Bab 5 Sistem Demokrasi Berparlimen

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 16

Bab 5: Sistem Demokrasi Berparlimen

5.1 Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja
berperlembagaan serta sejarah awalnya.

Malaysia telah memilih dan mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Keunikan Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan
akan akan dikupas melalui beberapa aspek iaitu konsep demokrasi berparlimen, struktur Parlimen
Malaysia, sistem demokrasi di Malaysia, ciri-ciri demokrasi berparlimen, perlembagaan, keluhuran
perlembagaan, kepentingan perlembagaan, ketertinggian Perlembagaan Malaysia, pindaan
perlembagaan, konsep Raja Berperlembagaan, kuasa perintahan, badan Perundangan (Legislatif), badan
Pelaksana (Eksekutif), badan Kehakiman (Judisiari), pilihan raya, parti-parti politik di Malaysia, negara
persekutuan, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, lambang-lambang negara, jata negera, bendera
kebangsaan dan lagu kebangsaan.

Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang
ditemui di Kompleks Gua Mulu dan kompleks Gua Niah, Sarawak. Secara dasarnya, sejarah negara ini
telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan
dan Zaman Kolonial.

Semenanjung Melayu berubah menjadi pusat perdagangan Asia Tenggara apabila China dan
India memulakan perdagangan mereka melalui pelabuhan di Selat Melaka. Penemuan beberapa tapak
arkeologi Zaman Proto Sejarah membuktikan wujudnya petempatan pesisiran pantai seawal abad ke-2
Masihi lagi. Ia membawa kepada kemunculan kerajaan awal sebelum abad ke-10 adalah merupakan
penempatan pesisiran pantai dan pelabuhan kecil. Ini termasuk Langkasuka dan Lembah Bujang di
Kedah, Beruas dan Gangga Negara di Perak, dan Pan Pan di Kelantan. Pada awal abad ke-15,
Kesultanan Melaka wujud dan kemakmuran ekonominya telah menarik minat penakluk daripada Portugis
pada tahun 1511 diikuti oleh Belanda dan Britain untuk mewujudkan penempatan atau koloni di Selat
Melaka.

Manakala di Borneo pula, kewujudan kerajaan purba Marudu sebelum abad ke-13 Masihi dan
Santubung adalah lebih awal lagi telah membuktikan kewujudan entiti politik yang mendahului kewujudan
Kesultanan Brunei dan kesultanan Sulu.

Penempatan terawal British di Malaysia bermula dengan pendudukan Pulau Balambangan pada
tahun 1769 iaitu hasil dari perjanjian dengan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Manakala,
penempatan Selat Koloni DiRaja Britain diwujudkan pada tahun 1826, dan Britain sedikit demi sedikit
menyebarkan pengaruh dan kawalannya ke atas seluruh semenanjung. Penempatan Selat termasuklah
Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Pada 1867, Inggeris menjadi semakin agresif dan mula
mendapatkan negeri-negeri Melayu yang lain. Disebabkan perang saudara, gangguan persatuan sulit
iaitu Cina dan Britain telah dipilih untuk menyelesaikan masalah-masalah penduduk Negeri Selat.
Akhirnya, Perjanjian Pangkor telah ditandatangani yang mengakibatkan perluasan kuasa Britain ke
negeri-negeri Melayu iaitu Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikenali juga sebagai
Negeri-negeri Bersekutu. Negeri-negeri lain yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Tidak Bersekutu ialah
Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu berada di bawah kuasa Thai.

Di Borneo pula iaitu Borneo Utara yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Kesultanan
Brunei dan Kesultanan Sulu sekarang Sabah telah berada dibawah pajakan Syarikat Berpiagam Borneo
Utara British pada tahun 1881 sehingga 1946. Ia telah ditabalkan sebagai Koloni Diraja British dan
manakala, Sarawak menjadi milik keluarga Brooke sebelumnya.

Akibat penaklukan Jepun pada Perang Dunia II dan kebangkitan komunis, kesedaran untuk
merdeka semakin menyerlah dan kuat. Perkara ini amat dikhuatir oleh British khususnya dalam menjaga
kepentingannya dan masyarakat imigran. Justeru itu, British telah mewujudkan Malayan Union lalu
masyarakat Melayu bangun menentang dan mahukan sistem yang pro-Melayu tetapi menolak
kemasukan Singapura dan mahukan sistem kewarganegaraan tunggal berbanding dengan
dwiwarganegara yang membolehkan kaum pendatang asing mendapat status warganegara Malaya dan
negara asal mereka. Kemerdekaan untuk semenanjung juga diperolehi pada tahun 1957 di bawah nama
Persekutuan Malaya tanpa Singapura.

Persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September 1963 melalui
penyatuan Persekutuan Malaya, Singapura, Borneo Utara lalu kemudian dinamakan Sabah dan
Sarawak. Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat untuk menyertai Malaysia telah
menarik diri akibat tentangan sebahagian daripada masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia,
banyak perkara berlaku misalnya cubaan menakluk Malaysia dan tuntutan oleh Filipina terhadap Sabah.
Selain itu, pada tahun 1965, Singapura juga turut menarik diri daripada Malaysia dan berlakunya rusuhan
kaum pada tahun 1969.

