Sumbangan Al Ghazali

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

SUMBANGAN AL-GHAZALI DALAM BIDANG KEILMUAN

Latar Belakang Nama sebenar ialah Muhammad bin Muhammad at-Thusi al-Imam Abu Hamid
al-Ghazali yang dilahirkan di Thus, Khurasan Iran pada tahun 1058 M. Beliau digelar "Al-
Ghazali" bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-
Ghazzal). Ada yang mengatakan mengambil sempena kampung kelahirannya, Ghazalah. Al-
Ghazali telah merantau ke serata tempat untuk mempelajari pelbagai ilmu daripada ramai guru
seperti Imam al-Radzakani, Imam al-Abi Nash al-Ismaili dan Imam al-Haramain Abu Ma au al-
Juwaini. Beliau berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya merupakan seorang ahli Sufi yang
sangat warak. Bapanya mempunyai cita-cita yang tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi
orang alim dan soleh. Al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir dan ahli falsafah Islam yang
terkemuka hingga kini. Beliau seorang yang tekun dalam menuntut dan mendalami ilmu
pengetahuan sehingga berjaya menguasai pelbagai cabang ilmu seperti usuluddin, usul fiqh,
mantik, membaca hikmah dan yang paling terkenal ialah bidang falsafah. Beliau banyak
memberi sumbangan dalam bidang penulisan dan menyusun kitab-kitab dari pelbagai aspek ilmu
yang telah dipelajari, antaranya kitab yang dihasilkan ialah Ihya Ulumuddin, Kimya al-Saadah,
Maqasid al-Falasifah dan al-Mushtasfa mim Ilm al-Ushul. Segala hasil-hasil tulisan beliau telah
mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu
Rusyd dan Syah Waliyullah. Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 14 Jamadilakhir tahun 505
Hijrah (1111 M) di Thus dan jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya.

