Jenis Ayat

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 12

JENIS AYAT

(KUMPULAN D)

OLEH:
NUR ALIAH BINTI AZHAR
D20161073503

Nama pensyarah:
DR. NORUL HAIDA BINTI REDUZAN

IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BAHASA MELAYU


FAKULTI BAHASA DAN KOMUNIKASI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

SEMESTER 1 2016/2017
PENGENALAN

Ayat ialah unit yang paling tinggi letaknya dalam tingkat tatabahasa. Ayat
mengandungi makna yang lengkap, dan diucapkan dengan intonasi yang sempurna.
Bahasa melayu mempunyai berbagai bagai jenis ayat untuk menyatakan maksud yang
sama. Ciri-ciri ini menyebabkan bahasa melayu merupakan sebuah bahasa yang
sentiasa hidup serta menarik. Jika hanya satu jenis sahaja ayat yang digunakan akan
timbul rasa jemu kepada pembaca. Oleh sebab itu, sasterawan dan penulis yang baik
sentiasa menggunakan jenis jenis ayat yang lain, sesuai dengan keperluan. Ayat dapat
dibahagikan kepada empat jenis berdasarkan tujuan pengujaran ayat atau fungsi ayat
itu, iaitu ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah dan ayat seruan. Keempat empat jenis
ayat itu mempunyai intonasi khusus.
Setiap tokoh bahasa memberikan pendapat yang berbeza tentang makna ayat.
Antara mereka yang telah memberikan pendapat tentang makna ayat ialah Pendeta
Zaba melalui bukunya Pelita Bahasa Melayu, Penggal 1 dalam permulaan nahu
Melayu. Menurut Zaba : ayat susunan perkataan yang sekumpul-sekumpul dengan
tentu hujung pangkalnya dan tempat berhentinya serta memberi faham yang sempurna
tiap-tiap sekumpul kata yang dikatakan itu....Maka tiap-tiap sekumpul perkataan itu
ialah susunan yang sempurna maksudnya ( Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 dalam
Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah, 2006 hlm.148 ) Melalui maksud ayat yang
diberi oleh Zaba boleh dibuat kesimpulan bahawa ayat ini bermakud susunan yang
mempunyai hujung dan pangkal ayat yang boleh difahami oleh pembaca atau
pendengar kerana ia merupakan kumpulan perkataan yang telah sempurna maksud.
Mengikut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd melalui buku mereka, ayat boleh
didefinisikan sebagai : Apabila kita bercakap,kita menggunakan perkataan-
perkataan yang kita susun menjadi ayat...Ada ayat yang terdiri daripada dua patah
perkataan sahaja...Tiap-tiap ayat mesti terdiri daripada dua bahagian 1: benda atau
subjek,bahagian 2: cerita atau predikat. (Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, dalam
Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah,2006 hlm 149) Menurut Abdullah Hassan
dan Ainon Mohd itu, dapat disimpulkan bahawa ayat tidak semestinya terdiri dari ayat
yang panjang tetapi ayat boleh terdiri dengan hanya dua patah perkataan sahaja
asalkan ia dapat difahami. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd, ayat mestilah
terdiri dari dua kompenen iaitu subjek dan predikat.
Menurut Asmah Haji Omar pula sebagaimana yang disebut dalam bukunya Nahu
Bahasa Melayu Mutakhir : Ayat adalah unit yang paling tinggi dalam skala
tatatingkat nahu. Ayat terdiri dari klausa yang disertai dengan intonasi ayat yang
lengkap, yakni yang di mulai dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan dan
intonasinya menyatakan bahawa ayat itu sempurna dan selesai. ( Nahu Bahasa
Melayu Mutakhir dalam Kursus Menguasai Bahasa Melayu Mudah,2006 hlm 149 )
Menurut Asmah Haji Omar pula, ayat adalah unit tertinggi dalam tatabahasa Melayu.
Ia mestilah dimulakan dengan perbuatan senyap dan juga diakhiri dengan perbuatan
senyap. Ayat juga mempunyai intonasi bagi mengambarkan maksud ayat tersebut.
Mengikut Nik Safiah Karim dalam bukunya yang berjudul Tatabahasa Edisi Dewan
Baharu yang dikarang secara bersama dengan Farid M.Onn, Hashim Musa dan Hamid
Mahmood pula mendefinisikan ayat sebagai : Ayat ialah unit pengucapan yang
paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang
lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa
perkataan yang pengucapannya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan
( Tatabahasa Dewan Edisi Baharu dalam Kursus Menguasai Bahasa Melayu
Mudah,2006 hlm 150 ) Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu ini pula,ayat
merupakan unit pengucapan yang paling tinggi yang boleh terbentuk walaupun
dengan hanya beberapa patah perkataan. Sebagaimana pendapat Asmah Haji
Omar,ayat ini dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan.
Jika kita melihat dari beberapa pendapat yang dinyatakan diatas maka dapat kita
simpulkan bahawa ayat merupakan susunan yang tertinggi dalam strata tatabahasa
Melayu yang boleh terdiri dari dua atau lebih patah perkataan yang mana ia dimulai
dengan kesenyapan dan diakhiri dengan kesenyapan. Pembentukan kata dalam
disiplin bahasa dikenali sebagai binaan atau konstruksi. Binaan ayat terdiri daripada
susunan unit kecil rangkai kata dalam disiplin bahasa yang juga dikenali sebagai
unsur atau konsituen.
AYAT PENYATA

