2

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

1.

0 Pengenalan

Dalam kajian ini, masyarakat Cina di Malaysia telah dipilih sebagai subjek kajian.
Ruang lingkup kajian ini meliputi adat dan pantang larang semasa perayaan,
perkahwinan dan kematian. Secara umumnya, masyarakat Cina merujuk kepada
sekumpulan orang yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan cara-cara dan
peraturan-peraturan tertentu yang mana identiti orang Cina itu sendiri boleh
didefinisikan sebagai suatu situasi mental dan emosi orang Cina ketika mereka
berhubung dengan subjek luaran di alam sosial mereka. Manakala pantang
larang sesuatu kaum adalah sebagai panduan dan juga untuk mendidik setiap
insan tidak kira tua atau muda ke arah yang lebih baik. Kebanyakannya
bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam
kehidupan.

2.0 Sorotan Kajian

Secara ringkasnya, orang Cina di Malaysia ialah orang Cina luar negara yang
menjadi warganegara atau penduduk tetap di Malaysia. Kebanyakan mereka
berketurunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke-15
hingga pertengahan abad ke-20. Di Malaysia, secara lazimnya kaum ini dirujuk
sebagai orang Cina dalam semua bahasa.

Masyarakat Cina di Malaysia mengekalkan identiti komuniti yang amat ketara


bezanya dengan kaum lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu
atas sebab agama dan budaya. Hal ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu
beragama Islam. Di bawah undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian
memerlukan pihak bukan beragama Islam untuk memeluk agama pasangannya.
Kebanyakan orang Cina Malaysia menganggap "kecinaan" mereka sebagai satu
identiti etnik, budaya dan politik.

Etnik Cina di Malaysia terdiri daripada beberapa suku dialek. Terdapat enam
kumpulan dialek utama iaitu Hakka, Kantonis, Hokkien, Teochew, Hainan dan
Hokchiu. Adalah terbukti bahawa orang yang tergolong dalam golongan suku
dialek tertentu tertumpu dalam bahagian komuniti berbeza di Malaysia.

Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik.
Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam
sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam
pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar
rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan
pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum
tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut
merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Berdasarkan kajian lapangan kami, terdapat pelbagai permasalahan yang


menjadi tanda tanya berkenaan adat dan pantang larang masyarakat Cina di
Malaysia ini. Menurut Wynne (2002), budaya Tahun Baru Cina merupakan adat
dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina semasa Tahun Baru
Cina seperti memberi angpau kepada kanak-kanak, berkumpul untuk hidangan
malam pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan sebagainya. Namun, adakah
remaja-remaja kini mengetahui makna sebenar bagi menyambut Tahun Baru
Cina atau Tahun Baru Cina hanya merupakan salah satu peluang cuti am untuk
rehat atau pergi melancong dalam atau ke luar negara sahaja bagi mereka?

Selain itu, adakah remaja-remaja kini memahami fungsi atau makna sebenar
mengapa ibu bapa atau orang tua memberi angpau hanya merupakan satu
peluang untuk mereka memungut duit raya tanpa menyedari fungsi sebenar di
sebaliknya? Adakah mereka memahami mengapa Tahun Baru Cina dirayakan dan
asal usul kedatangan Tahun Baru Cina dan bagaimana generasi kini
mengamalkan dan menjalankan budaya Tahun Baru Cina, adakah mereka
mengikut tradisi lama atau tidak mempedulikannya?

Justeru itu, semua persoalan yang menjadi tanya ini telah dirumuskan melalui
satu kajian lapangan agar dapat mengetahui dengan lebih lanjut apakah adat-
adat dan pantang larang serta bagaimana pelaksanaannya oleh masyarakat
Cina, dan juga mengkaji cabaran-cabaran orang muda dalam mematuhi pantang
larang tersebut.

3.0 Metodologi Kajian

Kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik. Oleh yang demikian, borang soal
selidik telah dihasilkan bagi menguji kefahaman masyarakat tentang adat dan
pantang larang masyarakat Cina di Malaysia. Kajian dijalankan di sekitar
kawasan Batu Berendam, Melaka serta Kampus Teknologi Universiti Teknikal
Malaysia Melaka (UTeM). Borang soal selidik diagihkan secara rawak kepada
responden Cina tidak kira golongan muda ataupun tua. Jumlah responden
seramai lima orang iaitu empat untuk soal selidik dan seorang untuk temu bual.
Selepas itu, borang soal selidik dikumpulkan untuk analisis seterusnya.
Responden berumur dalam lingkungan 20 tahun dan ke atas.

4.0 Dapatan Kajian

Soalan 1: Bagaimanakah pelaksanaan kematian mengikut agama


dalam masyarakat Cina?