5.2 Demokrasi berparlimen :-

Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan Negara
manakala Raja-Raja Melayu menjadi lambing taat setia rakyat.

Dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen rakyat berpeluang membentuk kerajaan.

Rakyat bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya dan mereka berhak menyokong,
mengekalkan, atau menukarkan kerajaan yang sedia ada melalui pilihan raya.

Parlimen Malaysia melambangkan keutuhan sistem demokrasi berparlimen dan raja


berperlembagaan.

Sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan maksud


Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan negara telah digubal
dengan mengadakan syarat-syarat untuk pengalaman sistem ini. Salah satu syarat sistem Demokrasi
Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu
Perundangan, Kehakiman dan Pentadbiran atau Eksekutif.

Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan
kepada sistem Persekutuan. Sehubungan dengan itu, ia bermakna negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau
Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan
Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing, seperti
kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam
Perlembagaan Malaysia yang di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Ada perkara-perkara yang dijadikan kuasa
negeri dan negeri tersebut akan mentadbirkan kuasa. Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan,
maka diperuntukan oleh Perlembagaan institusi Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan
buah negeri dan Majlis Raja-raja. Dengan itu, baginda diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang
Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-
wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga menjadi Kepala Utama Negara dan Baginda
adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda akan menjalankan tugas-tugas dibawah
Perlembagaan mengikut nasihat Perdana Menteri atau Jemaah menteri. Raja-raja pula menjadi Ketua
Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua
Menteri.

Parlimen Persekutuan mengandungi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan dua
Dewan iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh
memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhentikan
atau membubarkan Parlimen.

Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong diperlukan oleh Perlembagaan untuk memanggil
Parlimen bermesyuarat dalam masa enam bulan antara persidangan yang akhir dalam satu penggal yang
kemudiannya. Bagi Dewan Rakyat, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan sekurang-
kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal, tarikh-tarikh majlis akan bermesyuarat dalam
penggal itu. Walau bagaimanapun, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang
ditetapkan itu dari masa ke semasa.

Parlimen Persekutuan merupakan badan perundangan yang tertinggi di Malaysia. Melainkan jika
dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen akan terus berjalan selama lima tahun, dari tarikh mesyuarat
pertamanya selepas Pilihanraya Umum.

Pada penghujung tempoh lima tahun ini, Parlimen dengan sendirinya dibubarkan dan dalam
masa 60 hari dari tarikh pembubaran Parlimen, Pilihanraya Umum bagi memilih wakil-wakil untuk Dewan
Rakyat hendaklah diadakan dan Parlimen dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat
daripada 120 hari dari tarikh pembubarannya.

Oleh itu, sistem ini Berjaya mengekalkan kerajaan yang adil, sejahtera dan stabil. Perlembagaan
Malaysia menjadi garis panduan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen di Negara kita. Beberapa
pindaan perlembagaan dibuat untuk menyesuaikan sistem pentadbiran dengan perkembangan politik
semasa.

5.3 Struktur Parlimen Malaysia :-

Pemerintahan Malaysia yang bercirikan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang
unik adalah kerana Parlimen Malaysia terdiri daripada tiga komponen iaitu Yang Di-Pertuan Agong,
Dewan Negara, dan Dewan Rakyat.

Setiap negara mempunyai kaedah dan sistem pemerintahan yang tersendiri. Terdapat berbagai
nama yang diberikan untuk menggambarkan bentuk pemerintahan sesebuah negara seperti demokrasi,
sosialis, monarki dan lain-lain. Dalam sistem berkenaan, terdapat jenis pemerintahan yang membenarkan
penglibatan rakyat dalam mengurus dan mengemudi pemerintahan negara.

Sementara itu, terdapat juga pemerintahan yang tidak memberi ruang kepada rakyat untuk
terlibat dalam urusan pemerintahan negara.
Sistem pemerintahan demokrasi amat bermakna bagi sesebuah negara yang mendaulatkan
kebebasan rakyat. Ianya menggambarkan suatu sistem yang memberi keutamaan kepada suara dan
kehendak majoriti rakyat. Istilah popular demokrasi ialah kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat.

Unsur penting dalam demokrasi ialah pemerintahan rakyat. Dalam sistem demokrasi yang
berkuasa ialah rakyat. Demokrasi mempunyai makna yang bertentangan dengan autokrasi. Dalam
autokrasi, rakyat tidak boleh bersuara dan tidak dibenarkan terlibat dalam urusan pemerintahan negara.

5.4 Sistem Demokrasi di Malaysia :-

Pemerintahan Malaysia telah mengamalkan pemerintahan demokrasi berparlimen dengan raja


berperlembagaan seperti yang dinyatakan dalam perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam sistem ini, kuasa perundangan Persekutuan terletak kepada Parlimen yang mengandungi
Yang Di-Pertuan Agong dan dua majlis yang dinamakan Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Parlimen ini
juga mempunyai kedudukan tertinggi dan merupakan badan yang mewakili rakyat untuk membuat
undang-undang dan dasar-dasar Negara.

