak supaya kamu beroleh kejayaan dan kesejahteraan.
(Surah Al Jumu ah 62 : 10)

Dari sudut pandang Islam, konsep kejayaan yang ditekankan ialah mendapat
keuntungan, kebahagian, kejayaan bukan sahaja di alam dunia tetapi kejayaan tersebut
berkesinambungan untuk dikongsi di alam akhirat. Dalam ketentuan ini, ia diistilah sebagai
mencapai hasanah di dunia dan akhirat. Meskipun begitu, klimaks kepada pencapaian
tersebut adalah untuk mendapat mardhatillah, keampunan Allah, rahmat dan perlindungan
dari Allah S.W.T. Golongan manusia yang mendapat nikmat tersebut adalah kelompok
manusia yang memperolehi kejayaan yang hakiki atau distilahkan sebagai al-falah.

3.2.2 Cara-Cara Mendapatkan al-Falah

Syarat syarat utama untuk mencapai nilai al falah berasaskan kepada ayat ayat di atas
dan beberapa ayat lain di dalam Al-Quran ialah :

i. Iman kepada Allahlah yang membuahkan perbuatan yang bermanfaat kepada diri dan
masyarakat.

ii. Taqwa kepada Allah, iaitu sikap sentiasa mentaati suruhan suruhan Allah dan
berwaspada terhadap setiap larangannya.

iii. Menunaikan kewajipan Allah dan kepada sesama manusia.

iv. Menjaga diri daripada menghabiskan masa dengan sia sia.


v. Menjauhkan diri dari perbuatan perbuatan yang diharamkan oleh Allah, seperti minum
minuman yang memabukkan, berjudi makan riba dan menaruh kepercayaan kepada selain
daripada Allah.

vi. Membersihkan hati nurani dan mendisplinkan diri daripada diganggu oleh nafsu syahwat.

vii. Bekerja untuk mencari rezeki tanpa melupai Allah.

viii. Mengorbankan harta benda dan masa pada jalan Allah.

Pra syarat utama untuk manusia mencapai kemenangan dan kejayaan adalah dengan
cara menjadikan pegangan agama sebagai satu cara hidup yang bersifat holistik. Pengukuhan
cara hidup manusia dengan nilai-nilai Islam akan melahirkan satu kondisi yang positif dan
memotivasikan insan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam melangsungkan
survival peradaban manusia.

Sekiranya diteliti saranan yang terdapat dalam al-Quran terhadap manusia untuk
mencapai jalan kejayaan didapati ia telah meletakkan mekanisme-mekanisme yang tertentu.
Secara tipikalnya, mekanisme yang dikenal pasti sebagai formula untuk mencapai kejayaan
adalah dengan cara penghayatan terhadap unsur-unsur nilai seperti keimanan yang tinggi,
amal soleh, taqwa, al-amr bi al-ma`ruf wa al-nahyu `an al-munkar, akhlak yang terpuji dan
nilai-nilai luhur murni lain yang diiktiraf dalam setiap perlakuan manusia. Dari aspek
psikologikal pula, kejayaan dan kesejahteraan yang diperolehi tersebut akan memberi impak
yang positif dalam kehidupan insan seperti mententeramkan jiwa dan pemikiran serta bebas
dari perasaan keluh kesah yang boleh memberi pengaruh negatif kepada ruh dan jasad.
Justeru itu apabila unsur-unsur nilai yang dinyatakan tersebut diaplikasikan secara konsisten
dalam kehidupan manusia, golongan yang demikian disebutkan oleh Allah sebagai golongan
yang berhak memperolehi kejayaan dan mendapat rahmat di hari akhirat kelak. Gambaran ini
dirakamkan oleh al-Quran melalui firman Allh S.W.T:


Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang
khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan
perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan
menunaikan zakat harta itu). Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada
isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
(al-Mukminun 23 :1 6 )

3.3 TOKOH-TOKOH ISLAM

3.3.1 Syeikh Idris Al-Marbawi

a. Latarbelakang

Nama beliau ialah Mohamed Idris bin Abd al-Rauf al-Marbawi al-Azhari al-Malayuwi.
Beliau dilahirkan pada tahun 28 Zulkaedah 1313H bersamaan 12 Mei 1896 di Mekah kerana
keluarganya menetap di sana. Beliau digelar al-Marbawi sempena nama kampung asal
keluarganya di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar Perak.