Berdasarkan soalan pertama, menurut kelima-lima responden, pelbagai cara


pelaksanaan yang dilakukan sewaktu kematian. Antaranya ialah apabila berlaku
kematian, kebanyakan responden memberitahu bahawa mayat akan dibakar dan
kemudiannya diletakkan di tokong. Upacara kematian yang melibatkan
penziarahan dan penjagaan mayat biasanya berlangsung selama tiga hingga
tujuh hari. Hal ini bagi membolehkan sanak saudara dan rakan taulan memberi
penghormatan terakhir di samping menghadiri upacara pengebumian. Selain itu,
mereka juga percaya bahawa roh itu akan datang semula ke tokong untuk
melihat ahli keluarganya.

Menurut responden pertama iaitu Encik How, beliau ada menyatakan bahawa
tidak semua mayat akan dibakar kerana terdapat kes si mati memberitahu
bagaimana mayatnya harus disemadikan. Contohnya sebelum meninggal, si
mati akan terlebih dahulu menulis satu wasiat kepada keluarganya tentang cara
pengurusan mayatnya. Selalunya mereka akan meminta mayat dibakar
kemudian diletakkan di tokong. Ada sesetengah mayat tidak dibakar sebaliknya
diletakkan di dalam keranda.

Golongan muda juga maklum perkara ini dan ingin meneruskan amalan itu
dengan mayatnya dibakar dan abunya diletakkan di tokong atau diletakkan di
dalam keranda.

Soalan 2: Apakah pantang larang dan adat semasa kematian dalam masyarakat
Cina?
Berdasarkan soalan kedua, menurut responden yang lebih tua iaitu Encik Cheam,
selepas majlis pengebumian, ketika meninggalkan rumah si mati, pelawat
biasanya diberikan seutas benang merah atau gula-gula berikat benang merah
sebagai tanda terima kasih. Warna merah itu warna yang membawa nasib baik
dan menghalang hantu syaitan yang cuba membuat kacau. Menurut Abum Anas
(2013), sumbangan wang dalam sampul putih biasanya disampaikan kepada
keluarga si mati oleh mereka yang datang menziarahi. Jumlahnya pula perlu
berupa wang dalam bentuk angka yang ganjil. Selain itu, pakaian kaum Cina
sewaktu pengebumian ialah berwarna putih, hitam atau kelabu. Warna lain tidak
digalakkan apatah lagi warna merah yang dikatakan mempersenda si mati dan
keluarganya. Baju yang berbunga juga dilarang dipakai semasa kematian.

Soalan ini juga ditujukan kepada responden yang muda iaitu adakah mereka
masih mengamalkan adat memberi benang ini. Ketiga-tiga responden muda
menjawab mereka kurang pasti tentang adat memberi benang ini. Berdasarkan
pemerhatian ini, konklusinya generasi muda zaman sekarang sudah kurang
mengamalkan adat memberi benang ini. Manakala pakaian berwarna putih,
kelabu atau hitam masih diteruskan jika berlaku kematian.

Soalan 3: Bagaimanakah cara masyarakat Cina mengamalkan adat dan pantang


larang semasa menyambut sesuatu perayaan?

Berdasarkan soalan yang ketiga, kesemua responden berkata bahawa perayaan


kaum Cina agak sama dengan perayaan kaum Melayu. Pada hari raya pelbagai
makanan yang disediakan dan dihidangkan kepada tetamu yang akan datang.
Selain itu, saudara mara akan datang ke rumah untuk meraikan hari perayaan
Tahun Baru Cina. Pada hari perayaan, orang yang lebih tua akan memberi duit
raya kepada orang yang lebih muda. Duit ini dipanggil angpau. Pemberian
angpau adalah untuk melambangkan kegembiraan, selain merupakan semacam
restu untuk kehidupan makmur serta untung nasib yang baik sepanjang tahun.

Menurut Abum Anas (2013), pada tahun baru juga terdapat buah yang sinonim
dengan orang Cina iaitu limau. Juga menjadi amalan baik untuk membawa dua
atau empat biji limau mandarin untuk diberikan kepada tuan rumah oleh tetamu
semasa menziarahi pada perayaan tahun baru. Pemberian limau itu diibaratkan
sebagai pemberian emas. Hal ini kerana dalam bahasa sukuan Cina kantonis,
nama atau sebutan untuk limau menyerupai nama atau sebutan untuk emas. Di
samping itu, semasa perayaan kaum Cina mereka digalakkan memakai baju
yang terang seperti merah kerana warna merah dikatakan membawa tuah
kepada mereka.
Pantang larang semasa perayaan ialah mereka dilarang menyapu sampah
semasa hari raya. Menurut responden seterusnya iaitu Encik Goh, semasa hari
raya, mereka juga dilarang mencuci rambut. Hal ini berkaitan dengan tuah
mereka pada tahun itu. Sebagai contoh, jika mereka menyapu sampah, tuah
tidak akan datang pada tahun tersebut. Sewaktu perayaan mereka tidak boleh
bercakap perkara yang buruk. Semua responden memberi jawapan yang sama
tentang pantang larang dan adat semasa perayaan. Generasi tua dan muda
masih mengamalkan amalan-amalan ini sewaktu perayaan.