Dalam demokrasi berparlimen, rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan kerajaan. Wakil
yang dipilih oleh rakyat sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan
bertanggungjawab serta bertindak untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya. Amalan
memilih pemimpin dan kerajaan dalam demokrasi berparlimen ini dibuat melalui pilihanraya.

Pilihanraya merupakan salah satu saluran penglibatan warganegara dalam membuat keputusan
politik. Melalui pilihanraya juga, rakyat diberi hak bagi memberi mandat kepada sesuatu seperti parti
untuk membentuk kerajaan. Kuasa rakyatlah yang akan menentukan parti yang akan memerintah negara
serta membentuk corak pembangunan dan masa depan rakyat.

5.5 Ciri-ciri Demokrasi Berparlimen :-

Negara demokrasi lahir daripada perjuangan berasaskan kedaulatan rakyat. Umumnya, terdapat
dua corak pemerintahan negara demokrasi, iaitu sistem Raja Berperlembagaan dan Sistem Republik.

Malaysia telah memilih dan mengamalkan sistem pemerintahan Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri di dalam sistem pemerintahan negara
manakala Raja-Raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat.

Sistem Raja Berperlembagaan, merupakan pemerintahan yang mengekalkan raja sebagai


pemerintah tertinggi negara dan negeri yang dibantu oleh Perdana Menteri.

Sementara sistem Republik pula, menolak institusi beraja dan kerajaan ini diketuai oleh presiden
yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

5.6 Perlembagaan :-

Pemerintahan Malaysia bercirikan demokrasi berparlimen dan raja berpelembagaan secara


langsung menjadikan perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi asas kepada
pembentukan sesebuah kerajaan.
Perlembagaan dijadikan dokumen rasmi dan di dalamnya terkandung segala peraturan dan
prinsip sebagai panduan kerajaan untuk melaksanakan kuasanya dan mentadbir negara.

Parti politik yang memerintah akan mengetahui hala tuju pentadbiran negara dan hal ini
menjamin kerajaan menunaikan tanggungjawab kepada rakyat melalui peruntukan yang terkandung di
dalamnya.

Perlembagaan Malaysia diperkenalkan pada 16 September 1963 yang mengandungi 183


perkara.

Perlembagaan ini mengandungi pelbagai peruntukan seperti Senarai Kerajaan Persekutuan dan
Kerajaan Negeri, Institusi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri dan Badan Kehakiman.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan, Perlembagaan Malaysia telah


membuat pembahagian kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Negeri-negeri yang bergabung dalam persekutuan Malaysia telah diberikan hak, kuasa dan
tanggungjawab seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri.

5.7 Keluhuran perlembagaan :-

Pemerintahan Malaysia mengamalkan Keluhuran Perlembagaan yang merupakan prinsip Rukun


Negara yang ketiga yang bermaksud keagungan dan ketertinggian undang-undang atau perlembagaan
itu sendiri.

Keluhuran Perlembagaan Malaysia mengatasi Yang di-Pertuan Agong, Parlimen, Jemaah Menteri
dan Mahkamah. Ini bermakna semua jenis undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan
Malaysia adalah tidak sah.

Maka, undang-undang negeri mestilah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 75


menyatakan, undang-undang negeri yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah
terbatal dengan sendirinya.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk membatalkan


akta yang diluluskan di luar bidang kuasa Parlimen atau yang bercanggah dengan Perlembagaan
Malaysia. Oleh itu, mahkamah berkuasa menentukan kesahihan setiap undang-undang bagi menjamin
keluhuran dan ketertinggian Perlembagaan Malaysia.

5.8 Kepentingan Perlembagaan :-

Pemerintahan Malaysia telah mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja


berperlembagaan bagi mementingkan perlembagaan yang berperanan untuk menjamin kestabilan
sesebuah negara dengan menentukan rangka dan bentuk pentadbiran agar dapat mewujudkan
kecekapan, keadilan, ketulusan serta kelancaran. Setiap pemimpin memerlukan panduan semasa
memerintah supaya pemerintahannya menepati kehendak perlembagaan dan aspirasi rakyat.

Perlembagaan Malaysia juga turut menjamin taat setia rakyat dengan memegang matlamat yang
sama supaya semangat patriotisme dapat dibentuk.

Perkara 24 dalam Perlembagaan Malaysia telah menyatakan seseorang yang mempunyai


kerakyatan negara lain akan dilucutkan kewarganegaraannya. Perkara 25 pula menyatakan bahawa
seseorang warganegara boleh dilucutkan kerakyatannya jika terbukti tidak setia kepada negara ini.
Tujuannya supaya rakyat memberikan sepenuh ketaatan kepada tanah air untuk mengekalkan identiti
negara dan bangsa Malaysia.