Tatabahasa dewan menyatakan ayat penyata merupakan suatu ayat yang


diucapkan atau diperkatakan dengan maksud membuat suatu pernyataan. Ayat penyata
yang diucapkan adalah bertujuan untuk menyatakan keterangan tentang sesuatu hal
atau perkara. Selain itu, ayat berita atau ayat keterangan turut dikenali sebagai ayat
penyata (Nik Safiah Karim,1996:422). Tatabahasa Bahasa Malaysia pula menyatakan
ayat penyata dari segi makna dan intonasi. Dari segi makna, bermaksud ayat yang
memberikan keterangan atau menyatakan sesuatu hal atau perkara yang menunjukkan
keterangan. Dari segi intonasi pula, buku tersebut telah menyatakan ayat penyata
merupakan suatu ayat yang diucapkan dengan intonasi sederhana yang diakhiri
dengan nada penutup menurun. Nahu Melayu Moden pula yang menggunakan istilah
ayat berita menyatakan ayat yang menceritakan atau memperlihatkan suatu kejadian
atau peristiwa, pandangan atau perasaan seseorang.

Ayat ini diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas, sama ada
yang bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Oleh itu, ayat penyata dapatlah
dianggap sebagai ayat untuk melaporkan hal apa pun. Ayat yang bertujuan
memberikan keterangan atau menyatakan sesuatu perkara, benda atau orang. Ayat ini
turut disebut sebagai ayat berita atau ayat keterangan dan bertujuan untuk
menerangkan sesuatu perkara maka kadar intonasinya adalah sederhana dan diakhiri
dengan nada penutup turun. Subjek ialah unsur yang hadir pada awal ayat atau yang
diterangkan dan predikat pula unsur yang hadir selepas subjek atau yang
menerangkan. Struktur ayat penyata boleh terdiri dari ayat tunggal atau ayat majmuk.

Ayat penyata dikenali juga sebagai ayat berita, ayat keterangan, ayat maklumat
atau ayat pernyataan. Menurut Nik Safiah Karim (1993 : 47), Ayat penyata ialah ayat
yang diujarkan untuk menyatakan sesuatu. Dalam lisan, ayat penyata diakhiri dengan
nada turun sebelum kesenyapan. Dalam tulisan, ayat penyata diakhiri dengan tanda
noktah. Ayat ini diujarkan tanpa mengharapkan jawapan atau gerak balas, sama ada
yang bersifat kebahasaan atau yang bersifat perbuatan. Oleh itu, ayat penyata dapat
dianggap sebagai ayat untuk melaporkan hal tentang apa-apa sahaja. Contohnya:
1. Husna pelajar tingkatan 4 Cempaka.

2. Itu bangunan daya bumi.

3. Hashim mengunjungi rumah Ramli.

4. Kes itu dianggap sudah selesai.

5. Pagi tadi Mastura menangis.

6. Dia ada datang tadi.

Dalam ayat penyata tidak terdapat penggunaan kata tanya apa, siapa, mengapa,
mana, kenapa, bagaimana, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam perbualan
terdapat ayat tanya yang mengandungi kata nafi tidak dan bukan. Kata nafi digunakan
sebagai unsur yang menafikan bahagian predikat ayat. Dari segi tatabahasa,
penggunaan kata nafi tidak bertujuan untuk menafikan frasa kerja dan frasa adjektif,
manakala kata nafi bukan digunakan untuk menafikan frasa nama dan frasa sendi
nama. Contoh penggunaan kata nafi dalam ayat penyata adalah seperti yang berikut:

1) Saya tidak mengambil barang tersebut

2) Tulisannya tidak cantik lagi

3) Tanah itu bukan hak milik kekal

4) Rumahnya bukan di Pulau Pinang


AYAT TANYA

Sebenarnya, bagi menjelaskan maksud ayat tanya, pelbagai tafsiran dan pendapat

telah dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa. Menurut Nik Safiah (1986 : 47), ayat tanya

ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Selain itu, pada

setiap akhir ayat tanya ini akan diberi satu tanda soal (?). Tanda soal yang digunakan

di dalam bahasa tulisan ini sebenarnya berupa nada yang tertutup yang meninggi

sebelum disambut oleh kesenyapan. Arbak Othman pula (1985 : 112) menyatakan

bahawa ayat ini biasanya dibawakan oleh pola sebutan yang diakhiri dengan nada

penutup meninggi, atau nada penutup menurun yang didahului oleh nada meninggi

pada perkataan yang mengakhiri ayat tanya itu. Menurut beliau lagi, ayat tanya mudah

dikenali dengan adanya penggunaan kata tanya seperti mengapa, kenapa, siapa,

bagaimana, bila dan lain-lain lagi. Namun demikian, dalam ujaran sebenar ada

penutur yang menggunakan intonasi bentuk ayat penyata bagi tujuan untuk

menanyakan soalan atau mendapatkan respons daripada pendengar. Dalam bahasa

tulisan, ayat tanya digambarkan melalui penggunaan tanda tanya (?). Contoh:

1 Semua pelajar ada di dalam kelas?

2. Ada anak emas di dalam kelas ini?

Ayat tanya di atas diujarkan dengan nada suara meninggi sebelum kesenyapan
pada akhir ayat. Penggunaan partikel -kah dapat ditambah pada unsur yang menjadi
fokus pada ayat di atas. Partikel -kah biasanya diletakkan pada hujung ayat tanpa
melakukan sebarang perubahan pada struktur ayat seperti yang berikut:

1. Semua pelajar ada di dalam kelaskah?

2. Ada anak emas di dalam kelas inikah?


Namun demikian ada kecenderungan untuk meletakkan unsur yang menjadi fokus
atau judul yang ditanyakan itu pada bahagian awal ayat, iaitu frasa predikat yang
disertai oleh partikel -kah dikedepankan seperti yang berikut:

1. Ada di dalam kelaskah semua pelajar?

2. Di dalam kelas inikah ada anak emas?

Sebaliknya, subjek yang disertai oleh partikel -kah jika dikedepankan dianggap
bentuk yang tidak gramatis dari segi tatabahasa seperti contoh yang berikut:

1. Semua pelajarkah ada di dalam kelas?

2. Ada anak emaskah di dalam kelas ini?

Kesemua contoh di atas merupakan ayat tanya tanpa kata tanya. Terdapat juga ayat
tanya yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, mengapa, mana, kenapa,
bagaimana, bila dan berapa. Dalam struktur ayat tanya biasa, kata tanya ini
diletakkan pada akhir ayat seperti dalam ayat (i) dan (ii). Walau bagaimanapun, jika
kata tanya diletakkan pada awal ayat, kata tanya ini hendaklah disertai oleh partikel
-kah seperti dalam ayat (iii) dan (iv) yang berikut:

i. Kamu semua siapa?

ii. Rumah kamu di mana?

iii. Siapakah kamu semua?

iv. Di manakah rumah kamu?


AYAT PERINTAH

Ayat perintah ialah ayat yang mengandungi unsur arahan atau unsur kemahuan
yang kuat oleh penutur terhadap pendengar. Ayat ini diujarkan dengan tujuan untuk
menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah juga digunakan untuk mengungkapkan
keinginan penutur bagi mempengaruhi pendengar agar melakukan sesuatu. Perintah
ditujukan kepada orang kedua seperti kamu, awak dan engkau yang biasanya
digugurkan. Ayat perintah terdiri daripada ayat yang bertujuan menyuruh, melarang,
mempelawa, dan meminta seperti contoh yang berikut:

1. Anda semua hendaklah hadir untuk menduduki peperiksaan

2. Jangan tujuk sikap buruk kamu itu

3. Silakan ke pentas utama

4. Tolong jaga kebersihan rumah masing-masing

Ayat perintah perlu diujarkan dengan intonasi perintah, iaitu intonasi menurun
dengan nada yang keras pada mana-mana perkataan yang hendak ditekankan
maksudnya. Nada sedemikian bertujuan untuk mendapatkan respons daripada
pendengar. Ayat perintah ditandai oleh penggunaan kata khusus seperti jangan, usah,
sila, jemput, tolong, minta, dan sebagainya. Ayat perintah dapat dibahagikan kepada
empat jenis dengan berdasarkan kata khusus tersebut:

a) Ayat suruhan

Ayat suruhan ialah ayat yang bertujuan untuk menimbulkan suatu tindakan
berupa arahan kepada pendengar. Secara umum, ayat ini mempunyai susunan subjek
yang terdiri daripada kata ganti nama diri orang kedua diikuti oleh predikat. Namun
demikian, subjek ini biasanya digugurkan seperti contoh yang berikut:

1. Duduk di tempat masing-masing

2. Tutup pintu itu

Ayat yang sama boleh dilengkapi subjek seperti yang berikut:


1. Kamu semua duduk di tempat masing-masing

2. Awak tutup pintu itu

Partikel -lah boleh digunakan pada bahagian predikat ayat suruhan yang bertujuan
untuk penegasan seperti contoh yang berikut:

1. Duduklah di tempat masing-masing

2. Tutuplah pintu itu

b) ayat larangan

Ayat larangan ialah ayat yang bertujuan untuk menegah atau menahan seseorang
daripada melakukan sesuatu perkara atau tindakan. Ayat ini merupakan satu bentuk
perintah atau arahan kepada pendengar. Ayat ini mempunyai maksud yang berlawanan
dengan ayat suruhan dan ayat ini menggunakan kata larangan seperti jangan, usah
dan tak usah. Contoh:

1. Jangan buang masa

2. Usah termenung sahaja

3. Tak usah dikenang orang yang jauh

Ayat larangan boleh menggunakan partikel -lah pada kata larangan untuk maksud
penegasan dan melembutkan larangan tersebut. Contoh:

1. Janganlah buang masa

2. Usahlah termenung sahaja

3. Tak usahlah dikenang orang yang jauh

c) ayat silaan

Ayat silaan ialah ayat yang bertujuan untuk membuat pelawaan atau ajakan
terhadap pendengar atau orang kedua. Ayat silaan berbeza sikit daripada ayat suruhan
dan larangan dari segi tindakan yang ditunjukkan. Tindakan itu bukan sahaja
diharapkan daripada pendengar, tetapi boleh turut disertai oleh penutur sendiri. Kata
silaan yang biasa digunakan adalah seperti sila, jemput, dan mari seperti contoh yang
berikut:

1. Sila rujuk papan kenyataan di bilik guru

2. Jemput datang esok hari

3. Mari masuk ke kelas

Ayat silaan juga boleh menggunakan partikel -lah untuk tujuan menggambarkan
kemesraan dan melembutkan pelawaan. Contoh:

1. Silalah rujuk papan kenyataan di bilik guru

2. Jemputlah datang esok hari

3. Marilah masuk ke kelas

d) ayat permintaan

Ayat permintaan ialah ayat yang dilafazkan oleh penutur dengan tujuan untuk
menyatakan kehendaknya kepada pendengar dengan nada yang halus dan hormat.
Ayat ini berbeza daripada ayat suruhan yang mempunyai nada yang tegas dan keras,
sebaliknya ayat permintaan mempunyai nada yang lembut bagi menyerlahkan sifat
berbudi bahasa dan bersopan terhdap pendengar. Ayat ini menggunakan kata
permintaan seperti minta, tolong dan mohon. Contoh:

1. Minta perlahankan muzik itu

2. Tolong kemas barang-barang yang bersepah itu

3. Mohon semua orang bertenang dan bersabar


AYAT SERUAN

Ayat seruan ialah ayat yang bertujuan untuk melahirkan berbagai-bagai perasaan
seperti gembira, sedih, kagum, terkejut, geram dan sebagainya. Gambaran perasaan
penutur dapat dilihat dengan berdasarkan jenis kata seru yang digunakan. Ayat seruan
menggunakan kata seru yang khusus bagi menzahirkan perasaan seperti wah, amboi,
ah, eh, aduh, cis, oh, wahai dan sebagainya. Kata seru ini dapat berdiri sendiri sebagai
satu ujaran. Namun demikian, ayat seruan biasanya terdiri daripada susunan kata seru
+ ayat keterangan untuk memperlihatkan perasaan yang dimaksudkan. Biasanya ayat
seruan mempunyai intonasi naik atau turun pada akhir ayat bergantung pada ragam
perasaan yang hendak ditunjukkan. Dalam tulisan, ayat seruan dapat dikenal pasti
melalui penggunaan tanda seru pada akhir ayat. Contoh:

1. Aduh, sakitnya perutku!

2. Oh, gadis manis itu rupanya!

3. Amboi, cantik sungguh baju baharu kamu!

4. Cis, tak malu!

5. Syabas, engkau berjaya!


BIBLIOGRAFI

Siti Hajar Abdul Aziz (2011). Bahasa Melayu I Edisi Kedua. Selangor: Oxford Fajar
Sdn. Bhd.
Nik Safiah Karim, Norliza Jamaluddin, Raminah Hj. Sabran (2013). Teks STPM
Bahasa Melayu Penggal 1. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan (2005). Linguistik Am. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd.
Ahmad Khair Mohd Nor, Raminah Hj. Sabran, Nawi Ismail, Mohd Zaini Othman,
Ton Ibrahim (2012) Tatabahasa Asas. Selangor: Percetakan Salam Sdn. Bhd.
Annie Tang. (2013) nota jenis jenis ayat dan latihan
http://annietkk7487.blogspot.my/2013/04/nota-jenis-jenis-ayat-dan-latihan.html
(18 Oktober 2016)

You might also like