Soalan 4: Adakah upacara perkahwinan mempunyai adat dan pantang larang


dalam masyarakat Cina?

Berdasarkan jawapan yang diberikan kesemua responden, mereka mengatakan


pada asasnya adat resam perkahwinan masyarakat Cina merangkumi peringkat
sebelum berkahwin iaitu merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.
Antara pantang larang sebelum perkahwinan pula, sebelum tiba hari
perkahwinan, sekiranya terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga bakal
pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun
selama seratus hari. Adalah tidak sesuai mengadakan perkahwinan sewaktu
orang lain sedang berkabung kesedihan.

Adat dan pantang larang semasa hari perkahwinan ialah baju pengantin sebaik-
baiknya berwarna putih, merah atau kuning dan dilarang memakai baju hitam,
biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan
kematian dan kesedihan. Selain itu, wanita yang mengandung dan orang yang
baru kematian saudara-mara tidak boleh terlibat dengan majlis perkahwinan
atau menyentuh pakaian pasangan pengantin dan sebagainya di rumah baru
pasangan tersebut untuk mengelakkan sebarang perkara buruk daripada
berlaku.

Manakala adat dan pantang larang selepas berkahwin pula untuk


menggambarkan pengantin berkenaan diasuh dengan baik dan layak untuk
menjadi isteri kepada pengantin lelaki, sehari selepas hari perkahwinan,
pengantin perempuan perlu bangun lebih awal dan menyediakan makanan untuk
keluarga pengantin lelaki. Isteri tidak dibenarkan untuk pulang ke rumahnya
sendiri dan harus menetap di rumah suaminya bersama keluarga suaminya. Tiga
hari selepas hari perkahwinan, pengantin perempuan akan pulang melawat
keluarganya bersama-sama suami.

Kesimpulannya, masyarakat Cina juga mempunyai adat dan pantang larang


ketika perkahwinan yang banyak dan diamalkan semenjak zaman dahulu lagi.
Mereka mempunyai adat dan pantang larang sebelum, semasa dan selepas
perkahwinan. Mereka juga mengatakan terlalu banyak adat perkahwinan kaum
Cina jika betul-betul untuk diikuti.

Soalan 5: Adakah masyarakat muda zaman sekarang masih mengamalkan adat


dan pantang larang sebelum kahwin seperti yang diamalkan oleh nenek moyang
mereka?

Berdasarkan soalan terakhir, adakah generasi muda masih mengamalkan


pantang larang dan adat semasa perayaan, responden yang lebih tuan berkata
tidak semua generasi muda masih mengikuti amalan ini. Contohnya, tidak boleh
mencuci rambut. Generasi muda sekarang sudah tidak mengendahkan pantang
larang ini. Namun adat semasa perayaan masih diamalkan oleh generasi muda.
Contohnya, berpakaian berwarna merah, kunjung-mengunjungi dan lain-lain.
Manakala generasi muda pula menjawab yang mereka masih mengamalkan
adat-adat ini. Cuma terdapat beberapa pantang larang yang sudah tidak diikuti
generasi muda sekarang.

Dari aspek perkahwinan, masyarakat Cina akan merancang dan mengatur


sesuatu perkahwinan dengan sebaik-baiknya. Mengikut kepercayaan mereka,
pasangan yang berkahwin tanpa mengikut aturan adat dianggap tidak sah tetapi
ini tidak lagi relevan pada zaman teknologi sekarang. Menurut responden wanita
iaitu Cik Wong yang telah ditemu bual, beliau mengatakan bahawa jika beliau
berkahwin, beliau tetap akan mengikuti adat dan pantang larang ini jika ia
bersesuaian dan tidak akan mengikutinya jika tidak bersesuaian.

Kesimpulannya, adat dan pantang larang ini masih lagi diikuti oleh masyarakat
Cina zaman sekarang tetapi bilangannya semakin hari semakin sedikit. Ia
bergantung pada kesesuaian adat dan pantang itu sendiri serta kepentingan
adat itu. Selain itu, tempat tinggal juga mempengaruhi pengamalan adat dan
pantang larang. Kebanyakan masyarakat Cina yang menetap di kawasan bandar
sudah kurang mengikuti adat dan pantang larang kerana kemajuan pesat di
bandar dan faktor cara hidup keluarga manakala masyarakat Cina di kampung
masih lagi yang mengamalkan adat dan pantang larang nenek moyang mereka
ini.