Perlembagaan Malaysia menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini. Setiap
warganegara mempunyai hak asasi dan kebebasan seperti berpersatuan, beragama dan memiliki harta.
Maka, rakyat akan mengetahui had kebebasan di sisi undang-undang.

Perlembagaan Malaysia dalam Perkara 153 memperuntukkan peranan Yang di-Pertuan Agong
dalam menjaga dan memelihara hak istimewa serta kedudukan orang Melayu dan bumiputera di Sarawak
dan Sabah. Hak istimewa tersebut ialah pemberian jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa,
kemudahan pendidikan serta pemberian lesen perniagaan dan perdagangan. Walau bagaimanapun,
perlembagaan juga perlu memastikan Perkara 153 tersebut dilaksanakan dengan berhati-hati supaya
pelaksanaannya tidak mengabaikan kaum-kaum lain.

Perlembagaan Malaysia juga menjamin kerjasama, kesepakatan, keadilan dan kepentingan


bersama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri di mana Perlembagaan adalah rujukan
utama dalam penggubalan undang-undang persekutuan dan negeri.

Pembahagian ini menjelaskan bahawa Perlembagaan Negeri tidak boleh bercangggah dengan
Perlembagaan Malaysia.

5.9 Ketinggian Perlembagaan Malaysia :-

Ketertinggian perlembagaan dapat dilihat pada peruntukan kuasa parlimen, kedudukan Yang di-Pertuan
Agong, kuasa perundangan dan kebebasan asasi.

Parlimen memperolehi kuasa daripaca perlembagaan. Manakala, Yang di-Pertuan Agong pula tertakluk
kepada Perlembagaan Malaysia.

5.10 Pindaan perlembagaan :-

Sejak tahun 1957, Perlembagaan Malaysia telah dipinda beberapa kali. Pindaan ini bertujuan adalah
untuk memastikan ianya sentiasa relevan melindungi kepentingan rakyat, menjaga keselamatan negara
dan melicinkan urusan pentadbiran negara.

Perlembagaan juga telah dipinda bagi melarang perkara sensitif dipersoalkan secara terbuka. Antara
perkara sensitif dalam perlembagaan yang tidak boleh dipersoalkan termasuklah pemerintahan beraja,
agama Islam, kedudukan bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Parlimen telah meluluskan pindaan Akta Hasutan 1970 yang mengehadkan seseorang individu daripada
bercakap sewenang-wenangnya sehingga menyentuh perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan
perbalahan antara kaum di negara ini. Tujuannya untuk memelihara keselamatan, ketenteraman dan
keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita.

Antara pindaan besar yang telah dibuat termasuklah pemansuhan imuniti iaitu kekebalan bagi Yang di-
Pertuan Agong dan Raja yang memerintah negeri daripada kesalahan jenayah.

5.11 Raja Perlembagaan :-

Satu ciri unik dalam pemerintahan Malaysia ialah institusi Raja Berperlembagaan yang bermaksud sistem
pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.
Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan nasihat daripada Perdana
Menteri. Semasa menjalankan tugasnya, baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali dalam perkara
tertentu yang memerlukan budi bicara baginda untuk membuat keputusan.

Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah
Negeri Melayu secara bergilir-gilir.

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Jawatan
Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sejak tahun 1957 iaitu tonggak negara dan Ketua Utama Negara
yang merupakan simbol keutuhan dan perpaduan rakyat di negara ini.

Sistem ini telah membantu memantapkan lagi kewibawaan institusi beraja di negara kita di samping
memberikan keseimbangan kepada raja yang menaungi rakyat serta rakyat yang dinaungi oleh raja.

5.12 Kuasa Pemerintahan :-

Malaysia ialah salah sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang
mengamalkan konsep pengasingan kuasa.

Menurut konsep ini, kuasa pemerintahan dibahagikan kepada tiga cabang, iaitu Badan Perundangan,
Badan Pelaksana dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiga badan ini harus dipegang oleh pihak yang
berasingan untuk mengelakkan pembolotan kuasa.

5.13. Badan Perundangan (Legislatif) :-

Perundangan merujuk pada undang-undang yang digubal oleh badan perundangan yang
dipertanggungjawabkan oleh perlembagaan. Fungsi badan perundangan adalah menggubal undang-
undang bagi menjamin keadilan dan kesejahteraan rakyat. Parlimen ialah badan perundangan yang
bertanggungjawab menggubal undang-undang di negara kita.

Parlimen terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Dewan Negara atau Senat merupakan dewan tertinggi dalam sistem pemerintahan negara. Dewan
Negara mengandungi 69 orang ahli. Ahli Dewan Negara yang digelar Senator i mewakili setiap negeri
dan mereka dilantik tanpa melalui pertandingan dalam pilihan raya.

Seseorang Senator memegang jawatan bagi tempoh tiga tahun. Senator mestilah berumur sekurang-
kurangnya 30 tahun. Taraf Senator sama dengan Ahli Parlimen. Dengan itu, mereka boleh dilantik
menjadi ahli Jemaah Menteri.