Pada tahun 1913, keluarganya kembali ke Tanah Melayu dan beliau dihantar ke
Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran di beberapa
buah sekolah pondok seperti Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala
Kangsar, Pondok Tuan Hussain di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam
dan Pondok Tok Kenali di Kelantan. Setelah mendalami pelbagai ilmu di Tanah Melayu,
Syeikh Idris al-Marbawi menyambung pelajaran beliau di Universiti al-Azhar, Mesir. Beliau
memperoleh Ijazah 'Aliyah (Kelas Pertama) dan merupakan anak kelahiran Perak yang
pertama mempelajari pengajian Islam di Mesir ketika itu.

Bagi menyanjung tinggi jasanya, kerajaan Malaysia telah menyampaikan anugerah


pertama Tokoh Maal Hijrah 1408H dan beliau juga pernah dianugerahkan Ijazah
Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980.
Beliau meninggal dunia pada 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiul Awal 1409H di Hospital
Besar Ipoh ketika berumur 96 tahun. Jenazah beliau disemadikan di pusara Kampung Lubuk
Merbau, Perak.

b. Sumbangan

Karya-karya beliau yang dihasilkan melebihi 20 buah karya dalam pelbagai disiplin ilmu ini
membuktikan ketajaman pemikiran, kedalaman ufuk ijtihad, dan kewibawaan beliau dalam
pengajian ilmu-ilmu Islam. Antaranya ialah Kamus Arab-Malayu yang lebih dikenali sebagai
Kamus al-Marbawi yang disiapkan pada tahun 1927. Kamus itu mendapat sambutan hebat
hingga diulang cetak berpuluh-puluh kali hinggalah menjadi rujukan ke hari ini.

Salah satu karyanya yang dianggap terhebat pernah dihasilkan ialah Bahr al-Mazi
iaitu sebuah karya terjemahan dan ulasan kepada ringkasan Jami al-Tirmidhi. Karya yang
berjumlah 22 jilid ini dianggap sebagai karya terawal dan berbesar dalam tulisan jawi yang
dihasilkan oleh seorang ulamak alam Melayu hingga ke hari ini.

Dalam bidang Tafsir al-Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al-
Quran al-Marbawi, Tafsir al-Quran Nur al-Yakin, Terjemahan Tafsir Fath al-Qadir, Tafsir
Juz Amma, Tafsir Al-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.

Selain itu al-Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, aqidah,
dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam al-Hayah, Kitab Pati
Hukum-hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang,
sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, Karya berjudul Punca
Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi.

3.3.2 Prof. Dr. Ahmad Ibrahim

a. Latarbelakang

Dilahirkan pada 15 Mei 1916 di Singapura dari keluarga yang amat menitikberatkan soal
agama Islam. Ayah beliau merupakan seorang yang amat aktif dalam kerja amal dan
kebajikan. Boleh dikatakan, beliau dibesarkan dalam suasana penuh kemuliaan dan
mengutamakan ajaran agama Islam. Peribadi beliau yang baik mencerminkan hasil tarbiah
dan didikan keluarganya yang amat sininim dengan akhlak Islam.

Beliau mendapat pendidikan di Victoria Bridge School, Raffles Institution, Raffles


College. Seterusnya beliau mendapat biasiawa Queen ,Singapura (1936) untuk belajar di
London dalam jurusan undang-undang. Beliau berjaya mendapat 1st class Economics Tripos
I, University of Cambridge, 1st class Law Tripos II, University of Cambridge , George Long
Prize untuk Roman Law , Certificate of Honour dan Bar Final, Middle Temple, London.
Beliau satu-satunya calon peguam ketika itu yang mengambil peperiksaan di Singapura
sedangkan calon-calon lain menduduki peperiksaan tersebut di London. Seterusnya mendapat
M.A. 1965, Cambridge. Pada 5 Jun 1965, dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-
Undang (LLD) dari Universiti Nasional Singapura .

Dari segi kerjaya beliau bermula sebagai Majistret di Singapura pada 1946 .Kemudian
menjadi Hakim pada 1947. Pada 1948 beliau menjadi pensyarah di Raffles College sebelum
menjadi peguambela dan peguamcara (1949-1955). Beliau mengendalikan kes kontroversi
Natrah @ Maria Hertogh iaitu sebagai peguambela bagi pihak ibu angkat Natrah (Kamariah).
Beliau menjadi ahli Penggubal Undang-Undang (1952-1955). Pada 1955 menjadi hakim
semula sebelum dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya pada 1956. Pada 1957, menjadi
Pendakwaraya dan 1959 menjadi Peguamcara Negara. Pada tahun 1963, beliau dinaikkan
pangkat menjadi Peguam Negara Singapura. Pada 1967, beliau dilantik sebagai Duta
Singapura ke Mesir (1967-1968).