5.0 Kesimpulan

Melalui kajian ini, dapat dirumuskan bahawa setiap adat dan pantang larang
mempunyai tujuan masing-masing. Generasi muda yang serba moden kini
tampak masih mempercayai dan mengamalkan adat dalam kehidupan seharian
mereka khususnya dalam upacara kematian, perkahwinan dan juga perayaan.
Hal ini disebabkan pegangan yang utuh daripada warisan turun-temurun nenek
moyang mereka membuatkan ia masih lagi dijadikan amalan pada zaman
sekarang.

Kajian ini juga menunjukkan segelintir orang muda kurang mempraktikkan adat
dan pantang larang semasa kematian iaitu memberi benang, malah mereka juga
ada yang tidak mengetahui tentang adat-adat tersebut kerana ianya sudah tidak
dipraktikkan lagi dalam keluarga mereka. Anak-anak muda sekarang telah
banyak dipengaruhi oleh kehidupan moden justeru mereka tidak lagi
menitikberatkan kepentingan adat dan pantang larang dalam kehidupan mereka
seoalah-olah ia telah luput ditelan zaman. Hal ini dapat dilihat melalui
kepentingan ibu bapa dan setiap ahli keluarga itu sendiri yang merupakan salah
satu faktor penting dalam memastikan kesinambungan adat dan pantang larang
dalam keluarga mereka. Hal ini kerana ibu bapa merupakan contoh teladan yang
baik dan paling dekat dengan anak-anak untuk dijadikan ikutan sehingga mereka
dewasa dan menjadi warisan akhir zaman.

Masyarakat Cina mempunyai adat dan pantang larang yang agak unik.
Kepentingan adat resam dalam hidup masyarakat tidak kira bangsa apa sekali
pun tidak dinafikan. Pantang larang yang dikenakan oleh orang tua-tua ini
bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya generasi muda agar dapat
membawa kepada penerapan nilai-nilai baik yang boleh diamalkan di dalam
kehidupan. Selain itu, pantang larang sebenarnya diperturunkan untuk kebaikan
kaum itu sendiri dan setiap daripadanya mempunyai keistimewaan. Adat resam
yang merangkumi semua aspek kehidupan bermula dari kelahiran, perkahwinan
sehinggalah kematian sememangnya masih lagi diamalkan oleh semua
masyarakat di Malaysia tidak kira bangsa Melayu, Cina mahupun India namun ia
juga bergantung kepada kesesuaian adat resam itu sendiri agar selaras dengan
masa dan juga situasi tertentu.

Rujukan

Ann, W. S. (2011). Perayaan Orang Cina. Shah Alam: Fajar Bakti.


Amdun, H. (2015). Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hamzah, R. K. (2006). Menjadi Remaja Berbudaya Positif. Ampang: PTS Litera
Utama.
Kadir, T. A. (2006). Hari Perayaan Penduduk Malaysia. Petaling Jaya: Pelanduk
Publications.
Budaya Masyarakat Cina Di Malaysia. (t.t.). Diakses pada November 25, 2015,
dari http://www.scribd.com/doc/70154179/Budaya-Masyarakat-Cina-Di-Malaysia
Gan Ah Mey. (August 20, 2010). Sehati Sejiwa Berkasih Mesra, diakses pada 12
November 2015 dari http://cintaakanbudaya.blogspot.my/2010/08/pantang-
larang-perkahwinan-masyarakat_20.html
Jelajah Edisi Daus. (September, 2010). Adat Dan Budaya Etnik Di Malaysia,
diambil pada 10 November 2015 dari
http://bmpengurusan2010.blogspot.my/2010/09/kaum-cina.html
Joan D'Arcy, (March 25, 2006), Daya Family Tree (Adat Perkahwinan Masyarakat
Cina Bhg.2) diambil pada 12 November 2015 dari
http://dayafamilytree.blogspot.my/
Seminar Sosiobudaya Antara Kaum Kenali Sebahagian Adat Orang Cina. (n.d.).
Diakses pada November 25, 2015, dari http://www.abuanasmadani.com/seminar-
sosiobudaya-antara-kaum-kenali-sebahagian-adat-orang-cina/
Tan Su Lin. (Januari 31, 2014). Adat Resam Dan Pantang Larang Tahun Baru Cina,
akses pada 20 November 2015 dari http://www.astroawani.com/gaya-hidup/adat-
resam-dan-pantang-larang-tahun-baru-cina-29179
Wynne Loke. (February 13, 2002). Konsep Angpau Dalam Perayaan Tahun Baru
Cina, diakses pada 26 November 2015 dari
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2002&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm

You might also like