Keahlian Dewan Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Ahlinya terdiri daripada individu yang telah
memberikan sumbangan cemerlang dalam perkhidmatan awam, bidang profesional, atau bidang tertentu
seperti perniagaan, perusahaan, pertanian, kesenian dan kebajikan, atau yang mewakili sesuatu
kumpulan minoriti seperti Orang Asli.

Dewan Rakyat merupakan dewan terpenting kerana ahlinya dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum.

Dewan Rakyat mengandungi 219 orang ahli yang mewakili semua kawasan pilihan raya di seluruh
negara. Tempoh jawatan bagi anggota ahli Dewan Rakyat ialah lima tahun.

Tugas utama Dewan Rakyat adalah menggubal dan meluluskan undang-undang pada peringkat Dewan
Rakyat.
Undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dinamai Akta dan undang-undang yang dibuat oleh Dewan
Undangan Negeri dinamai Enakmen kecuali di Sarawak dan Sabah dinamai Ordinan.

5.14. Badan Pelaksana (Eksekutif) :-

Jemaah Menteri atau Kabinet merupakan badan pelaksana dasar-dasar kerajaan.

Kabinet merupakan pembuat dasar tertinggi negara. Tugas Jemaah Menteri atau Kabinet adalah
menggubal dasar-dasar kerajaan dalam semua perkara.

Perdana Menteri merupakan Ketua Jemaah Menteri dan biasanya, Perdana Menteri atau Timbalan
Perdana Menteri juga mengetuai sesebuah atau beberapa kementerian.

Setiap kementerian bertanggungjawab menggubal dasar-dasar kerajaan, merancang serta


menyelaraskan program pembangunan ekonomi dan sosial di negara kita.

Setiap kementerian diketuai oleh seorang Menteri dan dibantu oleh Timbalan Menteri, Setiausaha
Parlimen dan Setiausaha Politik.

Seseorang Menteri yang tidak diberikan tugas dalam kementerian tertentu dikenali sebagai Menteri Tak
Berportfolio. Beliau akan diberikan tugas-tugas tertentu oleh Perdana Menteri.

Perkhidmatan awam di Malaysia diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara. Beliau bertanggungjawab
mengawasi perjalanan kementerian dan Jabatan K erajaan.

Pada peringkat kementerian, pentadbirannya diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian. Beliau
dibantu oleh kakitangan kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan pegawai perkhidmatan awam.

Semua kakitangan awam bertanggungjawab melaksanakan dasar dan tugas yang ditetapkan oleh
kerajaan.

Jabatan kerajaan yang diketuai oleh Ketua Jabatan yang dikenali dengan gelaran Ketua Pengarah.

Sesebuah kementerian biasanya mempunyai jabatan pada peringkat pusat, negeri dan daerah.

Terdapat juga badan-badan kerajaan yang dikenali sebagai badan berkanun. Badan berkanun
merupakan badan separuh kerajaan yang mempunyai kuasa autonomi tertentu.

Badan berkanun mempunyai peruntukan kewangan tersendiri. Badan ini ditadbir oleh sebuah Lembaga
Pengarah yang bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan.

Badan berkanun ini mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang besar untuk mempercepatkan
pentadbiran dan program pembangunan di bawah rancangan lima tahun kerajaan. Beberapa contoh
Badan Berkanun ialah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda (MADA), dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Beberapa suruhanjaya telah ditubuhkan di negara kita untuk mengendalikan urusan pelantikan, kenaikan
pangkat dan pemantauan disiplin kakitangan perkhidmatan awam.
Antaranya termasuklah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan,
Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-undang dan Kehakiman, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Majlis
Angkatan Tentera.

5.15 Badan Kehakiman (Judisiari) :-

Badan Kehakiman mempunyai kuasa mendengar serta menentukan perkara sivil dan jenayah.

Perkara sivil berkaitan dengan saman biasanya memerlukan affidavit, manakala perkara jenayah pula
melibatkan kanun keseksaan.

Badan Kehakiman boleh menentukan kesahihan undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan
dan pihak badan pelaksana.

Badan kehakiman juga berkuasa mentafsir Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri.

Sistem mahkamah telah diwujudkan oleh Perlembagaan Malaysia untuk melaksanakan tugas kehakiman
di negara ini.

Mahkamah mempunyai kuasa mentafsirkan perlembagaan negara, mentafsirkan undang-undang,


mengisytiharkan undang-undang bertulis Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan mempunyai
kuasa mengisytiharkan sesuatu tindakan kerajaan tidak sah di sisi undang-undang.

Mahkamah tidak boleh meminda undang-undang kerana perkara itu merupakan kuasa badan
perundangan atau Parlimen.

Sistem mahkamah di Malaysia disusun mengikut hierarki piramid. Melalui sistem ini, individu atau
kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan perjalanan mahkamah boleh membuat rayuan ke
mahkamah yang lebih tinggi.

Semua hakim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat daripada Perdana Menteri.

Urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan pelucutan jawatan terletak di bawah kuasa Duli Yang Mulia Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Seseorang hakim tidak boleh dipecat dengan sewenang-
wenangnya tanpa sebarang sebab yang munasabah.