Setelah 22 tahun berkhidmat di Singapura, beliau memohon kerakyatan Malaysia dan


berkhidmat di dalam bidang pendidikan undang-undang di Malaysia. Pada 1969, beliau
dilantik sebagai Professor Undang Undang di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti
Malaya (1969-1972). Perlantikan beliau disokong terus oleh Ketua Hakim Negara - Tun
Mohamed Suffian Hashim

Pada 1972, beliau mengasaskan Fakulti Undang-Undang pertama di Malaysia di


Universiti Malaya dan menjadi Dekan pertama Fakulti Undang-Undang UM. Pada 1984,
Universiti Malaya menganugerahkan beliau gelaran Professor Emeritus.

Beliau juga merupakan pengasas kepada Kulliyyah (Fakulti) Undang-Undang di


Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sewaktu universiti tersebut diasaskan pada 1983,
hanya terdapat 2 fakulti di siti iaitu Kulliyyah Undang-Undang dan Kulliyyah Ekonomi.
Beliau mencadangkan supaya Kulliyyah Undang-Undang yang bakal ditubuhkan
menggabungkan Undang-Undang Sivil dan juga Undang-Undang Islam. Disebabkan itu,
pelajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia wajib mempelajari kedua-
dua bidang tersebut, tidak seperti Fakulti Undang-Undang di universiti lain. Keluasan
ilmunya di dalam bidang undang-undang Sivil dan Islam membolehkan beliau mengajar
hampir semua subjek yang ditawarkan di Kulliyyah Undang-Undang tersebut. Beliau digelar
sebagai Sheikh di Kulliyyah Undang-Undang tersebut dan berkhidmat di situ sehinggalah
kematiannya pada 18 April 1999, pada usia 83 tahun. Sepanjang perkhidmatannya, beliau
juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Rektor, Ahli Lembaga Pengarah dan Ahli
Senat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

b. Sumbangan

Beliau merupakan antara penulis buku undang-undang yang paling aktif di dalam sejarah
undang-undang Malaysia.

1. The Malaysia Legal System, First Edition 1987, Second Edition 1995, co-author
Ahilemah Joned

Sistem Undang-Undang Malaysia (terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka)

1. Family Law In Malaysia and Singapore, First Edition 1978, Second Edition 1984
2. Family Law in Malaysia, 1997
3. Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia, 1999 (Buku tulisan terakhir beliau.
Setiausahanya memberitahu sewaktu siap buku ini, beliau menyerahkan menuskrip
buku tersebut kepadanya sambil berkata "Siap akhirnya buku saya". Keesokan
harinya, beliau meninggal dunia.)
4. pengasas kepada Jurnal Hukum iaitu jurnal yang melaporkan kes-kes berkaitan
keputusan Mahkamah Syariah dan beliau merupakan penasihat dan juga editor Jurnal
Hukum.
5. penasihat editorial bagi Malayan Law Journal, Kanun, IIUM Law Journal, IKIM Law
Journal dan banyak lagi.
6. Menjadi Hakim Mahkamah Rayuan bagi Mahkamah Syariah dan telah memutuskan
sejumlah kes Mahkamah Syariah.
7. Menjadi anggota Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sehingga akhir hayat beliau.
8. Ahli panel penggubal Enakmen Undang-Undang Islam (Hudud dan Qisas) Kelantan
pada tahun 1991.
9. Mencadangkan penggubalan Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan yang
memberi peruntukan menghalang Mahkamah Sivil untuk masuk campur di dalam
urusan Mahkamah Syariah pada tahun 1988. Beliau telah berjaya memartabatkan
Mahkamah Syariah ke tahap yang lebih tinggi supaya Mahkamah Syariah dilihat
setaraf dengan Mahkamah Sivil.