Sumbangan al-Ghazali
1. BIDANG FALSAFAH
a. Membahagikan ahli falsafah
Imam aI-Ghazali membahagikan golongan yang membahaskan falsafah kepada tiga golongan
iaitu atheis, natural dan teologi. Golongan atheis - golongan yang mengingkari wujudnya
pencipta yang mentadbir seluruh alam ini. Golongan natural - golongan ilmuwan yang banyak
membuat kajian berkaitan dengan tabiat, kejadian dan anatomi manusia, tumbuhan serta haiwan.
Golongan teologi merupakan ahli yang membincang dan membahaskan soal-soal ketuhanan
bersumberkan akal seperti Plato, Aristotle dan Socrates.
b. Mengklasifikasi Ilmu Falsafah
Imam al-Ghazali merupakan individu pertama yang mengklasifikasikan semula ilmu falsafah
kepada enam bahagian, iaitu matematik, mantik, fizik, ketuhanan, siasah dan akhlak. Matematik
menurut al-Ghazali adalah berkaitan dengan ilmu hisab dan kejuruteraan. Ilmu ini tidak
berkaitan dengan perbahasan dan sudut agama. Mantik pula ialah ilmu yang berkaitan dengan
logik akal dan bagaimana akal sebagai agen penyusun hujah-hujah yang dikemukakan. Ilmu fizik
pula berkaitan dengan kajian alam, langit, bintang-bintang, air, udara dan alam seluruhnya. Ilmu
ketuhanan dalam falsafah mengkaji aspek ketuhanan dan perspektif akal. Ilmu ketuhanan ini
didasari oleh perbincangan mantik dan logik. Ilmu ini menurut Imam al-Ghazali tersimpang
daripada falsafah ketuhanan yang sebenar. Menurut Imam al-Ghazali, siasah ialah perkara yang
berkaitan dengan unsur-unsur keduniaan yang dapat membantu manusia menjalani kebidupan
seharian dengan lebih baik. Ilmu yang terakhir dalam ilmu falsafah menurut Imam al-Ghazali
ialah akhlak, iaitu ilmu yang berkaitan dengan cara seseorang menjalani kehidupan seharian
dengan sikap dan peribadi yang mulia.
c. Metodologi
Metodologi yang diasaskan oleh Imam al-Ghazali adalah lebih jelas dan terperinci. Antara
penulisan terkenal Imam al-Ghazali dalam bidang falsafah ialah Maqasid al-Falasifah, al-
Munqidh mim al-Dalal dan Tahafut al-Falasifah. Abu Hassan al-Nadawi juga menyifatkan Imam
al-Ghazali sebagai seorang yang istimewa seperti yang diungkapkannya di dalam salah satu
penulisannya.
d. Menyelamatkan Akidah Umat Islam
Imam al-Ghazali memainkan peranan yang penting dalam perkembangan ilmu falsafah Islam,
bagi menyelamatkan akidah umat Islam daripada terus direntap oleh fahaman falsafah ketuhanan
Yunani yang tidak bertauhidkan agama yang suci, iaitu agama Islam. Al-Ghazali berjaya
mempertahankan kemurnian Islam sekaligus mengelak amalan mengagungkan falsafah Yunani
tanpa menyedari ia bertentangan dengan akidah Islam.
e. Gelaran Hujjatul Islam
Diberi gelaran Hujjatul Islam kerana kemampuan al-Ghazali memanfaatkan ilmu yang dipelajari
daripada tokoh-tokoh ulama serta kebijaksanaan berhujah dengan mengemukakan pandangan-
pandangan yang bernas menyebabkan beliau amat disanjung tinggi oleh umat Islam dan
sememangnya gelaran yang diberikan kepadanya amat tepat.
2. BIDANG ILMU KALAM
AL-Ghazali memberi sumbangan yang cukup besar dalam ilmu Kalam. Beliau telah mengarang
begitu banyak penulisan dalam ilmu Kalam. Dalam penulisan beliau, al-Ghazali banyak
mematahkan hujah-hujah daripada pihak lawan yang dilihat agak keterlaluan semasa
membahaskan isu-isu yang timbul daripada perbincangan ilmu Kalam. Ilmu Kalam sudah pun
berkembang dengan baik bagi mempertahankan akidah ahli sunnah sebagaimana yang terdapat
dalam al-Irsyad, iaitu salah satu kitab karangan Imam al-Haramain, iaitu guru Imam al-Ghazali.
Ada disebut dalam sejarah, al-Ghazali tidak menyukai majlis-majlis perdebatan berkaitan dengan
ilmu Kalam. Jika dijemput ke majlis seumpama itu, beliau hanya berdebat dengan menggunakan
metadologi Rasulullah SAW dan para sahabat dengan berpaksikan al-Quran dan al-sunnah
sahaja. Hal ini kerana beliau beranggapan tanpa dua sumber utama itu akan menambahkan lagi
kerisauan dan kecelaruan dalam masyarakat pada ketika itu. Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya
Ulumuddin ketika membincangkan berkaitan dengan teori dan konsep ilmu tidak meletakkan
ilmu Kalam sebagai satu ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat. Bahkan beliau menganggap
sesiapa yang keterlaluan membicangkan isu-isu yang berkaitan dengan sifat dan perbuatan Allah
SWT adalah termasuk dalam golongan orang yang melakukan bidaah di dalam Islam. Beliau
mengatakan ilmu Kalam tidak bermanfaat kepada manusia kerana dua sebab. Sebab pertama
ialah ilmu ini tersimpang jauh daripada matlamatnya yang utama, iaitu mengenal Allah SWT.
Sebab kedua ialah perbincangan ahli ilmu Kalam terlalu jauh sehingga menyimpang daripada
apa yang dibincangkan oleh para ulama.

3. BIDANG TASAWUF
Apabila melibatkan diri menjadi sebahagian daripada ahli sufi, al-Ghazali berusaha
membersihkan tasawuf daripada perkara-perkara khurafat dan amalan yang terkeluar daripada
ajaran agama Islam yang sebenar. Dalam bidang tasawuf, al-Ghazali mempunyai beberapa orang
guru yang termasyhur seperti al-Junaid dan al-Muhasibi. Apabila al-Ghazali mengetahui
masyarakat melakukan kesalahan dalam bidang tasawuf, beliau melemparkan kritikan yang
bertujuan membetulkan kesalahan dan menghalang daripada penyelewengan yang berlaku
sehingga mencemarkan kemurnian Islam. Karya termasyhur al-Ghazali dalam bidang tasawuf
ialah Ihya Ulumuddin yang telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa lain seperti Melayu,
Parsi, Urdu, Inggeris dan Perancis. Kitab ini telah menjadi sumber rujukan para ulama di rantau
Alam Melayu. Kehadiran kitab Ihya Ulumuddin ini memberikan implikasi besar dalam
pengajian tasawuf. Sumbangan ini adalah cukup besar dalam bidang tasawuf kerana al-Ghazali
telah memurnikan semula ilmu tasawuf daripada kesesatan dan bidaah.

KESIMPULAN
Imam Al-Ghazali banyak memberi sumbangan dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan seperti
usuluddin, usul fiqh, mantik, membaca hikmah dan yang paling terkenal ialah bidang falsafah.
Beliau banyak memberi sumbangan dalam bidang penulisan dan menyusun kitab-kitab dari
pelbagai aspek ilmu yang telah dipelajari dan hasil-hasil tulisan beliau telah mempengaruhi ahli
fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan Syah
Waliyullah.

You might also like