Hakim tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam politik. Tujuannya supaya hakim dilindungi daripada
pengaruh politik untuk menjamin keadilan dan kesaksamaan undang-undang.

Penasihat undang-undang kerajaan ialah Peguam Negara. Peguam Negara akan menjadi Pendakwa
Raya atau Peguam Bela bagi kerajaan. Manakala, Peguam Negara dibantu oleh Pegawai Perkhidmatan
Undang-Undang dan Kehakiman.

5.16 Pilihan raya :-

Pemerintahan Malaysia memaparkan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan telah
menjadikan pilihan raya sebagai proses memilih wakil rakyat untuk memerintah sama ada pada peringkat
negeri atau persekutuan. Ini merupakan ciri penting bagi sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Pemilihan ini dilakukan secara sulit dengan menggunakan prosedur yang telus dan teratur.

Pengiraan undi dibuat secara terbuka dan keputusannya direkodkan. Calon yang mendapat undi
terbanyak dikira menang yang dikenali dengan sistem majoriti mudah.
Pilihan raya di Malaysia dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ditubuhkan untuk
menjamin pilihan raya yang adil dan bebas tanpa tekanan parti pemerintah atau pembangkang.

Keanggotaannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja
Melayu.

Tiga fungsi utama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah menentukan sempadan bahagian-bahagian
pilihan raya, menjalankan pendaftaran pemilih dan mengendalikan pilihan raya sama ada pilihan raya
umum atau pilihan raya kecil.

Pilihan raya umum diadakan untuk memilih ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)
secara serentak di seluruh Semenanjung Malaysia.

Di Sarawak dan Sabah pula pilihan raya umum bagi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN)
diadakan secara berasingan.

Pilihan raya kecil diadakan apabila berlaku kekosongan kerusi di mana-mana kawasan Parlimen atau
Dewan Undangan Negeri (DUN). Kekosongan itu berlaku mungkin disebabkan hal-hal tertentu seperti
kematian, perletakan jawatan dan perlucutan jawatan.

Pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari bagi Semenanjung Malaysia dan 90 hari bagi
Sarawak dan Sabah selepas kekosongan itu.

Warganegara Malaysia bebas memilih dan menganggotai mana-mana parti politik yang mereka gemari
dan boleh menjadi calon dan bebas untuk bertanding dalam pilihan raya.

Seseorang yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya mestilah warganegara Malaysia, berumur 21
tahun, bermastautin di Malaysia, sempurna akal, bukan orang yang muflis, tidak memegang jawatan
dalam perkhidmatan awam dan tidak disabitkan dengan sesuatu kesalahan oleh mahkamah.

Seseorang warganegara akan hilang kelayakannya sebagai ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan
Negeri jika dihukum penjara tidak kurang daripada 12 bulan atau didenda tidak kurang daripada RM2000
dan belum mendapat pengampunan.

Calon-calon dalam sesuatu pilihan raya boleh bertanding atas nama parti atau atas nama individu
sebagai calon bebas.

Mereka harus mengemukakan kertas penamaan calon pada hari penamaan calon.

Seseorang pengundi yang berkelayakan boleh mengundi jika namanya didaftarkan dalam Senarai Daftar
Pemilih.

Menurut perkara 119 Perlembagaan Malaysia, seseorang warganegara yang berumur 21 tahun,
bermastautin atau tidak bermastautin, tinggal di mana-mana kawasan pilihan raya Dewan Rakyat atau
Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh mengundi dalam pilihan raya tersebut.

Seseorang pengundi hanya boleh mengundi dalam sebuah kawasan pilihan raya sahaja.

Perlembagaan membenarkan anggota pasukan keselamatan, pelajar di luar negara dan pegawai
kerajaan yang bertugas di luar negara mengundi melalui pos dengan syarat nama mereka terdaftar
sebagai pengundi.
Di negara kita, sebelum proses pengundian dijalankan, sama ada dalam pilihan raya umum atau pilihan
raya kecil, calon daripada pelbagai parti yang bertanding dibenarkan berkempen dalam tempoh
berkempen adalah antara tujuh hingga lima belas hari sahaja.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menubuhkan urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha
yang berperanan sebagai Ketua Eksekutif dan Ketua Pentadbir urus setia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibantu oleh sekumpulan kakitangan awam. Urus setia Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) diwajibkan mengikuti garis panduan dan dasar-dasar Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR). Tujuannya untuk memastikan pilihan raya dijalankan dengan efektif dan adil.

5.17 Parti-parti politik di Malaysia :-

Secara umumnya parti politik merujuk kepada sekumpulan orang yang mempunyai ideologi politik untuk
mencapai matlamat bersama.

Parti-parti politik ini berjuang untuk mendapatkan kuasa. Ahli-ahlinya membayar yuran keahlian dan
selalunya memberikan kesetiaan dan komitmen terhadap perjuangan parti.

Selain ideologi politik, sikap perkauman juga menjadi asas pembentukan dan penyatuan ahli-ahli parti.
Contohnya, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), Parti Cina Se-Tanah Melayu (MCA)
dan Kongres India Tanah Melayu (MIC) di negara kita.