3.3.3 Dr. Wahbah Zuhaili

a. Latarbelakang

Dr. Wahbah al-Zuhaili dilahirkan pada tahun 1351H bersamaan 6 Mac 1932M di bandar Dir
Atiah, utara Damsyik, Syria. Nama beliau Wahbah Mustafa al-Zuhaili dan digelar Abu
Ubadah kerana salah seorang anaknya bernama Ubadah. Bapanya Mustafa al-Zuhaili bekerja
sebagai petani. Dr. Wahbah belajar Syariah di Universiti Damsyik selama 6 tahun, dan lulus
pada tahun 1952, dengan cemerlang. Kemudian Dr. Wahbah melanjutkan pendidikan Islam di
Universiti al-Azhar dan beliau sekali lagi menamatkan pengajian dengan cemerlang pada
tahun 1956.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1956, Dr. Wahbah juga menerima Ijazah
dalam pengajaran Bahasa Arab dari Universiti al-Azhar. Semasa belajar di Universiti al-
Azhar, Dr. Wahbah mempelajari undang-undang di Universiti Ain Shams di Kaherah, Mesir
di mana menerima Ijazah Sarjana Muda (B.A) pada tahun 1957. Pada tahun 1959, beliau
menerima Ijazah Sarjana (M.A) dalam bidang undang-undang dari Kolej Universiti Kaherah.
Pada tahun 1963, beliau menerima kedoktoran (Ph.D) dengan kepujian dalam Syariah Islam
menerusi tesis beliau "Pengaruh Peperangan Dalam Perundangan Islam: Sebuah Kajian
Perbandingan Meliputi 8 Mazhab dan Undang-undang Sekular Antarabangsa".

b. Sumbangan

Pada tahun 1963 beliau telah mengajar di Universiti Damsyik (Damascus University)
dan telah mendapat gelaran Profesor pada tahun 1975. Beliau menjadi ahli dalam Royal
Society untuk penyelidikan tamadun Islam Yayasan Aal al-Bayt di Amman Jordan serta
banyak lagi badan-badang Islam di seluruh dunia termasuk Majlis Syria al-IFTA, Aademi
Fiqh Islam di Jeddah, Arab Saudi dan Akademi Fiqh Islam Amerika Syarikat, India dan
Sudan. Beliau juga merupakan Pengerusi Institut Penyelidikan bagi Institusi Kewangan
Islam. Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai perundang dalam bidang Syariah Islam
kepada syarikat-syarikat dan institusi kewangan Islam termasuk Bank Islam Antarabangsa.
Beliau turut dikenali sebagai pendakwah Islam yang terkenal yang kerap muncul dalam
program televisyen dan radio. Dulu, beliau merupakan Imam dan pendakwah di Masjid
Usman di Damsyik.

3.3.4 Dr. Yusuf al-Qaradhawi

a. Latarbelakang

Yusuf al-Qaradhawi dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahllah al-Kubra Negeri Gharbiah,
Mesir pada 9 september 1926. Beliau berasal berasal daripada keluarga yang sederhana.
Ayahnya bekerja sebagai petani dan keluarga ibunya bekerja sebagai peniaga. Ketika berusia
dua tahun beliau telah kehilangan ayahandanya dan diikuti bondanya ketika beliau berusia 15
tahun. Kemudian beliau dipelihara oleh bapa saudaranya Ahmad.

Yusuf al-Qaradhawi melalui pelbagai cabaran di dalam kehidupannya sejak kecil.


Kehilangan ayahnya ketika berumur dua tahun dan ibunya ketika berumur 15 tahun sudah
pasti memberi kesan yang mendalam kepada dirinya. Beliau juga tidak menikmati kehidupan
yang mewah. Suasana keluarganya bersama-sama bapa saudaranya yeng mendidik beliau
dengan didikan agama termasuk persekitaran kampungnya yang mementingkan ilmu dan
amalan agama telah berjaya membentuk peribadi dan aspirasi Islam dalam diri beliau.

Yusuf al-Qaradhawi mendapat pendidikan awal di Kuttab (pendidikan agama) sejak


berumur lima tahun dan Madrasah Ilzamiyah ketika tujuh tahun. Sebelum usianya 10 tahun,
beliau telahpun menghafal al-Quran sepenuhnya termasuk menghafal kitan al-Tuhfat serta
menguasai ilmu tajwid. Oleh kerana kebolehan dan bakat luar biasa, beliau telah digelar
sebagai Sheikh Yusuf ketika berumur 10 tahun lagi dan dilantik menjadi imam. Beliau
kemudian menyambung pengajiannya di Maahad rendah Tanta (Madrasah Ibtidaiyyah)
selama empat tahun dan di Madrasah thanawiyah selama lima tahun.
Seterusnya beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Usuluddin, universiti al-Azhar
pada tahun 1952-1953. Beliau telah dipilih sebagai pelajar tebaik keseluruhan. Kemudian
beliau mengambil pengkhususan di Fakulti Bahasa Arab dan memperolehi ijazah Sarjana dan
Diploma Pendidikan dengan pangkat kelas pertama. Beliau juga memperolehi Diploma
Bahasa Arab dan Sastera daripada Akademi kajian Bahasa Arab Tinggi. Pada tahun 1960,
beliau telah menamatkan pengajian diperingkat Ijazah Tinggi di Fakulti Usuluddin dalam
bidang tafsir dan hadis. Oleh kerana keadaan politik Mesir yang tidak stabil beberapa tahun,
beliau terpaksa menangguhkan pengajian selama 13 tahun. Akhirnya pada tahun 1973 , beliau
telah berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah dengan kepujian melalui tesisnya yang
bertajuk Fiqh al Zakat. Fiqh al Zakat atau ensiklopedia zakat ini dianggap sebagai sumbangan
terpenting dalam aspek zakat pada abad ini.

