Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

Ramai guru sakit jiwa

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


nor.afzan@kosmo.com.my
Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan
mental.

PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.

BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka
juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa,
mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan
dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan
hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan
sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar,
kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70


peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban
tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan
juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah
rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya
bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai
aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu
mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas
dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan


Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR)
memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan
cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan
sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila.
Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri.
Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.
HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.

Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi
pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering
menjadi buah mulut orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai
alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya
bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan
keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal
perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk
tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak
anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap
dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.

Kerja tujuh hari seminggu


Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF,
Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban
tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama
keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak
mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya
mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga
dibebani dengan komitmen luar," katanya.
NOR ZURAIDA
Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah
sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru
JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari
pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya
diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari
Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat,"
katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang
sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk
berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-
murid untuk ditanda.
"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti
gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang
menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi
apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan
saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga
saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di
hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas


menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di
tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya.

Berisiko mendapat penyakit kritikal


MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM), Prof. Nor Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit
mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri hospital berkenaan. Kira-kira 10
peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.

Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana
banyak tugasan baru yang perlu dilaksanakan selain mengajar.

Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus
dan gerak kerja luar sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.

Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta
pengetua yang sentiasa menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar
cemerlang dalam peperiksaan, katanya.

Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap
bahawa sekolah dan pusat tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan
menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru
sedangkan kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di
sekolah.

Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya


yang juga guru, Nor Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap
kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai karakter yang berlawanan dengan
keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau dan
kemurungan.

Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah
pada tahap hipoaktif, mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang
kerja walaupun tidak mempunyai waktu rehat yang cukup.

Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi
kepada orang di sekeliling mereka, katanya.

Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling
seperti kerja dan jaringan sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.

Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru
mendapat tekanan menjadi lebih tinggi.
Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi
untuk mendapat penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis
dan buah pinggang.

Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula
hilang tumpuan mengajar, bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu
lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti harian.

Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu


memahami dan membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas
mengajar serta memberi kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling, jelas
Nor Zuraida.

Artikel
Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0322&pub=Kosm
o&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz4IDC2KpNB
Hakcipta terpelihara

You might also like