Parti-parti ini ditubuhkan dengan matlamat untuk menyatukan dan memelihara kepentingan kaum
masing-masing.

5.18. Negara Persekutuan :-

Pemerintahan Malaysia yang unik telah mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan
raja berperlembagaan bagi memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan yang
bermaksud penyatuan beberapa buah negeri yang mempunyai sebuah Kerajaan Persekutuan serta
beberapa buah Kerajaan Negeri bagi menjalankan tugas berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam
Perlembagaan Malaysia.

Senarai Persekutuan memuatkan bidang kuasa Persekutuan, iaitu hanya Kerajaan Persekutuan
mempunyai kuasa terhadapnya.

Senarai Negeri mengandungi bidang kuasa yang diperuntukkan kepada negeri, iaitu Kerajaan Negeri
sahaja mempunyai kuasa terhadapnya.

Senarai Bersama pula menurunkan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Dalam
bidang kuasa ini, kedua-duanya kerajaan mempunyai kuasa terhadapnya.

Persekutuan merupakan satu kaedah menyatupadukan pelbagai wilayah yang dahulunya wujud
berasingan bagi membolehkan hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri
diselaraskan.

Sifat ini bukan sahaja dapat membentuk Kerajaan Persekutuan yang stabil serta berwibawa dan
membantu mengurangkan perbalahan antara etnik.

5.19 Kerajaan Persekutuan :-


Keunikan pemerintahan Malaysia adalah kerana Perlembagaan Persekutuan telah memberikan
peruntukan yang luas kepada Kerajaan Persekutuan berhubung dengan pentadbiran negara.

Badan pelaksana atau eksekutif mempunyai tugas untuk menjalankan kuasa-kuasa eksekutif mengikut
perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa eksekutif bagi Kerajaan Persekutuan terletak pada Yang di-
Pertuan Agong.

Kabinet atau Jemaah Menteri ialah badan yang menjalankan kuasa eksekutif yang dipegang oleh Yang
di-Pertuan Agong.

Jemaah Menteri ini diketuai oleh seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

5.20 Kerajaan Negeri :-

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan kuasa eksekutif kepada setiap negeri. Kuasa eksekutif itu
terletak pada Raja atau Sultan atau Yang Dipertua Negeri.

Menteri Besar atau Ketua Menteri yang telah dilantik oleh Raja atau Yang Dipertua Negeri daripada
kalangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah yang mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan
tersebut.

Urusan pentadbiran peringkat negeri pula terletak pada perlembagaan negeri sebagaimana yang
diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Semenanjung Malaysia, Majlis Tertinggi di Sarawak dan
Kabinet di Sabah mengandungi sebilangan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) serta tiga orang pegawai
kerajaan (ex-officio), iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat
Undang-undang Negeri yang berperanan menjalankan dasar pentadbiran negara pada peringkat negeri.

5.21 Lambang-lambang Negara :-

Bagi melahirkan rasa kesetiaan, kesanggupan untuk berkorban dan kecintaan terhadap tanah air
lambang negara telah diwujudkan.

Antara lambang negara kita termasuklah jata negara, bendera kebangsaan dan lagu kebangsaan.

Tujuannya supaya rakyat sentiasa bersemangat, bersatu padu dan sanggup berkorban demi
mempertahankan kedaulatan negara Malaysia.

5.22 Jata Negara :-

Setiap negara mempunyai jata negara masing-masing. Jata negara Malaysia menjadi lambang
kemegahan penduduk negara ini.

Setiap lambang pada jata negara mempunyai maksud yang tertentu.

5.23. Bendera Kebangsaan :-

Bendera kebangsaan yang dikenali sebagai Jalur Gemilang berfungsi untuk membangkitkan semangat
perjuangan.
Bendera kebangsaan berkibar megah di negara kita sebaik-baik sahaja bendera Union Jack diturunkan
pada tengah malam 31 Ogos 1957.

Pada tahun 1949, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk membuat perakuan berhubung dengan
reka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu. Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan
pertandingan pada peringkat kebangsaan bagi memilih bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Pada 28 November 1949, akhbar The Malay Mail telah menyiarkan keputusan majoriti orang ramai. Reka
bentuk ciptaan Encik Mohamad Hamzah, arkitek kerajaan di Johor, telah terpilih.

Pada 22 dan 23 Februari 1950, beberapa pindaan telah dibuat terhadap reka bentuk bendera tersebut
sebelum diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 19 April 1950.

Pada 19 Mei 1950, King George VI telah memperkenankan reka bentuk bendera Persekutuan Tanah
Melayu yang baru.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu berkibar buat kali pertama pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana
Sultan Selangor dengan dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM), Raja-Raja Melayu dan pegawai-
pegawai King George VI.

Di Malaysia, Jalur Gemilang sentiasa dikibarkan dalam majlis dan adat istiadat rasmi. Misalnya, pada
Hari Kebangsaan dan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, bendera Malaysia
telah dikibarkan di semua bangunan kerajaan dan juga premis persendirian sebagai tanda ketaatan kita
kepada raja dan negara.