b.Sumbangan

Al-Qaradawi terkenal dengan keperibadian sederhana dan sentiasa menyeru kepada


kesederhanaan dalam segala aspek. Manhaj (kaedah) beliau adalah kemudahan
dalam memberi fatwa, memberi khabar gembira dalam berdakwah, tegas dalam
persoalan pokok dan mudah dalam perkara cabang.

Beliau menyebutkan faedah yang diperoleh apabila terbabit dalam aktiviti dan
pergerakan dakwah iaitu pergerakan dakwah memperluaskan cakerawala
fikirannya dalam memahami Islam secara mantap; memahami kewajipan amal
jariah; berpindah dari hanya seorang penceramah agama di kampung menjadi
seorang pendakwah Islam yang bekerja untuk umat; mengubah daripada cita-cita
tempatan dan terbatas pada cita-cita besar dan universal.

Keinginannya tidak lagi tergantung kepada keinginan peribadi tapi menjadi cita-
cita yang berkait rapat dengan umat. Sekiranya cita-cita umat itu untuk
membebaskan Palestin maka itulah cita-citanya. Muhammad al-Ghazali
menyifatkan al-Qaradawi sebagai seorang yang menggabungkan antara feqah teori
dengan realiti.

Menurut al-Nadwi, al-Qaradawi adalah ulama lulusan al-Azhar yang bergiat dalam
bidang dakwah dengan menggabungkan aspek kefahaman Islam sebenar dengan
realiti dunia semasa. Al-Qaradawi pertama kali datang ke Malaysia pada 1974.
Dalam lawatan itu, beliau melawat pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
dan sejak itu, hubungannya begitu rapat dengan aktivis dakwah di Malaysia.

Pada 1985, al-Qaradawi menyampaikan ceramahnya di Yayasan Anda dan


menekankan sikap kesederhanaan yang perlu diambil pendakwah. Antara
sumbangan besar al-Qaradawi kepada masyarakat Islam di Malaysia ialah
keprihatinannya kepada manhaj kesederhanaan dalam berdakwah.

Di samping itu, beliau sentiasa optimis terhadap sistem kewangan Islam dan
pendapatnya mengenai kewangan Islam dijadikan rujukan pakar ekonomi di sini.
Al-Qaradawi juga menyarankan agar feqah digunakan dalam khidmat dakwah
kepada Islam. Beliau menyeru ulama supaya menguasai ilmu sehingga mencapai
darjat yang membolehkan mereka membuat tarjih di antara pendapat ulama.

Al-Qaradawi mengingkari golongan yang ingin menghapuskan khilaf dan


menghimpunkan orang ramai dalam satu pendapat iaitu dengan mengikut pendapat
mereka semata-mata.
Percubaan kumpulan ini akan menambahkan lagi khilaf dan bukan
mengurangkannya. Begitu juga beliau mengingkari golongan yang suka menyibuk
dalam perkara khilaf yang remeh.

Oleh itu, kepentingan feqah dalam dakwah mesti diasaskan dengan kebijaksanaan,
toleransi, perikemanusiaan dan keadaan masyarakat. Beliau menggariskan
beberapa jenis kefahaman sebagai usaha untuk memahami konteks dakwah yang
sebenar seperti kefahaman mengenai keutamaan (fiqh al-awlawiyyat); kefahaman
pertimbangan (fiqh al-Muwazanat); kefahaman mengenai realiti (fiqh al-Waqi')
dan kefahaman mengenai perubahan (fiqh al-Taghayyir).

Ketika mengeluarkan pendapat dan fatwa, al-Qaradawi memilih pendapat yang


kuat alasannya dan mudah kepada orang ramai. Beliau menyatakan bahawa
perselisihan pendapat harus dilihat dari segi positif dan ia tidak harus dilihat
sebagai keretakan dan perpecahan kepada umat Islam yang sudah sekian lama
hidup berpecah belah.

You might also like