5.24 Lagu kebangsaan :-

Sebelum merdeka lagu kebangsaan negara kita ialah lagu kebangsaan British, iaitu God Save the
Queen.

Lagu kebangsaan negara kita dikenali dengan tajuk Negaraku yang dicipta pada tahun 1957.

Pemilihan lagu ini dibuat oleh Tunku Abdul Rahman yang mengetuai sekumpulan jemaah hakim di
Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur.

Pasukan Pancaragam Polis Diraja telah memperkenalkan empat buah lagu. Lagu Terang Bulan, iaitu lagu
kebangsaan negeri Perak telah dipilih kerana mempunyai unsur kemelayuan.

Majlis Raja-Raja Melayu telah memperkenankan keputusan jemaah hakim tersebut.

Lirik lagu kebangsaan ini telah digubah semula oleh Encik Saiful Bahri berdasarkan lagu Terang Bulan.

Lirik lagu kebangsaan negara menggambarkan kesetiaan rakyat, menuntut kita supaya bersyukur, taat
kepada raja dan sanggup berkorban demi mempertahankan negara.

5.25 Rumusan/Kesimpulan :-

Persekutuan Malaysia merupakan sebuah Negara yang mengamalkan pemerintahan melalui


amalan demokrasi berparlimen. Sistem ini mendapat sokongan dan penglibatan pihak pemerintah dan
rakyat jelata. Sistem Parlimen dan Pilihanraya di Malaysia akan terus kekal dan bertambah mantap pada
masa hadapan.
Malaysia sebuah negara yang berdaulat dan mempunyai Keluhuran Perlembagaannya yang tersendiri.
Perlembagaan Persekutuan yang dijunjung oleh rakyat warganegara Malaysia merupakan faktor
keharmonian dan keselamatan yang dikecapi hingga kini.

Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukan bahawa kuasa dijalankan oleh 3 badan iaitu
badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Perkara-perkara yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlaksanaannya
adalah pada peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diwakili oleh ketiga-tiga badan
tersebut dan keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan sehingga ke kampung telah menjalinkan satu
jalinan kompleks sehingga mampu mewujudkan dan mempertahankan sebuah negara yang demokratik.

Ini berlaku kerana pengasingan kuasa antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan
Tempatan mengikut syarat-syarat yang diizinkan juga menunjukkan tidak berlakunya monopoli kuasa.

Akhir sekali, adalah tidak lengkap sekiranya aspek Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen
jika pilihanraya tidak dibincangkan. Pilihanraya dijalankan untuk memilih wakil-wakil rakyat yang akan
mengisi kekosongan di Dewan Rakyat yang akhirnya menjalankan kehendak-kehendak rakyat melalui
wakil-wakil rakyat yang dipilih.
Latihan Struktur

1. Senaraikan negeri-negeri tidak bersekutu.

____________________________________________________________________________________

2. Apakah maksud demokrasi berparlimen?

____________________________________________________________________________________

3. Apakah badan perundangan yang tertinggi di Malaysia?

____________________________________________________________________________________

4. Apakah tiga komponen yang terdiri dalam Parlimen Malaysia?

____________________________________________________________________________________

5. Apakah istilah popular demokrasi semasa sistem pemerintahan demokrasi?

____________________________________________________________________________________

6. Apakah yang dinyatakan dalam autokrasi?

____________________________________________________________________________________

7. Apakah keistimewaan demokrasi berparlimen?

____________________________________________________________________________________

8. Apakah maksud pilihanraya?

____________________________________________________________________________________

9. Apakah maksud keluhuran perlembagaan?

____________________________________________________________________________________

10. Apakah kepentingan perlembagaan?

____________________________________________________________________________________
____________________________________________________________________________________

11. Apakah pindaan perlembagaan ini bertujuan?

____________________________________________________________________________________

12. Apakah fungsi badan perundangan (legislatif)?

____________________________________________________________________________________

13. Apakah fungsi badan pelaksana (eksekutif)?

____________________________________________________________________________________

14. Apakah fungsi badan kehakiman (Judisiari)?

____________________________________________________________________________________

15. Nyatakan fungsi utama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

____________________________________________________________________________________

____________________________________________________________________________________

16. Apakah tugas parti-parti politik di Malaysia?

____________________________________________________________________________________

17. Apakah fungsi persekutuan?

____________________________________________________________________________________

18. Apakah fungsi badan pelaksana atau eksekutif dalam kerajaan persekutuan?

____________________________________________________________________________________

19. Apakah fungsi adanya lambing-lambang negara?

____________________________________________________________________________________

20. Bendera kebangsaan juga dikenali sebagai?

____________________________________________________________________________________

21. Sebelum kemerdekaan, apakah lagu kebangsaan negara kita?

____________________________________________________________________________________

22. Siapakah yang menggubah lirik lagu kebangsaan?

____________________________________________________________________________________

You might also like